DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 March 2016

UNTUK SEKALI LAGI - BAB 1



“Tok tidak peduli Hud. Ini peluang terakhir Tok beri pada kamu. Kalau kamu ikut cakap Tok dengan mummy kamu, nama kamu akan terus kekal dalam wasiat Tok sebagai pewaris.” Engku Junaidah memaku pandangan pada satu – satunya cucunya itu. Dia mahu pastikan Hud Daniel faham yang dia sudah tidak betah bermain kata – kata, biarlah keputusannya ini menjadi kata pemutus.

“Kalau kamu bantah cakap Tok kali ini, kamu tak akan dapat walau sesen pun harta Tok! Pandai – pandai kamu dengan bini pilihan kamu ini nak hidup sendiri. Harta ni Tok akan sedekah pada rumah anak – anak yatim!” Sambung Engku Junaidah tegas.

Tersentak Hud Daniel mendengar patah – patah akhir ayat Engku Junaidah. Ini sudah jadi drama tipikal melayu! Pandangan dialih ke wajah Datin Zara, mummynya untuk meraih sokongan. Datin Zara cuma mampu menekur lantai berlapis permaidani import dari luar negara. Kata –kata ibu mertuanya itu tidak mampu dilawan. Rasa hormatnya pada wanita tua itu yang telah menjaga dan menyayanginya seperti anak sendiri selama ini menyebabkan dia hanya mampu akur. Tambahan pula, jauh disudut hati Datin Zara masih berharap Hud Daniel akhirnya dapat memahami bahawa semua ini adalah untuk kebaikan dirinya juga!

Mummy?

No, Hud. Kali ini mummy tak mampu nak tolong. Mummy dah banyak bantu Hud waktu Hud belakangkan kami berdua suatu waktu dahulu, ingatkan lagi?”

“Tok dan mummy dah maafkan perbuatan Hud waktu dahulu. Kami dah beri peluang Hud buat keputusan sendiri. Malah, kami dah beri ruang untuk Hud membetulkan semua kesilapan yang lalu. Tapi sekarang, dah terbukti yang Hud tak mampu membetulkan segalanya. Tolonglah fahami niat baik Tok dan mummy. Bagi kami peluang pula untuk menunjukkan jalan yang lebih baik untuk menjamin masa depan Hud. Kami berharap sangat Hud tunaikan pula hajat Tok dan mummy.” Sambung Datin Zara lagi.

Come on lah Tok. Main ugut – ugut dengan harta pusaka ini is very old school. Hud dah besar, Tok. Kenapa nak ungkit hal – hal lalu? Biarlah Hud tentukan masa depan Hud sendiri.” Hud Daniel mengurut tengkuknya yang terasa menegang. Mata dikalih ke sebelah kanannya. Wajah murung Saffiya Safwa yang sedari tadi diam membisu, direnung tajam. Cuba untuk mencari –cari apakah yang sedang berlegar – legar di fikiran wanita yang menjadi isterinya selama 10 tahun itu.

Wajah itu diakui masih jelita walaupun sudah mencapai usia yang sama dengannya iaitu 34 tahun. Tambahan pula ia dioles agak tebal dengan alatan kosmetik yang mahal. Penampilan modennya, dengan blaus sifon tanpa lengan berwarna merah sepadan dengan skirt pendek berwarna hitam. Rambut ikalnya, tidak langsung kelihatan kekok mengapit wajah putih mulus itu. Namun sayang, kejelitaan sahaja tidak mampu meraih kasih dan sayang apatah lagi restu daripada orang tua.

Kesal memikirkan sebahagian besar kesalahan itu dipikul di atas kedua bahunya. Dia akui dia gagal mendidik Saffiya Safwa. Dia gagal mendidiknya untuk menjadi bukan sahaja isteri solehah, tapi juga menantu pilihan! Isterinya itu ego. Langsung tidak mahu beralah dengan orang tua. Cara hidup moden penuh budaya kebaratan sukar untuk ditinggalkan. Sekalipun ia menjadi isu besar yang menyebabkan Engku Junaidah dan Datin Zara tidak berkenan padanya. Saffiya Safwa kata, cara hidupnya itu sudah sebati dengan dirinya mana boleh diubah – ubah?

Sedangkan mak bapak aku sendiri tidak pernah kisah dengan penampilan aku? Apa yang dikisahkan dengan mulut orang lain? Saffiya Safwa tidak suka ditegur – tegur. Hendak diikut kemahuan orang tua ini untuk memakai baju – baju yang longgar, panjang, dan memakai tudung? Oh my... In your dreams old lady! Bentak hati Saffiya Safwa. Nenek sihir ini, selagi hidup pasti akan menyusahkan aku! Semua pun tak kena pasal aku. Eleh! Kalau dah tak suka tu memanglah semua pun salah. Sempat Saffiya Safwa menyambung tugas hakiki, memaki Engku Junaidah dalam hati.

