Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 16




       “Kau takut ke, Suri? Tengok muka macam pucat aje,” ucap Emir penuh sinis. Kami mencari tempat duduk di balai menunggu sementara menunggu penerbangan berlepas. Emir langsung tak beritahu ke mana destinasi berbulan madu kami. Bagi aku, sudah tiada istilah bulan madu antara kami berdua. Emir sekarang sedang melaksanakan satu persatu rancangan jahatnya. Bulan madu ini sudah pasti tidak akan semanis madu. Ia pasti akan sepahit hempedu. Dipenuhi dengan kebencian dan kesengsaraan.
       “Kenapa Emir buat semua ni? Suri perlukan penjelasan,” ujarku dengan hati yang cukup terluka. Air mata makin galak bergenang di pelupuk mata. Tunggu masa saja untuk gugur ke bumi. Sungguh aku mengharapkan penjelasan dari Emir. Kenapa dia harus melayan aku seperti ini. Kenapa…
Emir sengaja mendekatkan wajahnya ke mukaku. Aku berpaling ke arah lain tanpa mahu membalas pandangannya. Tindakan aku buat dia naik hantu. Pantas dia mencengkam pipiku dan memaksa aku memalingkan muka ke arahnya.
        “Kan aku dah cakap. Aku akan beritahu kau semuanya bila kita dah sampai ke destinasi bulan madu kita. Jangan tergesa-gesa sangat nak tahu. Aku takut hati kau akan semakin terluka nanti…” Emir tergelak jahat. Benci aku mendengar gelak tawanya itu. Ia sangat menyeramkan aku.
       “Hah, sampai pun…” Tiba-tiba Emir bangun dari kerusi. Dia segera melangkah beberapa langkah ke hadapan sambil mendepakan tangannya menerima kehadiran seseorang.
Mata aku menjadi saksi atas apa yang sedang berlaku di hadapanku saat ini. Tanpa segan-segan Emir memeluk tubuh seorang wanita dengan cukup erat. Dan yang lebih mengejutkan dan meluluhkan hatiku, aku cukup kenal dengan perempuan itu. Adawiyah?
Adawiyah dan Emir melangkah ke arahku sambil berpegangan tangan. Aku hampir tak dapat nak berdiri dengan stabil. Kakiku menggigil menerima realiti yang sedang terbentang di depan mata.
        “Kenalkan. Wanita yang paling aku cintai, Fazlyn.” Dengan senyuman sinis, wanita yang Emir panggil sebagai Fazlyn itu menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku. Adakah aku salah mengenali namanya atau sebetulnya nama dia bukan Adawiyah? Jadi, Ada juga termasuk dalam plan untuk memusnahkan hidup aku? Ya Allah…
       “Salamlah! Apa kau termenung lagi.” Arahan Emir kedengaran cukup keras. Terkocoh-kocoh aku menyambut ‘salam perkenalan’ dari Fazlyn.
       “Aku tahu kau terkejut dengan semua ni, Suri. Tapi rilekslah. Ini baru sikit. Lepas ni, aku yakin, nak teruskan hidup pun kau dah tak sanggup lagi. Kerana kau akan rasa benar-benar tertipu. Kesiannya kau.” Ucapan Emir disambut gelak tawa ceria dari Fazlyn. Fazlyn memandang aku dari atas ke bawah. Aku yakin ada sesuatu yang bakal keluar dari bibirnya. Kata-kata yang bakal menyakiti hatiku yang sudah tersakiti ini.
       “You berlakon ke bertudung semua ni? Youkan perempuan suka berlakon. Sayang, you tak rasa ke Suri ni mampu jadi pelakon wanita terhebat untuk tahun ni? Dia mampu sandang anugerah Pelakon Wanita Terbaik 2013. Kan, sayang?” Air mata tak mampu aku bendungkan lagi. Aku yang dituduhnya berlakon?
Emir juga ikut mentertawakan aku. Dia juga memandang aku dengan senyuman sinisnya. Mengakui dan membenarkan setiap penghinaan yang Fazlyn lemparkan terhadapku. Kejamnya Emir.
       “Tapi I lebih prefer you yang menang anugerah tu, sayang. Sebab lakonan you sebagai Adawiyah gadis berusia enam belas tahun sangat menjadi. Dan perempuan bodoh ni, terlalu percaya dengan apa yang I cakap.” Aku tak mampu nak menadah telinga mendengar setiap kata yang keluar dari mulut Emir. Langsung tidak menjaga perasaan aku. Apa dia ingat aku ni siapa? ‘Kau bukan siapa-siapa bagi dia, Yana. Kau hanyalah perempuan bodoh yang terlalu mempercayai dan mencintainya’. Hati aku menangis lagi. Menyesal? Sudah tiada gunanya lagi.

