Izureen
Sudah tiga hari aku menetap di homestay ini. Semalam hujan turun sepanjang hari memaksa
aku berdiam sahaja di dalam rumah. Aku hanya makan mi segera, biskut dan roti yang aku
beli kelmarin di bandar selepas makan tengahari di rumah Mak Jah.
Hujan yang tidak berhenti semalam memberikan suasana nyaman yang amat sesuai
untuk melelapkan mata. Maka sepanjang hari aku tidur dan bagusnya bila tidur aku langsung
tidak teringatkan peristiwa pertunangan Muaz dan Naurah.
Cuaca cerah pagi ini. Baru pukul lapan pagi tetapi matahari sudah bersinar terang.
Teringatkan Kak Rina dan Mama. Pasti mereka risaukan aku. Aku perlu menelefon mereka
untuk memaklumkan bahawa aku selamat dan sihat. Pasti aku akan dimarahi oleh Mama
nanti. Tapi biarlah. Hati yang luka ini perlu diubati dan aku rela dimarahi dari jauh daripada
mengadap Mama dan mendengar leterannya secara ‘live’.
Dalam kekalutan meninggalkan rumah, aku terlupa pengecas telefon bimbit. Aku
keluar menuju ke kaunter, kalau-kalau dapat meminjam pengecas telefon daripada Fina. Aku
suka gadis manis itu. Sama ramahnya dengan Mak Jah. Tapi abangnya Naim kelihatan agak
sombong.
Tiada orang di kaunter. Aku berjalan ke pintu pejabat. Mengetuk beberapa kali
namun juga tiada respons dari dalam. Tombol pintu ku pulas, lantas pintu yang tidak
berkunci itu aku buka. Aku masuk sambil memberi salam. Pejabat itu kelihatan kosong.
Hanya ada sebuah meja dengan dua kerusi. Sebiji komputer riba, kalkulator, sebatang pen
dan beberapa helai kertas berselerakan di atasnya. Ada satu bilik air dan di sebelah kanan
aku kira mungkin sebuah bilik kecil. Pintu bilik itu terbuka dan dia muncul.
“Hai” aku menegur. Dia memandang aku tanpa berkelip.
“Boleh pinjam charger?”
Dia berjalan ke arah meja. Mengumpul kertas-kertas yang berselerak.
“Pakai apa?”
“I phone.”
“Nasib baik sama” dia terus berlalu masuk ke dalam bilik tadi dan muncul semula
bersama pengecas.
“Nanti saya pulangkan.”
“Apa terjadi pada rambut awak?”
Aku tidak jadi keluar. Tak ada benda lain ke dia nak tanya?
“Saya potong” akhirnya aku memberitahu perkara yang sebenar.
“Kenapa? Kan cantik rambut tu. Tapi lebih cantik kalau dibiarkan dalam warna asal.
Tak perlu diwarnakan, kita orang Melayu lebih cantik berambut hitam.”
Ayatnya bagai belati yang menghiris tangkai hatiku. Membuat aku mengingati Muaz
yang sentiasa memuji rambutku. Aku sebak. Aku biarkan soalannya tidak berjawab dan
terus pergi.
Bertalu-talu pesanan masuk sebaik telefon bimbit dihidupkan. 60 miss call dan 23 pesanan.
Kebanyakannya dari Mama, Kak Rina dan Abang. Abang kini bertugas di Hospital Taiping.
Sejak Abang ditugaskan di Hospital Taiping, dia selalu sibuk. Hanya dua minggu sekali dia
balik ke rumah Mama.
Aku hantar pesanan kepada Kak Rina dan Abang memaklumkan aku sihat dan
selamat, dan tidak perlu risaukan aku. Kepada Mama aku hantar pesanan memohon maaf
kerana melarikan diri. Aku maklumkan bahawa aku perlukan masa untuk menenangkan
perasaan dan mohon agar Mama memahami situasiku.
Pesanan daripada Muaz ku pandang sepi. Perlukah aku menjawabnya? Lapan SMS
daripadanya. Kebanyakannya memohon maaf kerana tidak memaklumkan pertunangannya
kepadaku. Alasannya dia terlalu sibuk dan rancangannya hendak berjumpa denganku ialah
untuk memperkenalkan aku kepada bakal tunangnya dan seterusnya menjemput aku ke majlis
pertunangan mereka.
