Monday, 14 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 3

“TERIMA kasih pak cik,” ucap Suriya kepada
pemandu teksi yang dikenali sebagai Pak Mail itu.
“Sama-sama. Petang ni pukul berapa nak pak cik
datang ambil?”
“Pukul 6.00 petang. Pak cik dah ada nombor telefon
saya, kan?”
“Ada. Baiklah, pak cik pergi dulu.”
Selepas kelibat teksi Pak Mail hilang dari pandangan
mata, Suriya menegak di hadapan bangunan pejabat Syarikat
IMIA Technology Sendirian Berhad. Dia terpaksa menerima
cadangan Nini supaya menggunakan khidmat Pak Mail sebagai
pemandunya. Tambahan pula Rozairul masih lagi bertugas di
awan biru. Penerbangannya delay kerana keadaan cuaca yang
buruk di Jepun. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepas perlahan.
Akhirnya lambat-lambat dia mengatur langkah ke lif untuk ke
tingkat lima, sepertimana yang dikhabarkan oleh Cik Noraini
ketika menelefonnya tiga hari lepas.
“Assalamualaikum, saya Suriya Anggerik Murad. Boleh
saya berjumpa dengan Cik Noraini?” Suriya terus menyoal di
sebuah meja yang tertulis Setiausaha Encik Iddin.
“Wa’alaikumussalam. Jadi inilah Suriya ya? Calon yang
datang temu duga minggu lepas?”
“Ya, saya.”
“Isy, tak payah nak formal sangatlah. Panggil aje akak
ni Kak Ani. Panggilan ‘cik’ tu tak kenalah Suriya, akak dah
kahwinlah. Dah ada anak pun.” Noraini ketawa perlahan.
Kelakar pula dia tengok rakan sekerja barunya ini.
Nampak masih takut-takut. Suriya pula hanya ukir senyum
paksa. Dia gugup sebenarnya.
“Akak ni sementara aje jadi setiausaha Encik Iddin.
Meja akak kat sana tu. Akak kerani biasa aje, tapi sebabkan
setiausaha Encik Iddin cuti, akaklah yang terpaksa ganti tempat
dia. Mari, akak bawa awak jumpa Encik Iddin.” Ramah sungguh
mulut Noraini bercerita tentang itu dan ini.
Suriya ekori langkah Noraini dari belakang. Noraini
ketuk pintu bilik yang tertulis Iddin Amsyar Ikmal.
“Masuk!”
Noraini tolak pintu bilik itu sejurus mendengar
laungan bos besar di dalam.
“Encik, ini Suriya yang lapor diri hari ni untuk jawatan
web developer.” Beritahu Noraini sedangkan wajah bos besar itu
sibuk menunduk. Apabila mendengar suara Noraini, barulah
terangkat sedikit kepalanya.
“Hmm… Akak kenalkan kepada semua pekerja dan
tunjukkan di mana meja kerja dia.” Tanpa nada Iddin menutur.
Mata lelaki itu kembali memandang kertas-kertas di tangannya.
Erk! Ini ke bosnya? Apasallah macam orang tak
berperasaan? Hmm… Entah berapa lamalah aku boleh tahan
dengan orang begini. Suriya mengomel di dalam hati.
“Okey bos!”
Suriya bergerak keluar dari bilik itu, masih mengekori
langkah Noraini.
“Anggerik.” Tiba-tiba mulut Iddin memanggil. Langkah
Suriya mati. Dia panggil aku ke? Lambat-lambat dia berpusing.
“Selamat datang ke IMIA Technology Sendirian
Berhad.” Ucap bibir itu. Masih lagi dalam mood tak berperasaan.
Kepalanya juga masih seperti tadi.
Bos aku ni lebih suka pandang fail tu daripada pandang
aku ke? Muka aku ni tak cantik ke? Omel hati Suriya.
“Terima kasih,” balas Suriya. Dia sambung kembali
langkah kaki yang terhenti seketika tadi.
Di muka pintu bilik, mereka bertembung dengan
seorang lelaki yang mahu masuk ke dalam bilik bos besar itu.
Noraini berbalas senyum dengan lelaki itu.
