Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 13

QAISER BERLARI-LARI anak menghampiri pinggir hutan yang tidak jauh dari tapak perkhemahan mereka. Hari yang gelap menyukarkan Qaiser untuk mengesan di mana Azeeza sementelah lagi dia langsung tidak melaporkan perkara yang berlaku ini kepada Ustaz Mustakim. Dia lebih suka bertindak sendirian.
“Azeeza!” laung Qaiser sambil menyuluh kawasan hutan itu menggunakan lampu suluh yang dibawa bersama.
Langkahnya terhenti apabila kelihatan sehelai kertas tersangkut di pokok. Pantas saja Qaiser mencapai kertas tersebut. Tulisan yang tercatat di kertas itu dibaca dengan teliti.
“Yasmin…” desis Qaiser sambil mengetap bibir.
Dia yakin nota itu dari Yasmin kerana hanya gadis itu saja yang berdendam dengan Azeeza. Terkadang Qaiser rasakan sikap Yasmin lebih sudu dari kuah. Gadis itu sengaja mencari pasal dengan Azeeza semata-mata untuk menarik perhatiannya.
“Mana Azeeza ni?” soal Qaiser sambil meraup wajahnya.
Dia memanndang ke dalam hutan dengan perasaan yang berbaur. Bagaimana agaknya keadaan Azeeza di dalam hutan yang gelap begini? Tiba-tiba timbul perasaan simpati dalam hati Qaiser apabila terkenang nasib gadis itu.
“Tapi kenapa aku ambil berat sangat pasal minah tu? Lantak dialah nak terbungkam pun dalam hutan tu. Biar padan muka dia. Suka sangat cari pasal dengan aku.” Qaiser berbicara sendiri. Dia mula berpusing untuk melangkah pergi.
Namun, kakinya terasa melekat di bumi. Dia menggigit bibir. Hatinya tidak seiring dengan apa yang terluah di bibir.
“Tapi dia orang susah. Kalau jadi apa-apa pada dia, macam mana nasib adik dia nanti? Dahlah dia tak ada mak ayah. Kesian pulak. Aduhhh…” balas Qaiser sendirian.  Dia berbelah bahagi.
Akhirnya, Qaiser berpaling dan terus melangkah ke dalam hutan. Rasa kemanusiaan masih kuat dalam dirinya walaupun kebencian yang sering dipamerkan ketika berhadapan dengan gadis itu.
“Azeeza! Mana kau?” laung Qaiser sambil meredah hutan yang gelap pekat.
Hujan yang mulai turun dengan lebat tidak menghalang Qaiser untuk mencari Azeeza. Dia terus melangkah dan melangkah sambil bibirnya tidak henti-henti melaung nama gadis itu.
“Zeeza manalah kau ni?” soal Qaiser resah.
Dia meraup wajahnya yang basah terkena air hujan. Baju yang dipakainya turut basah kuyup disimbah hujan yang mula menggila.
Qaiser menyuluh di sekeliling tempatnya berdiri. Berkali-kali dia menyuluh namun tiada sesiapa pun yang kelihatan. Rasa takut mula menyerang hatinya namun tiba-tiba matanya tertangkap sesuatu yang terbaring berhampiran dengan pokok yang berakar banir.
Perlahan-lahan, Qaiser melangkah menghampiri ‘benda’ tersebut. Hatinya berdengup kencang. Walaupun dia seorang yang lelaki yang gagah namun jika berseorangan di dalam hutan yang gelap pekat ini, timbul rasa takut dan gerun dalam hatinya.
Qaiser membesarkan matanya apabila dia semakin hampir dengan ‘benda’ yang terbaring di atas tanah dan ternyata dia cukup terkejut. Dia cukup mengenali susuk tubuh itu.
“Ya Allah, Zeeza!” jerit Qaiser lalu terus mendapatkan Azeeza yang terbaring tidak sedarkan diri.
