Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 12



Usai majlis di bahagian pengantin perempuan, sebelah pihak lelaki pula menyusul seminggu kemudian. Walaupun majlis diatur secara sederhana namun akhirnya tetamu yang datang berkoyan-koyan ramainya. Nasib baiklah takde kes nasi tak cukup.
Edrina macam sebelum-sebelum ini, dia tetap hanyut dengan perhatian orang ramai kepadanya walaupun tidak berada di dalam hotel mewah. Biasalah.. diva memang macam ini lagaknya. Kudin pula lebih banyak malu-malu kucing gitu!
Petang itu kira-kira jam 4 barulah kawasan rumah itu reda sedikit dengan kehadiran orang ramai. Yang tinggal hanya beberapa orang wanita yang membantu Mak cik Kunah membasuh periuk belanga. Tidak ketinggalan Lisa juga turut menyumbang tenaga di rumah itu. Tiba-tiba dia jadi wanita yang paling rajin pula di alam semesta ini.
Pengantin perempuan? Sebaik sahaja baju sanding ditanggalkan dia terus berbaring di atas katil. Penat benarlah tu agaknya. Kudin hanya mampu menggeleng melihat isterinya.
“Mari makan dulu. Kau makan sikit aja tadi,” ajak Kudin lembut. Dia sendiri pun makan sikit aja sebab segan makan di hadapan orang ramai.
“Aku dah tak larat nak jalanlah. Lagipun ramai orang kat dapur tu. Aku segan. Nantilah.. bagi aku rehat sekejap,” jawab Edrina dalam mata terpejam.
“Kalau macam tu aku makan dulu. Aku ada kerja nak buat ni,” sambut Kudin malas mahu menunggu lagi. Dia tidak sampai hati mahu membiarkan emaknya bersusah payah mengemas rumah itu dengan bantuan orang luar.
Edrina diam tidak menjawab. Pemergian Kudin juga tidak dipandang. Dia hanya mahu tidur sekejap.
Di dapur rumah itu kehadiran Kudin disambut oleh pandangan wanita-wanita dewasa itu. Termasuklah Lisa yang sedang sibuk membantu mengemas dapur itu. Bibirnya terus tersenyum sebaik sahaja terpandangkan lelaki itu.
“Apa buat di dapur ni pengantin oi! Darah manis lagi tu..” perli Mak cik Som sengaja mahu mengusik Kudin.
“Makanlah.. lapar ni,” jawab Kudin selamba sambil tersenyum.
“Bini cantik kamu tu mana, Kudin? Tunjuklah sikit. Tak puas lagi mak cik menengoknya tadi. Simpan dalam gobok ke? Tak bagi orang tengok?” Mak cik Som mengusik lagi.
Kudin hanya tersenyum tidak menjawab. Tudung saji di atas meja diangkatnya. Kebanyakan lauk kenduri tadi sudah disimpan emaknya di atas meja itu.
“Abang nak makan ke?” soal Lisa tiba-tiba menerpa kepada Kudin.
“Ha’ah..” jawab Kudin biasa.
“Lisa join sekali. Dah lapar baliklah. Tadi pun Lisa makan sikit aja,” ucap Lisa sambil tersenyum kepada lelaki itu.
Kudin tidak menjawab. Dia terus ke sinki untuk membasuh tangan. Namun sesampai dia di meja semula dia lihat Lisa sudah menyendukkan nasi ke dalam pinggan untuk mereka berdua. Aneh perasaannya kerana sudah lama Lisa tidak melayannya semesra ini.
“Bini abang buat apa kat atas?” soal Lisa sebaik sahaja duduk di hadapan Kudin.
“Dia baring sekejap. Letih sangat katanya,” jawab Kudin sambil menyenduk lauk ke dalam pinggannya.
“Nanti dia duduk sini dengan abang ke?” soal Lisa lagi.
Kudin mengangguk sahaja.
“Boleh ke anak orang kaya macam tu duduk kat sini. Macam pelik pulak,” komen Lisa tanpa dapat ditahan.
“Apa yang peliknya?” soal Kudin dengan kerutan di kening.
“Yalah.. boleh ke anak orang bangsawan macam tu sesuaikan diri kat kampung macam ni? Macam pelik pulak.. orang berhijrah ke KL. Tapi dia dari KL masuk kampung.” Usai meluahkan pendapat peribadinya itu Lisa ketawa kecil.
“Oh.. macam tu ke? So kampung ni sesuai untuk orang macamana? Macam abang?” tanya Kudin semakin tidak senang.
Lisa terdiam tiba-tiba. Terlupa pula dia yang Kudin juga berasal daripada golongan itu. “Sorry, Lisa tak berniat nak kecilkan hati abang,” ucap Lisa kemudian dengan sedikit renungan bercahaya kepada lelaki itu.
