Sunday, 13 March 2016

ROMANTIK RAPSODI - BAB 18

NANI cuba menghubungi Hakim. Ada deringan tapi
tidak berjawab. Sibuk sangat ke sampai tak ada masa nak call
buah hati sendiri. Hakim sudah tidak seromantik dulu, tidak
seperti sewaktu mula-mula mereka bercinta. Kebelakangan
ini selalu saja dia berkecil hati dengan sikap Hakim yang acuh
tak acuh dalam hubungan mereka. Selalu sangat dia sedapkan
hatinya sendiri, memujuk hati agar tidak memikirkan yang
bukan-bukan.
Sekarang ni, nak call sehari sekali pun dah susah.
Inikan pula nak berjumpa. Kalau dulu bukan main beria, sehari
tak jumpa bagai nak gila merindu.
Nani cuba mendail lagi.
“Helo,” terdengar suara Hakim di hujung talian. Dah
takde ‘helo sayang’ lagi?
“Busy ke?” Nani bertanya.
“Yup, quite busy lately. Ada apa call?”
Soalan seperti itu tak patut ditanya. Sepatutnya dia
kena cakap ‘I miss you so much dear, how’s your day, dah
makan? Rindu dia tak?’ Hatinya mula hendak membebel.
Sekurang-kurangnya ambil tahulah apa dia buat hari ini. Kat
mana dia kerja, company apa pun selama ini tak pernah ditanya,
tak pernah Hakim ambil pusing.
Geram! Bila buat tidak peduli, pandai pula datang
mencari. Kalau keluar dengan orang lain, pandai pula nak
marah tak ingat dunia. Teruk betul. Rayyan pun tak macam ni!
Aik, tiba-tiba nama Rayyan yang naik. Erk, tak masuk listlah
singa jadian tu! Panjang bebelan hati Nani.
“Dia janji nak call, tiap-tiap malam orang tunggu.
Tak rindu orang ke?” Dia ingin merajuk tapi tiada guna. Tak
mungkin hatinya akan dipujuk Hakim. Malah Hakim tak pernah
ambil kisah andai dia merajuk.
“Erm, arr, err... rindu. Sorry sangat. Orang busy. Tak
sempat call dia, tak dapat nak spend time dengan dia. Ni pun
tak balik rumah lagi tengah entertain client.” Hakim memberi
alasan. Dia tidak berminat berbual dengan Nani kerana dia
punya agenda lain yang lebih menyeronokkan.
Pukul dua belas malam tengah entertain client? Lain
macam je. Hatinya mula mengesyaki yang bukan-bukan.
“Takpelah... orang faham. Tapi janganlah janji, nanti
orang tunggu.” Lain yang difikir, lain pula yang terzahir di
mulutnya.
“Alaa, kesiannya sayang orang ni. Sayang... orang
call dia balik eh, nak kena letak phone sekarang. Tak payah
tunggu tau, tido dulu. Love you, take care.” Hakim cepat-cepat
memutuskan talian.
“Okeylah, love you too.” Nani menjawab lemah.
Bukannya dia tidak cuba faham Hakim tapi entahlah,
dia perlukan perhatian Hakim. Dia rindu suara manja Hakim,
rindu senda tawa Hakim dan rindu nak dengar Hakim
dendangkannya lagu cinta. Air mata dikesat dengan lengan baju
tidur. Saat itu, dia mula rasa jauh daripada Hakim.
“Hakim, I miss your random texts, those sweet cute
laughs, those late night conversations... I just miss you...”
Rintih hatinya. Air mata dikesat lagi.
“SIAPA CALL you tadi?” Suara manja Tasya tenggelam timbul
dalam alunan muzik yang membingitkan telinga.
“Mak I call,” balas Hakim. “I nak pilih lagu kejap.”
Sebuah ciuman penuh nafsu singgah di pipi Tasya.
“You... betul ke ni mak you yang call? Bak sini phone
you. I nak tengok.” Tasya buat suara mengada-ngada.
“Betul... buat apa I tipu. Dapat dosa kering je.” Jawab
Hakim acuh tak acuh. Matanya khusyuk memandang skrin
kecil, memilih lagu seterusnya untuk dinyanyikan.
Tasya merampas telefon bimbit dari tangan Hakim.
