Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 16



Usai sarapan pagi itu Kudin mula bersiap ke ladang dan kolam ikannya yang sudah beberapa hari tidak dijejakinya. Rindu benar dia dengan ikan-ikan kelinya itu. Edrina di ruang tamu sedang ralik membelek surat khabar Berita Harian yang dibeli oleh Kudin.
“Nanti tengahari aku bawak balik lauk untuk kau,” ucap Kudin setelah dia selesai bersiap. Sempat juga dia mencapai segelas air kopi sejuk yang dibancuhnya sebentar tadi, lalu diteguknya sambil memandang isterinya itu. Edrina khusyuk benar membaca sampai tidak menjawab kepadanya.
“Aku dah nak pergi ni,” ucap Kudin setelah air kopi itu selamat masuk ke perutnya.
Edrina mengangkat kepala seketika sebelum mengangguk.
“Ada apa-apa call aja aku,” ujar Kudin lagi sengaja mahu memancing suara Edrina.
“Okay..” itu sahaja jawapan Edrina tanpa memandang suaminya itu. Jualan besar-besaran bag tangan rekaan terbaru yang dipamirkan di dalam helaian akhbar itu benar-benar lebih menarik perhatiannya daripada si Kudin itu.
Kudin mula mengintai apa yang sedang dibaca Edrina. Tengah tengok hand bag rupanya. Patutlah buat tak peduli aja pada aku, bisik hatinya sedikit sebal melihat gelagat isterinya itu.
“Eh! Apa alamat rumah ni?” soal Edrina tiba-tiba menoleh kepada Kudin.
“Nak buat apa alamat rumah ni?” soal Kudin semula dengan pandangan sedikit jengkel.
“Adalah..” jawab Edrina selamba.
“Cakap dulu nak buat apa,” balas Kudin sengaja mahu bertarik tali dengan wanita itu.
Edrina mendecit seketika. Banyak soalanlah pulak mamat ni! getus hatinya tidak senang.
“Aku nak suruh member aku beli hand bag ni untuk aku. So nak pos ke sini kenalah ada alamatnya. Nak beli sendiri online, well.. kau tahu ajalah rumah buruk sebelah dengan kubur dan dekat dengan hutan macam ni. Bukannya kuat signal kat sini nak bukak web tu semua. Nak call orang pun sakit jiwa, inikan pulak nak bukak internet. Asyik hang aja. Buat sakit hati aku aja!” jawab Edrina macam orang tidak berperasaan sahaja.
“Ooo.. begitu ke kisahnya? Memang menarik!” Panjang lopongan Kudin. Pandai betul bini aku ni kalau bab membeli belah. Tak dapat beli online dari sini, dia suruh kawan dia tolong belikan untuk dia, bisik hati Kudin kekaguman dengan bakat Edrina bab menghabiskan duit.
“Jadi betullah kau nak alamat rumah buruk sebelah kubur dan dekat dengan hutan ni?” tanya Kudin geram mendengar Edrina memerli fizikal rumah pusaka ini.
“Kalau adalah! Kalau takde.. kau bagi ajalah alamat rumah mak. Takut posmen tu tak jumpa pulak rumah yang terperuk kat hutan ni. Pening kepala posmen nak cari,” sambut Edrina semakin galak mahu menyakitkan hati suaminya.
Kudin memandang isterinya dengan ekor mata. Fuh! Sedap sungguh dia bercakap. Takut posmen pening konon. Aku pening dengan perangai dia, takpe pulak! Hati lelaki itu membebel sendiri.
“Ada ke takde?” tanya Edrina tatkala Kudin masih berdiam.
“Apa pulak takde alamat. Ada! Ambil pen lekas, salin alamat ni!” ucap Kudin tidak mahu mengecewakan wanita itu.
“Aku salin kat sini aja,” ucap Edrina sambil menunjukkan gadjet empat segi tepat yang selalu dikepitnya ke mana sahaja itu.
“Dengar baik-baik alamat ni. Takut nanti tak sampai pulak hand bag kau tu,” ucap Kudin. Jari telunjuknya diletakkan di tepi kepala seolah-olah sedang keras memikirkan alamat rumah itu.
