Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 6

Naim Zakaria

“Along” panggil Fina perlahan. Aku memalingkan wajahku kepadanya.
“Ada orang nak sewa homestay.”
“Bagilah” kataku ringkas. Fina ni, kerja senang pun nak tanya aku. Bukannya susah,
minta orang itu isi borang dan minta deposit untuk satu malam. Kemudian bawa orang itu ke
rumah inap dan terangkan syarat-syarat penginapan yang telah aku gantung pada dinding
berdekatan suis lampu. Semuanya telah aku terangkan kepada Fina.
“Orang tu peliklah Along” katanya dengan wajah berkerut.
“Along keluarlah,” Fina menggesa sambil menolak bahuku.
Aku bangun dan terus menuju ke kaunter pandaftaran. Sampai di ambang pintu,
langkahku terhenti. Aku kaget. Dia datang. Tetapi kenapa begitu keadaannya? Aku mara
dua tapak lagi, mendekati meja di kaunter. Fina mengikuti di belakang dengan takut-takut.
Dia mengangkat pandangannya ke arahku. Pandangan kami bertembung. Dua
minggu lepas mata cantik itu memberikan satu renungan sayu. Namun hari ini keadaannya
lebih teruk lagi. Matanya bukan sekadar merah dan bengkak malahan seluruh wajahnya yang
disolek kelihatan sangat comot dengan solekan yang telah rosak, mungkin dicemari oleh air
mata yang telah membasahi wajahnya. Rambutnya yang panjang kini sudah kontot, dengan
gaya potongan yang ah…. teruk, sungguh teruk. Panjang pendek rambutnya, tidak dipotong
dengan sekata. Dia memakai sepasang baju kurung berwarna merah jambu yang dihiasi
manik. Nampak mewah pakaiannya.
“Ikut saya Cik” kataku ringkas sambil membawa kunci rumah.
“Along.., borang ni,” laungan Fina aku balas dengan goyangan tangan yang
bermaksud tidak perlu. Gadis itu mengikutiku di belakang tanpa sepatah kata. Dia masuk
setelah aku bukakan pintu dan lampu.
“Cik, kalau perlukan…”
“Saya tak perlu apa-apa” pantas dia memintas ayatku.
“Saya tak mahu diganggu” dan dia menutup pintu.
Sudah menjadi rutinku sejak kembali ke kampung dua tahun yang lepas, berjogging selepas
kembali dari bersolat Subuh di surau. Dari rumah aku akan menyusuri jalan bertar yang aku
bina untuk kemudahan penyewa rumah inap dan chalet. Jalan yang dibina di sebelah rumah
abah menuju terus ke rumah inap dan berakhir di hadapan rumah itu. Belum cukup modal
untuk aku menyambung jalan bertar itu sampai ke chalet. Selepas menyusuri jalan itu aku
akan melintas pula di hadapan tiga biji chalet di sebelah kanan dan anak sungai di sebelah
kiri. Anak sungai ini tidak terlalu besar dan tidak terlalu dalam, sesuai untuk perkelahan.
Ada kawasan yang airnya agak dalam dan di sesetengah tempat banyak bongkah-bongkah
batu besar.
Tanah selepas chalet ketiga masih belum dibersihkan. Aku perlu mendapat pulangan
dari homestay dan chalet yang telah siap sebelum menambah bilangan chalet. Tanah
berbukit selepas chalet ketiga aku daki. Peluh semakin banyak. Aku suka situasi ini, dapat
menyihatkan badan sambil menikmati udara segar dan nyaman. Dari atas bukit kecil ini aku
dapat melihat sungai di bawah dan bumbung-bumbung chalet dan homestay juga jelas
kelihatan.
Aku melakukan senaman ringan sebelum duduk di atas bangku kayu yang abah bina
dan letakkan di atas bukit kecil ini. Tenang rasanya menikmati udara pagi yang nyaman dan
melihat air sungai yang deras dan keruh akibat dari hujan yang turun malam tadi. Banyak
batu yang ditenggelami paras air sungai yang naik selepas hujan.
Aku nampak dia. Baju kurung berwarna merah jambu yang dipakainya jelas
kelihatan dari atas bukit ini. Dia berdiri tegak di atas bongkah batu yang paling tinggi di
sungai ini. Jantungku berdetak kencang. Aku berasa tidak sedap hati. Jangan-jangan gadis
itu merancang sesuatu. Aku bingkas bangun dan berlari menuruni bukit. Kemudian berlari
laju ke arahnya.
