Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 17

KERETA sport itu sudah hampir setengah jam
berada di atas jalan raya. Tapi jangan kata nak berbual, nak
dengar suara masing-masing pun susah! Macam ada berlian
pulak dalam mulut masing-masing.
Sesekali mata Iddin curi pandang kotak yang setia di
riba Suriya. Alhamdulillah, dia tak buang kotak tu. Kalau tak,
sia-sia aje usaha aku! Getus hati Iddin.
“Apa tu?” Tiba-tiba terkeluar pertanyaan dari bibir
Iddin. Kepala Suriya laju berpaling.
Dia cakap dengan aku ke? Suriya berkata-kata di dalam
hati. Dia pandang ke belakang. Tak ada orang. Sah! Encik bos
ini sedang bercakap dengan dia.
“Err… Encik tanya saya ke?”
“Hurm… Berapa ramai lagi manusia kat dalam kereta
ni selain saya dan awak?”
Oh! Hari ni mereka berlawan soalan, berbalas soalan.
Dari mula mulut Iddin terbuka mengeluarkan soalan pertama
dan Suriya balas dengan soalan jugak.
“Apa tu?” Melihat Suriya terus membisu, Iddin
mengulang soalannya tadi.
“Hadiah,” malas Suriya membalas.
“Daripada siapa?” Apa kes pulak sibuk sangat nak tahu
apa dan daripada siapa hadiah ni? Ada kena mengena dengan
awak ke encik bos? Getus hati Suriya.
“Entah.”
“Boleh pula entah-entah. Daripada pakwe kut.” Omel
Iddin. Sengaja dia nak tarik minat Suriya dengan perkataan
pakwe itu.
Suriya diam. Dia tak ada mood nak berlawan cakap
dengan Iddin. Biarlah pakcik tu cakap sorang.
Mata Suriya setia pada jalan raya. Macam dia pula
yang sedang pandu kereta itu. Kereta membelok masuk ke
kawasan perumahan Suriya. Selang beberapa buah rumah dari
rumahnya, Suriya sudah nampak kelibat seseorang sedang
berdiri berhampiran pintu pagar. Siapa? Hati kecilnya terdetik
soalan.
Kereta berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar.
Suriya pantas sangkutkan beg tangan di bahunya. Sebelah
tangan sudah mendarat di pintu kereta, berkira-kira mahu
menolak pintu itu. Sementara sebelah lagi memegang kotak
hadiah di tangan. Cermin kereta diketuk mendadak. Suriya
pantas mendongakkan kepala. Along? Bukan ke along kerja hari
ni? Desis hati Suriya kepelikan.
Suriya pandang ke kanan. Ya Allah! Aku balik dengan
mamat ni hari ni! Mesti along fikir yang bukan-bukan. Hati
Suriya berbisik. Dia menggelabah di tempat duduk sebelah
pemandu. Tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu di atas kusyen itu
yang menjadikan dia tak senang duduk.
Iddin tolak pintu kereta mendadak. Kan ada orang tu,
apa kes pulak dia nak bersenang-lenang di dalam kereta. Dia
menghampiri lelaki yang setia berdiri di sebelah keretanya
itu. Tangan dihulur untuk bersalam. Suriya tayang muka
tercengang semacam kerana terkejut dengan tindakan Iddin.
Akhirnya Suriya turut tolak pintu kereta apabila melihat Iddin
menyalami tangan Rozairul.
“Siapa ni dik?” Rozairul tak dapat menahan dirinya
daripada terus menyoal.
“Err… Bos Su.”
“Masuk dulu, kita cerita kat dalam.” Mendatar nada
Rozairul mengeluarkan arahan. Dia menonong masuk ke dalam
rumah, meninggalkan Suriya yang terpinga-pinga. Reaksi
Iddin? Tak payah cakaplah. Dah jelas mamat beku, mana pernah
ada riak kat muka dia. Sabar ajelah aku!
Suriya menapak ke pintu utama. Usai menanggalkan
kasut, dia masuk ke dalam rumah. Ruang tamu hala tuju
pertamanya. Rozairul sudah menanti di situ.
“Hmm... duduk,” pelawa Rozairul. “Dik, buat air.”
Arahan pula tertuju kepada Suriya.
Apasal pulak kena buat air bagai? Orang dahlah tengah
penat. Suriya merungut di dalam hati. Tapi dalam merungut
pun dia turutkan juga arahan abangnya.
