Wednesday, 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 5



Hello girls.”
            Nina yang sedang berbual dengan rakannya, Maya segera menoleh ke arah suara yang
menegur.
            “Oh…tolonglah! Dalam ramai-ramai orang, kenapalah minah ni yang aku jumpa?” Sambil berkata, Nina memutarkan biji matanya. Maya tergelak kecil mendengar kata-kata Nina.
            “Hai Elly.” Nina membalas, kurang ikhlas. Kemudian menjeling ke arah Zita, sahabat baik
Elly yang sering ke hulu ke hilir bersama. Elly tersenyum sinis memandang Nina dan Maya,
seorang demi seorang.
            “Dah tinggal berdua. Mana…BFF you all yang lagi seorang tu?” Soal Elly. Nada suaranya sengaja dibuat-buat manja.
Mengada-ngada! Fikir Nina dan terus mencebikkan bibirnya.
            “Kenapa tanya? Rindu ke?” Nina menjawab dengan nada menyindir.
            “Rindu? Puhh… lease! I dengar, BFF you tu dah mengandung. Anak.Luar.Nikah. Betul?” Soalan dari Elly kali ini, membuatkan Nina mula panas hati. Dia menjeling ke arah Maya yang turut menunjukkan rasa kurang senang di wajahnya. Kalau Elly sudah mengetahui tentang perkara itu, maknanya berita telah pun tersebar di seluruh kolej.  
            “Siapa yang cakap?” Nina bertanya. Nada suaranya meninggi.
            “Adalah. Kalau tidak, takkan tiba-tiba dia nak berhenti belajarkan?” Elly masih mengekalkan
senyum sinis.
            “Jangan buat fitnahlah, Elly.” Nina cuba untuk menutup aib sahabatnya walaupun itu bermakna, dia terpaksa berbohong.
            “Fitnah? Eh, satu kolej dah bercakap pasal kawan you tu tau? Fitnahlah sangat kan? Huh!” Bibir Elly herot-berot ketika berkata.
            “Dia mengandung ke tidak, apa you nak kisah?” Nina membalas.
            Elly tersenyum sinis lalu berkata. “Eh, mestilah I kisah. Gadis perasan hot, idaman lelaki kat kolej ni mengandung anak luar nikah. Berita panas you…”
            Hati Nina benar-benar terbakar kali ini. Sehabis daya dia menahan diri dari memaki-hamun.
            “Sudahlah Elly. Tak payah sibuk nak jaga tepi kain orang. Jaga ajelah tepi kain awak tu.” Maya mula menyampuk. Namun kata-katanya dibalas dengan ketawa yang di buat-buat dari Elly. 
            I malaslah nak bergaduh dengan you. Apa kata you berambus dari sini?” Nina berkata garang
            Hey…heyI pun tak inginlah duduk dengan you all lama-lama. No class!’’ Elly membalas. Lehernya bergerak ke kiri ke kanan apabila berkata.
            “Dah tu, blahlah. Tunggu apa lagi?” Ujar Nina lagi dengan peratus kesabaran yang semakin sedikit. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja mulut lancang Elly ditarik-tarik.         
            ‘‘Let’s go, Zee.” Ajak Elly kepada Zita. “And you…’’Jari telunjuknya dihalakan pada Nina.
            ‘‘Kirim salam ajelah pada BFF you tu ya? Dasar perempuan sun…”
            “Kau…” Nina mula bangkit tetapi Elly segera berlalu diikuti Zita sambil bergelak ketawa. Puas sungguh hatinya dapat menyakitkan hati Nina. Tak ada Fifi, Nina pun boleh!
            Nina memandang dengan mata mengecil sehingga kedua-dua mereka hilang dari pandangan.


