Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 14

 Naim Zakaria

Siapa lelaki berkacamata itu? Itukah Muaz yang pernah disebut dalam perbualan kami?
Orangnya agak berusia, mungkin sekitar awal 30-an. Tentu lelaki itu ada hubungan
dengannya. Kalau tidak, takkanlah berpeluk sakan. Siap berpimpin tangan lagi. Dan
bermalam di sini, dalam rumah yang sama!
Perasaan ingin tahu semakin menebal dalam hati, disulami perasaan jelik. Entah
kenapa, terasa sangat jelik melihat dia bermesra dengan lelaki itu. Aku nampak dengan jelas
mereka berpelukan di depan pintu, dan kemudian kedua belah tangannya menyentuh muka
lelaki itu sambil tersenyum. Tidak berapa lama kemudian, dia menarik tangan lelaki itu dan
mereka sama-sama masuk ke dalam rumah inap.
Semalaman mereka tidak keluar dari rumah. Pagi ini, apabila aku melintasi rumah
ketika berjogging, kereta lelaki itu masih ada. Ingin rasanya aku mengetuk pintu rumah inap
dan mengheret mereka berdua keluar. Rumah inap itu aku bina untuk membolehkan
pelanggan berkeluarga menginap, bukan untuk pasangan yang belum halal menginap untuk
melakukan maksiat. Malahan, chalet-chalet yang ada juga tidak sekali-kali akan aku sewakan
kepada pasangan yang belum berkahwin. Itu prinsip aku. Aku lebih rela kerugian daripada
mendapat keuntungan dari jalan yang salah.
Dia berada di tepi sungai rupa-rupanya. Tempat kegemarannya bermenung. Di mana
lelaki berkacamata itu? “Assalammualaikum” aku hulurkan salam pembuka bicara. Takkan
nak terus terjah dengan soalan berapi.
“Waalaikummussalam” sepatah jawabnya. Mata memberikan jelingan tajam
kepadaku. Ah, aku tidak takut dengan jelinganmu wahai gadis. Wajahnya masih mencuka,
seperti semalam. Kelihatannya seperti dia sudah bersiap hendak keluar.
“Mana boyfriend awak?”
“Hah?” itu saja jawapan yang keluar dari mulutnya. Dahinya berkerut.
“Saya bukan nak mencampuri urusan peribadi awak. Tetapi, sebagai pemilik tempat
ni, saya mesti menjalankan tanggungjawab saya. Kalau awak nak buat maksiat, tolong
jangan buat di sini. Ada banyak rumah inap dan resort berdekatan sini, awak boleh tinggal di
sana.”
“Naim!” dia menengking aku. Tinggi suaranya. Wajahnya yang tadi masam
mencuka, kini bertukar menjadi bengis. Lumrah, orang kalau sudah melakukan kesalahan,
tidak mahu mengaku pula. Maka marahlah dia bila ditegur kesalahannya.
“Apa yang awak merepek ni hah?” Tak habis-habis dikatanya aku merepek.
Semalam bila ditanya tentang kehamilannya, dia kata aku merepek juga. Aku yakin, dari
keadaannya, dia mengalami alahan di peringkat awal kehamilan. Dan, dari tingkah laku
mereka berdua, aku sangat-sangat yakin lelaki berkacamata itu kekasihnya.
“Kenapa awak suka tuduh saya macam-macam? Kalau awak tak suka saya berada di
sini, berterus teranglah. Tak payah cari pasal dengan menuduh saya yang bukan-bukan.”
Wajahnya nampak sungguh tegang. Dia ingat aku takut? Kalau setakat dia sudah
terlanjur, rasanya aku masih boleh terima. Tetapi bila sang kekasih datang, bermalam pula di
sini, oh maaf, ini sudah terlebih. Aku tidak akan sesekali berkompromi dalam hal ini.
“Jangan berdalih Izureen. Saya nampak dengan mata saya sendiri.”
“Apa yang awak nampak, tak menjelaskan perkara yang sebenarlah!” Kini dia sudah
mencekak pinggang. Matanya membulat memandangku. Aku balas renungannya.
“Kalau begitu, apa perkara yang sebenarnya? Cakaplah!” suara aku sudah tinggi
sedikit, tapi belum sampai tahap menengking. Izureen mengetap bibirnya. Nafasnya turun
naik, nampak jelas dia mengawal kemarahannya.
“Listen here Encik Naim Zakaria. You have got no right to know any of my personal
things! Mind your own business!”
Dia mengangkat kaki, hendak meninggalkan aku. Kalau dia di pihak yang benar,
mengapa dia tidak mahu menceritakan hal yang sebenar? Entah apa yang mendorong, aku
sentap tangannya dan menarik dia ke arahku. Agak kuat tarikanku hingga dia terdorong ke
belakang.
“What are you trying to do? Lepaslah!”
Belum sempat aku berkata apa-apa, lelaki berkacamata itu menghampiri kami. Entah
dari mana dia datang. Aku lepaskan tangan Izureen. Jangan pula dia salah sangka, aku
hendak mengapa-apakan Izureen. Sebaik sahaja dilepaskan Izureen menjeling kepadaku
dengan pandangan yang tajam, bagai tembus mataku dijelingnya. Kemudian dia menggamit
lelaki itu.
“Jom,” katanya lantas memaut lengan si lelaki.
“Wait” sepatah yang keluar dari si lelaki. Dia terus mara ke arahku.
“Zack kan?” dia menyoal, sambil menghulurkan tangannya. Kami berjabat tangan.
Aku perhatikan dia dari atas hingga ke bawah. Cuba mengingati wajah dan susuk tubuh yang
