Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 2



Sepeninggalan Tengku Ahmad Ehsan, Toh Puan Siti Aisyah terus membawa diri ke tingkat atas. Bilik emak mertuanya itu dijejakinya. Wanita itu nampaknya sudah selesai bersarapan pagi.
“Bonda dah makan ubat ke?” tanya wanita itu lembut.
“Belum lagi,” jawab Tunku Zainab biasa.
Toh Puan Siti Aisyah segera mencapai botol ubat lalu di bawa dekat kepada emak mertuanya itu. Dia duduk di sisi katil menghadap wanita tua itu.
“Mana Rina?” soal Tunku Zainab lembut kepada menantunya itu.
“Dia kat bawah, bonda..” jawab Toh Puan Sri Aisyah perlahan. Tampang tua emak mertuanya yang sedang duduk bersandar di kepala katil itu dipandang lembut.
“Ehsan?”
“Dah pergi ofis sekejap tadi.” Sekali lagi suara wanita itu teralun lembut melayan pertanyaan emak mertuanya itu. beberapa biji kapsul diserahkan kepada Tunku Zainab.
Tunku Zainab mengangguk lagi. Tanpa banyak kira ubat yang berada di telapak tangannya terus dimasukkan ke dalam mulut. Kemudian air masak yang dihulurkan menantunya itu dicapai lalu diteguk sehingga habis.
“Bonda nak turun bawah atau nak berehat di bilik aja?”
“Bonda nak rehat di sini aja. Nanti dah tengahari baru bonda turun,” jawab Tunku Zainab lembut.
Toh Puan Siti Aisyah mengangguk akur. Setelah botol ubat disusun semula dia kembali duduk berdekatan dengan emak mertuanya. Tampang tua itu nampak tenang sekali walaupun tidak begitu sihat sehari dua ini.
“Bonda ada hal nak cakap dengan kamu ni,” ucap Tunku Zainab lembut sambil memandang ke hadapan.
Toh Puan Siti Aisyah sekadar memandang Tunku Zainab tanpa menjawab. Emak mertuanya dilihat seperti sedang ralik memikirkan sesuatu yang mengusuti benaknya. Sekali dua itu dia lihat Tunku Zainab mengeluh sendiri.
“Bila dah tak sihat begini fikiran bonda mula terfikirkan macam-macam. Salah satunya tentang wasiat ayahanda dulu. Kalau boleh bonda mahu Ehsan segera selesaikan masalah tu. Selagi masih ada nyawa ni, bonda nak tengok sangat wasiat ayahanda tu tertunai,” ujar wanita 74 tahun itu lembut.
Toh Puan Siti Aisyah mengangguk mengerti. Ya! dia memang sudah lama tahu wasiat itu memang masih tidak tertunai sehingga kini.
“Ai..” panggil Tunku Zainab lembut. Tangan menantunya itu diambilnya lalu digenggam erat. Tatapan matanya seperti sedang menghantar satu harapan kepada menantunya itu tentang keluarga ini.
“Pujuk Ehsan.. minta dia serahkan saham tu pada Tengku Emran. Itu memang hak dia yang dah ayahanda putuskan. Kita tak boleh tamak, nak. Bonda tak mahu hubungan dua keluarga ni terus terpisah jauh begini. Hubungan kekeluargaan tak boleh dibeli dengan wang ringgit.” Tunku Zainab berbicara halus.
“Ai takut nak masuk campur dalam hal tu, bonda. Ai takut Ehsan marah. Selalunya bila Ai sebut pasal tu dia terus diam,” jawab Toh Puan Siti Aisyah perlahan sahaja.
“Bukan soal marah atau tidak. Tapi saham tu memang hak Tengku Emran. Takde siapa yang boleh menafikan itu semua. Semakin lama kita menunggu semakin susah masalah harta pusaka ni nak diselesaikan. Sedangkan wasiat yang ayahanda tinggalkan bertujuan nak menyatukan kita semua semula,” jawab Tunku Zainab bersungguh dengan suara sedikit mendayu.
“Ai faham tu, bonda. Insya-Allah, Ai akan cuba bercakap dengan Ehsan tentang itu,” jawab Toh Puan Siti Aisyah rendah. 
Tunku Zainab menghela nafas perlahan sambil memandang menantunya itu. Soal wasiat arwah suaminya dan masalah keluarga ini benar-benar membuat dia menjadi pemikir semenjak kebelakangan ini.
“Bonda sedih bila teringatkan almarhum ayahanda, Ai. Dah terlalu lama dua keluarga ni jadi begini. Hati bonda tak tenang selagi keadaan tu tak dipulihkan segera. Bonda tahu ayahanda tak pernah berniat nak memulaukan keluarga di sana. Tapi hati bonda Zanariah dulu cukup keras untuk terima kami berdua sebagai anak menantu,” ucap Tunku Zainab agak rendah. Sedih hatinya memikirkan kekerasan hati arwah emak tiri suaminya dulu. Kehadiran mereka tidak diterima dan tiga beradik suaminya itu terus terpisah jauh.
Tunku Zainab masih ingat cerita arwah suaminya dulu. Tengku Syed Muzhaffar memiliki seorang kakak dan adik lelaki iaitu Tunku Zarith dan Tengku Syed Ismail. Namun sepanjang hidup arwah suaminya dahulu hanya dua kali suaminya pernah bersua muka dengan adik beradiknya. Itu pun ketika masih kecil, ketika almarhum ayahanda mertuanya itu masih ada. Selebihnya dua beradik itu sukar dijejaki kerana mereka sentiasa hidup berpindah sana sini.
Ketika berusia 15 tahun Tengku Syed Ismail adik bongsu almarhum suaminya meninggal dunia akibat penyakit lelah yang dihidapi semenjak kecil. Kemudian arwah suaminya pernah pergi mencari kakaknya itu. Namun Tunku Zanariah tetap enggan mendedahkan di mana Tunku Zarith tinggal dan dengan siapa wanita itu berkahwin.
Tetapi takdir menentukan, lebih 10 tahun lalu mereka akhirnya berjaya menjejaki tempat diamnya Tunku Zarith selama ini. Itupun setelah Tengku Syed Muzahaffar mengupah orang untuk mencari wanita itu. Khabar dari orang tempatan mereka mendapat tahu Tunku Zarith rupanya pernah berkahwin dan melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Tunku Budriah. Sayangnya kedatangan mereka ke tempat itu hanya disambut oleh dua pusara milik Tunku Zarith dan Tunku Budriah. Sekali lagi mereka terpaksa terus mencari setelah mereka diberitahu Tunku Zarith memiliki seorang cucu lelaki yang dijaga oleh ayah kandungnya setelah pemergian Tunku Budriah dahulu. Itulah Tengku Raden Emranuddin, satu-satunya cicit kepada Tunku Zanariah.
Toh Puan Siti Aisyah sekadar memandang wajah emak mertuanya itu. Dia juga tahu sedikit sebanyak kisah yang dimaksudkan oleh emak mertuanya itu. Kisah itu tentang ayah kepada Tunku Syed Muzhaffar yang berkahwin dua secara rahsia. Setahunya juga, Tengku Syed Muzhaffar adalah anak tunggal hasil daripada perkahwinan kedua itu dengan seorang wanita berbangsa Irish bernama Jane. Dan ayahanda mertuanya itu ada membuat satu wasiat sebelum pemergiannya dulu. Sebahagian saham di dalam syarikat milik keluarga mereka harus diserahkan kepada waris Tunku Zarith, anak sulung kepada isteri pertama Tengku Hishamudin.
 “Bonda nak tengok keluarga ni bersatu semula, Ai. Tengku Emran berhak berada dalam keluarga ni kerana dia satu-satu pewaris lelaki yang kita ada. Bonda nak Ehsan kahwinkan dia dengan Edrina. Bonda harap dengan cara itu hubungan dua keluarga ni dapat dicantum semula,” ucap Tunku Zainab serius.
