Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - BAB 6



Tengahari itu kelibat Wak Sukiman muncul lagi di kolam ikan milik Kudin. Namun kali ini kedatangannya tidak berseorangan. Ada tetamu jauh yang dibawanya sekali. Tidak ketinggalan Lisa juga ada bersama ayahnya itu.
“Aik? Mimpi apa datang sini?” sapa Kudin saat memandang ketiga-tiga manusia itu menjejakkan kaki ke pejabat kecilnya.
“Saja aku mahu bawak kawan si Lisa ni tengok-tengok kolam ni. Katanya teringin nak tengok bussines wak ni. Itu yang wak ke sini.” Wak Sukiman tersengih sambil menunjukkan seorang lelaki berpakaian kemas yang berdiri di sebelah Lisa.
Business wak? Hati Kudin berdetak sendiri mendengar itu. Semenjak bila pulak dia jadi bos besar kat sini? Namun Kudin sekadar mengangguk sahaja tatkala mata lelaki itu mula singgah di wajahnya.
“Abang Kudin, kenalkan ini Gabriel teman lelaki Lisa. Dia pun business man kat KL sana. Dia orang KL,” ucap Lisa sambil tersenyum memandang lelaki kacak di sebelahnya itu.
Oh.. orang KL rupanya. Sesuailah dengan selera Lisa yang sukakan lelaki bandar yang berfikiran terbuka. Tak macam dia. Kolot! Sekadar lelaki kampung saja apalah sangat. Ah! Dia pun sudah tidak hairan. Perasaan sayangnya kepada Lisa sudah lama lesap entah ke mana. Hatinya kosong sama sekali saat memandang gadis itu.
Kudin segera menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan lelaki itu.
“Kudin..” ucapnya sambil tersenyum biasa kepada lelaki itu. Nama Gabriel tapi rupa macam Melayu. Lebih kurang dia juga warna kulitnya. Cuma bezanya lelaki itu berpakaian berjenama. Dia hanya dengan t’shirt buruknya.
“Abang Kudin nilah yang tolong jalankan business ni untuk ayah I. Kami memang dah kenal lama,” jelas Lisa kepada Gabriel. Lelaki itu mengangguk sambil memandang sekeliling.
“Good!” ucap lelaki itu sambil memandang Kudin dengan sedikit senyuman.
Kudin terasa mahu tercekik mendengar ucapan Lisa. Macam ada yang tidak kena sahaja. Bukan ke ini business aku? Apa hal pulak aku nak tolong bapak dia. Jumlah perkongsian ayah si Lisa ni pun bukannya besar sangat. Wak Sukiman diberikan sebahagian hak perkongsian kerana tanah kolam ini termasuk sedikit kepada tanah lelaki itu. Entah apalah yang dikelentongnya mamat KL itu.
“Kudin, wak ke mari ni nak ambil sikit ikan. Nak buat masak di rumah untuk tetamu ni. Mau jugak bagi dia merasa ikan dari kolam wak sendiri,” ucap Wak Sukiman mulalah terlebih bangga.
“Berapa banyak pulak kali ni wak nak?” soal Kudin sedikit sinis. Kolam kau? Banyak kau punya kolam kat sini..
“Alah.. bagi dalam 2 kilo aja. Minta budak pekerja tu siangkan sekali. Senang nanti wak Normah terus masak aja,” ucap Wak Sukiman lancar sahaja.
Wah.. dah macam bos besar siapa bagi arahan suruh buat itu suruh buat ini. Namun mengenangkan ada tetamu bersama mereka malas Kudin mahu membantah kehendak lelaki itu. Bimbang lelaki tua itu malu dengan tetamu itu. Namun melihat kelakuan Lisa tiba-tiba dia rasa menyampah pula. Dengan aksi manja, sepasang manusia itu saling berpegangan tangan berpegangan tangan. Takut jatuh gaung ke apa entah.
“Lisa.. Gabriel.. bapak nak ke kolam sekejap. Nak tengok pekerja-pekerja di sana. Kamu tunggu sekejap ya?”
“Saya ikut..” ucap Gabriel pantas.
