Monday, 14 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 2

PINTU kereta Iddin tolak malas. Seharian di pejabat,
badannya sudah keletihan. Terasa sangat lesu. Mana tak lesunya
kalau selepas subuh lagi dia dah keluar bekerja. Hampir tengah
malam baru sampai di rumah. Tak macam orang lain. Petang
dah sampai di rumah. Badannya dah macam robot. Asyik ingat
kerja, kerja, kerja... yang tak pernah habis.
“Baru balik Din?” Satu suara menyapa.
Iddin mencari arah datangnya suara itu. Mak Yam
rupanya. Senyuman dilemparkan ke arah Mak Yam, penjaganya
sejak kecil. Wanita itu sudah dianggap seperti uminya sendiri.
Abi sibuk dengan kerja. Umi pulak dah lama meninggal sejak
dia kecil lagi.
“Ha’ah. Mak Yam tak tidur lagi?”
“Tadi Mak Yam dah nak masuk tidur tapi terasa nak
check pintu ni, takut-takut tak kunci lagi.”
“Oh. Din naik dululah Mak Yam.” Pinta Iddin dan
menapak ke arah tangga.
Mak Yam memandang belas belakang anak majikannya
itu. Dia sangat kasihankan Iddin. Sejak kecil tak pernah merasa
kasih sayang seorang ibu. Abinya jauh sekali. Abinya lebih
pentingkan kerja, sebab itulah hubungan mereka dua beranak
tak berapa baik.
Jika Iddin ada di ruang tamu, Tuan Ikmal akan memerap
di dalam bilik kerjanya. Masa makan pun susah nak nampak
mereka dua beranak duduk semeja. Seperti dua orang musuh
terperangkap di dalam sebuah rumah. Mak Yam mengeluh. Dia
tak boleh berbuat apa-apa. Hanya sekadar memandang sahaja.
Dia tidak punya hak untuk bersuara. Sekadar orang gaji di
rumah besar itu, apalah sangat yang dia boleh suarakan. Mak
Yam berlalu masuk ke dalam biliknya.
Di dalam bilik, Iddin merebahkan tubuhnya di atas
katil. Dia baru saja mandi. Orang cakap mandi malam tak elok,
tapi semua tu tak pernah dia percaya. Tubuhnya dibiarkan
terdedah disapa penghawa dingin. Hanya sehelai boxer yang
tersarung di pinggangnya. Selepas mandi, matanya terasa segar
kembali. Sudah tak rasa mengantuk. Dia mencapai iPad di atas
almari kecil bersebelahan dengan katilnya.
Jarinya mula berlari di atas skrin sesentuh itu. Ikon
Facebook dia buka. Dia bukanlah seorang yang fanatik dengan
laman sosial sebegitu tapi sesekali jika tiada kerja dia buka juga.
Sekadar melihat-lihat status orang lain. Nak harapkan status dia
memang taklah. Dia malas nak buat status bagai ni. Entah, rasa
macam tak selesa bila kehidupan peribadi diuar-uarkan kepada
umum. Kemudian, dia letak kembali iPad di tempat asalnya.
Dia terpandangkan sesuatu. Laci ditarik keluar.
Matanya merenung sekeping gambar. Gambar seseorang yang
tidak pernah bertentang mata dengannya. Seseorang yang telah
dijemput ilahi 27 tahun lalu. Dia, Puan Munirah, ibu kandung
Iddin Amsyar. Dicapai gambar itu dan direnungnya lama. Terasa
rindu itu sangat membuak-buak. Gambar ditekap di dada,
simbolik kepada memeluk tuan empunya gambar. Sungguh!
Dia rindukan uminya. Dia rindu untuk memanggil wanita itu
umi. Air mata jantannya luruh setitis demi setitis, menuruni
lekuk pipi dan terus mengalir hingga ke dagu.
Kepala diletakkan di atas bantal. Matanya sudah
mengantuk. Dia tertidur sambil memeluk gambar itu. Esok dia
ulangi lagi aktiviti yang sama. Walaupun terasa bosan, terpaksa
juga dia lakukan.
SURIYA BANGUN awal pagi itu. Memang selalunya dia bangun
awal. Tapi tak tetap waktu aje. Selesai mandi, dia terus menapak
ke dapur. Rambut yang masih basah sedang elok berbungkus
dengan tuala. Kabinet dibuka, mencari apa-apa makanan yang
boleh mengalas perut. Lapar ni. Rozairul pulak tak ada, dah
bertugas di awan biru. Suriya tarik paket minuman cereal.
Hmm... Bolehlah daripada tak ada langsung.
Sambil menunggu air masak, dia menekan butang
on pada radio. Terdengar suara Fara Fauzana dan AG riuh
berceloteh tentang isu semasa. Tersenyum panjang Suriya
mendengarkan celoteh mereka berdua. Kelakar sangat!
Ting! Suriya mencapai cerek elektrik, air panas dituang
ke dalam mug berisi cereal.
‘Alamak! tersilap tuang. Tertuang banyak air panas
pulak! Lambat lagilah nak sejuk ni.’ Bisik hati Suriya. Ah, tak
apalah.