Ditekan butang hijau, tertera senarai panggilan yang keluar
masuk. “IBU” yang membuat panggilan masuk sebentar tadi.
Tapi hatinya belum puas. Hakim seperti merahsiakan sesuatu
daripadanya. Sedang leka Hakim memilih lagu, dia menyalin
nombor telefon “IBU”.
“Jom sayang nyanyi sama-sama,” Hakim memeluk erat
tubuh Tasya yang hanya mengenakan dress pendek paras peha.
Gebu dan menggiurkan. Lagu Khayalan dinyanyikan secara
duet. Masing-masing tenggelam dalam keseronokan duniawi
yang melalaikan.
“I temankan you malam ni okey, darling.” Rengek
Tasya. Jari-jarinya dilarikan pada peha Hakim.
“Malam ni tak boleh sayang, esokkan I kerja.” Hakim
menolak lembut. Rambut panjang Tasya diusap manja.
“Please, darling.” Tasya terus menggoda. Jarinya
dilarikan pula ke bibir Hakim.
Hakim mengetap bibir cuba menahan gelora nafsunya.
Nafasnya turun naik. Kalau diikutkan hati mahu saja dia
mengikutkan kemahuan Tasya. Kemahuan dirinya juga
sebenarnya. Sebatang Dunhill dibakar dan disedut dalam. Air
syaitan diteguk rakus. Bau rokok dan arak bercampur baur.
Hakim melepaskan keluhan, cuba membuang jauh-jauh
keinginan nafsunya yang hebat berkocak.
“Weekend, I promise. Jom I hantar you balik sayang.”
Tangan Tasya ditarik lembut ke dakapannya. Leher, mata dan
bibir Tasya dikucup penuh nafsu.
“I tau you nak I, kan?” Bisik Tasya. Hakim angguk.
Tidak mampu menidakkan kehendak batinnya.
“Tapi, malam ni tak boleh sayang. Esok I ada meeting
penting. I tak nak lewat masuk ofis. I hope you faham.”
Tasya menarik muncung panjang. Usahanya memujuk
Hakim tidak berjaya. Dia bernafas kecewa.

NANI KE pantri memanaskan nasi goreng cina yang dipesan
Rayyan. Sudah masuk hari keempat dia menjadi bibik tak
bergaji Rayyan. Dipekakkan saja telinga mendengar usikan
teman-teman. Dia sudah tidak berdaya hendak menegakkan
perkara sebenar. Tidak ada sesiapa pun mahu percayakan dia.
Rayyan masuk ke pantri.
“Nasi goreng?” Soal Rayyan sambil melabuhkan
punggung di kerusi.
“Tengah panaskan.” Jawab Nani ringkas. Tidak
berminat dia hendak melayan kerenah bosnya yang semakin
hari semakin menjengkelkan.
“Hari ni you buat apa?” Rayyan berbasa-basi. Pandangan
mata mereka bertaut seketika sebelum Nani mengalihkan
pandangan.
“Pergi Phase One, ada kerja belum settle. Adam minta
saya semak balik design, dia tersalah hantar.” Nani berpeluk
tubuh di hadapan microwave menunggu nasi goreng siap
dipanaskan.
“Macam mana buat kerja, tak teliti betul-betul ke?”
“Terlepas pandang kut,” Nani jawab nak tak nak.
Ting!!
Nani mengeluarkan nasi goreng dari microwave. Dia
tidak selesa berdua-duaan dengan Rayyan. Kenapalah tak ada
satu makhluk pun yang masuk ke pantri waktu-waktu begini.
Sekurang-kurangnya tidaklah dia berasa janggal. Dia rela
menahan kutukan teman-teman daripada terpaksa berduaduaan
begini. Awkward!
“Nani dah makan? Jomlah makan sekali, temankan I.”
Suapan pertama singgah di mulut.
“Takpelah bos, saya tak rasa lapar. Lagipun tak elok
kalau staf lain nampak kita berdua-duaan macam ni tiap-tiap
hari. Telinga saya pun dah tak larat nak dengar diaorang sindirsindir
pasal nasi goreng ni.”
“You buat tak tahu dahlah, kalau diaorang lebih-lebih
sangat you beritahu I, tahulah apa I nak buat.”
Eeeii, senangnya dia bercakap, yang nak kena hadap,
aku. Bukan dia! Jerit hati Nani. Nani senyum sumbing.