***********

       “Kalau you rindukan I, you datang aje jumpa I. I akan sentiasa tunggu kedatangan you. I gonna miss you, sayang.” Berbulu telinga aku mendengar kata-kata manja yang keluar dari bibir Emir itu. Ketika dia berlakon bercouple dengan aku dulu, satu patah ayat romantic pun dia tak hadiahkan untuk aku. Kononnya tak bersalam, tak bersentuhan dengan perempuan. Yang dia peluk Fazlyn depan mata aku tadi tu apa? Emir benar-benar pelakon yang hebat!
       “You jangan nakal-nakal tau. Jangan nak mengada jatuh hati dengan wife you ni. Kalau I tahu you main mata dengan perempuan ni, siap you I kerjakan. Faham?” Amaran dari Fazlyn disambut gelak tawa ceria dari Emir. Lelaki itu mengangkat tangan seakan-akan berikrar bahawa dia tidak akan jatuh cinta dengan aku. Tak sanggup untuk aku terus melihat sandiwara pasangan hipokrit itu. Bencinya!
       Come, Suri. Kita dah nak bertolak ni.” Arahan Emir kedengaran cukup serius. Ditarik tangan aku dengan cukup kasar. Tak habis-habis dia melayan aku dengan tindakan keras dan tanpa simpatinya itu. Semakin lama, perasaan benci semakin menghiasa ruang jiwaku. Aku benci Emir. Aku benci dia!
       Dengan berat hati, Emir melepaskan pegangan tangan Fazlyn. Sempat dia menghadiahkan kekasih hatinya itu dengan sebuah senyuman menawan. Senyuman itulah yang telah buat aku jadi buta mata hati. Senyuman plastik yang buat aku menyampah sekarang.
       “Kau tak rimas ke pakai tudung ni? Tanggalkan aje. Bukan kau tak biasa pun kan? Mari aku tolong tanggalkan.” Emir bersuara sebaik saja kami berdua duduk di dalam kapal terbang. Tangan Emir sudah bersedia untuk menanggalkan tudung yang aku pakai. Segera aku menepis tangannya. Aku mungkin akan terima andai dia menyakiti hati dan perasaanku. Tapi jangan pernah dia ingat dia mampu patahkan penghijrahan suci aku ini. Aku bertudung bukan kerana dia. Aku bertudung kerana Allah!
       “Suri bertudung bukan kerana Emir. Suri berubah kerana Allah. Demi cintaNya pada Suri, Dia ingin melihat Suri berubah. Itu baru sebenarnya cinta. Bukan seperti Emir, yang hanya berlakon cintakan Suri. Penipu!” Aku tahu apa yang bakal akan aku dapat dengan berkata seperti itu. Emir pasti akan naik meradang. Tapi aku juga ingin meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Biar Emir tahu, betapa menyesalnya aku mencintai dia!
       “Tapi kalau bukan sebab aku yang minta kau bertudung, mungkin sampai sekarang kau akan terus tanggung dosa mendedahkan aurat. Kau sendiri yang cakap, aku menjadi penyebab kenapa kau nak berubah. Betul kan?”
Aku diam. Aku cuba mengumpulkan kekuatan untuk membidas kata-katanya dengan cukup tabah.
       “Tapi masa tu Suri ingat Emir benar-benar ikhlas nak lihat perubahan Suri. Tapi ternyata tak… Walau apapun yang berlaku, terima kasih sebab sudi tegur Suri. Sekurang-kurangnya Suri akan kenang itu sebagai satu jasa yang pernah Emir taburkan pada Suri. Suri takkan lupa… sampai bila-bila…” Butiran jernih terus menitis jatuh ke pipi. Aku tak mampu lagi nak memandang wajahnya. Pantas kualihkan badanku mengiring ke dinding. Aku cuba pejamkan mata, membuang semua memori indah yang pernah tercipta antara aku dan dia. Sekali lagi, cinta suci aku dipermainkan oleh lelaki. Aku memang bodoh. Terlalu mudah mencintai. Terlalu mudah mempercayai.
       “Kau nak tahu sesuatu tak Suri?” Bisikan Emir menyapa ke telingaku. Aku hanya mengeraskan diri langsung tidak berpaling kepadanya. Setiap kali aku dengar suara dia. Hati aku bagaikan tertusuk dengan sembilu. Lelaki penipu!
Emir hanya tertawa sinis. Dia tetap meneruskan bisikannya ke telingaku.
       “Aku kesiankan diri aku sendiri tau tak. Kau nak tahu tak sebab apa? Sebab… aku terpaksa berpura-pura jadi lelaki nerd dan lelaki bodoh yang kononnya cinta mati dengan kau. Kononnya aku ni tak boleh hidup tanpa kau. Huh! Seumur hidup aku, aku tak pernah rasa meluat sampai macam ni sekali. Hmm… apa nak buat. Terpaksalah. Kalau tak, tak adalah kau jatuh dalam perangkap cinta aku.”
Permata jernih meniti di kelopak. Menanti jatuh. Memaksa bukan. Mengalir arus menghakis tebing kalbu. Berderai tanpa bicara. Esakan tanpa suara. Tersemat madah sejuta rasa. Hanya diri dan empunya yang mengetahui apa itu erti mainan hati… Terima kasih Emir. Terima kasih kerana mengajar Suri apa itu erti mainan hati. Dan erti sebuah… kepura-puraan.

