Wednesday, 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 1




Sepuluh tahun dahulu…
Tokong Bao Gong
           
            Terasa janggal berada di sini. Suasana di dalam tokong ini agak suram dengan hanya ditemani oleh cahaya lilin dan api dari colok-colok yang terbakar. Bau-bauan colok yang terpasang di atas sebuah meja panjang menusuk hingga ke hidung. Di belakang meja tersebut, terdapat sebuah patung bersaiz manusia, patung yang sering diagung-agungkan oleh kebanyakan ahli kongsi gelap Cina iaitu Patung Dewa Perang.
            Lama dia memerhatikan patung itu,  cuba mencari di mana keistimewaannya namun gagal.
Hanya dia, satu-satunya lelaki berlainan bangsa di sini. Jadi, sudah pasti dia gagal memahami kepentingan ataupun rasionalnya kewujudan patung Dewa Perang dalam kepercayaan masyarakat Cina. Dia datang ke sini, hanya dengan satu tujuan - meraih kepercayaan mutlak ketua kumpulan itu.
            Selama ini, dia hanya samseng kecil-kecilan. Itu belum cukup untuk memuaskan kehendaknya.
Dia mahu lebih dari itu. Lebih wang, lebih kuasa. Dia yakin, sekiranya kepercayaan Sang Ketua dapat diraih, sudah pasti kemewahan dan kuasa akan berada didalam genggamannya. Dan untuk mendapatkan kepercayaan itu, dia telah bertekad untuk melakukan upacara pada malam ini – upacara mengangkat sumpah. 
“Ketua sudah datang.”
             Terdengar satu suara berteriak. Dia tercengang-cengang, tidak memahami kerana diucapkan dalam bahasa Kantonis. Namun apabila melihat beberapa pemuda Cina menoleh ke arah pintu masuk tokong yang terbuka luas, dia juga berbuat begitu. Kelihatan tiga orang lelaki baru saja masuk melalui pintu tokong. Ketiga-tiga mereka berpakaian serupa. Jaket dan seluar hitam serta bertopi.  Penutup
kepala pada jaket disarungkan ke atas kepala. Wajah-wajah mereka tidak kelihatan, apatah lagi dengan suasana suram, membuatkan dia sukar untuk mengecam rupa dan wajah mereka.
            “Taikor sudah kasi greenlight sama lu. Jadi malam ini, lu datang sana, angkat sumpah. Lepas ni...gua gerenti, lu mesti jadi kaya punya.” Kata-kata King Sin, ketua samseng yang menjaga kawasan tempat tinggalnya terngiang-ngiang di telinga.
            “Senang saja mau kerja sama taikor. Lu ikut saja cakap dia. Kalau lu rajin, lagi cepat lu kaya. Tapi lu kena ingat, lu kena hormat sama taikor. Kalau tidak…mati!” Kali ini, amaran King Sin pula bermain di kepala, mendatangkan sedikit rasa cuak dalam diri. Tapi, dia sudah nekad. Hampir seumur hidupnya, dia bergelumang dalam kehidupan yang serba kekurangan dan kemiskinan. Dia sudah jelak. Dia tidak  mahu lagi hidup seperti itu. Dia mahukan wang, harta dan kuasa. Dia mahu membuktikan bahawa dia juga mampu hidup senang walaupun tanpa kelulusan.
            “Hormat ketua.”
            Lamunannya berkecai. Sekali lagi, dia terdengar seseorang berkata dalam bahasa Kantonis.
Nadanya lebih berbaur arahan. Dengan segera, sekumpulan lelaki Cina yang turut hadir di sini melutut di hadapan meja panjang di mana ketiga-tiga lelaki yang baru masuk itu berdiri. Termangu-mangu seketika, dia akhirnya turut serta duduk melutut. Suasana menjadi sunyi sepi. 
            Ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki di Tokong Bao Gong. Pertama kali berada di sini, otaknya sentiasa berfikir tentang apa yang berlaku dan yang akan berlaku. Dia memerhatikan tindak-tanduk ketiga-tiga lelaki berbaju hitam di hadapannya. Walaupun ketiga-tiga mereka kelihatan serupa, dia yakin yang berdiri di tengah-tengah itu adalah ketuanya.
             Orang di sebelah kanan berkata sesuatu kepada Sang Ketua. Sang Ketua menganggukkan kepalanya beberapa kali, seperti memberikan kebenaran. Seketika kemudian, Orang Kanan Sang Ketua menyalakan tiga batang colok lalu menyembah patung Dewa Perang. Setelah selesai, lelaki itu mengambil sekeping kertas bersaiz lebar berwarna kuning yang kusam, di penuhi dengan tulisan-tulisan Cina. Orang Kanan berdiri di hadapan mereka.
            “Upacara akan dimulakan sekarang.”
            Tidak memahami apa yang diucapkan, dia termangu-mangu lagi.  Dia melihat pemuda-pemuda Cina di sekelilingnya mula bangun, mengambil tiga batang colok dan kembali duduk melutut. Kata hatinya menyuruh dia berbuat perkara yang sama lalu dia juga meniru perbuatan pemuda-pemuda Cina itu. Masing-masing menunggu dengan penuh sabar.
