Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 10



AZEEZA MELEPASKAN dengusan yang kuat. Beg sandangnya dihempaskan di atas meja berhadapan dengan Liyana dan Izz. Terpinga-pinga kedua sahabatnya itu melihat reaksi Azeeza yang tidak tenang seperti kebiasaan.
“Kenapa dengan kau ni, Zeeza?” soal Liyana sambil menutup buku yang berada di tangannya. Izz juga turut memberi perhatian pada laman wajah Azeeza yang kelihatan cemberut.
“Aku benci mamat tu!” ujar Azeeza tiba-tiba. Dia terasa ingin menjerit apabila teringatkan apa yang Qaiser telah lakukan padanya.
“Mamat? Mamat mana?” soal Liyana dan Izz hampir serentak.
“Qai tulah. Kalau membunuh tu bukan satu dosa, dah lama aku langgar lari mamat tu!” marah Azeeza lagi penuh dengan rasa benci yang menyala-nyala.
Izz dan Liyana menyembunyikan senyumannya. Kata-kata Azeeza menggeletek hati mereka.
“Apa yang Qaiser dah buat pada kau sampai kau marah sangat ni?” soal Liyana selepas dia melihat Azeeza sedikit tenang.
Azeeza tidak membalas sebaliknya hanya nafasnya saja yang turun naik. Terimbas kembali peristiwa tadi. Rasa sakit hatinya masih bersisa.
“Qai, budak kampung tu lalulah…” tegur Rizwan sambil menyiku Qaiser yang sedang berdiri di kaki lima di hadapan kelas.
Sebaik saja mendengar nama Azeeza, Qaiser terus menjarakkan tubuhnya daripada Yasmin. Dia menanti Azeeza yang kelihatan kelam kabut sambil mata bundar milik gadis itu tidak lepas-lepas mengerling jam di tangan. Pasti gadis itu lambat masuk ke kelas. Detik hati Qaiser.
“Apa yang menarik sangat dengan minah tu?” soal Yasmin sambil memuncungkan bibirnya.
Qaiser mengangkat tangan meminta Yasmin diam. Apa yang menarik pada Azeeza hanya dia saja yang tahu. Dia tersenyum penuh makna apabila melihat batang tubuh Azeeza yang menghampiri kumpulan mereka.
Bagi Azeeza pula, dia sudah tidak peduli dengan kehadiran Qaiser di situ. Dia sudah terlambat. Sudahlah hari ini ada kuiz yang penting. Dia tidak mahu terlepas akibat daripada kelewatannya. Berulang kali dia menyelak nota-nota yang telah ditulis bagi mengingati topik yang dibaca untuk memudahkan dia menjawab soalan nanti.
Namun, saat kakinya melangkah di hadapan Qaiser tiba-tiba…
Bukkk!
Azeeza jatuh di atas lantai. Nota yang dipegang turut bertaburan di atas lantai. Berkerut dahi Azeeza menahan rasa sakit di kaki. Rasa sakit di kaki terus bersabung ke hatinya. Pantas, Azeeza berpaling.
‘Tak guna punya jantan!’ omel Azeeza dalam hati.
Kelihatan Qaiser dan kumpulannya sedang ketawa berdekah-dekah melihat Azeeza yang jatuh tersembam. Kesabaran cuba dipertahankan oleh Azeeza. Dia cuba mengutip kembali nota yang jatuh bertaburan tetapi ada kaki lain yang memijak nota-notanya. Azeeza mendongak.
“Kau nak apa dengan aku ni, hah?” soal Azeeza garang. Dia bangun dan berhadapan dengan Qaiser.
“Nak apa? Nak buli kaulah. Tak nampak ke apa yang aku tengah buat sekarang ni?” soal Qaiser sinis. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh.
“Qai, bagilah laluan. Kesian budak dekan ni nak ambil test. Nanti gagal, biasiswa kena tarik pulak. Merempat dia tepi jalan.” Sindir Rizwan sambil ketawa.
Azeeza berpaling pada Rizwan. Tajam anak matanya menikam wajah Rizwan sehinggakan tawa lelaki itu terhenti.
“Kau jangan cuba nak hina aku! Sekurang-kurangnya aku tak bazirkan duit mak bapak aku. Datang kolej bukan nak belajar tapi jadi mayat hidup!” hambur Azeeza garang.
“Memanglah kau tak bazirkan duit mak bapak kau sebab mak bapak kau dah mati!” sampuk Yasmin sambil tersenyum puas.
Qaiser berpaling pada Yasmin. Kata-kata Yasmin memang agak keterlaluan.
“Min, Wan, kau orang jangan masuk campur hal aku dengan minah ni. Mulai sekarang biar aku yang uruskan budak mentah ni!” ujar Qaiser tiba-tiba.
Yasmin dan Rizwan tersentak. Apa maksud Qaiser?
“Tapi Qai dia ni musuh kita semua…” Yasmin tidak berpuas hati.
“Jangan cuba nak bantah kalau tak, you yang akan jadi musuh I.” ucap Qaiser tanpa memandang wajah Yasmin. Anak matanya tetap menentang bola mata Azeeza yang setia merenung wajahnya dengan pandangan yang cukup tajam.
Yasmin terdiam. Dia memeluk tubuh sambil memerhatikan gelagat Qaiser dan Azeeza yang beradu pandang. Timbul rasa tidak selesa dalam hati Yasmin apabila melihat pandangan pada Qaiser yang agak berbeza dari sebelum ini.
“Kau memang tak tenang kalau nampak aku senang, kan? Agaknya kalau aku mati pun kau lebih gembira.” Ucap Azeeza geram.