“Err… Kak Ani,” Suriya memanggil Noraini sejurus
pintu bilik Encik Iddin tertutup rapat. Ringan mulutnya mahu
bertanyakan tentang bosnya itu.
“Ya?”
“Err…”
“Suriya nak tanya pasal Encik Iddin, kan? Su janganlah
ambil hati dengan Encik Iddin tu. Dia memang macam tu.
Bukan dengan Su aje dia macam tu, dengan semua perempuan
dia macam tu. Entahlah. Susah akak nak cakap. Dengar dari
mulut ke mulut, dia jadi macam tu sebab putus tunang. Tapi
akak tak tahulah betul ke tak cerita tu. Ada jugak orang cop dia
gay. Isy, entahlah.” Cerita Noraini.
“Eh, tak apa ke akak panggil Su aje ni? Akak ni sukasuka
hati aje panggil orang, kan.” Noraini ketawa.
“Tak apa kak.” Suriya senyum. “Err… Lelaki tadi tu
siapa?”
“Oh, yang tu sepupu Encik Iddin, Shahrul namanya.”
“Oo…”
“Okey, jom kita ke sesi perkenalan pula.” Ajak Noraini.
Suriya akur.
SEHARIAN SURIYA di pejabat itu pada hari pertama. Apa yang
dia rasa cuma satu, bosan! Selepas sesi perkenalan bersama
Noraini pagi tadi, dia terus ke mejanya. Dia pandang ke kiri,
Maria sedang sibuk merenung skrin komputer. Dia pandang ke
depan, Huzair sedang membuat lakaran. Tak tahu lakaran apa,
tapi nampaknya seperti model pembangunan web.
Suriya berpeluk tubuh. Kerjanya dari tadi hanya
memerhatikan gelagat rakan sekerja. Ruang mejanya masih
bersih tanpa sebarang fail. Getaran telefon bimbitnya dari dalam
laci mengejutkan Suriya. Pantas dibawa keluar telefon itu.
Mesej daripada Nini.
Salam. Macam mana first day kau kat sana?
Seronok?
Wsalam. Boring!
Weh! Apa kes pulak boring ni?
Tak ada kerja.
Pulak!
“Su.”
“Hah? Ada apa kak?” Suriya terkejut. Mana tak
terkejutnya kalau tengah-tengah best ber’SMS’ dengan Nini,
tiba-tiba Noraini menegur.
“Tak nak balik ke? Sudah pukul 6.00 ni.” Ujar Noraini.
Di bahunya sudah tersangkut beg tangan. Pantas mata Suriya
memandang jam di pergelangan tangan.
“Oh. Nasib baik akak tegur, kalau tak, sampai ke
malamlah saya kat pejabat ni.” Sahut Suriya sambil bawa keluar
beg tangan dari dalam laci. Meja Maria dan Huzair juga sudah
kosong tak berpenghuni.
“Tak apa kalau sampai ke malam pun. Tu Encik Iddin
ada lagi.” Encik Iddin ada lagi? Laju kepala Suriya tertoleh
pandang ke bilik bos besarnya. Masih cerah lagi bilik itu.
“Dia tak balik lagi? Memang selalu dia balik lewat ke
kak?” Suriya menyoal sambil jalan beriringan dengan Noraini.
“Entahlah. Tapi biasanya kalau akak nak balik, bilik
Encik Iddin tu masih terang-benderang. Pukul berapa dia balik
tak tahulah akak.”
“Oh.”
Sampai di lobi syarikat, mereka berpecah kerana Pak
Mail sudah menunggu Suriya di depan bangunan syarikat.
“Dah lama ke pak cik sampai?” Soal Suriya pada Pak
Mail.
“Baru lagi Su.”
Pukul 8.00 malam baru dia sampai di rumah abangnya
akibat kesesakan lalu lintas yang teruk. Pertama kali Suriya
terperangkap di dalam kesesakan jalan raya pada waktu puncak.
Ruang tamu rumah terang, tanda lampu terpasang di ruang itu.
Along dah balik ke? Dia tertanya sendiri.
Usai mengunci pintu pagar, dia merapati pintu utama.
