Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 8

MASUK saja ke dalam ruang pejabat, Noraini terus
menerpa ke arah Suriya. Senyuman semanis gula dia hadiahkan
untuk Suriya. Dahi Suriya berkerut melihat cik kak sorang ni.
Melihat cara Noraini senyum, Suriya dah boleh baca. Senyuman
ada makna tu.
“Adik manis, adik manis pergi mana? Kelam-kabut
mengalahkan menteri.” Noraini mula memainkan peranan.
Menyoal itu, ini.
Suriya senyum dengan soalan Noraini. Dia duduk di
kerusinya sambil menyimpan beg tangan ke dalam laci. Butang
on pada komputer dia tekan kembali, menyambung kerjanya
yang tergendala sejak empat jam yang lepas.
“Su, akak tanya Su ni.” Berangin pula Noraini apabila
Suriya tidak mengendahkan soalannya.
“Bos akak paksa saya jumpa client, puas hati?” Tanpa
nada Suriya memberitahu.
“Dia ajak jumpa client? Tapi kenapa dia ajak Su?” Dahi
Noraini berkerut tanda sedang memikirkan persoalan itu. Cara
fikir tu macamlah sedang fikir masalah dunia!
“Oh akak sayang. Tolong jangan tanya saya soalan tu.
Saya tak ada jawapan untuk soalan akak tu.” Mata Suriya tekun
memandang skrin komputer.
“Tapi kan, Su ni pekerja perempuan pertama yang dia
bawa jumpa client tau. Selalunya... Bad la yang teman dia walau
ke mana saja dia pergi.” Noraini berjeda seketika.
“Ke... Su dengan bos ada apa-apa?” Noraini menyerkap
jarang. Keningnya tergerak-gerak tanda mahukan jawapan.
“Ada apa-apa pulak akak ni?” Suriya tak senang dengan
tekaan Noraini. Kak Ani suka betul kenenkan dia dengan bos
besar tu. Bisik hati kecilnya.
“Apa-apalah. Ala yang ehem-ehem tu,” Noraini sengih.
“Ehem-ehem apa akak ni? Akak jangan cuba buat gosip
liar. Dosa tau!”
“Eh, akak bukan saja-saja buat gosip tau. Ada orang
nampak Su naik kereta Encik Iddin tengah hari tadi. Kalau tak
sungguh, orang tak mengata tau. Eleh, mulut cakap lain. Dalam
hati orang lain tak tahu. Mesti tengah ada taman dalam hati tu.”
Noraini sengih lagi. Tak lenguh ke cik kak oi tersengih gitu!
Erk! Ada orang nampak ke? Jari-jemari yang tadinya
ligat mengetuk papan kekunci komputer terhenti mendadak.
Pantas dia memandang Noraini. Mata mereka tepat berpadu.
“Sungguh kak? Siapa yang nampak?” Menggelabah
sekali Suriya menyoal Noraini.
“Ada la…” Noraini nak main teka-teki pula. Dia berlalu
dari meja Suriya ke mejanya.
“Akak, cepatlah!” Suriya berdiri spontan. Suaranya
sedikit menjerit. Sampaikan Maria yang sedang berbincang
dengan Yusof turut sama tercengang dan pandang Suriya
pelik. Suriya tekup mulut. Tak sangka pulak masih ada orang
di pejabat ni.
“Sorry,” ucap Suriya tulus, menyedari kesilapan diri.
“Akak sambung minggu depan ya, bye-bye.” Selamba
bibir Noraini berkata.
“Oh, sebelum terlupa. Su hutang dengan akak satu
cerita. Akak tuntut minggu depan tau!” Noraini memberikan
peringatan. Sempat dia ketawa kecil dengan tingkah Suriya
tadi. Noraini melenggang berlalu ke arah lif dengan beg tangan
di bahu. Siap lambai tangan lagi.
