Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 11



Kahwin! Kahwin! Kahwin!
Debaran hati Kudin sungguh-sungguh tidak terucap. Pertama kali berhadapan dengan tok kadi, memang lain benar perasaannya. Masa bersunat dulu pun tak sehebat ini cemasnya. Melihat wajah serius jurunikah itu pun dia rasa macam nak berpeluh. Lelaki itu masih sibuk membelek setiap dokumen pasangan yang mahu bernikah itu.
“Tengku Raden Emranuddin..”
“Ya, saya..” jawab Kudin sedikit gugup.
“Cuba mengucap dua kali masyahadah,” ucap lelaki itu.
Lancar sahaja Kudin menyebut kalimah yang diminta lelaki itu.
“Alhamdulillah.. mudah ajakan?” ucap jurunikah itu sambil tersenyum kepada Kudin.
Kudin sekadar tersenyum kambing dalam mengimbangi rasa menggelabahnya. Apa pulak soalan lepas ni? Kudin masih tidak mampu menangkan jiwanya.
“Ni soalan ramai yang pengantin tak berapa tahu dan tak mahu ambil tahu. Tapi saya nak uji pengantin ni sikit. Boleh?” soal jurunikah itu kepada Kudin.
 Terangguk-angguk Kudin. Takkanlah nak cakap tak boleh pulak. Jadi dia reda sahajalah. Kalau tak dapat jawab dia diam ajalah. Senang!
“Terangkan apa maksud zihar..”
“Erk? Zihar?” Kudin sudah tercengang memandang lelaki itu.
“Zihar.. bukan dinar,” ucap jurunikah itu sengaja mahu berseloroh. Dia tergelak sedikit diikuti saksi-saksi mata yang lain.
Edrina mencebik. Apalah punya soalan? Tanyalah soalan yang lagi mencabar. Biar dia malu. Padan muka dia.. bisik hati kecilnya.
“Tahu ke tak tahu?” soal jurunikah itu kepada Kudin yang terkebil-kebil sendiri.
“Emm.. sekejap. Saya nak ingat semula..” Kudin memandang atas seketika. Bersungguh-sungguh dia berfikir mencari apa definisi yang selari dengan perkataan zihar itu.
“Ha.. saya dah ingat. Zihar adalah perbuatan seorang suami yang menyamakan isterinya dengan mana-mana perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya. Perempuan yang diharamkan berkahwin tersebut hendaklah yang diharamkan berkahwin buat selama-lamanya seperti ibu dan anak perempuan. Biasanya menerusi percakapan berserta niat menziharkan isteri tersebut. Tetapi tidak dikira yang hanya terlintas di dalam hati,” jawab Kudin bersungguh dan penuh teratur.
Edrina terkedu memandang bakal suaminya itu. Ish! Dia boleh tahu pulak jawapannya. Aku pun tak tahu apa benda zihar tu. Kalau dinar tu aku tahulah. Tok kadi, tanya lagi soalan lain. Suruh dia sebut tafsir Al Quran sampai habis ajalah.. bisik hatinya sendiri.
“Contoh zihar ni macamana?” tanya jurunikah itu lagi.
“Emm.. contohnya menyamakan lengan isteri dengan lengan ibu kandung atau adik kandung. Atau mana-mana anggota lain,” jawab Kudin semakin yakin.
“Kalau dilakukan oleh suami, apa hukumnya?”
“Hukumnya haram kerana mengharamkan sesuatu yang halal untuknya dan terpaksa membayar kifarat.”
Jurunikah itu memandang dua saksi yang berada di sebelah pengantin lelaki itu. “Pandai kamu ya. Ramai orang nak terkencing bila ditanya tentang itu. Ada yang langsung tak pernah dengar pun perkataan tu,” puji jurunikah itu sambil menepuk bahu Kudin.
Kudin tersenyum lebar. Leganya dia.. janganlah tanya tang lain pulak. Buatnya tanya soalan yang dia tak tahu, memang teballah mukanya. Dia pun bukannya pandai benar. Asas-asas adalah sikit-sikit.
Edrina mencebik. Sukalah tu orang kata dia pandai, hati kecil si gadis tidak habis-habis mahu mencari fasal dengan si Kudin itu. Entah apa yang dia alergik benar dengan si Kudin itu pun entahlah.
“Bolehlah kita mulakan ya?”
