Wednesday, 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 6



Cycle & Carriage Bintang
Batu Caves
           
            “Assalamualaikum.”
            “Walaikummussalam.” Fandi menoleh.
            “Pakcik…”
Fandi mengelap tangannya ke seluar. Setelah yakin ianya sudah agak bersih,
Fandi menghulurkan tangannya kepada Tan Sri Yusuf lalu di sambut.
            “Kereta rosak lagi ke pakcik?” Fandi bertanya. Setahu Fandi, kereta Tan Sri Yusuf sudah dituntut oleh Aziz.
            “Eh..bukan. Pakcik datang ni nak jumpa Fandi.” Tan Sri Yusuf berkata sambil tersenyum.
Fandi mengerutkan kening. Dia terasa pelik kenapa tiba-tiba Tan Sri Yusuf datang berjumpa
dengannya.
            “Boleh kita bercakap sekejap?”
Tan Sri Yusuf bertanya. Fandi melihat jam di tangan. Pukul
5.45 petang.
            “Macam nilah pakcik. Saya habis kerja lagi lima belas minit. Kalau pakcik tak keberatan, saya
nak sudahkan kerja ni, tinggal sikit lagi. Pakcik boleh tunggu di dalam dulu. Pukul enam nanti, saya
datang jumpa pakcik.” Fandi menjawab. Walaupun dia menghormati permintaan Tan Sri Yusuf, tapi
tidak wajar pula rasanya untuk dia menangguhkan kerja. Lagipun, waktu bekerjanya hampir tamat.
Tidak salah rasanya jika dia meminta Tan Sri Yusuf menunggu sebentar.
            “Okay.” Tan Sri Yusuf mengangguk sambil tersenyum. Kemudian, Tan Sri Yusuf berlalu ke
dalam pejabat C&C Batu Caves, meninggalkan Fandi dengan seribu tanda tanya.



            Suasana di restoran agak lengang pada waktu ini. Tan Sri Yusuf dan Fandi menempatkan diri
di satu sudut terpencil di restoran itu. Sengaja Tan Sri Yusuf memilih tempat yang agak jauh dari
orang ramai. Mudah untuk mereka berbincang. Setelah habis menikmati makanan, barulah Tan Sri
Yusuf membuka mulut tentang tujuan kedatangannya berjumpa Fandi.
            “Mesti Fandi tertanya-tanya, kenapa pakcik datang jumpa Fandi...kan?” Tan Sri Yusuf bermukadimah, berhati-hati menyusun kata. Fandi mengangguk. Sejak Tan Sri Yusuf hadir di tempat
kerjanya tadi, Fandi membiarkan saja persoalan itu bermain di mindanya. Biarlah Tan Sri Yusuf yang memulakan kata. Fandi tidak mahu bertanya. Lebih suka jika Tan Sri Yusuf sendiri yang membuka mulut.
            “Biarlah pakcik berterus-terang.”
            Fandi masih diam. Menunggu sahaja Tan Sri Yusuf meneruskan kata-katanya.
            “Tapi kamu jangan terkejut.”
             Fandi mengangguk lagi, walaupun peratus kesabarannya mula menurun. Tan Sri Yusuf seperti mahu bermain teka-teki pula.
            “Sebenarnya pakcik nak minta tolong dengan Fandi.” Tan Sri Yusuf menyampaikan permintaannya.
            “Minta tolong? Tolong apa pakcik?” Kening Fandi berkerut.


***

Kampung Melayu
Kluang, Johor

“Tolong buka lampu luar tu, nanti ayah kamu balik, gelap pulak.” Puan Sairah menepuk
perlahan bahu Fandi, lantas menghilangkan bayangan pertemuan Fandi dengan Tan Sri Yusuf
kelmarin. Fandi menoleh ke arah ibunya. Tidak pula Fandi sedar kehadiran Puan Sairah di sebelah.
            “Mak ni..terkejut dibuatnya.”
            “Kamu tu yang mengelamun. Entah apa yang kamu fikir… sampai mak duduk sebelah pun kamu tak sedar.” Balas Puan Sairah. Fandi hanya tersengih memandang ibunya lalu bangun. Suis lampu yang terletak di sebelah pintu ditekan untuk menghidupkan lampu luar.
            “Abah kamu mana?” Puan Sairah bertanya. Setahu dia, Fandi ke surau dengan suaminya
tapi bila balik, Fandi berseorangan.
            “Pergi ngeteh dengan Pak Samad.” Fandi menjawab, kembali duduk di sebelah ibunya. Puan
Sairah mengangguk.
            “Esok, pukul berapa kamu balik ke KL?”
           
“Dalam pukul sembilan.” Fandi menjawab tanpa memandang Puan Sairah. Tangannya menggapai alat kawalan jauh yang terletak di atas kerusi. Jarinya ralit menekan butang, menukar-nukar siaran di televisyen. Berita, telemovie, rancangan realiti tv, sukan…
            “Ala mak… nak cakap, cakap ajelah.
Orang dengar ni…” Akhirnya Fandi bersuara apabila melihat ibunya seperti serba salah dan berdiam diri agak lama.
            “Kamu dah fikir habis ke?” Ibunya bertanya.
            “Dah.”  Fandi menjawab ringkas.
            “Betul ke ni?”
            “Mak…masuk ni, dah sepuluh kali mak tanya..”
            Puan Sairah mendiamkan diri.
            “Cuba mak cakap, apa yang mak rungsing sangat?”
            “Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba kamu kata nak kahwin?” Puan Sairah akhirnya berterus-terang. Fandi tidak menjawab.
            “Berapa lama kamu kenal dengan budak tu?” Soal Puan Sairah lagi.
            “Budak mana?”
            “Ya Allah, kamu yang nak kahwin, kamu pula tanya mak…budak mana?”
            Fandi terdiam lagi.
            “Entah-entah, kamu ni frust menonggeng sebab Alya kan? Sebab tu tiba-tiba nak kahwin…”
Puan Sairah meneka lagi.
            “Apa kena-mengena dengan Alya pulak mak?”
           
“Iyalah. Si Alya tu kan dah bertunang dua, tiga bulan lepas…”
            Fandi mengerutkan kening. Hatinya terusik dengan pertanyaan ibunya.  Puan Sairah juga terdiam. Sedikit menyesal kerana menyebut nama itu. Dia tahu, betapa kecewanya hati Fandi bila Alya Syuhada bertunang dengan orang lain.
            “Mak tahu, kamu kecewa dengan Alya…”
Tutur Puan Sairah lagi apabila melihat Fandi
kembali mendiamkan diri.
           
Fandi mengeluh. Percintaannya dengan Alya Syuhada bukan sekejap. Malah, kedua-dua belah keluarga mereka juga telah mengetahui hubungan ini. Bermula sejak tamat alam persekolahan, cinta itu terus subur mekar hingga hampir lapan tahun lamanya. Malah, Fandi juga telah bersedia untuk menyunting Alya Syuhada sementelah kewangannya sudah kukuh. Tetapi, nampaknya Alya Syuhada telah berubah hati. Alya Syuhada bertunang dengan orang lain tanpa dapat diduga. Hubungan mereka terputus begitu saja.
            “Ala mak, orang ni…apa ada? Mekanik cabuk je. Manalah si Alya tu nak pandang.”
            Puan Sairah hanya tersenyum memandang anaknya.
           
