Monday, 14 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 4

SURIYA bersiap-siap mahu ke pejabat. Sejurus jam
menunjukkan pukul 5.30 pagi, matanya sudah celik. Kalau
dulu, dia akan terus sambung tidur selepas mematikan bunyi
penggera telefon bimbitnya. Kini, dia akan merenung siling
seketika, menantikan azan subuh berkumandang. Selepas itu
barulah dia bangun dan bergerak ke bilik air.
Siap segala-galanya, tepat pukul 6.30 pagi, dia akan
berangkat ke pejabat. Pak Mail memang sudah terpacak di
depan pintu pagar waktu-waktu macam ni. Sengaja dia keluar
awal kerana tak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Keluar awal, sempatlah dia sampai di pejabat dalam pukul 8.00
pagi. Waktu bekerja bermula pukul 9.00 pagi.
Suriya tarik sedikit tudungnya agar kemas di kepala.
Okey, siap! Selepas puas menilik wajah sendiri di cermin, dia
berlalu ke tingkat bawah. Jam di pergelangan tangan dipandang
sekilas. Sudah pukul 6.35 pagi. Mesti Pak Mail dah tunggu di
luar. Getus hati kecilnya.
“Su,” langkah kaki Suriya mati. Dia mengeraskan
tubuh, menanti bicara Rozairul seterusnya.
“Jom, along hantar Su pergi kerja.” Sambung Rozairul.
Di tangannya sudah menggenggam kunci kereta.
“Tak payahlah, Su naik teksi saja,” tolak Suriya. Jelas,
masih ada nada berjauh hati di situ.
“Driver teksi tu dah balik. Along yang suruh dia balik.”
Mendatar suara Rozairul.
“What?” Spontan Suriya meninggi suara. Matanya
bersinar garang membalas pandang mata Rozairul.
“Sepanjang along ada kat sini, along yang akan hantar
Su. Nanti, bila along dah start terbang semula, Su pergi kerja
dengan teksi tu.” Selamba Rozairul berkata. Dia sudah menekan
penggera keretanya.
“Jomlah.”
Along memang suka buat keputusan sendiri! Dengus
Suriya. Hatinya berdongkol geram.
“Nak pergi ke tak ni? Pintu tu jangan lupa kunci.”
Rozairul masih macam tadi.
Huh! Dalam marah, dalam geram, Suriya turutkan
juga arahan Rozairul. Pintu kereta ditarik kasar. Berdentum
bunyinya.
“Oit, along tahulah Su tengah marah. Tercabut pintu
tu nanti siapa nak tanggung?”
Gantilah sendiri! Tak kuasa aku nak tanggung! Sahut
hati Suriya. Hatinya kalau sudah panas, janganlah nak usik
ke, nak pujuk ke, memang tak jalan. Sepanjang perjalanan ke
tempat kerja Suriya, tiada sepatah kata pun yang keluar dari
mulut mereka. Baik Suriya mahu pun Rozairul, kedua-duanya
ambil langkah membisu seribu bahasa.
“Dah sampai,” suara Rozairul mencantas lamunan
Suriya.
Suriya tersentak seketika. Dia membuka pintu kereta
dan menolaknya.
“Eh, dah lupa ke?” Rozairul menyoal sambil hulur
tangan untuk bersalam. Nak jugak? Cepat-cepat Suriya capai
hujung jari dan dicium sekilas. Tak kuasa nak berlama-lama.
Dia sibuk melayan rajuk di hati.
Rozairul menggelengkan kepala melihat telatah
Suriya. Kalau dah merajuk, memang macam tu. Suka tunjuk
protes bagai. Bukan baru sehari dua dia kenal Suriya tapi dah
bertahun-tahun. Dah masak sangat dengan perangai adiknya
ini.
Gear dimasukkan dan kereta mula bergerak,
meninggalkan bangunan IMIA Technology.
IDDIN TERCENGANG. Terhenti langkahnya seketika kerana
adegan itu. Siapa lelaki itu? Adakah Suriya sudah berkahwin?
Tapi, seingat aku dalam resume dia tak ada pun status sudah
berkahwin. Yang ada hanya status bujang. Kalau masih bujang,
siapa lelaki itu pada Suriya? Tunang? Takkan baru bertunang
dah cium tangan bagai, kalah suami isteri! Suriya pakai tudung.
Sangat tak berpadanan status dengan tingkahnya.
“Eh, bos. Apasal tercegat bagai ni?” Badrul menegur.
Tetiba bos aku jadi tiang elektrik kat tengah-tengah lobi
syarikat. Apa kes? Hati Badrul tertanya-tanya.
“Hah? Tak ada apa-apalah. Hmm… Macam mana
holiday? Enjoy? Opss… Silap, bukan holiday. Honeymoon
right?” Iddin sengaja mengalihkan topik. Pandangannya juga
sudah tertumpu pada Badrul di sebelah. Kaki juga kembali
menyambung langkah, menghala ke lif.