“Yalah..” jawab Kudin pantas. Tak sanggup lagi dia ditanya soalan di hadapan orang ramai begitu. Malu!
“Bukan kamu yang saya tanya! Saya tanya bapak pengantin perempuan ni. Tak sabar dah kamu ya?” tegur tok kadi lantas ketawa. Kepalanya digelengkan melihat kekalutan anak muda itu.
“Ha? Err.. Pak Engku dah boleh mula ke?” ucap Kudin sekadar mahu menutup malu. Menggelabah benar dia di hadapan lelaki itu.
Tetamu yang datang terus tergelak melihat gelagat Kudin. Merah muka Kudin mendengar gelak tawa bergaung seisi rumah banglo itu. Tak nak malu, malu jugak akhirnya.
“Boleh.. boleh..” Tengku Ahmad Ehsan tersenyum sendiri melihat gelagat bakal menantunya itu.
“Kita mulakan dengan pengantin perempuannya dulu.” Jurunikah itu mula memandang Edrina yang duduk paling hadapan di kalangan wanita-wanita itu.
“Tengku Nur Edrina binti Tengku Ahmad Ehsan, sudi tak sekiranya saya nikahkan kamu dengan lelaki ni?”
Edrina memandang Kudin yang menoleh sedikit kepadanya. “Nasib baik kau hensem sikit malam ni, Kudin. Kalau tak aku jawab tak nak kahwin dengan kau!” ucap Edrina selamba sambil mencebik kepada Kudin.
Jurunikah itu tercengang seketika memandang Tengku Ahmad Ehsan. Namun di sekeliling mereka sudah meriah dengan gelak tawa orang ramai. Masing-masing gelihati dengan gelagat pasangan itu.
“Inilah pertama kali saya dengar pengantin perempuan jawab begitu. Maksudnya setujulah tu ya?” jurunikah itu akhirnya ikut ketawa.
Kudin sudah tergaru-garu pipinya. Dia sendiri tidak menyangka Edrina akan berkata begitu di hadapan orang ramai. Saat lelaki itu menghulurkan tangan kepadanya, dia sempat meminta sesuatu di dalam hati.
Ya Allah.. aku mendirikan masjid ini karana aku adalah hamba Mu juga demi sunnah Rasul junjungan ku. Lindungilah masjid ku ini, Ya Allah. Permudahkanlah diri ku sebagai suami.
“Tengku Raden Emranuddin bin Muhammad Akhbar..”
“Saya..”
“Aku nikahkah akan dikau dengan Tengku Nur Edrina Binti Tengku Ahmad Ehsan berwakil walikan akan Tengku Ahmad Ehsan kepada diri ku dengan mas kahwinnya senaskah Al Quran dan Ringgit Malaysia 300, tunai!”
“Aku terima nikahnya Tengku Nur Edrina Binti Tengku Ahmad Ehsan dengan mas kahwinnya senaskah Al Quran dan Ringgit Malaysia 300, tunai!”
“Diterima ke?” jurunikah itu mula memandang saksi di tepinya itu. Kedua-dua lelaki itu terus menyebut ‘sah’ menandakan ikatan suci antara dua manusia itu sudah pun selamat terjalin.

Siang di rumah malam bersanding pula di hotel 5 bintang!
Tidak pernah itu menjadi impian mamat kampung sepertinya. Tetapi itulah yang berlaku saat ini. Semenjak dalam perjalanan lagi dadanya sudah berdegup semacam. Dengan tuksedo hasil rekaan pereka terkenal dan berkenderaan mewah seperti orang kaya, entah kenapa Kudin terasa cukup asing saat ini. Seolah-olah dia sedang berada di dunia yang lain. Seolah-olah kini dia sudah menjadi orang lain.
Edrina di sebelah nampak biasa sahaja. Maklumlah memang sudah biasa dengan dunia penuh glamour seperti itu.
Pandangan mata orang ramai di dalam dewan itu saat mereka masuk ke mula membuatkan Kudin terasa mahu balik sahaja. Segannya dia hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sebelum ini dia sudah dilatih berjalan di karpet merah itu bersama Edrina oleh perancang perkahwinan. Namun waktu itu tentulah dia tak segemuruh ini kerana waktu itu dewan itu mana ada orang! Walaupun mereka berdua ditemani oleh gadis-gadis bunga yang entah siapa-siapa tetapi Kudin macam tidak larat mahu mengangkat muka tatkala pandangan semua orang terhala kepada dia dan Edrina. Kena pulak berjalan terhegeh-hegeh di karpet merah itu.. lagilah dia kalut sendiri. Dia yang terlebih cemas sedangkan Edrina selamba saja dilihatnya.
