Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 7



BUNYI NGAUMAN enjin motor milik kumpulan Qaiser memecah kesunyian pagi. Azeeza yang sedang berjalan bersama dengan Liyana dan Izz hanya mencebik apabila melihat pelajar-pelajar perempuan tidak berkelip memandang Qaiser dan gengnya.
Memang tidak dinafikan Qaiser seorang yang terkenal di kolej mereka. Bukan setakat terkenal dengan wajah yang tampan malah sikap gangster lelaki itu juga memang cukup dikenali di kolej mereka. Sudah muak Azeeza mendengar tentang Qaiser. Cuma satu saja yang Azeeza pelik dengan Qaiser, walaupun memiliki rupa paras yang sempurna, namun Qaiser bukan seorang kaki perempuan seperti kebanyakan lelaki kacak yang lain. Mungkin wajahnya yang bengis membuatkan tiada perempuan yang ingin mendekati kecuali Yasmin.
“Eh, Qai dah datanglah!”
Bunyi jeritan itu membuatkan Azeeza tersedar daripada lamunannya. Dia berpaling ke belakang. Kelihatan empat buah motorsikal berkuasa tinggi sedang memasuki ruang pagar kolej mereka. Azeeza langsung tidak teruja sebaliknya dia hanya mencebik benci.
“Cepatlah, Ana. Hari dah hujan ni. Masak kita kalau dia orang langgar lopak air tu…” ucap Azeeza sambil memuncungkan mulutnya ke arah lopak air yang berada di hadapan mereka.
Liyana dan Izz mengangguk. Hati mereka berdua turut bimbang. Hujan yang turun dari semalam tidak henti-henti menyebabkan lopak mula ditakungi oleh air. Itulah yang dirisaukan oleh Azeeza. Buatnya Qaiser melanggar lopak air tersebut, tidak ke basah mereka bertiga. Detik hatinya.
Qaiser hanya tersenyum memandang Azeeza, Liyana dan Izz. Dia berhenti di pintu pagar sambil diikuti oleh sahabatnya yang lain.
“Weh, Qai. Musuh kau tu. Apa lagi, jomlah balas dendam!” jerit Zafuan. Yasmin yang menunggang di belakangnya hanya menganggukkan kepala.
Hanya Firman yang menggelengkan kepala.
Qaiser memandang lopak air dan Azeeza silih berganti. Gadis itu kelihatan ayu dengan memakai baju kurung berwarna kuning cair dan dipadankan dengan tudung yang berwarna senada dengan bajunya. Wajah itu kelihatan gelisah. Lalu, Qaiser memulas minyak dengan kuat. Dia sudah bersiap sedia.
Lantas, Qaiser terus memacu motosikal YZF R1 miliknya dengan laju. Azeeza yang menyedari tentang itu mula memejamkan mata. Dia memang tidak dapat melarikan diri kerana lopak air itu berada hanya beberapa inci darinya. Habislah baju aku hari ni! Detik hati Azeeza.
Azeeza terdengar Izz menjerit. Lalu dia membuka mata. Dia memandang bajunya yang kering. Dia memandang baju Liyana dan Izz. Juga kering. Dia kembali mendongak memandang ke hadapan.
Kelihatan Qaiser menghentikan motosikalnya sambil memandang ke arah Azeeza. Lelaki itu tersenyum sinis sambil melambaikan tangannya pada Azeeza.
Azeeza menjeling. Namun, dia menarik nafas lega apabila Qaiser tidak melanggar lopak air tersebut.
“Izz, yang kau jerit macam kena rompak ni kenapa?” soal Liyana sambil menolak bahu Izz menggunakan failnya.
“Mahu tak menjerit. Aku ingatkan Qaiser nak langgar lopak air tu, rupa-rupanya dia elak. Tak sangka aku.” Ujar Izz bagaikan tidak percaya.
