Monday, 14 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 1

SKRIN laptop dipandangnya agak lama. Huh. Tak
ada mesej di laman sosial Facebook. Boringnya! Lantas kerana
kebosanan, dia menekan butang pangkah pada skrin laptop
dan laptop ditutup. Tubuhnya direbahkan di atas katil. Sekejap
dipusingkan ke kiri, sekejap dipusingkan ke kanan. Dia masih
terfikirkan status teman-teman seangkatan di universiti dahulu.
Semua sudah dapat kerja. Tapi dia? Masih lagi begini. Masih lagi
menggalas jawatan ‘penanam anggur’ tegar. Orang lain kalau
tanam anggur ada jugak nampak hasilnya. Tapi dia? Habuk pun
tarak!
Sudah penat dia melayangkan resume ke syarikatsyarikat
kecil mahupun besar. Tapi yang dia dapat hanya
jawapan yang mendukacitakan. Sudah setahun dia begitu.
Sampai bila dia nak harapkan alongnya, Rozairul Azwan? Suatu
hari, alongnya pasti akan ada kehidupan sendiri. Dan dia akan
terkontang-kanting sendirian.
“Su,” laungan suara Rozairul memecah lamunan
Suriya. Pantas dia bingkas bangun.
“Ya, long. Ada apa?” Dia menyoal balas.
“Ni, ada surat untuk kamu ni.”
Surat? Surat apa pulak? Suriya menggaru kepala yang
tak gatal. Surat cinta? Zaman sekarang orang dah tak mainlah
surat-surat cinta ni. Emel dan Facebook lagi laju daripada tu.
“Kejap, long.” Kardigan yang tersangkut di kerusi
belajar dicapai. Biasalah, kalau duk memerap kat dalam bilik,
dia hanya pakai seluar tiga suku dan baju tanpa lengan.
Laju kakinya menuruni tangga.
“Surat apa long?”
“Entah, tengoklah. Along letak atas almari tu.” Tunjuk
Rozairul sambil berlalu ke ruang tamu bersama surat khabar
di tangan.
Suriya mencapai sampul surat yang tertulis besar
namanya, Suriya Anggerik Murad dan cepat-cepat dia
mengoyakkan hujung sampul itu. Isi dalam dibawa keluar.
Surat apa ni? Lipatan surat dibuka perlahan-lahan. Macammacam
doa yang dibacanya. Harap-harap surat ni membawa
berita gembira. Apa yang tertulis di dada surat dibaca satu
persatu. Dan…
“Along! Along!” Kuat Suriya memanggil nama
alongnya.
“Hah? Apa dia?” Terkocoh-kocoh Rozairul berlari
mendapatkan adiknya. Manalah tahu takut-takut Suriya
perlukan pertolongan.
“Along, Su dapat temu duga kerja!” Girang Suriya
memberitahu.
“Oh, dapat temu duga kerja... ingatkan apalah tadi,”
ujar Rozairul perlahan tanpa nada. Dan berpusing. Kakinya yang
mahu melangkah kembali ke ruang tamu tiba-tiba terhenti.
“What? Su dapat temu duga kerja? Kat mana? Bila
interview?” Teruja sekali Rozairul menyoal.
“Amboi, excitednya along ni! Kejap, Su nak tengok,”
dada surat dipandang lagi.
“19 hari bulan, hari Selasa. Along start terbang bila?”
Bukan dia tak tahu tuntutan kerja Rozairul yang selalu terbang
di awan biru. Kalau masa dia nak pergi interview ni along
bekerja, patah kakilah jawabnya. Dia tak pandai memandu.
Lesen... lagilah tak ada.
“Along start terbang 22 hari bulan, okey sangatlah
tu. Tapi nanti bila along tak ada kat sini, macam mana Su nak
bergerak?” Manalah tahu kot-kot Suriya dapat kerja ni. Nanti
macam mana pulak adiknya itu nak berulang-alik ke tempat
kerja.
“Alah, teksi kan banyak. Su naik teksi je la nanti.”
“Teksi? No! Along tak setuju. Su tahu tak berapa banyak
kes jenayah yang melibatkan pemandu teksi kat luar sana.
Dengan rogol, bunuh lagi. No! Along tak setuju.” Bangkang
Rozairul.
Dia dari dulu lagi memang tak setuju kalau Suriya
keluar dengan teksi. Sebab itu dia lebih suka menghantar ke
mana sahaja Suriya nak pergi. Dia bukan mengongkong tapi
bimbangkan keselamatan Suriya. Dia tak punya adik lain, hanya
Suriya sahaja.
“Alah... along ni. Bolehlah, please...” Rayu Suriya. Dia
bukan tak kenal abangnya ni. Susah benar nak lepaskan dia
keluar seorang diri. Tambah lagi kalau dia nak keluar dengan
kenderaan awam.
“No,” Rozairul masih berdegil.
Suriya mengeluh. Susahnya along ni!
“Okey, let say Su dapat kerja ni. Macam mana Su nak
pergi kerja kalau along pulak terbang? Takkan Su kena bercuti?