Duduk di atas singgah sana dia sudah tidak tahu mahu memandang ke mana. Mukanya tebal setebal-tebalnya. Serba tak kena dia melihat pandangan orang ramai kepadanya.
Usai menadah diri kepada upacara tepung tawar, upacara makan beradab pula. Lagilah dia kekok mahu makan dengan pandangan semua orang kepadanya. Kemudian jurugambar mulalah menambah stressnya dengan segala macam permintaan. Mahu dia menyuap pengantin perempuanlah pulak. Mahu tak mahu Kudin memaksa diri melakukan aksi lagak ngeri itu. Terkial-kial dia mengaut nasi dengan sudu untuk disuap kepada isterinya itu.
“Janganlah letak nasi tu banyak-banyak. Macamana aku nak makan. Ni bukannya pertandingan siapa makan paling banyak. Orang semua tengok kitalah,” bisik Edrina dengan senyum simpulnya. Matanya menjeling nasi yang di dalam sudu suaminya itu. Macam nak bagi dia kenyang sampai malam esok aja.
“Oh..” Kudin dengan lagak polosnya menuang sedikit nasi itu sebelum menyuap kepada Edrina. Mujurlah kali ini Edrina agak sporting dengannya walaupun dia tahu semua itu hanya pura-pura di hadapan orang lain.
Tak cukup diberikan cabaran di meja makan dia diuji pula ketika upacara memotong kek. Ingatkan tolong potongkan untuk orang ramai. Rupanya ada juga acara selingan. Kena bersuap bagai. Usai itu dia diminta mencium pengantin perempuan pulak sambil aksinya dirakamkan oleh jurugambar. Masam manis muka Kudin melayan kehendak orang di sekelilingnya. Patutlah orang kata kahwin sekali aja seumur hidup. Memang sekali ini ajalah untuk dia! Tak sanggup dia melalui semua itu lagi. Malu!
“Congrats..” ucapan itu tidak putus-putus disampaikan kepada dua mempelai itu. Kudin rasanya sudah tidak lalu mahu tersenyum. Pipinya sudah kebas mempamir gigi kepada ratusan tetamu yang hadir. Tidak cukup bersanding macam patung cendana, terpaksa pula mengambil gambar sana sini. Itu belum kira lagi yang jurugambar tak berbayar yang mahu mereka beraksi macam-macam.
Letih cukup meletihkan. Dia pula terpaksa membuntuti Edrina ke hulu ke hilir bertemu kawan-kawannya semenjak tadi. Sudahnya dia sekadar jadi tukang pegang hadiah apabila teman-teman isterinya itu menghulurkan hadiah kepada mereka.
“Ada lagi ke tetamu? Bila baru boleh balik?” soal Kudin separuh berbisik kepada isterinya itu.
“Kan ramai lagi tetamu tu?” balas Edrina juga berbisik sambil mengertap gigi. Nak balik cepat kejadahnya? Ingat nak cepat-cepat malam pertama ke apa dia ni? Tak kuasa aku nak duduk belakang unta dengan dia.. kutuk Edrina dalam hati.
“Pukul berapa dia orang nak balik ni? Dah penatlah..” ucap Kudin sendiri sambil memandang sekelilingnya. Saat terpandangkan padangan orang kepadanya dia segera tersenyum lagi.
Edrina mula menoleh kepada lelaki itu. “Nak balik cepat sangat nak buat apa?” soalnya sambil mengertap rahang, geram.
“Dah pukul 12 ni. Dah masuk waktu tidur,” jawab Kudin sebal.
“Kau ni sengal betullah! Dalam waktu-waktu macam ni nak ingat tidur lagi ke?” getus Edrina dengan riak wajah tertahan.
“Yalah.. nikan dah malam pertama. Kenalah cepat balik,” jawapan Kudin semakin tenggelam melihat pandangan tajam Edrina kepadanya. Dia menggaru pipinya seketika sambil memandang wanita itu. Nampak macam tak boleh aja? bisik hatinya sendiri yang mengerti apa maksud renungan itu.