Tak mengapalah Muaz. Aku sudah tidak penting bagimu. Aku yang kau katakan
sahabat dunia dan akhiratmu kini dengan mudah kau lupakan. Dulu kau teman di kala
bersedih, kau penghibur hati yang lara, kau pendengar yang setia. Kalau dulu aku perlukan
kau di saat-saat sedihku tetapi kini aku mahu jauh darimu. Lebih jauh, lebih baik.
Tidak mahu melayan kesedihan, aku keluar. Menyusuri tepian sungai, aku merenung
air jernih yang tidak pernah lesu mengalir. Sunyi kawasan ini, tiada orang bermandi-manda,
mungkin kerana hari ini hari bekerja. Aku duduk di atas batu yang separa terendam di dalam
air. Kaki aku juntaikan ke dalam air, dingin air sungai mengelus kakiku, memberi satu
perasaan nyaman. Aku celup jari-jariku ke dalam air. Ah, sungguh dingin, sungguh nyaman
rasanya. Aku basuh mukaku dengan air dingin itu, ah terasa sungguh segar.
Lama aku duduk di atas batu itu, sambil berfikir tentang apa yang telah terjadi.
Banyak kenangan lama di antara diriku dan Muaz terimbas semula. Perasaanku bercampur
baur, ada ketikanya aku tersenyum sendirian, ada kalanya rasa sayu mengusik tangkai hatiku.
Air mata jatuh lagi. Menitis terus ke dalam sungai dan bersatu dengan air sungai.
Alangkah bagusnya jika aku mampu memutar masa, kembali ke zaman universiti.
Pastinya akan aku lakukan tindakan yang sepatutnya ku ambil sejak dulu. Aku akan berterus
terang kepada Muaz. Aku akan zahirkan perasaanku kepadanya. Biar dia tahu dari awal.
Mungkin, kalau dari dulu dia merasakan cintaku, aku tidak akan bertepuk sebelah tangan.
“Jauh termenung” suaranya membawa aku ke realiti. Dia sudah duduk di batu
bersebelahan denganku.
“Menangis lagi?” soalnya bila aku berpaling memandangnya. Air mata ku seka
dengan jari.
“Ada masalah dengan keluarga?” dia meneka dan aku menjawab dengan gelengan
kepala.
“Masalah dengan boyfriend?” dia meneka lagi. Aku diam. Tidak pasti mahu
membenarkan atau menidakkan tekaannya. Layakkah Muaz digelar boyfriend kalau hanya
aku yang mencintainya?
“Masalah kerja?” soalnya lagi. Isssh dia ni, rimas pulak dibuatnya. Kenapa dia terusterusan
ingin tahu? Aku keluar ke sini untuk bersendirian dan menenangkan fikiran, dia pula
datang mengganggu.
“Awak kena tipu ke? Atau kena….”
“Apasal sibuk nak tau?” aku potong ayatnya dan nada suara aku tinggikan. Geram
sungguh dengan si penyibuk ni. Tiba-tiba terlebih peramah, banyak soal pulak. Kelmarin
sewaktu makan tengahari di rumahnya, senyap sahaja.
“Kenapa pulak saya tak boleh bertanya? Saya nampak awak dalam kesedihan.
Nampak awak sedang susah hati, jadi saya tanyalah. Tak salahkan kalau saya nak tau?”
“Salah! Saya tak kenal awak dan awak pun tak kenal saya. Buat apa nak tau hal saya.
Mind your own business!” bentakku. Bengang!
Dia memberikan satu senyuman sinis kepadaku. Tajam matanya merenung aku, tidak
sanggup membalas renungannya maka aku memandang ke hadapan semula.
“Begitu ya. Jadi kalau saya tak kenal, maka saya tak perlu ambil tahu. Very
individualistic!” Aku diam. Lantaklah kau nak kata apa.
“Saya tak fikir agama saya mengajar saya untuk tidak mengambil berat akan apa yang
berlaku di sekitar saya. Kerana orang macam awaklah, banyak kejadian buruk, kecelakaan
dan kemalangan yang boleh dielakkan tetap terjadi. Budak umur 14 tahun mati dibelasah dua
orang pelajar, di hadapan 30 orang yang hanya menyaksikan pergaduhan mereka. Tak ada
seorang pun yang membantu budak tu, kenapa? Kerana mereka tak kenal budak tu. Kerana
budak yang dibelasah tu bukan anak mereka, atau adik mereka atau sesiapa kepada orangorang
yang hanya seronok menonton. Inilah budaya masyarakat sekarang. Dah tak peduli
apa terjadi kepada orang lain, yang penting diri sendiri selamat. Tapi kalau terkena batang
hidung sendiri, pandai pulak marah orang yang tak menolong!”
