Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 15



Lewat petang itu..
“Pergilah mandi. Dah petang benar ni. Takkan nak berkurung aja dalam bilik tu?” tegur Kudin melalui pintu bilik itu. Edrina dilihatnya sedang melayan rajuk di atas katil semenjak tengahari tadi. Makan pun tak mahu. Sebabnya takde lain. Dia memang betul-betul terlupa beli kipas.
Lambat-lambat Edrina bangun. Kudin yang sedang memandang dijelingnya. Kudin hanya mampu menggeleng sendiri.
“Tak habis-habis nak buat perangai keras kepala. Hal kecik aja pun nak merajuk.” Kudin membebel kepada isterinya itu.
“Biarlah! Merajuk ni dah memang hobi aku waktu lapang,” getus Edrina sebal. Ingat dia merajuk suka-suka ke? Tak guna punya Kudin!
Kudin menggeleng lagi sambil menghalakan kaki ke dapur. Dapur kayu itu sudah mula berasap. Ish! Kena beli dapur gas jugak ni. Karang terbakar pulak kulit bini aku kena bara api ni.. detik hatinya sendiri. Kudin tidak memandang tatkala Edrina melangkah keluar menuju ke tempat mandi di belakang rumah itu. Dia sibuk menenggek nasi untuk makan malam mereka nanti.
Sedang dia sibuk di dapur itu terdengar jeritan Edrina memanggilnya.
“Kudin!!! Woi! Sinilah..” begitulah bunyinya si isteri memanggil seorang suami. Langsung tak terfikir dia.. buatnya dia terjatuh dalam perigi itu tanpa sempat meminta ampun, alamat dialah yang jadi hantu pertama berlegar di kawasan perkuburan terdekat itu untuk mencari si Kudin.
“Apa?” ucap Kudin sambil menyarung selipar menuju ke arah tempat mandi itu.
“Macamana nak mandi ni?” soal Edrina sambil menjengukkan kepalanya di sebalik tirau yang melindungi pintu masuk ke kawasan perigi itu.
“Mandi ajalah!” jawab Kudin.
“Macamana?” semakin meninggi suara Edrina kala itu.
Kudin terdiam seketika. Terlupa pula Edrina yang masih sementah anak jagung tentang hal ehwal hidup di kampung. Manalah dia tahu cara nak mencedok air perigi itu. Dahlah airnya agak tohor.
“Bagi aku masuk,” ucap Kudin cuba menyelak tirai kain yang sudah berlubang-lubang sedikit itu.
“Eh! Nak masuk buat apa? Tak payah!” Edrina cepat-cepat memegang tirai itu bagi mengelakkan si Kudin melihat apa yang ada di bahagian dalam tempat mandi itu.
“Okay.. kalau macam tu mandi ajalah macam biasa!” sambut Kudin selamba. Orang nak ajarkan dia sombong pulak.
“Manalah aku pandai! Rumah apa entah macam ni. Paip air pun takde. Malulah mandi kat luar macam ni. Kalau orang mengintai aku mandi nanti macamana?” marah Edrina geram. Hanya suara saja yang kedengaran. Orangnya masih tersembunyi di dalam.
“Takde siapa kat sini nak mengintai kau tu.” Kudin membalas bersungguh.
“Marilah aku ajarkan. Salah hemat karang terjun pulak dalam perigi tu,” ucap Kudin cuba membuka tirai penutup kawasan mandi itu. Namun Edrina di dalam menghalang lagi.
“Kau cakap ajalah dari situ macamana nak buat. Takkan nak masuk kut?” getus Edrina tidak senang mahu membiarkan lelaki itu berada di tempat yang sama dengan dia. Mahu pengsan Kudin melihat dia di dalam situ.
Kudin menghela nafas perlahan. “Takde salahnya aku masuk. Tak aurat! Tak berdosa!” tekan Kudin sudah hilang sabar.
“Tak naklah!” suara Edrina mula mengendur sedikit.
“Cepatlah! Dah nak maghrib ni. Nanti suasana dah gelap, lagi kau takut,” desak Kudin sedikit meninggi.
“Malulah..” suara Edrina rendah tiba-tiba.
