Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 18

Naim Zakaria

Akhirnya blog berkenaan resort kecilku ini berjaya disiapkan. Aku memilih untuk membuat
blog kerana ia lebih mudah diselenggarakan berbanding laman web. Fina yang berjanji
hendak menolong, akhirnya sibuk menghadiri temuduga. Maka terpaksalah aku
menyiapkannya seorang diri. Selepas ini aku akan membuka satu akaun Facebook pula.
“Teratak Khadijah” nama yang aku pilih untuk resort kecil ini, sempena nama emak.
“Assalammualaikum” suara yang sudah ku kenali kedengaran dari kaunter
pendaftaran. Aku keluar sambil menjawab salam dan wajah comel itu sudah sedia menanti.
Wajahnya tenang, walaupun tiada senyuman. Sejak ketegangan yang aku cetuskan melalui
tuduhan melulu terhadapnya, dia sudah lokek dengan senyuman. Tetapi dengan ahli
keluargaku yang lain, dia kekal mesra. Dia kelihatan berbeza hari ini, berpakaian seperti
hendak keluar ke bandar, wajahnya ditampal bedak nipis, matanya dicelakkan dan bibirnya
diwarnai lipstik berona coklat cair. Sejak dia datang ke mari, inilah kali pertama aku
melihatnya bersolek. Wajah yang sudah sedia manis tambah berseri bila disolek tipis begitu.
“Saya… berapa sewa yang perlu saya bayar?” Matanya merenung ke kaunter.
Dibahunya tergalas backpack, yang dibawa ketika dia tiba di sini.
“Awak … nak balik?” Izureen menjawab soalanku dengan anggukan. Satu perasaan
yang tidak ku fahami menjalar di tangkai hati.
“Sekarang?” aku inginkan kepastian.
“Ya. Tolong kirakan berapa yang perlu saya bayar, termasuk kos makan tengahari di
rumah awak. Nanti saya datang balik, nak jumpa Mak Jah dulu.” Dia pergi. Aku masih
terpaku. Kenapa hati merasa berat dengan berita ini? Kenapa hati bagai tidak mahu dia
pergi?
Deruan air sungai di bawah sana kedengaran melesukan, bagai mengerti kesayuan yang
menjerut di sudut hati. Aku tahu satu hari nanti dia akan balik ke tempat asalnya. Tetapi
mengapa hati berat menerima berita yang disampaikan tadi? Bolehkah aku meminta agar dia
jangan pergi? Bukankah dia hanya tetamu dan setiap tetamu yang menginap di sini pasti
akan pulang. Bezanya dia tetamu yang sangat istimewa. Muncul tanpa diduga, berlama pula
di sini. Dia seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Semua sukakan
dia – emak, abah, Fina, malahan Elida serta anak-anak dan suaminya juga menyenangi dia.
“Naim” dia memanggil lembut, membuatkan aku berpaling ke arahnya.
“Saya dah agak, mesti awak ada di sini. Sesuailah tempat ni untuk awak. Awak
sepatutnya berkawan dengan sungai, pokok, bukit sebab semua benda ni tak akan marah
dengan awak kalau awak tuduh mereka yang bukan-bukan.”
Dalam lembut bicaranya, dia menyindir aku. Biarlah. Tentunya dia masih marah.
Peristiwa kelmarin takkan semudah itu luput dari mindanya. Ditambah pula dengan tuduhan
dan syak wasangka yang aku lemparkan kepadanya sebelum ini. Entah mengapa, aku ikhlas
mahu memohon maaf, namun bicaranya kelmarin menerbitkan rasa ingin menyakatnya.
Malah aku rasa terhibur melihat gelagatnya. Wajahnya yang berkerut-kerut dan bibirnya
yang diketap ketika marah dan pipinya yang bertukar merah ketika aku mengusiknya,
memberi satu keseronokan. Sudah lama aku tidak merasa keseronokan mengusik seorang
gadis.
“Awak dah kira berapa saya kena bayar?” terus saja dia bertanya bila aku hanya diam
merenungnya.
“Abang awak dah bayarkan.” Sebetulnya Izelan hanya membayarkan separuh
daripada jumlah keseluruhan sewa rumah inap sebanyak 14 hari, dan dia telah menetap
selama 17 hari.
“Tak mungkin. Abang ada bagi saya duit.” Telefon bimbit dari dalam beg galasnya
dikeluarkan. Kemudian dia mendail satu nombor. Lama dia menunggu namun panggilan
tidak berjawab.
“Betul ke ni?” soalnya, mahukan kepastian. Aku hanya mengangguk. Dia membuat
panggilan sekali lagi. Namun tetap sama, tiada jawapan.
“Ala abang ni, tak jawab pulak” ujarnya perlahan, namun dapat aku dengar.
“Baki yang tiga hari lagi?” Aku terlupa, dia seorang akauntan. Tentulah cekap
kemahiran matematiknya.