“Jadi, kaulah bos adik aku?” Rozairul menyoal selepas
kelibat Suriya hilang di balik dinding dapur. Masakan dia boleh
lupakan lelaki di hadapannya ini. Dialah yang menegur Iddin di
perkarangan masjid beberapa minggu lepas.
“Err… Ya.”
“Kenal aku lagi?”
Kenal aku lagi? Iddin ulang kembali menyebut soalan
itu di dalam hati. Apa punya soalan tu? Dalam masa yang sama
kepala Iddin ligat berfikir. Dia mencari-cari kelibat lelaki itu
di dalam kotak memorinya. Tapi langsung tak dapat dikesan.
Akhirnya dia gelengkan kepala tanda tak kenal.
“Takkan tak ingat lelaki yang tegur kau beberapa
minggu lepas? Aku tegur kau kat masjid lepas solat subuh.
Masa tu kau tengah berjalan ke kereta kau. Ingat?” Rozairul
membuka kembali kisah pertembungan mereka.
Iddin berfikir. Fikirannya teraba-raba mencari titik
pertemuan antara mereka yang disebutkan oleh Rozairul.
“Yang pakai baju Melayu warna hijau tu?” Iddin
meneka. Dia masih samar-samar lagi.
“Yes!”
“Sorry la. Aku lupa.”
“It’s okey.” Rozairul berjeda seketika.
“Hurm… Kau dengan adik aku ada apa-apa ke?”
Rozairul terus kepada titik persoalan utama. Dah malas nak
berkias-kias bagai.
“Ada apa-apa? Maksudnya?” Kening Iddin terjongket
sama. Bukan dia tak faham maksud soalan abang Suriya itu,
tapi dia mahukan kepastian. Tersilap teka nanti orang cop
perasan sendiri pula.
“Kau suka kat adik aku?” Rozairul berterus terang. Dia
berkias-kias pun, lelaki di depannya ni bukannya boleh tangkap.
Slow aje dia rasa.
“Err…” Iddin terkedu. Soalan jenis apa ni? Soalan
sebelumnya tak berjawab, timbul pulak soalan lain. Iddin
sampai tak tahu nak jawab apa. Nak angguk ke, nak geleng ni?
“Apasal senyap? Takkan terus bisu kut.” Ambik kau!
Rozairul ni bukan boleh kira sangat. Bila dah naik angin, dia
memang jadi macam tu.
“Err… Suka.” Tergagap-gagap Iddin menjawab. Siapa
tak gagap kalau kena serang dengan soalan-soalan macam tu.
Kalah polis pencen!
“Hmm…” Rozairul sandar badannya di belakang sofa.
Nafas ditarik dan dilepas sekali dua.
“Kalau aku suruh kau kahwin dengan adik aku, kau
nak?” Senafas soalan itu keluar dari bibir Rozairul.
Prang!!!
Bunyi kaca berderai menyembah lantai memecah
kesunyian di ruang tamu itu. Pantas kepala Iddin dan Rozairul
memandang ke arah datangnya bunyi itu. Kaki laju diatur ke
muka ruang tamu.
“Su, kenapa ni?” Rozairul pandang Suriya yang
sedang duduk terpaku di sebelah kaca-kaca yang bersepah di
atas lantai. Rozairul menunduk sedikit sambil tangan ligat
mengutip serpihan kaca yang bersepah itu. Iddin pun sama.
Sangat berhati-hati mereka kerana bimbang kaca-kaca itu
terkena tangan.
“Apa maksud soalan along tadi?” Suriya menyoal. Dia
sehabis baik cuba mengawal rasa hati yang sedang bergelodak.
“Nanti kita bincang,” Rozairul meneruskan kerja-kerja
mengutip serpihan kaca itu. Dia bangun dan berlalu ke dapur.
Dia kembali dengan penyapu dan penyodok di tangan.
“Su, bangun.” Arah Rozairul apabila dia melihat Suriya
kaku di situ. Dia tarik lengan Suriya, memaksa Suriya bangun.
Nak tak nak terpaksalah Suriya turuti. Iddin jadi belas dengan
Suriya. Nak tolong... tak boleh. Jangan nak tunjuk hero sangat
depan abang dia, suara hatinya bergema di dalam sana.