“Lisa tunggu sinilah. Malas nak masuk tempat basah-basah macam tu. Geli!” ucap Lisa lantas mengambil tempat di sofa usang di dalam bilik itu.
Kudin terkebil-kebil sahaja melihat sketsa di hadapan matanya itu. Bapaknya dah macam bos besar.. anaknya pulak macamlah dulu lahir dalam dulang emas. Tiba-tiba jijik nak jejak ke tempat-tempat basah itu. Tapi ikan tu tak geli pulak.. makan pulak ya? Kudin menggeleng sendiri. Macam ni punya manusia pun ada!
Kudin membisu sahaja setelah dia ditinggalkan berdua sahaja dengan Lisa. Kerjanya diteruskan semula.
“Abang Kudin buat apa tu?”
“Balancekan akaun..” jawab Kudin tanpa memandang.
“Oh.. pandai ke abang buat semua kerja tu?” soal Lisa lantas bangun. Dia mahu melihat apa yang sedang dikira Kudin. Setahunya kerja itu selalu dibuat oleh akauntan.
Kudin diam sahaja. Lisa yang mula menempek di tepinya itu tidak dipandang. Jarinya terus menekan kalkulator di atas meja itu.
“Banyak ke hasil jualan business kolam ni?” tanya Lisa sambil memandang buku panjang di hadapan Kudin. “Wah.. banyaknya, bang?” seru Lisa kagum sebaik sahaja terpandangkan angka ratus ribu yang tertera.
“Ini bukan pendapatan kolam ni. Ini pendapatan ladang,” jawab Kudin selamba. Kalau nak harap kolam ini.. baru nak ada untung dah kena ambil.
“Eh! Iya ke? Pendapatan kolam ni dengan ladang tu tak sekali ke?” soal Lisa sedikit terkejut.
“Lain. Ladang tu hasil usaha abang dengan Mokhtar. Ayah Lisa takde syer,” jawab Kudin selamba.
“Aik? Kenapa pulak macam tu? Kan ayah Lisa ada melabur sekali?” soal Lisa mula mempertikaikan kata-kata Kudin.
Kudin diam malas mahu melayan soalan gadis itu. Kalau dia terangkan bukannya budak mentah ini faham. Buat kering liur sahaja.
“Emm.. apa pendapat abang tentang boyfreind Lisa tu? Okay tak?” tanya Lisa lembut di sisi Kudin.
“Okay..” Kudin menjawab biasa tanpa memandang.
“Abang tahu dia business apa? Family dia ada syarikat pembinaan besar tau. Anak datuk dia tu,” ujar Lisa berbaur bangga.
“Baguslah..” jawab Kudin masih dengan nada yang sama.
“Lisa pernah pergi ofis Gabriel tu. Mewah gila, bang! Berganda-ganda lagi besar daripada ofis abang ni,” ucap Lisa terus membuat perbandingan yang paling tepat. Tak terfikir langsung dia di mana kakinya berpijak saat itu.
“Manalah abang mampu nak adakan ofis mewah, Lisa. Abang bukannya ada syarikat besar. Business abang ni kecil aja,” jawab Kudin sambil menulis angka yang terdapat di kalkulator itu di buku lejarnya.
“Hmm.. dengarnya tak lama lagi syarikat dia akan ada usaha sama dengan satu lagi syarikat besar ni. Pemiliknya tu dengarnya ada gelaran Tengku. Tapi bukanlah tengku macam abang Kudin ni. Tengku setakat nama aja. Dia orang tu memang Tengku yang berdarah raja,” ucap Lisa selamba.
Kudin menoleh sedikit kepada gadis itu. kata-kata Lisa membuatkan jantungnya berdetak sendiri. “Manusia ni sama aja, Lisa. Darah semua merah walaupun bertitle Tengku.” Kudin menjawab agak perlahan.
