Ayuni tidak dapat mengagak dengan siapa dan apa yang
dibualkan oleh Taufik di telefon bimbitnya.
Ayuni hanya memerhati dari jauh.
Jika diikutkan rasa marahnya di atas kata-kata Taufik sebentar tadi,
mahu sahaja dia meninggalkan lelaki itu di situ tetapi bila mengingatkan tempat
ini sungguh asing untuknya dan dia sendiri tidak tahu ke mana harus dituju,
dibatalkan kehendak hatinya itu.
Dia sendiri amat takut untuk membelah kepekatan malam
seorang diri. Mahu tidak mahu
terpaksalah dia seperti orang bodoh menunggu Taufik berbicara di telefon
bimbitnya. Taufik dilihatnya sungguh
serius berbicara. Adakalanya dia seperti
resah meluahkan sesuatu dan ada masanya kelihatan riak wajahnya lega.
Tiba-tiba Taufik datang menghampirinya dengan senyuman
di bibir sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ayuni. Ayuni terpinga-pinga. Untuk apa Taufik menghulurkan telefon
bimbitnya kepadanya?
“Ayuni…ibu awak
nak bercakap dengan awak. She’s on the line right now”. Kata-kata Taufik itu amat memeranjatkan
Ayuni.
Ibu? Macam mana
pulak ibu boleh kenal dengan Taufik dan berbicara dengannya? Apa yang dibualkan Taufik dengan ibunya? Seribu satu persolan timbul di benaknya di
kala itu. Menggeletar tangannya menyambut telefon bimbit Taufik. Tangannya serta merta sejuk. Dadanya berdebar-debar memikirkan kaitan ibu
dengan Taufik. Tergagap-gagap dia
memulakan berbicara sambil dalam hati berdoa bahawa bukan ibunya di talian
kini. Apabila Ayuni masih membisu,
tiba-tiba suara seorang wanita yang amat dikenali dan dirinduinya menyapa
telinganya.
“Assalamualaikum….Kakak” Mendengar suara wanita itu, air
matanya terus tumpah membasahi pipi.
Ya Allah! Memang
betul dia adalah ibu.
“Wa…wa’alaikumsalam ibu. Ibu apa khabar?” Bergetar suara Ayuni menahan
sebak. Dia seolah-olah tidak percaya
bahawa di hujung talian itu adalah ibunya.
“Alhamdulillah…ibu sihat…kakak macam mana kat sana? Ok ke?” Tanya ibunya lagi.
“Kakak baik-baik saja kat sini bu….ibu..kakak rindukan
ibu” Makin bertambah laju air matanya mengalir ke pipi.
“Ibu pun..” Balas
ibunya.
“Ayah dan adik-adik apa khabar bu? Kakak rindu sangat dengan semua tapi kakak
sibuk di sini bu…ibu pun tahu kakak baru mula kerja kan? Kakak belum berpeluang nak ambil cuti. Nanti, bila kakak dapat cuti, kakak balik ye
bu…” Ayuni terus sebak.
Kalaulah ibu di depan matanya kini mahu sahaja dipeluk
wanita itu sepuas-puasnya untuk melepaskan rasa rindunya yang menggunung.
“Takpe..ibu
faham..kakak janganlah risaukan kami di sini…kami semua baik-baik saja” Lega
hatinya mendengar kata-kata ibunya itu.
Taufik bergerak meninggalkan Ayuni. Mungkin dia tidak mahu mengganggu dua beranak
itu berbual. Biarlah ibu Ayuni yang
menjelaskan duduk perkara sebenar kepada gadis pujaannya itu. Taufik sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh
mengambil tindakan sedemikian.
Setelah buntu memikirkan cara untuk memenangi hati
Ayuni, tiba-tiba dia terfikirkan keluarga Ayuni. Walaupun dia langsung tidak mengenali ahli
keluarga Ayuni, tetapi mungkin hanya keluarganya yang dapat membantu dia untuk
menunaikan hasrat hatinya yang tulus ikhlas terhadap Ayuni.
Oleh kerana itu, tanpa perasaan gentar dia sanggup pergi
ke kampung Ayuni di Johor Bahru. Dengan
bantuan Hanis, Taufik akhirnya menjejakkan kaki di kampung halaman Ayuni di
Kampung Melayu Majidee dengan ditemani Hanis.
Pemergian mereka tanpa pengetahuan Ayuni. Memang mereka sengaja merahsiakan dari Ayuni kerana jika Ayuni tahu
akan rancangannya, pasti Ayuni akan membantah dengan sekeras-kerasnya. Rasanya kurang manis pula jika dia seorang
diri berjumpa dengan orang tua Ayuni sedangkan mereka langsung tidak
mengenalinya. Sekurang-kurangnya dengan
kehadiran Hanis, keluarga Ayuni akan percaya kepada dirinya kerana keluarga
Hanis dan keluarga Ayuni berjiran.
Malahan, mereka sudah seperti bersaudara kerana Ayuni dan Hanis memang berkawan sejak
kecil lagi.
Pada mulanya orang tua Ayuni agak terperanjat juga
dengan kehadiran Taufik dan Hanis.
Mereka bertambah pelik apabila Ayuni tiada bersama-sama tetapi setelah
Taufik menerangkan tentang hajatnya datang ke situ dan menyuarakan hasrat
hatinya terhadap Ayuni dengan bersungguh-sungguh, akhirnya orang tua Ayuni,
Pakcik Ismail dan Puan Zaharah faham akan perkara sebenar. Tambahan pula Hanis juga membantunya
meyakinkan kedua-dua orang tua Ayuni.
“Pakcik…makcik…saya memang benar-benar ikhlas terhadap
Ayuni semenjak pertama kali saya berjumpanya.