Tiba-tiba dia beremosi. Dengan penuh semangat dia memberi leterannya. Tapi dia
salah. Aku bukan begitu. Belum sempat aku menjawab, dia berleter lagi.
“Sekarang banyak kes orang kena ragut, kena cabul. Isteri dan anak-anak didera,
sampai dah teruk, dah ada yang mati, baru kes terbongkar. Kenapa? Sebab orang sekeliling
tak ambil berat. Kalau orang di sekeliling prihatin dan menolong dari awal, banyak mangsa
yang boleh diselamatkan, tau tak?”
Ish dia ni, aku keluar untuk mendamaikan hati, menenangkan fikiran tapi lain pula
yang jadi. Dahlah sibuk nak ambil tau hal aku, berleter panjang dengan penuh beremosi ni
kenapa. Ada aku kisah?
“Kalau saya tahu begini attitude awak, baik saya biarkan sahaja awak tenggelam
dalam sungai ni hari tu! Bila polis datang, saya cakap aje ‘entah, saya tak kenal perempuan
rambut senget ni jadi saya tak ambil kisah pasal dia’. Lagi satu, buat apa susah-susah terima
pelawaan saya makan di rumah mak saya, kan awak tak kenal saya?”
Oh, ini sudah melampau. Aku sudah tidak boleh bersabar dengan bebelannya. Aku
berdiri dan sambil menunding jari kepadanya, aku katakan “Dah habis? Kalau dah, dengar
baik-baik apa saya nak cakap dan lepas ni tolong jangan ganggu saya”.
Dia mendongak memandangku. Ditepisnya jari aku dan bingkas bangun. Kami
bertatapan. Dadaku berdetak kencang. Aku menghela nafas panjang, cuba mengawal hati
yang sedang marah. Jangan sampai aku tumbuk mamat ni karang!
“Yang pertama, saya bukan nak bunuh diri. Saya masih ada iman dan tak akan buat
tindakan bodoh mencabut nyawa saya sendiri. Dan kalau awak ikhlas membantu, jangan
mengungkit! Yang kedua, saya tak pernah terima pelawaan awak. Saya datang makan di
rumah awak kerana pelawaan emak awak! Yang ketiga, I do care about my surroundings
and I do care about what happen in the society. But I don’t trust you enough to tell you
about my problem! Yang keempat, awak peduli apa rambut saya senget ke, botak ke, apa ke?
It is none of your business and I don’t need anyone to like my hair!” aku luahkan segalanya
dengan penuh emosi juga. Geram, marah, bengang semuanya bersatu dalam nada suaraku.
Tetapi bila tiba ayat terakhir, suaraku mula bergetar. Ada bayangan wajah Muaz bila
bercakap tentang rambut.
Aku rasa nak menangis. Tetapi aku tahan tangisan itu. Tidak berbaloi menangisi
perbalahan dengan mamat penyibuk ini. Kalau tadi aku cuma marah, kini amarahku bersatu
dengan kesedihan. Aku berlalu meninggalkan dia yang bercekak pinggang memandangku.
Dalam kekalutan untuk meninggalkan anak sungai, aku terpijak batu licin berlumut
lalu tergelincir jatuh ke dalam air. Habis lencun bajuku. Aku berusaha untuk bangun dan
ketika itu menghulurkan tangannya namun tidak aku endahkan.
Sampai di rumah inap, aku tukar pakaian dan keringkan rambutku. Terpandang
telefon yang sedang dicas, lantas aku mengambil telefon. Abang membalas pesananku tadi,
menyatakan syukur mendapat berita dariku. Abang memang sentiasa memahami aku.
Katanya ‘take as much time as you want, as long as you come back a stronger and better
person.’ Insya Allah abang, adik hanya perlukan masa untuk berfikir dan menenangkan diri.
Adik akan kuatkan semangat dan kembali meneruskan hidup. Adik tak akan buat perkara
bodoh, aku berkata seolah-olah abang berada di sisiku.
Pesanan dari kak Rina mengundang sebak “sorry sayang, kakak tak tau Muaz ialah
tunangan Naurah. Kalau tau, kakak tak ajak adik ke majlis tu. Maafkan kakak. Adik ada di
mana? Jangan lama-lama, cepat balik. Nanti mama marah. We are worried”.