Sementara menanti air sejuk, Suriya memanjat tangga,
mahu ke biliknya. Tuala di kepala dileraikan dan disidai pada rak.
Ketika mahu menyikat rambut, matanya terpandangkan telefon
bimbit yang berkelip-kelip. Siapa pulak ni? Dahinya berkerut
melihat nombor telefon yang terpapar di skrin. Nombor yang
tidak dikenali. Sedang berfikir-fikir, telefon bergetar sekali lagi.
Tawakal ajelah. Mungkin orang silap nombor.
“Helo.”
“Helo, selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Cik
Suriya Anggerik?” Sapa suara di hujung talian. Sah, memang
orang ni call dia.
“Ya saya,” Suriya rasa macam orang bersalah pulak.
“Begini cik. Saya Noraini, wakil dari syarikat IMIA
Technology Sendirian Berhad. Minggu lepas, cik ada datang
temu duga di syarikat kami, kan?”
“Ya, saya.” Dada Suriya sudah berdebar kencang. Terasa
macam peluangnya cerah. Tapi dia tak boleh teruja berlebihan.
Biar wakil syarikat tu beritahu keputusan dahulu.
“Selepas beberapa kali saringan, pihak atasan
bersetuju memilih cik untuk mengisi kekosongan jawatan ini.
Cik diminta melaporkan diri tiga hari lagi.” Beritahu Noraini.
Suriya terdiam. Dia terkedu sebenarnya. Masih tak percaya.
“Cik, cik... masih ada lagi ke?” Noraini kepelikan.
Apasal senyap aje cik ni?
“Hah? Ya, ya. Ada lagi ni. Sorry, saya terkejut sekejap.”
Gugup Suriya menjawab.
“Okey, cik datang ke pejabat kami tiga hari lagi ya.
Terima kasih.”
“Sama-sama.” Ucap Suriya. Dia pandang kosong telefon
yang telah senyap itu. Rasa terkejutnya masih belum hilang.
“Aku dapat kerja tu?” Suriya tepuk pipi sendiri.
Sah! Dia tak mimpi. Memang betul, dia dapat kerja tu!
Dia memang tak berharap sangat dengan kerja tu. Kalau tak
dapat kira bagus juga. Pekerja kat situ pelik semacam aje. Hari
dia pergi temu duga tu pun dah terasa mereka semua macam
menyombong aje! Tapi dah dapat ni, terima ajelah. Redahlah
Suriya oi!
Dia mahu menelefon alongnya.
“Eh, along kerjalah!” Dia tepuk dahi.
“Ha, call Nini ajelah.” Lalu, dia mencari nombor telefon
Nini.
“Weh, apa hal kau call aku ni? Aku tengah kerjalah.”
Suara Nini berbisik di hujung talian. Suriya ni telefon salah
masa, hari ni ada rondaan daripada orang atasan ke pejabatnya.
Ini pun pegawainya sudah mencerlung tajam kerana dia sedang
menjawab telefon.
“Ala kau ni, aku baru aje call dah kena sound.” Suara
berjauh hati Suriya sudah keluar.
“Eh, aku tak ada masa nak dengar kau nak merajuk
bagai. Lepas kerja hari ni aku pergi rumah kau, hari ni orang
besar turun melawat ofis ni.” Cengeng sungguh anak bongsu
ni! Cemuh Nini.
Belum pun sempat Suriya berkata, talian sudah
dimatikan. Suriya mendengus. Orang lain ada juga masa sibuk.
Aku aje yang tak pernah kenal apa itu sibuk. Dah nama pun
penganggur, jadi nak sibuk ikut celah mana? Mestilah ada
masa lapang je memanjang. Eh, silap-silap. Dia bukan lagi
penganggur. Baru aje dapat kerja ni. Lepas ni, dia kenallah
makna sibuk itu. Telefon diletak di atas almari di dapur. Cereal
yang sudah sejuk dihirup perlahan menikmati minuman itu.
PETANG ITU, seperti yang dijanjikan, Nini datang ke rumah
Suriya.
“Nasib kau datang, kalau tak datang tadi, malas aku
nak kawan dengan kau!” Jelas nada berjauh hati Suriya. Sambil
tangannya ligat membuka pintu pagar.
“Eleh, kalau tak kawan dengan aku, kau nak kawan
dengan siapa?” Kata Nini sambil melenggang masuk ke
perkarangan rumah abang Suriya.
“Oit! Kau masak apa ek? Aku laparlah, tak sempat nak
rehat tengah hari tadi. Bos besar datanglah.” Nini menggosok
perut, tanda lapar yang amat sangat.
“Amboi! Kau ingat aku ni tukang masak kau? Asal
datang rumah aku, makan yang kau tanya awal-awal.” Rungut
Suriya. Dia sudah bercekak pinggang.
“Habis tu, asal datang rumah kau aje, perut aku terus
rasa lapar.” Balas Nini. Dia duduk di atas sofa di ruang tamu.
Suriya masuk ke dapur. Langsung tidak dihiraukan
Nini di ruang tamu. Dia mencapai mug dan tangannya menarik
pintu peti sejuk. Air ribena yang telah dia sediakan di dalam jag,
terus dituang ke dalam mug.
