Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 18

PENGGERA telefon berbunyi mengejutkan Suriya
daripada lenanya. Terpisat-pisat dia bangun. Cerahnya! Matanya
dibuka sedikit. Cahaya lampu menerangi ruang bilik. Sampai
silau matanya. Aku tidur dalam cerah ke semalam? Seperti
orang bingung dia menyoal diri sendiri. Memang dia tak suka
kalau tidur dalam keadaan yang cerah. Boleh sakit kepala.
Tangan meraba-raba telefon bimbit tapi tak jumpa. Eh, kat
mana aku letak kau ni? Hatinya tertanya-tanya.
Semalam, lepas bergaduh dengan Rozairul, dia terus
naik tidur. Oh, masih dalam beg tanganlah tu. Fikirnya.
Matanya ligat mencari kelibat beg tangan. Sejurus nampak,
kakinya bersedia mahu memijak lantai.
“Ouch!” Tiba-Tiba kakinya mencucuk kesakitan. Lalu
spontan punggungnya kembali menyembah tilam.
Suriya pandang kaki yang sedang berbalut. Dan
peristiwa semalam kembali menerjah kotak memorinya. Terasa
seperti baru sebentar tadi aje dia bergaduh dengan abangnya.
Seperti baru lima minit sudah Rozairul dengan selambanya
memberikan tawaran gila kepada bosnya. Suriya tenung baju
yang tersarung di tubuhnya. Masih baju semalam. Langsung tak
bersalin. Layan jiwa sangat semalam sampai tak hirau langsung
badan yang berbau ni.
Dia bangun perlahan-lahan ke bilik air. Nak mandi.
Walaupun kaki terincut-incut sewaktu melangkah, dia gagahkan
juga. Hari ni, dia nak juga pergi kerja. Duduk kat rumah pun
bertembung dengan Rozairul. Buat tambah sakit hati pulak.
Siap mandi, solat dan berpakaian, dia turun ke tingkat
bawah sambil membawa beg tangan. Beg kerjanya masih
tersadai di ruang tamu. Semalam terlupa dia nak bawa masuk
ke dalam bilik. Dia lambat bersiap hari ni kerana kaki yang sakit
melambatkan pergerakannya. Nak berjalan pun susah. Sanggup
dia seksa diri gara-gara tak nak bertembung muka dengan
Rozairul.
“Su, jom sarapan sekali. Along dah siap masak ni,” ajak
Rozairul sebaik ternampak kelibat adiknya.
Suriya buat-buat tak dengar. Menonong dia
mendapatkan beg kerja di tepi almari hiasan dan berlalu ke
pintu utama. Nasib baik Pak Mail sudah menunggu di depan
pintu pagar.
“Su,” cepat-cepat Rozairul tanggalkan apron di leher
dan mendapatkan Suriya. Tak pernah-pernah Suriya marah kat
dia sampai macam ni sekali.
Suriya yang mahu menyarung sandal comfort yang
biasanya dia pakai untuk santai terasa tangannya ditarik dari
belakang. Sudah dia tahu siapa yang menarik tangannya.
Dia buat macam tak ada apa yang berlaku. Belum pun
sempat Rozairul berkata apa-apa, Suriya tarik tangannya dari
cengkaman Rozairul. Dia dah malas nak dengar patah kata
Rozairul. Dia bosan!
Rozairul memandang cara adiknya berjalan. Terincutincut
dan kaki itu berbalut. Allah! Macam teruk saja. Suriya
masuk ke dalam perut teksi tanpa memandang langsung wajah
Rozairul.
Sekarang bukan waktu yang sesuai untuk dia balas
segala permintaan Rozairul. Biarkan dia sejuk dahulu. Takut
nanti lagi teruk perkataan yang akan keluar dari mulutnya jika
Rozairul terus-terusan memaksa dia bercakap.
Tak sempat Rozairul menghalang, teksi sudah pun
hilang dari pandangan mata.
“EH, SU! Kenapa ni?”
Masuk saja dalam pejabat pagi tu, Noraini terus
menerpa ke arah Suriya. Dia pelik melihat Suriya berjalan
lambat-lambat. Macam orang sedang tanggung sakit yang
amat. Lantas dia pandang kaki Suriya. Sepasang kaki itu hanya
mengenakan sandal dan kaki kanan berbalut. Berbalut? Accident
ke? Hatinya menyoal.
“Tak ada apalah kak,” dalih Suriya.