Aku buka kasut dan menyusuri air hingga sampai ke batu yang terhampir dengannya.
Aku panjat batu itu. Dia diam tidak berkutik. Seolah-olah tidak menyedari kehadiranku dan
bagai hanyut dalam khayalan. Teringat pula kata-kata Fina semasa makan malam tadi.
Mungkin gadis ini di bawah pengaruh dadah? Ah tidak mungkin. Hatiku kuat menyatakan
dia sedang dilanda masalah yang amat besar.
“Cik!” laungku. Tiada respons darinya. Masih tegak berdiri merenung kejauhan.
“Cik, bahaya berdiri di situ. Batu tu licin. Air tengah deras ni, turunlah”.
Dia berpaling ke arahku. Wajah comot semalam kelihatan sudah dibersihkan. Sepi,
tiada sepatah kata darinya. Wajahnya dipalingkan semula ke hadapan.
“Cik, turunlah. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Jangan ambil tindakan
yang bodoh. Allah melaknati orang yang mengambil nyawanya sendiri”. Aku semakin risau
bila dia terus kaku dan membisu. Nampak dia menggigil kesejukan. Kakiku juga semakin
sejuk disirami air sungai yang luar biasa dinginnya pagi ini.
“Izureen!” kali ini aku laungkan namanya yang aku ketahui dari borang pendaftaran
yang diisinya kali pertama dia menginap di sini. Dia berpaling. Keningnya bertaut sambil
memandangku dengan riak kehairanan. Aku hulurkan tangan. Direnungnya tanganku, tetapi
tidak seinci pun dia bergerak.
“Turun ya. Pegang tangan saya”. Matanya kini beralih ke wajahku. Aku anggukkan
kepala, memujuk dalam diam. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangan kanannya. Aku
capai pergelangan tangannya dan memegang erat-erat.
“Hati-hati. Licin ni” kataku. Perlahan-lahan dia bergerak. Kakinya yang tidak
beralas hampir mencecah batu tempat aku berdiri. Sebaik sahaja terkena air, keluar jeritan
kecil dari mulutnya. Mungkin terkejut dek kedinginan air sungai. Dia mengangkat kakinya
semula, kembali berpijak di bongkah besar.
“Jangan takut, saya pegang” aku kuatkan pautan di pergelangan tangannya.
Kakinya dihulurkan sekali lagi dengan berhati-hati. Namun, dalam pada berhati-hati,
dia tergelincir dan hampir terjatuh. Cepat-cepat aku tangkap pinggangnya dengan tangan
kiriku manakala tangan kirinya berpaut pada bahuku. Aku lepaskan tangannya dan memaut
pinggangnya. Tangan kanannya yang sudah bebas hinggap di bahuku yang sebelah lagi.
Kami sama-sama terkedu. Mata kami bertatapan. Pertama kali aku dapat melihat
matanya dengan jarak yang amat dekat. Matanya bundar dan anak mata yang berwarna
cokelat itu pasti akan lebih cantik jika tidak dicemari dengan tangisan melampau.
Dadaku berdetak kencang. Sudah lama aku tidak bersentuhan dengan perempuan
yang bukan muhrimku. Kalau tidak kerana mahu menolong, pasti aku tidak akan memegang
tangannya. Masalahnya sekarang bukan setakat memegang, aku sedang memaut
pinggangnya agar dia tidak terjatuh dan tangannya sudah memaut leherku.
“Errm, so…sorry” katanya sambil menurunkan kedua tangannya dari bahuku. Aku
tersedar lantas melepaskan rangkulan di pinggangnya. Aku pegang pergelangan tangan
kanannya dengan tangan kiriku dan perlahan-lahan dia mengikuti dari belakang menyusuri
batu-batu hingga sampai ke tebing sungai.
Aku lepaskan tangannya dan tanpa sepatah kata dia terus berlalu meninggalkan aku.
Aku menghela nafas panjang, lega dan bersyukur kerana berjaya menyelamatkannya dari
mengambil tindakan bodoh. Selang beberapa langkah, dia berhenti dan berpusing ke
belakang, memandangku yang kaku merenung ke arahnya.
“Awak kerja di sini ya?” katanya bila aku semakin menghampirinya. Aku sekadar
mengangguk. Tidak penting untuk dia tahu siapa aku.
“Awak tahu nama saya dari borang?” soalnya dan aku jawab dengan anggukan lagi.
“Awak?” soalnya lagi.