“Apa nak malunya? Kau bukak habis semua ke?” soal Kudin. Ha... itu memang aku suka, ucap Kudin nakal. Tapi dalam hati ajalah. Takut nanti dia yang ditolak masuk ke dalam perigi kalau dia mengucapkannya di mulut.
Edrina termanggu seketika di sebalik kain itu. Dah nama pun nak mandi.. buanglah semua! “Habis tu takkan nak mandi pakai baju pulak?” ucap Edrina agak perlahan.
“Ada kain basahan kat tepi tu. Pakailah dulu..” ucap Kudin lembut. Kalau aku yang tengok okaylah jugak. Buatnya orang lain yang mengintai? Nangis aku nanti.. hati Kudin bercakap sendiri.
Kudin menanti seketika sehinggalah Edrina mula membuka tirai itu tanda membenarkan lelaki itu masuk. Seperti biasalah.. wajah Edrina masam mencuka memandang dia.
“Okay, kau mandi. Aku tolong cedokkan air.” Kudin terus memberikan arahan.
Mahu tidak mahu Edrina akur juga walaupun segannya dia kepada Kudin benar-benar tidak tersukat. Lelaki itu mencedokkan air, mencurahkan kepadanya. Atau dalam erti kata lainnya, dia dimandikan oleh si Kudin. Satu hari dalam sejarah dia dimandikan orang dalam pada usianya sudah setua ini!
Si Kudin dengan penuh senang hati mula menyanyi-nyanyi kecil tatkala menyiramkan air ke badan isterinya. Lagunya memang sesuai benar dengan keadaan mereka waktu itu.. Cinta Sabun Mandi.
Aduh.. Nyai.. Dengarkanlah..
cinta ku tulus dan suci.. Sama Nyai..
Dengan sepenuh perasaan Kudin melagukan irama bersama lirik itu sambil menyiram isterinya yang duduk bertinggung di hadapannya.
Kalau kaca bisa pecah..
Kayu juga bisa patah..
Tapi cinta ku ke Nyai..
Tak akan bisa berubah
Sampai tua cinta ku tak akan musnah..
Cinta ku kepada Nyai
Tak seperti sabun mandi
Pabila habis dipakai
Makin habis kurang wangi..
Percayalah cinta ku suci ke Nyai..
Edrina yang mendengar apa yang terkeluar daripada mulut lelaki itu rasa seperti mahu termuntah. Bertambah loya lagi irama dangdut yang berlagu di bibir Kudin kedengaran macam lagu ala-ala miang. Takde lagu lain ke? Kolot! Nyai! Nyai! Siapa kau punya Nyai? Detik hatinya sendiri. Memang selera mereka bak langit dan bumi berbezanya.
“Okay.. sekarang kita bersabun!” arah Kudin penuh senang hati. Sabun buku Lux yang baru dibukanya tengahari tadi dilumurkan di tangan. Kemudian dengan selambanya buih tangannya itu dilumurkan pula ke bahagian tubuh Edrina yang terdedah.
“Hey! Hey! Kau cedokkan air aja. Aku boleh sabun sendirilah!” ucap Edrina dengan muka sudah merah padam. Memalukan betul!
“Oh.. okay! Aku cuma nak tolong aja,” ucap Kudin polos.
Edrina menjeling sebal. Pandai saja lelaki ini mahu mengambil kesempatan kepadanya. Tidak senang betul dia melihat Kudin memerhatikan dia bersabun bagai.
“Kau boleh pandang tempat lain tak?” ucap Edrina sudah tidak tertahan.
“Kenapa pulak?” jawab Kudin sedikit lugu.
“Aku malu!”
Kudin akur dengan permintaan wanita itu. Terus dia berpaling ke arah lain sementara menunggu Edrina habis bersabun. Setelah itu dia kembali mencedokkan air perigi untuk Edrina. Sambil bersiram itu telinga Edrina mendengar lagi suara Kudin sambung menyanyi dengan riang di belakangnya.
Ku jual baju celana
Itu semua demi Nyai
Aku kerja jadi kuli
Demi Nyai..
Walaupun Madona cantik
Merlyn Monroe juga cantik
Tetapi bagi ku lebih cantik Nyai..
