DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 20



Taufik melangkah menghampiri Ayuni apabila dilihatnya gadis itu telah selesai berbicara dengan ibunya.  Taufik agak berdebar-debar.  Dia tidak dapat mengagak apakah reaksi Ayuni terhadapnya kini.  Pastinya semua akan berubah sebaik sahaja Ayuni selesai berbual dengan ibunya tadi.  Ayuni pula masih dalam keadaan amat terkejut.  Dia bagaikan tidak percaya akan kata-kata yang keluar dari mulut ibunya tadi. 
Kenapa ibu beria-ria mahu dia menerima Taufik?  Apa yang telah dilakukan oleh Taufik terhadap keluarganya?  Ayuni tambah bingung. 
Dia keliru dengan apa yang sedang dihadapinya kini.  Dahulu memang dia tidak pernah serius memikirkan perihal Taufik, tetapi apabila melibatkan campurtangan keluarganya, dia mula serba salah.  Ayuni tajam merenung Taufik yang sedang menghampirinya.  Dia benar-benar keliru dengan perasaannya kini. 
“Haruskah aku mengikut permintaan ibu?” Desis Ayuni dengan matanya tidak lepas merenung Taufik.
            Masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya tadi sebaik sahaja dia bertanya tentang Taufik.  Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepada ibunya, namun seperti biasa ibunya akan dengan tenang dan lembut menjawab menyebabkan hatinya yang selama ini keras bagaikan batu konkrit bertukar menjadi selembut sutera. 
 “Kakak…dengar dulu apa yang nak ibu cakap ni ye.  Kakak mesti bertenang bila menghadapi situasi sebegini.  Kan dah banyak kali ibu pesan, kalau kakak berdepan dengan masalah, berfikirlah dengan akal yang waras.  Bukannya mengikut perasaan.  Ibu bukan nak suruh kakak terima terus Taufik, tapi maksud ibu kakak berilah sedikit ruang di dalam hati kakak untuk Taufik.  Ibu tahu itu mungkin amat susah untuk kakak lakukan tetapi sebagai orang islam kita mesti redha di atas ketentuanNYA.  Mungkin juga Taufik adalah jodoh terbaik untuk kakak menggantikan Amir.  Sampai bila kakak nak menghukum diri sendiri.  Kakak mesti bangkit sebab kita bukan hidup untuk hari semalam tetapi untuk hari esok” Tenang sahaja Puan Zaharah menasihati anaknya. 
“Tapi bu…kakak memang langsung tiada perasaan pada Taufik.  Ibu pun tahu kan yang perasaan kita ni mana boleh dipaksa-paksa” Balas Ayuni yang cuba mengelakkan ibunya dari terus mendesaknya kerana dia tahu hatinya akan cair apabila mendengar nasihat ibunya. 
“Ye…ibu tahu…sebab tu ibu nak kakak cuba buka hati kakak untuk dia.  Kakak…kalau kakak tak tahu macam mana hati kakak….kakak tanyalah Allah.  Insyallah, Allah sentiasa menolong hambanya yang berkehendak.  Kalau hati kakak ikhlas inginkan jawapan, pasti Allah akan tunjukkan….” Kata-kata ibunya di hujung perbualan benar-benar membuatnya terfikir sejenak kerana selama ini dia memang tidak memberi peluang kepada hatinya untuk berfikir tentang Taufik, apatah lagi untuk menerimanya.
            Sepanjang perjalanan pulang, Ayuni hanya membisu.  Dia masih terus berfikir tentang kata-kata ibunya tadi.  Taufik jadi gelisah.  Apakah Ayuni marah kepadanya?  Dia bimbang Ayuni akan semakin jauh darinya setelah apa yang berlaku tadi.
 “Ayuni….awak marahkan saya ke?” Taufik memecahkan kebisuan.
 “Kalau awak marahkan saya, saya minta maaf.  Saya tidak berniat untuk membuatkan sesuatu yang membelakangkan awak tapi saya dah tak tahu apa lagi yang patut saya lakukan untuk memenangi hati awak.  Ayuni….satu perkara yang saya nak awak tahu….saya memang benar-benar ikhlas ingin menjadikan awak isteri saya.  Kalau tak masakan saya sanggup berhadapan dengan orang tua awak” Sambung Taufik cuba untuk menjelaskan keadaan. 