Qaiser meletakkan lampu suluh di tepi kepala Azeeza. Teragak-agak Qaiser untuk membalikkan tubuh Azeeza yang tertiarap.
“Aku nak buat apa ni?” soal Qaiser mula gelisah. Sungguh dia takut saat ini apabila melihat wajah pucat Azeeza. Gadis itu kaku tidak bergerak.
“Zeeza, maafkan aku. Aku terpaksa!” ujar Qaiser lalu dia memangku kepala Azeeza.
Pipi Azeeza ditepuk berulang kali bagi menyedarkan gadis itu. Namun, Azeeza tetap tidak sedarkan diri.
“Zeeza, please bangun. Jangan buat aku risau macam ni.” Ucap Qaiser.
Dia tetap menepuk-nepuk pipi Azeeza dengan lembut. Hujan yang lebat menyebabkan mereka berdua basah kuyup. 
“Bangunlah, Zeeza.” Rayu Qaiser lagi seolah-olah bicaranya mampu didengari oleh Azeeza.
Qaiser buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan saat ini. Mata Azeeza terus terpejam rapat. Qaiser memegang pergelangan tangan Azeeza untuk memeriksa nadi gadis itu. Ternyata nadi Azeeza yang masih berdenyut membuatkan Qaiser menarik nafas lega. Dia meraup wajah Azeeza yang basah dengan air hujan.
“Ya Allah, Kau sedarkan dia. Hanya kepada Kau, aku memohon kekuatan dan perlindungan. Kau sedarkan dia.” Ucap Qaiser sepenuh hati.
Sungguh hatinya terasa lain saat melihat mata Azeeza yang terpejam rapat. Terasa seperti dadanya ingin meletup. Bermacam perasaan yang melanda dirinya saat ini. Selebihnya rasa bersalah semakin menguasai fikiran Qaiser.
“Ibuuu….”
Gemersik suara itu menyentak lamunan Qaiser. Pantas, pandangannya dihalakan ke wajah Azeeza. Dia tersenyum suka apabila melihat kelopak mata Azeeza mula bergerak-gerak. Bibir pucat milik Azeeza mula membisikkan sesuatu yang tidak mampu didengari oleh Qaiser.
“Kau cakap apa, Zeeza?” soal Qaiser lalu mendekatkan telinganya hampir ke bibir Azeeza.
“Seee…see..jukk…” sepatah perkataan keluar dari mulut Azeeza dengan mata yang masih terpejam.
“Sejuk?”
Qaiser mula kebingungan. Bagaimana dia ingin menghilangkan kesejukan Azeeza sedangkan dia hanya sehelai sepinggang. Lalu, dia memandang jaket yang tersarung di tubuhnya. Pantas saja Qaiser menanggalkan jaketnya lalu dibalutkan ke tubuh Azeeza yang sudah menggigil.
“Bangun sekejap Zeeza. Kita kena keluar dari hutan ni. Kau sakit teruk ni. Kita kena dapatkan rawatan.” Ujar Qaiser lalu cuba membantu Azeeza untuk bangun.
Azeeza hanya menurut. Dia menyandarkan tubuhnya di akar pokok. Kepalanya terasa berdenyut manakala tubuhnya terasa sangat lemah sehinggakan hendak membuka mata pun dia tidak larat. Tetapi suara lelaki yang menolongnya ini membuatkan Azeeza menggagahkan diri untuk membuka mata.
Samar-samar dia matanya wajah seorang lelaki yang duduk di hadapannya. Dari raut wajahnya dia kenal dengan lelaki itu. Tapi takkanlah…
“Siapa kau?” soal Azeeza dengan suara yang terketar-ketar. Dia memeluk tubuhnya dengan erat. Rasa sejuk semakin mencengkam dirinya.
“Qaiser…” jawab Qaiser sepatah.
Bulat mata Azeeza apabila sepotong nama itu menyapa di telinganya. Dia mula mengesot ke belakang. Dia yakin Qaiser punca segala musibah yang melanda dirinya sekarang.