Kak Ani dah nak balik ke? Suriya pandang jam di skrin
komputer. Patutlah Kak Ani balik, dah hampir pukul 6.00 petang
rupanya. Bisik hati kecilnya. Suriya kembali menghenyak
punggung di atas kerusinya. Matanya kembali memandang
komputer. Aduh! Macam mana nak teruskan kerja kalau hati
tak tak tenang. Ni Kak Ani punya pasallah ni!
TEPAT PUKUL 5.00 pagi, tangan Iddin meraba-raba sisi sebelah
kirinya. Dia mencari telefon bimbit yang memang diletakkan
di bawah bantal. Mata dibukakan sedikit dan tangannya ligat
menutup penggera yang membingitkan telinga. Samsung
Galaxy Note II dibiarkan bisu di sebelah bantalnya.
Lima minit dia termenung di atas katil. Peristiwa
seminggu yang lepas kembali terlayar di ruang matanya.
Spontan senyum dilorekkan di bibir. Teringat kembali peristiwa
dia memaksa gadis naïf bernama Suriya Anggerik. Dia tahu
Suriya sepatutnya tak terlibat langsung dalam perbincangan
itu. Tapi sengaja dia heret Suriya atas tiket sebagai peneman.
Masih terbayang di ruang mata riak mencuka wajah
yang comel itu. Muka masam, mulut memuncung. Bagi dia,
wajah itu sangat cantik dengan reaksi yang sebegitu. Masih
teringat lagi di benak Iddin. Kalau ikut hatinya, mahu dia
melambakkan ketawa di situ juga. Namun dia sedar, jika dia
ketawa, seperti sengaja menempah maut sendiri!
“Anggerik!” Dalam suara parau, bibirnya menyebut
perlahan.
Tok… Tok… Tok… pintu biliknya diketuk dari luar. Itu
mesti Mak Yam. Agak hatinya.
“Din, dah bangun ke belum? Hari ni kamu kerja tak?”
Suara Mak Yam menampan telinga.
“Dah bangun Mak Yam, macam biasa aje.” Balas Iddin.
Lantas dia bangun dari pembaringan. Telinganya
menangkap derap tapak kaki Mak Yam yang semakin menjauh.
Tuala di rak dia capai dan terus berlalu ke bilik air. Dia tak
boleh berlama-lama. Kalau nak termenung lama-lama, dia kena
cari hari dan waktu lain. Hujung minggu ni ada tugas yang
menantinya di rumah Allah. Apa tugasnya? Rahsia!
SURIYA TERJAGA daripada lenanya. Seperti ada yang
memanggil namanya. Sebab itu dia terjaga. Dia toleh ke kiri
dan ke kanan. Keadaan sekeliling masih gelap-gelita. Tapi siapa
yang memanggilnya? Rozairul? Bukan rasanya. Rozairul ada
di Perth sekarang ni. Baru petang semalam dia berbual-bual
dengan alongnya. Suriya kebingungan.
Dia bergolek ke kiri. Telefon bimbit jenama Blackberry
hadiah pemberian Rozairul, dia ambil dari atas meja sisi.
“Baru pukul 5.30 pagi. Awal lagi!” Dengus Suriya
perlahan.
Mukanya kembali disembamkan di atas bantal. Malas
weh! Dia ni jenis kalau dah bangun memang susah nak tidur
balik. Matanya sudah terkebil-kebil di sebalik bantal. Sepuluh
minit jugak dia berkelakuan begitu. Badan diterbalikkan. Mata
mengadah siling. Ni la padahnya apabila terjaga. Lepas tu tak
tahu nak buat apa. Boring!
Allahuakbar Allahuakbar…
Laungan azan subuh dari masjid berhampiran
mengejutkan Suriya daripada lamunan panjang. Dia menghayati
setiap bait azan yang berkumandang. Terasa sangat nyaman
di pendengarannya. Dia kaku di atas katil sambil menghayati
alunan memanggil umat Islam mengerjakan suruhan Allah.