“Haah, aku pun tak percaya. Biasanya dia main redah je lopak air tu. Dia tak fikir dah siapa kena air kotor tu. Pelik pula dia hari ni,” tambah Liyana sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Tak payahlah kau orang nak fikir sangat pasal mamat tu. Otak dia bukannya betul sangat.” Balas Azeeza sambil mempercepatkan langkah untuk ke kelas.
“Entahlah. Angin dia betul kut hari ini. Eh, kejap lagi kita satu kelas dengan dia kan?” soal Liyana.
“Kelas apa?” soal Izz dan Azeeza serentak.
“Kelas Institusi Islam. Kita sama kelas dengan dia. Kau orang lupa ke?” soal Liyana.
“Bukan lupa tapi tak pernah ambil peduli. Bukan ke dia selalu ponteng kelas ustaz ke? Kenapa tiba-tiba hari ni masuk kelas pula?” soal Izz.
Liyana dan Azeeza hanya menjongketkan bahu.
“Kolej ni mak dia punya jadi ikut suka hati dialah nak masuk ke tak nak masuk.” Balas Azeeza geram.
“Tapi setahu aku, Puan Qarina tu bukan jenis yang manjakan anak dia sangat. Kalau anak dia tak masuk kelas pun dia ambil tindakan juga.” Balas Liyana.
“Macam mana kau tahu?” soal Azeeza sambil berpaling pada Liyana.
“Abang aku ceritalah,” balas Liyana sambil tersengih.
“Aku lupa pula abang kau tu kaki gangster juga,” balas Izz tanpa mempedulikan Liyana yang sudah menjengilkan mata.
“Mulut kau tu jaga sikit, ya? Abang aku cuma berkawan dengan dia je bukan kaki gangster. Sebelum kaki aku naik ke muka kau, lebih baik kau diam.” Balas Liyana menyinga.
Azeeza hanya ketawa kecil melihat pertelingkahan yang terjadi antara Liyana dan Izz. Mereka berdua memang begini, pantang berjumpa pasti bertekak. Tetapi bila salah seorang daripada mereka tiada, Azeeza dapat rasakan dunianya sunyi.
“Sudahlah, tak payah nak bergaduh. Hal kecik je pun. Dah, jom masuk kelas.” Ajak Azeeza.
Izz mengangguk. Sempat lagi dia menjelirkan lidahnya pada Liyana yang menjeling marah. Azeeza hanya mampu menggelengkan kepala.

QAISER MEMARKIRKAN motornya di tempat biasa. Dia menanggalkan helmet dan sarung tangan yang dipakai. Jaket kulit yang tersarung di badannya turut ditanggalkan. Dia membetulkan baju kameja yang dipakai sebelum dia tunduk memandang cermin sisi. Niatnya untuk membetulkan rambut tetapi secara tidak sengaja dia terpandangkan Azeeza yang sedang ketawa melihat Liyana dan Izz bertikam lidah.
Qaiser membetulkan rambutnya sambil anak mata coklat pekat miliknya difokuskan pada Azeeza yang tidak menyedari dirinya dipandang dari dalam cermin. Seronok betul kau gelak, Azeeza. Detik hati Qaiser. Dia terus membetulkan rambutnya.
“Qai, kenapa you tak langgar je lopak air tu tadi? Biar kena badut tiga ekor tu.” Tanya Yasmin tidak berpuas hati. Dia membetulkan rambutnya yang sedikit kusut akibat memakai topi keledar.
Qaiser tersentak. Dia mendongak memandang wajah Yasmin yang tidak berpuas hati.
“Tayar motor I ni dah tak ada bunga. Buatnya I tersungkur jatuh depan tu, siapa yang malu? I juga kan.” Qaiser memberi alasan.
Yasmin terdiam. Tayar tak ada bunga? Macam tak logik je alasan tu. Detik hati Yasmin.
“You ni biar betul Qai. You lupa ke minah tu dah malukan you depan orang ramai. Dia tampar you lepas tu dia campak duit kat muka you. You dah lupa ke semua tu?” soal Yasmin sedikit geram.
Zafuan, Rizwan dan Firman hanya memandang dan mendengar soal jawab antara Yasmin dan Qaiser. Mereka malas untuk menyampuk.