            “Di hadapan Dewa Perang, bersaksikan langit dan bumi…” Orang Kanan Sang Ketua mula
membaca ayat-ayat yang tertera di atas kertas kuning kusam itu satu demi satu. Kata-kata lelaki itu diulangi oleh kumpulan pemuda Cina yang berada di situ.
            Pada pendengarannya, mereka semua seolah-olah sedang membaca ikrar. Perkataan-perkataan yang disebut mereka adalah sepenuhnya dalam bahasa Kantonis. Dan oleh kerana, bahasa Kantonis bukan bahasa ibundanya, sudah pasti dia tidak  tidak memahami apatah lagi bertutur dalam bahasa yang sama. Hanya mulutnya sahaja yang terkumat-kamit.
            Upacara pembacaan ikrar itu berlangsung lebih kurang sepuluh minit. Setelah ikrar habis dibaca, sekali lagi Orang Kanan berjalan menuju ke arah meja panjang. Kertas kuning kusam di letakkan kembali. Sebiji mangkuk berwarna putih dan sebilah pisau pula di ambil dari atas meja. Mangkuk putih itu diserahkan kepada ‘Orang Kiri’ yang berdiri di sebelah Sang Ketua.
            Dalam keadaan tercengang, dia tetap memerhati. Otaknya cuba mencerna perkara yang berlaku di hadapannya sekarang. Dengan pisau di tangan, Orang Kanan mengarahkan pemuda pertama menghulurkan tangan kanan. Tanpa banyak soal, pemuda itu menurut sahaja. Dia mula terasa berdebar-debar, menantikan apa yang akan berlaku seterusnya. Dia melihat Orang Kanan menghiris tapak tangan pemuda pertama dan membiarkan darah yang menitis itu masuk ke dalam mangkuk putih yang di pegang oleh Orang Kiri. Setelah selesai, perbuatan itu dilakukan kepada pemuda seterusnya.
            Dia orang terakhir. Apabila tiba gilirannya, Orang Kanan terkejut setelah melihat wajahnya.
            “Dia orang Melayu.” Tutur Orang Kiri. Orang Kanan dan Orang Kiri saling berpandangan sebelum memandang ke arah Sang Ketua seolah-olah meminta pendapat.
            “Lakukan.” Sang Ketua memberi arahan.
            “Hulur tangan.” Orang Kanan mengarah lalu dia mematuhi. Tangan kanan dihulurkan. Terasa pedih apabila pisau tajam itu menghiris tapak tangannya namun dia tetap bertahan. Beberapa titik darahnya mengalir masuk ke dalam mangkuk putih. Setelah selesai, Orang Kiri meletakkan mangkuk putih itu di hadapan Dewa Perang.
            Upacara mengangkat sumpah telah tamat. Kini, tibalah masa Sang Ketua untuk memberi ucapan. Dia berjalan perlahan ke arah barisan pemuda yang melutut di hadapannya.
            “Mulai hari ini, kamu semua di bawah naungan aku.” Sang Ketua mula memberi ucapan.
            “Darah yang mengalir itu adalah bukti yang kamu semua telah bersumpah akan taat setia pada
aku…pada kumpulan ini.”
            “Seandainya sumpah ini dikhianati, akibatnya adalah MATI!”
            Semakin panjang ucapan Sang Ketua, semakin keras suaranya, berkobar-kobar. Ucapan itu didengari penuh khusyuk tanpa ada yang menyampuk. Dia tetap mendiamkan diri kerana, seperti tadi, dia tidak memahami sebiji butir pun perkataan yang dituturkan.
            ‘‘Hidup Ketua!’’ Tiba-tiba saja dia terdengar laungan, menandakan ucapan Sang Ketua telah berakhir.
            ‘‘Ingat! Jangan sekali-kali kamu semua cuba menjadi pengkhianat!’’ Kata Sang Ketua sebelum memberi arahan seterusnya.
            “Bawa dia masuk.”
            Seorang lelaki dibawa masuk. Keadaanya lemah longlai, sepertinya akibat dibelasah teruk. Lelaki itu di bawa di hadapan Sang Ketua. Lelaki itu hanya mampu menopang badannya dengan lutut.
            ‘‘Teoh Sun! Kau memang pengkhianat. Kau sungguh berani untuk mencabar aku. Nasib kau akan di tentukan hari ini.” Sang Ketua berkata.  
            ‘‘Kau nak bunuh aku, Chen Long? Hah?! Kau nak bunuh aku?Aku tak takut dengan kaulah!’’ Dalam kesakitan, masih lagi lelaki yang dipanggil Teoh Sun itu mencabar.
            ‘‘Kau telah melanggar sumpah, Teoh Sun! Kau lalai. Malah kau cuba membocorkan rahsia siapa sebenarnya Jedi. Aku tak sangka kau sanggup mengkhianati kumpulan ini semata-mata kerana wang, Teoh Sun! Kau sanggup jadi tali barut! Kau pengkhianat!’’ Amarah Sang Ketua terhambur.  
            ‘‘Tapi nyata, aku lebih bijak dari kau.’’