Qaiser tersenyum sinis.
“Terlalu awal untuk kau bercakap soal mati. Aku takkan benarkan kau mati selagi hati aku tak puas melihat kau terseksa.” Balas Qaiser.
Azeeza ketawa sinis. Terasa mahu saja dia menumbuk wajah kacak Qaiser saat ini. Barulah hatinya puas. Namun, Azeeza masih lagi waras. Bertindak ganas pada anak pemilik Yayasan Qarina adalah satu kesalahan yang besar.
“Boleh tak kalau kau ke tepi? Aku tak ada masa nak layan perangai buruk kau ni. Bagi balik nota aku!” pinta Azeeza sambil cuba merampas kertas yang dipegang oleh Qaiser.
Qaiser ketawa sinis. Dia menyembunyikan nota milik Azeeza di belakangnya. Wajah Azeeza ditenung dengan senyuman bangga. Bangga kerana dapat mengenakan gadis itu.
“Aku akan bagi nota ni kalau kau melutut di depan aku.” Balas Qaiser selamba.
Azeeza terpempan. Tajam anak matanya menikam bola mata Qaiser. Mamat ni memang dah melampau! Jerit hatinya.
“Kau rasa kau Tuhan ke sampai aku perlu melutut depan kau? Boleh jalanlah!” hambur Azeeza selamba.
Tanpa menghiraukan Qaiser, dia meredah saja tubuh Qaiser yang menghalang jalannya. Namun, tidak sampai beberapa langkah, beg galasnya ditarik dari belakang. Langkah Azeeza terhenti.
“Kau jangan fikir kau boleh lepaskan diri macam tu aje. Selagi kau tak melutut depan aku, selagi itulah aku takkan lepaskan kau!” balas Qaiser. Dia memegang kemas beg Azeeza.
Azeeza meronta untuk melepaskan diri. Anak matanya melilau mencari seseorang yang boleh memberikan pertolongan kepadanya namun semuanya hampa. Tiada sesiapa pun yang berani menonjolkan diri untuk memberi pertolongan. Rata-rata pelajar di kolej itu takut pada Qaiser.
“Kau ni memang gila!” Azeeza menghamburkan rasa marah yang terbuku dalam hatinya.
Tetapi Qaiser hanya menyambung tawa. Dia menarik beg Azeeza membuatkan tubuh gadis itu terdorong sama. Anak mata mereka bersabung pandang.
“Kau yang mulakan, jadi kau yang harus tamatkan.” Ucap Qaiser dengan senyuman sinis.
“Aku tak pernah jumpa orang yang pendendam macam kau ni. Kau nak aku melutut? Baik! Aku melutut sekarang. Lepaskan aku dulu!” ujar Azeeza berpura-pura mengalah.
Qaiser termakan kata-kata Azeeza. Pantas, dia menolak tubuh Azeeza di hadapannya. Beberapa pasang mata memerhatikan mereka berdua. Yasmin dan Rizwan hanya tersenyum bangga. Akhirnya, Azeeza tunduk juga di kaki Qaiser.
Tetapi tidak bagi Azeeza. Dia tidak akan mengalah dengan begitu mudah. Anak matanya mencari ruang untuk melepaskan diri. Dia terpandangkan ruang di belakang Qaiser yang kosong tetapi untuk menyelamatkan diri, dia harus melepasi Qaiser terlebih dahulu. Azeeza menggigit bibir. Apa aku nak buat ni? Soal hatinya resah.
“Kau tunggu apa lagi? Melututlah sekarang!” jerkah Qaiser.
Azeeza menelan air liur. Dia memandang ke bawah.
“Okey-okey!” balas Azeeza sambil mengangkat kedua belah tangannya.
Perlahan-lahan, dia membongkokkan badannya. Nafas ditarik dengan sedalam-dalamnya. Pelbagai sumpah seranah dihamburkan dalam hatinya buat Qaiser.
Qaiser tersenyum lebar. Azeeza akan melutut pada dia dan dia akan meraikan kemenangannya hari ini. Tetapi sangkaannya meleset, wajahnya tiba-tiba bertukar menjadi merah padam apabila terasa kakinya dipijak dengan kuat. Aduh, tak guna punya perempuan! Jerit hati Qaiser.
Azeeza memijak kaki Qaiser dengan kuat malah, betis lelaki itu disepak sepuas hatinya sehinggakan Qaiser terhincut-hincut menahan sakit. Tidak cukup dengan itu, Azeeza menghayunkan beg galas tepat di belakang Qaiser membuatkan lelaki sombong itu rebah di atas lantai.
Yasmin dan Rizwan terkejut. Buntang mata mereka melihat Azeeza yang telah berjaya ‘menumbangkan’ pembuli nombor satu kolej mereka. Dek kerana terkejut, mereka berdua hanya mampu memandang Azeeza yang melarikan diri.
“Kau dengar sini, Qai. Aku takkan mengalah pada kau walaupun nyawa aku di hujung tanduk!” jerit Azeeza dari jauh kemudian berlari meninggalkan tempat itu.
Qaiser malu besar. Dia menepuk lantai dengan kuat sambil dahinya berkerut menahan sakit di kaki. Azeeza benar-benar mampu mencabar kesabarannya sebagai lelaki. Sakit hatinya bukan kepalang tetapi disebalik hatinya yang sakit, bibirnya tiba-tiba mengukir senyuman nipis. Azeeza bukan gadis sembarangan!

KAU BELASAH mamat tu buat kali kedua, Zeeza?” soal Izz tidak percaya.
Azeeza hanya menganggukkan kepala. Dia menyedut minuman yang terhidang di hadapan mata. Rasa lega selepas membasahkan tekak.

2 comments: