Sunday, 13 March 2016

ROMANTIK RAPSODI - BAB 12

PETANG itu balik dari pejabat, Hakim terus
menjemput Nani di rumahnya. Dia agak berkecil hati dengan
gadis itu. Ada ke patut dia langsung tidak diberitahu tentang
kemalangan yang menimpa Nani. Dia dapat tahu pun melalui
SMS, setelah dia mengirimkan pesanan ringkas untuk bertanya
khabar. Kalau tidak, sumpah dia tidak tahu. Susah benar nak
harapkan Nani menghubunginya.
“Kita nak ke mana?” Tanya Nani lembut.
“Kita pergi Dataran Putrajaya nak, minum and lepaklepak
kat sana,” jawab Hakim yang kelihatan tampan berkemeja
biru lembut yang disinsing hingga ke paras lengan.
“Okey,” balas Nani ringkas.
Dia ingin menurut sahaja ke mana Hakim
membawanya. Rindunya dia pada lelaki itu namun biarlah
rindu itu diperam sendiri. Dia tahu dia akan terseksa jika terus
menyimpan perasaan pada Hakim tapi hatinya belum cukup
kuat untuk menidakkan kenyataan itu. Dia lebih rela dilukai.
“Kenapa tak beritahu saya, awak accident? Kecik hati
tau.”
Langkah diatur ke Selera Putra. Mahu mengambil
angin petang sambil minum di situ. Pada hari bekerja, tidak
ramai pengunjung ke situ. Yang ada kebanyakannya pelancong
asing yang datang bersama rombongan. Pemandangan biasa
di situ apabila pelancong asing sanggup membayar puluhan
ringgit untuk seekor udang galah goreng yang dijual.
Mereka mencari tempat duduk di bahagian luar.
Pertanyaan Hakim sebentar tadi dibiarkan sepi.
“Saya risau sangat. Dahlah saya nak jemput kat hospital
pun tak kasi.” Leter Hakim.
“Apa nak dirisaukan. Sekarang saya ni dah betul-betul
depan mata awak. Saya okey, kan. Awak ada nampak berbalut
kat mana-mana? Tak ada, kan?” Nani melontar senyum. Dia
memang gemar tersenyum. Sedekah, kan.
“Lagipun tadi bos saya yang hantarkan. Dia dah berjanji
nak hantar saya balik rumah walaupun saya dah beritahu tak
nak menyusahkan dia.”
“Bos awak lelaki ke perempuan?” Air muka Hakim
sedikit berubah.
“Lelaki.”
Hakim cemburu. Entah kenapa hatinya terasa panas.
Dia rasa tergugat.
“Dia dah kahwin ke?” Soalnya lagi, masih belum
berpuas hati.
“Belum lagi,” seronok pula Nani mempermainkan
perasaan Hakim. Dia nampak perubahan pada wajah Hakim.
Apa yang dia nak marahkan sangat sampai bernafas turun naik
macam tu. Nani menggeleng-gelengkan kepala.
“Dah awak ni kenapa Hakim?”
“Saya jealous tahu!”
Terbahak-bahak Nani ketawa.
“I mean it. Saya jealous. Sangat-sangat.”
“Awak dah buang tebiat ke apa. Nak jealous pasal apa.
Bukannya dia nak kat saya pun. He’s my boss, okey...”
“Memanglah tapi kalau bos awak suka kat awak, macam
mana? Habis saya ni macam mana?”
“Mustahillah. Dia pandang saya pun tak hingin. Awak
macam mana apa? Awak macam biasalah, tetap kawan saya.”
Angin petang yang bertiup lembut menampar pipinya terasa
menyegarkan.
“Saya tak nak hilang awak. Saya sayang awak. Saya
cinta awak. Sangat!” Lancar Hakim menuturkan kata-kata.
Mudahnya dia melafazkan cinta.
Nani terkelu dan terkedu. Sudah lama dia menantikan
saat itu tetapi bukan dalam keadaan sekarang. Dalam
keadaan dia tidak bersedia. Dia terkejut dan sama sekali tidak
menyangka ucapan itu lahir daripada insan yang selama ini
dia mengharapkan cinta. Tuluskah Hakim dengan ungkapan
cintanya itu atau sekadar hiasan pemanis bicara semata? Nani
kurang pasti tapi kalau dilihat pada kesungguhan Hakim, dia
yakin Hakim ikhlas. Entahlah, sukar dia hendak menduga.
“Saya tahu, saya tak perfect untuk awak. Tapi saya
ikhlas cintakan awak. Saya sedar bila saya buat awak sedih, saya
jadi tak senang duduk. Saya rasa gelisah, bercelaru,” Hakim
menyambung lagi kata-katanya.
“Tahu tak... dulu saya pernah hilangkan nombor
telefon awak. Bagai nak gila saya dail satu persatu nombor
sebab nak cari awak balik. Saya tak pernah buat macam tu pada
sesiapa pun.”
Tanpa sedar, air mata Nani gugur satu per satu.
Diseka air mata itu agar tidak terus mengalir. Terharu dengan
pengakuan Hakim, namun dalam masa yang sama di hatinya
masih terselit ragu. Hakim tergamam melihat Nani menangis.
Dia berfikir sendiri sama ada kata-katanya sebentar tadi
menghiris perasaan Nani.
“Nani, I’m so sorry. But I can’t lie to myself anymore.
Hakim betul-betul sayangkan Nani.”
Nani tunduk. Air mata semakin deras mengalir dari
tubir matanya. Tidak disangka, air matanya yang mengalir
saban malam kerana lelaki bernama Hakim akhirnya terbayar
dengan pengakuan lelaki itu.
“Please say something, sayang.” Matanya tidak lepas
memandang Nani.
“Macam mana saya nak tahu awak betul-betul jujur
pada saya, tell me.” Dadanya terasa sakit dek kerana menahan
tangis. Pandangan dihalakan pada tasik yang terbentang. Air di
tasik berkocak tenang tidak seperti dirinya saat ini.
“Saya nak awak tahu Nani... memang saya akui saya
cepat jatuh cinta tapi dengan awak lain. Awak tak gilakan saya
sebab duit saya. I can see it through your eyes, awak ikhlas
berkawan dengan saya. Awak boleh terima baik buruk saya
dan yang penting awak faham saya. Sikit pun awak tak pernah
gunakan saya untuk kepentingan awak. I see your true colours,
Nani. Nilai yang ada pada awak buat saya jatuh cinta.” Bijak
Hakim menyusun kata-kata.
Nani tunduk, tidak berani menentang panahan mata
Hakim. Hatinya terasa menggebu. Dia tidak tahu apa yang
perlu dilakukan ketika itu. Inilah detik yang diimpikan sejak
dia mula kenal Hakim. Cuma hatinya belum mendapat jawapan
atas dasar apa cintanya itu hadir untuk lelaki bernama Hakim.
Dia jelas dengan setiap perwatakan Hakim yang dia sendiri akui
tiada kualiti untuk menjadi pemilik hatinya. Entahlah... cinta
itu buta atau hatinya yang buta.
“Saya takut untuk kecewa lagi... awak fahamkan
maksud saya. Bercinta dengan awak umpama meletakkan racun
dalam hati saya. Saya tak sanggup.”
“Syy, syy sayang... Hakim ikhlas. Pandang mata
Hakim, jawapannya ada di sini,” Hakim merenung dalam ke
anak mata Nani. Dia mahu Nani nampak ketulusan cintanya
pada gadis itu.
Nani melepaskan keluhan berat. Keliru dengan
kehendak hati dan waras pemikirannya. Namun untuk
meluahkan perasaannya pada Hakim, dia malu. Malu untuk
mengakui bahawa dia berkongsi rasa yang sama seperti Hakim.
Hakim menggenggam erat tangan Nani mencari-cari
jawapan. Nani menarik perlahan tangannya.
“Jom, kita balik Hakim.” Nani tidak dapat berfikir
dengan betul buat masa ini. Biarlah dulu.
“No, not until you say yes to me.” Tingkah Hakim.
Lama mereka menyepi. Membiarkan kebisuan mengisi
ruang antara mereka.
“Yes,” Nani menghela nafas berat. Tidak tahu dari mana
datangnya keberanian untuk dia menyambut huluran cinta
Hakim. Hatinya berdoa agar dia tidak silap dengan perasaan
cintanya pada Hakim. Tuhan tolonglah, moga aku tidak kecewa
lagi kali ini.
Hakim pantas mencapai jemari Nani, pemilik hatinya
kini. Tangan kanan Nani dikucup lembut.
“Terima kasih, sayang. Saya janji, saya takkan
kecewakan awak. Thank you, thank you sooo much. I love you.”
Bibir Hakim menguntum senyum. Lega, cintanya bersambut.
Nani senyum hambar. Tiada daya untuk berbuat apaapa.
Sendi-sendinya terasa lemah.
“Jom, saya hantar awak balik.” Hakim memimpin
tangan Nani yang longlai.
Lady, I’m your knight in shining armor
And I love you
You have made me what I am
And I am yours
My love,
There’s so many ways I want to say
I love you.
Let me hold you in my arms forever more.
Lady nyanyian Kenny Rogers berlagu dalam hati.
Perasaan bahagia tak terungkap walaupun dia tahu dia belum
tentu mampu untuk setia pada gadis itu. Sekurang-kurangnya
dia tidak lagi rasa tercabar andai mana-mana lelaki cuba
mendekati Nani kerana hati Nani telah berjaya dia tawan secara
rasmi.

No comments:

Post a Comment