***

 Banglo Mewah Tan Sri Yusuf
 Bukit Antarabangsa

            Fifi membuang pandang ke luar tingkap biliknya. Sekarang ini, dia lebih suka termenung dan
berkurung di dalam bilik. Tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Apabila lapar, dia akan
pergi sendiri ke dapur mencari makanan tetapi selalunya Mak Ton, pembantu rumahnya ataupun
mama yang akan ke biliknya menghantar makanan. Dia juga tidak mahu bercakap dengan sesiapa walaupun dengan Puan Sri Haryati sendiri. Sepatah di tanya, sepatah juga yang di jawab. Semangatnya sudah hilang.
            Fifi sendiri tidak tahu apa yang dia fikirkan. Dia buntu. Apa yang membuatkan dia menjadi
bertambah murung ialah Shah. Kali terakhir dia bercakap dengan Shah adalah seminggu lepas,
memaklumkan keadaan dirinya yang kini berbadan dua. Sejak itu, Shah tidak dapat dihubungi
langsung. Hilang umpama bayang-bayang di malam hari.
            Shah…Shah…Shah. Cuma nama itu yang ada di fikiran sekarang. Cinta yang ditabur oleh
lelaki itu telah membutakan mata dan hatinya. Kerana Shah, mahkotanya tergadai. Kerana Shah,
kemungkaran menjadi halal. Kerana cinta, semua pujuk rayu Shah dia turutkan dan sekarang, apabila
semua manisnya hilang, dia dibuang begitu sahaja.
            “Shah, how could you..”  Air mata Fifi mengalir lagi.
            Tok! Tok!
            Fifi mengesat matanya dengan tapak tangan. Dia menoleh ke arah pintu bilik tidurnya tetapi
tidak menyahut.
            “Fifi.” Kedengaran suara Mak Ton memanggil.
            “Pintu tak kunci.” Akhirnya Fifi menyahut. Kedengaran pintu bilik tidurnya dibuka.
            Babe!”
             Fifi mengangkat muka.
            “Nina!”
            Nina meluru ke arahnya lalu mereka berpelukan.
            Setelah beberapa saat, Nina melepaskan pelukan lalu memandang Fifi dari atas ke bawah.
Nina menggelengkan kepala. Hampir dua minggu tidak berjumpa, keadaan sahabat baiknya itu
sungguh berbeza. Kalau dulu, pantang bagi Fifi berkeadaan tidak terurus. Itu perangai orang malas,
kata Fifi. Tapi kini, keadaan sungguh berbeza sekali. Ini bukan Fifi yang di kenalinya. Fifi yang Nina
kenali selalunya ceria. Tapi kini, mukanya pucat sembab dan rambutnya kusut masai.
            “Teruknya aku tengok kau. Kenapa ni?” Nina bertanya.
            “Nina…” Fifi mengongoi seperti budak kecil. Nina memeluknya lagi, membiarkan Fifi
meluahkan tangisan di bahunya.
            Babe, sabarlah.” Nina berkata. Dia pun tidak tahu apa yang perlu dikatakan untuk memujuk
Fifi.
            “Kau ada jumpa Shah?” Fifi bertanya setelah tangisannya mula reda.
            “Tak.” Nina menjawab ringkas. Fifi mengeluh.
            “Macam mana kau boleh terlanjur ni, babe? Kita enjoy, enjoy juga, tapi janganlah melampau.
Sekarang tengok, siapa yang susah?"
            Fifi diam, tidak tahu apa yang perlu di jawab.
           
