Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 14

PERTANDINGAN MEMASAK bermula sekarang. Ingat, ini Islamic Survival, tidak ada satu kumpulan pun dibenarkan menggunakan alatan moden. Soal rasa letak nombor dua, saya nak tengok bagaimana kebijaksanaan awak semua memasak jika berada di dalam hutan tanpa ada kuali dan periuk.” Suara Ustaz Mustakim memecah kesunyian.
Semua peserta hanya menganggukkan kepala tanda faham. Tidak kurang juga ada yang memikir cara untuk memasak tanpa mengunakan kuali dan periuk.
“Okey, kamu semua boleh memasak sekarang! Hanya dua jam masa diberi!” laung Ustaz Mustakim lagi.
Lantas, semua pelajar bertungkus-lumus menyiapkan peralatan untuk memasak. Azeeza hanya memandang barang-barang di hadapannya. Aku nak masak apa ni? Soal hati Azeeza sambil menggarukan kepala.
“Kita nak masak apa ni, Zeeza?” soal Mimie yang duduk di sebelahnya.
“Saya pun tak tahu. Barang-barang yang ada dengan kita cuma serbuk kunyit, serbuk lada hitam, minyak, garam, gula, kentang, ayam dan cili kering.” Ujar Azeeza.
“Kita bakar ayam ajelah, Zeeza. Kentang tu pun kita boleh bakar.” Cadang Amy.
Azeeza tersenyum. Dia menganggukkan kepala.
“Betul tu. Kita boleh perap ayam gunakan serbuk kunyit. Alliminium foil pun ada ni. Kita boleh gunakan juga untuk bakar kentang. Cuma masalah sekarang, macam mana nak masak? Siapa nak hidupkan api?” soal Azeeza lagi.
Dia memandang rakan sekumpulannya yang lain. Wajah Qaiser tidak kelihatan.
“Budak lelaki takkan tak boleh hidupkan api kut?” Soal Amy.
“Boleh tu memang boleh tapi nak hidupkan api guna apa? Bukannya ada lighter.” Jawab Razlan.
Mereka mengeluh hampa. Hafiz dan Firdaus cuba menghidupkan menggunakan batu tetapi semuanya tidak menjadi kerana semua batu basah disebabkan hujan malam semalam.
“Gunalah benda ni.” Sampuk satu suara membuatkan mereka berpaling.
Qaiser mencampakkan pemetik api di tengah-tengah kumpulan mereka. Azeeza tersentak. Pantas saja pandangannya tertuju pada Qaiser.
“Kau merokok ke?” soalnya spontan. Tajam matanya memandang Qaiser.
Qaiser tersenyum sinis. Dia mendekati Razlan yang sudah bersedia untuk menghidupkan api.
“Bukan urusan kau!” balas Qaiser dingin.
Azeeza mencebik. Dia menjeling sebelum memulakan proses untuk memerap ayam. Dibiarkan saja pelajar-pelajar lelaki menghidupkan api sedangkan pelajar perempuan menyediakan bahan untuk memasak.
“Awak pandai memasak, Zeeza?” soal Mimie sambil membantu Azeeza memerap ayam di dalam aluminium foil.
Azeeza hanya mampu tersenyum manis.
“Pandai tu taklah sangat tapi tahulah sikit-sikit sebab kat rumah memang saya yang memasak.” Jawab Azeeza jujur.
Semenjak ditinggalkan oleh ibu dan ayahnya, Azeeza terpaksa belajar untuk hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Dia tidak memerlukan simpati sesiapa pun kerana bagi Azeeza simpati akan melemahkannya sedangkan dia masih tegar untuk menghadapi ujian yang diberikan.
Auwww!” Azeeza terjerit kecil apabila jarinya tertusuk tulang ayam yang tajam. Berkerut dahinya menahan pedih.
“Kenapa dengan awak, Zeeza?” soal Mimie pelik.
Azeeza merenjis-renjis tangannya. Kelihatan darah mula keluar dari celah kukunya yang tertusuk tulang ayam. Dia meniup kukunya yang terasa pedih.
“Kuku saya tertusuk tulang ayam. Awak tolong perapkan boleh? Saya nak pergi cuci luka dulu.” Ujar Azeeza kemudian bangun apabila melihat anggukan daripada Mimie.
Dia menuju ke paip yang telah tersedia yang agak jauh dari kumpulannya. Paip air dibuka dan dia mencuci tangannya perlahan-lahan. Rasa pedih ditahan sekuat hati. Apalah sangat rasa pedih luka kecil ini jika dibandingkan kepedihan dan keperitan hidup yang dilaluinya selama ini.
“Alamak, lupa nak bawak kain!” keluh Azeeza apabila menyedari tiada kain bersih yang boleh digunakan untuk mengelap tangannya.
Bukk!
