Taufik melangkah menghampiri Ayuni apabila dilihatnya gadis itu
telah selesai berbicara dengan ibunya.
Taufik agak berdebar-debar. Dia
tidak dapat mengagak apakah reaksi Ayuni terhadapnya kini. Pastinya semua akan berubah sebaik sahaja
Ayuni selesai berbual dengan ibunya tadi.
Ayuni pula masih dalam keadaan amat terkejut. Dia bagaikan tidak percaya akan kata-kata
yang keluar dari mulut ibunya tadi.
Kenapa ibu beria-ria mahu dia menerima Taufik? Apa yang telah dilakukan oleh Taufik terhadap
keluarganya? Ayuni tambah bingung.
Dia keliru dengan apa yang sedang dihadapinya kini. Dahulu memang dia tidak pernah serius
memikirkan perihal Taufik, tetapi apabila melibatkan campurtangan keluarganya,
dia mula serba salah. Ayuni tajam
merenung Taufik yang sedang menghampirinya.
Dia benar-benar keliru dengan perasaannya kini.
“Haruskah aku mengikut permintaan ibu?” Desis Ayuni
dengan matanya tidak lepas merenung Taufik.
Masih
terngiang-ngiang kata-kata ibunya tadi sebaik sahaja dia bertanya tentang
Taufik. Bertubi-tubi soalan dilemparkan
kepada ibunya, namun seperti biasa ibunya akan dengan tenang dan lembut
menjawab menyebabkan hatinya yang selama ini keras bagaikan batu konkrit
bertukar menjadi selembut sutera.
“Kakak…dengar
dulu apa yang nak ibu cakap ni ye. Kakak
mesti bertenang bila menghadapi situasi sebegini. Kan dah banyak kali ibu pesan, kalau kakak
berdepan dengan masalah, berfikirlah dengan akal yang waras. Bukannya mengikut perasaan. Ibu bukan nak suruh kakak terima terus
Taufik, tapi maksud ibu kakak berilah sedikit ruang di dalam hati kakak untuk
Taufik. Ibu tahu itu mungkin amat susah
untuk kakak lakukan tetapi sebagai orang islam kita mesti redha di atas
ketentuanNYA. Mungkin juga Taufik adalah
jodoh terbaik untuk kakak menggantikan Amir.
Sampai bila kakak nak menghukum diri sendiri. Kakak mesti bangkit sebab kita bukan hidup
untuk hari semalam tetapi untuk hari esok” Tenang sahaja Puan Zaharah
menasihati anaknya.
“Tapi bu…kakak memang langsung tiada perasaan pada
Taufik. Ibu pun tahu kan yang perasaan
kita ni mana boleh dipaksa-paksa” Balas Ayuni yang cuba mengelakkan ibunya dari
terus mendesaknya kerana dia tahu hatinya akan cair apabila mendengar nasihat
ibunya.
“Ye…ibu tahu…sebab tu ibu nak kakak cuba buka hati kakak
untuk dia. Kakak…kalau kakak tak tahu
macam mana hati kakak….kakak tanyalah Allah.
Insyallah, Allah sentiasa menolong hambanya yang berkehendak. Kalau hati kakak ikhlas inginkan jawapan,
pasti Allah akan tunjukkan….” Kata-kata ibunya di hujung perbualan benar-benar
membuatnya terfikir sejenak kerana selama ini dia memang tidak memberi peluang
kepada hatinya untuk berfikir tentang Taufik, apatah lagi untuk menerimanya.
Sepanjang perjalanan
pulang, Ayuni hanya membisu. Dia masih
terus berfikir tentang kata-kata ibunya tadi.
Taufik jadi gelisah. Apakah Ayuni
marah kepadanya? Dia bimbang Ayuni akan
semakin jauh darinya setelah apa yang berlaku tadi.
“Ayuni….awak
marahkan saya ke?” Taufik memecahkan kebisuan.
“Kalau awak
marahkan saya, saya minta maaf. Saya
tidak berniat untuk membuatkan sesuatu yang membelakangkan awak tapi saya dah
tak tahu apa lagi yang patut saya lakukan untuk memenangi hati awak. Ayuni….satu perkara yang saya nak awak
tahu….saya memang benar-benar ikhlas ingin menjadikan awak isteri saya. Kalau tak masakan saya sanggup berhadapan
dengan orang tua awak” Sambung Taufik cuba untuk menjelaskan keadaan.