“Dulu pun, kau selalu mengadu, Shah tu pelik. Ikut suka hati dia kalau nak muncul. Kalau
datang angin dia, hilang macam tu je. Aku dah cakap banyak kali, do not trust him. Tapi kau degil…”
            Fifi masih mendiamkan diri. Kata-kata Nina memang benar tetapi sekarang, nasi sudah menjadi bubur. Seribu kata nasihat sekalipun tidak dapat mengubah hakikat yang satu itu. Hakikat yang dia mengandungkan anak Shah. Hakikat yang dia mengandung anak luar nikah.
            “Apa kau nak buat sekarang?” Nina bertanya lagi. Fifi mengangkat bahu.
            “Kau taknak gugurkan?” Suara Nina seakan berbisik. Matanya memandang ke pintu, bimbang
perbualan mereka didengari.
            “Aku takutlah. Lagipun, papa tak bagi. Papa cakap jangan tambah dosa.” Fifi juga menjawab
dengan nada perlahan.
            Babe, kau cuba makan nanas.
Takpun minum air tebu. Orang kata benda-benda ni tajam.
Boleh kasi gugur.” Nina masih lagi merendahkan suara. Fifi terdiam lagi. Memang dia pernah dengar
yang nanas boleh menyebabkan keguguran. Petua orang dulu-dulu.
            “Mana aku nak cari nanas?”
            “Ala, kau mintaklah kat Mak Ton.”
            “Macamlah dia nak bagi.”
            Nina menggaru-garu kepalanya. Mereka terdiam seketika.
            So, confirmlah kau berhenti belajar sekarang?” Nina bertanya lagi. Fifi mengangguk.
            “Papa tak kasi aku keluar rumah langsung.
Bosan!”
            “Kau tahu, si Elly tu sibuk tanya pasal kau. Hari-hari dia tanya mana kau.”
            “Serius?”
            “Serius.”
            Fifi mencebik bibir. Dia teringatkan Elly atau nama sebenarnya Eliza Binti Datuk Hashim,  saingannya di kolej. Bukan dari segi pelajaran, tetapi dari segi populariti. Siapa lebih glamour? Siapa bersolek paling cantik? Baju siapa paling vogu’? Kereta siapa paling berjenama? Siapa yang paling menjadi rebutan pelajar lelaki di kolej mereka? Macam-macam lagilah. Elly adalah musuh ketatnya.
            “Mesti dia gelak besar kali ni kan?” Wajah Fifi kembali mendung. Nina diam. Malas pula dia hendak melaporkan peristiwa di kolej tadi.
Pasti fikiran Fifi akan bertambah kacau.
            “Si Danial pun cari kau tau…”
Kata Nina.
            “Danial?” Fifi menarik nafas. Danial, antara jejaka ‘hot’ di kolejnya. Dengan tiba-tiba dia
terasa bersalah kerana mempermainkan perasaan lelaki itu. Dari dulu lagi Danial cuba memikat tetapi
Fifi sengaja bermain tarik tali, berjual mahal. Seronok dikejar lelaki-lelaki kacak di kolej.
            Sorry, Dani…” Fifi berkata perlahan.
            Babe, janganlah sedih.” Nina memujuk lagi apabila melihat Fifi kembali mendiamkan diri.
           
“Nina, kau mesti tolong aku…cari Shah…”
            ‘‘Kau ni…aku nak cari kat mana?’’
Nina bertanya, resah.
            ‘‘Kau kan selalu clubbing. Takkan kau tak nampak Shah kat mana-mana?’’
            Nina terdiam. Sejak mengetahui Fifi mengandung, Nina juga sudah mula mengurangkan aktivitinya beriadah di kelab malam. Bimbang akan terjebak seperti Fifi. Fifi agak bernasib baik. Sekurang-kurangnya, nasib Fifi masih terbela. Papa dan mama Fifi masih sanggup menerima Fifi seadannya.
            Kalau daddy dengan mummy aku, entah-entah dah kena pancung kepala. Isk, seram. Fikir  Nina lalu menggelengkan kepala.
            “Nina… please, tolong aku. Ini anak Shah…Aku mesti jumpa Shah.” Fifi merayu lagi. Nina memandang wajah sahabatnya lama, lalu mengangguk perlahan walaupun dia tidak yakin yang dia mampu menunaikan permintaan Fifi.

***
           
YUSHAR Group of Companies
Kuala Lumpur          
           
            Satu demi satu helaian suratkhabar di tangannya di selak. Berita yang di siarkan di akhbar
arus perdana itu menarik perhatian Tan Sri Yusuf. Dia menggelengkan kepala. Sesekali mengeluh.
Nampaknya, kes membuang bayi semakin menjadi-jadi di negara ini. Mengikut statistik, sebanyak
517 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari 2011. Banyak yang
telah di jumpai, entah berapa banyak pula lagi yang tidak dilaporkan. Ada yang ditemui dalam
bentuk tidak cukup sifat iaitu dilahirkan secara paksa dan ada yang ditemui dalam keadaan cukup
sempurna dan comel. Hampir setiap hari berita mengenainya terpapar di media massa.
            “Tak ingat Tuhan agaknya mereka ni?” Tan Sri Yusuf berkata sendiri.
            “Ah…cakap anak orang, anak aku pun sama.” Tan Sri Yusuf merengus.
            Telefon di atas mejanya berbunyi lalu di sambut oleh Tan Sri Yusuf.
            “Tan Sri.” Kedengaran suara pembantu peribadinya di talian intercom.
            “Yes, Shiela…”
            “Encik Aidil nak jumpa.”
            “Suruh dia masuk.” Telefon di letakkan. Beberapa saat kemudian, terdengaran ketukan di
pintu sebelum terbuka.
            “Assalamualaikum papa.”
            “Waalaikumussalam.” Tan Sri Yusuf menjawab. Aidil menarik kerusi lalu duduk berhadapan
dengan papanya.
            “Papa, bulan depan papa jadi tak pergi Langkawi?”
            “Langkawi? Nak buat apa?”
            “Perasmian resort terbaru....papa lupa?”
            Tan Sri Yusuf mengeluh. “Sorry, papa lupalah. Banyak sangat benda nak fikir. Nanti kamu check schedule papa dengan Shiela.” Tan Sri Yusuf menjawab. Aidil mengangguk.
            “Dah dapat apa yang papa nak?” Soal Tan Sri Yusuf pula.
            “Dah pa.” Aidil menyerahkan fail yang di bawa bersamanya. Tan Sri Yusuf membuka dan
membaca sekali lalu. Kepalanya terangguk-angguk.
            “Papa…”
            “Ya?”
            “Betul ke ni?” Soal Aidil. Tan Sri Yusuf mengangkat kening.
           