Qaiser mengeluh berat. Ini yang aku malas dengan perempuan ni. Rimas betul. Bentak hatinya.
“I ingat. Mana mungkin I lupa. You boleh tak jangan nak paksa I. I nak masuk kelas ni. Banyak benda lagi I nak fikir selain fikir pasal perempuan!” bentak Qaiser malas.
Dia berlalu meninggalkan kumpulannya. Yasmin menarik mulut muncung. Tak puas hati betul. Dahlah hari ni kena pergi kelas agama. Bosannya! Jerit hati kecil Yasmin.
“Dahlah, Min. Kau bukan tak tahu perangai Qai tu. Mesti dia ada rancangan nak jatuhkan budak selekeh tu. Kau jangan risau,” pujuk Rizwan.
Yasmin mengeluh. Dia mengeluarkan selendang dari dalam begnya lalu dipakaikan di kepalanya.
“Kenapa awak pakai selendang pula ni?” soal Firman pelik. Dia memandang Yasmin dengan penuh kehairanan.
“Kejap lagi kan kelas ustaz, kenalah pakai tudung…” balas Yasmin.
Firman tersenyum. Itulah silap pelajar perempuan sekarang, bertudung apabila perlu. Bila nak ke kelas agama, pakai tudung. Bila nak masuk bilik kuliah, pakai tudung. Bila masuk bulan Ramadan, pakai tudung. Dah macam bermusim pula. Sedangkan tudung itu adalah satu perintah yang wajib diikuti oleh setiap wanita Islam. Tidak sedarkah mereka yang bernama wanita akan azab yang pedih jika tidak menutup aurat.
“Pakai tudung janganlah sebab ustaz je, ustaz tak dapat bagi pahala. Tapi pakailah sebab Allah, nanti lagi berganda pahala yang awak dapat. Lagipun Tuhan tu ada di mana-mana bukan takat dalam kelas aje. Lagipun awak cantik kalau pakai tudung,” balas Firman lalu berlalu.
Yasmin panar seketika. Dia mendengus kasar. Tidak suka apabila ada yang menasihatinya tentang tudung. Ikut suka akulah nak pakai ke tak. Kubur masing-masing! Bentak hatinya.
Zafuan dan Rizwan hanya menjongketkan bahu. Kata-kata Firman ada benarnya. Akhirnya mereka berjalan menuju ke kelas yang akan bermula lima belas minit dari sekarang. Zafuan dan Rizwan berlari-lari anak untuk menyaingi langkah Qaiser yang semakin jauh.
Qaiser memandang sekeliling kelas. Beberapa mata memandang ke arahnya. Terutama sekali pelajar perempuan. Ada yang tersenyum-senyum padanya. Tidak kurang juga ada yang tersengih. Qaiser hanya menayang muka selamba. Dia menyelak rambutnya yang panjang ke belakang.
“Hensemnya….” Desis satu suara membuatkan Qaiser berpaling. Namun, saat dia berpaling, kedua wanita tadi mendiamkan diri.
Qaiser rimas. Semua orang memandangnya. Macam tak pernah tengok orang. Getus hati Qaiser lalu dia memilih tempat duduk paling belakang. Dia mencari-cari seraut wajah namun tidak ketemu. Aik, bukan ke dia masuk awal tadi? Soal hati Qaiser.
Tidak lama kemudian, muncul Azeeza, Liyana dan Izz di hadapan kelas. Mereka bertiga mencari tempat duduk namun tempat duduk di hadapan sudah dipenuhi oleh pelajar lain lalu mereka akur untuk duduk di bahagian belakang kelas.
“Kita nak duduk mana ni?” bisik Azeeza rapat di telinga Liyana. Dia memegang kejap lengan sahabatnya itu.
“Aku pun tak tahu. Biasanya kita duduk kat depan. Hari ni tak sangka ramai pulak yang datang. Mesti sebab ustaz nak bahagikan kumpulan untuk kem ibadah tu.” Balas Liyana turut berbisik.