“Diskaun untuk awak. Saya dah janji dengan Izelan akan bagi awak diskaun.”
“Makan tengahari?”
“Itu diskaun dari emak pula.” Aku senyum. Pandai-pandai aku katakan emak
memberi diskaun. Tapi sesungguhnya kami tidak berkira tentang perkara sekecil ini.
“Tak bolehlah macam tu, banyak sangat diskaunnya.”
“Tak apa. Kami seronok dengan kehadiran awak. Harap-harap jangan lupakan
kami.”
Riak wajahnya mula berubah. Tidak tegang seperti dia baru sampai di bukit ini.
“Terima kasih di atas layanan awak sekeluarga sepanjang saya di sini. Maafkan saya kalau
saya ada buat apa-apa kesalahan,” katanya perlahan. Aku rasa seperti ada nada sayu dalam
suaranya. Aku renung wajahnya. Selepas ini entah bertemu lagi entah tidak.
“Saya pun minta maaf. Apa yang saya dah lakukan, juga apa yang saya ucapkan….
harap awak maafkan saya dan jangan simpan dalam hati ya.”
Dia diam, merenung sungai di bawah. Apakah itu bermakna dia masih belum
memaafkan aku?
“Maaf juga sekiranya awak tak selesa ketika di sini. Tempat ni masih baru, masih
banyak yang belum disiapkan.”
Jeda. Lama. Entah apalah yang bermain di fikirannya. Ada rasa sayu di dalam
hatiku. Mengapa tiba-tiba sedih dengan perpisahan ini?
“Bila-bila senang, datanglah lagi. Bawa sekali keluarga awak. Saya harap bila awak
datang lagi, awak datang dengan kegembiraan. Saya doakan awak dilimpahi kebahagiaan di
samping keluarga awak.”
Dia masih diam.
“Jaga diri awak ya. Kalau ada masalah, mengadulah dengan Allah. Dia sentiasa
ada.”
Dia mengangguk.
“Be positive all the time and be cheerful. Saya… saya….” Ah, tiba-tiba aku tergagap
pula.
“Saya suka lihat… senyuman…awak. Dan mata… awak…. cantik.” Huh, lega.
Dapat juga ku habiskan ayat itu. Aku pasti akan terkenang senyumannya dan matanya.
Pandangannya berkalih ke arahku. Buat seketika, kami bertatapan. Masing-masing
membisu. Hanya renungan mata kami seolah-olah berbicara. Dari sinaran matanya, aku tahu
dia juga sedih hendak meninggalkan kami. Namun, tempatnya bukan di sini. Tidak
selamanya dia boleh berada di sini. Dia harus kembali ke dunianya yang sebenar.
“Izureen, awak masih marahkan saya?”
Terus dia membuang pandang. Matanya kini beralih ke arah kakinya yang sedang
menguis-nguis tanah.
“Saya harap awak dah maafkan saya.”
“Saya pergi dulu.” Itu jawapan yang muncul dari bibirnya. Dan dia berlalu
meninggalkan aku yang kaku melihat dia pergi. Ayat terakhir itu bagaikan belati yang
menusuk hati. Kenapa hati berat membiarkan dia pergi? Kalaulah aku boleh, aku akan
menahannya dari pergi. Tinggal saja di sini. Agar setiap hari aku dapat melihat wajahnya,
mengusiknya dan berbual dengannya.
Apakah memang sudah sampai masanya untuk dia pulang, atau dia sudah tidak sudi
tinggal di sini kerana apa yang telah aku lakukan kepadanya? Aku dihimpit rasa bersalah,
yang berselang seli dengan rasa terkilan kerana dia sudah pergi.
Dia semakin menghilang daripada pandangan. Aku masih berdiri di atas bukit kecil
ini. Merenung batu tempat dia berdiri dengan baju kurung merah jambu. Kemudian
memandang hammock yang menjadi tempat pembaringannya di setiap petang. Deruan air
sungai kedengaran sayup dari sini, diiringi kicauan burung dan hembusan bayu petang yang
lembut dan mendamaikan.
Di sini aku kembali, membawa hati yang luka. Hati seorang lelaki yang dikhianati
oleh orang yang amat dicintainya. Dikelilingi kasih sayang keluarga, hatiku terubat. Aku
temui damai di sini, juga dalam doa dan tangisan yang aku persembahkan kepadaNya.
Semoga Izureen juga telah menemui damainya di sini dan kembali ke dunia asalnya dengan
semangat yang baru.
Nafas ku hela dan perlahan-lahan ku lepaskan. Ucapan “Alhamdulillah” aku tuturkan.
Bersyukur kerana temujanji dengan Dato’ Wirda yang sudah dua kali tertangguh, tertangguh
lagi buat kali ketiga. Jika tidak, pasti aku dalam perjalanan ke Villa Mahabbah sekarang dan
jika itu yang terjadi, aku tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada Izureen

No comments:

Post a Comment