Alasan apa pulak Su nak bagi? Tak logiklah along,” ujar Suriya
cuba memancing reaksi Rozairul. Manalah tahu kalau-kalau
Rozairul berubah fikiran.
Rozairul terdiam. Mungkin sedang berfikir logiknya
alasan Suriya.
“Hmm… Tapi…”
“Okey, okey... Kalau along tak puas hati lagi, nanti
Su tumpang Nini macam biasa, macam masa belajar dulu tu.
Bolehkan long?” Rayu Suriya lagi.
Bukan senang dia nak lepas dari ‘sangkar emas’
alongnya. Dah bermacam-macam cara dia guna tapi macam
tak berkesan aje. Kawalan yang along kenakan macamlah dia ni
puteri lilin, akan cair apabila terkena panas.
“Yalah, yalah. Tapi janji, Nini yang akan hantar dan
ambik Su bila along tak ada kat sini?” Berat hati Rozairul
memberikan persetujuan. Tapi disebabkan nama Nini yang
naik, serba sedikit hatinya bersetuju.
“Ya, ya along.” Terpaksa Suriya menjual nama Nini
sedangkan dia tak tanya lagi sahabat baiknya itu.
Nini kerja di Kajang ni aje, dia pulak dapat tawaran di
Shah Alam. Macam terlalu jauh pulak. Dia pernah tinggal di sana
dulu. Belajar di universiti yang terletak di ibu negeri Selangor
itu. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir sejam jugak tu.
Tapi disebabkan along, terpaksalah dia bohong.
“Yes!” Suriya bersorak.
“Amboi... sukanya! Kerja tu belum tentu dapat okey,”
Rozairul memberikan peringatan. Dalam hatinya masih berat
mahu melepaskan Suriya.
“Ya, Su tahu!” Suriya terus menghilang ke biliknya.
Komputer riba dia onkan kembali, sudah tak sabar
mahu beritahu kepada teman-teman di alam maya. Yang
penting status di Facebook kena besar-besar. Barulah gempak!
“AKU BOLEH buat. Aku boleh buat,” Suriya berkata kepada
dirinya sendiri. Perasaan gementar usah cakaplah... Biasan
dirinya dari cermin besar dipandang lagi.
“Su, dah siap ke belum?” Suriya tersentak dengan
laungan Rozairul.
“Dah, long.” Suriya bergegas keluar dari bilik
mendapatkan alongnya.
“Okey ke tak ni? Pucat semacam je along tengok,”
tegur Rozairul.
“Okey, tak ada apa-apalah along,” nafi Suriya.
Takkan nak cakap kat along yang dia tengah rasa tak
sedap hati. Nanti tak pasal-pasal along tak bagi dia ke syarikat
temu duga ni. Lagi bala! Sedangkan ini sajalah peluang
keemasannya untuk keluar dari kepompong along.
“Dah, jomlah.”
Perjalanan yang memakan masa hampir sejam itu
mereka tempuhi dengan pelbagai ragam pengguna jalan raya.
Ada yang bawa kenderaan terlalu perlahan di tengah-tengah
lebuh raya dan macam-macam ragam lagi. Tingkah mereka ni
buat Suriya gerun mahu mengambil lesen memandu. Takut ada
yang langgar buntut keretanya nanti.
“Dah sampai,” tiba-tiba Rozairul bersuara. Lantas
Suriya menyalami tangan Rozairul.
“Doakan Su dapat kerja ni ya long,” sempat Suriya
menitipkan pesan sebelum melangkah keluar dari perut kereta.
“Baiklah, untuk adik along ni... along sanggup buat apa
saja,” balas Rozairul.
Suriya memandang ke arah kereta alongnya sehingga
hilang dari pandangan mata. Kemudian, dengan langkah yang
memberat, Suriya mengatur langkah masuk ke dalam bangunan
besar itu. Matanya melilau memandang persekitaran ruang lobi
bangunan itu. Terasa jakun pula.
“Err.. Assalamualaikum, saya nak tanya. Bahagian ni
kat mana?” Suriya meringankan mulut bertanya di kaunter
pertanyaan. Surat temu duga di tangan ditunjuk kepada
perempuan yang menjaga kaunter itu.
“Wa’alaikumussalam. Oh bahagian ni, cik kena naik lif,
pergi ke tingkat lima, lepas tu belok kanan. Cik akan jumpa
meja yang tertulis ‘Setiausaha Encik Iddin’. Cik kena daftar kat
situ ya,” jawab perempuan itu.
“Okey, terima kasih.” Ucap Suriya penuh sopan. Orang
berbudi kita berbahasa. Cewah! Skema ayat tu!
“HMM... PERKENALKAN serba sedikit tentang diri awak,” salah
seorang daripada tiga orang panel penemu duga yang sedang
duduk berbaris di hadapan Suriya mula mengajukan soalan.
“Assalamualaikum dan selamat pagi. Nama saya Suriya
Anggerik binti Murad. Saya berasal dari Terengganu tapi sudah
lama menetap di Selangor kerana mengikut abang saya yang
bekerja di sini. Saya berkelulusan Bachelor in Bussiness And
Computing dari Management and Science University.” Ujar Suriya.
