Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 19


KAU DAH fikir masak-masak ke, Zeeza? Ini soal masa depan kau. Final exam tinggal berapa minggu aje lagi ni. Takkan kau nak mengalah? Lagipun kau tak bersalah. Kau yang jadi mangsa, kenapa kau harus berundur?” soal Liyana petang itu sewaktu mereka bertiga singgah di warung untuk minum petang.
Azeeza hanya terdiam. Berat hatinya untuk menamatkan pengajian disebabkan hal yang berlaku tetapi setelah ditimbang baik dan buruk, lebih baik dia mengalah. Bukan bermakna dia kalah tetapi ini semua untuk masa depan dia dan adiknya.
“Betul cakap Ana tu, Zeeza. Kau dah bersusah payah selama hampir tiga tahun untuk tamatkan pelajaran tapi kenapa saat kita nak sampai penghujung semester, kau nak mengalah dengan senang? Kau pernah cakap, hanya dengan ilmu kita mampu mengubah dunia tapi sekarang apa dah jadi? Mana semangat kau, Zeeza?” sampuk Izz pula.
Wajah Azeeza yang murung dipandang lama. Dia tahu fikiran Azeeza sedang berkecamuk. Semuanya tergambar jelas di mata gadis itu yang bundar.
“Aku tahu aku tak patut mengalah tapi aku lakukan ini semua demi masa depan adik aku. Biarlah aku berkorban untuk kesenangan dia. Aku tak nak dia hidup susah seperti aku sekarang. Aku nak dia belajar dengan selesa. Dia satu-satunya harta yang aku ada, Izz, Ana. Biarlah aku curahkan semua kasih sayang dah perhatian aku pada dia. Aku dah tak sanggup hadapi ini semua, kolej ni bukan tempat orang miskin macam aku. Aku tak layak berkawan dengan kau orang semua. Aku tak layak…” ucap Azeeza dengan dada yang sebak. Dia menundukkan wajah menyembunyikan air mata yang ingin menitis.
Liyana dan Izz berpandangan.
“Mengarut! Ini semua mengarut. Kita orang tak pernah pandang harta untuk berkawan. Aku terima kau apa adanya, Zeeza. Kenapa kau boleh fikir sampai macam ni sekali? Aku tetap tak setuju kau berhenti belajar!” tegas Liyana dengan wajah yang serius.
Izz menganggukkan kepala tanda mengiyakan kata-kata Liyana. Dia juga tidak bersetuju.
“Tapi ini keputusan aku, Ana. Aku takkan ubah. Daripada hadir aku menyakiti hati orang, lebih baik aku pergi. Aku tak nak cari pasal dengan sesiapa lagi. Aku harap kau faham.” Ujar Azeeza sambil memandang wajah kedua sahabatnya itu.
“Kau yang perlu faham. Dengan berhenti belajar bukan menyelesaikan semua masalah…”
“Tapi masalah aku akan berkurangan kalau aku berhenti belajar. Fatma perlukan banyak duit untuk sambung belajar jadi aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Kalau aku teruskan pengajian, aku bimbang aku tak mampu untuk tampung kehidupan kami nanti. Lagipun kalau aku berhenti, aku boleh bekerja. Aku boleh kumpul duit banyak-banyak dan sambung belajar lagi…” balas Azeeza.
“Rugi Zeeza. Semester kita dah nak tamat, tinggal satu semester lagi. Rugi kalau kau berhenti sekarang…” pujuk Izz lagi.
Azeeza tidak membalas. Dia sudah nekad dan tiada siapa yang dapat mengubah keputusannya lagi. Dia mengambil keputusan itu bukan saja sebab Fatma tetapi disebabkan dia rasa terhina apabila diperlakukan seperti itu oleh Yasmin, Rizwan dan Zafuan. Walaupun mereka bertiga sudah mendapat hukuman yang setimpal tetapi ingatan Azeeza masih lagi kuat. Gambar dan video sewaktu dia dibuli menjadi buah mulut pelajar-pelajar lain. Setiap kali dia berjalan pasti ada suara bisik-bisik yang menceritakan perihalnya. Dia malu. Dia serik apabila dikaitkan dengan kes itu.
“Aku tahu tapi aku dah nekad. Aku mintak maaf, Izz, Ana kalau selama kita kawan aku ada menyusahkan kau. Ana, aku nak mintak tolong dengan kau buat kali terakhir boleh?” soal Azeeza dengan penuh pengharapan.