Aku rela korban harta demi Nyai..
Aku rela korban nyawa demi Nyai..
“Kau boleh diam tak? Aku geli dengar lagu kau tu!” bentak Edrina sambil menoleh kepada lelaki itu.
Terkebil-kebil Kudin memandang isterinya itu. “Apa salahnya. Aku nyanyi untuk kau,” jawab Kudin lugu.
“Eeee.. menyampahlah! Ada aku suruh kau nyanyi untuk aku? Siapa Nyai? Nama aku Edrina!” bentak Edrina semakin sebal. Hilang sudah mood dia mahu mandi. Terus dia bangun.
“Eh! Dah ke? Tak payah shampoo? Aku ada beli shampoo pantene tadi,” ucap Kudin dengan mata terus terkebil-kebil memandang Edrina.
Edrina sekadar diam dengan wajah mencuka. Shampoo pantene ke, shampoo head and shoulder ke, dia memang dah tak selera! Tuala terus dibalutkan ke tubuhnya. Melihat Kudin masih memandangnya darahnya semakin mendidih.
“Keluarlah! Kau nak tengok aku salin kain ni ke? Hee.. susah betul ada laki sengal macam kau ni! Menyakitkan hati!” herdiknya geram.
Kudin terus meletakkan timba besi itu di atas lantai. “Nyanyi sikit aja pun nak marah..” cebir Kudin agak rendah.
“Lagu kau tu lagu orang gatal. Benci aku dengar!” pantas sahaja Edrina menjawab. Lelaki itu dijelingnya entah untuk ke berapa puluh kalinya untuk menggambarkan rasa geram dan sakit hatinya yang sedang meluap-luap kepada si Kudin.
“Aku suka lagu tu. Sedap apa?” jawab Kudin tanpa merasa bersalah.
“Keluar! Keluar! Kau buat aku makin benci dengan kaulah, Kudin.”
“Yalah..” Kudin akhirnya keluar juga dari situ. Orang dah nyanyi untuk dia.. dia tengking kita balik pulak, ucap Kudin dalam hati. Sabar ajalah, Kudin. Nak buat macamana. Bini tak suka dangdut!

“Bagus! Ini memang aku suka sangat. Dahlah banyak nyamuk.. sejuk. Kemudian gelap!” bebel Edrina sendiri. Tidak sanggup dia mahu turun mandi awal subuh seperti ini. dalam keadaan begini mulalah fikirannya menerawang sendiri. Kenapalah orang kampung suka buat bilik air di luar rumah? Pelik! Kan susah nak mandi? Jauh!
“Apa tunggu lagi tu? Nanti waktu subuh habis,” tegur Kudin tatkala terpandangkan isterinya masih termenung dengan tuala berbalut di bahu di ambang pintu dapur.
Edrina tidak menyahut biarpun telinganya jelas mendengar suara suaminya itu. Bercinta benar dia mahu mandi saat ini. Macamana nak mengharungi kesejukan air perigi itu nanti kalau dalam keadaan begini saja pun dia sudah menggigil dek kedinginan cuaca pagi itu. Boleh beku paru-parunya kalau selalu benar begini.
Masuk akal tak kalau dia meminta Kudin membeli sebuah pemanas air untuk diletakkan di perigi itu? Tapi kalau beli pemanas air kat mana pulak nak cucuk dia punya suiz? Fikiran Edrina menerawang lagi. Ah! Tv sebiji pun Kudin liat nak beli. Tak perlu katanya. Takkanlah lelaki itu mahu membelikan pemanas air khas untuk dia? Memang taklah!
Kudin mula mendekati isterinya itu. “Aku dah cedokkan air untuk kau mandi. Ada dalam baldi kat tepi dinding tu. Pergi mandi lekas,” ujar Kudin lembut.
“Sejuklah. Macamana nak mandi macam ni?” jawab Edrina tanpa menoleh.
“Dah nama pun pagi, memanglah sejuk. Alah.. tahanlah sikit,” jawab Kudin biasa. Dia terus menjerang air untuk sarapan pagi dia nanti.
Mahu tidak mahu Edrina pergi juga ke perigi itu berbekalkan lampu suluh. Siksa benar rasanya apabila terpaksa mandi dalam keadaan gelap begini. 5 minit kemudian Edrina sudah kembali ke rumah itu.
