Tuesday, 8 March 2016

SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 4



HARI  ini, Marina  kembali  bertugas  setelah  tiga  hari  bercuti. Pada  mulanya  dia  ingin  merehatkan  dirinya  dengan  rasa  penat  kerja  dan  mengambil  masa  untuk  menyiapkan  manuskrip  novelnya. Tetapi  lain  pula  yang  jadi. Kerjanya  bukan  setakat  menulis  novel  dan  menguruskan  suami tetapi  perlu  menguruskan  Insyirah  dan  Nasuha  juga.
            Hari  ini, dia  bangun  seawal  subuh  untuk  masakkan  makanan  buat  Insyirah  sepanjang  dia  berada  di sekolah. Jika  mahu  tunggunya, petang  nanti  baru  dia  dapat  pulang. Memang  sudah  tidak  sempat  untuknya  mengejar  pulang  ke rumah  pada  waktu  tengah  hari  seperti  yang  dirancangkan  Ikram.
            Rasa  tanggungjawabnya  pada  Insyirah  dan  juga  Nasuha, semua  urusan  rumah  di siapkannya  sebelum  ke tempat  kerja. Tentang  Ikram, dia  tidak  begitu  risau. Ikram  selalu  makan  di luar  sahaja, bila  turun  ke pejabat. Kadangkala, malam  baru  dia  pulang  ke rumah  dan  hanya  pada  hari  minggu  sahaja, masa  Ikram  di habiskan  di rumah.
            Tugasnya  sebagai  pembantu  pra, pada  pendengaran  ianya  cukup  mudah. Tugasnya  pasti  sudah  hanya  membantu  guru  pra. Itu  pada  dasar  bila  dilihat  daripada  pandangan  mata, kerjanya  begitu  mudah. Tugasnya  ini, memerlukan  kesabaran  yang  tinggi  dan  juga  kepandaiannya  dalam  hal  anak-anak. Karenah  anak-anak  kecil  perlu  dilayannya. Dia  bagaikan  seorang  ibu  untuk  berpuluh  pelajar  di situ. Menjaga  kebajikan  dan  makan  mereka  itu  tanggungjawab  yang  perlu  dipikulnya.
            “Rina  ada  masalah  ke?”sapa  teman  setugasnya  cikgu  NurAini, yang  juga  guru  pra  sekolah.
            Marina  menggelengkan  kepalanya. Kini  cikgu  NurAini, satu-satunya  teman  baiknya. Segala  masalah  pasti  akan  dirujukkan  kepada  cikgu  NurAini.
            “Letihlah  kak.”rungut  Marina.
            “Kenapa? Menulis  sampai  tak  tidur  ke?”soal  cikgu  NurAini.
            “Tak  tahulah, Rina  nak  cakap  macam  mana.”belakang  tengkuknya  dipicit-picit. Kepalanya  memang  terasa  berat.
            “Habis  tu, bergaduh  dengan  Ikram?”
            Kepalanya  digelengkan. Bukan  sebab  itu. Sebenarnya  dirinya  begitu  letih. Insyirah  seakan  mahu  mengambil  kesempatan  dengan layanan  baik  yang  di berinya. Semua  kerja  dari  yang  kecil, semua  dia  yang  perlu  uruskan. Takkan  sampai  hendak  basuh berak, tukar lampin  pun, hendak  harapkan  dia. Dia  bukannya  orang  gaji  Insyirah. Tetapi  tuan  kepada  rumah  yang  ditumpangi  Insyirah.
            “Ceritalah. Lagipun  takda  siapa  pun  di sini.”waktu  tengahari  begini, memang  sudah  tiada  lagi  anak-anak  murid  di kelas. Semuanya  sudah  pulang  sejak  jam  12  tengahari  tadi. Kini  hanya  tinggal  cikgu  NurAini  dan  juga  Marina  sahaja.
            “Ikram  bawa  adik  iparnya  balik  rumah  kami.”terang  Marina.
            “Oh, itu  masalahnya?”
            Marina  mengetap  bibirnya. Adakah  rungutannya  ini, nampak  seperti  dia  seorang  yang  sangat  kejam  dan  tidak  berperikemanusiaan? Dia  cuma  ingin  melepaskan  lelahnya  dan  runsing  di hatinya  sahaja. Hendak  di luahkan  kepada  Ikram, balik-balik  Ikram  mintanya  bertolak-ansur  dengan  Insyirah. Katanya, kesian  Insyirah  kerana  suaminya  tiada  di sisi.
            Satu  persatu  kisah  yang  berlaku, Marina  ceritakan  kepada  cikgu  NurAini. Punca  yang  menyebabkan  dia  jadi  begitu.
            “Takkan  dia  tak  boleh  tinggal  dengan  keluarga  dia?”tanya  cikgu  NurAini.
            “Katanya, keluarga  dia tak  ada. Semua  pergi  ke Sabah.”
            “Habis tu, saudara-mara  yang  lain  tak  ada  ke?”
