Wednesday, 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 4



Tan Sri Yusuf memandu perlahan di MRR2 untuk pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa.
Sejak seminggu lalu, dia lebih suka memandu sendiri. Sengaja berbuat begitu untuk menghilangkan
rasa gelisah setelah mengetahui akan perihal anak bongsunya. Sebagai seorang ayah dan ketua
keluarga, pastinya berita seperti ini amat meresahkan.
            Dia perlu cepat untuk membuat keputusan, sebelum berita kurang enak mengenainya tersebar.
Bukan Tan Sri Yusuf mahu menolak qada’ dan qadar Tuhan, tetapi dia perlu juga memikirkan
implikasi berita negatif itu kepada keluarganya, rakan-rakan kongsinya dan empayar perniagaannya.
Dia tidak mahu imej bersih yang dibina selama ini tercalar dengan berita itu.
            Untuk menghantar Fifi ke pusat pemulihan, Tan Sri Yusuf tidak sanggup. Buruk macam mana
sekalipun, biarlah anaknya itu berada di depan mata. Dia terfikir juga untuk menghantar Fifi ke London untuk tinggal dengan keluarga adiknya di sana. Tetapi, menghantar Fifi ke London sama seperti membuka pekung di dada. Seboleh mungkin, dia mahu merahsiakan perkara ini dari semua, termasuklah pengetahuan ahli keluarga dan saudara-maranya yang lain.  
            Takkanlah mahu membuang Fifi dari keluarga pula? Sungguhpun hati Tan Sri Yusuf terluka kerana perbuatan anaknya, untuk menghalau Fifi dari rumah, sudah pasti tidak! Tidak tergambar perasaanya seandainya Fifi dibiarkan berseorangan menghadapi masalah ini. Entah-entah, Fifi akan membunuh diri ataupun, membunuh bayinya sendiri dek kerana tekanan perasaan.
            Runsing sungguh fikirannya saat ini. Apa akan terjadi pada Fifi nanti? Bagaimana dengan
masa depan anaknya? Dan yang lebih merungsingkan, apa akan terjadi kepada bayi yang dikandung
oleh Fifi? Apakah dia perlu membela anak itu? Ataupun, mungkin memberikan saja anak itu kepada
orang lain? Satu demi satu persoalan menerjah ruang mindanya. Dia mengeluh perlahan. Jauh di
sudut hati, sungguh Tan Sri Yusuf tidak sanggup berlaku kejam. Anak yang di kandung Fifi adalah
cucunya, tetap darah dagingnya walaupun tidak sah taraf.
            “Ya ALLAH, andai ini caraMu untuk menguji keimananku, aku terima Ya ALLAH. Tapi aku
bermohon, kau berikanlah petunjuk agar aku dapat menghadapi dugaan ini.” Dalam diam, Tan Sri
Yusuf berdoa. Sesungguhnya, dia juga manusia biasa yang pastinya merasa resah dan gundah bila di
timpa ujian.
            Tiba-tiba kereta yang di pandunya tersentak-sentak dan akhirnya enjin kereta termati sendiri.
            “Ah, sudah!” Tan Sri Yusuf merengus.
            Lampu kecemasan dinyalakan lalu Tan Sri Yusuf keluar dari Mercedes Benznya. Dia
termangu-mangu seorang diri. Banyak kereta yang berselisih dengannya tapi tidak berhenti, sekadar menyalakan lampu tinggi beberapa kali. Tan Sri Yusuf mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menelefon Aziz, pemandunya.
            Fandi memerhatikan Mercedes Benz yang tersadai itu. Kelihatan pemandunya sedang
bersandar di pintu kereta sambil berbual di telefon. Badannya penat dan dia ingin cepat sampai ke
rumah tetapi atas rasa perikemanusian, Fandi berhenti juga di tepi, mahu menghulurkan bantuan kepada lelaki separuh umur itu.
            “Assalamualaikum, pakcik.” Fandi menyapa setelah lelaki yang kelihatan berumur itu selesai
bercakap di telefon. Motor Suzuki RX-Z nya sudah diparkir berhampiran kereta yang rosak itu. Fandi membuka topi keledarnya lalu di letakkan di atas tangki sebelum turun dari motorsikal.
            “Waalaikummusalam.” Tan Sri Yusuf menjawab, memberikan sedikit senyuman kepada anak
muda itu. Fandi menghulurkan tangan lalu disambut oleh Tan Sri Yusuf.
            “Kereta rosak ke pakcik?” Walaupun sudah tahu, Fandi masih bertanya lagi, sekadar mahu
memulakan perbualan.
            “Iya.” Tan Sri Yusuf menjawab pendek, masih memerhatikan pemuda yang berambut panjang
separas bahu itu.
            “Boleh saya tolong?”
            Tan Sri Yusuf mengangguk lagi. Fandi memberikan senyuman dan terus membantu Tan Sri Yusuf menolak keretanya ke bahu jalan.
            “Kalau pakcik nak, saya boleh tengok-tengokkan kereta pakcik.” Fandi berkata lagi.
Kali ini
Tan Sri Yusuf mengangkat kening.
            “Awak mekanik ke?”
            “Iya pakcik. Saya kerja dengan C&C Batu Caves.” Fandi berkata lagi, sambil membuka jaketnya dan menunjukkan uniform Cycle and Carriage Bintang, bengkel panel untuk semua jenis
kereta Mercedez Benz. Bukan niat menunjuk, sekadar mahu membuktikan yang dia memang bekerja
dengan syarikat itu.
            “Oh, eloklah tu. Pakcik ni pun bukan tahu sangat pasal enjin kereta ni. Pakcik tahu bawak
je…” Suara Tan Sri Yusuf kedengaran lebih mesra. Fandi mengangguk. Dia pergi ke bahagian pemandu lalu cuba menghidupkan enjin. Tak mahu hidup. Fandi kemudiannya membuka penutup enjin tetapi dek kerana suasana yang tidak berapa cerah, menyukarkan Fandi mencari punca enjin kereta itu termati dengan sendiri.
           