Matanya melilau-lilau memandang tempat duduk yang kosong. Akhirnya matanya terhenti pada laman wajah Firman yang melambaikan tangan pada mereka bertiga. Liyana tersenyum tapi senyuman Liyana mati apabila terpandang wajah Qaiser yang duduk bersebelahan dengan Firman. Dia mencebik.
“Ana, abang kau yang hensem panggil kita tu…” tunjuk Izz sambil badannya meliuk lentok tanda teruja melihat Firman yang sedang tersenyum manis.
Liyana menjeling pada Izz sedangkan Azeeza sudah mendengus apabila terpaksa bersua muka dengan Qaiser. Sejak peristiwa di restoran tempoh hari, tidak sedikit pun Azeeza memandang wajah Qaiser apatah lagi untuk menyapa. Segala bentuk khianat yang dilakukan oleh kawan-kawan lelaki itu langsung tidak diendahkan oleh Azeeza. Rasanya sudah mati untuk melayan kerenah Qaiser.
“Memanglah abang aku panggil tapi kau tengoklah siapa sebelah dia tu. Beruang kutub sesat tu.” Jawab Liyana dengan suara yang perlahan.
Izz menahan tawa. Beruang kutub sesat? Ada ke patut samakan wajah kacak Qaiser dengan beruang kutub. Melampau betul imiginasi Liyana.
“Tapi kita tak ada tempat dah ni. Kita duduk jelah belakang abang kau tu,” Izz memberi cadangan.
Liyana mengeluh. Akhirnya mereka bertiga menuju ke arah Firman.
“Kau orang ni apa hal duduk kat kita orang?” soal Yasmin mula mencari pasal.
Mencerlung anak matanya memandang Azeeza, Liyana dan Izz.
“Eh, hello. Kelas ni kau punya ke?” soal Liyana dengan berani.
Yasmin mendengus. Dia berpeluk tubuh. Dia bangun dan berhadapan dengan Liyana yang kelihatan berani. Qaiser hanya diam membisu. Dia lebih gemar menilik kukunya daripada mencampuri urusan Yasmin yang baginya entah apa-apa.
“Memanglah bukan aku punya tapi ini tempat kami. Kami ni alegik sikit dengan monyet-monyet macam kau orang ni. Sorang monyet ala-ala sotong kering. Sorang lagi monyet kampung dan kau monyet meroyan. Betul tak guys?” soal Yasmin sambil ketawa lepas.
Tapi malangnya tiada siapa yang ketawa hanya Rizwan dan Zafuan saja yang ketawa. Macamlah kelakar sangat.
Berdesing telinga Azeeza mendengar. Liyana apatah lagi.
“Yasmin, saya rasa lebih baik awak jaga sikit mulut awak tu. Tak pasal-pasal dapat pelempang percuma nanti. Perempuan yang awak panggil monyet tu adik saya. Jadi perempuan jangan nak over sangat!” marah Firman
Yasmin terdiam. Dia tidak pernah tahu yang Firman ada adik di kolej ini. Selama hampir tiga tahun mereka berada dalam kumpulan yang sama, belum pernah Firman menyebut tentang adik perempuannya itu dan dia tidak menyangka Liyana yang setahun lebih muda itu adalah adik Firman. Mulut boleh tahan juga pedasnya.
Liyana tersenyum sinis. Terasa dia menang apabila Firman sudah bersuara.
“Dahlah, Ana. Tak payah kita layan orang yang syok sendiri. Tak jadi kudis pun dia panggil kita monyet sebab jadi monyet tu lebih baik dari jadi perempuan yang kurang ajar. Belajar sampai masuk kolej tapi perangai kalah monyet. Kalau kita layan dia, kita pun tak jauh beza je. Dah, dah. Jom kita duduk.” Sampuk Azeeza.
Sempat lagi dia mengenakan Yasmin. Dia menarik tangan Liyana dan duduk di barisan belakang kelas. Sekilas dia memandang Qaiser yang tidak bersuara.