“Okay ke tu?” tanya Kudin biasa sebaik sahaja ternampak isterinya. Terkepit-kepit Edrina berjalan. Sejuk benarlah agaknya tu.
“Okay? Huh! KO adalah!” jawab Edrina pantas. Tanya aku okay ke tak. Aku sikit lagi nak kena reput froze. Saja nak menyindir akulah tu.. getus hatinya semakin meluat dengan lelaki itu.
Kudin sekadar tersenyum biasa. Jawapan Edrina yang bernada kasar itu tidak disimpannya di dalam hati. “Nanti dah lama-lama kau akan biasa, Rina. Kena sabar sikit aja,” nasihat Kudin lembut.
“Huh! Yalah..” sambut Edrina jengkel. Malas mahu mendengar bicara lelaki itu dia terus ke bilik.
Selesai menunaikan solat subuhnya, Edrina menolak jendela biliknya. Suasana sudah sedikit terang dilihatnya. Buat seketika dia terpaku di jendela itu memerhatikan keadaan di luar. Walaupun hati tak suka namun satu hakikat yang tidak mampu ditepisnya tentang kampung ialah.. suasana yang aman dan kesegaran udara pagi ini memang mendamaikan perasaan dan melapangkan mata yang memandang.
“Aku keluar pergi beli sarapan dulu.” Sapaan Kudin dari ambang biliknya menggubah keasyikan wanita itu. Dia menoleh ke belakang.
“Apa kau pandang kat sana tu?” tanya Kudin mula berminat mahu ambil tahu. Tanpa disuruh dia masuk ke bilik itu. Kepalanya dijengah melalui jendela yang sama. Kawasan sekitar itu ikut diperhatikan juga.
“Takde apa-apa,” jawab Edrina kosong.
Kudin menoleh kepada isterinya itu. Buat seketika matanya menjamah rambut lembab milik Edrina. “Kau ada warnakan rambut ke?” tanya Kudin tiba-tiba teringin mahu ambil tahu pula.
“Taklah! Apasal kau tanya macam tu?” sambut Edrina pantas.
“Takde apalah. Orang yang warnakan rambut ni solatnya tak sah sebab wuduknya tak sah. Melainkan kalau guna inai. Kalau kau tak warnakan rambut, takpelah.” Kudin berkata lembut.
Edrina sempat mengerutkan kening kepada lelaki itu. Itu dia memang sudah lama tahu. Jadi apa kena mengena dengan dia? Namun dia segera mengerti apa tunjuannya Kudin bertanya dia ada mewarnakan rambut atau tidak.
“Kau tanya aku soalan bodoh. Aku tahulah kau pandai agama sampai kau boleh jawab soalan tok kadi yang susah gila tu. Tapi boleh tak kalau sebelum kau tanya aku soalan warnakan rambut tu, kau ingat balik siapa moyang perempuan aku? Kau ingat aku ni jahil sangat ke tak tahu apa hukum warnakan rambut tu?” ucap Edrina dengan nada dan pandangan yang cukup sinis kepada lelaki itu.
Kudin terkedu. Ya tak ya juga.. setahunya moyang perempuan Edrina orang Ireland. Bukan macam moyangnya. Orang Melayu asli. Jadi tak hairanlah rambut wanita itu sedikit keperangan. Kudin mula menggaru kepalanya apabila menyedari dia mungkin sudah tersalah cakap.
“Sorry.. aku lupa pasal tu,” ujar Kudin lembut sahaja.
Edrina sekadar menjulingkan mata ke atas, malas mahu melayan bicara Kudin. Matanya kembali dihalakan ke luar sana. Lagi aman matanya memandang belukar itu berbanding memandang si Kudin ini.
“Aku nak beli nasi lemak ni. Kau nak berapa bungkus?” ucap Kudin.
“Aku tak suka nasi lemak,” jawab Edrina biasa.
“Aik? Kenapa pulak?”
Edrina diam sahaja tidak menjawab. Berat pula mulutnya mahu mengatakan yang dia bukannya tak suka nasi lemak. Dia suka tapi dia tak mahu dia jadi gemuk disebabkan nasi lemak.