**********

Pulau Langkawi. Itulah destinasi bulan madu kami. Emir membawa aku ke sini dengan satu tujuan yang pasti. Dia ingin menghancurkan kehidupanku. Ketika dalam penerbangan tadi, Emir tak habis-habis menceritakan rasa meluatnya padaku. Bermula dari pertemuan kami di depan perpustakaan hinggalah semalam, majlis akad nikah kami berdua. Aku tak pernah menyangka, Emi bakal melakukan semua ini terhadapku. Apa dosaku padanya? Adakah benar semua ini ada kaitan dengan Emriz? Apa hubungan Emir dan Emriz?
Namun, dalam meniti kesengsaraan yang baru Emir ciptakan untukku ini. Rasa syukur harus ku panjatkan pada Ilahi. Sekurang-kurangnya Emir masih ada sifat perikemanusiaan. Dia membawa aku ke pulau yang masih berada dalam negara. Pulau yang pernah aku jejaki. Aku takut kalau-kalau Emir membawa aku keluar dari negara. Mungkin dia membawa aku entah ke ceruk mana. Ditinggalkan aku keseorangan di tempat asing tanpa dapat aku bergantung pada sesiapa. Ya Allah… Tak mungkin Emir sekejam itu. Harapan masih menggunung dalam hatiku agar semua ini hanyalah permainan Emir semata-mata. Aku lebih rela dia berlakon membenci aku daripada aku harus menghadapi kebenciannya yang sebenar-benarnya.
Tanganku terasa pedih. Ke hulu ke hilir Emir menarik tanganku untuk mengikutnya. Sedari tadi, tanganku kemas dipegangnya. Andai saja itu dia lakukan kerana perasaan cintanya padaku, sudah pasti aku akan berasa selamat dan rasa cukup bahagia. Tapi, dia lakukan semua itu tidak lain adalah kerana takut aku larikan diri. Emir memang licik. Penuh dengan misteri! Dan sampai saat ini, satu misteri pun belum berjaya aku rungkaikan. Semuanya masih kabur. Misteri dalam misteri.
       “Kita nak pergi mana ni? Suri nak balik. Suri nak balik, Emir… Tolonglah hantar Suri balik…” Aku merayu padanya. Aku cuba melepaskan pegangan tangannya. Dan aku berjaya lepas dari dia. Tak menunggu lama aku terus melarikan diri darinya. Aku ingin pergi jauh dari Emir. Aku tahu aku takkan selamat dengan dia.
       “Kau nak pergi mana?! Kau jangan nak macam-macam ya, Suri. Aku takde masa main kejar-kejar dengan kau. Mari sini!” Emir sempat menahan aku dari melarikan diri lebih jauh. Kawalannya terlalu ketat. Aku tak berdaya apa-apa lagi. Sungguh aku tak sanggup nak lalui hidup bersama dengannya. Melihat sikapnya sekarang sudah cukup menakutkan aku. Mungkinkah ini diri Emir yang sebenar-benarnya?
       “Tolong lepaskan Suri, Emir. Suri merayu. Kalau Emir tak cintakan Suri, lepaskan Suri. Suri takkan beritahu mama dan papa pasal semua ni. Suri akan tutup mulut. Please let me go!” Dalam sedar tidak sedar, aku menjerit sekuat hatiku. Orang yang lalu lalang di hadapan kami rata-ratanya semua melihat ke arah aku dan Emir. Mungkin aku perlu menggunakan peluang ini untuk menjerit minta tolong.