“Hai, Ed..” sapaan seseorang yang datang menemui mereka terus mematikan pertelagahan kecil itu.
“Hai, Gabriel. I tak perasan you datang.” Edrina terus tersenyum manis kepada lelaki itu juga seorang gadis yang berkepit dengan lelaki itu. Pandangan gadis itu melekat erat di wajah Kudin. Edrina sempat memandang Kudin. Lelaki itu sekadar tersenyum biasa.
Apasal pandang laki aku sampai macam tu sekali? bisik hatinya hairan. Ada rasa tidak senang dia melihat gadis itu merenung Kudin begitu.
“Manalah nak perasan. Orang ramai sangat. Lagipun dari tadi I nampak you sibuk dengan semua Tan Sri dengan Puan Sri tu semua. But anyway.. Congratulation!” ucap lelaki itu kepada Edrina namun dia memandang Kudin dari atas ke bawah.
“Thanks..” balas Kudin sambil tersenyum.
“Macam pernah nampaklah. Muka you familiar sangat,” ucap Gabriel sambil menghulurkan tangan kepada Kudin.
“Iya? Pelanduk dua serupa agaknya,” jawab Kudin lantas menyambut huluran tangan lelaki itu. Lisa yang masih terpaku dikerlingnya seketika. Gabriel termanggu seketika seolah-olah sedang berfikir sendiri.
“Lisa..” sapa Kudin sebelum sempat lelaki itu ketemu jawapannya tentang hal pelanduk itu. Edrina mula mengalihkan pandangan kepada suaminya itu. Lisa? Dia juga ikut tertanya-tanya macamana Kudin boleh mengenali pasangan Gabriel itu.
“You kenal Lisa?” Gabriel mula memandang Lisa di sisinya itu. Wajah teman wanitanya itu berubah habis tatkala namanya berlagu di bibir Kudin.
“Dia sekampung dengan I. Kita pernah jumpa..”
“Yes.. I dah ingat. You kerja dengan ayah Lisa ni,” pintas Gabriel dengan mata terbeliak memandang Kudin.
“Correction! Kolam ikan tu saya pemiliknya,” ujar Kudin biasa.
“Really? Lisa kata itu kolam ikan ayah dia,” ujar Gabriel. Sekali lagi wajah Lisa menjadi santapan bola matanya.
Lisa tidak terkata. Dia masih terkejut dengan apa yang dilihatnya saat ini. Dia tidak sangka lelaki di dalam tuksedo itu adalah Kudin, lelaki sekampung dengannya. Dia terasa seperti sedang bermimpi saja.
“Kolam ikan tu saya ownernya,” ucap Kudin sambil mengangguk membenarkan lagi kenyataan itu.
“So macamana you dengan Ed boleh kenal and then get married?” soal Gabriel tidak mengerti. Kali ini pandangan matanya terhala kepada Edrina dengan kerutan di kening.
“Emran ni my second cousin, Gabriel. Dia cucunda Tunku Zarith. Tunku Zarith adik beradik dengan Tengku Syed Muzhaffar my grandfather dan Emran adalah anak kepada Tunku Budriah. You tak kenal Tunku Zarith dan Tunku Budriah sebab mereka dah lama meninggal,” jelas Edrina sengaja memaut erat lengan Kudin. Sakit hatinya melihat mata Lisa masih tidak berkalih daripada wajah suaminya itu.
“I see..” sekali lagi mata Gabriel terbeliak memandang Kudin. Lama matanya singgah di wajah Kudin seolah-olah tidak percaya Kudin yang dilihatnya di kolam ikan dulu itu juga berdarah bangsawan seperti Edrina. Lisa juga sudah tenggelam terus di dalam perbualan mereka. Dia seolah-olah kehilangan idea untuk berkata-kata.
“Tapi kenapa Emran takde dalam Semarak Holding? Kenapa duduk di kampung tu?” semakin itu lelaki itu tidak mengerti pula. Banyak pula soalan yang timbul di benaknya.
“Panjang ceritanya dan itu rahsia. Emran memang tak bekerja di Semarak Holding tapi dia salah seorang pemegang saham. Kan, darling?” dengan lenggok manja yang dibuat-buat Edrina memandang Kudin.
“Saya lebih berminat mengusahakan perniagaan sendiri,” jawab Kudin akur sahaja dengan lakonan manja Edrina.