“Takpe, malas nak panjangkan cerita,” Nani
membancuh dua cawan nescafe. Tidak sampai hati pula hendak
tinggalkan bos makan sendirian.
“Saya tolong tengok bos makan eh.” Cawan berisi
nescafe panas diletakkan di hadapan Rayyan. Rayyan
mengenyitkan mata ke arahnya tanda setuju.
Wajah beku Nani direnung dalam diam. Rayyan
mencari anak mata Nani. Tiada sinar pada mata itu, tidak seperti
selalu. Bagai ada sesuatu yang sedang membelenggu jiwa Nani.
“How’s your boyfriend?” Dia sengaja bertanyakan
soalan itu. Sengaja ingin melihat reaksi Nani.
“Erm, okey je.” Hatinya ditebak pilu. Ada boyfriend
serupa tak ada. Hatinya sakit… terlalu sakit.
“Pasal kes hari tu... dah settle?” Rayyan cuba mengorek
lagi. Jelas kelihatan riak-riak sedih pada wajah naif itu.
“Dah,” ujar Nani. Dia cuba melarikan pandangan ke
sudut lain. Bimbang perubahan air mukanya disedari Rayyan.
“Sorry,” Rayyan bersimpati. “You tak happy dengan
dia, kan? Provoke Rayyan.
“Erm, taklah. Kami okey,” Nani tidak senang dengan
pertanyaan Rayyan. Baginya perkara itu terlalu peribadi.
Tidak perlu dia bercerita pada sesiapa terutama sekali Rayyan,
majikannya.
“You jangan pendam Nani, you kena cari kawan untuk
luahkan kesedihan you. Makin lama disimpan, you akan makin
menderita. I tahu, dari riak wajah you dah boleh baca, you
terseksa. Jadi kenapa nak pretend that everything is okay?”
Tebak Rayyan.
Nani tunduk. Sensitif betul kalau Hakim yang jadi
topik perbualan. Dia tidak dapat membendung kesedihan dan
kerinduannya pada Hakim. Sejak peristiwa Hakim mengamuk
di PD, hubungan mereka semakin dingin. Walaupun dia telah
sedaya upaya membetulkan keadaan, namun terlalu sukar
untuk mengembalikan kemesraan seperti sediakala. Memang,
memang selama ini dia berlagak ceria di hadapan teman
sepejabat. Berpura-pura, dengan harapan dia dapat membuang
perasaan sedih yang bersarang di hati. Cekap Rayyan membaca
isi hatinya.
“It’s better to be alone than be with someone who can’t
really see who you are. So stop torture yourself,” I tak sanggup
tengok you bermuram macam ni... Ayat-ayat terakhir tu hanya
berdetik di dalam hati. Dapat menjadi pemerhati Nani dari jauh
pun sudah cukup buat dia terbuai bahagia.
“Saya keluar dulu ya, bos pun dah siap makan tu,”
Nani tidak sanggup lagi mendengar kata-kata Rayyan. Benar
sekali apa yang disampaikan Rayyan. Namun dia tidak mampu
menolak rasa cintanya untuk Hakim yang terlalu dalam.
Rayyan menggeleng kepala melihat Nani berlalu. Why
Nani, why? I ada depan mata you, kenapa you tak nampak I?
Buka mata luas-luas, kenapa kuncikan hati you untuk lelaki
yang tak tahu menghargai you? Detik hati kecilnya.
Why, can’t you see
That you mean world to me?
Ooh, baby
Words can’t describe the feelings
I hide inside for you
Rayyan menyanyi kecil keluar dari pantri.
If only you knew the times I’ve tried
To let you know I care
Someday I know you’ll realize
And I will be waiting then
NANI LEKA meneliti beberapa dokumen daripada client. Dia
tidak jadi ke Phase One. Adam telah ke sana. Sudah masuk
waktu lunch tetapi dia tiada mood untuk makan. Teringat katakata
Rayyan semasa di pantri pagi tadi.
“It’s better to be alone than be with someone
who can’t really see who you are. So stop
torture yourself.”
Bunyi telefon bimbit mengganggu lamunannya. Dia
segera menjawab panggilan itu.
“Helo,” kedengaran suara perempuan serak-serak
basah di hujung talian.
