Monday, 14 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 5

SUDAH hampir sebulan Suriya bekerja di situ.
Hurm… Kerja semakin bertimbun. Minggu pertama dulu, dia
merungut tak ada kerja. Sekarang, tak menang tangan dia nak
buat semuanya. Mana lagi nak kejar deadline. Aduh! Memang
tak terkejar kalau semuanya nak cepat. Hari ni seperti juga
minggu lepas. Suriya terpaksa pulang lambat lagi.
Jam sudah menginjak ke pukul 8.00 malam. Nasib
baik dia sedang bercuti daripada bersolat. Jadi tak adalah
rasa terkejar-kejar nak ke surau. Sesekali matanya meliar
memandang sekeliling ruang pejabat itu. Selain dia, ada dua
orang lagi rakan sekerja yang turut membuat kerja lebih masa
sepertinya. Paliza dan Yusof. Paliza bertugas di bahagian akaun,
manakala Yusof di bahagian pembangunan sistem.
Suriya mencapai mug yang berada di tepi skrin
komputernya.
“La… dah habis pulak,” kalau ikut rasa hatinya,
memang dia malas nak ke pantri. Tak buat air, dahaga pulak
tekak ni. Akhirnya Suriya akur. Lambat-lambat dia menapak ke
pantri.
Sementara menanti air masak, Suriya mengelamun
seketika di kerusi yang tersedia di situ. Kerja banyak lagi tak
siap. Satu saja yang dia fikirkan. Nanti nak balik dengan apa?
Pak Mail tak dapat datang ambil hari ni sebab kurang sihat.
Kawasan syarikat ni pulak susah nak dapat teksi. Kalau siang
tu banyaklah teksi. Tapi sekarang sudah malam. Mintak tolong
pada Nini? Sudah dua hari Nini ke Melaka kerana berkursus.
Haih. Kan susah kalau tak ada lesen dan tak pandai pandu
kereta. Semuanya kena bergantung pada orang.
Ting!
Air sudah masak. Pantas tangan Suriya membancuh
Nescafe di dalam mug. Sambil menatang mug di tangan, sambil
matanya melilau memandang ruang pejabat. Yusof tiada di
mejanya. Hanya lampu bilik Paliza saja yang masih terpasang.
Yusof dah balik ke? Hatinya berdetik. Spontan kepalanya
tertoleh ke kiri, ke arah bilik bos besar. Melalui cermin bilik,
Suriya nampak ada biasan lampu dari dalam bilik itu. Dia tak
balik lagi ke? Sekali lagi hatinya berdetik.
Biasanya Suriya balik pukul 7.00 malam. Itu waktu yang
paling lewat sepanjang dia kerja di pejabat itu. Tapi sekarang
dah pukul 8.30 malam, dan bilik itu masih lagi terang. Memang
selalu dia balik lewat ke? Soalan itu muncul dibenaknya.
“Kak Liza, Yusof dah balik ke?” Suriya pantas menyoal
sebaik nampak kelibat Paliza.
“Ha’ah, dah balik tadi. Su kenapa tak balik lagi?”
“Banyak kerja ni. Deadline dah dekat.”
“Oh macam tu. Akak dah nak balik ni, tak apa ke Su
duduk sorang kat dalam pejabat ni?” Paliza gusar juga mahu
biarkan Suriya seorang diri menyiapkan kerja di dalam pejabat
itu.
“Tak apa kak, Su okey je duduk sorang kat sini. Hmm…
Su cuba siapkan sikit lagi kerja ni. Lepas tu baru Su balik,” ujar
Suriya, sekadar menyedapkan hati Paliza. Sedangkan hatinya
hanya Allah saja yang tahu.
“Okeylah kalau macam tu. Akak balik dulu ya.”
Suriya menganggukkan kepala. Matanya kembali
memandang skrin komputernya. Dia tenggelam di dalam dunia
kerjanya. Kerana terlampau asyik dengan kerja, dia tak sedar
masa yang semakin pantas berjalan. Dipandang jam di skrin
komputer.
“Allah! Dah hampir pukul 10.00 malam!”
Lantas dicapai segala barang-barangnya dan disumbat
masuk ke dalam beg kerja. Kalau larat, dia akan sambung di
rumah nanti. Terburu-buru dia bawa keluar beg tangan dari
laci. Dia takut semakin lama di pejabat, semakin susah dia nak
dapatkan khidmat teksi. Sejurus menutup semua lampu, dia
bergegas keluar dari bangunan itu.
“Lambat balik, cik?” Pak Wahid yang bertugas sebagai
pengawal bangunan menegur Suriya.
“Ha’ah, banyak kerja pak cik. Saya pergi dulu ya pak
cik.”
“Baiklah.”
Suriya perlu menapak ke perhentian bas kerana teksi
dan bas hanya akan berhenti di situ sahaja. Lima minit Suriya
berdiri tegak di situ. Tak ada sebuah pun teksi yang berhenti.