“Wow..interesting.” Gariel menjawab kagum. Sekali lagi tangannya dihulurkan kepada Kudin.
“Nice knowing you, Tengku. Congratulation!” ucap Gabriel sambil menggenggam erat tangan Kudin.
“Nice knowing you too. Thank’s..” balas Kudin lantas mengalihkan pandangannya kepada Lisa. Lisa mula menghulurkan tangan kepada Edrina.
“Tahniah..” ucap Lisa agak rendah.
Edrina tidak menjawab. Sebaliknya sebuah senyuman hambar diukir kepada lelaki itu.
“Selamat pengantin baru, abang..” ucap Lisa kepada Kudin pula.
“Terima kasih, Lisa.” Kudin sekadar membalas dengan sedikit senyuman.
Mata Edrina terus meneliti gadis itu sehingga pasangan itu menghilang. “Abang? Manjanya?” ejek Edrina jengkel.
“Dia sekampung dengan aku dan aku lagi tua daripada dia. Sebab tu dia panggil aku abang,” ucap Kudin biasa. Entah kenapa dia juga terasa aneh melihat pandangan Lisa kepadanya.
“Kenapa dia pandang kau macam kau ni ada hutang dengan dia?” soal Edrina mula curiga dengan apa yang melintas di hadapan matanya sekejap tadi.
Kudin hanya diam sambil menjungkit bahu. Dia sendiri tidak tahu mengapa Lisa memandang dia begitu. Lisa terkejutlah agaknya melihat lelaki tiada masa depan macam dia boleh bersanding di dalam tempat gah seperti ini.
“Perempuan tu bekas kekasih kau ke?” teka Edrina langsung tidak berpuas hati dengan jawapan Kudin itu.
“Aku tak pernah ada kekasih selama ini.” Kudin segera menjawab. Jujur!
“Yalah.. memang padanlah takde siapa nak kat kau. Kau tu kolot. Perempuan mana suka lelaki terlalu kolot macam kau ni? Membosankan!” ucap Edrina pantas. Tanpa menunggu lagi dia terus berjalan menuju ke hadapan dewan itu membiarkan Kudin di situ.
Terkedu Kudin mendengar jawapan selamba Edrina. Membosankan?

Malam itu jam 3 pagi barulah mereka dapat pulang ke rumah usai majlis itu. Mereka berdua sudah tidak mampu berlengah-lengah lagi melainkan mahu naik segera ke kamar beradu untuk beristirehat.
Cantik.. bisik hati Kudin saat terpandangkan katil pengantin yang sudah dihias berlainan daripada siang tadi. Ada kelopak mawar merah ditabur di atas katil itu sebagai hiasan. Bau harum cukup kuat menerjah derianya.
Edrina sudah mula menghilangkan diri di dalam kamar mandi. Dia sendiri sudah cukup keletihan. Kudin duduk seketika di birai katil memerhatikan suasana bilik itu. Bilik itu dahulu milik Edrina. Kini sudah menjadi hak bersama.
Kudin masih terfikir-fikir bagaimana untuk memulakan hubungannya dengan Edrina sebagai suami isteri. Layanan Edrina masih tidak berubah biarpun sudah lebih 24 jam menjadi isterinya.
Menungan Kudin tergugah saat pintu kamar mandi itu terbuka tiba-tiba. Edrina keluar dengan jubah mandinya. Rambut wanita itu basah. Tiba-tiba perasaan Kudin lain macam pula memandang wanita itu. Sukar ditepisnya hakikat yang kini Edrina adalah isterinya. Berhak digaulinya. Tetapi mahukah wanita itu kepadanya? Wanita itu sendiri pun macam cakna tidak cakna sahaja kepada semenjak tadi. Dia yang harus pandai membawa diri di dalam kamar itu.
Tanpa sebarang perbualan Kudin pula mengambil peluang untuk membersihkan diri. Sebaik sahaja dia keluar daripada kamar mandi Edrina sudah berada di atas katil dengan baju tidur sekeratnya. Wanita itu sedang bermain dengan gadjetnya sambil bersandar di kepala katil. Memandang suaminya juga tidak. Kudin macam tidak wujud aja kepada dia di dalam kamar itu.