Tombol pintu dipulas. Tak berkunci? Masuk saja ke dalam
rumah, dia sudah ternampak batang tubuh abangnya di ruang
tamu. Allah!
“Su ke mana?” Rozairul terus bertanya. Dia tak
menunggu lama. Serius wajah itu merenung adiknya.
“Err… Along ingat tak interview yang Su pergi minggu
lepas tu? Yang kat Shah Alam tu,” Suriya berdiri di depan
Rozairul bagai pesalah yang bakal menerima hukuman.
“Hmm… Ingat, kenapa?” Muka Rozairul masih serius.
Kalau ikut hati, memang dia nak marah Suriya. Tapi sebelum
tu, dia perlu bertanya dahulu.
“Tiga hari lepas orang dari syarikat tu telefon. Su
diminta lapor diri hari ni. Su dah cuba call along tapi tak dapat,”
terang Suriya.
“Kenapa tak mesej aje along? Sekurang-kurangnya
along tahu ke mana adik along pergi. Susah sangat ke Su?”
Sedikit memprotes nada Rozairul.
“Su pergi dengan apa?”
“Err… Su, Su pergi dengan teksi.” Tergagap-gagap
Suriya menjawab. Di dalam kepalanya ligat berfikir sama ada
mahu menipu Rozairul atau berterus-terang saja. Akhirnya
bibirnya memilih untuk berterus-terang. Lebih baik alongnya
tahu sekarang. Keadaan akan jadi lagi buruk jika dia tak
berterus-terang sekarang. Silap-silap, Rozairul suruh dia
berhenti. Tak ke naya!
“What? Dulu Su cakap nak pergi dengan Nini, macam
mana pulak pergi dengan teksi ni?” Rozairul naik angin.
“Err… Nini tak dapat hantar sebab tempat kerja Su
jauh dari tempat kerja dia. Driver teksi yang ambil dan hantar
Su ni bukan orang lain, jiran Nini jugak. Dia memang kenal
Pak Mail ni.” Bersungguh dia memberitahu kedudukan sebenar.
Janganlah Rozairul tak bagi dia naik teksi Pak Mail. Dengan apa
pulak dia nak pergi kerja nanti?
“Mulai esok, Su tak payah pergi dengan driver teksi tu.
Abang yang akan hantar dan ambil Su nanti.” Suriya tercengang
dengan kata-kata Rozairul.
“Hah? Apa along ni? Masa along ada kat darat ni,
bolehlah along ambil dan hantar Su. Tapi bila along bertugas
nanti, siapa nak hantar dan ambil Su? Tolonglah along. Tolong
jangan jadi macam budak-budak. Su nak ambil lesen kereta,
along tak bagi. Bila Su nak naik teksi, tak boleh. Sampai bila
along nak kongkong Su? Sampai masanya nanti, Su dipinang
orang. Takkan masa tu along nak tahan Su suruh duduk bawah
ketiak along lagi? Huh!” Suriya melepaskan rasa yang terbuku
di dalam hati. Dia geram.
Rozairul terhenyak. Dia tak sangka adiknya akan
berkata begitu. Adik yang dia tatang sejak kecil tiba-tiba naik
angin. Rozairul bersandar pada sofa. Silapkah jika dia menjaga
setiap langkah Suriya? Sikit pun dia tak berniat nak kongkong
Suriya.
Suriya menyambar kasar beg tangannya dan berlalu
ke bilik. Masuk saja di bilik, dia melemparkan beg tangannya
ke atas katil sebelum badan dihempas kasar ke atas tilam.
Huh! Rasa marahnya masih belum surut. Sikap mengongkong
alongnya sangat-sangat ketara. Sikap mengongkong itu yang
menjadikan dia memberontak. Buat itu tak boleh, buat ini tak
boleh. Siapa tak memberontak?
Bunyi telefon dari dalam beg tangan mengejutkan
Suriya.
“Siapa pulak yang mengacau malam-malam ni?
Aku dahlah tengah angin ni!” Suriya membiarkan deringan
itu senyap sendiri. Malas dia nak bercakap time ni. Namun,
telefonnya tak terus diam. Telefon pemberian Rozairul itu
kembali berdering minta diangkat.