“Weh! Ada makanan tak?” Suara Nini yang mendadak
itu telah mengejutkan Suriya. Laju tangannya mengurut dada.
Nasib baik mug di tangan kirinya tak terjatuh ke lantai.
“Hoi! Apa sergah aku tiba-tiba ni? Nasib baik aku tak
ada sakit jantung!” Mencerlung mata Suriya memandang Nini.
Geram sungguh dia.
Nini sikit pun tak hairan dengan kata-kata Suriya.
Sebaliknya, dia menonong menjengah periuk di atas dapur.
Tunggu kawan baiknya ini pelawa, memang taklah! Mau
kebulur aku menunggu! Omel hati Nini. Ada lauk asam pedas!
Laju tangannya mencapai pinggan dan diisinya nasi. Dia sudah
terlebih hafal setiap selok-belok rumah ni. Dia dah biasa sangat
tidur di sini. Jika abang Suriya bertugas, Suriya pasti akan
mengajak dia tidur di rumah ini.
“Amboi! Laju aje bab makan!”
Nini buat bodoh aje. Dia terus menapak ke meja makan.
Nini kalau dah makan, memang tak pandang kiri dan kanan.
Ibarat kata, kalau mak mertua lalu, confirm dia tak nampak!
“Oit! Apa hal yang penting sangat kau nak cakap kat
aku tu? Tak menyempat.”
“Aku dah dapat kerja,” beritahu Suriya. Dia pandang
Nini yang sedang menjilat jarinya. Eii! Tak senonoh betul anak
dara sorang ni!
“Serius? Kat mana?” Membulat mata Nini. Nampak
sangat terkejut.
“Yang aku pergi temu duga minggu lepas tu. Tapi aku
rasa macam nak tolak aje.”
“Hoi! Apa kes pulak kau nak tolak? Hii… Bukan senang
nak dapat kerja sekarang ni. Isy, macam-macam hallah kau ni!”
Nini tak puas hati. Dah dapat kerja tu kira bersyukurlah sikit.
“Aku tak berkenanlah dengan penemu duga tu, entah
apa-apa entah.”
“Eh, makcik. Kau bukannya kena kerja dengan dia
nanti. Dia tu tukang interview kau aje. Yang kau susah hati
sangat ni kenapa?”
“Habis tu?”
“Terima ajelah. Sekarang ni bukan senang tau nak
dapat kerja. Tolak tuah tau kalau kau tolak tawaran ni. Dahlah
syarikat besar. Kalau aku, dah lama aku rembat!” Nini bangun
dan menghilang ke dapur.
Suriya mengeluh. Dia tenung lama almari hiasan di
hadapannya. Dalam kepalanya sedang menimbang cadangan
Nini dan juga rasa hatinya. Dia tak tahu nak ikut yang mana.
Ikut rasa hati atau ikut cadangan Nini. Hmm…
“Hoi, fikir apa lagi tu? Tak payahlah nak serabutkan
kepala fikir sangat. Kalau aku jadi kau, aku terima aje. Senang.
Tak payah nak bebankan kepala, fikir itu, fikir ini.” Nini tepuk
bahu Suriya perlahan.
“Hmm… Nantilah aku fikirkan. Tapi… Kalau aku
terima tawaran ni, macam mana aku nak pergi kerja? Jauh
jugak syarikat ni, kat Shah Alam sana.” Hampir-hampir dia
terlupa pasal itu. Masalah terbesar tu.
“Hmm… Yang tu lagi satu masalah,” ada lagi satu
masalah rupanya.
Nini terfikir-fikir. Bukan dia tak kenal abang si Suriya
ni. Itu tak boleh, ini tak boleh. Semua nak dikongkongnya.
Kadang-kadang dia jatuh kasihan dengan Suriya. Tiba-tiba,
sesuatu terlintas dibenaknya.
“Aha! Kau kenal kan jiran sebelah rumah aku tu. Pak
Mail.”
“Pak Mail? Kenal, kenapa dengan Pak Mail?” Kening
Suriya sudah berkerut. Apalah peliknya soalan kawan aku ni?
Demam ke, apa? Tiba-tiba tanya pasal Pak Mail.
“Pak Mail kan driver teksi. Alah, Pak Mail okey, tak
macam driver teksi yang lain tu. Macam ni, apa kata kau slow
talk dengan abang kau. Aku slow talk dengan Pak Mail. Harapharap
semuanya okey.”
“Hmm… Bergeliga jugak otak kau ni.” Selamba Suriya
menggosok kepala Nini. Tapi sempat ditepis oleh Nini.
“Heh! Kepala jangan main aa…”
Suriya ketawa lepas. Tahu sangat dengan Nini yang
tak suka orang usik kepala dia. Setengah jam kemudian,
kelam-kabut Nini meminta diri untuk pulang. Emaknya sudah
bising menelefon bertanyakan kenapa dia masih belum pulang
sedangkan hari sudah malam. Tinggallah Suriya keseorangan
di rumah itu.

No comments:

Post a Comment