Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 6



JAM MENUNJUKKAN tepat pukul enam setengah pagi. Suasana masih lagi hening, cahaya matahari kelihatan samar-samar di dada langit. Namun, kawasan rumah pangsa milik Azeeza sudah terang benderang disinari lampu kalimantang. Kelihatan Azeeza dan Fatma bertungkus-lumus menyiapkan gerai kecilnya.
Mereka berdua duduk sambil memegang buku rujukan di tangan untuk mengulangkaji pelajaran sementara menunggu pelanggan datang. Satu keluhan terbit dari mulut Fatma apabila melihat cuaca pagi yang redup.
“Kenapa Ma mengeluh?” soal Azeeza pelik.
“Selalunya kalau waktu macam ni, orang dah datang kak. Hari ni sunyi pulak,” jawab Fatma sambil memandang ke sekeliling kawasan rumah pangsa milik mereka.
Azeeza tersenyum.
“Biasalah, Ma. Hari cuti. Semua tidur lagi. Kalau hari biasa orang bekerja lainlah. Kita tunggu jelah. Insya-Allah, adalah rezeki tu nanti,” balas Azeeza dengan semangat positif.
Dia terus leka membaca nota-nota dan membelek latihan-latihan yang diberikan oleh pensyarah tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan dari jauh.
Sebuah kereta Honda Civic berwarna putih berhenti tidak jauh daripada tempat Azeeza dan Fatma berniaga. Cermin kereta diturunkan sedikit sebelum kaca mata hitam disarungkan ke wajahnya. Dia mengamati setiap perlakuan Azeeza.
Dia mengetap bibir melihat kesungguhan Azeeza yang bersusah payah menjual nasi lemak sambil tangannya tidak lepas memegang buku untuk diulangkaji. Dia fikir Azeeza gadis yang hanya tahu bersenang-lenang ternyata tekaannya salah. Masih terimbas dalam fikirannya perbualan antaranya dengan Firman tempoh hari.
“Azeeza tu bukan perempuan yang senang macam Yasmin, Qai. Dia masuk ke dalam kolej ini bukan untuk mengejar populariti tetapi dia masuk ke sini sebab nak belajar. Hanya mama kau yang sanggup bagi biasiswa untuk pelajar miskin macam dia. Tapi dia tak pernah kesal sebab dilahirkan tak berduit macam kau. Kau tengok macam mana dia usaha untuk terus bertahan. Kalau kau di tempat dia, kau rasa kau mampu ke untuk hadapi semua ini?” soal Firman sewaktu mereka berdua minum bersama tanpa ditemani Zafuan, Rizwan dan Yasmin.
Qaiser hanya mendiamkan diri. Dia lebih suka mendengar daripada menyampuk. Inilah kelemahannya jika berhadapan dengan Firman. Lelaki itu mampu untuk membuatkannya terdiam seribu bahasa. Bagi Qaiser Firman bukan saja kawan yang baik malah seorang abang yang sangat mengambil berat tentang dirinya.
“Aku dapat tahu cerita ni pun daripada adik aku, Ana. Zeeza tu anak yatim piatu, Qai. Dia tak ada sesiapa dalam dunia ni kecuali adik perempuannya yang masih bersekolah. Kau bayangkanlah dalam usia dia sekarang ni, dengan pelajaran lagi dia kena cari rezeki untuk besarkan adik dia. Dialah ayah, dialah ibu, dialah kakak dan dialah abang. Aku cerita semua ini kat kau bukan sebab aku suka dia ataupun apa tapi aku tak sanggup kau buli dia sampai macam tu sekali. Kau dah buat dia kena buang kerja. Kau patut fikir apa yang akan jadi pada dia dan adik dia bila dia kena buang kerja,” ujar Firman lagi.
Qaiser tidak menjawab. Selepas kejadian malam itu, sehari suntuk kepalanya asyik terfikirkan tentang Azeeza. Sebelum ini memang ramai pelajar yang menjadi mangsa bulinya tetapi entah mengapa segala tentang Azeeza mengganggu fikirannya.
Qaiser tersentak apabila bunyi riuh rendah suara budak-budak melintasi keretanya menggembalikan Qaiser ke dunia realiti. Matanya masih dihalakan pada  Azeeza yang masih tidak berganjak daripada tempat duduknya. Kelihatan gadis itu menyeka peluh di dahi. Penat sangat agaknya. Fikir Qaiser.