Matanya tak berkelip memandang jalan dan jam di tangan
bersilih ganti. Hatinya sudah berdetak tidak enak. Tambah lagi
ada sorang mamat mana entah kat belakang dia ni. Aduh! Mana
pulak teksi ni?
Berdentum guruh di langit mengejutkan Suriya.
Kepala laju mendongak ke atas. Kilat sedang memanah di atas
sana.
Allah! Nak hujan ke? Ya Allah, Kau janganlah turunkan
hujan sekarang. Kalau nak turun pun, biarlah lepas aku dapat
teksi. Suriya berdoa di dalam hati. Teksi ni pun satu, kat manalah
sebanyak-banyak teksi kat Selangor ni sampai tak nampak satu
pun malam ni. Dia orang mogok ke, apa? Jam sudah hampir ke
pukul 11.00 malam.
Pin, pin, pin!!!
Bunyi hon buat Suriya tersentak. Laju kepala diangkat.
Sebuah kereta mewah berhenti di hadapannya. Siapa pulak ni?
Sudahlah seluruh cermin kereta gelap, manalah nak nampak
orang kat dalam tu. Sebabkan tak kenal pemandu itu, Suriya
buat tak tahu ajelah. Beg kerja dia peluk rapat ke dada. Dalam
hati tidak henti-henti berdoa. Bimbang jika berlaku perkara
yang bukan-bukan. Entah-entah orang jahat. Mana tahu kalau
orang jahat ke...
Pin, pin, pin!!!
Eh, apa pulak duk main hon-hon ni? Rungut Suriya di
dalam hati.
Tiba-tiba tingkap kereta diturunkan.
“Awak nak balik ke? Cepatlah masuk. Hari nak hujan
ni,” wajah lelaki itu masih samar-samar di mata Suriya. Siapa
pulak ni? Tak kenal batang hidung, tiba-tiba ajak naik kereta dia.
“Anggerik.” Kepala Suriya kembali menegak. Dia
panggil aku ke? Rasanya tak ada orang lain lagi yang panggil
aku dengan nama tu.
“Cepatlah!” Gesa lelaki itu lagi. Hujan renyai-renyai
mula membasahi bumi.
“Err… Awak siapa?”
“Ni sayalah, bos awak. Takkan dah tak kenal kut.” Iddin
siap bukakan pintu lagi untuk Suriya.
“Jom masuk.” Ajak Iddin. Lambat-lambat Suriya
menurut.
Sejurus punggungnya mencecah kusyen kerusi
penumpang, Iddin terus memecut kereta membelah jalan raya.
Dan hujan mula turun menyembah bumi.
“Awak tinggal kat mana?” Sambil mata memandang
jalan raya, sambil itu dia menyoal Suriya.
“Err… Kat Kajang.”
“Oh, sejalanlah kita. Saya tinggal kat Kajang jugak.”
“Oh,” balas Suriya pendek. Kalau ikutkan hatinya, dia
nak jugak tahu kat mana bos dia ni tinggal. Tapi… Ah, biarkan
ajelah.
Ruang antara mereka kembali senyap. Suriya lebih suka
melayan perasaan sendiri. Manakala Iddin pula menumpukan
sepenuh perhatiannya pada pemanduannya. Entah apa mimpi
Iddin tidak pulak dia tahu. Mendadak aje lelaki itu ajak dia
tumpang sekali. Sebelum ni mana pernah bos besar dia ni
ajak tumpang bagai. Bercakap pun jarang-jarang. Ada tak ada
pun masa nak serahkan tugasan pada Suriya. Itu pun dengan
nada dingin yang amat. Tak pernah lagi mereka berbual mesra.
Mungkin dia kasihan kut sebab Suriya sorang je tengah tunggu
teksi kat situ. Malam pula tu.
Jangan ditanya kenapa Iddin menumpangkan Suriya
malam ini. Iddin tak punya jawapan untuk soalan itu. Hatinya
tiba-tiba saja tergerak untuk menumpangkan Suriya. Kelibat
Suriya di perhentian bas seorang diri di tengah-tengah malam
begini buat dia bimbang. Takut terjadi apa-apa ke atas Suriya.
Bukan dia pinta tapi apa-apa pun boleh berlaku. Tambahan lagi
ditempat sunyi dan di tengah malam begini. Hujan semakin
lebat turun membasahi bumi sebaik saja kereta Iddin berhenti
di simpang lampu isyarat.
Kalau aku terus tunggu tadi, mau basah kuyup! Sah-sah
esok terpaksa ambik MC. Desis hati Suriya. Guruh berdentum
di langit.
“Rumah awak kat mana ni?”
“Hah?”
“Saya tanya, rumah awak kat mana? Kajang ni besar.”
“Err… Taman Puncak Saujana.”