“Saya rasa, alternator rosak ni pakcik.” Fandi membuat telahan.
            Altanator?” Kening Tan Sri Yusuf berkerut. Fandi mengangguk.
            “Pakcik dah telefon pusat servis?” Fandi bertanya lagi.
            “Belum lagi.” Tan Sri Yusuf menjawab. Seharusnya dia boleh saja terus menghubungi pusat servis tetapi Tan Sri Yusuf tidak berbuat begitu. Urusan seperti ini selalunya diserahkan saja kepada pemandunya, Aziz.  
            “Tak apalah. Biar saya tolong.” Fandi berkata sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia
mendail nombor lalu berkata sesuatu apabila talian bersambut. Fandi memberikan juga plat nombor
kereta yang rosak kepada penasihat servis yang menjawab telefon. Tan Sri Yusuf tetap memerhatikan perlakuan pemuda itu, membuat penilaian sendiri dalam hati.
            “Okay, terima kasih.”  Fandi meletakkan telefon setelah habis bercakap.
            “Lima belas minit nanti tow-truck sampai.” Fandi berkata kepada Tan Sri Yusuf. Tan Sri
Yusuf mengangguk sambil tersenyum.
           
“Anak ni siapa nama?” Tan Sri Yusuf pula bertanya.
            “Fandi pakcik. Muhammad Affandi.” Fandi menjawab.
            “Nama pakcik Yusuf.” Tan Sri Yusuf memperkenalkan diri.
Fandi mengangguk lagi. 
            “Dah lama ke kerja kat workshop tu?”
            “Adalah lebih kurang dalam tiga tahun.”
            “Umur Fandi berapa?”
            “26 tahun.”
            “Oh..muda lagi.”
            Fandi tersengih.
            “Sekejap ya…” Tan Sri Yusuf meminta diri bila telefon bimbitnya berbunyi. Fandi
mengangguk, mendengar saja perbualan sebelah pihak antara pakcik itu dengan orang di dalam talian.
            “Waalaikummusalam. Kamu kat mana Aziz?”
            “Saya dekat dengan Shell”
            “Okay..” Tan Sri Yusuf berkata sebelum mematikan talian telefon. Fandi diam, tidak tahu
hendak berbual apa lagi.
            “Fandi tinggal di mana?”
            “Wangsa maju, pakcik.”
            “Dengan keluarga ke?”
            “Tak, rumah sewa je. Mak dengan abah saya di kampung.”
            “Kampung kat mana?”
            “Di Johor, pakcik. Kluang.”
            “Oh…orang Kluang. Pakcik pernah pergi sana dua tiga kali..”
            Mereka kembali berbual mesra. Rajin pula Tan Sri Yusuf mengajak Fandi berbual. Macam-macam soalan yang ditanya. Fandi melayankan sahaja.
            Dari jauh kelihatan sebuah lagi kereta menuju ke arah mereka. Fandi mengecilkan mata
apabila kereta itu diparkir di belakang kereta kepunyaan Tan Sri Yusuf. Aziz keluar dari kereta
BMW itu lalu berjalan ke arah Tan Sri Yusuf dan Fandi.
            “Tan Sri…” Aziz menyapa. Tan Sri Yusuf pula mengangukkan kepala ke arah Aziz.
             Tan Sri? Fikir Fandi. Keningnya terangkat sedikit. Tan Sri mana pulak ni?
            Aziz tersenyum memandang Fandi lalu dia menghulurkan tangan.
            “Kita tunggu sekejaplah, Aziz. Rasanya, kejap lagi tow-truck sampai.” Tan Sri Yusuf berkata.
            “Lambat lagi ke Tan Sri? Puan Sri dah tunggu kat rumah tu.” Balas Aziz. Tan Sri Yusuf melihat jam seraya menarik nafas. Sepatutya, dia dan Puan Sri Haryati akan menghadiri jamuan makan malam di rumah kenalan Puan Sri Haryati.
            “Tak apalah, boleh cancel je. Dah kereta rosak, nak buat macam mana…”
Ujar Tan Sri Yusuf.
            “Merajuk Puan Sri nanti. Tidur luarlah Tan Sri malam ni.” Aziz berseloroh sambil tersengih.
            “Kamu ni…”
            “Err.. Tan Sri.” Fandi memanggil. Tan Sri Yusuf menoleh, tersenyum apabila panggilan Fandi  
sudah bertukar dari pakcik ke Tan Sri.
            “Kenapa Fandi?” Tan Sri Yusuf bertanya apabila melihat Fandi seperti serba-salah.
            “Macam ni. Kalau Tan Sri nak cepat, Tan Sri boleh balik dulu. Biar saya tunggu tow-truck tu
sampai..” Fandi berkata teragak-agak. Agak bimbang jika niatnya disalah erti.
            “Itupun kalau Tan Sri tak kisahlah. Saya cuma nak tolong…” Fandi menyambung kata. Tan Sri Yusuf hanya tersenyum.
            “Fandi tak kisah ke?”
            “Eh.. tak apa Tan Sri. Saya rasa, kejap lagi sampailah tow truck tu. Lagipun, Tan Sri ada hal kan? Saya ni orang bujang, bukan buat apa pun malam-malam macam ni…”
            Tan Sri Yusuf memandang Fandi sambil otaknya berkira-kira.
           