“Ya Allah! Kau berbunyi lagi? Tak faham bahasa ke apa
orang yang telefon ni?” Suriya mendengus. Dia benar-benar
geram.
Lantas dibawa keluar juga telefon dari dalam beg
tangan. Dia pandang skrin telefon sekilas sebelum melayangkan
jari ke permukaan skrin.
“Hmm… ada apa call aku ni?” Suriya menyoal dengan
nada malas. Sememangnya dia tak ada mood nak layan si Nini
bersembang bagai.
“Macam mana dengan kerja kau? Okey?”
“Tadikan kau dah tanya masa aku kat ofis. Aku nak
cerita apa lagi kalau jawapannya masih sama?” Nak aku cakap
bahasa Tamil ke baru faham? Sambung Suriya di dalam hati.
“Tadi kau cerita sekerat jalan aje. Dua kali aje kau balas
mesej aku, lepas tu terus senyap. Huh!”
“Dah tiba masa balik, buat apa lagi. Aku pun nak
cabutlah.”
“Weh, ceritalah pasal tempat kerja kau, pasal bos kau,
pasal semualah. Aku serius nak tahu ni.” Bersungguh Nini
merayu. Dia ni memang dahagakan gosip!
Suriya mengeluh. Dalam mengeluh dia turutkan
permintaan Nini. Dalam rasa marah kepada Rozairul yang
masih belum surut, dia ceritakan juga apa yang dia alami di
pejabat siang tadi. Kalau tak cerita karang, ada jugak yang
merajuk bagai dengan dia nanti. Segala-galanya diceritakan.
Yang paling penting pasal bosnya. Hmm… Bos yang gay, itu
kata Noraini. Tapi dia sendiri tak tahu betul ke tak gelaran itu.
“Oh, macam tu. Hmm… Tapi kenapa aku dengar
suara kau tadi macam marah-marah aje. Apa kes?” Nini cuba
mengorek cerita lain pula daripada sahabat baiknya ini.
“Aku gaduh dengan abang aku.”
“Gaduh? Apa kes pulak kau bergaduh bagai?”
“Along aku itulah. Dia marah aku naik teksi Pak Mail tu.
Grr… Mana tak berangin aku. Aku pun ungkitlah segala benda.
Aku nak ambil lesen kereta, dia tak bagi. Lepas tu, mulalah nak
kongkong aku. Nanti bila aku dah kahwin, dia nak aku duduk
bawah ketiak dia jugak ke? Huh!” Suriya melepas geram.
“Kenapa kau tak kahwin saja?” Mendadak Nini menyoal.
Nini sebut pasal kahwin, otaknya turut sama terfikirkan hal itu.
“Kahwin? Kahwin dengan siapa makcik oi?” Tegak
Suriya bingkas bangun dari pembaringannya. Kawan aku ni
pun, nak bagi cadangan tu agak-agaklah!
“Hmm… Kau cakap bos kat tempat kerja kau tu
handsome. Apa kata kau pikat dia!” Nini di hujung talian sudah
ukir senyum lebar. Saja aje dia nak kenakan Suriya.
“Woi! Gila kau! Kau nak mampus. Dia tu anak orang
kaya, aku ni apa yang ada? Kayap!”
“Kau tak cuba manalah kau tahu. Cubalah dulu.
Amacam?”
“Isy! Tak naklah aku! Dia gaylah!”
“Eh, aku suruh kahwin ajelah. Bukannya suruh kau
ehem-ehem dengan dia.”
“Habis, kalau tak ada ehem-ehem, apa guna kahwin?
Ngoklah kau ni!”
“Eh, kau nak bebas daripada along kau ke tak? Aku dah
bagi cadangan superb terbaik, kau tak nak ikut pulak!”
“Terbaiklah sangat! Cadangan luar alam! Dahlah, aku
nak tidur. Penat!”
Nini gelak besar. Bukan dia bersungguh pun. Saja nak
main-main dengan Suriya. Perbualan antara mereka tamat.
Suriya kembali rebahkan badan di atas katil. Cadangan luar
alam daripada Nini kembali berlegar di kepalanya hinggalah dia
tertidur.

No comments:

Post a Comment