“Kau? Kau yang pukul aku dan aku campak aku ke sini, kan?” soal Azeeza. Dia bagaikan mendapat semangat baru walaupun jiwanya masih lagi lemah.
“Apa kau merepek ni, perempuan. Kalau aku campak kau ke sini, tak ada maknanya aku cari kau sampai ke sini. Buang masa aku aje.” Balas Qaiser tetap kasar.
“Habis tu kenapa kau cari aku? Lebih baik kau biarkan aku mati aje dalam hutan ni.” Jawab Azeeza pantas.
Qaiser mengetap bibir. Rasa geram pun ada dengan sikap dingin yang ditunjukkan oleh Azeeza.
“Kaulah manusia yang tak reti bersyukur yang pernah aku jumpa. Aku selamatkan kau sepatutnya ucaplah terima kasih ini tak, membebel aje kerja kau. Lebih baik aku balik. Kau duduklah dalam hutan ni seorang diri! Huh!” marah Qaiser lalu bangun dan berura-ura untuk meninggalkan Azeeza.
Azeeza mula cuak. Kawasan hutan yang gelap pekat membuatkan dia kecut perut. Rasa takut mula menjalar dalam dirinya. Azeeza cuba untuk bangun dengan berpaut pada batang pokok yang berada di belakangnya. Anak matanya tuntas memandang tubuh Qaiser yang mula mengatur langkah.
‘Apa yang aku nak buat ni? Takkan aku nak tinggal sorang-sorang dalam hutan macam ni. Dahlah sejuk.’ Omel hatinya.
“Qai!” panggil Azeeza akhirnya.
Qaiser menghentikan langkah. Bibirnya mengorak senyuman nipis. Senyuman yang tidak mampu dilihat oleh Azeeza. Dia yakin pasti Azeeza akan memanggilnya. Lantas, dia berpaling. Senyuman manis terus hilang dari bibirnya. Dia hanya menayang muka ketat.
“Kau nak apa?” soal Qaiser garang. Dia menyuluh wajah Azeeza yang berdiri tidak jauh darinya.
“Tunggulah aku, aku pun nak balik jugak.” Lirih suara Azeeza kedengaran.
Bagaikan mahu runtuh tembok kebencian di hati Qaiser apabila mendengar gemersik suara itu merayu padanya. Terus dia mendekati Azeeza.
“Cepatlah. Tercegat dekat situ lagi buat apa?” soal Qaiser sambil mengawal nada suaranya agar tidak terlalu lembut. Ego mesti dijunjung. Itu prinsip Qaiser apabila berhadapan dengan Azeeza.
Azeeza mengangguk laju. Kakinya terus dihayunkan ke arah Qaiser sambil memegang kepalanya yang masih lagi berdenyut. Belakang tengkuknya juga masih terasa sakit akibat dihentak dengan benda keras sebelum dia terbaring di keseorangan di dalam hutan.
“Kau jalan depan.” Arah Qaiser sambil menunjukkan jalan pada Azeeza.
“Tapi aku tak tahu jalan.” Jawab Azeeza perlahan.
“Nanti aku tunjuklah. Lampu suluh ada dengan aku ni. Tak payahlah risau.” Ujar Qaiser memberi jaminan.
Azeeza hanya menurut. Dia hanya mengikuti arahan Qaiser. Sesekali dia mengurut tengkuknya yang terasa lenguh. Rasa sejuk makin bertambah apabila angin mula menghembus dengan lembut. Azeeza berpeluk tubuh. Dia mula tersedar ada jaket yang tersarung di tubuhnya. Buat seketika dia berpaling ke belakang. Bulat matanya apabila melihat Qaiser hanya memakai t-shirt nipis, baju lelaki itu kelihatan basah kuyup akibat terkena air hujan. Dia yakin pasti Qaiser kesejukan saat ini. Perlahan-lahan, dia menanggalkan jaket milik Qaiser lalu dihulurkan pada lelaki itu.