Ayuni terfikir akan kebenaran kata-kata Taufik.  Dia sendiri tidak menyangka Taufik akan bertindak sejauh itu.  Jauh di sudut hatinya, dia juga agak terharu dengan apa yang dilakukan Taufik.  Taufik  sanggup berhadapan dengan orang tuanya hanya kerana ingin memiliki hatinya.
            “Memang saya marah!” Sengaja Ayuni menekankan suaranya. 
            Taufik terkedu.  Dia terus memberhentikan keretanya di tepi lebuhraya Sprint.  Dia tidak mahu Ayuni salah faham di atas tindakannya.  Perkara yang paling ditakuti akhirnya berlaku juga.  Taufik perlu menjelaskan kepada Ayuni akan niatnya yang sebenar.  Ayuni terkejut dengan tindakan Taufik spontan Taufik itu.  Taufik menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara.
 “Ayuni…tolong jangan salah faham dengan tindakan saya…tolonglah!” Katanya perlahan.  Dia hampir-hampir sahaja berputus asa terhadap Ayuni.  Nampaknya pengorbanan yang dilakukannya masih tidak cukup di mata Ayuni.  Apa lagi yang Ayuni mahu?  Jika tidak kerana desakan hatinya, mahu sahaja dia melupakan Ayuni, namun dia sedar dia tidak mampu.  Melihatkan Taufik mula menggelabah Ayuni bersuara.
 “Saya marah sebab saya rasa apa yang Encik Taufik lakukan ni tak adil bagi saya.  Sepatutnya Encik Taufik berbincang dengan saya dulu sebelum ambil tindakan sebegini, tapi sebaliknya Encik Taufik boleh berpakat dengan Hanis tanpa pengetahuan saya.  Itu yang saya kesalkan dan saya memang agak terkilan sebenarnya.  Sekarang perkara ni dah jadi semakin rumit sebab dah melibatkan keluarga saya” Jelas Ayuni dengan nada sebak. 
“Tapi Ayuni…pernahkah awak beri peluang kepada saya untuk berbincang dengan awak?  Selama ni, saya hanya mengejar bayang-bayang awak sedangkan awak makin jauh meninggalkan saya.  Cuba awak beritahu saya, apa yang awak akan lakukan kalau awak di tempat saya?   Pernahkah awak fikir tentang perasaan saya Ayuni?  Apa yang saya nampak, awak hanya mementingkan diri sendiri” Taufik memuntahkan segala apa yang terpendam di sudut hatinya selama ini.  Puas hatinya dapat meluahkan.  Biar Ayuni tahu betapa seksanya dia.
            “Encik Taufik…tak guna kita bertengkar.  Perkara sudah pun berlaku dan kita mesti menghadapinya kerana perkara ini telah pun melibatkan keluarga saya.  Sekarang ni, saya cuma minta Encik Taufik berikan saya masa untuk berfikir dengan setenang-tenangnya.  Saya berjanji akan beritahu Encik Taufik apabila sampai masanya.  Apa yang saya harapkan sekarang, Encik Taufik tolonglah bersabar.  Jangan terus mendesak saya.  Kalau boleh saya nak membuat keputusan tanpa dipengaruhi sesiapa pun termasuk keluarga saya.  Apa yang boleh saya katakan sekarang, mulai saat ini saya sudah terpaksa memikirkan tentang Encik Taufik kerana sebelum ini, terus-terang saya memang tidak mahu memikirkan soal Encik Taufik….” Tutur Ayuni cuba untuk meleraikan kekusutan. 
Taufik agak lega mendengar bait-bait terakhir kata-kata Ayuni itu.  Ayuni sudah mula memikirkannya.  Suatu perkembangan yang positif kerana baginya itu sudah memadai.  Kini dia yakin, pasti hati Ayuni akan menerimanya.  Akhirnya dia lega.  Sekurang-kurangnya, hasil usahanya menampakkan kejayaan.  Terima kasih pakcik dan makcik.  Tidak lupa juga kepada Hanis yang banyak membantunya.

No comments:

Post a Comment