Ayuni terfikir akan kebenaran kata-kata Taufik. Dia sendiri tidak menyangka Taufik akan bertindak
sejauh itu. Jauh di sudut hatinya, dia
juga agak terharu dengan apa yang dilakukan Taufik. Taufik
sanggup berhadapan dengan orang tuanya hanya kerana ingin memiliki
hatinya.
“Memang saya
marah!” Sengaja Ayuni menekankan suaranya.
Taufik terkedu. Dia terus memberhentikan keretanya di tepi
lebuhraya Sprint. Dia tidak mahu Ayuni
salah faham di atas tindakannya. Perkara
yang paling ditakuti akhirnya berlaku juga.
Taufik perlu menjelaskan kepada Ayuni akan niatnya yang sebenar. Ayuni terkejut dengan tindakan Taufik spontan
Taufik itu. Taufik menarik nafas panjang
sebelum memulakan bicara.
“Ayuni…tolong
jangan salah faham dengan tindakan saya…tolonglah!” Katanya perlahan. Dia hampir-hampir sahaja berputus asa
terhadap Ayuni. Nampaknya pengorbanan
yang dilakukannya masih tidak cukup di mata Ayuni. Apa lagi yang Ayuni mahu? Jika tidak kerana desakan hatinya, mahu
sahaja dia melupakan Ayuni, namun dia sedar dia tidak mampu. Melihatkan Taufik mula menggelabah Ayuni
bersuara.
“Saya marah sebab
saya rasa apa yang Encik Taufik lakukan ni tak adil bagi saya. Sepatutnya Encik Taufik berbincang dengan
saya dulu sebelum ambil tindakan sebegini, tapi sebaliknya Encik Taufik boleh
berpakat dengan Hanis tanpa pengetahuan saya.
Itu yang saya kesalkan dan saya memang agak terkilan sebenarnya. Sekarang perkara ni dah jadi semakin rumit
sebab dah melibatkan keluarga saya” Jelas Ayuni dengan nada sebak.
“Tapi Ayuni…pernahkah awak beri peluang kepada saya
untuk berbincang dengan awak? Selama ni,
saya hanya mengejar bayang-bayang awak sedangkan awak makin jauh meninggalkan
saya. Cuba awak beritahu saya, apa yang
awak akan lakukan kalau awak di tempat saya? Pernahkah awak fikir tentang perasaan saya
Ayuni? Apa yang saya nampak, awak hanya
mementingkan diri sendiri” Taufik memuntahkan segala apa yang terpendam di
sudut hatinya selama ini. Puas hatinya
dapat meluahkan. Biar Ayuni tahu betapa
seksanya dia.
“Encik Taufik…tak
guna kita bertengkar. Perkara sudah pun
berlaku dan kita mesti menghadapinya kerana perkara ini telah pun melibatkan
keluarga saya. Sekarang ni, saya cuma
minta Encik Taufik berikan saya masa untuk berfikir dengan
setenang-tenangnya. Saya berjanji akan
beritahu Encik Taufik apabila sampai masanya.
Apa yang saya harapkan sekarang, Encik Taufik tolonglah bersabar. Jangan terus mendesak saya. Kalau boleh saya nak membuat keputusan tanpa
dipengaruhi sesiapa pun termasuk keluarga saya.
Apa yang boleh saya katakan sekarang, mulai saat ini saya sudah terpaksa
memikirkan tentang Encik Taufik kerana sebelum ini, terus-terang saya memang
tidak mahu memikirkan soal Encik Taufik….” Tutur Ayuni cuba untuk meleraikan
kekusutan.
Taufik agak lega mendengar bait-bait terakhir kata-kata
Ayuni itu. Ayuni sudah mula
memikirkannya. Suatu perkembangan yang
positif kerana baginya itu sudah memadai.
Kini dia yakin, pasti hati Ayuni akan menerimanya. Akhirnya dia lega. Sekurang-kurangnya, hasil usahanya
menampakkan kejayaan. Terima kasih
pakcik dan makcik. Tidak lupa juga
kepada Hanis yang banyak membantunya.
No comments:
Post a Comment