berada di hadapanku. Gagal.
“Zack, kau dah tak kenal aku? Izelan lah!” dia senyum.
Izelan? Aku cuba mengingati orang bernama Izelan yang pernah aku kenali. Lama
aku berfikir, sebelum satu nama dan wajah di zaman persekolahan menengah menjelma di
minda.
“Izelan, MRSM Muar?” soalku.
“Yes!” dia tersenyum girang bila akhirnya aku berjaya mengingatinya.
“MasyaAllah, lainnya engkau Lan!” kami sama ketawa. Kemudian dia mendepakan
lengannya dan kami berdakapan, aku menepuk-nepuk bahunya.
“Dulu engkau putih, tembam. Sekarang dah kurus, pakai cermin mata pulak tu.
MasyaAllah, manalah aku nak kenal!”
“Engkau pun dah lainlah. Makin handsome. Taklah macam time sekolah dulu,
nampak nerd aje.”
Kami gelak lagi. Girang berjumpa rakan lama. Tak sangka setelah bertahun-tahun
tidak bertemu, kami berjumpa di sini. Lain sungguh penampilan Izelan sekarang.
“Kerja apa sekarang?”
“Doktor. Engkau?”
“Di sinilah, bisnes sendiri.”
“Eh, aku ada dengar kau ada buka interior design firm?”
“Still there, but Haziq is running it full time. I am mostly here. Eh, ingat Haziq lagi?”
“Ingat. Aku ada jumpa dia, rasanya dua tahun lepas.”
“Dah kahwin?”
“Belum.”
“Samalah kita.”
“Abang” panggilan Izureen menyedarkan kami ada orang ketiga di situ. Tentunya dia
mendengar perbualan kami dan kehairanan. Aku juga mula kehairanan. Yang ini Izelan,
bukan Muaz. Apa kaitan Izelan dengan Izureen?
“Jomlah abang. Berapa lama lagi nak berborak ni?” wajahnya tampak kebosanan.
“Kejaplah adik. Dah lama tak jumpa kawan abang ni. Dulu dia junior abang kat
MRSM Muar. Tak sangka berjumpa semula di sini.”
Adik? Rasanya aku tak salah dengar, dia memanggil Izureen adik. Oh oh, maknanya
aku sudah salah sangka!
“Eh Zack, kenalkan my baby sister, Izureen.” Izelan menyuakan tangan ke arah
Izureen yang sedang memandang aku dengan pandangan seolah-olah dia hendak menerkam
aku sekarang. Memang sah, aku telah tersalah anggap tentang perhubungan Izureen dengan
lelaki ini.
“Korang nak ke mana?” tiba-tiba muncul persoalan di benak lantas terpancul dari
mulutku. Mata tidak sanggup menatap wajah garang Izureen.
“Kami nak pergi makan. Lepas ni aku kena balik Taiping.”
“Eh jomlah makan kat rumah aku. Dulu, bila aku balik ke asrama, engkau selalu
belasah sambal bilis mak aku. Hari ni mak aku masak sambal bilis. Dah lama engkau tak
rasakan? Jomlah.” Aku menarik lengan Izelan dan dia tersengeh sambil menurutiku.
“Abang!” Izureen masih tercegat di belakang kami. Kami berdua berpaling
memandangnya. Matanya tepat melihat ke arah Izelan, sambil menggelengkan kepalanya,
menandakan dia tidak mahu makan di rumahku. Wajahnya muram.
“Jom adik,” tanpa sebarang pertanyaan, Izelan menarik lengan Izureen. Dalam
terpaksa Izureen menapak, mengikuti kami ke rumahku.
Berselera sungguh Izelan makan. Lauknya biasa sahaja, sambal bilis, ikan masin goreng,
gulai lemak pucuk paku berencahkan udang kering, ulam timun dan sambal belacan. Tapi
yang disentuhnya cuma sambal bilis dan pucuk paku. Berkali-kali dia memuji kelazatan
sambal bilis emak.
“Dulu makcik, masa kat asrama, saya memang tertunggu-tunggu sambal bilis makcik.
Tak ada nasi, dengan roti saya makan. Tak ada roti, biskut lemak pun jadi. Kalau Zack balik
tak bawa sambal, kecewa saya.”
Ayat Izelan buat aku tersenyum lebar. Emak dan abah pun tersenyum. Cuma si dia
yang tidak beriak wajahnya, macam orang tak ada perasaan.
“Ada lagi ke sambal ni Jah? Kalau ada, bungkuskan untuk tuan doktor ni, bawak
balik ke Taiping.” Abah memberi arahan.
“Ada sikit lagi tu, nanti makcik bungkuskan.” Emak senyum.
“Tak payahlah mak. Kalau dia nak lagi, dia kenalah datang sini selalu” sengaja aku
menyakat Izelan.
Meriah suasana makan tengahari kami dengan kehadiran Izelan. Sambil makan, kami
bercerita tentang kisah kami di asrama. Izelan tua setahun daripadaku. Dia banyak
membantu aku ketika aku mula memasuki MRSM. Sekali sekala perbualan kami diiring
gelak ketawa apabila ada peristiwa lucu yang diperkatakan. Emak dan abah turut ketawa
bersama.
Namun satu wajah itu kekal mencuka. Izureen makan pun sedikit sahaja. Ketika
sedang makan, mata kami bertaut dan dengan pantas dia memberikan aku satu jelingan tajam.
Rasa bersalah menyelinap dalam hati. Macam manalah aku boleh terfikir benda yang bukanbukan
tentang dia?
Emak perasan akan gelagatnya dan bertanyakan kepadaku ketika aku membasuh
tangan di singki. Aku hanya katakan aku tidak tahu, tidak berani menceritakan hal sebenar
kepada emak. Kalau emak tahu, tentu aku akan dimarahi. Ish, macam manalah aku boleh
buat silap?

No comments:

Post a Comment