Satu keluhan berat Hud Daniel keluarkan. Entah bagaimana lagi caranya hendak menyatukan ketiga – tiga wanita kesayangannya ini. Kebuntuan yang dihadapinya ini agaknya balasan kerana pernah melukakan hati dua orang wanita berusia ini. Balasan kerana menikah senyap – senyap dengan Saffiya Safwa tanpa pengetahuan keluarga sewaktu masih lagi dalam pengajiannya di London!

Konon tidak mahu berlengah – lengah lagi! Saffiya Safwa itu menjadi kegilaan ramai di kolej. Jenuh memikat dengan kata – kata puitis. Beribu – ribu duit juga terbang untuk memancing perhatian wanita yang telah didamba sejak semester satu lagi. Beg tangan berjenama, minyak wangi keluaran terhad, barangan kemas... Mujur saja Hud Daniel ini bukan daripada keluarga yang calang – calang kayanya.

Ada yang cakap Dato’ Hail Iskandar, daddy Hud Daniel itu unknown millionaire! Apabila Saffiya Safwa kata, ‘yes!’ Hud Daniel tanpa berfikir panjang terus ajak bernikah. Sementelah tidak terlintas langsung bahawa keputusannya itu menyebabkan banyak insan lain yang bakal terluka.

Tidak habis dengan isu pernikahan tanpa restu. Sepuluh tahun berkahwin namun, Hud Daniel dan Saffiya Safwa masih tidak punya zuriat. Puas berubat di dalam negara mahupun di luar negara. Malahan, mereka berdua sudahpun melalui prosedur IUI dan IVF. Gagal. Tidak ada apa yang menjadi masalah menurut doktor, kedua – duanya tidak menghidap sebarang penyakit atau kemandulan. Cuma belum ada rezeki.

Hud Daniel sebenarnya tahu, anak bukan dalam to do list Saffiya Safwa langsung. Sebab itu, wanita itu tidak pernah bersungguh – sungguh untuk mencuba mendapatkan anak sepertinya. Wanita itu sibuk dengan kerjayanya sebagai pereka fesyen. Kesibukkannya keluar masuk luar negara, menyebabkan kehadiran seorang anak hanya akan menjadi penghalang kepada kerjayanya.

Kalau ikut hati Hud Daniel, semua itu tidak pun menjadi masalah besar. Yalah, walaupun dia juga tidak pernah nafikan, yang dia teringin untuk menimang cahaya mata sendiri. Tapi, sebab yang paling utama sebenarnya kerana dia ialah Hud Daniel. Satu – satunya zuriat pasangan Dato’ Hail Iskandar dengan Datin Zara Lee Abdullah. Dia ialah pewaris tunggal Synergy Power Corporations! Dia perlukan zuriat untuk meneruskan legasi ini. Jauh di sudut hati, Hud Daniel juga berasa mungkin saja zuriat dapat membaik pulih hubungan mereka sekeluarga.

“Satu tahun Hud. Tok bagi kamu masa satu tahun untuk peroleh zuriat. Sama ada zuriat kamu dengan perempuan ini, ataupun kamu kahwin satu lagi!”

“Tok! Kenapa mesti macam ni? Tok tahu kami berdua memang sudah berusaha untuk mendapatkan anak?” Hud Daniel sikit tersentak dengan kata – kata Engku Junaidah. Kata – kata yang bagaikan halilintar membelah langit perasaan Hud Daniel. Sudah pasti syarat itu sangat sukar baginya dengan Saffiya Safwa.

“Ini tak adil Tok! Saffiya takkan izinkan Hud berkahwin lagi! Takkan!” Over my dead body nenek sihir! Huh! Ikutkan hati aku yang bengkak bernanah ini, nak saja aku lenyapkan perempuan tua ini dari muka bumi! Baru puas hati aku, bisik jahat hati Saffiya Safwa lagi. Dia memang sungguh – sungguh hendak singkirkan aku daripada keluarga ini.

“Adil atau tidak aku tak peduli! Kalau Hud tak bagi aku cucu dalam masa setahun ini, semua harta aku wariskan aje kat rumah anak – anak yatim!”

“Tapi...”

“Takde tapi tapi. Hei! Saffiya, aku bukan nak dengar kata – kata engkau! Aku sekarang tengah tanya Hud, cucu aku! Kau diam – diam sudah!” Potong Engku Junaidah garang.