“Helo,” Nani menjawab penuh ragu. Entah kenapa dia
tidak sedap hati.
“You siapa?” Perempuan itu bertanya. Dia tanya aku,
patut aku tanya dia. Dah dia yang call aku.
“Nani. You siapa?”
“I Tasya. I nak tanya, you kenal Hakim tak?” Soal
perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Tasya itu.
Entah mengapa tiba-tiba darahnya berderau.
Jantungnya berdegup kencang. Nafasnya tersekat-sekat.
“Kenal, kenapa ya you tanya?”
“I just nak tahu, sebab dia save nama you as IBU kat
phone and I rasa pelik. That’s why I call. Anyway, apa hubungan
you dengan dia?”
“Hubungan? Tak ada apa, we’re just friend. A very good
friend. You girlfriend dia ke?” Tergagap-gagap Nani bertanya.
Gemuruh seluruh tubuhnya.
“Yeah, I am. That’s why, I nak check, manalah tahu
kot-kot dia curang pada I, kan?” Mengada-ngada sangat bunyi
suara Tasya.
“You jangan risau, I tak ada apa-apa hubungan istimewa
pun dengan dia.” Terasa seperti ada batu besar menghempap
kepalanya saat menuturkan ayat itu.
“Good. Senang sikit hati I. By the way, sorry ganggu
you. Bye.”
“Bye.” Air matanya mengalir. Nasib baik tiada sesiapa
pun yang berada di situ ketika itu.
Pantas dia menghubungi Hakim. Dia mahu
dengar pengakuan dari mulut Hakim sendiri. Sakit hatinya
dipermainkan begini. Selama ini dia setia pada Hakim. Mengapa
balasan ini yang harus dia terima sebagai bayaran kesetiaannya.
“HAKIM.”
“Ya sayang, ada apa?”
“Just now, ada sorang perempuan, Tasya nama dia.
Dia call. Dia cakap dia girlfriend Hakim. Apa semua ni?” Nani
menelan liur payau. Ikutkan hati mahu saja dia menjerit kuat,
memaki hamun Hakim. Geram. Patutlah sekarang susah
sangat nak call, nak jumpa jauh sekali. Dah ada perempuan lain
rupanya!
“What? Sayang jangan dengar cakap dia. She’s just
my client. Orang tak ada apa-apa pun hubungan dengan dia,”
Hakim cuba berdolak dalih.
“So dia memang kenallah siapa Tasya tu? Kalau tak ada
hubungan, kenapa Tasya boleh cakap korang berdua couple?”
Terketar-ketar bibirnya menahan tangis.
“Memanglah kenal tapi setakat hubungan kerja je,”
Hakim berbohong.
“Orang nak jumpa dia petang ni lepas kerja, boleh?”
“Tengoklah, tak boleh nak janji.”
“Please Hakim, jangan dera perasaan orang macam ni.
Orang dah tak larat. Kalau dia betul-betul dah tak suka orang,
jangan buat orang macam ni. Berterus terang je, orang boleh
terima,” ujar Nani.
Hakim diam.
“Tolonglah... jangan tipu orang. Dah banyak orang
mengalah selama ni dengan dia. Pasal Tasya tu... orang betulbetul
tak boleh terima. Orang setia pada dia selama ni, orang
ikut segala kemahuan dia. Apalagi dia nak orang buat untuk
puaskan hati dia?” Hujan air mata sudah lebat mengalir.
Hakim diam lagi.
“Kenapa dia diam? Cakaplah... Dia nak orang buat
macam mana lagi?”
“Macam inilah. We better break off. Orang pun tak
nak dia susah hati sebab orang. Orang masih tak boleh nak
tinggalkan lifestyle orang yang dulu. Orang cuba beri komitmen
pada dia seorang. Orang dah cuba Nani, tapi tak boleh. Orang
sayangkan dia. Daripada buat dia lebih terseksa, orang rasa lebih
baik kita buat haluan masing-masing.” Lancar mulut Hakim
memutuskan perhubungan. Tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Kalau sayang, kenapa buat orang macam ni? Kenapa
Hakim? Senangnya dia nak putuskan hubungan kita macam tu
je. Bila orang dah mula sayang dia, dia pula nak buang orang
macam sampah.” Sebak dadanya tidak tertahan... Sedih, pilu,
kecewa... semuanya bersatu.