“Kau buat apa ni? Kenapa tanggalkan jaket ni?” soal Qaiser dengan kening yang hampir bercantum.
“Ini jaket kau kan? Kau ambillah balik.” Ujar Azeeza. Matanya tepat merenung anak mata Qaiser.
Dengan pantas, Qaiser melarikan pandangannya ke tempat lain. Jantungnya berdenyut tidak menentu saat ini. Walaupun udara terasa sejuk tetapi entah mengapa, Qaiser merasakan badannya terasa panas. Hatinya juga terasa hangat semacam. Apa kena dengan aku ni, Tuhan? Bisik hatinya.
“Tak payah. Kau pakai ajelah.” Balas Qaiser.
“Tapi kau mesti sejuk. Baju kau nipis tu. Habis basah semua pakaian kau.” Azeeza masih memujuk. Dia tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan terhadap Qaiser.
“Kau ni banyak bunyilah. Pakai ajelah. Serabut betul!” ujar Qaiser berpura-pura marah sedangkan suaranya tenggelam timbul menahan rasa yang mula menjentik di tangkai hati.
Azeeza terdiam. Akhirnya dia menurut. Dia terlampau penat untuk terus bertikam lidah dengan Qaiser. Mereka meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke pinggir hutan. Lampu-lampu yang terpasang di tapak perkhemahan semakin menampakkan sinarnya.
“Alhamdulillah, dah sampai dekat tapak perkhemahan kita. Itu pun ustaz.” Ucap Azeeza sambil menuding jari pada sekumpulan manusia yang sedang menuju ke arah mereka.
Qaiser hanya tersenyum nipis. Dia turut mengucapkan syukur di dalam hati akhirnya mereka berdua selamat.
“Baguslah. Kau pergilah balik khemah.” Ujar Qaiser.
Azeeza tersenyum lagi. Dia memandang pada Qaiser yang berada di belakangnya. Walaupun dalam samar-samar cahaya, dia masih dapat melihat wajah Qaiser dengan jelas. Dia tidak menyangka, orang yang dibenci itulah yang datang menyelamatkannya.
“Terima kasih sebab sanggup susahkan diri tolong selamatkan aku. Aku tak tahu siapa yang sanggup buat aku macam ni sampaikan aku tuduh kau yang aniaya aku. Maafkan aku, ya?” ucap Azeeza lembut.
Walaupun dia cukup tidak suka dengan perangai Qaiser yang kuat membuli tapi itu bukan alasan untuk dia tidak mengenang budi. Orang berbudi kita berbahasa, itulah yang sering diajari oleh arwah ibunya.
Qaiser mula tidak keruan. Senyuman ikhlas Azeeza membuatkan dia beku tidak beriak malah suara lembut itu membuatkan dia diam tak terkutik.
“Tapi aku pelik macam mana kau boleh tahu aku ada dalam hutan ni?” soal Azeeza lagi setelah kata-katanya tidak mendapat balasan dari Qaiser.
Qaiser bungkam. Otaknya ligat mencari jawapan.
“Ada ahli kumpulan kita yang mengadu kau hilang. Sebab itu aku cari kau tanpa pengetahuan ustaz. Aku tak nak ustaz bising. Lagipun kalau kau tak ada, siapa yang nak uruskan kumpulan kita? Aku bukan suka buat kerja yang remeh-temeh ni.” Balas Qaiser. Dia menarik nafas lega kerana itulah jawapan yang dirasakan paling logik saat ini.
Azeeza terdiam.
“Azeeza, Qaiser, Awak berdua dari mana?” soal satu suara membuatkan mereka berpaling.
Kelihatan Ustaz Mustakim dan beberapa orang pelajar berdiri di belakang ustaz. Rizwan dan Zafuan turut berada di belakang Ustaz Mustakim. Wajah kedua sahabat karib Qaiser berkerut seribu apabila melihat Qaiser bersama dengan Azeeza.