Baru saja aku nak nak buka mulut menjerit, Emir pantas memeluk aku. Pelukannya kemas seakan-akan tidak mahu melepaskan aku.
       “Kau jangan buat hal dengan aku, Suriyana. Sekali lagi kau menjerit, kau tahulah apa nasib orang tua kau kat rumah tu. Aku tak main-main. Kau belum kenal siapa aku. Kau tak tahu apa kerja aku selama ni. Kalau kau berani sangat dan kalau kau nak sangat tengok mama papa kau mati, kau boleh larikan diri dari aku. Sikit pun aku tak hairan.” Bisikan Emir ke telingaku kedengaran cukup menakutkan. Dia mengugut aku? Dia nak bunuh papa dan mama? Siapakah lelaki ini sebenarnya? Adakah aku pernah berhutang apa-apa dengan dia sehinggakan dia terlalu berdendam dengan aku?Siapa dia sebenarnya!
Emir terus membawa aku keluar dari lobi. Setibanya di luar, sudah ada sebuah kereta yang menunggu kami. Emir segera membuka pintu kereta dan menolak tubuhku masuk ke dalam perut kereta. Aku pandang wajah si pemandu teksi. Dan sekali lagi aku tergamam. Aku kenal dengan lelaki ini. Aku pernah melihat wajah dia di rumah Emir sebelum ini. Bukan dia pak cik perengus tu ke? Uncle Bad?
       “Uncle Bad? Uncle Bad buat apa kat sini? Uncle tolong Suri. Tolong bawa Suri pergi dari Emir. Tolong Uncle…To…” Rayuan aku terhenti di situ apabila Uncle Bad berpaling memandang wajahku sambil tersenyum sebelah. Senyuman yang pernah dihadiahkan oleh Fazlyn untukku. Jangan-jangan…
       “Aku tak boleh tolong kau apa-apa, Suri. Kalau aku tolong kau lari, bos tak bagi aku duit gaji nanti. Apa anak bini aku nak makan. Huh, kesiannya kau. Mudah sangat percayakan lelaki. Bodoh!” Uncle Bad geleng kepala sambil tertawa sinis. Jiwaku makin hancur dengan semua sandiwara ini. Siapa pula lelaki ni? Salah seorang pelakon yang diupah oleh Emir? Berapa orang yang Emir gunakan untuk pergunakan aku? Adakah ibu juga termasuk dalam senarai orang yang diupah oleh Emir untuk menipu aku? Tak mungkin. Aku lihat Emir terlalu sayangkan Aunty Ros. Tak mungkin Aunty Ros juga seperti Fazlyn dan Uncle Bad.
       “Jalan, Don. Kita dah lambat ni,” arah Emir sebaik saja masuk ke dalam kereta. Dia pandang aku tanpa sebarang riak. Aku pandang dia meminta penjelasan di atas semua yang berlaku. Don? Nama sebenar Uncle Bad, Don?
Enjin kereta terus dihidupkan oleh Don. Aku hanya mampu berdoa agar Emir tidak membawaku ke tempat yang bukan-bukan. Saat ini, hanya pada Allahlah tempat aku bergantung. Aku hanya ada Dia. Hanya Dia….
Dia yang melahirkan rasa cinta aku pada Emir. Dan Dia juga yang mengaturkan semua ini. Ya Allah… apa sebenarnya hikmah di sebalik perancangan-Mu ini. Aku manusia yang lemah, ya Allah. Tabahkanlah hatiku mengharungi semua cubaan ini. Aku cintakan Emir. Sungguh aku cintakan dia. Perasaan sayang aku pada Emir masih kukuh tersemat dalam hati. Cuma sekarang, aku berasa sangat takut. Aku takut dari cinta perasaan ini akan berubah menjadi benci. Benci yang amat sangat. Dan jika aku boleh memilih saat ini, aku lebih rela memilih untuk tidak mengenali Emir. Daripada aku harus membencinya.