Ruang kamar beradu itu terus sepi tanpa kemesraan sehinggalah Kudin mula duduk di atas katil. Edrina masih ralik melayan gadjet di tangan. Kudin yang memandang dia, langsung tidak dipedulikan. Namun saat Kudin melakukan sesuatu di sebelahnya dia mula menoleh.
“Eh! Apa ni?” soal Edrina dengan mata melolot melihat Kudin sedang membuka baju.
“Apa yang apa?” soal Kudin sedikit bingung. Dari tadi senyap sunyi, sekali buka mulut tiba-tiba nak marah pulak minah ni? Wanita itu dipandang hairan oleh Kudin.
“Apasal kau bukak baju? Pakai balik!” getus Edrina sebal.
Spontan Kudin memandang dirinya. “Err.. aku dah biasa tidur tak pakai baju,” jawab Kudin agak polos. Salah ke? Dah tak auratkan?
“Itu kau boleh amalkan bila kau kena tidur kat luar nanti. Dalam bilik ni, sebelah aku kau kena pakai baju. Geli aku tengok badan kau tu!” getus gadis itu tidak lalu mahu memandang lelaki di sebelahnya itu. Geli geleman dia! Kalau terpeluk nanti siapa yang susah? Dia juga yang malu nanti. Ingat cantik benarlah body tu?
Huh! Edrina mencemuh dalam hati. Nak tidur sebelah Kudin pun dia tak selera kalau lelaki itu terus begitu.
“Aku cuma tak pakai baju. Seluar ada lagi ni,” jawab Kudin dengan mata terkebil-kebil.
“Panas sangat ke bilik ni sampai nak bukak baju segala? Tu aircond tu menyala elok je. Saja nak menggatallah tu. Nak suruh orang terpegang dia. Eee.. menyampah betullah! Saja je nak tayang-tayang body pulak. Ingat seksi sangat ke body kau tu?” getus Edrina kasar lengkap dengan jelingan yang cukup tajam.
“Ada pulak macam tu..” Kudin menggeleng sendiri. Tak terlintas langsung di otaknya mahu buat begitu kepada Edrina. Dia tahu isterinya tidak mahu kepadanya. Dia pun tidak mahu memaksa.
Malas memandang lelaki itu lagi Edrina terus menarik selimut. Tubuhnya diiringkan ke arah sana. Terkulat-kulat Kudin memandang belakang isterinya itu. Aku seksi dia tak bagi. Tapi dia seksi macam artis simbol seks takpe pulak. Ingat aku ni batang pisang ke? Keluh Kudin sendiri dalam hati.
“Sampai bila kita macam ni, Rina?” soal Kudin perlahan sahaja sambil memandang isterinya itu.
“Sampai aku dah berselera nak biarkan lelaki kampung macam kau sentuh aku!” jawab Edrina tanpa memandang.
“Tapi aku ni suami kau,” jawab Kudin sekadar mahu menyedarkan wanita itu tentang darjatnya di sisi wanita itu.
“Look here, Emran! Aku kahwin dengan kau sebab nenda yang suruh. Bukan sebab aku yang nak dekat kau, okay. Dan aku tahu apa sebab nenda tu kemaruk sangat nak aku berlakikan kau. Sebab nenda mahu kau masuk ke Semarak Holding. Hanya itu sebabnya! Kau jangan paksa-paksa aku ikut kehendak kau, boleh tak?” jawab Edrina sambil menoleh kepada Kudin.
“Tak kisahlah apa pun sebabnya nenda nak kita berkahwin. Tapi aku ni suami kau, Edrina. Sekurang-kurangnya kau kenalah hormatkan aku sikit,” jawab Kudin semula.
“Eh! Dah cukup baik aku bagi kau tidur sebelah aku. Ikutkan selera aku yang tak seberapa ni, kau tidur bawah katil tau!” ujar Edrina sengit.
“Kejamnya. Takkanlah kau nak letak aku bawah katil?”
 “Dahlah! Malas aku nak layan kau. Kau jangan berani-berani nak apa-apakan aku. Kalau kau sentuh aku waktu aku tidur, siap kau! Aku telefon teledera nanti,” getus Edrina dengan mata membulat kepada lelaki itu.
Kudin menggeleng lagi. Sabar ajalah, Kudin. Nanti dia mahulah tu.. bisik hatinya sekadar mahu memujuk hatinya sendiri.

No comments:

Post a Comment