“Mekanik cabuk pun, ada juga yang berkenan dengan kamu.”
            Fandi tersenyum sumbing.
            “Fandi, cuba beritahu mak. Kenapa tiba-tiba kamu nak kahwin? Tergesa-gesa pula tu. Hal
kahwin bukan main-main, tahu?” Nada suara Puan Sairah kedengaran lebih serius kali ini.
            “Kamu jangan nak rahsiakan apa-apa dari mak.” Sambung Puan Sairah.
            Fandi menolak rambutnya yang berjurai ke belakang. Perkara nikah kahwin bukanlah boleh dibuat sambil lewa, dia tahu itu. Dia sudah lama bersedia namun niatnya terpadam setelah Alya Syuhada berubah hati. Tetapi, setelah Tan Sri Yusuf menawarkan sesuatu, Fandi mula mempertimbangkan semula tentang perkara itu. Ya, umumnya dia sudah bersedia, namun beberapa perkara harus di timbang berat dari segala segi.
            “Cakaplah Fandi.” Desak Puan Sairah.         
            “Sebenarnya mak…” Ayat Fandi terhenti di situ. Nafasnya ditarik dalam-dalam, mengumpul kekuatan untuk menerangkan semuanya kepada Puan Sairah. Setelah didesak berkali-kali, Fandi membuat keputusan untuk memberitahu saja perkara sebenar. Memang Puan Sairah berhak untuk mengetahui perkara itu.
            “Sebenarnya mak…” Ulang Fandi dan kali ini, Puan Sairah sudah hilang sabar.  
            “Sebenarnya…sebenarnya. Sebenarnya apa? Cakaplah!”
“Macam ni mak…sebenarnya.....errrr sebenarnya, anak Tan Sri Yusuf tu dah mengandung.”     Terbeliak mata Puan Sairah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Fandi.
            “Mengandung? Anak siapa? Anak kamu? Ya Allah…Fandi! Boleh tak kamu adik-beradik
jangan bagi susah hati mak. Sudahlah si Nabilah tu lari dari rumah tak balik-balik. Sekarang ni…kamu pula yang mengandungkan anak orang? Apa nak jadi dengan kamu semua ni? Kamu dah tak ingat dosa ke? Dah tak ada iman? Sampai hati kamu buat mak macam ni…” Puan Sairah mulai sebak.
            “Mak…dengarlah dulu.
Orang tak habis cakap lagi. Orang tak buat semua tu. Mak ingat, anak
mak ni jahat sangat ke? Anak mak ni baik tau…” Fandi menjawab tenang dalam gurauan. Reaksi Puan Sairah sudah dapat dijangka.
            “Kalau bukan anak kamu, anak siapa?”
Soal Puan Sairah. Fandi mengangkat bahu.
            “Orang tak pernah tanya mak. Tak sampai hati nak tanya.”
            “Jadi, Tan Sri Yusuf tu suruh kamu jadi pak sangguplah?” Fandi menjawab pertanyaan Puan Sairah dengan anggukan perlahan beberapa kali.
            “Kamu sanggup ke?”
            Fandi tidak menjawab.
            “Fandi, kahwin ni bukan perkara main-main. Ini tanggungjawab, kamu tahu tak?”
            “Orang tahulah mak.” Fandi menjawab lantas menarik nafas.
            “Betul ke kamu ni? Kalau kamu kecewa sebab Alya sekalipun, jangan buat keputusan melulu.
Menyesal nanti.”
            Fandi menggosok-gosok rambutnya. Nafasnya dihela beberapa kali sebelum membalas kata-kata Puan Sairah.
            “Kecewa tu memanglah, mak. Bohonglah kalau orang cakap tidak.’’ Perlahan Fandi berkata. ‘‘Tapi…jodoh maut semua tu ketentuan Allah. Kalau dah memang Alya tu bukan jodoh orang, orang kenalah redha.” Sambung Fandi. Rasa kecewanya dibuang terus ke lubuk hati yang paling dalam. Biarlah dikunci saja rasa itu selama-lamanya. Tidak perlu dirintih, tidak perlu ditangisi.  
            Puan Sairah menepuk bahu Fandi perlahan.“Kamu dah fikir masak-masak?”
            Fandi mengangguk walaupun hatinya sendiri masih dipagut rasa ragu dengan keputusannya.
            “Tak ada orang lain ke yang kamu nak kahwin?”
            “Mak tak setuju?” Fandi menduga.
            “Mak…tak tahu macam mana nak cakap…” Puan Sairah mengurut-urut dahinya sendiri setelah berkata. Bukan dia tidak percayakan anaknya itu, cuma perkara seperti ini perlu di fikirkan semasak-masaknya. Buruk baiknya perlu di ambil kira.                                                                                                                                                 “Mak…” Fandi memanggil. Puan Sairah mengangkat muka. Fandi masih menunggu bicara ibunya.
            “Mak risau orang keliling mengata yang bukan-bukan.” Puan Sairah menjawab. Fandi
tersenyum sedikit. Ya, perkara itu tidak banyak sedikit, pasti akan menggangu fikiran abah dan
emaknya.
            “Sampai bila pun orang keliling nak bercerita, mak? Lama-lama senyap sendiri.” Balas Fandi