            Marina  menjungkitkan  bahunya. Dia  tidak  berapa  tahu  sangat  tentang  hal  itu. Lagipun  Marina  dan  Insyirah  tidaklah  begitu  rapat  sebelum  ini. Bila  Insyirah  mahu  menumpang  di rumahnya, dia  juga  terkejut. Ini  semua  kerana  hati  budi  baik  Ikramlah.
            “Rina  serba-salah  nak  cakap. Tak  cakap, Rina  juga  yang  makan  hati. Sekarang  ni  tak  ada  privacy.”
            “Hmm, iyalah. Ada  orang  luar. Kak  Aini  rasa, cuba  Rina  cakap  baik-baik  dengan  Ikram. Apa  yang  Rina  rasa...apa  yang  Rina  tak  puas  hati... Cakap  aje  pada  Ikram.”nasihat  cikgu  NurAini.
            “Rina  dah  cakap, kak. Dia  minta  Rina  bersabar. Bertolak-ansur  dengan  adik  ipar  dia  tu. Kak  Aini  pun  tahu  kan, Rina  jenis  yang  macam  mana? Rina  ni  bukannya  kejam  sangat, tapi  Rina  cuma  nak  kehidupan  kami  tak  terganggu  dengan  kehadiran  orang  luar.”luah  Marina  lagi. Kecil  hatinya  pada  Ikram, sebenarnya  masih  bersisa. Bukannya  Ikram  mahu  mengerti  pun, jika  semua  itu  diluahkan  kepadanya.
            “Rina  sabar  ajelah. Rina  pun, kena  juga  jaga  kesihatan  diri. Patutlah  mata  kuyu  aje. Mesti  letih  sangat, kan? Tambah-tambah  lagi  hari  ni  mula  kerja  balik.”hanya  cikgu  NurAini  sahaja  mengerti  akan  perasaannya. Sebab  itu, Marina  selesa  meluahkan  gelisah  hatinya  itu  kepada  cikgu  NurAini  yang  sudah  dianggap  seperti  kakaknya  sendiri.
            “Memang  kena  sabar  ajelah, jawabnya. Lama-lama  nanti  takut  terlebih  makan  hati. Jiwa  yang  sakit  kak. Mana  dokumen  yang  akak  nak  Rina  hantar  ke pejabat  tadi? Biar  Rina  hantarkan.”Marina  mematikan  bualan  kisah  rumah  tangganya  di situ. Takut  juga, nanti  terlebih  pula  bercerita  perihalnya  sekeluarga. Cukup-cukuplah  setakat  itu  sahaja.
            “Boleh  ke? Kalau  tak  boleh, biar  akak  yang  hantarkan  sendiri  nanti.”
            “Tak  apa, kak. Lagipun  ini, memang  tugas  Rina. Mari  sini  Rina  hantarkan.”kertas-kertas  yang  sudah  siap  di masukkan  ke dalam  fail, disambut  Marina. Dia  terus  berlalu  keluar  dari  bilik  darjah  yang  kemas  dengan  berwarna-warni  coraknya.
            Perlahan  Marina  mengatur  langkahnya  ke bilik  pejabat  yang  berada  di tingkat  2, blok  B  bangunan  sekolah. Difikirannya  masih  lagi  memikirkan keadaan  Insyirah  dan  Nasuha  di rumah. Agaknya  apa  yang  Insyirah  lakukan  di rumahnya? Bersendiri  pula?
            “Maaf! Saya  tak  perasan  tadi.”kalut  suara  lelaki  memohon  maaf  darinya. Fail  yang  di bawanya, yang  terjatuh  ke lantai  itu, diambilnya  kembali.
            “Tak apa. Saya  pun  salah  juga.”Marina  mengukir  senyuman  buat  lelaki  yang  berdiri  di hadapannya  itu. Rasanya  tidak  salah, diberikan  satu  senyuman. Senyuman  itukan, satu  sedekah. Tag  nama  yang  tertera  di sebelah  kanan  dada  lelaki  itu  diperhatikannya. Tertera  nama  Muiz  Lukman. Mungkin  dia  juga  guru  di sini. Tapi  tidak  pula, dia  pernah  berjumpa  dengannya  sebelum  ini.
            “Maaf. Saya  pergi  dulu. Maaf  ya.”
            Marina  hanya  menghantar  lelaki  itu  dengan  pandangan  matanya. Dia  juga  mengatur  langkahnya  ke arah  blok  B. Arah yang  sama  di tuju  lelaki  yang  bernama  Muiz  Lukman. Dokumen  itu  perlu  di hantarnya  segera. Masih  banyak  lagi  kerjanya  di kelas  yang  tertangguh.
            Setibanya  di pejabat, Marina  terus  berikan  dokumen  yang  di bawanya  tadi  kepada  kerani  sekolah, iaitu  Kak  Hamidah. Sempat  juga  dia  berbual-bual  kosong  dengan  Kak  Hamidah. Sekali  lagi, dia  bertembung  dengan  lelaki  yang  berlanggar  dengannya  tadi, keluar  dari  pejabat  guru  besar.
            Muiz  Lukman  menghampiri  Marina  dan  Kak  Hamidah  yang  rancak  berbual. Ditegur  Kak  Hamidah  ramah.