Terjungkit juga bahu Saffiya Safwa terkejut mendengar suara garau Engku Junaidah yang sudah mula ber’aku ‘engkau’. Marah sangatlah tu! Datin Zara terkebil – kebil melihat wajah ibu mertuanya yang merah menahan marah. Ligat tangannya menyapu lembut belakang Engku Junaidah, berharap marah itu boleh reda.

“Sabar Mak... Mak tu ada darah tinggi!”

“Hud...” Rengek Saffiya Safwa sambil cuba meraih lengan Hud Daniel. Dah mula mengada – ngada lah tu! gumam Engku Junaidah sambil memaling muka menyampah.

“Saffi, you’re not helping!”

“I’m not helping? Family you yang going crazy sekarang ni, Hud! Bukan family I!”

“Diam!” Jerkah Hud Daniel mula memicit dahi, tangan Saffiya Safwa ditepis lembut. Serabut kepala memikirkan keadaan sekarang.

Hud Daniel sebenarnya tidak hairan dengan harta – benda Engku Junaidah dan Dato’ Hail Iskandar. Dia percaya dengan kebolehan semulajadinya yang diwarisi daripada daddynya dalam bidang bisnes. Malahan, dengan pengalaman menerajui Synergy Power Corporations selama ini, sudah pasti dia juga mampu meneraju bisnes sendiri tanpa perlu bergantung kepada harta orang tua.

Tapi, Hud Daniel tersepit! Saffiya Safwa mahukan harta dan kedudukan itu. Harta dan kedudukan amat penting pagi Saffiya Safwa untuk mendapat penghormatan masyarakat sekeliling! Satu pemikiran yang tidak dapat diterima oleh Hud Daniel. Apakan daya pemikiran itu lahir daripada minda wanita kecintaannya? Saffiya Safwa terang – terang pernah menyatakan dia mahu Hud Daniel terus kekal dengan Synergy. Dia perlukan lelaki hebat dalam hidupnya. Hebat, bagi Saffiya Safwa bermakna, jadi CEO Synergy!

Tambahan pula, apa akan jadi kepada hasil titik peluh daddynya selama ini? Dia satu – satunya zuriat lelaki yang menjadi idola semenjak kecil itu. Kalau bukan Hud Daniel siapa lagi yang dapat memajukan dan meneruskan legasi ini? Tidak tega rasanya menghampakan harapan dan amanah orang yang sudah tidak ada di dunia ini. Lagipun, bohonglah kalau dia cakap dia tidak sayang akan Synergy.

“Fine, Tok. I’ll do it.”

“Hud!”

“Enough, Saffi! I’m doing this for you! Jangan sekali – kali lupa siapa yang tidak mahu meninggalkan semua ini? Siapa? Tell me Saffi! Now, let me ask you one last time Saffi. Awak sanggup tinggalkan semua ini? Kita boleh mula hidup baru. Saya tidak perlu kahwin lagi dan awak tidak perlu risaukan tentang hal anak. Awak tahu saya sudah berkali – kali katakan cukup saya ada awak dalam hidup ini, saya tidak perlu apa – apa lagi!”

“Hud, this is not fair for me.”

“This is not fair for me too, Saffiya.” Jawab Hud Daniel tegas.

Mata Saffiya Safwa mencerlung tajam ke arah Hud Daniel. Giliran Saffiya Safwa pula memicit dahi. Mana mungkin dia sanggup meninggalkan semua ini! Harta dan kedudukan membuatkan dirinya dihormati dan disegani dikalangan sosialit. Ini perlu dalam usaha memajukan perniagaan fesyennya, dan Synergy Power Corporationslah kunci untuk mengekalkan segala – galanya.

Engku Junaidah tersenyum sinis. Ah! Perempuan ini mudah dijangka. Takkan mungkin dia sanggup tinggalkan kesenangan ini. Alahai! Cucuku, Hud. Cubalah buka mata hati itu, berfikirlah menggunakan akal, bukan perasaan! Perempuan ini bukan perempuan baik. Dia hanya mahu harta Hud, kasih – sayang? Cinta? Entahkan ada ataupun semuanya pun palsu.

Engku Junaidah bukan bodoh. Sejurus sahaja Hud Daniel memaklumkan berita pernikahannya dengan seorang gadis bernama Saffiya Safwa, terus sahaja Engku Junaidah menghubungi penyiasat persendirian kepercayaan arwah suaminya, Tan Sri Abdul Karim untuk menggali semua maklumat tentang gadis yang menjadi pilihan Hud Daniel. Huh! Hasil penyiasatan langsung tidak mengujakan. Tidak ada yang bagus tentang Saffiya Safwa. Entah bagaimana Hud Daniel yang cerdik itu boleh jadi bodoh dan tertipu dengan lakonan dan persembahan Saffiya Safwa. Harap muka sahaja lawa, keluarga juga dari keturunan yang berada, tapi, perangai macam setan!