Alhamdulillah, ucap Suriya penuh syukur. Dapat
sampai ke mejanya dan duduk di atas kerusi ini, dia rasa
sangat bersyukur. Lega kakinya kerana dapat berehat daripada
bergerak.
“Tak ada apa-apanya kalau kaki tu berbalut. Cepat
cakap, kenapa dengan kaki tu?” Tersangat prihatin Noraini
mengorek cerita sebenar dari mulut Suriya.
Makcik ni, selagi aku tak cakap perkara sebenar, selagi
itulah dia sibuk nak mengorek rahsia orang. Geram pulak
Suriya rasa...
“Luka sikit je kena kaca.”
“Sikit? Akak tak nampak luka sikit, tapi nampak macam
teruk aje. Kalau sikit, Su takkan terincut-incut macam ni. Dahdah,
sekejap akak ambilkan borang EL. Hari ni Su pergi klinik.”
Selamba Noraini mengarah. Lantas dia berlalu ke mejanya,
mahu mengambil borang EL.
Ala, kerja banyaklah. Protes Suriya di dalam hati. Asal
dia dapat duduk dan jangan suruh dia banyak bergerak, Insya-
Allah kakinya takkan apa-apa.
“Nah, borang EL.” Suriya pandang Noraini.
“Tapi kak, saya tak apa-apa.”
“Cuba jangan degil. Sakit tu buatlah cara orang sakit.
Jangan nak mengada-ada.” Tegas suara Noraini. Dia bimbang
luka itu akan melarat jika dibiarkan begitu tanpa rawatan.
“Kerja banyaklah kak,” Suriya cuba lagi. Manalah
tahu kalau-kalau hati Noraini berubah arah. Tapi nampak gaya
macam tak... aje.
“No more excuses! Cepat isi borang ni dan pergi klinik.”
Noraini letak borang di tangan di atas meja Suriya apabila
hulurannya tak bersambut. Memuncung mulut Suriya tanda
sedang tunjuk protes.
Kemudian Noraini berlalu ke ruang depan pejabat
itu. Dia ligat mencari rakan sekerja yang boleh menolongnya
menghantar Suriya ke klinik. Tak sanggup dia nak biarkan
Suriya naik teksi ke klinik. Sudahlah tengah sakit begitu.
“Kak Ani, tengah cari apa ni?” Iddin menegur. Pelik
betul dia lihat Noraini melilau sekeliling ruang pejabat. Macam
kucing hilang anak pulak.
“Encik, nasib baik ada encik.” Noraini kelegaan.
“Kenapa kak?”
“Eh, sebelum tu. Encik sibuk tak pagi ni?”
“Pagi ni? Tak sibuk sangat. Cuma tengah hari nanti ada
appointment dengan client. Kenapa kak?” Dalam masa yang sama
kepala Iddin berfikir. Mengingati kembali jadual kerjanya untuk
hari ni.
“Encik, boleh tak hantar Suriya ke klinik?”
“Hantar Suriya ke klinik? Kenapa kak?” Pelik Iddin.
Tiba-tiba Noraini suruh hantar Suriya ke klinik.
“Kaki dia cedera. Tertusuk kaca katanya. Tapi degil
jugak nak kerja hari ni. Akak bimbanglah nak biarkan dia pergi
sorang ke klinik. Naik teksi pulak tu,” terang Noraini.
“Oh. Mana dia? Jom, saya bawa ke klinik.” Laju Iddin
menyahut. Menggelabah pun ya jugak. Sampai Noraini senyum
melihat Iddin begitu. Dia dah banyak makan garam, dah faham
sangat dengan tingkah begini.
“Su ada kat meja dia.”
Mereka beriringan ke arah meja Suriya.
“Su, Encik Iddin yang akan hantar Su ke klinik. Dah,
tak payahlah buat kerja tu.”
Suriya yang sedang memandang skrin komputer
tersentak. Dia pandang Noraini. Iddin pula dia hanya jeling
dengan ekor mata. Dia bagi isyarat mata dengan Noraini. Kak,
tak ada orang lain ke? Cubalah cari orang lain. Yang penting
bukan dia! Suriya berasa mahu menjerit aje.
“Su, cepatlah.” Gesa Noraini. Dia buat-buat bodoh aje
dengan isyarat mata daripada Suriya. Nak tak nak, terpaksalah
Suriya bangun. Langkah diatur perlahan-lahan. Dia yang tak
mahu banyak berjalan, terpaksa juga berjalan.