            “Maaf, kalau  tak  salah, cik  ni la  yang  saya  terlanggar  tadi.”Muiz  Lukman  mula  menegur. Marina  hanya  mengangguk. Sekali  lagi  sedekah  senyuman  di berikan.
            “Cikgu  Muiz, bukan  cik, tapi  puan. Nanti  terbekenan  isteri  orang, susah  pulak.”sampuk  Kak  Hamidah  dengan  sengehan  yang  melebar. Dia  perasan, Muiz  Lukman  bagaikan  terpegun  bila  melihat  Marina.
            “Isy, Kak  Dah  ni. Ada-ada  ajelah.”malu  Marina. Mukanya  yang  putih  itu, mula  kemerah-merahan.
            “Oh, maaf. Puan  rupanya. Ingatkan  masih  cik. Nampak  feminin, macam  belum  kahwin.”Muiz  Lukman  menggarukan  kepalanya  yang  tidak  gatal. “Maaf  ya, tadi. Puan...”
            “Marina!”laju  Kak  Hamidah  memperkenalkan  Marina  kepada  Muiz  Lukman.
            Marina  menyambut  dengan  tawa  kecil. “Tak  perlulah  nak  panggil  saya  puan. Rasa  macam  puan  besar  pulak. Panggil  aje  Rina.”
            Muiz  Lukman  menganggukkan  kepalanya. “Saya  Muiz  Lukman. Cikgu  baru  di sini. Hari  ni, tiga  hari  saya  mengajar  di sini. Panggil  aje  saya  Muiz.”terang  Muiz  Lukman.
            “Rina  ni, pembantu  Pra  Gemilang.”sibuk  sahaja  Kak  Hamidah. Dia  pula  yang  menjawab  lebih-lebih. Marina  hanya  tersenyum  melihat  gelagat  Kak  Hamidah. Tidak  habis-habis  dengan  cerianya. Memang  ceria  sahaja, bila  ada  Kak  Hamidah  di sini, membangkitkan  kesuraman.
            “Kak  Dah  ni, laju  aje  jawab  ye.”sinis  Muiz  Lukman.
            “Kak  Dah  tolong  jawab.”
            “Rina  minta  diri  dululah, Kak  Dah...cikgu  Muiz. Banyak  lagi  kerja  yang  Rina  nak  siapkan.”Marina  meminta  untuk  pergi. Pagi  tadi, dia  ada  berjanji  dengan  cikgu  NurAini, ingin  membantu  menghias  kelas  pra  Gemilang.
            “Rina!”
            Muiz  Lukman  kini  jalan  seiring  dengan  Marina. Cepat  juga  langkahnya  mengejar  Marina  ke bawah. Marina  hanya  buat-buat  biasa. Di mana  sahaja, pasti  akan  ada  kenalan  dan  juga  teman. Lagipun  tidak  salah, jika  dia  mempunyai  ramai  teman  ditempat  kerja. Bukannya  dia  berselingkuh  di belakang  suaminya. Dia  tahu  batasnya  sebagai  seorang  isteri.
            “Maaf  ya  tadi. Tak  tersengaja  langgar  awak  tadi.”sekali  lagi  Muiz  Lukman  mengambil  kesempatan  ini, meminta  maaf  kepada  Marina. Selepas  berlanggar  tadi, hanya  sempat  meminta  maaf  gitu-gitu  sahaja. Ada  kesempatan  ini, dia  ingin  mohon  maaf  dengan  lebih  jelas.
            “Saya  okeylah. Tak  ada  apa-apa. Lagipun  awak  dah  minta  maaf  tadi  kan?”
            Muiz  Lukman  menganggukkan  kepalanya. “Awak  dah  lama  kerja  di sini?”soal  Muiz  Lukman.
            “Dah  empat  tahun. Cikgu  pulak, mengajar  di sini, okey  ke?”soal  Marina  pula.
            “Bolehlah, sementara  nak  biasa. Sebelum  ni, saya  mengajar  di Sabah. Dapat  tukar  ke semenanjung  pun, saya  dah  cukup  bersyukur. Dapat  jugak, tinggal  dekat  dengan  keluarga.”
            Marina  menganggukkan  kepalanya. Dia  mengerti. Patutlah  dia  bertukar ke sini, dia  sudah  pun  berkeluarga. Memang  itu  yang  terbaik  buat  Muiz  Lukman  dan  juga  keluarganya. Tidaklah  perlu  berjauhan  lagi. Detik  Marina  di dalam  hati.
            “Seronok  ke jadi  pengasuh  anak-anak  di pra? Mesti  letih  kan, nak  layan  karenah  mereka.” Muiz  Lukman  memberi  pendapatnya  sendiri. Dia  sendiri  mengerti, tugas  sebagai  pembantu  pra. Apatah  lagi, sesetengah   anak  murid  yang  masih  belum  cerdik. Basuh  beraknya, pun  mesti  di buat  Marina.
