Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 13

Izureen

Apa yang dia merepek ni? Pandai-pandai menuduh aku mengandung. Kemudian meneka
pulak bahawa lelaki yang menyebabkan aku mengandung tidak mahu bertanggungjawab.
Bengang! Itulah yang aku rasakan ketika ni. Kenapa dia senang-senang menuduh? Dulu dia
mengesyaki aku mahu membunuh diri. Sekarang, dia serkap jarang bahawa aku
mengandung! Bagus sungguh imaginasi dia ni. Mentang-mentanglah aku ini orang bandar,
dia fikir semua gadis bandar mudah dipujuk rayu hingga akhirnya menyerahkan tubuh untuk
membuktikan cinta? Tolong sikit, aku bukan begitu orangnya.
Deringan telefon melupakan seketika perasaan bengang, geram dan marah terhadap
Naim. Tertera nama Abang di skrin telefon, cepat-cepat aku menjawab panggilannya. Kata
Abang dia sudah dekat dengan simpang ke rumah homestay ini. Aku keluar, menuju ke
rumah Mak Jah dan kemudian berjalan terus lagi hingga ke simpang. Dari jauh aku nampak
kereta Abang. Aku lambaikan tangan, agar dia nampak kelibatku.
“Abang” jeritku dan terus meluru ke arahnya. Aku peluk Abang erat-erat sebaik
sahaja dia keluar dari kereta. Rindu sangat-sangat terhadap abang. Abang membalas
pelukanku. Kemudian dia mengusap rambutku.
“What happened?”
“Adik guntinglah” aku paut lengan Abang. Gembiranya dapat jumpa abang.
“Adik comel macam ni”.
“Mestilah, adik abang kan. Comel all the time” aku gelak. Abang senyum.
“Abang dah kuruslah” kataku sambil meneliti tubuh abang dari atas ke bawah.
“Adik pun kurus”.
“Adik tengah frust, wajiblah kurus. Yang abang ni apasal kurus? Tak cukup makan
ek?”
Abang senyum saja. Nampak abang pun gembira dapat berjumpa denganku. Pagi ini
abang maklumkan dia hendak pulang ke Taiping dari rumah Mama. Abang bersungguhsungguh
mahu berjumpaku, maka aku maklumkan di mana aku berada, dengan syarat abang
tidak menceritakan kepada Mama.
“Jom, kita masuk. Banyak benda yang adik nak ceritakan pada abang”, aku tarik
tangan abang, membawanya masuk ke rumah inap. Dari jauh susuk tubuh mamat sengal itu
kelihatan masih berdiri di tempat tadi. Aku lihat dia memandang ke arah aku dan abang.
Menyampah!
“Sampai bila adik nak tinggal di sini?” soal abang sebelum menghirup kopi 3 dalam 1
yang aku hidangkan. Itu sahaja yang dapat disediakan.
“Sampai adik bosan, dan sampai rasa sedih ini hilang.
“Bila tu, setahun? Dua tahun?” Aku sekadar mengangkat bahu. Memang aku tiada
jawapan untuk itu.
“Muaz tau adik cintakan dia?” Aku gelengkan kepala. Tiada sebab untuk dia tahu,
lainlah kalau dia belum bertunang.
“Kesian Mama, tak ada orang uruskan hal-hal kewangan dan akaun syarikat.” Abang
cuba menimbulkan rasa bersalah dalam hatiku. Bukannya aku tak kasihankan Mama, tapi
aku perlu masa untuk merungkaikan kekusutan fikiranku dan juga untuk mendapatkan
ketenangan hati. Lagipun bukannya Mama tak boleh ambil pekerja lain.
“Mama tu degil. Dah banyak kali adik beritahu, ambillah kakak bekerja di syarikat
tu. Kakak ada kelayakan dan pengalaman. Tapi mama tetap tak mahu.” Aku meluahkan
rasa tidak puas hati terhadap Mama.
“Adik, cubalah fahami situasi Mama. Bukan senang melenyapkan perasaan marah,
kecewa, rasa tertipu, rasa dikhianati. Bukan sekejap, 18 tahun Mama dimadukan, tanpa
pengetahuannya. Tentulah tidak mudah bagi Mama memaafkan dan melupakan”.
Aku diam sekejap. Menganalisa setiap patah perkataan abang. Bagusnya abang ni,
sentiasa memahami. Dan sekarang aku yakin abang juga akan memahami aku. Abang saling
tak tumpah seperti papa, wajahnya dan perwatakannya. Mungkin kerana sebagai anak sulung
dia menyaksikan kebahagiaan dan kesedihan Mama. Aku pula anak manja yang hanya tahu
senang dan sering mahu dimanjakan dan dimenangkan.
“Tapi kakak tak salah. Yang salah papa dan mak kakak. Kenapa pulak Mama nak
lepaskan rasa marah dan kecewanya kepada kakak?” Aku masih mahu mempertahankan
pendirianku. Abang tersenyum sinis. Rasa panas pulak hati bila melihat abang tersenyum
sinis begitu.
“Apa bezanya adik dengan Mama? Adik tak suka tindakan Mama tapi adik juga buat
tindakan yang hampir sama. Adik kecewa dengan Muaz, tapi adik tinggalkan kami semua.
Apa salah kami? Adik biarkan Mama bersusah payah menguruskan sendiri hal-hal kewangan
dan akaun, apa salah Mama?”