“Akak bawa Suriya ke lobi, saya nak keluarkan kereta
sekejap.” Arah Iddin. Lantas dia berlalu ke ruang parkir,
meninggalkan Suriya yang macam susah sangat nak berjalan
itu.
“Jom,” Noraini paut lengan Suriya, membantu cik adik
itu berjalan.
MEREKA DIAM tak berkutik sejak masuk ke dalam kereta.
Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri. Jarak klinik
dengan bangunan pejabat IMIA Technology hanya lima
kilometer sahaja. Jadi, Suriya tak sempat nak rasa bosan. Tuptup,
dah sampai di klinik.
Kereta berhenti di petak parkir. Suriya buka pintu di
sebelah kirinya.
“Boleh jalan tak ni?” Soalan pertama keluar dari bibir
Iddin. Dia sudah berdiri di sebelah pintu kereta. Kalau ikutkan
hatinya, mahu aje dia dukung cik adik ni. Tapi, mereka belum
halal. Kalau Suriya ni isterinya, dah lama dia dukung. Nampak
seksa sangat setiap kali kaki itu mahu melangkah.
Suriya diam. Selagi dia boleh melangkah, selagi itu dia
akan berusaha melangkah sendiri. Selepas peristiwa semalam,
rasanya dia memang tak nak jumpa lelaki ini lagi. Terasa
malunya berinci-inci. Ini semua angkara Rozairul. Tak pasalpasal
dia yang tanggung malu.
Melihat Suriya yang kekal senyap begitu, Iddin
akhirnya paut lengan Suriya. Suriya cuba menolak. Tapi cepat
Iddin bersuara.
“Jangan nak melawan. Kalau awak jatuh, lagi sakit kaki
tu.” Penuh rasa bimbang, dalam nada lelaki itu.
Akhirnya Suriya berdiam diri. Sudah malas dia nak
melawan lagi.
“Keluarkan IC awak.”
“Nak buat apa?” Pertama kalinya pagi itu mulut Suriya
bersuara.
“Nak daftar kat kaunterlah.”
Lambat-lambat Suriya keluarkan purse dari beg
tangannya. IC bertukar tangan. Dia duduk di kerusi menunggu,
manakala Iddin ke kaunter untuk pendaftaran. Usai mendaftar,
Iddin duduk di sebelah Suriya. Sementara menanti nama Suriya
dipanggil, sempat lagi dia membelek kad pengenalan Suriya.
Comelnya gambar pada kad pengenalan tu.
Belum pun sempat Iddin tenung lama-lama wajah
itu, Suriya pantas menyambar kad pengenalannya dari tangan
Iddin. Iddin pandang Suriya. Mencerlung sepasang mata itu
memandang Iddin.
Alah, tengok aje pun. Bukannya dia usik tuan gambar
tu. Bisik hati Iddin.
“Cik, dah boleh masuk sekarang.” Panggil petugas di
kaunter.
Dengan susah payahnya Suriya bangun dan melangkah
ke bilik doktor. Iddin setia mengekori dari belakang.
“Sila duduk. Sakit apa ni?” Doktor yang memakai tag
nama Intan Zahara itu menyoal Suriya.
“Kaki dia terkena kaca,” laju mulut Iddin menjawab.
Doktor tanya Suriya, dia pulak yang sibuk-sibuk menjawab.
Iddin turut duduk di kerusi bersebelahan Suriya. Lagak mereka
tak ubah seperti pasangan kekasih. Suriya jeling orang sebelah.
Sibuk aje! Rungut hatinya.
“Oh, awak duduk di atas katil ni. Saya nak tengok luka
tu,” arah Doktor Intan Zahara.
Suriya patuh. Dia melangkah ke arah katil yang
dimaksudkan itu. Doktor Intan Zahara mula menjalankan
kerjanya. Iddin hanya bertindak sebagai pemerhati. Balutan
di kaki dibuka perlahan-lahan. Dahi Suriya berkerut menahan
kesakitan.
“Nasib baik encik cepat bawak isteri encik ni ke klinik.
Dah nak melarat luka ni. Nasib baik tak bernanah.” Ujar doktor
muda itu sambil membersihkan luka Suriya.
Isteri? Suriya berasa air liurnya tersekat di kerongkong.
Payah sekali untuk ditelan. Aku dikatanya isteri kepada mamat
ni? Heh! Doktor ni betul-betul tak pandai tengok orang. Rungut
Suriya. Dia pandang Iddin di sebelah. Amboi, lebarnya senyum.
Senyum ada makna tu! Suriya gigit bibir bawah.
