Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 18

BAB 18
IZZ TIDAK mampu menghentikan tangisan Fatma yang semakin menjadi-jadi sebaik saja gadis muda itu melihat kakak kesayangannya terbaring tidak sedarkan diri di atas katil. Dia hanya mampu memandang tetapi tidak mampu menghilangkan kesedihan itu.
“Kakak, bangunlah. Ma datang ni…” rayu Fatma sambil menggoncang lengan Azeeza yang kaku.
Dia memejam mata sejenak kemudian dia membuka matanya berharap agar Azeeza juga membuka mata tetapi malangnya Azeeza tetap kaku. Hanya dadanya saja yang berombak tanda gadis itu masih lagi bernafas.
“Kakak jangan buat Ma takut. Ma tak ada sesiapa dah kecuali kakak. Kakak janji nak jaga Ma sampai bila-bila tapi kenapa kakak tak bangun-bangun lagi ni? Jangan biar Ma takut, kakak.” Ujar Fatma dengan sedu-sedan yang jelas kedengaran.
Dia mengenggam kemas telapak tangan Azeeza seolah-olah tidak mahu melepaskan kakaknya itu pergi. Air mata yang bercucuran tidak diendahkan sama sekali. Sungguh, Fatma takut. Takut kehilangan Azeeza.
Izz tidak mampu menahan perasaan. Akhirnya, kolam air matanya tumpah juga setelah mencuba sedaya upaya untuk bertahan. Kata-kata Fatma begitu menyentuh hati lelakinya yang lembut.
“Fatma, jangan sedih macam ni. Kakak Fatma tak apa-apa. Dia cuma tak sedarkan diri aje.” Pujuk Izz lalu mendekati Fatma yang duduk di samping Azeeza.
“Macam mana Ma tak sedih Abang Izz. Ma cuma ada Kak Eza dalam hidup Ma. Selepas ayah hilangkan diri dan mak meninggal, Kak Eza segala-galanya bagi Ma. Dia sumber kekuatan Ma untuk teruskan hidup. Saat Ma putus asa, Kak Eza selalu kata, Allah takkan uji kita melebihi kemampuan kita. Bila Dia berikan ujian, Dia juga yang akan beri jalan keluar. Walaupun hidup kami susah, tapi Kak Eza tak pernah patah semangat jauh sekali nak mengeluh walau dia terpaksa kerja sampai lewat malam semata-mata nak sara hidup kami berdua. Kadang-kadang Ma rasa Ma gagal jadi seorang adik yang baik untuk Kak Eza.” Luah Fatma lagi. Dia merenung wajah Azeeza yang kelihatan calar balar dan lebam-lebam.
Izz menundukkan wajah. Air mata dibiarkan terus menitis. Dia sebagai kawan tidak sanggup melihat keadaan Azeeza apatah lagi adik kandungnya sendiri.
“Izz, keadaan Zeeza macam mana?” sapa satu suara membuatkan Izz berpaling.
Satu keluhan dilepaskan apabila dia terpandangkan wajah Liyana yang agak keruh. Mata sahabatnya itu kelihatan merah malah masih ada sisa air mata yang menodai pipi mulus itu.
“Keadaan Zeeza stabil tapi dia masih belum sedar diri, mungkin kesan daripada ubat ataupun Zeeza dah patah semangat untuk bangkit semula, Ana.” Terang Izz sambil menyapu air mata yang masih bersisa di pipinya,
Liyana menutup mulut menahan rasa sebak yang semakin mencengkam jiwa. Pantas saja dia memeluk tubuh Firman yang berdiri di belakangnya.
“Apa salah Zeeza sampai dia orang sanggup buat Zeeza macam ni?” keluh Liyana dengan tangisan yang mula kedengaran.
“Bawa bertenang, Ana. Insya-Allah Zeeza akan sedar. Dia cuma perlukan kekuatan daripada kita. Orang yang buat Azeeza dah terima balasan yang sepatutnya.” Pujuk Firman lembut. Dia mengelus bahu Liyana dengan perlahan. Berharap dengan cara itu Liyana akan tenang.
Liyana terdiam. Matanya tertancap pada Fatma yang masih memegang kemas tangan Azeeza. Lalu, dia mendekati Fatma. Bahu Fatma disentuh lembut.