Toh Puan Siti Aisyah terpaku memandang tampang emak mertuanya itu. Kahwinkan dengan anaknya? Mimpi ke bonda ni? Dengar dek Edrina mahu terbalik rumah ni dibuatnya.
“Serius ke ni, bonda?” tanya Toh Puan Siti Aisyah bagaikan sedang bermimpi. Suruh kerja pun anak itu tak mahu. Inikan pulak kahwin? Tapi kalau dah tak mahu kerja, eloklah kahwin saja. Daripada buang masa tak tentu hala, baik duduk rumah melayan suami.
“Kenapa pulak bonda nak jadikan benda ni sebagai gurauan? Bonda serius ni, Aisyah. Bonda rasa inilah yang terbaik untuk keluarga kita. Bonda mahu Tengku Emran selalu dekat dengan kita,” ujar Tunku Zainab sambil mengangguk bersungguh.
Tidak tertelan liur Toh Puan Siti Aisyah mendengar itu. Bukannya dia tidak suka tetapi rasanya Tunku Zainab sedar siapa yang sedang mereka perkatakan ini. Tengku Nur Edrina yang pemalas, cerewet, suka melawan dan bermacam-macam lagi ragam yang sering memeningkan kepada mereka.
“Bonda yakin Edrina dan Emran memang sepadan untuk digandingkan,” ujar Tunku Zainab sambil tersenyum sendiri mengenangkan angan-angannya itu.
Toh Puan Siti Aisyah hanya mampu memandang emak mertuanya itu dengan mata terkebil-kebil. Dia tidak menjawab kerana saat ini dia benar-benar kelu untuk berkata apa-apa. Sepadan? Entahlah..

“Edrina, nantilah dulu. Come onlah.. you ni susah betul nak ajak berbuallah.” Sekali lagi langkah Edrina terhenti ditahan oleh lelaki itu ketika dia hampir sampai ke keretanya. Badrul sengaja berdiri di hadapannya menjadikan lorong untuk ke tempat pemandu sudah terhalang oleh batang tubuh lelaki itu. Sudahlah kereta sebelah memakirkan kereta agak rapat dengan keretanya. Itu sudah merupakan bonus besar kepada lelaki itu untuk menyekat Edrina daripada terus berlalu daripadanya.
“Ada apa lagi ni, Bad? Tepilah! I nak balik cepat. Nanti papa bising,” getus Edrina bosan mahu melayan lelaki itu.
“I cuma nak berbual sekejap dengan you. Sekejap aja. Please..” Badrul menyeringai di hadapan gadis itu.
“Badrul, please don’t waste my time. I nak balik ni. Kalau you takde apa nak dikatakan, please move! I nak blah ni,” keluh Edrina tidak senang mahu melayan sengihan lelaki itu. Dia cuba untuk mencelah di tepi lelaki itu. Namun Badrul terus menghalang lagi jalannya, membuatkan dia tidak dapat untuk ke keretanya.
“Relaxlah..” pujuk Badrul mendayu.
“Nak relax apanya? You ni tak faham bahasa ke apa?” meninggi suara Edrina menyatakan rasa tidak senangnya dengan kelakuan Badrul. Meluat!
“I nak ajak you dinner dengan I malam esok? Kita pun dah lama tak jumpa,” ucap Badrul cuba berlembut.
“I tak senang nak dinner dengan you esok, lusa dan hari yang seterus-seterusnya. Enough!” Edrina terus menjawab tanpa mahu mempertimbangkan pelawaan itu walaupun untuk sedetik. Dia memang tidak senang mahu melayan lelaki ini. Badrul adalah lelaki yang paling dia tidak gemar di Kuala Lumpur ini. Kaki kelentong perempuan!
“Ed, you tahukan perasaan I pada you?” keluh Badrul lembut sahaja. Sekali lagi dia terpaksa menghela nafas kecewa dengan reaksi dingin Edrina. Susah benar mahu memikat wanita ini. Dia langsung tidak dilayan.