“Hmm.. aku suka jugak nasi lemak ni. Nak-nak lagi kalau orang perempuan yang punya. Lemak dia memang lain macam,” ucap Kudin biasa.
Edrina terus menoleh kepada suaminya itu. ucapan selamba Kudin membuatkan darahnya terasa sedang menyirap ke kepala. “Apa kau cakap?” soal Edrina tiba-tiba meninggi suaranya.
Kudin terkejut sedikit diterjah suara tajam isterinya itu. Aku ada salah cakap ke? Kenapa dia marah pulak ni? “Cakap apa pulak? Aku cakap aku suka nasi lemak,” jawab Kudin sedikit polos.
“Bukan yang itulah, sengal! Kau ni memang gatalkan?”
Kudin terkedu menelan liur sendiri. Gatal? Kudin mula memikirkan apa yang diucapkannya sebentar tadi. Rasanya takde pulak yang berunsur gatal. Dia kata dia suka nasi lemak. Kemudian dia kata nak-nak lagi kalau orang perempuan yang punya..
Wajah Kudin sudah berubah merah kala itu. Matanya terbeliak tiba-tiba kepada Edrina yang sedang memandangnya seperti seekor singa yang sedang laparkan nasi lemak. “Err.. Aku.. aku tak maksudkan nasi lemak yang itu tu.” Dengan keberanian yang tidak seberapa Kudin memuncungkan sedikit mulutnya ke arah tubuh wanita itu.
“Apa? Apa? Cakaplah cepat apa maksud kau tadi,” jerkah Edrina semakin geram melihat lelaki itu.
“Sumpah! Aku maksudkan nasi lemak yang original tulah. Aku kata aku suka nasi lemak nak-nak lagi kalau orang perempuan yang masak. Betul!”
“Kau jangan nak kelentong akulah, Kudin. Mana ada nasi lemak lelaki yang masak. Kau pernah ke masak nasi lemak?” ucap Edrina tetap dengan suara meningginya.
“Siapa cakap takde lelaki yang masa nasi lemak? Chef Wan yang terkenal tu entahkan dah beratus kali masak nasi lemak. Kat warung Haji Seman tu tiap-tiap pagi ada jual nasi lemak. Dia masak sendiri. Bukan isteri dia yang masak. Yalah.. sebab dia tu takde isteri. Aku tak selalu beli nasi lemak kat warung Haji Seman tu sebab tak sedap. Aku selalu beli kat Mak cik Salmah. Dia punya nasi lemak memang lemak. Err.. maksud aku nasi lemak yang dia masak tu yang lemak dan sedap hingga menjilat jari,” jawab Kudin macam bersungguh sahaja dia menegakkan kata-kata itu.
Sebagai reaksi kepada penjelasan penuh si Kudin itu Edrina sekadar menjeling halus lelaki itu. Namun alasan Kudin itu mula membuatkan tekanan darahnya menurun sedikit ke tahap tidak membahaya.
“Okay.. kalau kau tak suka nasi lemak, aku belikan kau mee, nak?” pancing Kudin.
“Beli ajalah apa-apa. Aku makan aja,” jawab Edrina biasa. Dah orang nak belikan, tak payahlah banyak bunyi. Makan sajalah lemak tak lemak pun.
“Apa-apa tu boleh dimakan ke?” tanya Kudin buat-buat lugu.
“Kau jangan nak loyar buruk boleh tak? Aku sakit telinga dengar loyar buruk kau tu! Tak kelakar langsung, kau tahu tak!” jerkah Edrina kembali meninggikan suaranya.
“Okay.. okay.. aku main-main aja.” Menyeringai si Kudin melihat kemarahan isterinya menaik semula. Namun tanpa kata dia terus keluar dari bilik itu. Takut kalau dia terus loyar buruk di situ mahu dia dicampak Edrina ke tanah melalui jendela itu.
Edrina memandang tajam pemergian suaminya itu.
“Tak habis-habis nak sakitkan hati aku. Sengal punya mamat kampung!” omelnya sendiri sambil menyandarkan tubuhnya ke ambang jendela itu.



No comments:

Post a Comment