“Rumah buruk no 1,
D/A Kampung Pasir Panjang Ulu,
Jalan berlopak-lopak sebelah ladang longan si Kudin.
Sebelah dengan kawasan perkuburan islam dan belukar tebal (Belakang rumah ada perigi). Emm.. apa lagi ya alamatnya? Aku lupalah.”
Edrina yang sedang menaip di gadjet tabnya terus terhenti dengan sebuah helaan nafas sabar yang ditariknya dalam-dalam. Matanya mula memandang ke hadapan sambil menahan hati yang sedang terbakar dengan olah Kudin. Alamat apa bunyi macam ni? Ini bukannya alamat rumah tapi alamat si Kudin ni memang nak sangat kena ganyang dengan aku! ucap hati Edrina sebal yang teramat sangat.
“Ha! Poskodnya.. nanti kejap aku nak ingat semula apa poskod rumah ni,” ucap Kudin macam bersungguh sahaja.
“Takpelah, Kudin. Simpan ajalah poskod kau tu. Sebelum aku bertukar jadi incredible hulk, baik kau berambus pergi kerja!” ancam Edrina dengan dada turun naik menahan rasa mahu terbakar. Lagi banyak Kudin bercakap, lagi sakit hatinya ini.
Kudin tergelak seronok melihat Edrina. “Jangan kutuk walaupun rumah ni buruk. Ini rumah nenek aku tau!” ucap Kudin lantas bangun dari situ dengan tawa yang masih bersisa.
Edrina terus bungkam itu di situ menahan hati. Sabar ajalah, Rina. Laki kau ni memang jenis sengal!
“Aku pergi dulu,” ucap Kudin sebelum memijak tangga. Dia sempat menoleh semula kepada isterinya itu ambil ketawa.
“Tolong cepat sikit!” jawab Edrina dari dalam rumah itu.
“Marah nampak?” Kudin tergelak lagi. Namun saat kaki kanannya memijak anak tangga ke ketiga terakhir..
Prakkkk! Gedebab! Tawa Kudin lenyap serta merta. Terus berganti dengan jeritan kerasnya pula. Edrina bertempiaran meninggalkan akhbarnya untuk melihat bunyi bising yang didengarinya tadi. Namun saat dia melihat sedang Kudin terperosok dan tersepit di antara anak tangga yang patah itu, dia tidak mampu menahan dirinya daripada menyambung tawa si Kudin sebentar tadi.
“Aduh.. apalah punya malang nasib hari ni,” keluh Si Kudin kepayahan. Bersusah payah dia mengeluarkan dirinya daripada celahan tangga di hadapan rumah itu. Sakitnya tak usah katalah!
Edrina menekup mulutnya dengan muka merah padam melihat gelagat suaminya itu. Buat pertama kali seumur hidupnya semenjak dia mengenali Kudin, dia tidak mampu menahan rasa mahu tergelak berguling-guling melihat lelaki itu. Mahu membantu dia takut dia pula yang terperosok di situ akibat memijak anak tangga yang sudah reput.
Setelah berjaya keluar daripada situ Kudin terkinja-kinja menepuk-nepuk punggungnya.
“Aduh.. aduh.. sakitnya tulang punggung aku ni. Seminggu tak boleh berak cangkung kalau macam ni,” ucap Kudin tidak tertahan.
Edrina terus tergelak berdekah-dekah melihat suaminya itu terkinja-kinja dia hadapan tangga itu.
“Seronok ke tengok aku jatuh?” tanya Kudin bengang sendiri. Masam kelat mukanya melihat Edrina tergelak.
“Kau ni memang sengallah, Kudin. Betul tak aku cakap yang rumah ni dah buruk? Tangga ni memang sependapat dengan aku. Nasib baik kau yang kena. Kalau aku yang kena, memang aku bakar rumah ni sekali dengan kau,” ujar Edrina setelah usai melambakkan tawanya.