Lama Qaiser mengamati wajah Azeeza. Wajah itu kelihatan manis apabila tersenyum dan apabila gadis itu tersenyum, bibir Qaiser secara spontan turut tersenyum.
“Boleh tahan juga kau ni ye. Tapi garang ya ampun,” omel Qaiser sendirian.
Dia menutup cermin kereta. Kemudian, dia melangkah keluar. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dihembuskan perlahan. Qaiser menggigit bibir. Apa aku nak buat sekarang ya? Soalnya dalam hati.
“Abang cari apa?” soal satu suara mengejutkan Qaiser. Dia menundukkan badannya sedikit apabila kelihatan seorang budak perempuan berumur dalam lingkungan sebelas tahun menyapa dirinya.
Qaiser tersenyum manis. Tiba-tiba dia mendapat satu akal.
“Adik boleh tolong abang tak?” soal Qaiser sambil memegang kedua belah bahu kanak-kanak itu.
“Tolong apa, bang?” soal budak itu dengan polos.
Qaiser ketawa kecil.
“Sebelum tu abang nak tanya, nama adik apa?” soal Qaiser.
“Nama saya Fifi. Nama abang?” soal Fifi ramah.
“Fifi panggil abang, Abang Hafiy je. Abang nak minta tolong sikit ni. Nanti abang bagi Fifi upah,” ujar Qaiser sambil menatap terus ke anak mata Fifi yang masih setia memandang wajahnya.
“Apa dia, bang?” soal Fifi ingin tahu.
Qaiser tidak menjawab sebaliknya dia mengeluarkan dompet dari poket seluarnya sebelum not lima puluh ringgit diambil dalam dompetnya lalu dihulurkan pada Fifi.
“Untuk apa ni?” soal Fifi.
“Fifi ambil duit ni kemudian Fifi pergi beli semua nasi lemak dekat gerai tu…” ucap Qaiser sambil menuding jari pada gerai Azeeza.
Fifi menoleh ke belakang kemudian kembali memandang wajah Qaiser. Dia menganggukkan kepala tanda faham.
“Semua, bang? Banyak tu. Abang nak makan ke?” soal Fifi lagi.
Qaiser ketawa kecil. Dia mencubit pipi Fifi dengan lembut.
“Iyup. Abang nak makan semua. Abang nak belanja kawan-kawan abang.” Ujar Qaiser.
Sekali lagi Fifi menganggukkan kepala. Dia berpaling dan terus menuju ke arah gerai Azeeza. Qaiser hanya memerhatikan tingkah-laku Fifi. Dia kembali masuk ke dalam kereta dan menurunkan separuh tingkapnya. Cermin mata hitam dibiarkan tersungging di hidungnya yang mancung.
“Kak, nasi lemak ada lagi tak?” soal Fifi sambil memandang bakul nasi lemak milik Azeeza.
Azeeza tersenyum manis dan menganggukkan kepala.
“Ada lagi, dik. Adik nak berapa?” soal Azeeza sambil mencapai plastik yang berada di sebelahanya.
“Saya nak beli semua, kak.” Jawab Fifi sambil matanya terkebil-kebil memandang wajah Azeeza.
Mata Azeeza membulat. Kurang percaya dengan kata-kata Fifi.
“Adik nak beli semua? Siapa yang nak makan? Adik sorang je kan?” soal Azeeza bertalu-talu.
“Taklah. Bukan adik nak. Abang hensem dalam kereta tu yang nak…” ujar Fifi sambil menuding jari ke arah kereta Honda Civic yang berwarna putih.
Mata Azeeza beralih ke arah kereta tersebut. Lama dia memerhatikan kereta itu tetapi pemiliknya tidak kelihatan.
Serentak dengan itu, Qaiser menaikkan cermin keretanya. Dia menyandarkan kepalanya ke kusyen kereta. Dia menarik nafas lega apabila Azeeza tidak melihat kelibat dirinya.
Azeeza  mengalah. Akhirnya dia membungkus sepuluh bungkus nasi lemak yang masih berbaki lalu diberikan kepada Fifi yang masih menunggu. Dengan rasa hati yang masih tertanya-tanya, Azeeza hanya mampu memandang Fifi berjalan menuju ke kereta Honda Civic tersebut.