“Syukur ustaz datang. Saya jumpa Azeeza dalam hutan, dia kena…”
“Saya tersesat masa cari kayu api petang tadi, ustaz. Alhamdulillah Qaiser datang tepat pada waktunya. Kalau tidak mungkin saya bermalam dalam hutan hari ni.” Potong Azeeza tanpa sempat Qaiser menghabiskan ayatnya.
Dahi Qaiser berkerut mendengar kata-kata Azeeza. Kenapa perlu gadis itu selindungkan apa yang sebenarnya terjadi? Detik hatinya.
“Alhamdulillah, awak selamat. Lain kali kalau awak nak ke mana-mana jangan lupa bagitahu kawan awak yang lain. Hutan ini bukan tempat kita. Ingat itu. Awak pula, Qaiser. Jangan ambil keputusan sendiri. Apa pun yang berlaku pada ahli kumpulan awak, awak kena laporkan pada saya terlebih dahulu. Faham?” tegas suara Ustaz Mustakim kedengaran.
“Faham, ustaz.” Ujar Qaiser sambil anak matanya menjeling pada Azeeza yang kelihatan tenang.
“Ambil tuala ni dan balik ke khemah masing-masing.” Ustaz Mustakim memberi arahan.
Azeeza menyambut huluran Ustaz Mustakim lalu dia membalut tubuhnya dengan tuala yang diberikan oleh Ustaz Mustakim. Rasa sejuk masih lagi terasa sehingga dia dapat rasakan bibirnya bergetar menahan rasa sejuk.
Bro, ini aku ada bawakan baju sejuk dan tuala untuk kau. Mesti kau sejuk kan?” soal Zafuan sambil menghulurkan tuala dan baju sejuk pada Qaiser.
Qaiser menyambut huluran Zafuan. Baju sejuk disarungkan ke tubuhnya manakala tuala yang berada di tangan dicampakkan pada Azeeza.
Azeeza tersentak. Dia memandang Qaiser dengan penuh tanda tanya.
“Untuk apa ni?” soal Azeeza pelik.
“Untuk makan!” balas Qaiser selamba lalu melangkah meninggalkan Azeeza yang masih ditemani oleh rakan mereka yang lain.
Ustaz Mustakim yang melihat tindakan Qaiser hanya tersenyum sendirian. Cuma Zafuan dan Rizwan masih pelik dengan tingkah laku Qaiser. Kata benci tetapi kenapa sikap Qaiser seolah-olah ambil berat terhadap Azeeza?
Sedangkan Azeeza masih lagi kebingungan. Mana satu sikap Qaiser yang sebenarnya? Detik hatinya.
“Tak semua perkara mampu dijelaskan dengan kata-kata, Azeeza. Jom balik.” Suara Ustaz Mustakim menyedarkan Azeeza. Pantas, dia tertunduk kemudian membuntuti langkah Ustaz Mustakim ke tapak perkhemahan mereka.

ZEEZA!” panggil Liyana sewaktu melihat Azeeza memasuki dewan makan.
Azeeza hanya tersenyum melihat Liyana yang sedang menangis sambil ditemani Izz yang turut kelihatan risau. Dia hanya mampu menyambut pelukan daripada Liyana yang tidak henti-henti menangis.
“Kau okey ke, Zeeza? Macam mana kau boleh hilang? Aku risau tahu tak?” soal Liyana bertubi-tubi sambil melepaskan pelukan. Wajah pucat Azeeza dipandang lama.
“Alhamdulillah, aku okey. Dah selamat pun ni, hah. Tak perlulah kau risau. Allah ada kan?” soal Azeeza pula.
Dia mengalih pandang pada Izz yang turut tersenyum. Wajah lelaki lembut itu kelihatan tenang.