“Yalah.. memang rumah ni dah lama. Bukan buruk tapi lama!” ucap Kudin dengan muka masam kelat menahan malu. Aduhai.. cuti lagi aku hari ni nak ganti tangga ni. Macamana pulak aku boleh lupa nak ganti anak tangga hari tu? ucap hati Kudin sebal dan malu yang teramat sangat kepada isterinya itu.

“Bosannya!” keluh Edrina sendiri. Dia tidak tahu apa yang hendak dibuatnya di dalam rumah itu. Kudin masih sibuk dengan kerjanya. Membaiki tangga rumah itu semenjak pagi tadi. Berpeluh-peluh lelaki itu dilihatnya.
Tidak lama kemudian Edrina lihat Kudin naik ke atas rumah. Lelaki itu menyarung baju dan mengambil kunci kereta. Kemudian lelaki itu terus berjalan menuju ke pintu.
“Nak ikut!” spontan itu Edrina terus bangun. Tak sanggup lagi dia duduk terperuk di dalam rumah kosong itu.
Kudin memandang sekilas isterinya. Melihat Edrina sudah mengekori dia sekadar diam tidak menegah. Masuk aja ke dalam kereta Edrina terus memasangkan tali pinggang keledar. Kudin di sebelah memandang hairan. Sopannya? Siap pakai tali pinggang keselamatan. Padahal nak pergi dekat aja. Tetapi dia sekadar membisu. Kenderaan itu terus digerakkan pergi.
Edrina memandang sekeliling tatkala Kudin memberhentikan keretanya. “Kat mana ni?” tanyanya kepada lelaki itu.
Namun Kudin yang sudah keluar daripada kereta tidak menjawab soalannya. Mahu tidak mahu dia ikut keluar dari kereta itu. Hala tuju lelaki itu diekorinya juga. Setelah puas memandang sekeliling akhirnya dia tahu di mana dia berada saat ini. Ingatkan Kudin mahu keluar ke bandar. Buat penat aja dia bersiap sedia memakai tali pinggang keledar tadi. rupanya Kudin sekadar mahu ke sini.
"Apasal kau bawak aku datang sini?" soal Edrina terus memerhatikan kawasan sekelilingnya itu. Bau hanyir ikan berlumba-lumba menyengat derianya. Kawasan kolam belaan ikan keli itu dirasakan jijik sekali oleh Edrina. Lantai sekelilingnya basah macam pasar ikan.
"Aku bawak kau? Takde mananya aku nak berbesar hati bawak kau ke sini. Buat malu aku aja! Kau yang menyemak nak ikut aku tadi," jawab Kudin macam orang tidak berperasaan.
"Aku nak ikut kau sebab aku bosan! Kat rumah kau tu takde apa-apa langsung. internet takde.. tv takde.. dahlah rumah jauh dari bandar. Huh! Memang kampung betul! Kuno!" cemuh Edrina sambil menjeling tampang suaminya itu. Kalau laki hensem macam Alex Oloughlin.. okaylah jugak nak dipandang tak henti-henti. Ini? Hitam!
Kudin menoleh kepada isterinya itu. Mulut macam longkang itu asyik mahu mencari gaduh dengannya. Aku cium jugak dia ni karang, getus hati Kudin geram.
“Tak suka masuk sini pergi duduk dalam kereta. Membebel aja,” ucap Kudin sambil menggeleng sendiri. Wanita itu ditinggalkannya di situ.
Namun Edrina mengekori lagi si Kudin. Menunggu dalam kereta? Lagilah bosan! Akhirnya dia berjalan ke hadapan sambil memandang sekeliling. Berdiri bulu roma dia melihat beratus-ratus ikan keli yang sedang mengeliat di dalam kolam itu tatkala merebut makanan. Macam ular pun ada.
Sedang dia asyik memandang ikan-ikan itu tubuhnya terlanggar sesuatu. Rupa-rupanya Kudin yang dilanggarnya. Lelaki itu menoleh kepadanya dengan kerutan di kening.
“Apasal kau berdiri kat sini?” marah Edrina geram sambil memegang hidung. Sakit hidungnya tertumus ke bahu lelaki itu. Belakang tubuh lelaki itu dipukulnya geram.