“Papa baru je kenal dia…"
            “Kamu ada idea lain?”
            Rehab?”
            “Mama kamu takkan setuju.”
            “Selain lelaki tu?” Aidil bertanya lagi.
            “Kamu ada calon?”
Aidil menggelengkan kepala.
            Dalam fikiran Aidil, tiada lelaki waras dengan rela menjadi pak sanggup. Kalau ada pun,
pasti mahukan upah yang lumayan. Namun, dalam hal ini, upah bukan masalahnya.‘Pak Sanggup’ itu
perlu mematuhi beberapa syarat yang telah dikenakan oleh papanya. Aidil juga tidak yakin bahawa pemuda yang dicadangkan oleh papanya akan bersetuju.
            “Papa, Fifi macam mana? Dia setuju?”
            “Sama ada dia setuju atau tak, itu papa tak kira. Yang penting sekarang, kita kena buat sesuatu
sebelum kandungan adik kamu membesar. Papa tak mahu berita pasal adik kamu mengandung anak
luar nikah tersebar.” Mendengar jawapan Tan Sri Yusuf, Aidil menganggukkan kepala. Biarlah
papa saja yang membuat keputusan. Dia juga sudah pening memikirkan masalah adiknya. Tidak
pernah terjangkau di fikiran Aidil yang Fifi akan jauh tersasar hingga berbadan dua.
            “Macam mana dengan Shahrizal? Dapat kamu cari maklumat pasal lelaki tu?” Tan Sri Yusuf
bertanya lagi.
            “Buat masa ni, tak ada. Susahlah pa. Informasi yang kita ada cuma nama, macam mana nak siasat? Kalau ada gambar ke, alamat ke,sekurang-kurangnya boleh membantu.” Mendengar jawapan Aidil, Tan Sri Yusuf pula yang terangguk-angguk lalu mengeluh perlahan.
            Mereka terdiam seketika.
            "Kamu pula, bila nak ada anak?”
            Aidil tersenyum sedikit mendengar soalan dari mulut papanya.“Ala pa…tunggulah dulu. Bagilah kami bercinta puas-puas dulu.”
            “Dah setahun kamu kahwin, tak puas-puas lagi bercinta? Orang lain yang tak kahwin dah
mengandung. Kamu yang dah kahwin tak ada pula nak fikir pasal zuriat.” Tan Sri Yusuf membebel.
            Aidil hanya tersenyum lagi mendengar kata-kata papanya. Bukan sekali dua,dah berkali-kali bebelan seperti itu diterima tetapi jawapan yang di berikan tetap sama - tunggulah dulu.
            “Balik rumah weekend ni. Mama kamu dah rindu dengan kamu dan Maisarah.”
Suruh Tan Sri Yusuf. Aidil tersenyum dan mengangguk
            “Papa, dah tengahari ni. Jom pergi lunch…” Aidil mengajak.
            “Okay.” Tan Sri Yusuf menjawab lalu bangun dari kerusinya.