            Marina  hanya  tersenyum  dengan  telahan  Muiz  Lukman. Biasalah  itu  semua. Bukanlah  pembantu  pra  jika  tidak  mahu  buat  kerja  itu  semua. Itulah  satu  tugas  yang  perlu  di lakukannya, bila  tiba  saat-saat  sebegitu. Ikram  pernah  memintanya  berhenti  sahaja  menjadi  pembantu  pra  sekolah, tapi  dia  tetap  mahu  menyandang  tugasnya  itu. Masih  mahu  mencari  pengalaman. Lagipun  bosan  tinggal  sendiri  di rumah  tanpa  teman. Menjadi  pembantu  pra, sekurang-kurangnya  dia  dekat  dengan  anak-anak  itu  semua.
            “Biasalah  cikgu  Muiz. Kalau  dah  nama  pengasuh  tu... memang  nak  kena  layan  karenah  mereka  semua. Cuma  mampu  tak  mampu  aje. Kalau  tak  mampu  nak  buat  semua  tu, dah  lama  saya  berhenti.”jawab  Marina  sambil  tertawa  kecil.
            “Iyalah. Baguslah  macam  tu. Baiklah  Marina, saya  pun  ada  kerja  yang  nak  di selesaikan. Nanti  kita  jumpa  lagi.”Muiz  Lukman  meminta  untuk  pergi.
            “Insya-Allah  cikgu.”
            Muiz  terus  berlalu, meninggalkan  Marina  yang  terus  melangkah  ke kelasnya  dan  Muiz  Lukman  pula, membelok  ke blok  C. Perkenalan  mereka  berakhir  di situ  sahaja.
            Jumpa  lagi? Kenapa  perlu  berjumpa  lagi? Dia  nak  jumpa  dengan  aku  lagi? Argh! Kenapa  pulak, aku  nak  fikirkan  yang  bukan-bukan  pulak. Memang  sudah  kerja  satu  tempat. Pasti  ada  waktunya  kami  akan  berjumpa  lagi. Detik  Marina  sendiri.
            Kelas  pra  Gemilang  yang  nampak  ceria  itu, terus  di hampirinya. Pintu  yang  sentiasa  terkuak  luas  itu  terus  di majunya. Melangkah  masuk  ke dalam. Cikgu  NurAini  sudah  pun  mula  menghias  kelas  itu  tanpa  menunggunya.
            “Kenapa  tak  tunggu  Rina  aje  kak?”tegur  Marina, bila  melihat  cikgu  NurAini  sibuk  menghias  bilik  kelas  itu  sendiri.
            “Tak  apalah. Akak  buat  apa  yang  patut  dulu. Lagipun  bukannya  susah  pun.”
            “Kalau  macam  tu, kita  buat  sama-sama  ya  kak.”Marina  mengambil  kertas  origami  yang  di buat  pelajar  pra  Gemilang. Ditebuk  lubang  kecil  di setiap  bahagian  atas  origami  itu. Agar  mudah  di masukkan  benang  dan  digantung.
            “Rina  dah  okey  ke? Nanti  pitam  pulak  kat  sini. Akak  tak  larat  nak  angkat  nanti.”seloroh  cikgu  NurAini.
            “Rina  baik-baik  ajelah  kak. Jangan  risaulah. Kuat  lagi  ni. Hm, kak! Sekolah  kita  ni, ada  cikgu  baru  ya?”sudah  tahu, disoalnya  pula. Semacam  tidak  kena  sahaja  soalannya  itu.
            “A'a. Cikgu  Muiz  Lukman. Kacak  orangnya.”sambut  cikgu  NurAini.
            “Hmm, dah  kenal  pun.”
            “Amboi, cepatnya  kenal. Oh, pergi  lama-lama  tadi, ada  sesi  kenallah?”usik  cikgu  NurAini.
            “Kenal  sikit-sikit  aje  kak. Lebih-lebih  nanti, ada  pulak  orang  marah.”sambut  Marina  dengan  sengehan  melebar. Dia  terbayangkan  suaminya  Ikram  saat  ini. Jika  Ikram  tahu, di sekolahnya  ada  guru  kacak, pasti  sekali  lagi  dia  akan  cemburu. Sebelum  berkahwin, Marina  menjadi  wanita  idaman  para  guru  di sini. Siapa  yang  tidak  mahukan  gadis  yang  lemah-lembut  dan  manis  seperti  Marina. Ramai  yang  mengintai  Marina  sebelum  ini.
            “Kalau  Ikram  tahu, ada  cikgu  baru, mahu  di siasatnya  pulak  nanti. Takut  nanti  terbekenan  kat  isterinya  yang  cantik  ni.”
            “Akak  ni, ke situ  pulak.”
            Telefon  bimbitnya  yang  berbunyi  nyaring  dengan  lagu  Be Mine  dari Tasha  Manshahar  itu  dijawabnya. “Akak  tak  boleh  baliklah  Syirah. Nanti  petang  baru  akak  balik.”
            Cikgu  NurAini  hanya  mendengar  sahaja  perbualan  rakan  setugasnya  itu. Dia  sudah  dapat  mengangak, siapa  yang  telefon  Marina.