“Kau tak nampak ke aku kat sini?” tanya Kudin semula.
“Aku tengah tengok ikan-ikan tu. Seramlah tengok ikan tu semua. Ikan tu semuanya ada janggut. Mulut dia besar. Ikan tu gigit orang tak?” ucap Edrina lantas menjeling ikan di dalam kolam di tepi mereka itu. Dengan muka tak malunya dia berdiri rapat dengan Kudin.
Mahu tergelak Kudin mendengar ucapan wanita itu. Kalau aku humban dia ni dalam kolam tu mahu kena histeria dia petang-petang buta ni, bisik hati lelaki itu nakal.
“Tak pernah lagi ikan tu gigit aku selama ni. Tapi tak tahulah kalau ikan tu suka nak gigit orang yang degil macam kau ni,” jawab Kudin lantas ketawa kecil.
“Tak sukalah dia ni!” getus Edrina sambil menampar lagi belakang lelaki itu.
“Jalan tu elok-eloklah. Licin kat sini. Karang jatuh pulak dalam kolam tu,” ucap Kudin sambil menunding ke arah kolam berdekatan dengan mereka itu.
Edrina diam tidak menjawab. Sedar diri.. tadi dia memang berjalan tak pandang depan. Kudin meneruskan langkahnya lebih jauh ke dalam kawasan itu sambil diekori Edrina. Di satu kawasan lagi Edrina disajikan dengan pandangan yang lebih menakutkan dia. kalau tadi ikan itu di dalam kolam. Kini ikan itu di atas darat. Masih hidup! Ada seekor dua yang terlepas sedang melompat sana sini. Kelihatan beberapa pekerja sedang melakukan kerja-kerja mengasingkan ikan itu ke dalam tong-tong berbentuk empat segi yang memenuhi tempat itu.
“Bang..” sapa Husni sambil mengangkat tangan kepada Kudin. Matanya sempat memandang isteri Kudin yang memandang tajam ikan-ikan keli di dalam tong yang paling dekat dengan tempat dia berdiri.
“Abang Mokhtar mana?” tanya Kudin kepada anak muda itu.
“Balik kejap. Dia baru rehat. Belum sempat makan lagi,” ucap Husni biasa.
Kudin mengangguk sahaja sambil memandang sekeliling.
“Cantik..” ucap Husni sambil tersengih kepada Kudin.
“Apa yang cantik?”
“Tu..” Husni memuncungkan mulutnya kepada Edrina yang masih kejakunan memandang tong-tong ikan yang bersusun di tepi kaki mereka itu. Tidak sedar langsung dirinya sedang diperhatikan Kudin.
Kudin mahu ketawa melihat gelagat isterinya itu. Namun sedang dia memandang, Edrina mula mengalihkan perhatian kepadanya.
“Jomlah balik. Takutlah tengok ikan tu..” seru wanita itu agak cemas.
“Ish! Nak takut apanya? Ikan tu dalam tong! Bukannya dia kacau orang. Kau pun janganlah kacau dia. Ikan tu tak suka diganggu oleh perempuan yang kerek macam kau ni,” jawab Kudin tidak serius. Sengaja dipamirkan wajah selambanya untuk menyakat perempuan itu.
Edrina memandang sebal suaminya itu. Bila masa pulak aku nak kacau ikan-ikan dia? Tak kuasalah nak kacau ikan keli tu, detik hatinya geram dengan bicara Kudin tadi. Kudin hanya buat bodoh kepada tenungan tajam Edrina. Dia mula memerhatikan tong biru di sekeliling mereka itu. Kemudian kepada Husni dan beberapa orang pekerja lain yang sibuk dengan tugas mereka itu dipandangnya.
“Bila peraih nak datang ambik ikan-ikan ni semua, Husni?”
“Kata Abang Mokhtar pukul 4 nanti, bang.” Husni menjawab pantas.
Kudin mengangguk sahaja kepada jawapan itu. Seketika kemudian dia kembali mencari wajah isterinya itu.
