Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 1



 Izureen

Semalam baru aku tahu betapa sakitnya bila cinta tidak dibalas. Aku sangka dia
betul-betul sayangkan aku. Aku fikir dia cintakan aku. Aku yakin dalam hatinya hanya ada
aku. Bukan salah aku untuk beranggapan begitu. Sudah tujuh tahun aku kenali dia.
Daripada tahun pertama di universiti. hinggalah hari ini, di mana kami sudah tiga tahun
melangkah ke alam pekerjaan.
Kami sebaya. Sama-sama belajar di UM dalam jurusan perakaunan. Dia yang
menegur aku dahulu selepas seminggu kuliah semester pertama bermula. Kami disuruh
pensyarah mencari pasangan untuk menyiapkan tugasan. Aku yang memang sejak azali agak
pemalu hanya melihat sahaja rakan-rakan sekuliah sibuk bertanya sesama sendiri.
“Izureen”, panggilnya yang duduk di belakang aku dalam dewan kuliah. Entah dari
mana dia tahu nama aku. Bila aku menoleh, dia tersengih.
“Kau dah ada partner?”
“Belum”
“Kita partner berdua nak?”
Sejak itu kami macam belangkas. Ke mana sahaja berdua. Kalau ada aktiviti yang
melibatkan kumpulan, kami berdua akan masuk kumpulan yang sama.
Dia seorang sahabat yang baik. Sentiasa ada bila aku memerlukannya. Dan aku
percaya aku juga seorang kawan yang baik untuknya. Kalau tidak takkanlah kami kekal
bersahabat sehingga sekarang. Keluarga aku kenal dia dan keluarga dia pun kenal aku.
Bila balik kampus selepas menghabiskan cuti semester di kampung, dia sentiasa bawa
buah tangan untuk aku. Ada sahaja yang mak dia kirimkan. Mula-mula aku segan sebab
mama tidak pernah bagi dia apa-apa. Tapi bila dia kata tidak kisah, aku pun jadi tidak kisah
dan sentiasa tertunggu-tunggu apa yang mak dia kirimkan.
Setiap tahun dia tidak pernah lupa hari ulangtahun kelahiranku. Masa belajar dulu
hadiahnya biasa-biasa sahaja. Bila sudah bekerja, hadiahnya pun naik taraf. Tahun lepas dia
belikan aku beg tangan jenama Coach. Tahun ini pula dia belikan aku tiket Universal Studio
di Singapura. Siap pergi bersama-sama lagi. Tetapi kami tidak pergi berdua, Fawwaz dan
Aida bekas rakan seuniversiti kami turut pergi bersama. Aida bekas pelajar Fakulti
Pendidikan yang bercinta dengan Fawwaz, rakan sekuliah kami sejak di UM. Bulan lepas
Fawwaz dan Aida telah pun bernikah.
Setiap kali dia beri hadiah hari lahirku, akan ada kad kecil yang dicoretkan kata-kata
yang mencuit perasaan. Dan aku masih menyimpan semua kad-kad tersebut.
‘Untuk permata hati aku yang paling comel’
‘Happy birthday, aku sayang kau dunia dan akhirat’
‘ I hope you like this special gift, for a very special person in my life’
‘Izu, you are one in a million and will always be in my heart. Happy birthday dear!’
Perempuan manakah yang tidak akan terusik hatinya bila membaca kata-kata
sedemikian. Itu belum lagi luahan yang keluar dari bibirnya tatkala berbicara denganku. Dia
memanggil aku Izu. Bunyinya agak kelelakian tapi katanya nama itu sangat sesuai dengan
aku. Dan bila dia memanggil aku, sering ada gelaran yang mendahului atau mengikuti
perkataan Izu.
“Izu sayang,..”
“My darling Izu…”
“Izu my sweetheart…”
Kali pertama dia memanggil aku sayang, jantung aku berdegup kencang. Terkedu,
rasa tidak percaya, suka, semuanya bercampur baur. Lama kelamaan aku menyukai gelarangelaran
manis yang diberikan kepadaku.
Dia juga sering memuji penampilanku. Asalnya aku gemar berpakaian kasual. Seluar
jeans, t-shirt dan topi untuk menutupi rambut aku. Rambut aku pendek sebab aku tidak suka
mengeringkan rambut. Bukankah rambut panjang memerlukan masa yang lebih lama untuk
dikeringkan. Dia kata aku comel dengan penampilan begitu. Tetapi dia juga kata aku akan
lebih comel kalau berambut panjang. Maka, sejak semester ketiga aku mula membiarkan
rambutku panjang. Kalau potong pun sekadar ditrim di hujung. Aku sudah tidak pakai topi
lagi kecuali kalau ada aktiviti luar di bawah terik mentari. Pakaian ke kuliah mula
dipelbagaikan. Ada harinya aku berbaju kurung, malah pernah juga berkebaya. Aku juga
pakai skirt labuh, skirt kembang, blaus, gaun dan macam-macam lagi. Rakan-rakan sekuliah
yang lain juga memuji penampilan aku. Tetapi itu semua tidak penting bagi aku. Yang
penting dia suka dengan cara pemakaian aku dan yang penting dia kata imej baru aku
membuatkan aku kelihatan lebih feminin dan manis.
Kami berkongsi cerita, juga berkongsi rahsia. Hubungan renggang aku dengan mama