“So?” tanya wanita itu sambil berpeluk tubuh memandang kosong tampang Badrul.
“Takkanlah takde peluang langsung?” ucap Badrul sedikit mendayu.
“I takde perasaan tu. So you jangan buang masa dengan I lagi. Tolong ke tepi. I nak balik sekarang,” jawab Edrina cukup serius.
“Ed, bagilah I peluang. Sekali aja, please?” rayu Badrul macam sudah terdesak.
“I betul-betul sukakan you selama ni. I tahu you memang dah lama tahu tentang perasaan I kan? Tapi you sengaja buat tak nampak,” tambah Badrul lagi.
“I memang bodoh kalau I percaya apa yang you cakap ni. Tolonglah.. I tak selemah perempuan-perempuan yang you angkut selama ni, Bad. Lagipun I tak minat nak jalinkan hubungan dengan anak kawan papa I sendiri dan bekas rakan satu sekolah. Bukan taste I. So you jangan buang masa simpan perasaan tu. Good night, Bad!” ucap Edrina cukup serius. Lelaki itu ditolaknya ke tepi sebelum dia terus menuju ke pintu keretanya.
“Apa salahnya kalau I anak kawan papa you?” tanya Badrul lantas mengekori Edrina.
Edrina menoleh kepada lelaki itu. “I tak cakap pun benda tu salah. I cuma kata playboy macam you ni bukan taste I. Tak faham ke?” balas Edrina dingin.
“I sanggup berubah untuk you, Ed.”
“I yang tak boleh ubah perasaan tu untuk you. Sudahlah, Bad. Rimaslah! Kita dah kenal semenjak kecil. Takkanlah you takde calon lain selain dari kawan you daripada kecil ni kut? Pandang kiri nampak you.. pandang kanan nampak muka you jugak. I tak minatlah. Tak berkembang otak I kalau berkawan dengan orang yang terlalu dekat dengan I,” jawab Edrina bersungguh. Pintu keretanya terus dibuka dan dia terus masuk.
Terbedik-bedik Badrul memandang Edrina masuk ke dalam keretanya. Untuk kesekian kalinya dia mengeluh kecewa dengan penerimaan Edrina kepada dirinya. Entah kenapa semenjak dulu sukar benar Edrina mahu beramah mesra dengannya. Bukan setahun dia dia mengenali Edrina. Tetapi semenjak daripada zaman sekolah dulu. Gadis itu sering cakna tidak cakna sahaja kepada setiap kali mereka bertemu.
Edrina terus melarikan keretanya daripada situ tanpa mempedulikan Badrul yang masih terpacak memerhatikan dia. Peduli apa dia. Siapa suruh kau terpacak kat situ. Dah tahu aku tak suka, kau nak tunggu situ lagi buat apa? detik hatinya sendiri.
Sesampai di rumah seluruh ahli keluarganya sedang menikmati makan malam.
“Rina, sini..” Tunku Zainab terus memanggil Edrina agar mendekatinya di meja itu.
“Ya, nenda..” jawab Edrina biasa.
“Dah makan?” soal Tunku Zainab lembut sahaja.
Edrina mengangguk sahaja.
“Dari mana tadi? Nenda tengok kamu keluar awal pagi, sekarang baru balik?” dalam kebisuan Tengku Ahmad Ehsan dan Toh Puan Siti Aisyah, suara Tunku Zainab terus kedengaran kepada cucunya itu.
“Emm.. Rina keluar dengan Saiba tadi. Kami keluar jalan-jalan. Lepas tu Rina lepak kat rumah dia,” jawab Edrina rendah sahaja. Tidak enak dadanya melihat pandangan serius nendanya itu tertusuk tepat di wajahnya.
“Rina ni tak pernah nak lekat di rumah. Dahlah tak mahu berkerja. Itu nenda tak mahu komen banyak. Tetapi tak elok anak dara macam kamu ni berlegar di luar sana takde arah tujuan,” tegur Tunku Zainab lembut. Namun pandangan matanya cukup serius.