“What do you expect from me? I only can choose
one, and I choose to live on my own way. Cuma, orang nak dia
tahu, that you’re the best I ever had. Take care, bye.” Hakim
memutuskan talian. Dia tidak mahu terus mendengar rintihan
Nani. Tidak mahu keputusan hatinya berubah.
Awak kejam Hakim. Kejam. Sampai hati
dia buat orang macam ni. Dia pentingkan
diri, dia tak pernah fikir perasaan orang.
Dia tipu orang. Dia cakap dia setia kepada
orang tapi sebenarnya tak... bodohnya
orang percaya dengan janji-janji manis dia
selama ni.
Nani menghantar SMS kepada Hakim. Geram dan
bengang dengan tindakan Hakim yang tidak matang. Salahkah
dia bertanya meminta kepastian. Kenapa hukuman seberat ini
yang perlu Hakim jatuhkan ke atas dirinya?
Nani termangu sendiri. Dia ingin menangis semahumahunya.
Apa salah dirinya dibuang tanpa belas kasihan
oleh Hakim. Penat dia membaja rasa cinta untuk lelaki itu,
kesudahannya dia yang merana. Ya Allah, apa salah aku?
Kepalanya berat. Dia mahu bersendiri. Menenangkan fikirannya
yang berserabut untuk seketika.
Dia mengorak langkah menuju ke kereta. Air mata
bercucuran mengalir. Dah, dah... jangan nangis. Tak guna
menangis untuk lelaki tak berhati perut macam tu. Hatinya
cuba memujuk.
Rayyan yang baru pulang daripada makan tengah
hari terperasankan kelibat Nani yang terburu-buru menuju ke
tempat letak kereta. Dia nampak gadis itu menangis. Dia segera
menghampiri Nani.
“Nani!”
Nani tidak berpaling. Dia tidak mahu diganggu. Dia
tidak mahu berjumpa siapa-siapa. Rayyan mendekatinya.
“Hey, what’s wrong?”
Nani diam. Air mata yang mengalir diseka dengan
telapak tangan.
“You tak boleh macam ni. You nak ke mana?”
“Sorry bos, ada emergency. Saya kena balik sekarang.
Saya dah isi borang keluar pejabat.”
“It’s not that! Hey, hey... what happen? Siapa buat you
menangis macam ni?” Rayyan cuba mengambil berat. Mahu
saja dia menyeka air mata yang mengalir di pipi Nani dengan
hujung jarinya.
“Tak ada apa, I really have to go.”
Rayyan menarik tangan Nani. Diheret susuk tubuh
Nani ke keretanya.
“Apa ni? Lepaslah!!!” Nani separuh menjerit. Tolonglah
Rayyan... kalau kau nak ragging aku pun, ini bukan masanya. I
really need a space. Tolonglah faham. Hatinya merintih.
Rayyan buat tidak peduli. Pintu BMW X6 dibuka.
“Get inside,” seperti biasa sesuka hati dia memberi
arahan.
“Why should I?” Nani hilang sabar. Dicerlung tajam
mata Rayyan. Rayyan sudah melampau! Kenapa dia cuba nak
menceroboh ruang peribadinya?
“Just get into the car, or else... you nak I gunakan
kekerasan?” Rayyan mengugut. “Masuk!” Tengkingnya.
Nani terpaksa akur. Dia mendengus kasar. Ingat aku
barang mainan ke? Semua orang boleh buat aku sesuka hati!
Rayyan memecut kereta laju meninggalkan Bandar
Baru Bangi. Kereta dihala ke Bukit Ampang.
“Kenapa buat saya macam ni. Cukup-cukuplah.
Kenapa semua orang boleh buat apa saja sesuka hati? Kenapa
saya nak kena jaga perasaan semua orang? Perasaan saya tak ada
siapa yang kisah. Tolonglah... saya penat. Awak nak bawak saya
ke mana ni?” Nani menangis pilu. Dia kecil hati diperlakukan
sesuka hati.
“I nak bawak you keluar dari sini. I nak you buang
segala kesedihan dalam hati you tu. You tahu tak, you adalah
manusia yang tak sayangkan diri sendiri. You biarkan diri you
dipijak-pijak. No such thing nak tunjuk baik macam ni. You
guna otak tak bila fikir?” Kasar bahasa Rayyan. Dia geram.