            “Ataupun mak tak setuju, sebab bakal menantu mak mengandung anak luar nikah?” Sekali
lagi Fandi bertanya.
            “Entahlah Fandi...mak risaulah.”
            “Mak jangan risaulah. Orang tahu apa yang orang buat. Lagipun…”
            “Lagipun apa?”
            “Upahnya lumayan mak. Nanti orang belikan mak gelang emas sampai ke siku. Boleh lawan
dengan Makcik Jenab.” Fandi berseloroh.
            “Kalau kamu nak kahwin sebab harta, baik lupakan ajelah niat kamu tu.” Nada suara Puan Sairah kedengaran sangat tegas kali ini.
             “Orang guraulah mak. Orang bukan kahwin dengan anak Tan Sri Yusuf tu sebab duit.
Gaji yang orang dapat ni pun dah cukup.” Fandi berkata lagi.
            “Kalau bukan sebab upah…sebab apa?” Fandi mengangkat bahu. Soalan Puan Sairah dibiarkan begitu saja. Bukan mahu berahsia cuma buat masa ini, biarlah jawapan itu disimpan dahulu. Fandi tahu, pastinya kerisauan Puan Sairah akan bertambah seandainya ibunya itu tahu sebab sebenar dia setuju membantu Tan Sri Yusuf.
            Puan Sairah memandang Fandi agak lama, masih mengharapkan jawapan yang sebenar
namun apabila Fandi tetap mendiamkan diri, Puan Sairah tahu, tidak guna dia mendesak lagi.
            “Kamu dah beritahu abah kamu?” Puan Sairah menukar soalan.
            “Dah.”
            “Dia cakap apa?”
             “Diam je. Tak cakap apa-apa.”
            “Maknanya, dia serah keputusan tu pada kamu.”
            Fandi mengangguk. Memang sudah masak dengan perangai abahnya. Kalau suka, abahnya akan kata ya. Kalau tak suka, abah akan berkata tidak. Tetapi, kalau di atas pagar, Encik Omar akan mendiamkan diri.
            “Mak...” Panggil Fandi. Wajah redup Puan Sairah dipandang.
‘‘Kalau mak tak restu, orang tak kahwin…’’ Tutur Fandi. Puan Sairah menghembuskan nafasnya dengan perlahan.
            “Kalau boleh, mak memang tak nak kamu kahwin dengan budak tu.” Ujar Puan Sairah. Fandi tidak membalas.
“Tapi, kamu pun dah besar panjang, Fandi. Kamu fikirlah sendiri apa yang baik untuk kamu.” Sambung Puan Sairah, setelah hampir seminit berdiam diri.
            “Jadi, mak setujulah?” Soal Fandi. Puan Sairah menganggukan kepala.
            “Terima kasih mak.” Fandi terasa lega. Perkara paling penting iaitu persetujuan serta restu emak dan abahnya sudah diperolehi. Dia berharap, lain-lain urusan berkenaan hal perkahwinannya nanti akan menjadi lebih mudah.
“Ya Allah, mak. Apa lagi?” Fandi bertanya lagi apabila wajah Puan Sairah kembali cemas.
            “Tak sampai sebulan lagi kamu nak kahwin Fandi oi!”
            “Kahwin ajelah. Apa masalahnya?”
            “Senangnya cakap. Nak sediakan hantaran lagi, nak jemput orang kampung lagi…”
            Fandi menggaru-garu kepalanya. “Tak payah. Majlis tu buat kat rumah Tan Sri…” Balas Fandi.
            “Yalah, tapi takkan tak nak buat majlis sambut menantu?”
            “Tak payah.” Balas Fandi, ringkas dan tegas.
            “Tapi…”
            “Mak…Tan Sri Yusuf tu mintak orang kahwin dengan anak dia sebab nak tutup aib. Tak ada makna nak buat majlis sambut menantu bagai…” Pantas Fandi memintas. Memang itulah juga permintaan Tan Sri Yusuf. Hanya majlis tertutup – yang wajib sahaja.  
            “Sukah hati kamulah.” Balas Puan Sairah. Fandi tersenyum sedikit kepada ibunya. Perbincangan mereka tamat di situ. Fandi menumpukan perhatian pada perlawanan bola sepak yang dimainkan di kaca televisyen.
“Fandi…” Sekali lagi Puan Sairah memanggil. Fandi menoleh. Ada sayu di wajah Puan Sairah menyebabkan hatinya tersentuh.
            “Ya mak…”
            “Kamu ikhlas ke? Tak menyesal?” Puan Sairah menduga. Fandi menarik nafas.
            “Menyesal atau tidak, ikhlas atau tidak, orang tak ada jawapan buat masa ni.” Fandi memberi
jawapan jujur. Puan Sairah tersenyum sedikit. Kemudian, dia bangun dan berlalu menuju ke bilik tidurnya, meninggalkan Fandi di ruang tamu. Fandi hanya menyoroti langkah ibunya dengan mata sehingga hilang dari pandangan. Tidak lama kemudian, Fandi mengeluh sendiri.
            Adakah dia ikhlas mahu mengahwini anak Tan Sri Yusuf, dia pun tidak tahu. Tapi, yang
pasti dia ada sebab sendiri untuk menerima tawaran itu.

No comments:

Post a Comment