“Rina bukannya buat apa-apa yang tak elok pun, nenda. Rina cuma pergi shopping kemudian tengok movie kat rumah Saiba,” jawab Edrina sedikit menunduk. Pandangan neneknya itu tidak berani mahu ditentangnya.
Tunku Zainab menghela nafas perlahan. “Ada saja jawapan kamukan? Kamu rasa menghabiskan masa begitu saja di luar tu perkara elok ke?” Tunku Zainab menggeleng sendiri melihat perangai cucunya itu.
Edrina mula terdiam. Panas wajahnya dirasakan. Mahu melawan kata-kata neneknya itu dia tidak berani pula. First ladylah katakan..
“Sebagai perempuan, kamu bertanggungjawab menjaga maruah diri kamu dan maruah keluarga ini. Bukannya berpeleseran macam anak dara yang dah takde moral. Kamu fikir nenda suka sangat tengok kamu berpakaian singkat macam ni? Hidup kena ada arah dan tujuan, Edrina. Bukannya membazir masa macam tu saja. Kalau kamu terus macam ni.. nenda akan suruh papa kahwinkan kamu!”
“Nenda, tak mahulah!” jawab Edrina pantas.
“Kamu memang tak pernah nak dengar apa nasihat kami! Cakap kamu aja betul!” tegas Tunku Zainab mula mengeraskan suaranya. Ironinya walaupun Edrina sedang dimarahi, Tengku Ahmad Ehsan dan isterinya hanya buat muka selamba menikmati makan malam macam takde apa-apa berlaku di meja itu.
Edrina terus tunduk sambil mencebik. Bila kena marah memang macam itulah mukanya. Tayang muka macam budak-budak nak menangis. Saja nak minta simpati.
“Mulai esok, kamu nak keluar kena minta izin papa kamu atau ibu kamu. Kalau kamu ingkar arahan nenda ni, nenda akan pastikan elaun kamu setiap bulan dipotong separuh. Faham?” ujar Tunku Zainab tegas.
Edrina tersentak sedikit mendengar ucapan wanita tua itu. Matanya segera dialihkan kepada ayahnya. Melihat tiada tanda-tanda ayahnya mahu membantah arahan neneknya itu dia akhirnya mengangguk juga.
“Bagus! Sekarang pergi naik,” ucap Tunku Zainab sebelum kembali menyambung makan malamnya.
Dengan hati penuh kesebalan Edrina meninggalkan meja makan itu. Ni mesti papa mengadu dengan nenda pasal aku.. bisik hatinya sendiri saat memanjat tangga mencari bilik tidurnya. Di dalam kamar itu tubuhnya terus dihempas ke atas katil. Buat seketika kata-kata Tunku Zainab tadi terimbau lagi di fikirannya.
“Kalau elaun kena potong separuh, masak aku! Tak boleh jadi ni. Aku kena ikut cakap nenda kali ni. Kalau tak.. tak dapatlah aku nak shopping lagi,” ujar Edrina sendiri.
Ah! Apa nak susah. Kalau aku nak keluar shopping, aku ajak aja mama.. bisik hati Edrina lantas tersenyum sendiri. Mama Edrina pun boleh tahan jugak bab shopping ni semua, walaupun tabiat mamanya itu tidaklah skronik dia. Dalam hati Edrina ketawa sendiri.
Dalam pada dia terbedik-bedik sendiri Edrina tidak sedar bila kala matanya itu terlelap. Tanpa mandi.. tanpa menukar baju. Dia tertidur begitu sahaja!

Tidak tertahan lagi memikir sendiri, akhirnya malam itu Toh Puan Siti Aisyah berbincang juga dengan suaminya tentang usul emak mertuanya itu yang mahu mereka menjodohkan anak perempuan mereka dengan Tengku Emran.