“Tapi kami tetap risaukan kau, Zeeza. Kalau jadi apa-apa kat kau siapa yang susah? Apa aku nak jawab pada adik kau tu. Tolonglah jaga diri kau untuk kami, boleh?” soal Izz mula bersuara.
Azeeza hanya ketawa kecil. Dari jauh dia melihat Qaiser memasuki ruang dewan makan sambil ditemani oleh Rizwan, Zafuan dan Firman. Lelaki itu memandang ke arahnya tetapi sepantas kilat dia memandang ke tempat lain.
“Insya-Allah, Izz. Aku mintak maaf sebab buat kau orang berdua risau tapi benda nak jadi. Aku pun tak tahu macam mana semua ni boleh berlaku. Sedar-sedar aje aku dah kat dalam hutan.” Ujar Azeeza.
Izz dan Liyana berpandangan. Lantas, dia menarik kerusi lalu tubuh Azeeza didudukkan oleh Liyana. Mereka berdua menumpukan sepenuh perhatian pada Azeeza.
“Cuba kau cerita apa yang berlaku sebenarnya. Takkanlah tiba-tiba aje kau boleh pengsan dalam hutan tu. Mesti ada sesuatu yang berlaku sebelum tu.” Sampuk Izz sambil mengetuk dagunya sendiri.
Azeeza memicit kepalanya yang terasa berdenyut. Tubuhnya masih lagi lemah. Namun, demi sahabat baiknya dia gagahkan diri untuk bercerita. Terlopong mulut Izz dan Liyana mendengar cerita daripada Azeeza. Mereka berdua menggelengkan kepala tidak puas hati.
“Ini kes penganiayaan ni, Zeeza. Lebih baik kau laporkan pada ustaz. Kau tak boleh biarkan orang yang buat kau ni lepas bebas macam tu aje.” Komen Liyana.
“Betul. Aku sokong kata-kata Ana. Kau kena laporkan pada ustaz. Biar ustaz siasat tak pun biar ustaz buat solat hajat biar orang yang kenakan tu menggelupur kepanasan!” sahut Izz dengan rasa marah yang meluap-luap.
Azeeza hanya mampu tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Mendoakan untuk kemusnahan orang lain itu bukan sesuatu yang baik, Izz. Biarlah. Lagipun aku selamat. Aku tak berani nak kaitkan sesiapa pun dalam hal ni apatah lagi nak tuduh orang. Siapa pun yang kenakan aku tadi pasti akan dapat balasannya nanti. Aku tak nak besar-besarkan perkara ni. Aku bukan budak manja.” Balas Azeeza sambil meneguk air mineral yang dihulurkan oleh Liyana.
“Tapi Zeeza, orang tu bermain dengan nyawa kau! Kalau tak ada yang datang selamatkan kau tadi, apa yang akan jadi? Sekurang-kuranganya kau mahukan pengadilan untuk diri kau sendiri. Dia kena tanggung apa yang dia dah buat pada kau. Entah-entah Qaiser yang kenakan kau.” Bantah Liyana dengan geram.
Azeeza hanya menggelengkan kepala.
“Bukan dia yang kenakan aku sebaliknya dia yang cari dan selamatkan aku.” Balas Azeeza.
Liyana dan Izz berpandangan.
“Apa?!” jerit mereka serentak.
“Qai selamatkan kau? Wow, interesting. Very interesting. Harimau dah tukar jadi kucing ke?” perli Izz sambil memainkan keningnya.
“Kau tak payah nak mengarutlah, Izz. Dia ketua kumpulan aku, bila aku hilang secara automatik dia kena bertanggungjawab. Jadi sebab tanggungjawab itulah dia cari aku sampai ke dalam hutan tu.” Jawab Azeeza.
Liyana mencebik. Dia tidak rasa Qaiser menyelamatkan Azeeza atas dasar tanggungjawab, pasti ada sebab lain yang ingin lelaki ego itu sembunyikan. Fikir Liyana.