***

Banglo Mewah Tan Sri Yusuf
Bukit Antarabangsa  

            Selepas solat Isya’, Tan Sri Yusuf menghabiskan sepanjang baki waktu malamnya di dalam
bilik bacaan. Bilik bacaan ini memang di penuhi dengan pelbagai jenis buku, pelbagai jenis ilmu.
Tidak tercakup kepada agama semata, segala ensiklopedia, politik, biografi dan berbagai lagi jenis
buku ada di sini. Semuanya merupakan koleksi peribadi Tan Sri Yusuf sendiri. Tan Sri Yusuf
memang gemar membaca. Tabiat yang telah disemai oleh arwah ayahnya sedari kecil kepada Tan Sri
Yusuf dan juga adik-beradiknya yang lain. Tan Sri Yusuf juga menerapkan budaya membaca itu kepada ketiga-tiga orang anaknya.  Membaca jambatan ilmu. Dengan ilmu itulah, minda manusia akan terbuka, akal fikiran lebih tajam, pengetahuan di pertingkat. Hikmah membaca itu sangat luas.
            Tetapi hari ini Tan Sri Yusuf tidak membaca sebarang buku. Dia membaca lagi kontrak itu
berulang-ulang kali. Mencari sekiranya ada fakta-fakta yang tertinggal yang perlu di titik beratkan.
Kontrak itu di sediakan olehnya sendiri dengan lengkap sekali. Akhirnya Tan Sri Yusuf berpuas hati.
Fail kontrak itu di tutup. Keningnya berkerut dan matanya di pejamkan. Di peringkat usia emas ini,
kudratnya masih utuh walaupun adakalanya dia kelelahan.
            Saat ini, otaknya memikirkan Fifi, anak bongsunya itu. Betapa dia kecewa dengan tindak
tanduk Fifi. Kebebasan yang di berikan di balas dengan keperitan. Sungguh mudah Fifi menyerah
semata-mata kerana cinta. 
            “Subahanallah…” Perlahan Tan Sri Yusuf mengucapkan kata suci itu. Dia sedar, ini semua
adalah ujian ALLAH.  Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang di datangkan dalam bentuk
bencana alam. Ada yang di uji dengan kemiskinan. Ada yang di uji dengan kekayaan. Semua itu
adalah kerana ALLAH hendak melihat sejauh mana keimanan hambaNya.
            “Abang.”
            Tan Sri Yusuf mengalihkan pandangan ke arah Puan Sri Haryati, isteri yang dikasihi. Wajah
yang kian dimamah usia itu tetap kelihatan anggun di mata Tan Sri Yusuf. Dialah isteri, dialah
permaisuri. Susah senangnya, jatuh bangunnya dikongsi bersama wanita itu.
            “Abang.” Puan Sri Haryati memanggil lagi apabila Tan Sri Yusuf tidak menyahut. Dia
maju ke depan, lalu duduk di sofa, bersebelahan dengan Tan Sri Yusuf. Secawan kopi O panas kegemaran suaminya di letakkan di atas meja. Senyuman nipis terukir di bibir Tan Sri Yusuf.
            “Ti…” Tan Sri Yusuf memanggil setelah melihat Puan Sri Haryati mendiamkan diri. Mata isterinya tertumpu kepada fail yang tertutup di atas meja. Perlahan Tan Sri Yusuf mengambil fail itu, lalu diserahkan kepada Puan Sri Haryati. Puan Sri Haryati menyambut lalu fail itu di baca sekali lalu. Kemudian, dia menutupnya lalu meletakkan kembali di atas meja.
             “Betul ke ni bang?” Puan Sri Haryati bertanya.
            “Nak hantar ke rehab, Ti tak nak. Kalau kita hantar Fifi ke London, mesti hal ni akan jadi lebih kecoh. Seboleh-bolehnya, abang tak nak orang lain tahu perkara ni.” Tan Sri Yusuf
berkata perlahan. Fifi itu anaknya. Sungguhpun di kalangan keluarga sendiri, Tan Sri Yusuf tidak mahu keaiban itu terbuka.
            “Entahlah bang. Ti risau.” Puan Sri Haryati berkata lagi. Tan Sri Yusuf mendiamkan diri.
            “Tapi, kenapa abang pilih budak tu? Kenal pun tidak…” Kening Puan Sri Haryati berkerut,
masih mempersoalkan keputusan yang diambil oleh suaminya.
            “Abang tak ada pilihan Ti. Kita kena cepat sebelum kandungan Fifi makin besar.”
            “Yalah… tapi kenapa budak tu?”
            “Abang rasa dia baik.”
            “Mana abang tahu?”
            Tan Sri Yusuf mengangkat bahu. Dia tidak ada jawapan kepada soalan itu. Yang dia ada cuma rasa hatinya. Rasa hatinya cukup kuat mengatakan anak muda itu mampu menjaga Fifi.
            “Abang ni…ini soal masa depan Fifi, bang. Mana boleh rasa-rasa.” Nada suara Puan Sri
Haryati kedengaran bimbang.
            “Ti ada cara lain?”
            Puan Sri Haryati terdiam lalu menggelengkan kepalanya perlahan-lahan.
           