“Siapa tu adik tu kak? Banyak betul dia beli nasi lemak kita. Sampai habis ni.” Fatma bersuara.
Azeeza hanya menjongketkan bahu tanda tidak tahu.
“Entahlah, dik. Dia cakap abang dia yang pesan beli semua nasi lemak ni. Tak apalah, rezeki kita juga,” balas Azeeza
Fatma hanya menganggukkan kepala tanda faham.

ZAFUAN DAN Rizwan melongo apabila melihat beg plastik yang berisi nasi lemak diletakkan di hadapan wajah mereka. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Banyak betul kau beli nasi lemak ni, Qai. Siapa nak makan ni?” soal Zafuan sambil mengeluarkan nasi lemak itu satu persatu.
Qaiser menghempaskan badannya dia sofa. Wajah Zafuan yang sedang bermain dengan gitar dipandang lama. Tanpa menjawab soalan Zafuan, Qaiser memejamkan mata sambil tangannya diletakkan di atas dahi.
Terbayang di mindanya wajah Azeeza yang kepenatan. Senyum gadis itu cukup manis di pandangan Qaiser apatah lagi saat gadis itu berbual dengan kanak-kanak yang datang membeli, sungguh Qaiser dapat melihat sifat keibu-ibuan yang terserlah di wajah gadis itu.
Selama ini Azeeza selalu mempamerkan wajah garang di hadapannya, jarang sekali gadis itu melemparkan senyuman buatnya lain pula jika gadis itu bersama Firman. Nampak jelas kelembutan yang gadis itu pamerkan.
“Qai, aku tanya kau ni. Siapa nak makan nasi lemak ni?” Zafuan kembali mengulang pertanyaannya.
Qaiser mendengus. Dia membuka mata.
“Aku beli tu untuk korang makan. Makan jelah. Jangan banyak bunyi,” bebel Qaiser.
Zafuan tersengih. Rizwan mula mengambil sebungkus nasi lemak yang berbalut dengan kertas dan daun pisang lalu dibuka perlahan-lahan. Aroma nasi lemak itu menusuk ke hidung seterusnya membuka pintu selera. Sememangnya perut Rizwan memang sedang lapar.
Dengan lafaz basmallah, Rizwan menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya tanpa mempedulikan Zafuan dan Qaiser. Perlahan-lahan dia mengunyah nasi tersebut dan menelan secara perlahan-lahan.
“Sedapnya!” puji Rizwan lalu tangannya terus laju menyuap nasi lemak ke dalam mulut tanpa memandang ke kiri dan kanan.
Zafuan yang melihat Rizwan begitu selera, terus saja mencapai sebungkus nasi. Memang tidak dinafikan. Nasi lemak yang dibeli oleh Qaiser betul-betul membangkitkan seleranya. Tanpa sedar sudah dua bungkus nasi lemak dia habiskan.
“Sedap betul nasi lemak ni, Qai. Kau beli dekat mana? Nanti aku nak belilah.” Ujar Zafuan sambil membuka bungkusan nasi lemak yang ke tiga. Diikuti oleh Rizwan.
Qaiser mula tidak senang duduk apabila disoal oleh Zafuan.
“Makan jelah. Fir mana?” soal Qaiser mematikan soalan daripada Zafuan.
“Tadi ada dekat atas. Kejap lagi turunlah tu. Hah, tu pun dia. Panjang umur,” Rizwan yang menjawab sambil menunjukkan ke arah Firman yang melangkah turun dari tingkat atas.
“Fir, jemput makan nasi lemak ni. Banyak aku beli untuk korang,” pelawa Qaiser sambil memandang wajah Firman yang kelihatan baru selesai dari mandi.
Firman tersenyum dan melabuhkan punggung di tepi Qaiser.
“Kenapa kau tak makan?” soal Firman pelik.
“Aku tunggu kau. Kan kalau aku makan, habis semua nasi lemak tu. Kau tengok Riz dengan Zaf ni, macam membela hantu raya je. Dah masuk tiga bungkus dia balun nasi lemak ni,” ujar Qaiser sambil menolak bahu Rizwan yang berada dekat dengannya.
Firman ketawa kecil. Bau saja nasi lemak berkecur terus air liurnya. Ditambah pula dengan aroma daun pisang, memang membangkitkan seleranya.