Qaiser hanya mampu menahan tawa. Dia menutup mulutnya sambil menjeling pada Yasmin yang menahan marah. Wajah gadis itu kelihatan merah kerana tidak berpuas hati dengan kata-kata Azeeza.
Yasmin rasa terpukul dengan kata-kata Azeeza lantas di bangun untuk mendapatkan Azeeza namun bunyi salam di hadapan kelas mematikan niatnya. Dia duduk kembali di sebelah Qaiser.
“You boleh diam je minah tu cakap I macam-macam?” soal Yasmin tidak berpuas hati.
Qaiser hanya menjongketkan bahu. Matanya tetap memandang Ustaz Mustakim yang berada di hadapan kelas.
“Dah tu you nak suruh I buat apa? Nak I tumbuk muka dia untuk bagi you puas hati. Macam tu? You yang cari pasal dengan dia. You tanggunglah sendiri. I malas nak masuk campur hal remeh-temeh macam ni. Kalau mama I tahu, I juga yang kena jawab.” Balas Qaiser membela diri.
Yasmin mendengus geram. Dalam hati dia sudah bertekad untuk membalas balik atas apa yang berlaku padanya hari ini.
“Nampaknya, kelas kita penuh hari ni.” Ujar Ustaz Mustakim dengan senyuman  sinis.
Dia memandang wajah pelajarnya satu persatu. Walaupun kerjayanya sebagai seorang ustaz namun sikap garang ustaz ini memang tidak boleh jangka. Memang dia tidak memaksa untuk pelajar ke kelasnya tetapi markah untuk ujian akan dipotong dalam diam. Inilah cabaran yang terpaksa dia hadapi jika mengajar di kolej persendirian.
Anak mata Ustaz Mustakim terlekat pada wajah Qaiser. Dia tersenyum nipis. Boleh dikira dengan jari berapa kali saja Qaiser hadir ke kelas. Dia tahu Qaiser memang seorang yang berpengaruh malah mama Qaiser bukan calang-calang orang. Dengan kelebihan itu Qaiser mengambil kesempatan untuk ponteng kelas dengan sewenang-wenangnya.
“Qaiser Hafiy, Yasmin Nadia, Zafuan dan Rizwan, saya tak sangka boleh bertemu awak sebelum semester habis. Awak semua apa khabar? Alhamdulillah, hari ni awak dapat datang kelas.” Perli Ustaz Mustakim membuatkan pelajar-pelajar lain ketawa.
Mereka berempat hanya tersengih-sengih sebagai jawapan.
“Awak berempat ni dah tak datang kelas melebihi tujuh kali dan kalau ikutkan saya dah boleh bar awak daripada menduduki final exam tapi saya tak nak. Awak nak tahu kenapa? Sebab saya nak uji keikhlasan awak dalam menuntut ilmu. Saya tak nak awak menuntut ilmu disebabkan terpaksa ataupun disebabkan subjek Institusi Islam ini adalah subjek wajib untuk semua kos. Kalaulah awak tahu bahawa ilmu ini satu benda yang sangat penting dalam kehidupan kita nescaya awak semua takkan pernah mahu berhenti untuk menuntut ilmu kerana orang yang menuntut ilmu ini amat dimuliakan oleh Allah malah darjatnya akan diangkat melebihi orang lain.” Ujar Ustaz Mustakim membuatkan semua pelajarnya terdiam.
Azeeza hanya menganggukkan kepala tanda faham. Malah, Azeeza teringat akan kata-kata Imam al-Ghazali;
Menuntut ilmu adalah takwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang ilmu adalah zikir, mencari ilmu adalah jihad.
Disebabkan tuntutan mencari ilmu itu adalah satu kepentingan, Azeeza rela menempuhi segala halangan dan dugaan demi mencari setitis ilmu. Dia tahu hanya dengan ilmu mampu merubah masa depan dirinya dan adiknya.