Apa punya soalan bos aku ni? Macam perli aku aje.
“Hmm… Bolehlah.” Sepatah Badrul menjawab.
“Bolehlah aje? Apa kes pulak? Gaduh ke?” Mereka
kini di dalam lif. Hanya mereka berdua saja kerana jam baru
menginjak ke angka 7.40 pagi. Waktu kerja bermula pukul 9.00
pagi.
“Oit, mulut cabul betul! Apa gaduh-gaduh? Mintak
simpanglah bos! Kalau nak tahu macam mana rasanya, cuba
bos kahwin dulu. Baru tahu.” Badrul sudah mengeluarkan
cadangan gila-gila. Konon cadangannya tu sangat-sangat
bergeliga. Dia siap tayang sengih lagi.
“Kahwin mana boleh cuba-cuba. Macam nak mainmain
pulak.” Sanggah Iddin. Sejahil-jahil dia, tak pernah lagi
terlintas nak buat semua tu.
“Dah tu, bos tanya sangat. Saya jawablah.”
“Ah, sudahlah. Kerja, kerja.” Mereka terpisah di
ruangan depan pintu bilik Iddin. Iddin masuk ke dalam biliknya
dan Badrul merapati mejanya.
Di dalam biliknya, Iddin masih tak lepas memikirkan
siapakah gerangan lelaki yang menghantar Suriya itu.
Kepalanya disandarkan pada kerusi. Eh, kejap. Suriya ni budak
MSU. Aku belajar kat sana jugak dulu. Maknanya kami satu
universiti. Tapi dia ni intake tahun bila eh? Hmm… Ha! Resume
dia! Tangannya ligat membelek timbunan fail di atas mejanya.
Mana tahu kalau-kalau ada kat atas meja tu.
Eh, resume semua pekerja mestilah ada dengan HR?
Apasal ngok sangat aku ni! Iddin tepuk dahi. Gagang telefon
dia capai dan nombor bilik Mimi, pegawai HR di syarikat itu
didailnya. Kurang sepuluh minit kemudian, fail berisi resume
pekerja baru bernama Suriya Anggerik sudah berada di atas
mejanya.
Fail yang bertimbun di atas mejanya sikitpun dia tak
pandang. Ada hal yang lagi penting daripada semua fail itu.
“KAK, SU nak tanya sikit boleh tak?” Suriya merapati meja
Noraini. Kerusi dari meja sebelah dia tarik dan terus duduk.
“Hmm… Apa dia?” Mata Noraini tak berkalih dari
sebuah fail. Tengah banyak kerja ni.
“Tapi akak macam sibuk aje,” tangan Suriya gatal
mengusik salah satu fail yang bertimbun.
“La, biasalah. Tak apa, tak ganggu pun. Ha, apa yang
Su nak tanya tadi tu?” Noraini memang kaki kepoh. Mana tahu
soalan Suriya ni akan bawa satu cerita baru.
“Tak ada. Saya konfius ni. Setiausaha Encik Iddin tu
memang lelaki ke?” Suriya tayang muka keliru.
“La, ingatkan apalah tadi. Hmm… Betullah tu. Memang
si Bad tu setiausaha Encik Iddin. Bukan setiausaha aje tau tapi
merangkap PA jugak. Dia baru masuk hari ni lepas cuti dua
minggu.” Beritahu Noraini.
“Oh,” setiausaha lelaki? Patutlah Kak Ani cakap orang
dalam ofis ni cop dia gay! Desis hati Suriya. Dia senyap sambil
melihat Noraini siapkan kerjanya.
“Lamanya dia cuti.”
“Cuti kahwin, Su.” Balas Noraini pendek. Erk! Kelu
lidah Suriya sekejap.
“Eh, tapi…” Ayat Suriya mati kerana ada suara yang
tiba-tiba mencelah.
“Kak Ani, siapkan dokumen ni. Encik Iddin nak hari ni
jugak.” Meja Noraini dihampiri seseorang. Pantas kepala Suriya
mendongak, mahu melihat siapa si empunya diri.
“Alahai Bad sayang, akak tak tahulah sempat siap ke
tak ni. Yang tengah tunggu giliran pun dah berlambak ni.” Ujar
Noraini lemah.
“Lisa mana kak?” Mata Badrul melilau mencari kelibat
Lisa yang disebutkan itu.
“Lisa MC hari ni, tu yang akak kelam-kabut sangat
ni. Semua nak cepat, haih.” Noraini mengeluh di hujung katakatanya.
“Eh, lupa akak nak kenalkan. Bad, ni Suriya. Su, ini
Badrul. Badrul ni setiausaha merangkap PA kepada Encik Iddin.
Su ni pulak web developer baru. Korang kenal-kenallah ye,”
Badrul dan Suriya hanya berbalas anggukan kepala.
“Selamat datang ke IMIA Technology Sendirian
Berhad.” Ucap Badrul sambil senyum manis. Kalau aku tak
kahwin lagi, memang dah lama aku rembat minah ni. Hati
kecilnya berkata-kata.