“Pernah makan ikan keli?” tanya Kudin kepada isterinya itu. Cepat sahaja Edrina menggeleng.
“Tunggu sini,” ucap Kudin sambil menghalakan langkahnya ke arah Husni.
Edrina sekadar memerhatikan suaminya dari tempat dia berdiri. Kudin mengambil satu beg plastik dan mengambil beberapa ekor ikan lalu dimasukkan ke dalam beg plastik itu. Kemudian ditimbangnya.
Lima minit kemudian mereka berdua sudah keluar dari kawasan kolam itu. Edrina yang paling laju sekali masuk ke dalam kereta. Lega hatinya dapat melepaskan diri daripada kengerian tadi. Kudin terus menghalakan keretanya pulang ke rumah.
“Mak..” sapa Kudin setelah memberikan salam. Plastik di tangannya terus dihulurkan kepada wanita itu.
“Ya. Apa kamu bawak ni, Kudin.” Mak cik Kunah terus menyambut huluran itu. “Oh.. ikan keli. Alhamdulillah..” seru wanita itu sebelum sempat Kudin menjawab pertanyaannya tadi.
“Banyaknya ni?” tanya Mak cik Kunah lagi sambil memandang anaknya.
“Mak bagilah Mak cik Som sikit,” jawab Kudin lembut.
“Yalah. Letaklah dulu. Kejap lagi mak siang.”
“Mak sibuk ke? Biar Kudin yang tolong siangkan,” ucap Kudin setelah dilihatnya emaknya seperti sedang melakukan sesuatu di dapur itu.
“Ha.. elok benarlah tu. Mak nak kemas dapur ni. Pergi siang kat luar,” sambut Mak cik Kunah cukup senang dengan kerelaan Kudin membantunya.
“Kudin nak tukar seluar kejap.” Kudin terus naik ke atas. Seketika kemudian dia turun dengan mengenakan seluar pendek gedobos.
“Meh nak belajar siang ikan,” ajak Kudin kepada isterinya itu sebelum dia keluar untuk ke pili air. Di tangannya sudah ada besen besar dan pisau yang hendak digunakan semasa menyiang itu nanti.
Edrina akur sahaja dengan ajakan Kudin. Bukannya dia nak belajar menyiang ikan sangat. Tapi dia nak tengok apa Kudin buat dengan ikan-ikan itu.
Kudin mengambil bangku kecil lalu duduk menghadap ke pili air. Setelah memasukkan kesemua ikan itu ke dalam besen oleh Kudin, Edrina mula berpindah jauh dari situ. Dia mula takut melihat ikan-ikan itu menggelepar di dalam besen. Kudin mahu tergelak melihat isterinya itu.
“Takde mananya ikan ni nak makan kau. Paling ngeri pun dia melompat masuk dalam kain skirt kau tu aja,” ejek Kudin gelihati melihat isterinya itu.
Termuncung mulut Edrina mendengar kata-kata lelaki itu. Kurang ajar kau, Kudin.. desis hatinya bengkak.
“Marilah sini. Belajar siang ikan.”
“Aku takutlah!”
“Eleh.. makan tak takut pulak.” Kudin menggiat lagi. Tersengih-sengih dia seronok melihat muka cuak Edrina.
“Kau siang ajalah ikan tu. Aku tengok dari sini,” ucap Edrina sebal. Geram melihat selamba Kudin. Asyik nak mengenakan dia aja!
Kudin ketawa mengejek. “Orang perempuan kalau tak pandai siang ikan, buat malu aja. Tengok otai ni siang ikan. Sebelah tangan aja,” ucap Kudin sambil menepuk dada. Sengaja mahu berlagak kepada isterinya itu.
Wanita itu terus mencebik kepada suaminya itu. Eleh.. setakat pandai siang ikan aja pun nak berlagak! Benci! Bisik hati si perempuan yang sedang meluat itu. Tengok Kudin tersengih itu pun dia rasa dah macam tengok mulut ikan keli tengah tersengih.
Saat duduk menyiang itu Kudin melagukan sebuah lagu. Lagu apa lagi kalau bukan lagu Nyai kegemarannya itu.