       “Kenapa kau tengok aku macam tu? Aku tahulah aku handsome.” Tiba-tiba Emir bersuara,  mengejek. Pantas aku mengalihkan pandangan entah ke mana. Tak sangka dalam keadaan seperti ini, aku masih lagi terhanyut menatap wajah kacak milik Emir. Yang sudahnya, hati aku juga yang terkecewa.
       “Apa eh yang selalu kau cakap. Suri suka anak mata hazel Emir tu. Senyuman Emir. Semuanya buat Suri tak tidur malam. Haha… Kau betul-betul dah angau dengan aku kan Suri? Sayangnya, aku langsung tak rasa apa-apa. Cinta aku pada kau? Zero!” Emir mendengus keras. Sesaat kemudian, dia ketawa sambil menggelengkan kepala. Entah apa yang lucu sangat akupun tak tahu. Mungkin dia sedang mentertawakan kebodohan aku yang selama ini terlalu mengagung-agungkan dirinya.
Ya aku mengaku. Seluruh cinta dan kepercayaan aku telah kucurahkan hanya pada Emir. Tanpa ragu-ragu. Tanpa ada syak wasangka walau sekecil zarah! Akulah perempuan bodoh yang sudah dibutakan oleh lakonan mantap dari Emir. Arghh! Aku benci semua ni. Aku benci!
Saat itulah tanganku terlalu ringan untuk terangkat menampar muka Emir. Panggg! Untuk sesaat hati aku berasa puas. Puas kerana aku dapat tunjukkan pada Emir kebencian aku pada dirinya saat ini! Namun, sesaat kemudian, perasaan takut menyelubungi diri apabila Emir merenung aku dengan pandangan yang maha tajam.
       “Kau tampar aku? Kau tampar aku, perempuan?! Kau memang nak kena Suri!” Kemarahan Emir kurasa sudah memuncak. Mungkin dia benar-benar bengang dengan tindakan spontan aku menamparnya. Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku itu. Ya Allah… first time aku tampar muka orang.
Dengan wajah yang cukup merah padam, Emir tercari-cari sesuatu sesuatu dari poket seluarnya. Sebelah tangannya sudah kemas memegang tanganku. Aku yang ketakutan hanya mampu rapatkan diri ke badan kereta. Andai mampu aku lari, sudah lama aku lari.
       “E-emir nak buat apa ni? Emir jangan. Emir jangan…” Semuanya sudah terlambat, tanpa dapat aku mengelak lagi, Emir menekup mulut dengan sapu tangan. Beberapa detik berlalu, aku mula rasa lain macam. Pandangan mataku kian kabur. Imej terakhir yang dapat aku lihat dari mataku adalah wajah Emir tersenyum tanpa belas kasihan. Sesaat berlalu, pandanganku terus gelap.



3 comments:

  1. Bila nvl ni akan kluar kt pasaran?

    ReplyDelete
  2. knp semua novel dkt sini pendek2...semua...klu dah klr ke versi cetak....inform dgn pmbaca..br tak tercari

    ReplyDelete
    Replies
    1. semua teaser novel yg kami up dekat sini.semua dah keluar versi cetak dear.. boleh layari laman web kami untuk membeli ..

      lovenovel.com.my

      Delete