            “Iyalah. Tengok  macam  mana  nanti.”panggilan  terus  di matikan. “Fuh!”keluh  Marina  sambil  kepalanya  yang  tidak  sakit  itu  dipicitnya. Masalah  betul  birasnya  itu.
            “Kenapa?”
            “Syirah, biras  saya  tu. Nak  saya  balik  sekejap.”terang  Marina. Wajahnya  yang  tadi  sudah  nampak  sikit  ceria, kembali  suram.
            “Apa  dia  nak?”
            “Minta  saya  mandikan  anaknya.”terang  Marina.
            “Ya Allah! Nak  mandikan  anak  pun  tak  pandai. Buat  anak  pandai, nak  jaganya  tak  reti. Belajar-belajarlah  sama.”Cikgu  NurAini  pula  yang  merungut  melebih  Marina. Marina  hanya  menyambut  kata-kata  itu  dengan  senyuman  kelat.
            “Tak  tahulah  saya  kak.”
            “Habis  tu, Rina  nak  balik  ke? Kalau  nak  balik, pergilah  balik. Sekarang pun, waktu  rehat. Sempat  kalau  Rina  nak  balik  sekejap.”cikgu  NurAini  memberi  cadangan.
            “Kalau  Rina  balik, akak  tak  kisah  ke?”
            “Sekejap  aje  kan?”
            Marina  menganggukkan  kepalanya. Sekejap  sahaja, dia  akan  pulang. Lagipun  waktu  kerjanya  sama  juga  pekerja  am  yang  lain.
            “Baliklah.”
            “Kak  Aini  tak  apa-apa  ke?”
            “Tak  apa-apalah. Lagipun  nanti  kita  boleh  sambung  balik.”
            Senyuman  diberikan  kepada  cikgu  NurAini. Cikgu  NurAini  selalu  memahaminya. Sekali  lagi, cikgu  NurAini  bertolak  ansur  dengannya.

KERETA  Viva , milik  Marina  tersadai  di tepian  jalan. Waktu  begini  pula, keretanya  itu  mahu  membuat  hal. Sudahlah  waktu  rehatnya  tinggal  30  minit  sahaja. Jika  tahu  Insyirah  mahunya  pulang, dari  awal-awal rehat  tadi  dia  sudah  pulang. Sudah  hampir  waktu  rehatnya, baru  Insyirah  telefon  meminta  bantuan. Tidakkah  itu, ingin  menyusahkan  diri  namanya.
            Bonet  kereta  bahagian  depan  di bukanya. Hanya  mampu  memandang  sahaja. Dia  mana  tahu  menahu  tentang  kereta. Yang  dia  tahu, hanya  memandu  sahaja. Jadi  begini, terloponglah  melihat  kerosakan  yang  sendiri  dia  tidak  tahu  apa  puncanya.
            Tayar  keretanya  itu  ditendang  berkali-kali. Mulut  mungilnya  yang  comel  itu, tidak  habis-habis  membebel  pada  kereta  yang  sahih  tidak  bersalah  itu. Geram! Marah! Semuanya  sudah  merajai  dirinya. Hanya  1  kilometer  sahaja  lagi, keretanya  buat  hal. Jika  berjalan, penat  jugalah  yang  dapat.
            Perlahan  kereta  Perdana  silver  berhenti  di bahu  jalan. Mungkin  ada  yang  sudi  menghulurkan  bantuan  kepadanya. Sesusuk  tubuh  dengan  berkaca  mata  hitam  keluar  dari  perut  kereta  menghala  ke arahnya.
            “Kereta  awak  rosak  ke?”
            Marina  mengamati  wajah  itu  sekali  imbas  sahaja. Jika  tidak  salah, itu  cikgu  Muiz  Lukman. Asyik  terserempak  dengannya  sahaja  hari  ini.
            “Hmm, tak  tahulah  rosak  apa? Tiba-tiba  aje  meragam.”terang  Marina.
            Kali  ini  Muiz  Lukman  menyangkutkan  kaca  matanya  di hujung  kepalanya. Makin  terserlah ketampanannya itu. Patutlah  Muiz  Lukman  menjadi  sebutan  hangat  di sekolah. Rupanya  cikgu  itu  begitu  sempurna  wajahnya. Tapi  bagi  Marina, ketampannan paras  rupa  itu, tidak  memberi  apa-apa  makna  buatnya. Apa  yang  penting  hatinya  baik. Contoh  terdekat, pastinya  Ikram  suaminya.
            Jam  ditangan  dipandangnya. Sudah  10 minit  masa  itu  berlalu  begitu  sahaja. Sempatkah  dia  hendak  kembali  ke sekolah  semula? Rungut  Marina, jauh  di dalam  hatinya.
            “Awak  nak  ke mana  ni?”soal  Muiz  Lukman.
            “Saya  nak  balik  rumah  sekejap. Ada  hal.”resah  Marina, bila  melihat  waktu  mula  berginjak  dari  saatnya.
            “Jauh  lagi  ke rumah  awak?”
            “Tak  jauh  sangat. Lagi  1 km  aje.”
            “Dekat  dah  tu. Taman  Delima  ke?”Muiz  Lukman  meneka.
            Marina  menganggukkan  kepalanya.