            ‘‘Bijak? Bijak atau pengecut?!’’ Balas Teoh Sun.
            ‘‘Kau pengecut Chen Long! Orang macam kau adalah pengecut! Hanya berselindung di sebalik bayang. Kalau kau berani, tunjukkanlah muka kau sekarang! Pengecut!’’ Kali ini, Teoh Sun sengaja mengapi-apikan Sang Ketua. Dia tahu, nyawanya akan berakhir tak lama lagi. Jadi, biarlah dia menghamun Sang Ketua sepuas-puasnya. Dia telah bersekongkol dengan satu lagi kumpulan kongsi gelap untuk menjatuhkan kumpulan Sang Ketua. Wang yang Teoh Sun terima telah mengaburi sumpah taat setia yang telah dilakukan kepada kumpulan ini.
            ‘‘Kita tengok, siapa yang pengecut sekarang.’’ Sang Ketua berkata, menderam. Sepucuk pistol telah pun berada di tangannya. Sedar yang maut bakal menjemputnya sebentar lagi, Teoh Sun mula terasa gentar namun disembunyikan di sebalik kata-kata.
            “Mungkin hari ini hari kau, Chen Long! Tapi kau kena ingat, tak akan selama-lamanya kau menjadi raja. Satu hari nanti, kau juga akan ditewaskan!’’ Kata Teoh Sun. Ada getaran di dalam suaranya.
            ‘‘Kau dah nak mati, tapi masih nak bergurau…” Sang Ketua membalas, angkuh. “Ataupun kau memang tak takut mati?”
            “Tidak. Aku tak takut mati! Nyawa aku bukan milik kau. Nyawa aku milik TUHAN.”  Teoh Sun membalas tetapi Sang Ketua hanya membalas dengan ketawa berdekah-dekah.
            ‘‘TUHAN? Apakah kau masih percaya dengan kewujudan TUHAN? Sedangkan kau juga tidak pernah menyembah TUHAN selama ini.’’ Bidas Sang Ketua. Teoh Sun tidak menjawab, apatah lagi untuk merayu nyawa. Perkataan belas kasihan tidak pernah wujud dalam kamus hidup Sang Ketua.
            “Kau boleh berjumpa dengan TUHAN kau sekarang!”
            BANG.
            Kepala Teoh Sun ditembak lalu rebah tak bernyawa lagi.
            “Ini adalah nasib kepada pengkhianat!” Sang Ketua berkata garang, sekaligus memberi
amaran kepada semua yang berada di dalam Tokong Bao Gong. Tidak tahu bagaimana perasaan orang-orang lain tetapi dia, yang baru menyaksikan apa yang berlaku menjadi tergamam kaku. Nafasnya tersekat-sekat. Badannya mula menggeletar. Dia sudah tidak pasti, kehadirannya di sini akan membawa nasib bertuah…atau nasib malang?
            Selama ini dia hanyalah samseng kecil-kecilan. Bergaduh dan bertumbuk sudah menjadi
perkara biasa. Dia tidak pernah lagi membunuh ataupun melihat seseorang dibunuh betul-betul di
hadapan matanya seperti ini. Saat ini, otaknya berputar ligat, cuba mencerna perkara yang baru saja berlaku. Realiti permainan dunia kongsi gelap mula terpampang di depan matanya. Timbul sedikit rasa menyesal kerana menghadirkan diri ke sini.
            “Bangun.” Entah bila Sang Ketua berdiri di hadapannya, dia tidak pasti. Namun arahan Sang
Ketua dituruti.
            ‘‘King Sin sudah berkali-kali katakan pada aku yang kau merayu untuk masuk kumpulan ini.’’ Sang Ketua berbahasa Melayu dengannya. Dia terangguk-angguk, terkulat-kulat. Air liur di telan, menyembunyikan rasa gerun dalam diri.
            ‘‘Bukan mudah untuk aku menerima orang macam kau tetapi King Sin memberi keyakinan bahawa kau tak akan mengecewakan aku.’’
            Dia cuba membalas kata-kata Sang Ketua tetapi lidahnya kelu.
            “Apa yang kau lakukan tadi adalah sumpah taat setia pada aku.”
            Dia kembali terangguk-angguk.
            “Buktikan pada aku bahawa kepercayaan yang aku beri pada kau tidak sia-sia. Kau akan dapat segala kemewahan dan kuasa yang kau mahu, sekiranya kau ikut semua arahan aku. Tapi, kau tidak boleh lalai. Dan kalau kau mengkhianati aku…” Jari telunjuk Sang Ketua mengarah kepada lelaki yang baru saja kehilangan nyawa. “Kau akan terima nasib seperti Teoh Sun!”
            Dia menelan air liur. Dia tahu, amaran Sang Ketua tidak boleh dipandang ringan. Peristiwa yang baru berlaku benar-benar menyentap fikirannya.
            “Kau kena ingat. Aku tak boleh terima kegagalan. Gagal bermakna MATI.’’
             Kata-kata Sang Ketua melekat di mindanya. Dia sedar, mulai saat ini, dia tak boleh berpaling lagi.



No comments:

Post a Comment