Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 17

Izureen

Kicauan burung di pagi hari memberikan irama yang mendamaikan, diiringi deruan sungai
yang mengalir tenang. Bayu yang berhembus lembut tambah mendamaikan, memberi
ketenangan ke dalam hatiku.
Terasa damai di sini, tiada yang menyesakkan fikiran. Jauh dari Muaz, jauh dari
kesibukan di pejabat, juga jauh dari bebelan sekali sekala Mama. Namun, inikah yang aku
mahukan? Ya, aku mahu jauh dari Muaz. Lebih jauh lebih baik. Lebih lama berjauhan,
lebih baik lagi. Mudah-mudahan dapat melupakan dia terus. Kalau itu mustahil, sekurangkurangnya
dapat menghilangkan rasa cintaku terhadapnya. Jika itu juga mustahil, sekurangkurangnya
dapat mengurangkan rasa cintaku terhadapnya.
Namun, benarkah damai ada di sini? Atau damai sebenarnya di dalam hati, tidak kira
di mana jasad berada. Damaikah jika hati disakiti? Sungguh aku terasa dengan tuduhan
melulu Naim. Aku rasa terhina dengan tuduhannya. Adakah aku dinilai dari penampilanku?
Kerana keterampilanku sebegini, senang-senang dia menganggap aku tidak bermaruah. Atau,
adakah kerana dia menyamakan aku seperti gadis-gadis yang pernah dikenalinya?
Aku harap lelaki menjengkelkan itu akan benar-benar menjauhkan dirinya
daripadaku. Jangan pula dia gunakan adiknya Fina untuk mendekati aku. Huh, tak boleh
ingat kata-katanya yang menyegat. Belum pernah aku jumpa lelaki bermulut laser seperti
dia. Ada ke patut, baru saja minta maaf, dia sakiti lagi hati aku. Padan muka kau Naim, aku
takkan maafkan kau!
Bunyi pesanan whatsapp mematikan rayauan mindaku. I-phone yang tersimpan di
dalam kocek seluar bermuda aku keluarkan.
“Izu, di mana kau? Really need you now. In trouble. Kau aje yang boleh tolong”
begitulah yang tertulis di dalam pesanan Muaz. Aku baca sekali lagi pesanan itu. Ya,
kedengaran seperti dia di dalam kesusahan. Sejak aku menghilangkan diri, sudah banyak
pesanan yang dihantar, satu dua sahaja yang aku balas. Itupun dengan jawapan seringkas
yang boleh. Tetapi pesanan yang ini mengundang resah di dada sebaik sahaja aku
membacanya. Apakah yang perlu aku buat?
Dia kawan aku. Kawan baik yang amat akrab. Tidak pernah dia menyakitiku. Jika
dia benar-benar dalam kesusahan, aku harus menolongnya. Lupakan saja soal perasaan, soal
cinta dalam diam yang tidak berbalas. Aku tidak boleh mementingkan diriku. Apa guna
mengaku kawan jika aku tiada di saat dia memerlukan.
“Izuuuuu” dia menjerit panjang sebaik mendengar suaraku di talian. Dada mula
berdegup kencang saat mendengar suaranya. Oh, betapa aku rindukan suara itu.
“Kau kat mana sayang? Dah masuk tiga minggu kau tak da. Tetiba je kau
menghilang. Call tak jawab. Message tak jawab. Apa terjadi hah? Kau sihat tak? Kak
Rina kata kau bercuti, tapi tak nak bagitau kat mana. Apasal tetiba je pergi bercuti, tak bagi
tau aku pulak tu? Kau dah balik KL ke ni?” Bertubi-tubi soalan diajukan, tidak memberi aku
peluang untuk menjawab. Aku terkedu.
“Izu… hello…, are you there? Hello,”
“Ya, aku adalah. Aku dengar kau”
“Apasal kau diam je?”
“Dah engkau tak berhenti-henti bercakap, macam mana aku nak jawab!”
“Ok, ok, sorry. Aku happy sangat bila kau call. Aku rindu sangat kat kau, tau tak?
Risau tau, takut apa-apa terjadi pada kau.”
Hiba, itulah yang aku rasa bila mendengar luahan rindunya. Juga terharu kerana dia
risaukan aku, bermakna dia masih mengambil berat tentang diriku.
