Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 9



INILAH KEDAI kakak aku,” ucap Liyana seraya menolak pintu kedai kek yang berwarna putih. Dia mempersilakan Azeeza untuk masuk.
Dengan langkah kanan, Azeeza melangkah masuk. Anak mata bundar miliknya meliar memandang persekitaran kedai milik kakak Liyana yang sederhana besar dan berhawa dingin. Cukup selesa. Malah suasana kedai itu cukup kemas dan teratur.
“Assalamualaikum…” sapa satu suara membuatkan Azeeza mengalihkan pandangan.
Kelihatan seorang wanita yang masih muda belia berdiri di hadapan dia dan Liyana. Wajah itu mirip dengan Liyana cuma wanita itu lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan Liyana. Gayanya cukup elegan sehingga memukau mata Azeeza untuk menatap wajah redup itu dengan lebih lama.
“Waalaikummusalam…” balas Azeeza perlahan.
“Zeeza, aku kenalkan ini kakak sulung aku, Kak Laila. Kak long, ni kawan yang Ana ceritakan tu. Nama dia, Azeeza tapi kak long boleh panggil dia Zeeza je.” Ujar Liyana memperkenalkan Azeeza pada Kak Laila.
Azeeza tersenyum manis. Dia menundukkan kepala tanda hormat sebelum tangan kanannya dihulurkan pada Kak Laila yang kelihatan tidak lokek dengan senyuman.
“Selamat datang, Zeeza. Jemputlah duduk.” Pelawa Kak Laila pada Liyana dan Azeeza.
Mereka berdua menurut. Tidak lama kemudian, Kak Laila hilang dan muncul kembali dengan menatang dulang yang berisi tiga gelas jus mangga. Liyana mengambil satu persatu gelas lalu diletakkan di atas meja.
“Jemput minum, Zeeza. Aku dah haus gila ni.” Ucap Liyana dengan selamba. Lantas dia mencapai gelas tersebut sebelum meneguk jus mangga dengan rakus.
Tergeleng-geleng kepala Kak Laila melihat gelagat adik bongsunya ini. Matanya beralih pada Azeeza yang kelihatan sopan meneguk air. Dia tersenyum. Ketenangan di wajah Azeeza menyejukkan hatinya.
“Sebelum ni Ana ada bagitahu yang Zeeza pernah bekerja di restoran kan?” soal Kak Laila lembut.
Azeeza hanya mengangguk. Dia dapat rasakan dahinya berpeluh walhal kedai itu lengkap dengan pendingin hawa.
“Saya pernah bekerja separuh masa sebagai pelayan dekat restoran tapi atas sebab-sebab tertentu saya terpaksa berhenti.” Jawab Azeeza. Inilah jawapan yang dirasakan sesuai saat ini padahal hakikatnya hanya dia, Firman dan Qaiser saja yang tahu sebab sebenar dia terpaksa berhenti kerja.
“Okey, memandangkan awak hanya bekerja separuh masa jadi sebab awak berhenti di tempat kerja lama itu bukan masalah bagi akak as long as awak bagi yang terbaik untuk kedai akak ni. Akak dengar awak ni rajin orangnya,” ujar Kak Laila sambil mengerling pada Liyana yang tersengih.
Azeeza melemparkan senyuman pada Liyana. Dia tahu pasti Liyana banyak bercerita tentang dirinya pada Kak Laila.
“Insya-Allah, kak. Saya akan cuba untuk jadi pekerja yang terbaik.” Balas Azeeza dengan semangat yang berkobar-kobar.
Terbayang di matanya wajah Fatma yang riang apabila mendapat tahu dia sudah mendapat pekerjaan yang baharu. Azeeza berjanji pada dirinya sendiri, dia akan mengubah nasib dia dan adiknya.
“Akak pegang kata-kata awak tu. Sebelum tu akan nak maklumkan yang akak ni jarang ada di kedai ni sebab akak sibuk dengan pembukaan cawangan baru jadi sepanjang ketiadaan akak, Ana dan Firman akan jaga jadi akak nak awak beri kerjasama dengan adik-adik akak tu ya,” ujar Kak Laila lagi.
“Alah, kak long jangan risau. Ana ni dah lama satu study group dengan Zeeza, semua perangai dia dalam kocek Ana ni. Kalau dia malas, tahulah Ana nak bereskan.” Sampuk Liyana sambil ketawa kecil.