Kudin diam malas mahu melayan lagi. Suapannya dilajukan. Aneh perasaannya tatkala terpandangkan renungan berbaur pesona itu.
“So abang plan nak bawak bini abang tu honeymoon kat mana?” soal Lisa sengaja melanjutkan perbualan lagi.
“Tak honeymoon kat mana-mana pun. Abang banyak kerja kat sini,” ujar Kudin biasa.
“Tapi kalau Lisa.. Lisa suka pergi honeymoon. Barulah romantik, bang. Baru-baru kahwin macam nilah nak spent masa berdua aja,” ucap Lisa sambil tersenyum manja kepada lelaki di hadapannya itu. Tetapi sayang. Kudin sedikit pun tidak mahu mengangkat pandangan kepada dia.
Kudin diam lagi dalam pada hatinya berkata-kata sendiri. Apa kena mengena benda tu dengan aku? Ajaklah si Gabriel tu nanti..
“So bila turn Lisa pulak? Kata hari tu dah nak bertunang,” ucap Kudin sambil memandang sekilas gadis itu.
“Tak lama lagi,” jawab Lisa lantas tersenyum hambar sekadar mahu menutupi perasaannya yang sebenar.
“Hmm. Baguslah kalau macam tu.” Pendek sahaja komen yang diberikan Kudin tentang itu.
Sedang mereka berbual berdua Kudin terdengar derap kaki di lantai papan ruang tamu rumahnya. Dia terus menoleh untuk melihat siapa yang mendekati kawasan dapur itu. Matanya menjamah wajah Edrina sedang berdiri di atas tangga ke dapur itu. Wanita itu sedang memandang dia dan Lisa di meja makan itu.
“Mari makan, Rina.” Mak cik Kunah terus menyapa sebaik sahaja ternampak Edrina.
“Tak lapar. Nak pergi bilik air aja, mak.” Edrina menjawab malas. Dia turun ke bawah tanpa memandang Kudin dan Lisa.
Kudin dan Lisa terus membisu di meja makan itu. Mak cik Kunah memandang Kudin. Ada rasa tidak senang di hatinya melihat Kudin berdua di meja itu dengan Lisa.
“Cepat makan tu, Kudin. Tolong mak susun periuk besar ni kat pelantar belakang tu. Sesak dapur ni. Nak berjalan pun tak boleh,” ucap Mak cik Kunah kepada anaknya itu.
“Yalah, mak.” Kudin segera menyuap laju. Sebaik sahaja nasinya licin dia pantas bangun dari kerusi walaupun mulut masih penuh dengan nasi. Sewaktu dia mendekati emaknya dia bertembung dengan Edrina yang baru keluar dari bilik air. Wajah isterinya basah. Segala kesan alat solek sudah menghilang dari tampang itu.
“Nak mandi ke?” soal Kudin lembut.
Edrina mengangguk sahaja. Entah kenapa hatinya sakit memandang Kudin duduk di meja makan dengan wanita itu. Macam dia pernah nampak wajah itu. Tetapi dia lupa di mana.
“Jom..” ajak Kudin pantas. Emaknya terus ditinggalkan di situ. Tangan Edrina terus ditariknya untuk naik ke atas.
“Amboi! Nak mandi sama ke tu? Siang lagi ni, Kudin oi!” perli Mak cik Som yang ralik memandang gelagat pasangan pengantin baru itu. Suka benar dia memandang isteri si Kudin. Cantik orangnya! Mak cik Kunah sempat tergelak mendengar ejekan itu.
“Selalu mandi sorang. Ni nak rasa mandi berdua pulaklah, Mak cik Som. Siang pun apa salahnya? Lagi cepat lagi afdal. Malam karang nak buat benda lain pulak,” jawab Kudin sengaja berloyar buruk dengan wanita itu.
Edrina terus meninggalkan kawasan dapur itu. Menyampah dia mendengar jawapan Kudin. Mandi sama? Eee.. tolong sikit! Kalau ada tub mandi okaylah jugak. Takkan nak berendam sama dalam kolah simen tu? Tak kelas langsung!
“Kau jangan nak berangan aku nak mandi dengan kau ek? Buat malu aku aja!” getus Edrina ketika di dalam bilik.
“Mana ada mandi sama pulak. Siang lagi ni nak mandi sama pun,” jawan Kudin perlahan.
“Habis tu yang kau ajak aku naik tadi tu untuk apa?” soal Edrina dingin.
“Manalah tahu kau perlukan apa-apa. Tuala ke.. baju je..” jawab Kudin lembut.
“Aku ada semua tu. Kau tak payah risau. Dahlah! Keluar sekarang. Aku nak salin baju ni,” ucap Edrina pantas. Bilik itu tiada kamar mandi. Jadi dia terpaksa meminta Kudin keluar pula. Tiba-tiba dia jadi penyegan.