Terasa mukanya dicampakkan sesuatu. Terdorong tubuh Azeeza ke belakang akibat terkejut. Dia menyentuh benda kesat yang melekat di wajahnya. Sehelai tuala kecil jatuh terlurut di tangannya. Pantas, Azeeza mengangkat muka. Terkebil-kebil matanya apabila kelihatan sepasang mata sedang merenung ke arahnya.
“Kau nak curi tulang, ya?” soal Qaiser sambil tangannya kemas berada di dalam poket seluar sukan yang dipakainya.
“Curi tulang apanya? Aku nak cuci luka jari aku ni, hah.” Ucap Azeeza sambil menunjuk jarinya yang terluka.
Qaiser mencebik. Namun, matanya mengerling ke arah tangan Azeeza. Apabila Azeeza mengangkat muka, cepat-cepat pandangannya dialihkan ke tempat lain.
“Alah, sikit aje. Manja je lebih kau ni. Cakaplah kau ni pemalas. Semua kerja nak suruh orang lain buat.” Sindir Qaiser lagi.
Azeeza memandang Qaiser dengan tajam. Sakit betul hatinya dengan kata-kata Qaiser. Siapa yang pemalas sekarang ni? Aku atau dia? Bentak hati Azeeza. Kalau diikutkan hati aku, memang aku panggang mamat ni. Detik hati Azeeza lagi.
“Kalau kau ni rajin sangat, kenapa kau ada dekat sini? Kenapa tak jaga kumpulan kita tu?” soal Azeeza dengan hati yang membengkak.
Qaiser terdiam seketika. Dia menelan air liur. Anak matanya meliar memandang sekeliling. Dia menjilat bibir yang terasa kering.
“Aku cuma nak pastikan yang kau tu tak curi tulang!” jawab Qaiser penuh yakin. Intonasi suaranya sengaja ditinggikan.
Azeeza mencebik.
“Ke kau takut aku hilang lagi?” soal Azeeza sambil tersenyum sumbing. Anak matanya tepat memanah anak mata Qaiser.
Qaiser mula tidak senang duduk. Soalan Azeeza seolah-olah mencekik lehernya sendiri. Dahinya sudah berpeluh malah jantungnya sudah berdetak tidak menentu. Dia sendiri tidak tahu mengapa begini reaksi tubuhnya jika berhadapan dengan Azeeza.
“Aku takut? Huh! Aku lagi bersyukur kalau kau hilang!” balas Qaiser.
“Kalau macam tu, kenapa cari aku semalam?” soal Azeeza lagi.
Qaiser terus kehilangan kata. Pandangan anak mata hitam itu menikam terus ke hatinya. Apa aku nak jawab ni? Soal hatinya. Gugup.
“Aku tahu kau cari aku sebab kau takut ustaz marah kan? Kalau diberi pilihan mesti kau nak tengok aku mati kan? Tapi apa-apa pun aku tetap nak ucapkan terima kasih pada kau sebab dah selamatkan aku walaupun aku tahu kau terpaksa. Sebagai balasan budi kau, aku janji aku takkan ganggu lagi hidup kau selepas ni.” sambungAzeeza sepenuh hati.
Qaiser terpanar seketika. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Wajah Azeeza dipandang lama. Gadis itu memang tidak cantik, kulit pun hanya sawo matang tetapi wajah itu cukup manis untuk dipandang.
“Huh, itu hanya janji kau. Tapi aku tak boleh berjanji untuk tak ganggu hidup kau. Lagipun kenapa kau tak bagitahu ustaz perkara yang sebenar? Takkan kau tak nak tahu siapa yang kenakan kau semalam?” soal Qaiser. Perkara itulah yang kerap bermain dalam fikirannya.
Azeeza tersenyum nipis.
“Untuk apa aku adukan perkara ni pada ustaz? Aku tak ada bukti. Aku tak ada saksi. Aku orang miskin Qai sedangkan kau orang ada harta, ada duit. Kau orang boleh beli segalanya. Aku? Aku tak ada apa-apa, Qai. Cukuplah nyawa aku selamat sebab hanya itu yang aku perlukan untuk meneruskan kehidupan aku. Nyawa amat berharga bagi aku bukan untuk aku tapi untuk adik aku. Kalau aku tak boleh hidup senang, biarlah adik aku tak rasa kesusahan yang aku alami. Tapi kau orang kaya, kau tak tahu semua tu. Jadi tak perlulah kau besarkan hal semalam. Itu harga yang perlu aku bayar untuk hidup dalam kalangan orang kaya seperti kau.” Ucap Azeeza dengan suara yang lirih. Dadanya dirundung sebak secara tiba-tiba.
Tiba-tiba dia teringat akan Fatma. Wajah lembut adiknya itulah yang menguatkan semangat Azeeza untuk meneruskan kehidupan. Lalu, Azeeza berpaling. Jari runcingnya menyeka air yang mula bergenang di kelopak mata.