diketahuinya. Perihal papa yang meninggal dunia ketika aku berusia 16 tahun, kisah papa
yang beristeri dua dan rahsia ini hanya terbongkar pada hari papa meninggal, juga aku kongsi
bersamanya. Dan banyak lagi kisah hidupku yang diketahuinya. Dia juga sentiasa bercerita
tentang berbagai peristiwa dalam hidupnya.
Setelah tamat belajar, dia sentiasa menemani aku menghadiri temuduga. Nasib
menyebelahi aku kerana selepas tiga minggu tamat pengajian aku mendapat kerja. Manakala
dia terpaksa menunggu dua bulan sebelum mendapat kerja di sebuah firma cari gali minyak.
Kami mula sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi masih berhubung. Boleh
dikatakan, hampir setiap hujung minggu kami berjumpa. Tengok wayang, main bowling,
menonton teater, sekadar bersiar-siar, window shopping dan membeli belah adalah kegiatan
yang sering kami lakukan bersama. Tetapi aktiviti yang paling digemarinya ialah bermain
luncur ais di Sunway Pyramid. Daripada tidak pandai, aku kini sudah mahir meluncur ais
hasil daripada ajarannya.
Ada juga sekali sekala kami tidak dapat keluar bersama di hujung minggu atas alasan
seperti dia balik kampung, menghadiri majlis atau kenduri, menghadiri latihan yang
diuruskan oleh majikannya dan dia bercuti bersama keluarganya. Namun semuanya
dimaklumkan kepadaku.
Kelmarin aku ajak dia keluar. Dia kata dia pun memang hendak berjumpa dengan
aku kerana ada perkara penting yang hendak dimaklumkan kepada aku. Jadi semalam,
seperti yang dipersetujui dia datang menjemput aku di rumah tepat pukul 9 pagi. Aku lihat
wajahnya berseri-seri. Nampak dia gembira sangat-sangat. Tapi aku pula lain jadinya.
Entah kenapa bila melihat dia begitu aku jadi berdebar-debar. Ternanti-nanti apa yang
hendak diceritakannya.
Dia memandu keretanya dengan tenang sehingga kami sampai di Tasik Putrajaya.
Baru pukul 10 pagi jadi orang belum ramai di situ. Dia mengajak aku menaiki bot menyusuri
tasik Putrajaya. Aku setuju, lebih-lebih lagi dia yang belanja.
“Semalam kau kata ada benda penting nak beritahu, apa dia?” tanyaku setelah kami
berbual-bual kosong sambil menikmati pemandangan di sekeliling tasik.
Dia senyum. Lama dia pandang aku. Jantungku mula berdetak. Tak tahan rasanya
direnung begitu. Aduhai, kacaknya dia bila tersenyum.
“Ish kau ni, tak sabar betullah.”
“Aku takut kau lupa, semalam bunyinya macam penting sangat.”
“Mana boleh aku lupa bagitau engkau. You know love, you are the first person to
know about this. Even parents aku belum tahu lagi.”
“Apa dia? Cakaplah cepat, kau ni buat aku suspense lah” debaran di dada semakin
kuat.
“OK honey, I am going to tell you… soon. Bila kita habis pusing tasik aku akan
cerita”.
“Alah, cerita ajelah sekarang. Tak ada bezanya kau cakap sekarang atau sekejap lagi.
Kau tetap kena bagitau aku kan?” aku mendesak. Sudah tak sanggup menanggung debaran di
dada. Adakah apa yang ingin disampaikannya adalah sesuatu yang telah lama aku harapkan?
Apakah hari ini dengan rasminya dia akan mengumumkan perasaannya terhadapku dan
melamar aku?
“OK.. OK.. aku bagitau. Listen carefully darling” dia menarik nafas dalam-dalam,
seolah-olah menenangkan dirinya.
“Aku dah jatuh cinta. Aku dah jumpa seorang perempuan yang akan menjadi ratu
dalam hidupku dan aku dah bersedia untuk menamatkan zaman bujang” senyuman meleret di
bibirnya tatkala kata-kata itu diungkapkan perlahan-lahan.
Aku senyum. Gembira kerana akhirnya penantianku untuk mendapatkan
pengisytiharan cintanya terhadapku kini berakhir.
“Semalam aku lamar dia dan dia terima lamaran aku. Dia suruh aku jumpa orang
tuanya dan meminang dia mengikut adat”.
Berderau darahku mendengarnya. Senyuman dibibirku terus hilang. Wajahku
bertukar kelam. Pastinya orang itu bukan aku. Semalam kami berbual di telefon, mana ada
dia melamar aku. Pesanan ringkas yang dihantar ke telefon bimbit sekadar mengingatkan
tentang pertemuan hari ini. Juga tidak ada sebarang pesanan melalui Facebook.
“Izu, kau dengar tak apa aku cakap?” dia bertanya apabila agak lama aku hanya
mendiamkan diri.
Ya, aku dengar. Malahan aku juga faham apa yang dikatakan. Hancur luluh hatiku
saat ini. Impian untuk menjadi ratu hatinya berkecai bagai cermin yang dihempas ke lantai.
Ketika ini aku rasa mahu terjun ke dalam Tasik Putrajaya itu. Biarlah aku lemas di dasar
tasik ini, bersama impian dan harapan yang telah lebur, bagai larut di dasar tasik.

No comments:

Post a Comment