Kudin akur. Pintu bilik dirapatkan untuk wanita itu. Dia kembali semula ke dapur untuk melunaskan kerja yang diminta oleh emaknya itu.
“Kenapa masam aja bini abang tu? Macam tak suka aja?” Lisa kembali menghimpit Kudin saat di belakang rumah itu.
“Dia letih,” jawab Kudin perlahan.
“Tak macam rupa orang yang tengah seronok sebab baru kahwin. Masam aja. Sombong pulak tu!” komen Lisa tanpa disuruh. Dia mencebik sedikit saat membayangkan wajah Edrina yang dilihatnya tadi.
Kudin terus menoleh kepada Lisa. “Sombong apanya? Lisa kenal Edrina dah lama ke sanpai boleh nilaikan dia macam tu?” soal Kudin tidak senang.
“Takdelah macam tu..”
“Jangan cepat sangat bercakap buruk tentang orang ni. Abang tak suka, Lisa! Edrina tu isteri abang,” pintas Kudin sedikit keras. Pandangan tajamnya singgah seketika di wajah polos itu.
“Sorry. Lisa tak tak bermaksud macam tu,” ujar Lisa rendah.
Kudin mendegus seketika sebelum meninggalkan Lisa sendiri di situ.

Malam itu..
Edrina sudah lama naik ke atas katil. Macam biasalah.. Kudin tidak dipedulikannya sangat. Sepanjang hari ini boleh dikira berapa patah kata mereka berdua berbual. Hubungan suami isteri yang aneh!
“Lepas dah habis tolong mak kemas rumah ni, kita pindah duduk rumah nenek kat belah hulu sana,” ucap Kudin mula memecah sepi antara mereka.
“Okay..” sepatah sahaja jawapan Edrina tanpa memandang suaminya itu. Bagus! Bolehlah aku request bilik asing nanti, bisik hatinya senang dengan keputusan suaminya itu.
Kudin pula mula mengikut jejak Edrina naik ke atas katil. Dek kerana dia tahu Edrina tidak suka dia tidak berbaju, kali ini dia menukar resamnya. Tidur dengan berbaju! Selimut ditariknya menutupi sebahagian dirinya. Edrina pula segera memandang ke arah lain apabila lelaki itu ada di sebelahnya. Seperti sebelum-sebelum ini dia lebih banyak mengulum kata.
Sepi kembali menyelubungi dia manusia di kamar itu. Mata cuba dipejamkan Edrina. Namun sukar pula dia mahu tidur walaupun badan sebenarnya sudah keletihan. Fikirannya ligat memikirkan dirinya. Kini dia terpaksa duduk di kampung dengan lelaki kolot yang tidak disukainya ini. Dia sendiri tidak tahu berapa lama dia boleh bertahan. Hakikatnya walaupun dia akur namun di dalam jiwanya terus ada ombak yang bergulung membadai hatinya setiap kali dia memandang sekelilingnya yang sudah jauh berubah.
Sedang  Edrina ralik berfikir sendiri sambil menghadap dindin papan di hadapannya itu, telinganya menangkap satu bunyi yang aneh dan agak panjang. Walaupun aneh namun dia masih kenal bunyi apa itu.
Spontan dia menoleh ke sebelah. Kudin sedang terlentang memandang atas dengan wajah selamba.
“Kau kentut ya?” soal Edrina agak kuat. Selimut yang membaluti mereka berdua terus ditolaknya. Takde kesedaran sivik punya mamat kampung. Kentut dalam selimut pulak dah! Takde aktiviti yang lebih beretika ke selain daripada kentut dekat dengan orang?
“Angin banyak..” jawab Kudin selamba. Tawa yang mahu terhambur sedaya upaya ditahannya.
Sesungguhnya jawapan berasaskan kebenaran si Kudin itu memang menyakitkan hati Edrina. Dia tidak mampu menerimanya! Hakikatnya biar sebanyak mana pun angin di dalam badan Kudin, angin lintang yang sedang membelah kepalanya lebih dasyat lagi rasanya.
“Kau ni memang saja aja nak menyakitkan hati akukan? Nak kentut pergilah keluar sana!” marah Edrina dalam nada tertahan. Mahu meledak sesuka hatinya dia masih sedar emak mertuanya ada di sebelah. Namun dia benar-benar tidak selera mahu masuk ke dalam selimut semula.
“Tak baulah. Itu kentut biasa je tu,” jawab Kudin sambil mengiringkan tubuhnya membelakangkan Edrina. Padan muka kena kentut! Dalam hati dia tergelak melihat gelagat Edrina.