Tapi, inilah orang muda. Bukan mahu dengar cakap orang – orang tua! Cinta terhalang konon. Kalau yang dibawa tu penyejuk hati tidak apa, ini? Membakar perasaan sepanjang masa! Pakaian menjolok mata, tidak tahu hormat orang tua. Ini, tangan tua yang sudah hampir luluh dari tulang ini bukan pernah disalam, dicium! Jangankan dia, Datin Zara ibu mertuanya sendiri tidak pernah dapat penghormatan itu. Lagipun, bukan dia tidak tahu Saffiya Safwa ini ada hubungan sulit dengan kawan rapat Hud Daniel yang bernama Hariz Amrey itu.

Sudah banyak bukti – bukti yang diterima daripada Malek Reduan, si penyiasat persendirian. Gambar – gambar pasangan itu berpeleseran di kelab – kelab malam elit ibukota, bercuti bersama ke luar negara. Banyak! Cuma Engku Junaidah tidak sampai hati menghamparkan bukti kecurangan Saffiya Safwa di hadapan Hud Daniel. Tidak sanggup hati tuanya melihat kekecewaan Hud Daniel nanti. Yang paling penting, dia takut cucunya akan patah hati dan pergi membawa diri. Untuk orang tua sepertinya, itulah yang paling menakutkan!

“Baiklah, saya setuju Hud berkahwin lagi satu. Tapi, dengan satu syarat.” Engku Junaidah tersenyum menang. Aku nak tengok sejauh mana si Saffiya ini hendak meneruskan permainan ini.

“Walaupun kau tak layak nak letakkan syarat, tapi, aku nak senangkan sikit hati kau. Hah! Apa syaratnya?” Saffiya Safwa menceber geram dengan ayat sinis Engku Junaidah itu. Takpelah nenek sihir, hari ni hari kau. Besok – besok, telinga kau pulak aku bakar!

“Perempuan yang bakal menjadi madu saya biar saya sendiri yang pilih!” Ujar Saffiya Safwa tenang. Namun, jelas ada sesuatu di dalam fikirannya. Pasti sesuatu itu bukan benda yang baik!

“Jangan harap! Kalau engkau yang pilih silap – silap yang sama spesis dengan engkau. Perangai tak semenggah. Biar aku yang pilih kali ini siapa yang bakal jadi ibu kepada cicit aku!” Pangkas Engku Junaidah, memaksa Saffiya Safwa menggumam sendiri sambil menyambung sesi memaki dalam hati. Baru saja hendak berniat untuk mengupah mana – mana perempuan untuk menjadi isteri baru Hud, konon supaya senang aku kawal. Malang betul nenek sihir ini pula potong jalan aku. Agaknya dia dah hidu perancangan aku.

Hud Daniel menarik nafas dalam – dalam. Telinga tidak menyangka Engku Junaidah dengan Saffiya Safwa sudahpun mula bertekak untuk mencari calon isteri barunya! Ya, Allah, I cannot imagine mylife can be so complicated!

“Tok, please. Saffi tolong diam. Tok, Hud akur kali ni dengan permintaan Tok. Hud mengalah. Bukan kerana hendakkan harta pusaka itu, tapi, lebih kepada ingin menyelamatkan Synergy, dan cuba untuk memuaskan hati Tok dan mummy.”

“Alhamdulillah.” Engku Junaidah meraup wajah tuanya.

“Mengikut apa yang Tok katakan tadi, Tok nak Hud dapatkan zuriat dalam masa setahun. Sekiranya Hud gagal dapatkan anak dengan Saffi, Hud akan bernikah satu lagi. Betul? Baiklah. Hud terima. Tapi, dengan syarat.”

“Syarat lagi?”

“Ini soal hidup, Hud, Tok.”

“Baiklah. Tok setuju. Apa syaratnya?”

“Hud mahu Tok, mummy dan Saffi jangan masuk campur dengan apa – apa juga tindakan ataupun pilihan yang Hud buat! Tentang calon, tentang perkahwinan, tentang kehidupan Hud dengan isteri baru itu, sekiranya Hud terpaksa berkahwin lagi satu. Promise me, this. Kalau tidak Hud akan lenyap diri daripada semua orang! Mark my word, promise me!

“Baiklah...”

Hud Daniel mengeluh. Misi mencari isteri baru mesti bermula sepantasnya. Tahu benar, Saffiya Safwa pasti tidakkan mahu, malah mencuba untuk mendapatkan anak. Dia lebih suka melihat aku bernikah lagi satu agaknya daripada kehilangan semua kekayaan dan nama ini! Muka diraup kasar.

Follow with the flow, Hud! Itu saja yang kau boleh buat, buat masa ini.











No comments:

Post a Comment