Sungguh... suara itu sangat merdu hinggakan Suriya terpaku.
Suriya pantas membaca doa sejurus laungan ayat
terakhir azan yang membawa maksud Tiada Tuhan Melainkan
Allah. Dia merajinkan diri bangun dari pembaringan. Tak
boleh malas-malas. Nanti syaitan lagi suka kalau anak Adam
malas. Dia melangkah longlai masuk ke dalam bilik air selepas
mencapai tuala.
“ASSALAMUALAIKUM,” SAPAAN salam dari belakang
mematikan langkah Iddin. Dia berpusing. Seorang lelaki yang
lengkap berbaju Melayu berdiri tegak di hadapannya kini.
Wajah lelaki itu samar-samar di pandangan mata Iddin. Masih
awal pagi, matahari pun masih tak muncul lagi. Tambahan pula
sekarang ni cuaca tak menentu. Sering saja hujan walau bukan
musim tengkujuh.
“Wa’alaikumussalam,” Iddin sambut huluran salam
Rozairul.
“Lama tak nampak kau? Opss… Sorry, aku ni lebih
senang berkau dan aku aje. Tak selesa nak bersaya dan awak.”
Lelaki di hadapan Iddin ramah berterus-terang.
Sudah lama sebenarnya Rozairul nampak lelaki itu
setiap kali solat berjemaah di sini. Sebelum ni dia memang tak
sempat nak menegur. Sebabnya sejurus saja menunaikan solat,
bayang lelaki itu pasti hilang begitu sahaja. Hari ini sempat pula
dia kejar lelaki itu.
“Oh, tak apa. Aku Amsyar. Kebiasaannya aku sibuk
kerja. Biasalah, kerja office hour. Masuk pagi, balik malam.
Cuma hari minggu macam ni saja boleh aku meriahkan masjid.”
Ramah Iddin membalas.
“Aku Azwan. Oh, macam tu. Kau tinggal kat mana?”
Mereka berbual sambil berjalan. Iddin merapati keretanya,
Mitsubishi ASX.
“Aku tinggal dengan ayah aku kat Taman Country
Height.” Balas Iddin sambil menekan penggera kereta.
Anak orang berada juga dia ni. Desis hati Rozairul.
Daripada gaya, kereta yang dipakai dan cara pembawakan diri,
Rozairul awal-awal sudah mengagak tentang hal ini. Tambah
lagi apabila Iddin mengatakan dia tinggal di Taman Country
Height. Memang tak syak lagi. Hanya orang yang mempunyai
pendapatan menjangkau lima angka sebulan sahaja yang
mampu tinggal di sana.
“Kau pulak?” Iddin tiba-tiba menyoal.
“Taman Puncak Saujana.”
Taman Puncak Saujana? Kawasan perumahan
Anggerik. Mereka berjiran ke? Pantas hati Iddin terdetik sendiri.
Ah, ada banyak rumah di sana. Nama taman aje yang sama pun.
“Err… Maaf aku bertanya. Kau ni memang selalu jadi
muazin kat masjid ke?” Rozairul menyoal kemudiannya.
“Taklah selalu. Cuma kalau ada kelapangan saja.”
“Senang pulak kau diterima bekerja di sini.”
Iddin senyum segaris.
“Aku tak kerja kat masjid ni tapi aku lakukan semua
tu kerana Allah. Bukan sebab bayaran. Aku tak minta bayaran
dunia. Tapi aku cuma mahukan bayaran akhirat. Alhamdulillah,
aku mahu kejar yang di sana,” jujur dan mendalam tutur kata
Iddin. Sejujurnya itulah yang dia kejar.
“Oh, macam tu,” Rozairul berjeda seketika. Kunci dari
dalam poket baju Melayu dia keluarkan.
“Okeylah, aku gerak dulu. Senang-senang kita boleh
jumpa lagi,” ujar Rozairul meminta diri. Usai bersalaman, dia
melangkah ke arah Nissan Latio miliknya.