“Tak senonoh! Benci aku dengan kau ni.” Edrina yang geram terus mencampakkan selimut bahagian dia kepada Kudin. Macam ni rupanya cara Kudin mengambil hatinya. Kentut dalam selimut! Ikutkan hatinya mahu sahaja dia tidur di luar. Tapi dia segan pula kepada emak mertuanya itu.
Memang kena request bilik asing jugak ni. Tak lalu dia duduk di bawah selimut yang sama dengan kentut Kudin. Memang tak senonoh!
Terhinggut-hinggut bahu Kudin menahan gelak. Seronok benar dia dapat membuli Edrina. Baru padan muka. Ambik berkat tu! Biar taat pada suami. Kudin tergelak dalam hati.
“Kau gelakkan aku ya?” marah Edrina geram melihat bahu Kudin bergegar. Makin membuak-buak rasa geramnya kepada lelaki itu. Dah buat perangai macam tu boleh gelak pulakkan? Memang nak cari gaduh si Kudin ni.
“Mana ada..” jawab Kudin sambil menoleh kepada isterinya itu. Dalam samar-samar suasana itu dia dapat membayangkan macamana rupa Edrina saat itu. Mesti masam kelat mukanya!
“Kau saja je nak buat aku marah dengan kau.”
“Okaylah tu.. bila kau marah barulah aku dapat dengar suara kau. Kalau tak kau macam orang bisu aja tak mahu bercakap dengan aku,” ucap Kudin selamba.
Edrina terdiam memandang sebal suaminya itu. Memang dia tahu semenjak kebelakangan ini dia agak tiada mood. Tapi perlu ke Kudin menaikkan darahnya lagi dengan membuat perangai tak senonoh persis itu semata-mata mahu mendengar suaranya? Seronok ke tengok dia naik darah begini?
“Daripada aku buat dosa menyakitkan hati kau, lebih baik aku diam!” jawab Edrina kemudian.
“Tak semestinya bila kau bukak mulut kau kena marah-marah pada aku, Rina. Aku ni suami kau. Kau tak pernah cuba nak kenal siapa aku sebenarnya. Dalam kepala kau tu hanya ada perkara negatif tentang aku. Macamlah perangai aku ni buruk sangat,” ujar Kudin mula melembutkan nadanya.
“Kau kentut tadi tu, elok sangat ke?” getus Edrina geram.
“Aku main-main aja. Alah.. gurau sikit pun nak marah. Bukannya ada terkena kat mana-mana pun kentut aku tu,” pujuk Kudin biasa. Namun bibirnya kembali tersenyum gelihati.
“Benci aku! Tak pernah aku jumpa lelaki tak senonoh macam kau ni, Kudin.”
“Yalah.. yalah.. aku janji tak buat macam tu dah. Aku minta maaf. Dah! Jom tidur.” Mengaku salah juga Kudin akhirnya. Malas dia mahu membesarkan hal yang kecil itu.
Edrina tidak menjawab. Terus dia berpaling membelakangkan lelaki itu.
“Selimutlah. Sejuk nanti,” pujuk Kudin sambil memandang belakang Edrina.
“Tak nak!”
“Selimut, Rina. Nanti demam aku jugak yang susah. Sejuk tengah malam nanti,” arah Kudin sambil menolak sebahagian selimut itu kepada isterinya.
“Tak nak!” jawab Edrina tetap berdegil.
Kudin menghela nafas perlahan. “Kau jangan peluk aku malam karang aja sudah! Kalau aku buat apa-apa kat kau, kau jangan salahkan aku. Kau yang peluk aku,” ucap Kudin separuh mengugut.
Mendengar itu Edrina kembali menoleh kepada suaminya. Selimut tadi ditarik kasar sehingga tertarik bahagian si Kudin. Dengan selamba kesemua selimut itu dibolotnya seorang.
“Sinilah sikit.” Kudin menarik sebahagian selimut itu. Namun pantas pula Edrina merentap semula selimut itu sehingga terlepas daripada tangan Kudin.
“Ewah! Ewah! Tadi suruh selimut tak mahu. Sombong! Sekarang aku pulak yang tak dapat selimut! Tak sedar diri betul perempuan seorang ni,” getus Kudin membebelkan isterinya itu.
Edrina tidak menjawab. Namun sebagai balasannya dia sengaja menunjuk keras kepalanya dengan menarik kesemua selimut itu ke arahnya. Biar Kudin tak dapat selimut. Padan muka Kudin!
“Eh! Aku pun nak selimut jugak. Lawan tauke pulak dia,” ucap Kudin geram.
Namun Edrina terus terusan buat pekak kepada suaminya. Menggerutu Kudin memandang isterinya itu. Dia pula yang sebal melihat gelagat Edrina. Akhirnya Kudin berbaring semula di tempatnya. Nampaknya peluk diri sendiri ajalah dia malam ini.







No comments:

Post a Comment