Iddin tak sudah-sudah senyum. Siapa tak senyum
kalau orang cakap Anggerik tu isteri dia. Sudahlah si Anggerik
tu pujaan hatinya. Kembang rasa hati.
“Okey, dah siap. Nanti ambil ubat di kaunter ya. Oh
ya, luka tu encik kena tengok-tengokkan juga.” Pesan Doktor
Intan Zahara.
“Baiklah, doktor. Terima kasih,” balas Iddin sambil
tersenyum. Dia cuba memaut lengan Suriya. Kononnya mahu
membantu Suriya berjalan. Sudah diberi gelaran ‘suami’
makanya dia perlulah berlagak sebagai seorang suami yang
sangat bertanggungjawab.
“Err… Dah lama ke kahwin?” Tiba-tiba Doktor Intan
Zahara menyoal. Di matanya pasangan ini sangat serasi. Bagai
pinang dibelah dua.
“Baru lagi,” selamba badak Iddin menjawab. Muka
Suriya pula sudah berbahang. Dah tak tahu nak sorok kat mana
lagi muka tu.
“Kami minta diri dulu, doktor.” Sambung Iddin
kemudiannya. Doktor Intan Zahara hanya menganggukkan
kepalanya.
“KENAPA ENCIK cakap saya ni isteri encik pada doktor tu?”
Rasa marah yang membuak-buak di dalam hati yang dia tahan
sejak di klinik tadi dihamburkan keluar.
“Saya tak cakap tapi doktor tu yang cakap.” Iddin
membela diri.
“Yang encik pergi iakan aje tu kenapa?”
“Kalau saya tak iakan, saya nak mengaku awak ni
sebagai apa? Kawan? Kita tak pernah pun berkawan.” Kening
Iddin terjongket menanti jawapan Suriya.
“Saya cuma pekerja encik, tak lebih daripada tu. So
mengaku ajelah sebagai pekerja. Bukan susah pun.” Nada suara
Suriya naik sedikit.
“Tapi saya tak anggap awak sekadar pekerja saya. Saya
anggap awak lebih daripada tu.” Balas Iddin perlahan.
“What???” Woo… Suriya sudah naik angin.
“Saya nak terima cadangan abang awak semalam.”
Spontan ayat itu keluar dari mulut Iddin.
“No!” Berombak dada Suriya menahan marah. Semua
ni betul-betul kerja gila!
“Kalau encik nak kahwin, jangan libatkan saya!
Kahwinlah dengan perempuan lain tapi bukan dengan saya!”
Tinggi nada suara Suriya. Dia tak dapat berfikir dengan waras
ketika itu.
“Kenapa?”
“Saya tak nak!”
“Tapi saya nak.”
“Saya kata saya tak nak, maksudnya saya tak naklah!”
“Tapi saya tetap cakap nak.”
“Huh!” Suriya hilang kata-kata.
Iddin bawa keluar telefon pintarnya dan terus mendail
nombor pejabat.
“Kak, bawa turun beg kerja Suriya. Lagi lima minit
saya sampai. Akak bawa turun ke lobi ya, saya dah tak naik ke
atas.” Iddin mengeluarkan arahan. Sejurus mendapat balasan,
telefon kembali diletakkan di tepi tempat duduknya.
“Kenapa pulak dengan beg kerja saya?” Nada Suriya
masih sama seperti tadi. Angin puting beliung tak surut-surut
lagi.
“Saya hantar awak balik.”
“Saya tak nak balik. Kerja saya berlambak kat opis
tu. Saya nak sambung buat kerja.” Separuh merayu Suriya
membalas.
“Nak buat kerja dengan keadaan macam ni? Biar kaki
awak baik dulu, baru awak boleh sambung kerja.”
“Yang sakit, kaki... bukan tangan saya. Saya masih
boleh buat kerja saya,” Suriya cuba berdegil.
“Boleh tak jangan degil. Ikut aje arahan saya, susah
ke?” Suara Iddin meninggi sedikit. Terkedu Suriya seketika.
Ambik kau!
“Orang bagi cuti tu... suruh rehat, ini tak... sibuk nak
buat kerja dia.” Omel Iddin sendirian.
Keadaan mereka kekal begitu sepanjang perjalanan.
Dua-dua membisu. Suriya nak memprotes tapi akhirnya dia
juga yang kalah. Segala keputusan terletak di bahu encik
bosnya. Huh! Macam ni nak kahwin? Sah-sah nanti aku kena
ikut telunjuk dia! Omel hati Suriya kegeraman.

No comments:

Post a Comment