“Kalau Fandi tak kisah, pakcik pun tak kisah. Fandi ambil ni.” Tan Sri Yusuf menghulurkan  
sekeping kad perniagaan kepada Fandi.
            “Kalau ada apa-apa, call pakcik.” Tan Sri Yusuf masih membahasakan dirinya pakcik kepada
Fandi. Fandi mengambil kad yang dihulurkan.
           
“Terima kasihlah Fandi, sebab tolong pakcik.”
            “Sama-sama pakcik… err Tan Sri.” Fandi membetulkan kesilapannya.
            “Tak payah panggil Tan Sri. Panggil pakcik aje.” Fandi mengangguk sambil tersenyum sumbing.
            “Pakcik balik dulu. Assalamualaikum.”
            “Waalaikummusalam.” Fandi menjawab. Aziz mengangkat tangan lalu dia bergerak bersama-
sama Tan Sri Yusuf ke arah kereta yang di pandu oleh Aziz. Fandi memerhatikan kereta itu hingga
hilang dari pandangan. Setelah itu, Fandi memerhatikan pula kereta Mercedes Benz yang telah di
tinggalkan oleh Tan Sri Yusuf.
            Tan Sri Yusuf rupanya. Patutlah macam pernah nampak…
           
***

Sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya, Tan Sri Yusuf diam memikirkan sesuatu.
           
“Tan Sri.” Aziz memanggil.
            “Ya?”
            “Tan Sri percaya ke pada budak tu?”
           
“Kenapa kamu cakap macam tu?” Tan Sri Yusuf menjawab dengan soalan.
           
“Tan Sri main tinggal je kereta tu. Di buatnya dia bawa lari kereta Tan Sri, macam mana?”
            “Tak kot. Saya tengok budak tu elok je…”
            “Jangan percaya sangat Tan Sri. Orang zaman sekarang ni, macam-macam benda dia boleh buat.” Aziz sekadar menasihati.
            “Saya tahu Aziz. Tapi saya yakin dia boleh dipercayai.”
            “Macam mat rempit.” Sambil berkata, Aziz tersengih sendiri. Tan Sri Yusuf hanya tersenyum, serta-merta teringatkan anak muda yang baru dikenalinya sebentar tadi. Fandi agak tinggi pada perkiraan Tan Sri Yusuf, kurus tapi tidaklah terlalu melidi. Rambut pula panjang separas bahu. Pandangan pertamanya apabila melihat Fandi juga begitu, macam mat rempit.. Tetapi, setelah berbual agak panjang dengan Fandi, Tan Sri Yusuf mula menyenangi sikap pemuda itu.
            “Saya rasa budak tu baik.” Tan Sri Yusuf berkata lagi. Setelah itu, Tan Sri Yusuf diam tidak
berkata apa-apa. Otaknya kembali ligat berfikir.
            Isk…Gila punya plan ni.
Fikir Tan Sri Yusuf lantas menggelengkan kepala.

No comments:

Post a Comment