Dia turuti juga sedangkan sudah tertulis semua itu di dalam
resumenya.
Terangkat sedikit kepala panel yang duduk paling
hujung dalam deretan penemu duga itu ketika Suriya menyebut
nama pusat pengajian tingginya.
“Okey, boleh awak terangkan sistem yang dah awak
buat ni?” Lelaki yang duduk di tengah menyoal.
“Okey,” lantas Suriya menerangkan satu persatu
perjalanan sistem jualan atas talian yang telah dia hasilkan
ketika di tahun akhir dahulu. Hampir setengah jam masa yang
dia perlukan untuk membuat penerangan kepada panel-panel
di hadapannya ini.
“Nampaknya kursus kerja awak lebih kepada
pembangunan web. Hmm… Daripada resume awak ni, awak
tak pernah lagi ada pengalaman bekerja sebelum ni. Jadi,
apa jaminan awak yang syarikat kami patut mengambil awak
bekerja?” Serius soalan dilontarkan kepada Suriya.
Dia menarik nafas perlahan sebelum menjawab soalan
itu. Sedikit tercabar kerana dia sememangnya tidak punya
pengalaman kerja. Kehadirannya sekarang ni umpama suatu
perjudian. Untung sabut timbul. Untung batu tenggelam.
Harapnya untung sabut. Dia dah boring menyandang jawatan
‘penganggur tak terhormat’!
“Ya, kalau diikutkan... saya memang tak ada
pengalaman kerja tapi ini tidak boleh dijadikan sebagai kayu
pengukur tahap kemampuan saya. Untuk sistem akhir ni
memang saya bangunkan sistem web kerana permintaan
pasaran sekarang sangat memerlukan sistem begini. Sekarang,
sistem maklumat tidak hanya bergantung kepada sistem offline
kerana sistem online semakin mendapat tempat dan mendapat
permintaan yang tinggi. Melalui sistem online, risiko untuk
berlaku kehilangan data berkurang daripada sistem offline
akibat sistem down.” Senafas Suriya menjawab. Dalam hati dia
berdoa, harapnya dapatlah dia kerja ni.
“Hmm... okey, pihak kami akan hubungi cik jika cik
diterima bekerja di sini. Jika dalam masa seminggu cik tak dapat
apa-apa panggilan daripada pihak kami, maknanya rezeki cik
bukan di sini. Terima kasih,” lelaki yang duduk paling hujung
bersuara akhirnya. Wajah lelaki itu memang Suriya tak nampak
sebab asyik menunduk aje.
Lantas, Suriya angkat punggung. Langkah diatur
keluar dari bilik sederhana besar itu. Sambil melangkah,
bibirnya mengeluh perlahan. Kata-kata lelaki tadi masih
terngiang di fikirannya.
“Okey, pihak kami akan hubungi cik jika
cik diterima bekerja di sini. Jika dalam masa
seminggu cik tak dapat apa-apa panggilan
daripada pihak kami, maknanya rezeki cik
bukan di sini. Terima kasih.”
Kalau tak dapat kerja ni, kat mana lagilah dia nak
layangkan resume ni. Dia dah letih!
Sampai di lobi, dia terus menelefon Rozairul dan
menyuruh alongnya datang mengambilnya. Tidak sampai lima
belas minit, kelibat Nissan Latio Sport milik Rozairul kelihatan.
“Macam mana? Dapat tak?” Muka cemberut Suriya
dipandang sekilas. Dengan muka macam tu... nampak gaya
macam tak, je.
Suriya diam. Malas dia nak fikir pasal tu. Kata-kata
lelaki tu yang buat dia tambah sakit hati. Kerek betul mamat tu!
Kalau pekerja tu, buatlah macam makan gaji. Ni tak, berlagak
macam pejabat tu dia yang punya!
“Su?”
“Apa dia along?” Berangin Suriya menyoal balas.
“Soalan along, Su tak jawab pun lagi.” Stereng dipulas
memasuki simpang ke pusat bandar.
“Entah! Macam tak ada harapan je. Kereklah penemu
duga tadi tu. Syarikat tu macamlah syarikat bapak dia. Nak
berlagak lebih-lebih!” Di luar sedar, Suriya melepaskan amarah
yang terbuku di dalam hati.
Rozairul tersenyum. Haih adikku! Memang susah nak
dapat kerjalah kalau macam ni. Belum apa-apa dah pandai nak
marah pegawai kat situ.
“Eh, kita nak ke mana ni?” Tiba-tiba Suriya menyoal.
Baru tersedar perjalanan mereka yang menuju ke arah pusat
bandar.
“Makan. Along laparlah. Su tak lapar ke?”
Lapar? Dia pandang jam di papan pemuka kereta. 3.30
petang. Dan tak sengaja dia menekup perut. Barulah dia terasa
lapar. Adoilah! Setengah hari dia tak makan. Cipta rekod aku ni!

No comments:

Post a Comment