Fatma mendongak. Secangkir senyuman diukirkan buat Liyana. Senyuman yang dirasakan sangat hambar.
“Kakak Fatma akan sedar, itu janji akak.” Ujar Liyana turut tersenyum.
Fatma tidak menjawab sebaliknya dia merenung wajah kakaknya yang pucat. Dia menghela nafas panjang.
“Akak boleh tolong jagakan Kak Eza untuk Ma tak? Ma nak pergi solat sekejap.” Pinta Fatma tiba-tiba.
Liyana hanya menganggukkan kepala.
Fatma tersenyum nipis. Dia bangun untuk melangkah keluar. Namun, saat tangannya ingin melepaskan genggaman tangan Azeeza, tiba-tiba telapak tangannya digenggam erat oleh Azeeza. Fatma tersentak.
“Kak Eza!” Fatma terjerit kecil.
“Alhamdulillah, Zeeza kau dah sedar!” Liyana melonjak gembira. Dia meraup wajahnya tanda syukur.
Azeeza masih lagi mamai. Dia hanya mampu tersenyum hambar apabila terdengar suara memanggil namanya. Genggaman tangan Fatma tidak dilepaskan sama sekali. Dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas.
Firman menarik nafas lega. Buat seketika dia berpaling ke arah pintu masuk wad. Kelihatan seorang lelaki berdiri di sebalik pintu sambil meraup wajahnya. Firman tersenyum dan senyumannya berbalas.

BUNTANG MATA Qaiser mendengar keputusan yang telah dibuat oleh Puan Qarina. Dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan apa-apa apatah lagi untuk menerangkan hal yang sebenar.
“Qai tak setuju, mama! Ini masa depan Qai. Qai takkan tukar kolej. Itu keputusan Qai!” tegas Qaiser sambil meraup rambutnya ke belakang.
Puan Qarina bingkas bangun dari duduknya. Ruang tamu yang berhawa dingin tiba-tiba terasa panas dengan penolakan Qaiser.
“Sama ada Qai setuju ataupun tidak, keputusan mama dah muktamad. Mama tak nak Qai buat perangai lagi dekat kolej. Cukuplah mama malu dengan kakitangan kolej disebabkan perangai kamu yang tak semenggah ni. Berapa kali mama dah bagi amaran, jangan guna kedudukan mama semata-mata untuk menunjukkan yang kamu berkuasa dalam kolej tu. Bukan mama tak tahu perangai kamu yang suka buli pelajar-pelajar dekat kolej tapi mama pekakkan telinga aje. Tapi setelah apa yang berlaku tempoh hari, mama dah tak boleh bersabar dengan kamu lagi. Ini adalah keputusan terbaik untuk masa depan kamu!” Puan Qarina turut bertegas.
Qaiser mundar-mandir di hadapan Puan Qarina. Keputusan Puan Qarina tidak dapat diterima oleh akalnya. Dek kerana kesalahan yang tidak dilakukan olehnya, dia terpaksa menerima hukuman yang cukup membebankan.
“Tapi takkanlah sampai mama nak tukarkan Qai ke London? Itu tak logik mama. Kesalahan Qai bukan berat pun. Mama tak dengar apa yang Firman cakap, bukan Qai yang pukul Azeeza. Qai tak terlibat langsung dalam kes buli tu. Qai berada di tempat kejadian semata-mata untuk selamatkan Azeeza. Kenapa mama tak habis-habis nak salahkan Qai ni?” soal Qaiser dengan geram. Dia meramas rambutnya yang hitam pekat.
Puan Qarina bersikap tenang. Dia memeluk tubuh. Wajah tampan milik anaknya dipandang lama. Mama terpaksa menggunakan apa cara sekali pun untuk jauhkan kamu dengan gadis itu. Detik hati Puan Qarina.
“Memang kamu tak bersalah untuk kejadian hari itu tapi untuk kes sebelum-sebelum ni kamu tak fikir? Anggap ajelah ini hukuman untuk kedegilan kamu selama ni. Hujung minggu ni kamu ke London. Papa pun setuju kamu sambung belajar di sana. Kamu tak boleh balik ke Malaysia selagi pelajaran kamu tak tamat, faham?” tegas Puan Qarina lagi.