            “Oh, kebetulan  pulak. Saya  pun  tinggal  di Taman  Delima. Bolehlah  awak  tumpang  saya. Kereta  awak  ni, nanti  saya  minta  kawan  saya  tolong  tengokkan. Lagipun  kedai  dia  depan  tu  aje.”Muiz  Lukman  memberikan  cadangan. Tidak  salah, jika  dia  menghulurkan  bantuan  kepada  sesiapa  yang  memerlukan. Apatah  lagi, Marina  juga  salah  seorang  temannya  juga.
            “Eh, tak  apalah. Saya  boleh  ambil teksi. Tak  pun, saya  boleh  jalan  kaki.”Marina  menolak. Dia  tidak  mahu, menyusahkan  Muiz  Lukman  nanti.
            “Tak  susahnya. Lagipun  satu  jalan. Satu  taman. Lainlah  saya  nak  menghala ke lain. Marilah  saya  tumpangkan.”Muiz  Lukman  mempelawa  Marina. Pintu  keretanya  itu  sudah  dibukakannya  untuk  Marina. Serba-salah  juga  Marina  ingin  menapak  masuk  ke dalam.
            “Awak  jangan  takutlah, Rina. Saya  ni  orang  baik.”
            Teringat  pula  kepada  suaminya  Ikram. Perangai  Muiz  Lukman, persis  suaminya  juga. Suka  memuji-muji  diri  sendiri.
            “Masuk  ajelah. Saya  nak  hantarkan  aje. Lagipun  kita  kan  jiran  tetangga. Jiran  sekerja. Tak  salah  membantu.”
            Marina  akur. Dari  raut  wajah  Muiz  Lukman, dia  sudah  dapat  membaca, lelaki  itu  baik  orangnya. Tetapi  benarkah  tekaan  mata  dan  mindanya  itu? Argh! Apa  yang  hendak  di risaukan. Muiz  Lukman  salah  seorang  teman  sekerjanya. Alih-alih, wajah  itu  juga  akan  dijumpanya  di sekolah  nanti.
            “Terima  kasih  sebab  sudi  tumpangkan  saya.”
            “Sama-sama. Tak  jadi  masalahlah.”Muiz  Lukman  mengukirkan  senyumannya. Jika  gadis-gadis  diluar  sana  pandang  senyumannya  itu, pasti  ada  yang  rebah.
            Sepanjang  perjalanan, Marina  banyak  memandang  ke arah  luar  tingkap. Dia  segan. Dan  kalau  boleh  dia  tidak  mahu  melebih-lebih. Berdua  begini  pun, ada  yang  ke tiganya. Siapa  lagi  kalau  bukan  iblis.
            “Rina  dah  lama  tinggal  di Taman  Delima?”soal  Muiz  Lukman, mematikan  sunyi  sepi.
            “Sejak  kahwin. Rumah  tu, suami  saya  dah  beli  sebelum  kami  kahwin  lagi. Sekarang  tinggal  di Taman  Delima  dah  3  tahun  jugak  la.”terang  Marina. Sengaja  dia  membangkitkan  tentang  suaminya.
            “Oh, lama  jugaklah. Saya  ni, baru  minggu  lepas  masuk.”terang  Muiz  Lukman  dengan  diselangi  tawa  nipisnya.
            “Oh...entah-entah  kita  ni  berjiran.”
            “Itulah. Entah-entah  kita  berjiran. Kalau  berjiran, bolehlah  kita  pergi  sekolah  sama-sama.”Muiz  Lukman begitu  ramah  sekali. Seperti  sudah  lama  mengenalinya  pula. Marina  tidak  rasa  kekok  berbual-bual  bersama  Muiz  Lukman. Cuma  di kawal  batas-batasnya.
            “Kalau  pergi  bersama, nanti  timbul  fitnah  pulak  cikgu. Lebih  baik  kita  aturkan  perjalanan  kita  sendiri  masing-masing.”
            Muiz  Lukman  tersengeh  lebar. Ada  benar  juga  kata-kata  Marina. Apatah  lagi, Marina  statusnya  pula  isteri  orang. Jika  bukan  isteri  orang  sekali  pun, memang  tidak  manis  di pandang. Lainlah  mereka  berdua  memang  saudara  terdekat.
            “Lorong  mana  rumah  awak?”
            “Lorong  3. Rumah  hujung  sekali.”terang  Marina.
            “Oh, rumah  saya  lorong  4. Mujur  tak  bersebelah.”Muiz  Lukman  melabuhkan  tawanya. Bukan  main  ceria  sekali  Muiz  Lukman.
            Kereta  perdana  silver  itu  berhenti  betul-betul  di pagar  banglo  dua  tingkat  itu. Sampai  juga  Marina  ke rumahnya. Kalut  Marina  keluar  dari  perut  kereta. “Terima  kasih  cikgu. Tolong  tumpangkan  saya.”
            “Sama-sama.”senyuman  tetap  mekar  di wajahnya. “Marina!”kuat  nama  penuh  Marina  di panggil  Muiz  Lukman.