“Nampak macam betul-betul sedap ni. Aku nak try satulah,” ujar Firman lantas mencapai sebungkus nasi lemak sebelum dia turut melabuhkan punggung di sebelah Zafuan.
“Kenapa kau tidur dekat sini, Fir? Kau tak balik rumah kau ke?” soal Qaiser.
Firman mengangkat muka sambil tangannya terus menyuapkan nasi ke mulut.
“Saja. Aku study dengan Riz semalam. Kau tu dah lama tak bermalam dengan kita orang,” balas Firman.
Qaiser hanya tersengih. Dia turut mengambil tempat duduk di sebelah Firman. Sebungkus nasi lemak ditarik. Perlahan-lahan kertas pembalut itu dibuka. Seakan terbayang wajah Azeeza di hadapan matanya sehingga membuatkan Qaiser tersentak. Cepat-cepat dia menggelengkan kepala.
‘Mungkin sebab aku berasa bersalah dengan dia, sebab itulah aku selalu teringatkan dia.’ Detik hati Qaiser.
“Kau ni kenapa Qai gelisah semacam aku tengok. Kau teringatkan musuh kau tu ke?” soal Zafuan membuatkan tangan Qaiser terhenti dari menggaul nasi.
Firman memandang wajah Qaiser dengan lama.
“Musuh aku? Siapa?” Qaiser berpura-pura tidak mengerti. Firman sudah tersenyum nipis.
“Musuh nombor satu kau tulah. Aku perasan dialah satu-satunya mangsa buli kau yang kuat melawan. Tak pernah aku tengok perempuan lain lawan kau sampai macam ni sekali. Apa plan kau untuk kenakan dia selepas ni?” soal Rizwan sambil memandang wajah Qaiser yang kelihatan selamba.
Qaiser tidak menjawab. Plan? Tidak pernah difikirkan tentang itu. Kerana kesilapan dirinya, dia terpaksa menanggung rasa bersalah malah sehingga ke hari ini Qaiser tidak dapat melupakan air mata yang menitis di pipi Azeeza saat gadis itu meluahkan perasaannya pada Liyana tempoh hari.
“Malaslah aku nak ambil tahu. Lantak dialah nak buat apa pun,” ujar Qaiser akhirnya.
Zafuan dan Rizwan tersentak. Hanya Firman yang tersenyum sendirian.
What? Apa dah kena dengan kau, Qai? Kau tak ingat ke apa yang dia dah buat pada kau? Dia tumbuk kau depan kawan kau yang lain. Dia maki kau, kau nak biarkan macam tu je? Macam tak masuk akal je…” provok Zafuan tidak berpuas hati.
“Habis tu kau nak aku buat apa?” soal Qaiser malas.
“Kau balaslah balik apa yang dia buat. Kau kenakan dia cukup-cukup. Biar dia melutut minta maaf dengan kau. Perempuan keras kepala macam tu, kena ajar sikit!” sambung Rizwan dengan semangat yang berkobar-kobar.
Wajah Firman berubah. Dia tidak setuju dengan kata-kata Rizwan dan Zafuan. Bagi mereka buli itu adalah perkara biasa sedangkan pada Firman, buli itu tidak ubah seperti orang yang pengecut kerana mereka hanya membuli pada mereka yang tidak mahu melawan.
“Kau orang ni memang tak serik-serik kan? Kau tak kesian ke tengok mangsa-mangsa buli tu. Cuba bayangkan kalau adik kau sendiri yang kena buli. Kau rasa marah tak? Kenapa kau orang ni suka buat kerja yang tak berfaedah. Langsung tak fikirkan perasaan orang lain. Cuma yang kau orang tahu nak puaskan hati kau orang je. Cubalah jadi manusia tu fikir tentang perasaan orang lain. Tak sedar ke orang yang kau buli itu orang yang lemah. Jangan jadi pengecut yang tahu menindas orang lain!” Firman bersuara.
Dia mengangkat kertas kotor lalu dibawa ke dapur. Malas dia mahu bercampur dengan orang yang tidak tahu menghormati orang lain seperti Qaiser, Zafuan dan Rizwan.
Zafuan dan Rizwan tercengang. Mereka berpandangan.