Edrina yang mendengar semakin bengkak hati melihat gelagat lelaki itu. Takde lagu lain ke? Balik-balik lagu dangdut dia tu. Meluat! Desis hatinya sendiri sambil menghalakan pandangan ke arah lain.
Namun dalam keralikan si Kudin melagukan lagu itu. Tiba-tiba seekor ikan yang baru sahaja diambil di dalam besen, menggelupur di tangannya. Puas dia cuba memegangnya. Namun ikan itu terlepas ke belakang dan elok sahaja ikan itu menggelungsur masuk ke dalam seluar yang dipakainya melalui hujung seluar pendek gedobosnya yang terlopong.
“Mak, ikan keli gigit aku punya!!!!” latah Kudin akibat terkejut. Terbeliak mata Kudin tatkala terasa ikan itu menggedik-gedik di dalam seluarnya. Spontan dia berdiri dan sepantas kilat dia melondehkan seluarnya tanpa mengira siapa yang sedang memandang aksinya. Apa lagi..
Terjojol mata Edrina melihat aksi berani mati si Kudin.
“Mak!!!!” spontan Edrina ikut menjerit lantas menutup muka.
Mak cik Kunah di dalam kelam kabut keluar melihat sepasang manusia itu. Matanya ikut terjojol melihat seluar si Kudin sudah berada di bawah.
“Astaghafirullah-al-adzim, Kudin oi! Mak suruh kamu siang ikan. Kamu pergi bukak seluar tu buat apa? Kamu nak tunjuk apa dekat si Rina ni? Kut ya pun takkan lah kat luar rumah ni kamu nak tunjuk, Kudin? Astaghafirullah.. apa nak jadilah budak-budak sekarang ni.” Melengking suara Mak cik Kunah terkejut melihat gelagat anaknya itu.
“Tak! Bukan Kudin nak buat apa-apa pada Rina. Ikan tu masuk dalam seluar Kudin, mak. Licin! Kudin tak sempat nak pegang.” Kudin tersengih sambil mengangkat semula seluarnya. Merah padam mukanya memandang emaknya dan Edrina yang masih menutup muka. Ikan keli yang sungguh kurang sopan itu sudah pun terdampar di hujung kakinya.
Mak cik Kunah menggeleng sahaja memandang anaknya itu. “Apa punya bodohlah ikan tu pergi masuk dalam seluar kamu. Agaknya ikan tu sengal sama macam kamu. Ikan tu tak apa-apa orang sekeliling ni yang pengsan, Kudin.”
“Tak nampaklah, mak. Baju Kudin ni panjang. Kudin tak sengaja.” Tersengih-sengih Kudin mahu menutup malu.
“Dah, Rina. Mari masuk dalam. Karang entah apa dibukaknya lagi. Kamu jugak yang pengsan nanti tengok spentot gambar kartun dia tu,” ajak Mak cik Kunah sambil mengerling anak lelakinya itu.
Ajakan itu bak pucuk dicita ulam mendatang bagi Edrina. Terus dia bangun untuk menurut langkah emak mertuanya itu. Dia pun memang dah tak sanggup duduk di situ memandang seluar kecik kartun-kartun lelaki itu.
“Mak, kutuk boleh sebarang kutuk. Seluar kartun Kudin ni jangan. Kudin sayang seluar ni,” ucap Kudin semula.
“Yalah.. kamu pun macam kartun, tu yang sayang sangat seluar kartun kamu tu!” perli Mak cik Kunah selamba.
 Edrina mencebik kepada lelaki itu. Dia pun pelik macamana boxer bergambar kartun Pink Panter itu boleh menjadi pilihan lelaki itu. Warna pink pulak tu! Entah pereka boxer manalah yang tergamak mereka seluar begitu. 
“Dah nak masuk ke? Tadi kata nak belajar siang ikan? Belum habis belajar lagikan?” tersengih-sengih Kudin menegur isterinya itu.
“Tak kusa nak tunggu!” getus Edrina pantas. Serik dia menonton aksi kurang sopan si Kudin!





No comments:

Post a Comment