Tiga panggilan dari mama. Mama memang tak suka menghantar sms, katanya buang
masa. Lebih baik bercakap terus, boleh dapat respons serta-merta. Maaf mama, nanti Reen
call mama ya. Sekarang kalau Reen call, Reen akan menangis lebih daripada bercakap.
Pintu rumah diketuk. Aku bergegas ke pintu. Mak Jah di sebalik pintu tersenyum
manis.
“Nanti datanglah makan di rumah Mak” mesranya wanita ini. Dengan santai dia
membahasakan dirinya sebagai mak, membuatkan aku rasa serba salah untuk menolak
pelawaannya.
“Buat susah Mak Jah je, tak apalah, Reen ada makanan”. Aku cuba berdalih. Padahal
yang ada hanyalah seketul roti berkrim cokelat dan sebungkus mi segera. Rasanya tak lalu
nak menghadap makanan itu lagi hari ini.
“Apa susahnya, Reen tak ada pun Mak kena masak juga. Nanti Pak Akob kamu nak
makan juga. Si Naim pun nak makan. Tak ada susahnya, datang ya?” bersungguh-sungguh
dia mengajak. Aku serba salah.
“Fina mana Mak Jah?” cuba menukar topik. Lagipun memang aku tak nampak Fina
hari ini.
“Ke rumah kakaknya. Tidur sana.”
“Datang ya, Mak masak lauk special hari ni” dan dengan senyuman yang aku nampak
penuh keikhlasan, dia berlalu. Aku melihat dia pergi dan tidak jauh dari arah rumah Mak
Jah, satu susuk tubuh berdiri memandangku. Sengal! bisikku dalam hati dan segera menutup
pintu. Sakit hati terhadapnya belum hilang. Aku bergerak menuju ke katil. Merebahkan
badan untuk berehat seketika dan entah bila, aku terlelap.
Ketukan di pintu mengejutkan aku. Cepat-cepat bangun mendapatkan pintu, dan sebaik
sahaja pintu dibuka, dia menghulurkan sebiji bekas makanan kepadaku.
“Mak suruh hantar”. Aku memandang bekas makanan yang disuanya dengan rasa
bersalah. Macam mana aku boleh tertidur.
“Ambillah, makan” dia suakan bekas makanan itu bila aku hanya kaku
memandangnya. Aku ambil dan letakkan di atas meja. Dia masih berdiri di luar. Sebaik
sahaja aku sampai di pintu dia bersuara.
“Boleh keluar sekejap?”
“Pergi mana?”
“Dekat sini je,” dan aku menurut. Mengikutinya dari belakang menuju ke arah
sungai. Dia terus berjalan melewati chalet pertama. Aku cuak. Ke manakah dia hendak
membawaku.
“Awak”, panggilku. “Nak pergi mana ni?”
“Sini bising, susah nak bercakap. Kita pergi atas tu” lalu di menunding ke arah
sebuah bukit kecil. Memang agak bising di kawasan ini kerana pekerja-pekerja kontraktor
masih sibuk bekerja.
Akhirnya kami sampai di atas bukit kecil yang tidak tinggi itu. Ada sebiji pangkin di
situ dia menyuruh aku duduk.
“Nampak tak batu yang paling tinggi tu?” soalnya sambil merendahkan badannya dan
menunding ke arah batu yang dimaksudkan. Aku anggukkan kepala.
“Pagi kelmarin air sungai tinggi, cuma lebih kurang suku dari batu tu yang kelihatan,
selebihnya ditenggelami air. Awak berdiri tegak di atasnya, pakai baju kurung warna pink.
Saya duduk di atas bangku ni, dan saya boleh nampak awak dengan jelas. Perkara pertama
yang muncul di kepala saya ialah awak nak bunuh diri”.
Barulah aku faham kini mengapa dia membawa aku ke tempat ini dan menyuruh aku
duduk di atas bangku itu. Dia mendekati aku dan melabuhkan punggungnya di sebelahku.
Bangku yang kami duduki kecil, namun masih ada ruang di antara kami berdua.
“Tengok sungai tu, tak pernah lesu mengalir kan? Bila hujan airnya naik, tiada hujan
airnya susut semula. Jangan sekadar memandang kosong sungai tu, tapi ambillah pengajaran
dari fitrahnya. Bila ada masalah, kita kuatkan semangat dan jangan putus asa”.
Dia bangun, meninggalkan aku yang masih kaku di bangku kecil. Aku pandang ke
arah sungai di bawah. Benar katanya, jangan sekadar memandang kosong, tapi ambillah
pengajaran dari fitrahnya
No comments:
Post a Comment