Qaiser terkelu mendengar kata-kata Azeeza. Kata-kata yang cukup menyentuh hati lelakinya. Dia mengetap bibir. Bukan dia tidak tahu kesusahan yang dialami oleh Azeeza malah dulu dia salah seorang penyebab kesusahan Azeeza. Kini, dia mengerti akan kesusahan yang dikatakan oleh Azeeza. Terpaksa belajar dan bekerja demi menyara keluarganya. Masih adakah gadis sekarang yang sanggup berkorban sejauh itu? Fikir Qaiser.
‘Jangan pernah putus asa dengan hidup, Azeeza.’ Ucap Qaiser cuma dalam hati.
Langkah Azeeza terhenti seketika. Terdengar satu bisikan halus yang menghembus di telinganya. Pantas, Azeeza menoleh. Kelihatan Qaiser masih lagi memandang ke arahnya. Spontan, bibirnya mengukir senyuman manis. Tindakan tanpa sedarnya.
Terkebil-kebil Qaiser melihat senyuman Azeeza yang manis. Hatinya mula berdenyut. Hah, parah dah aku ni! Detik hatinya.

KALAU KAMU semua tersesat dalam hutan, bagaimana kamu nak tentukan arah kiblat?” soalan daripada Ustaz Mustakim membuatkan para pelajar terdiam.
Ustaz Mustakim memandang pelajar- pelajarnya yang terlibat dalam kem ibadah itu satu persatu. Kesemuanya hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum. Sesi tazkirah petang ini kelihatan tenang ditambah dengan bayu yang lembut meniup diri mereka.
“Ada sesiapa nak jawab tak?” soal Ustaz Mustakim lagi.
“Dengan melihat matahari terbenam, boleh juga kan ustaz?” kedengaran suara Azeeza memecah kesunyian.
Pandangan Ustaz Mustakim beralih pada Azeeza. Dia tersenyum nipis.
“Boleh diterima. Kita boleh memerhatikan arah matahari terbit dan terbenam. Arah terbit ialah sebelah timur dan arah terbenam pada sebelah barat. Sebelah barat adalah arah kedudukan Mekah secara rawak dan ia boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat. Kalau waktu malam pula, kita boleh gunakan bintang sebagai penunjuk arah…” terang Ustaz Mustakim.
“Macam mana bintang boleh tunjukkan arah, Ustaz? Kat atas langit tu ada berjuta bintang.” Sahut Izz yang duduk di bahagian hadapan.
“Kamu perhatikan berjuta bintang kat angkasa tu dan cari bintang yang tiga sederet dalam bentuk buruj belatik. Tapi kaedah ni memerlukan awak semua belajar tentang ilmu bintang.” Jawab Ustaz Mustakim lagi.
“Tak ada cara yang lebih senang lagi ke ustaz? Mana tahu kut-kut tersesat masa cari kayu api. Tak ke susah tu nak cari jalan balik.” Sampuk Qaiser seakan memerli. Dia menjeling pada Azeeza yang duduk di bahagian perempuan.
Ustaz Mustakim hanya tersenyum mendengar kata-kata sindiran dari Qaiser. Bukan dia tidak tahu niat Qaiser semata-mata untuk mengusik Azeeza yang sudah merenung tajam wajah Qaiser.
“Kalau dah tersesat, kena tunggu bantuan ajelah sampai. Mana tahu ada hero yang datang selamat. Tak gitu, Qaiser?” gurau Ustaz Mustakim
Qaiser hanya tersengih malu. Dia menggosok hidungnya bagi menutup rasa malunya.
“Okey berbalik pada soalan asal. Kalau kita memang tak ada langsung ilmu untuk tentukan arah kiblat andai kata  kita tersesat dalam hutan, kita boleh hadapkan di mana-mana tempat pun sebagai penentu arah kiblat. Apa yang penting adalah hati. Kita perlu yakin dan bertawakal pada Allah agar solat kita diterima oleh-Nya.” Ucap Ustaz Mustakim mengakhiri topiknya.
Semua pelajar hanya menganggukkan kepala tanda faham. Ada yang tidak melepaskan peluang untuk mencatit segala ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Mustakim. Mungkin boleh digunakan suatu hari nanti. Cuma Qaiser yang beriak selamba. Matanya seolah-olah tidak lepas dari memandang seraut wajah tenang yang sedang sibuk mencatat sesuatu di buku notanya.
Tanpa Qaiser sedar, perbuatannya itu disedari oleh Yasmin. Dari jauh Yasmin memerhatikan tingkah laku Qaiser dengan hati yang membengkak. Rasa sakit hatinya masih terbalas walaupun dia berjaya mengenakan Azeeza semalam tetapi tindakan Qaiser menyelamatkan Azeeza memang tidak dapat diterima oleh akal Yasmin. Dia akan lakukan apa saja asalkan Qaiser menjauh dari Azeeza. Dia tidak sukakan persaingan apatah lagi saingannya itu tidak standing dirinya yang jauh lebih hebat.



No comments:

Post a Comment