“Err… Aku nak minta diri dulu,” Iddin tiba-tiba
bersuara di tengah-tengah kekalutan dua beradik itu.
“Sekejap,” Rozairul meneruskan kerja-kerja
membersih serpihan kaca sebelum kembali bersuara.
“Jom, aku hantar kau ke kereta.”
Mereka beriringan ke kereta Iddin. Sampai di tepi
kereta, Rozairul bersuara.
“Kita tak habis bincang lagi. Fikir-fikirkan pasal soalan
terakhir aku tu,” Rozairul menepuk bahu Iddin perlahan.
Mereka bagai sudah lama kenal lagaknya. Iddin angguk.
Iddin seluk poket seluar dan bawa keluar sekeping kad
dari celah dompetnya. Dihulurkan kepada Rozairul kad itu.
“Ini kad aku. Kalau ada masa, kau call aku.” Ujar Iddin.
Rozairul anggukkan kepala.
Mereka berjabat tangan sebelum Iddin memecut kereta
mewah itu dan menghilang di sebalik kepekatan malam. Kad di
tangan, Rozairul pandang lama. Iddin Amsyar Ikmal...
“Aku tak silap buat keputusan.” Bibir Rozairul berkata.
Sememangnya dia mahukan yang terbaik untuk adiknya
yang seorang itu. Dia perlu lihat dahulu latar belakang lelaki
yang akan sehidup semati dengan adiknya. Bukan mudah mahu
lepaskan seorang adik perempuan. Besar tanggungjawabnya.
Rozairul mengeluh. Dia berlalu masuk ke dalam rumah.
“ALONG! APA maksud soalan along tadi?” Nampak saja kelibat
Rozairul di muka pintu, Suriya terus menyerang dengan
soalannya. Hatinya memang tengah berapi tika ini.
“Kenapa? Bukan Su suka ke?”
“Sejak bila Su cakap Su suka? Ada Su cakap suka? Ada?”
“Tak ada. Tapi dah beberapa kali along nampak dia
datang dan hantar Su balik. Along tak rasa Su dengan dia tak
ada apa-apa.” Rozairul mengemukakan pendapatnya.
“Kami tak ada apa-apa. Hanya hubungan antara
pekerja dan majikan. Tak lebih daripada tu semua. Langsung
menyimpang daripada apa yang along fikirkan.” Bentak Suriya.
“Mustahil!”
“Sama ada along nak percaya atau tidak, itu terpulang.
Su dah cakap apa yang Su rasa.” Dia mahu atur langkah ke
tangga. Kakinya terhenti.
“Kenapa along nak sangat Su kahwin? Kalau along dah
tak nak jaga Su, cakap depan-depan. Tak payah nak libatkan
orang luar. Su boleh keluar dari rumah ni.” Suriya sambung
kembali langkah yang terhenti tadi. Tapak kakinya terasa
mencucuk-cucuk tapi dia lawan. Dia gagahkan diri.
“Su, darah!” Rozairul bertempik. Mulut yang tadinya
mahu membidas kata-kata Suriya, terkeluar perkataan lain.
Terkejut sangat sebab ternampak darah.
Namun, panggilan itu langsung tak diendahkan.
Suriya terus melangkah, melangkah dan terus melangkah. Dia
masuk ke dalam bilik. Punggung dilabuhkan di atas katil. Kaki
kanan yang terasa mencucuk-cucuk dia angkat dan diletakkan
di atas lutut kiri. Matanya tertumpu pada darah yang sedang
mengalir keluar.
“Bismillahirahmanirrahim.” Suriya tarik kaca yang
mencucuk kaki. Sambil air mata menitis menahan pedih. Ya
Allah, sakitnya!
Dia mengengsot ke bilik air. Kaki yang luka dia cuci
dengan air bersih. Rasa sakit yang mencucuk akibat terkena
air, ditahan bersama tangisan. Luka terkena kaca tersangat
sakit okey... Tambah lagi kalau luka tu dalam. Kotak kecemasan
yang sentiasa tersedia di dalam bilik air dia capai dan berlalu ke
katil. Luka di kaki perlu dirawat segera sebelum melarat. Jika
melarat, sudah tiada ubatnya lagi.
Usai membersihkan bekas darah di atas lantai bilik,
Suriya berbaring di atas katil. Setiap patah kata-kata alongnya
masih terngiang-ngiang di tepi telinga.