Lima belas minit kemudian, Iddin kembali menyoal.
“Hmm… Yang mana satu rumah awak ni?”
Eh, dah masuk taman perumahan aku ke? Serius,
Suriya masih bingung.
“Yang depan tu encik, yang pintu pagar kayu tu,”
beritahu Suriya.
Iddin turuti kata-kata Suriya. Dia berhenti betul-betul
di depan pintu pagar yang dikatakan itu. Tanpa menunggu
lama, Suriya capai pemegang pintu kereta dan bersiap untuk
keluar dari perut kereta.
“Awak tinggal dengan siapa kat rumah ni?” Iddin
menyoal sambil memandang ruang dalam rumah yang gelapgelita.
Langkah kaki Suriya yang baru sebelah berada di luar
kereta terhenti mendadak.
“Err… Dengan abang saya.”
“Oh, ingatkan dengan suami,” gumam Iddin perlahan,
lebih kepada diri sendiri.
“Apa dia encik?” Laju mulut kecil Suriya menyoal. Dia
dengar apa yang bosnya katakan tadi.
“Apa, apa pulak? Tak ada apa-apalah,” gugup Iddin
berselindung.
“Oh, okey. Terima kasih encik.” Ucap Suriya sambil
menutup pintu kereta.
Ketika Suriya baru saja mahu melangkah merapati
pintu pagar, tingkap kereta dibuka Iddin.
“Esok awak pergi kerja dengan apa?” Ringan aje
mulutnya menyoal.
“Saya naik teksi.”
“Oh. Okeylah saya gerak dulu, selamat malam.” Pamit
Iddin. Dalam hati sudah membuak-buak mahu memberikan
tawaran supaya Suriya menumpangnya esok. Tapi… Sabar
Iddin, sabar. Jangan gelojoh!
Suriya hanya memandang belakang kereta majikannya
berlalu pergi. Terasa macam mimpi pula bos yang selama
ni dingin macam ais tu, hantar dia balik hari ni. Walaupun
masih terasa kedinginan itu tapi sekurang-kurangnya tidaklah
sedingin ketika di dalam bilik pejabatnya.
Ah, biarlah dia. Apa kes pulak aku asyik duk ingat pasal
dia? Rungut Suriya di dalam hati. Suriya cepat-cepat bergegas
masuk ke dalam rumah. Tak boleh lama-lama kat luar rumah.
Takut ada yang sedang perhatikan dia.
SEPANJANG PERJALANAN balik ke rumah abinya di Country
Heights Kajang, senyuman tak lekang di bibir Iddin. Hatinya
kembang setaman. Dia sendiri tak tahu untuk apa senyuman
itu. Tapi apa yang dia rasakan adalah perasaan gembira yang
amat. Gembira yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata.
“Lalalala…” Spontan Iddin menyanyi kecil,
menggambarkan rasa hatinya yang sangat gembira. Sehinggakan
dia tak perasan ada sepasang mata yang asyik memandangnya.
“Amboi, gembiranya hati! Siap menyanyi bagai. Apa
yang digembirakan sangat tu?” Suara orang bertanya tiba-tiba
menyapa telinga Iddin. Pantas dia berpaling.
“Laa… Mak Yam rupanya. Nasib baik tak gugur jantung
Din. Suka sungguh Mak Yam terkejutkan Din.” Sungut Iddin.
Mak Yam ketawa kecil. Sebetulnya dia sangat suka
melihat Iddin gembira begitu. Sudah lama dia tak melihat Iddin
versi ini. Yang ada cuma Iddin versi masam, cemberut dan
seangkatan dengannya.
“Dah kamu berjalan tak pandang kiri kanan, mana tak
terkejut. Mak Yam dah lama berdiri kat pintu ni. Apa yang kamu
gembirakan sangat tadi tu?” Mak Yam sengih.
“Oh, tak ada apalah Mak Yam. Kisah budak-budak,”
Iddin senyum dan kenyit mata ke arah Mak Yam sebelum
berlalu masuk ke dalam rumah.
“Isy, budak ni. Selalu nak berahsia,” Mak Yam
menggelengkan kepala. Lantas dia turut sama masuk ke dalam
rumah dan pintu utama dikunci.
Tanpa Mak Yam dan Iddin sedari, ada sepasang mata
ralit memerhatikan tingkah mereka dari sebalik jendela kaca di
tingkat atas rumah agam itu. Entah sampai bilalah hubungan
mereka akan terus renggang begini. Iddin anaknya. Tapi jurang
yang tercipta antara mereka sejak berbelas tahun lalu amat
susah dipulihkan kembali. Sudah pelbagai usaha telah Tuan
Ikmal lakukan tapi semuanya menemui jalan buntu.
Akhirnya dia menarik kembali langsir jendela dan
badan direbahkan di atas katil.

No comments:

Post a Comment