Qaiser benar-benar terkejut dengan keputusan Puan Qarina. What the…? Keluh hati Qaiser.
“Tapi mama final exam cuma tinggal sebulan. Biarlah Qai habiskan semester ni lagipun ni dah final year mama. Takkan mama tak boleh kompromi langsung?” Qaiser cuba memujuk.
Puan Qarina menggelengkan kepalanya dengan pantas.
No means no. Hujung minggu ni kamu fly ke London. Tiket mama dah booking. Segala urusan pertukaran kamu, mama dah uruskan.” Puan Qarina memberi kata putus.
“Mama!” terjerit kecil Qaiser dibuatnya.
Namun perbincangan mereka diganggu dengan bunyi telefon bimbit milik Puan Qarina. Qaiser membiarkan mamanya mengangkat panggilan sedangkan otaknya ligat memikir cara untuk memujuk Puan Qarina walaupun dia tahu keputusan Puan Qarina tidak boleh diubah apatah lagi dibantah.
“Okey, dia yang rela atau dipaksa?” soal Puan Qarina dengan wajah yang serius.
“Rela? Kalau macam tu kita nak buat macam mana. Terima ajelah. Kita dah bagi peluang tapi dia yang sia-siakan. Dia yang rugi bukan kita.” Ucap Puan Qarina sebelum mematikan panggilan selepas memberi salam.
“Mama, please untuk kali ni, Qai janji Qai akan jadi budak baik. Qai takkan buli sesiapa pun lagi. Tapi please mama jangan hantar Qai ke London. Qai tak nak…” rayu Qaiser lagi sambil mencantumkan kedua belah tangannya.
“Dah terlambat Qai, budak perempuan yang jadi mangsa buli kamu tu dah hantar surat untuk berhenti belajar…” ujar Puan Qarina mendatar.
Mati terus kata-kata Qaiser. Berita yang disampaikan oleh Puan Qarina membuatkan darah Qaiser berhenti mengalir. Terkebil-kebil dia memandang Puan Qarina yang kelihatan bersahaja tanpa perasaan.
“Maksud mama, Azeeza berhenti belajar?” soal Qaiser inginkan kepastian. Dia terduduk di sebelah mamanya.
“Itu berita yang mama terima.” Jawab Puan Qarina.
“Tapi kenapa, mama?” soal Qaiser lagi. Dia bagaikan tidak percaya dengan. Bukankah Azeeza terlalu ingin menamatkan pengajiannya? Kenapa semua ini boleh berlaku?
“Aku akan pergi dari sini. Ini janji aku. Kau nak sangat tengok aku melutut mengaku kalah kan? Hari ni, depan Firman aku mengaku kalah pada kau. Aku melutut depan kau. Aku takkan muncul depan kau lagi. Aku akan pergi dari sini buat selama-lamanya…”
Kata-kata Azeeza terngiang di telinganya membuatkan Qaiser terdiam sejenak. Jadi inilah yang dikatakan oleh Azeeza tempoh hari. Dia tidak menyangka Azeeza akan mengotakan apa yang dikatakan. Qaiser meraup wajahnya. Rasa bersalah mula menyerang dirinya.
“Mungkin dia tidak tahan dengan sikap samseng kamu tu.” Jawab Puan Qarina.
“Tapi dia salah seorang pelajar tajaan mama. Takkan mama tak nak halang?” Qaiser masih tidak berpuas hati.
Puan Qarina mengeluh. Wajah kecewa Qaiser dipandang lama.
“Dah dia yang nak berhenti bukan salah mama. Kita tak boleh paksa kalau orang dah tak nak. Kamu ni kenapa beria-ria sangat nak sebelahkan budak tu? Kamu suka dia ke?” soal Puan Qarina dengan penuh rasa curiga.
Qaiser tersentak. Dengan pantas dia menggelengkan kepala.
“Qai keluar dulu, mama.” Ucap Qaiser tanpa menjawab soalan Puan Qarina. Dia bingkas bangun dan terus mencapai kunci motosikalnya lalu hilang di sebalik pintu.



No comments:

Post a Comment