            “Kereta  Rina, nanti  saya  minta  kawan  saya  tarik  ke kedai. Dan  kalau  ada  apa-apa, saya  call  bagitahu  Rina.”
            Marina  menganggukkan  kepalanya  dengan  secalit  senyuman.
            “Nanti  jumpa  lagi.”
            Marina  terus  masuk  ke dalam  perut  rumah  dengan  terkocoh-kocoh. Kalut  dia  melangkah  ke dalam  dan  terus  naik  ke atas.
            “Syirah!”panggil  Marina.
            “Iya  kak. Syirah  ada  di  dapur  ni.”jerit  Insyirah  dari  bawah.
            Nasuha  begitu  lena  sekali. Marina  mengatur  langkahnya  ke dapur, mendapatkan  Insyirah  yang  sedang  menjamu  makanan  yang  di masaknya  pagi  tadi.
            “Di sini  rupanya  Syirah. Akak  ingat, Syirah  ada  atas.”Marina  melabuhkan  punggungnya  di sebelah  Insyirah.
            “Laparlah  kak.”gelojoh  sekali  Insyirah  makan. Marina  hanya  tersenyum  melihat  gelagat  Insyirah. Bagaikan  setahun  tidak  makan  lagaknya.
            “Nyenyak  sekali  Nasuha  tidur?”
            “Hmm...”air  masak  suam  diteguknya  laju. “Lepas  mandi  tadi, terus  dia  tidur  kak.”
            “Siapa  yang  mandikan?”berkerut  wajah  Marina. Tadi  bukan  main  lagi, mintanya  pulang  segera. Sampai  di rumah, katanya  sudah  mandi  pula.
            “Abang  Ikram.”
            Laju  sahaja  darah  berderau  naik  ke kepala. Ikram? Kenapa  pula  dia  balik  pada  waktu  tengahari? Selalunya  Ikram  memang  tidak  pernah  pulang. Takkan  Insyirah  telefon  Ikram, minta  bantuannya?
            “Abang  Ikram  balik  ke  tadi?”
            Laju  Insyirah  menganggukkan  kepalanya. “Kebetulan  lepas  call  akak, abang  balik. Abang Ikram  balik  ambil  failnya  yang  tertinggal  tadi. Jadi  Syirah  minta  abang  Ikram  tolong.”
            “Abang  Ikram  mana  pandai.”Marina  masih  ragu-ragu.
            “Kami  mandikan  Nasuha  sama-sama. Nasuha, Syirah  pegangkan  dan  abang  Ikram  yang  jiruskan  Nasuha.”makin  panas  hati  Marina  mendengar  cerita  Insyirah. Sampai  begitu  sekali. Dipujuk  hatinya  agar  tidak  berprasangka  yang  bukan-bukan.
            “Oh. Kalau  dah  selesai, tak  apalah. Akak  nak  kena  masuk  kerja  pulak  nanti  ni. Kalau  ada  apa-apa, Syirah  calllah  akak  awal-awal  sikit. Syirah  tak  ada  apa-apa  dah  kan, nak  minta  tolong  akak?”
            Insyirah  bagaikan  berfikir. Lama  juga  dia  merenung  wajah  Marina  kosong. “Hmm, boleh  tak  akan  belikan  Syirah  bekalan  untuk  Syirah  makan, sepanjang  akak  dan  abang  tak  ada.”minta  Insyirah.
            “Hmm, iyalah. Nanti  akak  belikan, apa  yang  Syirah  boleh  makan. Akak  pergi  dulu  ye.”Marina  melangkah  keluar  dari  perut  rumahnya.
            “Alamak! Kereta  aku, kan  rosak. Macam  mana  aku  nak  ke sekolah  pulak  ni?”Marina  terlupa. Perlahan  ditepuk  kepalanya.
            Telefon  bimbitnya  yang  berada  di dalam  beg  tangannya  di ambil. Nombor  telefon  Ikram  di dail.
            “Abang  ada  kat  mana  ni?”terus  Marina  menyoal. Sudah  lupa  untuk  memberi  salam.
            “Abang  on  the  way  nak  ke pejabat. Kenapa  ni  sayang?”
            “Rina  ada  kat  rumah  ni. Kereta  Rina  pulak  rosak. Ada  tepi  jalan. Tapi  Rina  dah minta  orang  tolong  hantarkan  ke kedai  tadi.”cerita  Marina.
            “Habis  tu?”
            “Rina  nak  ke sekolah  semula, bang. Abang  patah  balik, ambil  Rina. Boleh?”
            “Sayang, abang  dah  lambat  ni. Tak  sempatlah  kalau  nak  patah  balik. Abang  ada  meeting  sekejap  nanti. Sayang  telefon  teksi  ye. Sorry  sayang.”
            “Takkan  tak  boleh?”
            “Tak  boleh  sayang. Abang  dah  lambat  ni. Sayang  panggil  teksi.”
            “Iyalah. Rina  panggil  teksi  aje.”panggilan terus  di matikan  begitu  sahaja.