“Terima kasih,” Suriya lempar senyuman kepada
Badrul.
“Oh ya kak, tolonglah kak. Kalau boleh siapkan hari ni
ya. Kalau tak, takut Encik Iddin tu mengamuk. Akak kenal, kan
dia macam mana. Haih, kalau tak siap hari ni susah kerja saya.
Saya nak tolong akak pun kerja saya sendiri berlambak kat atas
meja tu.” Kata-kata Badrul tertuju kepada Noraini.
“Yalah, yalah.” Balas Noraini. Dia dah malas nak
berbalas cakap dengan Badrul. Akhirnya bukan dia yang
menang pun.
“Terima kasih akak sayang!” Girang suara Badrul
sebelum berlalu ke mejanya.
Suriya pulak memang menjadi pemerhati tak bergaji
kat situ. Sudahnya dia bosan, nak buat kerja, tak ada kerja.
Setelah dipastikan Badrul benar-benar jauh dari meja Noraini,
Suriya terus mengajukan soalan. Tak menyempat!
“Kak, akak cakap orang cop Encik Iddin tu gay, macam
mana tu?” Suriya berminat sangat nak tahu pasal Iddin dan
gelaran yang diberikan orang itu. Hmm…
“Kalau akak jawab, apa yang akak dapat? Su nak tolong
akak siapkan semua kerja ni ke?” Haa… tu dia. Dah keluar ayat
minta pengeras!
“Eh, taklah macam tu…” Ayat Suriya terhenti kerana
namanya dipanggil Badrul. Tak sedar langsung Badrul merapati
tempat duduknya. Agak-agak Badrul dengar tak perbualan dia
dengan Noraini tadi? Kalau Badrul dengar, masak aku! Desis
hati kecil Suriya.
“Err… Suriya, big boss nak jumpa awak.”
“Big boss?” Kening Suriya sudah terjongket sama.
“Encik Iddin tu ha, dia nak jumpa awak.”
“Sekarang ke?”
“Eh, taklah. Semalam! Apa punya soalanlah awak ni,
mestilah sekarang.” Ada aura merungut nada Badrul tu. Habis,
Suriya banyak tanya sangat!
“Hmm… Yalah.”
Suriya angkat punggung dan berlalu ke bilik Iddin.
Terlupa terus soalan yang dia ajukan kepada Noraini tadi. Pintu
bilik diketuk. Sejurus mendengar laungan penghuni dari dalam
bilik, terus dia memulas tombol pintu dan menapak perlahan
masuk ke dalam bilik besar itu.
“Err… Encik nak jumpa saya?”
“Hmm…” Mata dan tangan Iddin masih tertumpu pada
sebuah fail.
“Saya nak awak uruskan pelanggan ini,” fail yang dia
belek tadi dihulurkan kepada Suriya.
“Hah?”
“Saya tahu awak tak ada pengalaman kerja. Tapi ini
tugas pertama awak di sini. Anggap ini sebagai cabaran pertama
awak di dalam dunia IT.” Dingin seperti ais suara lelaki itu.
Macam orang tak ada perasaan!
Dia tengah nak uji kau tu. Tak apa, kau ambil aje
tugasan dia. Kau buktikan pada dia yang kau boleh buat! Jangan
biarkan dia pandang kau sebelah mata. Hei, ini Suriyalah! Suara
hatinya bergema.
“Okey, saya sahut cabaran encik. Ada apa-apa lagi?”
“Dah tak ada apa-apa. Segala maklumat tentang
syarikat tersebut dah ada dalam fail tu. Nombor telefon pegawai
yang patut berurusan dengan awak pun dah ada kat dalam tu.
Awak boleh mulakan kerja sekarang. Selamat bekerja!”
“Terima kasih,” Suriya angkat punggung dan berlalu
keluar dari bilik itu. Tidak betah dia berlama-lama di dalam
sana. Silap-silap, dia bertukar jadi ais! Sejuk sangat!
“Apa kes?” Laju Noraini menyoal. Kalau dah mulut
kepoh tu, memang akan selamanya kepoh! Hahaha…
“Eh, akak kan banyak kerja. Ada masa pulak nak dengar
kisah saya?” Terang-terang Suriya menyindir.
“Amboi, dah pandai ya sekarang!” Noraini cubit kasar
lengan Suriya. Alah, cubit-cubit manja saja.
“Aduh!” Sengaja Suriya mengaduh.
“Mengada-adalah tu. Bukan sakit pun!” Kata Noraini
sambil berlalu ke mejanya. Baik aku buat kerja aku daripada
melayan makcik ni.
Yes! Berjaya dia patahkan soalan demi soalan daripada
Noraini yang bakal menyerangnya. Hahaha… Suriya berlalu ke
mejanya. Fail di tangan perlu diteliti. Ini tugasan pertamanya.
Harap-harap pelanggan ni tak banyak kerenah.

No comments:

Post a Comment