Azeeza menjengilkan matanya. Apabila Kak Laila memandang, terus saja dia mempamerkan senyuman.
“Baiklah, kalau macam tu Zeeza boleh mula bekerja sekarang. Ana, kak long kena keluar. Ada hal yang perlu akak uruskan, Ana tolong tunjuk ajar pada Zeeza ya? Terangkan pada Zeeza setiap regular customer kedai kita. Kak long tak nak ada yang silap nanti.” Kak Laila memberi arahan sebelum dia bingkas bangun.
“Baik, bos!” ujar Liyana sambil mengangkat tangan seolah-olah memberi tabik hormat pada Kak Laila.
Kak Laila hanya ketawa melihat gelagat adiknya yang satu itu. Dia berlalu setelah meminta diri.
“Fuhhh, cantik betul kak long kau tu, Ana. Berapa umur dia?” soal Azeeza selepas Kak Laila menghilangkan diri di sebalik pintu. Dia menarik nafas lega kerana diterima bekerja di kedai ini.
“Baru nak masuk 28 tahun…” jawab Liyana.
Azeeza melongo seketika. Dia tidak percaya dengan kata-kata Liyana. Kak Laila kelihatan jauh lebih muda berbanding umurnya.
“Dah 28 tahun tapi boleh berjaya bukak bisnes sendiri. Amazing. Dahlah cantik, cerdik dan pandai berdikari. Bertuah betul suami dia.” Puji Azeeza ikhlas.
Liyana ketawa. Dia bangun dan menuju ke kaunter pembayaran. Dia ingin memperkenalkan Azeeza pada kakitangan yang berada di situ.
“Kak long aku tu belum kahwin lagilah. Dia sibuk dengan bisnes dia sampaikan nak cari teman hidup pun tak sempat.” Ujar Liyana sambil ketawa kecil.
What? Biar betul kau. Tapi tak hairan pun kalau perempuan zaman sekarang kahwin lambat. Bina kerjaya itu lebih penting. Senang lepas kahwin nanti, kalau apa-apa terjadi tak adalah merana sangat. Kalau boleh aku nak jadi macam kakak kau, Ana.” Balas Azeeza penuh tekad.
“Kau nak ikut resepi kejayaan dia tu, boleh tapi janganlah ikut perangai dia yang anti sosial tu. Nanti tak kahwin sampai ke tualah kau.” Bidas Liyana.
Azeeza hanya menjongketkan bahu. Tidak langsung terlintas di fikirannya soal kahwin dan cinta. Baginya itu semua hanya membuang masa. Hidupnya adalah untuk memastikan Fatma mendapat kehidupan yang sempurna seperti remaja-remaja lain. Jarang sekali dia memikirkan tentang dirinya sendiri.
“Kalau jodoh tak ke mana kan?” Azeeza menjongketkan kening pada Liyana.
Liyana hanya mencebik. Ternyata memang dia akan kalah jika berdebat dengan Azeeza. Lantas, dia menarik tangan Azeeza untuk menuju ke bahagian dapur sebelum mereka kembali ke kaunter.
Liyana mengeluarkan sebuah fail berwarna hitam dan diletakkan di hadapan Azeeza. Isi dalam fail tersebut ditarik dan diserahkan pada Azeeza.
“Apa ni?” soal Azeeza pendek.
“Ini senarai nama regular customer kedai ni. Setiap regular customer akan ada member card. Cuma kadang-kadang ada yang tak bawak member card jadi kau boleh check nama mereka kat dalam ni dan satu lagi aku nak bagi tahu kau tapi kau jangan terkejut pula…” ujar Liyana menghentikan percakapannya.
Dahi Azeeza berkerut. Lama dia menatap wajah Liyana untuk menanti jawapan.
“Terkejut sebab apa?” soal Azeeza tidak sabar-sabar.
“Sebab salah seorang regular customer kedai ni adalah….”
“Adalah siapa? Kau ni cakap terus boleh tak? Jangan nak berhenti-henti. Stress aku.” Omel Azeeza.
Belum sempat Liyana menyambung bicara, kedengaran loceng pintu berbunyi sebelum pintu tersebut ditolak dari luar. Mereka berdua memandang ke arah pintu masuk. Kelihatan seorang pemuda melangkah masuk dan menuju ke arah Liyana dan Azeeza.
Azeeza terpempan. Dia tergamam di tempatnya berdiri. Dunia terlalu kecil atau ini sudah menjadi takdirnya? Detik hati Azeeza.