Tidak pernah langsung saya terfikir untuk memainkannya. Pakcik dan makcik boleh tanya sendiri dengan
Hanis….tapi saya sudah buntu…saya tak tahu macam mana lagi untuk mendekati
Ayuni sebab dia langsung tidak memberi peluang kepada saya” Jelas Taufik
panjang lebar sewaktu memulakan bicara bersama-sama orang tua Ayuni.
“Errr….Encik
Taufik…”
“Panggil saja
saya Taufik pakcik…makcik” Taufik memotong kata-kata ayah Ayuni apabila
dirasakan orang tua Ayuni mungkin tidak selesa dengannya setelah mengetahui dia
adalah ‘bos’ Ayuni. Kemudian pakcik
Ismail menyambung semula.
“Errr…Taufik.
Sebenarnya Ayuni tu pernah mengalami kekecewaan yang amat sangat. Dia pernah bertunang….tapi apakan daya
jodohnya tiada dengan bekas tunangnya. Mungkin
dia serik untuk bercinta. Sebagai orang
tua Ayuni, kami amat faham penderitaan yang dilalui oleh anak kami itu tetapi
Ayuni memang anak yang cukup cekal. Dia
cuba bangkit kerana menyedari dia adalah anak sulung dalam keluarga. Dia perlu tunjukkan contoh yang baik kepada
adik-adiknya. Mungkin semua yang berlaku
kepadanya kebelakangan ini yang menjadikan dia bersikap sedemikian” Suara
Pakcik Ismail kedengaran sebak.
Isterinya, Puan Zaharah pula sesekali mengesat air matanya yang mula
bertakung di tubir mata.
Perasaan lelakinya juga tersentuh mendengar penjelasan
orang tua Ayuni itu. Nampaknya bukan
sahaja Ayuni yang mengalami kesakitan, keluarganya juga turut merasakan. Taufik bertambah yakin dengan hasrat hatinya. Kini, dia bukan sahaja jatuh hati dengan
Ayuni, tetapi keluarganya juga. Apatah
lagi, adik-adik Ayuni semuanya mesra dengan Taufik walaupun mereka baru pertama
kali mengenali antara satu sama lain.
Dia merasakan mereka semua dapat menerima kehadiran Taufik yang tidak
disangka-sangka itu walaupun pada awalnya mereka agak segan untuk mendekati
Taufik. Indah sungguh perasaan yang
dilaluinya kini. Semua perasaan ini
tidak dirasanya semasa bercinta dengan bekas isterinya., Farah. Taufik semakin nekad untuk memiliki hati
Ayuni kerana dia merasakan sekarang ini dia telah mendapat sokongan dari
keluarga Ayuni walaupun Ayuni sendiri masih enggan menerimanya. Mungkin inilah cara terbaik untuk menawan
hati Ayuni dengan cara memikat hati keluarga Ayuni terlebih dahulu.
Taufik juga tidak merahsiakan apa-apa pun tentang
dirinya. Dia mahu keluarga Ayuni tahu
bahawa dia sememangnya serius untuk memiliki Ayuni. Dia tidak mahu sesuatu yang tidak diingini
timbul di belakang hari apabila dia cuba merahsiakan perihal dirinya termasuk
status dirinya kini. Semuanya
diceritakan kepada orang tua Ayuni.
Seharian Taufik berada di rumah keluarga Ayuni. Keluarga Ayuni telah melayannya dengan sangat
baik, terutama semasa makan tengahari.
Beria-ia mereka melayan Taufik sehingga Taufik sendiri merasa segan
dilayan dengan begitu baik. Memang
terserlah keikhlasan mereka bukan kerana dia adalah ‘bos’ Ayuni. Memang begitu sikap mereka walaupun bukan dia
tetamunya. Dia menggunakan masa itu
sebaik-baiknya untuk memenangi hati keluarga Ayuni terutama orang tuanya
walaupun tanpa pengetahuan Ayuni. Taufik
bersungguh-sungguh meminta semua ahli keluarga Ayuni merahsiakan akan
kedatangannya ke sana. Dia tidak mahu
Ayuni salah sangka dengan tindakannya itu.
Sampai waktunya untuk Taufik pulang semula ke Kuala
Lumpur. Dia merasakan kedatangannya amat
berbaloi. Hilang segala rasa penat
memandu. Sebelum pulang Taufik sekali
lagi meminta keluarga Ayuni untuk meyakinkan Ayuni tentang keikhlasan
hatinya. Dia meminta Pakcik Ismail dan
Puan Zaharah untuk membantunya menjelaskan kepada Ayuni apabila dia
memerlukan. Dia juga meminta orang tua Ayuni
merahsiakan kepada Ayuni terlebih dahulu sehingga dia sendiri menghubungi
mereka. Dia perlu merancang dengan
teliti supaya hasrat hatinya tercapai.
Untuk memikat gadis seperti Ayuni memerlukan kesabaran
dan ketelitian yang tinggi. Semua adik
beradik dan kedua-dua orang tua Ayuni berkumpul untuk menghantar kepulangannya
di halaman rumah. Mereka
melambai-lambaikan tangan sehinggalah bayang kereta Taufik hilang dari
pandangan mata mereka.
Sepanjang perjalanan pulang, Taufik kelihatan
ceria. Beberapa kali Hanis menjeling
‘bos’nya di sebelah. Dia juga tumpang
gembira akan hasil dari pertemuan itu.
Hanis tahu ‘bos’nya sangat gembira.
Biarkanlah dia terus tersenyum kerana dia sendiri tidak pasti apakah
reaksi Ayuni apabila tahu apa yang mereka lakukan ini.
No comments:
Post a Comment