“Naim,” jawabku ringkas. Tidak perlu dia tahu nama penuhku Naim Zakaria. Dan
aku tidak tahu kenapa aku tidak menyebut ‘Zack’, nama panggilan yang biasa digunakan oleh
kawan-kawan dan kenalan. ‘Naim’ adalah nama panggilan di kalangan keluarga terdekat.
“Terima kasih Naim” katanya dan terus berlalu, meninggalkan aku dengan berbagai
misteri yang belum terungkai.
Dia datang ke kaunter ketika aku sedang sibuk melayan pertanyaan dari seorang wanita yang
datang bersama lelaki yang ku kira adalah suaminya. Sekadar duduk di kerusi melihat aku
bekerja. Sebaik sahaja pasangan tersebut berlalu, dia mendekatiku.
“Kat mana tempat makan yang terdekat?”
“Kalau nak sedap dan bersih, kena pergi ke bandar. Tak jauh, lebih kurang 20 minit
dari sini. Keluar simpang besar jalan kampung ni, cik belok kanan dan ikut papan tanda arah
ke bandar. Ada banyak kedai makan di situ” aku jawab soalannya. Dia kelihatan santai
dengan t-shirt dan seluar jeans, namun masih berwajah suram.
“Terima kasih,” ringkas jawapannya dan dia mahu beredar. Kenapa cepat sangat dia
hendak pergi.
“Cik, kalau sudi, jemputlah makan di rumah saya” aku mempelawa. Entah apa yang
menggerakkan hati, mungkin rasa ingin tahu yang mendalam mendorong aku membuat
pelawaan itu.
“Di mana rumah awak?”
“Tu, yang di depan tu”
“Tak menyusahkan ke?”
“Apa pulak menyusahkannya. Mak saya memang kena masak untuk abah dan adik
saya. Kalau setakat cik seorang, tak membebankan langsung.”
“Tak apalah, saya boleh keluar ke bandar”. Kemudian dia terus pergi meninggalkan
aku yang masih diulit kehairanan. Perasaan ingin tahu semakin menebal di dalam hati.
“Wah, Along jadi hero tadi mak” si becok Fina bercerita sambil tangannya mencedok nasi.
Kepulan asap bersama aroma nasi yang baru ditanak menambah rasa laparku. Aku pandang
Fina dengan mimik muka melarangnya dari terus bercerita. Rupa-rupanya dia nampak
kejadian pagi tadi.
“Apa terjadi?” soalan emak terbiar tidak berjawab kerana satu suara lembut memberi
salam. Dia berdiri di pintu dapur, tidak jauh dari meja makan kami. Emak menyambut salam
lantas menuju ke pintu, manakala aku bingkas bangun. Kaget melihat dia.
Aku lihat dia menyalami tangan emak kemudian masuk ke dapur kami. Terus dia
menghampiri Fina dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Emak mempelawa dia duduk
di sebelah Fina, betul-betul di hadapanku. Aku senyum kepadanya, gembira dia menerima
pelawaanku.
“Jemput makan Reen” dengan mesra emak mempelawa. Dia kelihatan malu-malu.
Fina pula mengangkat kening kepadaku, seolah-olah ingin bertanya.
“Terima kasih makcik”
“Panggil saja Mak Jah. Yang ni anak bongsu Mak, Fina. Dia baru habis belajar kat
Australia. Yang lelaki ni anak sulong Mak, Naim. Anak kedua Mak dah kahwin, duduk di
pekan tapi selalu jugak dia balik sini. Makan ya, jangan malu-malu. Tapi lauknya lauk orang
kampung ler. Biasa ke makan lauk kampung ni?” dengan ramah emak bercerita sambil
mengambil tempat di sebelahku.
“Sikit-sikit tu boleh Mak Jah” katanya sambil mencedok kuah asam keladi ke
pinggannya. Berselera dia makan, nampak seperti kelaparan sangat. Tidak banyak yang
dibualkan ketika makan. Sepatah yang emak dan Fina tanya, sepatah dijawabnya. Aku pula
tidak bertanya apa-apa. Tiba-tiba aku kelu. Bagai tidak percaya dia duduk makan di
depanku kerana ketika aku mempelawanya sejam tadi, dia kelihatan langsung tidak berminat.
Selepas makan, dia membantu Fina mengemas meja walaupun emak melarangnya.
Telefon bimbitku berbunyi lantas aku menuju ke ruang tamu untuk menjawab panggilan.
Bila aku kembali ke dapur, dia sudah tiada.

No comments:

Post a Comment