“Tapi, abang tahu ke siapa budak tu? Mak bapa dia? Asal usul dia?” Puan Sri Haryati bertanya lagi.  Tan Sri Yusuf menganggukan kepala. Sebuah lagi fail di hulurkan kepada Puan Sri Haryati. Fail itu telah diberikan kepadanya oleh Aidil, anak sulungnya di pejabat siang tadi.
            Puan Sri Haryati membuka fail itu lalu membacanya, kali ini dengan tumpuan penuh.
Nampaknya, Tan Sri Yusuf bersungguh dengan rancangannya. Tan Sri Yusuf telah mengarahkan
Aidil mengupah seorang penyiasat persendirian untuk menyiasat latar-belakang anak muda itu. Dari
maklumat yang diberikan, nampaknya tiada apa yang mencurigakan. Latar-belakang pemuda itu
biasa-biasa sahaja. Anak sulung dari dua beradik. Ayahnya bekas pesara kerajaan, ibunya
suri rumah. Puan Sri Haryati menghabiskan membaca maklumat di dalam fail itu. Beberapa keping
gambar pemuda itu juga di tatap.
           
“Ti takut…dia tak ikhlas.” Puan Sri Haryati berkata. Tan Sri Yusuf menggelengkan kepala
seraya tersenyum.
            “Ti, dalam hal ni, kita tak boleh nak persoalkan sama ada dia ikhlas ke tidak. Sebelum
kandungan Fifi membesar, kita perlu buat sesuatu. Lagipun, kita dah ada kontrak. Dia mesti patuhi
arahan dalam kontrak ni sebelum dapat bayaran.” 
            “Abang dah tanya budak tu?”
            “Belum lagi. Esok baru abang nak pergi jumpa.” Tan Sri Yusuf berkata sambil menarik nafas.
            “Nak ke budak ni, bang?” Sekali lagi Puan Sri Haryati menzahirkan persoalan utama yang
bermain di mindanya. Mahukah anak muda itu menikahi Fifi? Mahukah pemuda itu menjaga Fifi
sebaik mungkin? Mampukah pemuda itu menghadapi kerenah Fifi yang kasar dan kebudak-budakan?
Pelbagai soalan menerjah ruang otaknya.
            Mengenangkan Fifi, hatinya menjadi sebak. Tidak di sangka, anak gadis tunggal
kesayangannya sanggup membiarkan diri ternoda kerana cinta. Sedangkan, sudah cukup rasanya
kasih sayang yang di berikan kepada Fifi oleh dia dan Tan Sri Yusuf. Puan Sri Haryati menahan air
matanya dari tumpah, tidak mahu menambah kegalauan hati Tan Sri Yusuf.
            “Abang rasa… dia akan terima.” Tan Sri Yusuf menjawab. Wajah Puan Sri Haryati ditatap lama. Tan Sri Yusuf perasan, ada manik-manik kaca di tubir mata isterinya tapi tidak pula Tan Sri Yusuf mahu memujuk. Sekiranya menangis mampu menghilangkan rasa resah di hati isterinya, maka
biarlah isterinya itu mengalirkan air mata. Dia akan tetap di sisi, bersama-sama menghadapi masalah
ini.
            Tangan Puan Sri Haryati digenggam, lalu isterinya membalas. Genggaman itu seolah-olah
memberikan kekuatan antara satu sama lain. Perlahan Puan Sri Haryati mengucup tangan suaminya,
titis air matanya tumpah juga. Tan Sri Yusuf memeluk bahu isterinya, tidak berkata apa-apa
membiarkan sahaja isterinya di dalam emosi.


No comments:

Post a Comment