“Kek atas nama Puan Qarina dan siap ke belum?” soal lelaki itu serius.
“Puan Qarina tu siapa?” bisik Azeeza rapat di telinga Liyana. Dia langsung tidak mengendahkan Qaiser yang masih menanti jawapan dari mereka berdua.
“Itulah mama dia. Regular customer kedai ni!” jawab Liyana.
What?” jelas Azeeza terkejut.
Kepalanya terasa berpusing. Ke mana saja dia pergi pasti Qaiser akan terlibat sama. Tak boleh ke kalau dalam sehari dia tidak menghadap muka Qaiser? Azeeza rimas. Cukup rimas!

HOI, AKU tanya ni dengar ke tak? Ke dah pekak?” tempelak Qaiser sambil mengetuk permukaan meja. Tak ubah lagaknya seperti seorang gangster.
Dia memandang Azeeza dan Liyana yang seolah-olah sedang berbisik. Pasti mereka mengumpat aku tu. Detik hati kecilnya.
Liyana merengus. Cukup muak dengan perangai Qaiser yang dianggap menjengkelkan. Lantas, dia mengorak langkah ke hadapan Qaiser. Cuma Azeeza saja yang berdiri di hadapan kaunter.
“Boleh tunggu sekejap tak? Aku nak check bahagian kitchen.” Ujar Liyana. Kemudian, dia berlalu ke bahagian dapur.
Qaiser menjeling sekilas pada Azeeza yang kelihatan sibuk membaca fail yang dipegangnya. Qaiser tersenyum nipis sebelum dia menghampiri Azeeza lantas fail yang dipegang oleh Azeeza dirampas.
“Oiii…apa ni?” terjerit kecil Azeeza dibuatnya. Mencerlung matanya memandang Qaiser yang hanya ketawa sinis.
“Macam ni ke kau layan customer? Customer ada depan mata tapi kau boleh buat bodoh je. Patutnya kau jemputlah customer kau minum ke apa ke? Teruk betul servis kau ni.” Kompelen Qaiser lagi sambil mengibas-ngibas badannya menggunakan fail yang dirampas dari Azeeza.
“Kalau customer macam kau ni tak payah layan pun tak apa. Buat sakit mata je.” Balas Azeeza selamba. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Wajah kacak Qaiser langsung tidak menarik perhatiannya.
“Kau jangan nak berlagaklah, hoi. Kalau tak ada customer macam aku, kedai ni dah lingkuplah.” Provok Qaiser lagi. Dia merenung wajah Azeeza tanpa sedikit pun mengalihkan pandangan.
“Rezeki di tangan Allah, bukannya di tangan kau. Sama juga dengan apa yang kau dah buat pada aku dulu. Kau cuma manusia biasa yang tak ada hak untuk menentukan segalanya,” balas Azeeza bersahaja.
Berdesing telinga Qaiser. Berhadapan dengan Azeeza memang mampu mendatangkan kemarahannya. Kecil saja Azeeza di matanya saat ini.
“Kau…”
“Kek kau dah siap!” sampuk Liyana sambil membawa sekotak kek lalu diletakkan di hadapan Qaiser.
Qaiser mendengus. Lantas, poketnya diseluk. Sekeping not seratus diletakkan di hadapan Liyana.
“Duit lebih ni kau tolong beli plaster, kemudian kau tampal mulut kawan kau tu. Mulut dia macam longkang!” marah Qaiser sambil menjeling pada Azeeza.
“Lebih baik mulut macam longkang daripada perangai kalahkan penyangak. Berlagak aje lebih tapi habuk pun tak ada.” Balas Azeeza masih dengan riak tenang.
Berderau darah Qaiser mendengar kata-kata Azeeza. Dengan pantas, dia melemparkan fail yang dipegangnya tepat pada dada Azeeza. Liyana terkedu melihat sikap kurang ajar yang ditunjukkan oleh Qaiser namun Liyana melihat raut wajah Azeeza kelihatan tenang.
“Aku takkan lepaskan kau! Bersedialah untuk menghadapi mimpi ngeri selepas ni.” Ujar Qaiser sambil menuding jarinya pada Azeeza sebelum dia melangkah keluar dari kedai Liyana.
Azeeza hanya mencebik. Sedikit pun rasa gentar tidak wujud dalam dirinya.

No comments:

Post a Comment