Iddin masuk ke dalam perut kereta. Dia sempat
memandang kereta milik Azwan, lelaki yang baru dikenalinya
berlalu pergi. Hon dibunyikan tanda meminta diri. Iddin
anggukkan kepala sambil senyum. Kemudian giliran dia pula
perlahan-lahan berlalu pergi dari perkarangan masjid.
SELESAI MENUNAIKAN solat subuh, Suriya turun ke tingkat
bawah. Ruang tamu tempat pertama yang dia tuju. Kalau hari
tak bekerja seperti hujung minggu begini, dia akan membuka
tingkap supaya udara segar bebas masuk ke dalam rumah.
Barulah terasa selesa. Cadangnya pagi ni dia nak sudahkan kerja
yang amat-amat banyak itu. Hmm… Kalau Rozairul ada, boleh
disuruh abangnya itu pergi membeli sarapan di warung hujung
taman tu. Kat dapur tak ada barang basah untuk dimasak.
Sekadar minuman tu, ada lagi. Tapi Rozairul tak ada kat sini
pula. Haih!
Ketika kakinya melewati sofa berangkai tiga, matanya
terpandangkan susuk tubuh seseorang di situ. Teragak-agak
dia merapati sofa tersebut. Manalah tahu jika penyangak yang
tumpang tidur di situ. Eh, ada ke? Merepek betul aku ni! Apabila
kaki semakin hampir dengan sofa, barulah dia nampak dengan
jelas wajah yang menghuni sofa itu. Dia tundukkan sedikit
tubuh dan tangan kanan menyentuh bahu lelaki tersebut.
“Along, along.” Dua kali dia memanggil tapi
panggilannya tak diendahkan. Tidur mati ke apa ni?
“Along,” dia cuba memanggil sekali lagi.
“Hmm…”
“Kenapa tidur kat sini?” Suriya menyoal.
Suriya bangun dan berlalu ke arah tingkap. Tingkap
dibuka dan langsir disisir ke tepi. Membiarkan udara bebas
keluar masuk. Bukan semua tingkap yang dia buka. Hanya
sebilangan saja. Dia berpaling kembali ke arah sofa.
“Along? La… Sambung tidur balik.” Gumam Suriya.
Suriya berlalu ke dapur. Tangan ligat mengisi air ke
dalam cerek elektrik. Sementara menanti air masak, dia kembali
ke ruang tamu. Penyapu dan penyodok sampah di dalam stor
sempat dia capai. Okey, misi mengemas rumah dahulu ye tuantuan,
puan-puan. Sebelum dia mendapat kerja dulu, semasa dia
menyandang jawatan penganggur tetap, hari-hari dia bersihkan
rumah ni. Tapi sekarang, jangan kata nak kemas rumah, nak
tengok TV pun dia tak ada masa. Sibuk sangat dengan kerja.
“Along, along.”
“Ada apa?” Rozairul kalihkan badan ke kiri. Sikit lagi
nak tergolek jatuh ke bawah.
“Nanti along pergi beli breakfast kat warung Cik Mas
ya, adik tak masak. Dapur dah kosong,” ujar Suriya sambil
membetulkan kedudukan karpet di depan almari TV.
“Hmm…”
Mendengar sahutan Rozairul, Suriya diam. Dia tekun
dengan kerjanya. Selesai mengemas, dia ke dapur. Masa untuk
membancuh air pula. Siap membancuh seteko air Milo, Suriya
tatang dulang berisi teko dan dua biji mug ke meja makan.
“Along, cepatlah bangun. Nanti habis pula makanan
kat warung Cik Mas tu.” Suriya gerakkan kembali Rozairul.
“Hmm…” Malas Rozairul menyahut.
“Along!” Nada suara Suriya sudah naik satu oktah
kerana Rozairul yang macam sengaja buat bodoh. Geramnya!