“Saya dah tahu pasal tu. Bonda dah cakap dulu,” jawab Tengku Ahmad Ehsan tenang sahaja kepada isterinya malam itu. Dia langsung tidak terkejut mendengar kemahuan emaknya itu. Kerana keinginan bondanya itulah dia sengaja berlengah-lengah mencari Tengku Emran. Dia tidak tamakkan harta. Dia sendiri pun sudah putus harap kepada Edrina untuk mengambil alih tempatnya. Jadi sekarang dia memang mengharapkan Tengku Emran itu yang mengambil alih syarikat dalam masa terdekat ini. Sayangnya hasrat emaknya yang mahu bermenantu cucukan Tengku Emran itu membuatkan dia ragu sehingga kini.
“Habis tu kenapa awak tak bersuara langsung pasal tu?” ucap Toh Puan Siti Aisyah kepada suaminya itu. Wanita bekas seorang guru itu terus merenung wajah sedikit mendung milik suaminya yang sedang duduk di sisi katil.
“Banyak yang bermain dalam fikiran saya ni bila bercakap soal ini, Ai..” Tengku Ahmad Ehsan terdiam seketika sambil menghela keluhan sendiri. Mahu menolak hasrat bondanya itu dia tidak sanggup. Tetapi untuk menerima begitu sahaja.. entahlah! Hanya satu yang bermain di fikirannya saat ini.. penerimaan Edrina tentang itu! Ngeri dia mengenangkan reaksi anaknya itu jika terdengar tentang ini semua. Bukan senang memujuk anaknya yang degil itu.
“Apa pula pendapat awak tentang itu, Ai? Awak setuju ke dengan kemahuan bonda tu?” Tengku Ahmad Ehsan menoleh kepada isterinya.
“Apa yang ada dalam otak saya sekarang ni, takde lain! Mahu ke Tengku Emran tu pada anak kita? Dengan tak tahu memasaknya. Pemalas! Mulut celupar mengata orang. Degil pulak tu! Edrina tu takde tokoh langsung nak jadi isteri dan ibu. Masalahnya kita semua tahukan yang Tengku Emran tu bukannya hidup mewah macam kita. Dia pun bukannya menentap di bandar besar macam KL ni. Sanggup ke dia tahan dengan perangai cerewet anak kita? Lelaki kampung ni mereka perlukan isteri sepenuh masa. Takde istilah orang gaji dalam rumahtangga! Takkanlah kita nak mintak Tengku Emran tu sediakan orang gaji seorang semata-mata untuk senangkan anak kita? Tak masuk akal!” jawab Toh Puan Siti Aisyah serius.
Sekali lagi Tengku Ahmad Ehsan terdiam. Ya tak ya juga.. itu pun satu masalah jugak. Ah! Payahnya kalau ada anak dara kepala batu macam ni... jerit hati lelaki itu sendiri. Anaknya itu memang tidak pernah lekat dengan seorang lelaki. Sebab semuanya tak tahan dengan perangai Edrina yang cerewet dan berlagak diva.
“Saya faham apa maksud bonda. Bonda hanya fikir untuk kebaikan kita bersama, Ehsan. Saya setuju sangat dengan kemahuan bonda. Tapi saya takut anak kita tak mampu jadi isteri yang baik kepada Tengku Emran. Saya paling takut hal anak-anak akan membuatkan dua keluarga ni semakin jauh,” ucap Toh Puan Siti Aisyah lagi tatkala suaminya terus berdiam.
“Emran tu sebatang kara di situ. Dia memang perlukan kita. Saya pun tak mahu dia berjauhan daripada kita lagi,” ucap Tengku Ahmad Ehsan sambil memandang isterinya di kepala katil itu.
“Jadi apa keputusan awak sekarang?”
“Saya akan berbincang dengan Kunah nanti. Tunggulah..” jawab Tengku Ehsan lantas bangun dari duduknya. Tubuhnya dibawa menghilang ke dalam kamar mandi.






No comments:

Post a Comment