“Kau tengok tu, Qai. Entah apa yang merasuk Fir tu. Asyik menangkan si minah tu je. Aku rasa tentu dia syok dengan Azeeza tu. Kalau orang lain tak adalah dia nak masuk campur sangat,” ujar Rizwan.
Qaiser terdiam. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Firman kerana lelaki itu pernah mengingatkan dia tentang Azeeza. Cuma, Qasier tidak tahu apa yang berada dalam fikirannya sekarang.
“Alah takkan kau tak tahu, Azeeza tu kan kawan baik adik Fir mestilah dia rasa tak selesa kalau kita buli Azeeza. Tapi siapa suruh minah tu cari pasal. Sendiri buat, sendiri tanggunglah.” Sampuk Zafuan.
“Sudahlah, lebih baik kau orang berdua makan. Nanti kita lepak-lepak dekat town. Bosan pula aku hari ni,” ucap Qaiser cuba menghentikan pertelingkahan antara Zafuan dan Rizwan.
“Boleh, kau belanja.” Ucap Rizwan.
“Selama ini siapa yang belanja?” soal Qaiser sambil menjongketkan kening.
Zafuan dan Rizwan hanya tersengih bak kerang busuk.

ZAFUAN DAN Rizwan bernyanyi kecil sambil mata mereka melilau-lilau memandang sekeliling pusat membeli belah Berjaya Megamall yang dipenuhi dengan pengunjung. Qaiser hanya mengikuti dari belakang. Dia bukannya suka sangat bersiar-siar dalam tempat yang penuh dengan orang ramai ini cuma sekadar untuk memenuhi masa lapang.
Qaiser menghela nafas panjang sambil tangannya membetulkan rambutnya yang terjuntai di dahi. Rambutnya yang panjang dibiarkan sehingga mencecah kolar baju dibiarkan menutupi dahinya sehingga hampir masuk ke dalam mata. Sudah banyak kali Puan Qarina membebel tentang rambutnya, tetapi Qaiser hanya memekakkan telinga. Bagi Qaiser inilah gayanya.
Sedang asyik Qaiser bermain dengan rambutnya tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang. Qaiser tersentak.
“Maaf….” Ujar suara itu tanpa memandang wajah Qaiser.
Qaiser tercengang seketika. Dia berpaling ke belakang. Lama dia memerhatikan tingkah gadis yang melanggarnya tadi. Rasanya macam aku kenal. Detik hati Qaiser.
Sah, memang dia! Jerit hati Qaiser. Tapi dia nak pergi ke mana sorang-sorang macam ni? Detik hati Qaiser lagi.
“Geng, kau jalan-jalan dululah. Aku ada kerja sikit. Nanti aku datang semula,” ucap Qaiser pada Rizwan dan Zafuan.
Langkah kedua sahabatnya itu terhenti. Mereka berpaling pada Qaiser yang berada di belakang.
“Kau nak pergi mana pulak ni? Biarlah kita orang ikut sekali,” ujar Rizwan.
Qaiser menghampiri sahabatnya itu. Bahu Rizwan ditepuk.
“Aku nak jumpa kawan lama aku sekejap. Kau orang berdua pergilah shopping dulu. Nanti aku datang balik. Nah, kau ambil ni. Pergi makan dulu…” balas Qaiser lalu menyerahkan wang seratus ringgit pada Rizwan.
Kedua sahabatnya itu hanya tersengih.
“Yelah, bos. Jangan lama sangat jumpa kawan tu.” Pesan Rizwan.
Qaiser hanya menganggukkan kepala. Dia berpaling. Namun, belum sempat dia melangkah dia memanggil nama Zafuan.
“Hah, kau nak apa?” soal Zafuan.
“Aku pinjam topi kau sekejap,” ujar Qaiser lalu mengambil topi yang berada di atas kepala Zafuan lalu dipakaikan di kepalanya.
Tanpa sempat Zafuan bersuara, Qaiser terlebih dahulu melangkah meninggalkan mereka berdua. Entah mengapa hatinya kuat untuk mengikuti langkah gadis itu. Lantas, langkahnya dipercepatkan. Topi yang berada di kepala diperkemaskan lagi.
Qaiser berhenti di sebalik dinding. Dia mengintai bayang gadis itu di celah orang ramai. Kelihatan Azeeza sedang memujuk seorang gadis muda. Mungkin adiknya.