“Okey, seperti yang saya janjikan kelas minggu lepas. Hari ini saya akan bahagikan kumpulan untuk kem ibadah yang akan diadakan dua minggu lagi. Saya bacakan nama ketua dan penolong saja. Selebihnya, ketua dan penolong yang akan mencari ahli kumpulannya sendiri.” Ujar Ustaz Mustakim mengembalikan Azeeza ke alam realiti.
Dia membesarkan mata cuba menghilangkan rasa mengantuk yang tiba-tiba menjengah. Dia menjeling ke tepi. Kelihatan Izz sudah pun memejamkan mata. Azeeza tersenyum sendirian lantas dia menyiku Liyana.
“Cuba kau tengok Izz tu, dalam kelas ustaz pun dia boleh terlelap,” bisik Azeeza rapat di telinga Liyana.
Liyana berpaling pada Izz. Dia ketawa kecil. Timbul akal nakalnya untuk mengusik Izz. Lantas dia mendekatkan mulutnya ke arah Izz.
“Izz, ustaz berdiri depan kau ni. Baik kau bangun cepat!” bisik Liyana.
Spontan, mata Izz terbuka luas. Tegak anak matanya memandang ke hadapan. Namun, bunyi tawa dari arah sebelahnya membuatkan Izz berpaling.
“Kau orang ni kan, sengaja nak kenakan aku!” ujar Izz dengan lenggok suaranya yang lembut. Dia menudingkan jari kepada Liyana dan Azeeza. Tanpa sedar suaranya sedikit meninggi sehingga menarik perhatian Ustaz Mustakim yang berada di hadapan kelas.
Azeeza dan Liyana menundukkan wajah apabila beberapa pasang mata memandang ke arah mereka termasuklah lelaki yang sangat dia benci.
“Izz, apa yang bising sangat tu?” tegur Ustaz Mustakim sambil tepat memandang wajah Izz.
Izz hanya tersengih bak kerang busuk. Dia menggelengkan kepala.
“Tak ada apa-apalah, ustaz. Saya tengah berbincang dengan Azeeza dan Liyana. Kami tak sabar nak pergi kem ibadah tu,” bohong Izz sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Ustaz Mustakim tidak menjawab. Dia kembali menyambung pekerjaannya menyemak nama pelajar mengikut kumpulan yang akan dibahagikan sebentar lagi.
Izz menarik nafas lega. Kemudian dia berpaling pada Liyana dan Azeeza. Kedua sahabatnya itu hanya mengangkat dua jari tanda peace. Izz merengus.
“Nasib baik kita dalam kelas, kalau tak aku luku-luku kepala korang berdua.” Bebel Izz.
Dia menjuihkan bibir. Namun, tidak disangka-sangka anak matanya berlaga dengan anak mata coklat milik seseorang yang duduk di hadapannya. Izz menikus. Selepas kejadian dia dibuli, dia sudah serik jika berhadapan dengan Qaiser. Lelaki itu memang pembuli yang kejam. Namun, Izz pelik apabila anak mata Qaiser beralih pada Azeeza yang duduk di sebelah Liyana. Dahi Izz berlapis. Dah kenapa Qaiser ni asyik pandang Zeeza? Bisik hatinya. Tidak diluahkan.
“Okey kelas, sila beri tumpuan. Saya nak umumkan nama ketua dan penolong.” Suara Ustaz Mustakim memecah kesunyian kelas.
Azeeza menanti dengan penuh perhatian. Tiba-tiba dia terasa seperti diperhatikan lantas dia mengalih pandangan.
Zaapppp!
 Jantungnya berdengup kencang apabila anak matanya berlaga dengan sepasang anak mata coklat pekat. Terkebil-kebil Azeeza seketika sebelum dia mengalihkan pandangan dengan pantas. Dia menghela nafas panjang.
“Qaiser Hafiy, Fahima Azeeza, awak kumpulan lima.”
Azeeza tersentak. Qaiser terkelu. Liyana, Izz, Yasmin, Zafuan dan Rizwan melongo tidak percaya.
What???” jerit mereka serentak.


No comments:

Post a Comment