Geram dengan kelemahan Nani dan geram dengan lelaki yang
mengambil kesempatan di atas kelemahan Nani.
Nani tersentap.
“Awak tak ada hak nak campur urusan saya. Saya
jalankan tugas saya without fail kat ofis tu, apa hak awak nak
cakap saya macam tu? Hubungan saya dan awak hanyalah
berlandaskan pekerja dan majikan. Awak tak perlu sibuk hal
peribadi saya. Saya tahu apa saya buat. Saya nak menangis ke,
nak tertonggeng ke, itu urusan saya. None of your business!”
Dia menghamburkan kemarahan. Lantaklah apa nak jadi lepas
ni. Kena buang kerja sekalipun dia rela. Meluatnya sudah tahap
maksima dengan Rayyan. Penyibuk!
“I cakap macam tu because I care!”
“You care? For what? Nonsense!” Mereka terus
bertekak.
“I care for you. For you, Nani. You ingat I tak sakit hati
tengok that guy, who ever he is buat you menangis, buat you
sedih! Tapi you boleh biarkan je dia lukakan perasaan you. Itu
bukan cinta, tu bangang namanya!”
“Sedapnya mulut, jaga sikit mulut awak Encik Umar
Rayyan. Don’t talk nonsense! Awak tak perlu nak berempati
dalam-dalam sangat. Saya tak harapkan simpati or empati awak.
I can handle myself. Just give me some space. Apa yang awak
tahu pasal cinta, hah? Nak ajar orang konon.” Kesedihannya
sudah bertukar menjadi kemarahan. Geram diprovoke Rayyan.
Rayyan memberhentikan kereta di bahu jalan. Cuaca
agak redup petang itu. Dia memerhatikan pemandangan dari
Bukit Ampang pada waktu siang, sunyi... sepi... Selalu juga dia
ke sini, tapi pada waktu malam. Bersendirian untuk melepaskan
tekanan.
“Sorry... I berkasar dengan you. I nak you sedar, jangan
jadi hamba cinta.”
Nani membatukan diri.
“You kena bangun daripada fantasi. Berpijak pada
bumi yang nyata. If I were you... I’d promise to live life for all
it’s worth. Rasa cinta itu untuk dinikmati bukan dideritai. You
muda lagi, jangan sia-siakan hidup you menyayangi lelaki yang
tak nampak kelebihan you, yang tak kisah pasal diri you. It’s
useless. Memang, I akui... I buta cinta. Tapi sekurang-kurangnya
I tahu, this is not the way love should be.”
Nani berpaling, memandang wajah Rayyan. Kenapa
Rayyan beria-ia memujuk hatinya?
“Like I said, I care for you. Walaupun Allah dah
tetapkan mungkin I tak berpeluang mendampingi you, at least
tengok you ceria seperti dulu itu dah memadai,” ujar Rayyan
sambil menyorot pandangan ke langit biru. Biar Nani tahu,
masih ada insan yang ikhlas menyayangi dirinya. Biar Nani
tahu, dia sentiasa ada untuk merawat luka di hati Nani.
“Sorry for being selfish, I tahu I tak patut cakap macam
ni dalam keadaan sekarang. I just want you to know, masih ada
insan yang menyayangi you seikhlas hati. Tapi I takkan paksa
you terima I. When I first saw you, I was afraid to talk to you.
When I first talked to you, I was afraid to like you. When I
first liked you, I was afraid to love you. Sounds ridiculous, kan?
Abaikan je apa yang I merepek ni,” Rayyan cuba menguntum
senyum. Debar dalam hati usah di cerita. Mahu meletup
dadanya. Mahu melompat keluar jantungnya.
Nani terus membisu. Dia sekadar mendengar saja
luahan hati Rayyan. Hendak dipercayai, sukar sekali. Dia gadis
biasa, tiada apa-apa keistimewaan, malah banyak kekurangan.
Atas ukuran apa Rayyan boleh jatuh hati padanya. Atas alasan
apa tembok batu di hati Rayyan boleh pecah kerananya.
Mustahil.
“Assalamualaikum,” kedengaran cermin tingkap
kereta diketuk. Rayyan berpaling. Mampus aku. Dia menepuk
dahi. Nani sudah menangis. Damn!

No comments:

Post a Comment