“Ma, lain kali ya kakak beli untuk Ma. Ma tahu kan sekarang ni kakak tengah kumpul duit nak belikan Ma uniform. Lepas kita beli uniform, baru akak beli kasut baru untuk Ma,” pujuk Azeeza dengan lembut.
Dia menyentuh lengan Fatma yang merajuk. Dia tahu adiknya itu sudah lama menginginkan kasut baru tetapi masalah kewangan yang mereka hadapi tidak memungkinkan Fatma untuk mendapatkan kasut yang baharu.
“Tapi lambat sangat, kak. Kalau kakak tak ada duit, tak apalah. Guna duit Ma dulu. Ma ada simpan duit,” balas Fatma.
Azeeza mengetap bibir. Dia memegang kedua belah bahu Fatma. Wajah adik kesayangannya itu dipandang lama.
“Ma, duit tu duit belanja Ma. Ma gunalah untuk belanja sekolah. Pasal kelengkapan sekolah Ma itu tanggungjawab kakak. Kakak tahu kakak tak dapat berikan Ma kemewahan tapi akak berjanji akan pastikan adik akak ni hidup dengan sempurna tapi bagilah kakak masa. Minggu depan akak start kerja dekat kedai kawan kakak. Insya-Allah, ada rezeki kakak belikan kasut baru untuk Ma.” Pujuk Azeeza lagi.
Fatma menundukkan wajah. Akhirnya dia menganggukkan kepala. Akur dengan pujukan Azeeza. Sebagai seorang adik seharusnya dia memahami kesusahan yang dialami oleh Azeeza, bukannya menambah lagi beban kakaknya itu.
“Yelah, kakak. Nanti Ma tolong apa yang patut.” Ujar Fatma. Dia mengukir senyuman manis.
Azeeza turut tersenyum. Dia menggosok kepala adiknya yang beralas tudung. Dia memanjatkan kesyukuran kerana Allah mengurniakan seorang adik yang memahami seperti Fatma.
“Jomlah balik. Nanti lambat pula sampai rumah,” ajak Azeeza sambil menarik tangan Fatma. Mereka jalan beriringan tanpa menyedari diri mereka diperhatikan.
Qaiser meneruskan langkah mengikuti Azeeza sehinggalah gadis itu sampai ke perhentian bas. Hatinya rasa sesuatu apabila melihat seorang lelaki yang berpakaian selekeh memerhati Azeeza yang sedang berdiri di hadapan perhentian bas tersebut.
“Akak, akak sedialah duit tambang dulu. Nanti senang tak payah buka beg dah nak ambil duit,” ujar Fatma pada Azeeza.
Azeeza hanya menganggukkan kepala. Dia membuka beg sandangnya dan mencapai beg duitnya. Empat keping not satu ringgit dikeluarkan. Namun, belum sempat dia menutup beg dompetnya kembali, tiba-tiba begnya diragut.
Azeeza terkejut. Fatma menjerit kuat.
“Tolong!!” jerit Azeeza kuat. Dia benar-benar terkejut ketika itu. Kejadian berlaku dengan begitu pantas.
Keadaan mula menjadi hingar-bingar. Beberapa orang pemuda cuba mengejar lelaki itu. Azeeza turut serta mengejar. Fatma juga mengikut. Mereka berdua sampai di belakang bangunan yang sunyi sepi.
Kelihatan lelaki yang berpakaian selekeh itu sudah dikepung oleh lima orang pemuda. Terdapat beg sandang milik Azeeza di tangan lelaki itu. Azeeza hanya mampu memandang dari kejauhan. Dia tidak berani untuk berada dekat dengan kumpulan itu kerana risaukan keselamatan Fatma. Dia memeluk Fatma yang kelihatan menggigil ketakutan.
“Hoi, bangsat! Lebih baik kau pulangkan beg tu pada kami. Sebelum lunyai kami kerjakan kau!” jerit salah seorang pemuda yang mengepung lelaki itu.
Lelaki berpakaian selekeh itu hanya ketawa. Dia mengesat hidungnya yang berair.
“Jangan harap. Ini rezeki aku. Kau orang jangan nak menyibuk!” marahnya.