“Kalau aku suruh kau kahwin dengan adik aku, kau
nak?”
Suriya mencapai bantal dan ditekup ke muka. Dia
menangis lagi. Dia kecewa dengan Rozairul. Nampak sangat
yang dia ni membebankan Rozairul sampai sanggup Rozairul
beri tawaran begitu kepada bos besarnya.
Kalau tak nak jaga aku, aku tak kisah. Aku boleh
menumpang tinggal dengan Nini! Tempik suara hatinya.
Akhirnya dia terlena bersama deraian air mata yang
beranak sungai di pipi. Lampu juga terpasang. Dia tak punya
tenaga lagi untuk menutup lampu. Lalu dibiarkan saja lampu
itu terpasang begitu.
“SALAH KE tindakan aku?” Rozairul tertanya-tanya sendiri.
Tangan meraup muka. Melihat muka Suriya tadi, dia rasa
bersalah sangat. Terasa dia telah membuat keputusan yang
silap. Tapi… Dia cuma mahukan yang terbaik untuk adiknya.
Badan dia sandarkan ke belakang sofa. Sambil itu
terkeluar keluhan dari celah bibirnya.
Kisahnya, memang sepatutnya dia terpaksa
menggantikan salah seorang teman yang bercuti kecemasan.
Isteri kawannya bersalin. Tapi sampai aje di lapangan terbang,
penerbangan pula ditunda kerana sebab-sebab yang tidak dapat
dielakkan. Sepatutnya pukul 10.00 pagi tadi dia sudah sampai
di Mumbai. Namun, kerana masalah teknikal, terpaksalah
dia balik semula ke rumah. Sebab tu Suriya terkejut nampak
batang tubuh Rozairul ada di rumah.
Rozairul meraup muka lagi. Dia cuba lakukan yang
terbaik untuk adiknya. Baginya Iddin Amsyar itu tidak punya
cacat celanya. Sangat sesuai dijadikan suami. Tahu perihal
agama, mereka bekerja satu pejabat lagi. Berharta pun ya juga.
Jadi, apa lagi yang Suriya cari? Atau adiknya sudah punya pilihan
sendiri. Jika sudah punya pilihan hati, siapa lelaki itu? Rozairul
buntu. Niat murninya telah disalah anggap oleh si adik.
SEPANJANG PERJALANAN balik ke rumah agam itu, hati
Iddin tak sudah-sudah fikirkan cadangan lelaki yang dikenali
dengan nama Azwan, abang kepada Suriya.
“Kalau aku suruh kau kahwin dengan adik aku,
kau nak?”
Masih terdengar-dengar di tepi telinganya akan soalan
itu. Abang Anggerik lamar aku ke? Pihak perempuan lamar
lelaki? Betul ke tak ni? Dah macam cerita 3 Abdul pulak dia rasa.
Sebenarnya inilah yang dia tunggu-tunggu selama ni. Sudah
lama dia mengintip dari jauh anak dara orang. Sekali si abang
lamar dia, baru tercengang kau!
Kereta dia tempatkan di dalam garaj. Belakang badan
disandarkan pada tempat duduk pemandu. Nafas ditarik dalamdalam
sebelum dihembus kembali.
Untuk apa lagi kau fikir. Bukan ke kau yang nak sangat
peluang macam ni? Kau tak payah susah-susah tackle Anggerik,
abang dia dah lamar kau. Nak tunggu apa lagi? Pucuk dicita
ulam mendatang beb!
Senyuman lebar tiba-tiba terukir di bibir Iddin. Suka
la tu!
Cermin keretanya diketuk dari luar. Pantas dia
berpaling. Wajah seorang lelaki berusia pertengahan 50-an
menyapa matanya. Senyuman di bibir Iddin kembali sirna.
Cepat-cepat dia capai briefcasenya dan berlalu keluar dari perut
kereta. Dia menonong masuk ke dalam rumah tanpa menegur
lelaki itu.
Tuan Ikmal hanya mampu memandang batang tubuh
anaknya menghilang di balik pintu rumah. Tadi mulutnya
ringan aje mahu tegur Iddin, tapi melihat aje muka cemberut
Iddin, membisu terus mulutnya. Kaki lemah diatur masuk ke
dalam rumah.

No comments:

Post a Comment