“Entah-entah dia dah syok kat kau, Zeeza. Habislah kau!” gurau Liyana sambil mencuit lengan Azeeza.
“Banyaklah kau punya syok. Aku nak tidur. Badan aku lenguh sangat ni.” Azeeza mengubah topik perbualan.
“Tengok tu Izz, Zeeza tukar topiklah. Malulah tu…” usik Liyana lagi.
Azeeza membeliakkan matanya sedangkan Izz dan Liyana sudah mengekek ketawa. Faham betul dengan perangai Azeeza yang tidak suka dikenenkan dengan Qaiser.
“Hoi, tak nak masuk tidur lagi ke? Memekak aje malam buta ni. Ingat tempat ni nenek kau orang punya ke?” laung satu suara membuatkan mereka bertiga berpaling.
Kelihatan Qaiser dan kawan-kawannya memandang ke arah Azeeza, Izz dan Liyana. Azeeza hanya terdiam. Dia menundukkan pandangan.
“Kami memekak pun bukan guna mulut kau. Suka hatilah kami nak buat apa pun, tempat ni pun bukan nenek kau punya juga.” Balas Liyana berani.
“Ana, sudahlah tu. Jom balik khemah. Aku penat ni.” Ajak Azeeza sambil menarik tangan Liyana.
“Fir, adik kau ni memang tak sayang mulut agaknya. Ada yang nak kena cili ni.” Balas Qaiser. Firman hanya ketawa. Dia tahu Qaiser hanya bergurau cuma gurauan lelaki itu agak kasar untuk perempuan seperti Azeeza dan Liyana.
“Hah, elok sangatlah tu balik khemah. Menyemak aje mata aku tengok korang bertiga ni. Sorang octopus, sorang Mak Lampir dan sorang lagi nenek kebayan. Sesuai sangatlah kau orang bertiga ni!” tambah Qaiser lagi sengaja membakar hati Liyana dan Izz.
“Heiii…dasar mamat…”
“Dahlah tu, Izz. Ana. Kita balik khemah ya? Jom!” ajak Azeeza lagi. Dia menarik lengan Liyana dengan kuat. Bebelan yang keluar dari mulut Liyana tidak diendahkan.
Izz turut mengikuti langkah Liyana dan Azeeza. Sempat lagi dia menunjukkan penumbuknya pada Qaiser namun apabila Qaiser berpura-pura untuk menerkamnya, sepantas kilat, Izz melarikan diri.
Qaiser hanya ketawa melihat tingkah Izz. Sempat lagi dia menghantar tubuh Azeeza dengan pandangan matanya. Dia menarik nafas lega apabila Azeeza sudah memasuki khemah. Tanpa Qaiser sedar segala tindak tanduknya diperhatikan oleh tiga rakannya yang lain.
“Kenapa kau selamatkan perempuan tu? Patutnya kau biar aje dia tidur dalam hutan tu. Dia kan musuh kau.” Rizwan bersuara. Sudah lama dia pendamkan soalan itu akhirnya terluah juga.
Qaiser mengawal riak wajahnya. Milo panas dihirup dengan perlahan.
“Sebab dia musuh aku, aku selamatkan dia. Kalau apa-apa berlaku pada dia, siapa yang akan jadi musuh aku lagi?” soal Qaiser selamba.
“Tapi Qai, bila kau dah selamatkan dia bermakna kau dah biarkan dia menang.” Sampuk Zafuan pula. Firman lebih memilih untuk menjadi pendengar.
Qaiser bangun dari duduknya. Wajah kedua sahabatnya itu dipandang lama.
“Apabila berkaitan dengan nyawa, kalah dan menang itu bukan soalnya.” Jawab Qaiser lalu melangkah meninggalkan mereka bertiga.
Dahi Zafuan dan Rizwan berkerut. Hanya Firman sahaja yang tersenyum penuh makna.



No comments:

Post a Comment