Liyana berpaling. Rasa sayu apabila dia menatap wajah bersih milik Azeeza. Terlalu banyak kesukaran yang perlu dilalui oleh gadis muda itu. Terlalu berat ujian yang diberikan untuk gadis seumur itu. Namun, Liyana percaya ujian hebat untuk orang yang hebat.
“Apa dia? Insya-Allah aku akan tolong…” ucap Liyana perlahan.
Azeeza tersenyum nipis. Dia mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna putih lalu diserahkan pada Liyana.
“Apa ni?” soal Liyana dengan dahi berkerut.
“Surat berhenti kerja dekat kedai Kak Laila…”
“Apa? Kau nak berhenti kerja, Zeeza? Habis kau nak kerja dekat mana nanti?” soal Liyana bertalu-talu. Dia benar-benar terkejut dengan keputusan Azeeza kali ini.
Azeeza hanya tersenyum hambar. Melihat wajah Liyana menambah rasa sendu di hatinya apatah lagi saat dia melihat air mata Izz yang bergenang di kelopak mata. Betapa dia menyayangi kedua sahabatnya ini tetapi apakan daya, takdir tidak pernah berpihak padanya. Dia harus berundur untuk mencari ruang membina hidup baharu.
“Rezeki Allah itu luas, Ana. Aku percaya Allah dah takdirkan sesuatu untuk aku. Bila Dia ambil sesuatu dari kita, Dia akan menggantikan dengan yang lebih baik.” Jawab Azeeza tenang.
“Tapi kenapa kau seolah-olah nak larikan diri dari kami semua?” sampuk Izz setelah agak lama mendiamkan diri.
Azeeza tidak menjawab. Dia hanya terdiam. Aku bukan melarikan diri daripada kau orang tapi aku tak nak sebarang kaitan dengan dia. Dia yang ingin melihat aku tersungkur dan sekarang aku akan tunaikan permintaannya. Biar dia terus dihantui dengan perasaan bersalah untuk seumur hidupnya. Detik hati Azeeza, hanya dia yang tahu.

MATA QAISER melilau-lilau mencari bayang seseorang yang tidak kelihatan di dalam kelas. Dia tahu hari ini hari terakhir gadis itu, dia harus bertemu muka dengan gadis itu bagi mengurangkan rasa galau yang terbit di celah hatinya. Lantas, kakinya dihayunkan ke luar pintu pagar kolej, kelihatan seorang gadis yang memakai baju kurung berbunga kecil sedang berdiri sambil menghadap wajahnya ke arah pintu masuk kolej. Wajah itu kelihatan sugul.
Qaiser mempercepatkan langkah apabila melihat gadis itu sudah berpaling untuk melangkah pergi. Dia harus bersemuka dengan gadis itu hari ini kerana yang pasti selepas ini dia tidak akan berpeluang untuk melihat gadis ini lagi. Entah mengapa timbul satu perasaan aneh dalam diri Qaiser.
“Azeeza!” panggil Qaiser lalu berdiri berhadapan dengan Azeeza yang sudah berdiri kaku.
Azeeza terkejut. Dia mengangkat wajahnya seketika sebelum pandangannya dialihkan ke tempat lain. Sebaik sahaja terpandangkan wajah Qaiser, serta-merta bayang peristiwa tempoh hari bermain di fikirannya. Dia yakin pasti Qaiser yang mengupah Yasmin, Zafuan dan Rizwan untuk menyeksanya. Walaupun berjuta kali Firman menyakinkan bahawa Qaiser langsung tiada kaitan tetapi Azeeza tidak percaya. Hanya lelaki itu saja yang berdendam dengannya.
“Kau nak apa?” tanya Azeeza sedikit kasar.
Qaiser terkelu seketika. Bait-bait yang terbit di benaknya tiba-tiba menghilang tika berhadapan dengan Azeeza.
“Aku dengar kau nak berhenti belajar? Betul ke?” soal Qaiser perlahan.
Azeeza tersenyum sinis. Dia mengangkat pandangan membalas renungan mata Qaiser dengan penuh perasaan benci.
“Aku tak sangka yang kau ambil berat pasal aku. Untuk apa? Untuk gelakkan aku, begitu? Kau dah menang. Ini yang kau nak sangat, kan?” suara Azeeza meninggi.
“Kau jangan nak mengarut, Azeeza. Aku belum bodoh untuk gelakkan kesusahan orang lain.” Balas Qaiser.