“Yalah, yalah.” Rozairul bangkit malas. Sempat lagi tu
dia termenung seketika di atas sofa.
“Pukul berapa sampai? Semalam cakap tak sempat
balik,” Suriya pandang sisi Rozairul yang masih lengkap dengan
sepersalinan baju Melayu itu. Cuma songkok kat kepala aje yang
dah terbang. Ni mesti baru balik dari masjid. Rozairul memang
selalu berjemaah di masjid kalau dia ada di rumah.
“Along silap tengok jadual.”
“Oh, macam tu.” Melihat alongnya seperti mahu
melabuhkan kembali kepala di atas sofa, Suriya cepat-cepat
bersuara.
“Along! Hesy, macam mana nak ada isteri kalau macam
inilah gayanya. Adik suruh sikit dah susah nak bangun…”
Suriya sudah mahu memulakan sesi membebel di pagi hari.
“Haip! Sudah! Jangan nak start membebel. Bingit
telinga ni,” sebelum Suriya meneruskan sesi memberi ceramah
secara percuma, adalah lebih baik dia cepat-cepat hentikan.
Rozairul bingkas bangun dan menapak ke tangga.
“Orang baru cakap sikit.” Protes Suriya perlahan.
Muncung itik sudah terbentuk di bibir itu.
“Dik,” Rozairul tiba-tiba memanggil. Kakinya terhenti
melangkah di anak tangga. Suriya pandang alongnya. Kening
turut terjongket sama.
“Tadi along jumpa seseorang di masjid.”
“Siapa?”
“Entah. Dah lama along perhatikan dia ni. Dah
beberapa kali along nampak dia jadi muazin kat masjid tu tapi
bukan selalu. Maksudnya macam cuti hujung minggu ke, along
mesti nampak dia kat masjid. Lepas dah lama perhatikan dia,
pagi tadi along sempat sapa dia. Muda lagi orangnya,” beria-ia
Rozairul bercerita. Sedangkan part muda ke tua tu... Suriya tak
tanya pun.
“So?”
“Along sempatlah berborak dengan dia sekejap. Along
tanya, dia memang jadi muazin di situ ke? Along nak kepastian
aje sebab jarang-jarang nampak dia. Su tau tak dia jawab apa?”
Bersinar mata itu bercerita.
“Apa dia?” Along ni pun satu. Kalau nak cerita tu, cerita
ajelah sampai habis. Tak payahlah nak tanya-tanya. Macamlah
adik dia ni rajin sangat nak fikir.
“Dia jawab, aku tak kerja di masjid ni, tapi aku lakukan
semua tu kerana Allah. Bukan sebab bayaran. Aku tak minta
bayaran dunia. Tapi aku cuma mahukan bayaran akhirat.
Alhamdulillah, aku mahu kejar yang di sana. Wow! Meremang
bulu roma along bila dengar dia cakap macam tu. Daripada
cara dia, along dah dapat agak, dia ni mesti anak orang kaya.”
Rozairul ulang kembali jawapan yang dikatakan oleh Iddin.
“Kalau dia anak orang kaya pun, apa kaitan dengan
kerja dia jadi muazin tu?” Dahi Suriya berlapis. Dia tak dapat
tangkap lagi maksud kata-kata alongnya.
“Dik, mana ada orang buat kerja free dalam dunia ni?
Cuba bagi tahu along. Yang jadi sukarelawan kat luar sana pun
ada yang ditaja tau. Tambah lagi pakai kereta mewah. Sah-sah dia
anak orang berada.” Dengan yakinnya Rozairul mengeluarkan
usulnya sendiri.
“Hmm… Apa-apalah along. Eh, cepatlah pergi beli
sarapan. Banyak cerita pulak along ni,” Suriya mematikan niat
Rozairul yang masih mahu bercerita lagi.
“Yalah, yalah.”

No comments:

Post a Comment