“Tak payah risaulah, aku OK” aku cuba mengawal perasaan, harap-harap dia tidak
dapat mengesan nada hiba di dalam suaraku.
“Kau pergi buat umrah ke?” dia menebak.
“Apa yang kau merepek ni Muaz, bila masa pulak aku pergi umrah.”
“Dah tu, lama sangat kau menghilang, mendadak aje perginya. Tak dapat contact
pulak tu. Aku fikir orang yang buat umrah je pergi lama.”
“Kau OK?” giliran aku pula bertanya.
“Ok lah, tapi tak bestlah kau tak ada. Aku rindu sangat kat kau. Are you back in KL?”
“Belum. Aku masih outstation.”
“Kat mana?”
“Adalah”
“Apasal secretive sangat ni? Selalunya tak macam ni. Ni mesti ada sesuatu ni.”
Ya, memang ada. Aku lari Muaz, lari dari engkau. Aku kecewa bila rupa-rupanya
selama ini cinta yang aku semai dalam diam tidak membuahkan hasil. Lantas aku terdampar
di sini, mencari damai yang belum tentu akan aku miliki.
“Izu,” panggilannya membuat aku tersedar.
“Ya”
“Bila kau balik KL?”
“Tak lama lagi” itu yang aku jawab walaupun aku sendiri tidak pasti bila aku akan
pulang.
“Peliklah. Mama kau tak marah ke kau cuti lama-lama?”
Tentu sekali mama marah. Kata Abang, mama bukan setakat marah, malah kecewa
dengan tindakanku. Bagi mama tindakan aku ini sangat keterlaluan. Maafkan Reen mama.
Reen terpaksa.
“Izu!” kali ini kuat tengkingannya.
“Oi aku belum pekaklah!” aku memarahinya. Terdengar tawa kecil di hujung talian.
Entah apa yang melucukan baginya.
“Mesej kau tadi, apa hal tu?”
“Tak boleh cakap dalam phone la. Aku kena jumpa engkau.”
“Penting ke?” aku mahukan kepastian.
“Yalah, sangat-sangat penting. Cakaplah kau kat mana, aku datang jumpa kau.”
“Tak payahlah. Nanti aku dah balik, kita jumpa ya.”
“Cepatlah balik. Kau kena tolong aku.”
“Problem apa?”
“Kan aku dah kata tadi tak boleh cerita dalam phone. Aku mesti jumpa kau.”
“Ok, nanti kita jumpa. I got to go. Bye!” Belum sempat Muaz membalas, terus aku
putuskan talian. Otak mula berputar. Mencernakan perbualan dengan Muaz tadi. Dia
kedengaran ceria, seperti kebiasaannya. Tapi bersungguh-sungguh dia mahu berjumpa
denganku untuk menceritakan masalahnya.
Adakah masanya sudah sampai untuk aku pulang? Bersediakah aku berhadapan
dengan Muaz? Kuatkah aku? Mampukah aku membendung perasaan cinta kepadanya? Aku
harus pulang. Takkan selamanya aku tinggal di sini. Aku mesti kuatkan semangat, cekalkan
jiwa dan tabahkan hati untuk mengharungi takdir yang telah ditentukan untuk aku. Sudah
takdirNya bahawa aku dan Muaz hanya boleh menjadi sahabat. Terimalah realiti ni.
Baliklah. Hatiku berbisik.
Satu pesanan whatsapp masuk. Kak Rina bertanya khabar. Aku balas mengatakan
aku sihat dan selamat.
Bila nak balik, kakak rindulah. Tak ada orang temankan kakak beli barang-barang
kahwin. Aku senyum membaca pesanan kakak. Tentunya kakak sedang sibuk sekarang
dengan persiapan majlisnya. Tinggal dua bulan setengah lagi kakak akan menjadi isteri
orang. Maknanya tinggal dua bulan setengah lagi Muaz juga akan menjadi suami orang.
Bagaimanalah nanti menghadapi Muaz, di majlis persandingannya yang akan dijalankan
serentak dengan majlis Kak Rina dan Abang Aeril.
Masuk lagi satu pesanan. Kali ini Kak Rina menghantar simbol smiley dalam wajah
bersedih, diikuti ayat tak bestlah adik tak ada. Rindulah. Baliklah. Airmataku tumpah jua.
Ya kakak, adik juga rindukan kakak, bisikku di dalam hati.

No comments:

Post a Comment