“Oh, tak sangka seorang lelaki bernama Qaiser Hafiy begitu budiman orangnya. Habis tu apa yang kau buat pada aku selama ini itu satu tindakan yang cerdik? Kau buli aku depan orang ramai. Kau malukan aku. Kau hampir buat aku putus nyawa, itu kau rasa cerdik ke?” balas Azeeza dengan soalan.
Dadanya bagaikan ingin meletup kerana cuba mengumpul kesabaran. Melihat wajah Qaiser membuatkan hatinya semakin sakit. Kebenciannya semakin bertambah. Kerana lelaki di hadapannya inilah yang memusnahkan segala impian yang ingin digapainya selama ini.
“Berapa kali aku nak cakap pada kau, aku tak terlibat langsung dengan apa yang Yasmin lakukan pada kau. Kenapa susah sangat kau nak percaya? Ya, aku mengaku aku selalu buli kau tapi aku masih waras. Aku takkan sanggup nak aniaya orang sampai macam tu sekali. Jahat sangat ke aku di mata kau, Zeeza? Sampaikan sikit pun kau tak percaya pada aku.” Qaiser meluahkan rasa yang terbuku dalam hatinya.
Dia kecewa dengan penerimaan Azeeza. Dia kecewa dengan keputusan Puan Qarina malah dia turut kecewa dengan dirinya sendiri kerana mudah tertewas tika berhadapan dengan Azeeza.
“Ya! Kau memang jahat. Dari dulu kau memang takkan boleh hidup tenang kalau tengok aku senang, sekarang aku dah susah. Aku tak ada apa-apa, tentu perkara ni akan menggembirakan kau. Jadi, aku mintak sangat dengan kau jangan pernah muncul lagi depan aku dan anggap saja kau tak pernah kenal aku. Kau bukan kawan aku malah aku tak pernah mahu berkawan dengan orang yang tak ada hati dan perasaan macam kau!” hambur Azeeza lagi.
Qaiser terdiam. Kata-kata Azeeza menikam hatinya. Hatinya terasa pedih seperti dihiris-hiris.
“Kau memang tak pandai menilai, Azeeza. Kau nampak segala kejahatan aku tanpa sikit pun kau fikir kebaikan yang pernah aku buat pada kau. Ya, memang salah aku sebab semua ni berlaku tapi kau siapa untuk benci aku? Kau ingat Zeeza, aku pernah kata pada kau dulu, sekali kau cari pasal dengan aku, seumur hidup aku takkan lepaskan kau. Kau dengar sini baik-baik, pergilah kalau kau nak pergi tapi jangan ingat kau boleh lepas dari aku. Kau tahu apa masalah aku, aku seorang yang berdendam. Sekali aku berdendam, seumur hidup kau takkan tenteram!” balas Qaiser dengan suara yang tegas.
Dia merenung tajam wajah Azeeza yang manis bertudung litup. Wajah itu kelihatan tenang seolah-olah langsung tidak takut dengan ugutannya.
“Hidup aku bukan di tangan kau, aku takkan pernah berhenti berdoa supaya tak berjumpa dengan kau lagi. Anggap aje aku tak pernah ada dalam kisah hidup kau, itu saja yang aku nak.” Ujar Azeeza.
“Baik, tapi kau ingat Zeeza, aku takkan pernah berhenti untuk jadi mimpi ngeri kau. Dunia itu kecik aje Zeeza, kalau bukan esok mungkin satu hari nanti kita berjumpa lagi. Takdir kau, bukan kau yang tentukan.” Ucap Qaiser.
Azeeza mencebik. Dia tidak menjawab sebaliknya berlalu meninggalkan Qaiser kerana tiada apa yang perlu diperkatakan lagi. Lebih baik dia berlalu daripada terus-terusan memandang wajah Qaiser yang menyakitkan hati.
Qaiser tersenyum nipis melihat Azeeza yang melangkah pergi. Dia tidak mampu menghalang apatah lagi menahan kerana dia juga akan pergi meninggalkan bumi Malaysia, meninggalkan kolej yang banyak memberikan kenangan serta meninggalkan orang yang telah berjaya mencuit sedikit rasa di dalam hatinya. Rasa yang terbenam jauh di dalam lubuk hati akan terus terkubur bersama masa yang akan merangkak pergi.
Bagi Azeeza, kisah antara dia dan Qaiser telah tamat namun tidak bagi Qaiser. Sebuah kisah tidak boleh ditamatkan dengan begitu mudah, dia yakin pasti takdir baru akan terlakar suatu masa nanti.



No comments:

Post a Comment