            Keruh  wajah  Marina. Hatinya  memang  terasa  sakit  sekali. Rasa  sebak  sahaja. Insyirah  tadi, boleh  pula  di bantunya. Sedang  dia  isterinya  sendiri  pun  tidak  mahu  ditolongnya. Ikram  jika  dengan  orang  lain, bukan  main  sekali. Dengan  dirinya, ada-ada  sahaja  alasan  jika  diminta  bantuan.
            Kali  ini, Marina  berkecil  hati  sekali  dengan  suaminya. Malah  robek  hatinya. Tambah-tambah  lagi, bila  mengingati  apa  yang  di beritahu  Insyirah  kepadanya  tadi.
            Marina  mengatur  langkahnya  menuju  ke jalan  besar. Jam  ditangannya  dipandang. Masih  bersisa  beberapa  minit  sahaja  lagi  waktu  rehatnya. Perutnya  juga  masih  belum  terisi. Sibuk  sangat  dengan  urusan  orang  lain, diri  sendiri  juga  terbiar.
            Mudah  sahaja, airmatanya  gugur  ke pipi. Diseka  airmatanya  itu, daripada  ianya  dari  terus  menitis. Nanti  dipandang, lain pula  yang  difikir.
            Marina  betul-betul  berada  di depan  jalan  besar. Menanti  teksi  yang  lalu  lalang. Semua  teksi  yang  di tahannya, langsung  tidak  berhenti. Semuanya  sudah  penuh  dengan  penumpang. Dugaan  sungguh  hari  ini.
            Jam  ditangannya  berkali-kali  dipandangnya. Mahu  tidak  mahu, cikgu  NurAini  di telefonnya. Beritahu  masalah  yang  menimpa  dirinya. Memberitahu, dia  akan  sedikit  lewat  balik  ke sekolah. Tentang  cikgu  NurAini, dia  tidak  berapa  kisah  sangat. Takut  guru  besar  yang  tahu  nanti. Dia  juga  yang  susah. Guru  besar  Sahak, memang  tegas  orangnya. Bab-bab  begini, dia  begitu  tegas.
            “Eh, Rina. Awak  buat  apa  di sini?”sapa  Muiz  Lukman.
            Terkejut  Marina  dengan  sapaan  Muiz  Lukman. Hari  ini, entah  ke berapa  kali  dia  bertembung  dengan  cikgu  kacak  itu.
            “Cikgu  tak  balik  lagi?”
            “Saya  lepak  kat  kedai  tu.”muncung  mulut  Muiz  Lukman  ke arah  bengkel  kereta  yang  berada  tidak  jauh  dari  perhentian  itu. Juga  dilihatnya, kereta  Vivanya  sudah  tersadai  di dalam  kedai  itu. Cepat  sekali.
            “Saya  tunggu  teksi. Nak  balik  ke sekolah.”terang  Marina.
            “Kenapa  tak  cakap, awak  nak balik  rumah  sekejap  aje. Kalau  tak, saya  boleh  tunggu  tadi.”
            “Eh, saya  tak  mahulah  susahkan  cikgu. Cikgu  tumpangkan  saya  pun  dah  cukup   baik.”Marina  tidak  suka  mengambil  kesempatan. Cukuplah  setakat  itu  bantuan. Dia  tidak  suka  meminta  lebih-lebih.
            “Tak  susahlah.”         
            “Kereta  saya, lambat  lagi  ke siap?”tanya  Marina. Jika  hanya   10 minit ke 15 minit, rasanya  tidak  salah  dia  menunggu. Sekurang-kurangnya  dia  ada  alasan  lewat  ke sekolah.
            “Esok! Yup, esok  baru  siap.”
            Sedikit  sepet  mata  Marina. Panas  yang  memancarkan  ke matanya, membuat  matanya  berasa  bersilau. Tangannya  menutup  sedikit  bahagian  matanya.
            “Saya  hantarkan. Marilah!”pelawa  Muiz  Lukman  sekali  lagi.
            Marina  menggelengkan  kepalanya. “Tak  payahlah. Saya  tahan  teksi  aje. Hah, itu  pun  teksi.”tangannya  melambai-lambai. Harapannya  kali  ini  ada  teksi  yang  berhenti.
            Muiz  Lukman  hanya  tersenyum  sinis. Keningnya  dijungkitkan  berkali-kali. “Awak  nak  tunggu  teksi  lagi? Sekarang  ni, memang  susah  awak  nak  dapat  teksi.”
            Marina  hanya  diam. Betul, memang  waktu  begini  susah  hendak  dapatkan  teksi. Dari  tadi,  teksi  yang  ditahannya, langsung  tidak  berhenti. Takkan  sekali  lagi, dia  mahu  susahkan  Muiz  Lukman.
            “Marilah  saya  hantarkan. Tak  salah  tolong  rakan sekerja.”
            Marina  akur. Sekali  lagi, dia  menerima  pelawaan  Muiz  Lukman. Dia  tiada  alasan  lagi  untuk  menolak  pelawaan  Muiz  Lukman. Kali  ini, dia  memang  memerlukan  bantuan  cikgu  kacak  itu. Mujur  Muiz  Lukman  ada, sebagai  penyelamatnya.





No comments:

Post a Comment