Mata lelaki itu melilau-lilau cuba mengintai peluang untuk melarikan diri. Dia harus menyelamatkan dirinya sendiri sebelum apa-apa terjadi. Lantas, dia cuba untuk merempuh kepungan itu. Namun, nasibnya malang.
Bukkk!
Satu tendangan lekat di belakangnya. Dia hampir tersungkur. Namun, dia tidak menyerah kalah. Dia berpaling. Kelihatan seorang lelaki bertopi sedang merenung tajam padanya.
“Bagi beg itu pada aku kalau kau nak selamat!” ujar lelaki yang bertopi itu.
Lelaki yang berpakaian selekeh itu meludahkan air liurnya ke tanah. Dia membalas renungan itu dengan tajam.
“Kau ingat aku takut dengan kau?!”
“Aku tak mintak kau takut dengan aku tapi memandangkan kau degil, jadi aku terpaksa gunakan kekerasan,” ujar lelaki bertopi itu lantas menghayunkan penumbuknya pada wajah lelaki yang meragut beg Azeeza.
Terjadi insiden tumbuk menumbuk di antara lelaki bertopi dan lelaki yang telah meragut beg Azeeza. Azeeza hanya mampu memandang. Dahinya berkerut kerana cuba mengecam wajah lelaki yang bertopi itu. Wajahnya tidak kelihatan kerana berselindung di sebalik topi yang dipakai.
Tidak lama kemudian, kedengaran suara lelaki yang meragut beg Azeeza menjerit. Barulah Azeeza tersedar yang akhirnya lelaki itu tumpas di tangan pemuda-pemuda yang mengejarnya tadi.
“Jom, kita bawa dia ke balai polis. Kecil-kecil tak nak mati, besar-besar menyusahkan orang je.” Bebel salah seorang pemuda yang berjaya menumpaskan peragut tersebut.
Azeeza tersenyum dan mengucapkan terima kasih pada kesemua yang berjaya menangkap peragut tersebut. Dia terus meluru ke arah lelaki bertopi yang sedang memegang beg sandang miliknya. Azeeza memandang dari belakang.
Badan lelaki itu cukup tegap. Dengan ketinggian 180 sentimeter memang sesuai dengan badannya yang sasa. Kulit lengan lelaki itu putih kemerahan langsung tidak menampakkan wajahnya. Malah rambutnya panjang sehingga mencecah kolar baju belakangnya membuatkan Azeeza sukar untuk mengecam wajah lelaki misteri itu. Siapa dia? Soal hati Azeeza.
Errr…encik, itu beg saya. Terima kasih sebab selamatkan beg saya dari kena curi…” ujar Azeeza. Jantungnya berdebar. Entah apa yang terkeluar dari mulutnya pun dia tidak tahu.
Azeeza cuba mencari raut wajah lelaki itu namun dengan pantas lelaki itu mengelak. Lelaki itu hanya menundukkan wajah dan terus membelakangkan Azeeza.
Hmmm…” ujar lelaki itu. Pantas, dia menyerahkan beg sandang berwarna hitam itu pada Azeeza.
Dengan teragak-agak, Azeeza menyambut. Dia hanya mampu memandang tangan lelaki itu yang sasa. Kelihatan urat-urat timbul di permukaan lengan lelaki itu. Namun, Azeeza hanya tersenyum dalam hati melihat jari-jemari lelaki itu yang runcing. Cantik betul jari dia. Macam perempuan. Desis hati Azeeza.
“Terima kasih…” ucap Azeeza.
Lelaki itu tidak membalas sebaliknya terus berpaling untuk meninggalkan Azeeza. Azeeza mula serba salah.
“Encik!” panggil Azeeza.
Lelaki itu menghentikan langkahnya.
“Semoga Allah membalas segala kebaikan yang encik lakukan. Terima kasih sekali lagi untuk pertolongan encik tadi,” ujar Azeeza.
Lelaki itu hanya mengangguk tanpa membalas kata-kata Azeeza. Lalu, dia melangkah meninggalkan Azeeza dan Fatma.
“Siapa tu kak? Misteri betul.” Komen Fatma.
Azeeza hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia melekapkan tapak tangan di jantungnya. Debaran masih terasa.
“Akak pun tak tahu, yang pasti dia hamba Allah,” balas Azeeza sambil menghantar bayang lelaki itu dengan pandangan matanya.


No comments:

Post a Comment