Jeda antara kami. Aku rasa terpukul dengan ayat Abang. Otak mula menghadam
setiap perkataan yang abang luahkan. Benar, aku tidak suka tindakan mama, tetapi tanpa
disedari, aku juga mengambil tindakan yang salah. Namun, bukan saja-saja aku melarikan
diri. Aku yakin aku tidak cukup kuat untuk menghadapi Muaz. Jika aku masih di Kuala
Lumpur, Muaz pasti menghubungi aku. Bagaimana hendak mengendurkan rasa luka di hati,
kalau terpaksa menghadap Muaz. Lebih parah kalau pertemuan kami ditemani tunangnya
atau perbualan kami akan berlegar sekitar perihal dia dan tunangnya.
“Adik, abang percaya adik seorang yang kuat. Jiwa adik kental. Darah yang
mengalir dalam tubuh kita adalah darah keturunan yang tabah, cekal dan mampu
menanggung sebarang cabaran. Tengok bagaimana Mama bangkit dari kesedihan dan
kekecewaannya. Pernah tak kita tengok Mama menangis? Adik mungkin tak ingat, tapi
abang masih ingat dengan jelas kecekalan Papa dan Mama. Jatuh bangun dalam bisnes
semuanya Papa hadapi dengan tenang. Kena tipu, hampir muflis, pejabat papa dirompak,
macam-macam lagi yang papa tanggung. Mama sentiasa ada di sisi Papa. Kita harus
mengambil sikap papa dan mama. Lari dari masalah tidak menyelesaikan masalah, tapi
menimbulkan lebih banyak masalah”. Panjang syarahan abang. Aku diam. Benar belaka
apa yang abang katakan. Oh jiwa, tabahlah dengan dugaan ini. Cekallah wahai hati.
Semangat biarlah kental.
“Adik, be positive. Bukan semua yang kita nak, kita akan dapat. Bukan semua yang
kita nak, sesuai untuk kita. Only Allah knows what is best for us. Turn to Allah, He is the
One on whom we all depend, the One who is enough, whenever we turn to Him. The One
who fulfils and answers all our prayers. Allah does not burden anyone with more than what
he or she is able to bear. And always know that Allah is with you.”
Abang dah sambung syarahan dalam Bahasa Inggeris pulak. Ini sebiji perangai
Mama, bila marah, membebel dan nasihat mesti dalam Bahasa Inggeris. Tapi aku tidak
menafikan bahawa semua yang abang katakan adalah benar. Terasa bersalah kerana lalai
dalam mengingati Allah. Betapa kasih dan sayang Allah sentiasa melimpah ruah. Kenapa
aku tidak terfikir untuk memohon kepadaNya? Kenapa aku menjadi sangat emosional
sehingga mahu lari dari kehidupan asalku dan membawa diri ke sini? Lupakah aku kepada
Allah, yang sentiasa mendengar?
Aku kesat airmata yang mengalir. Aku pandang abang. Wajah abang tenang.
Memang, semenjak tinggal di Taiping abang sudah banyak berubah. Dulu jarang nampak
abang solat. Tapi sekarang abang dah lain. Alhamdulillah, benarlah hijrah datang bersama
kebaikan. Berhijrah ke Taiping membawa sekali penghijrahan rohani dan sikap Abang.
“Adik, apa hebatnya Muaz tu? Banyak lagi lelaki lain.”
Ada ke patut abang tanya soalan tu. Abang sepatutnya tahu bagaimana rapatnya aku
dengan Muaz. Kalau kami tak serasi, takkan kami boleh rapat, dan persahabatan kami boleh
bertahan sehingga kini. Cuma… aku tak sangka ketika di hatiku ada perasaan yang lebih
daripada sekadar persahabatan, di pihak Muaz pula hubungan kami hanya plutonik.
“Abang takkan tak tau kami dah lama berkawan, tentulah adik sayangkan dia.”
“Orang lelaki ni Dik, lambat matang berbanding dengan perempuan, both physically
and mentally. Di kala Adik rasa sayang dan cinta pada Muaz, dia mungkin masih belum
merasakan yang dia dah sedia untuk kekal setia pada seseorang perempuan saja. Mungkin
Adik yang terlalu gopoh menyangka dia cintakan adik.”
Aku pandang Abang, dengan perasaan bercampur baur. Sekejap rasa betul apa yang
abang cakapkan. Kemudian rasa pula macam abang sekadar mahu menyokong kaum
sejenisnya. Eh, tapi takkanlah. Mestilah abang sokong aku, akukan adik dia.
“Abang, macam mana adik tak salah sangka. Dia selalu panggil adik sayang, guna
perkataan sweetheart, love dan macam-macam lagi. Macam mana hati adik tak cair.”
Abang pula pandang aku lama-lama. Lembut pandangan abang, macam pandangan
arwah Papa. “He’s a sweet talker. Lelaki yang bermulut manis ni merbahaya dik. Orang
macam ni suka bagi harapan palsu.”
Aku terkedu. Benakku mula menganalisa ayat Abang. Benarkah Muaz merbahaya?
Benarkah selama ini aku disajikan harapan palsu? Terlalu naifkah aku, hingga tidak
menyedari harapan palsu yang telah Muaz berikan?

No comments:

Post a Comment