“Yalah.. tapi sekurang-kurangnya dia orang tu disegani sebab ada title Tengku ni semua. Keluarga pun memang berprotokol macam bangsawan. Gabriel pun selalu cakap dengan Lisa. Lisa kena pandai bawak diri bila bergaul dengan dia orang tu. Sebab keluarga dia orang ni memang golongan bangsawan. Malulah dia nanti kalau Lisa ni tak pandai sesuaikan diri dengan orang-orang macam tu. Lisa pun tak mahulah jadi kolot,” ujar Lisa sambil tersenyum memandang Kudin.
“Baguslah kalau Lisa dapat bergaul dengan pelbagai lapisan manusia ni,” jawab Kudin. Dia sudah tidak tahu apa yang hendak dikomennya kepada kata-kata Lisa itu. Pasrah ajalah.
“Gabriel tu baru aja belikan Lisa kereta. Abang nak tahu kereta apa?” Lisa kembali menceceh setelah mereka berdiam seketika.
“Tak tahu..” jawab Kudin sekadar melayan kosong.
“Proton Preve yang baru ni. Dia beli cash!”
“Alhamdulillah..” jawab Kudin. Ingatkan Limborghini tadi.. hati Kudin tergelak sendiri. Kerjanya tetap diteruskan tanpa merasa terganggu dengan kehadiran Lisa di sebelahnya.
“Kalau abang tengok rumah keluarga dia. Besar gila, bang. Banglo mewah.. Lisa dah banyak kali pergi rumah family dia. Mak dengan ayah dia pun suka dengan Lisa.” Lisa terus mencanang cerita tentang kehebatan teman lelakinya itu.
Kudin mengangguk sahaja. Dia tiada apa yang hendak dikatakan kerana cerita Lisa itu langsung tidak menarik di telinganya.
“Kami pun dah merancang nak bertunang tak lama lagi. Nanti waktu kami kahwin Lisa jemput abang ya? Tapi abang kenalah pakai baju elok sikit bila nak ke sana. Sebab kemungkinan kami akan buat majlis tu kat hotel,” ucap Lisa tanpa jemu.
“Takpelah.. abang datang majlis Lisa belah sini aja. Dekat pun dekat..” jawab Kudin biasa. Patutlah geli mahu menjejakkan kaki ke kolam ikannya. Rupanya bakal menjadi menantu Tan Sri. Memang patutlah Lisa menjaga statusnya itu. Manalah layak tanah basah di kawasan kolamnya ini dijejaki oleh manusia yang berdarjat tinggi macam Lisa.
“Alah.. takkan abang tak mahu tengok majlis Lisa kat KL sana? Kat sana nanti kami buat grand sikit. Dalam ball room hotel 5 bintang. Kat KL sana lain daripada majlis kahwin yang selalu ada kat kampung ni,” ucap Lisa bernada bangga.
“Tengoklah kalau ada kesempatan..”
Sedang mereka ralik berbual berdua kedatangan Wak Sukiman dan Gabriel mencantas kekhusyukan Kudin kepada kerjanya. Lelaki itu dipandangnya.
“Kudin, wak dah ambil ikannya tadi. Wak balik dulu ya?” ucap Wak Sukiman sekadar dari ambang pintu pejabat kecil itu.
“Yalah..” jawab Kudin biasa.
“Abang, Lisa balik dulu ya? Jangan lupa datang majlis Lisa nanti,” ucap Lisa sambil melambai Kudin.
“Bagilah kad jemputannnya dulu. Insya-Allah abang datang,” ucap Kudin lembut. Kad jemputan belum ada macamana nak pergi? nak ada kad jemputan apanya kalau meminang pun belum lagi. Lisa.. Lisa.. cerita ‘gebang’ kuat. Tapi hampeh! Kudin menggeleng sendiri.
Tidak sampai seminit pemergian tiga manusia itu Mokhtar menerpa ke pejabat itu. “Kau yang bagi dia ambil ikan tu lagi ke, Kudin?” tanya Mokhtar. Nadanya macam tidak puas hati saja.
Kudin mengangguk dulu sebelum menjawab. “Biarlah.. dia ada tetamu. Aku bagi pun sebab nak jaga air muka dia pada tetamu tu.” Kudin menjawab biasa.
“Sampai 4 kilo dibantainya. Parah betullah orang tua ni,” keluh Mokhtar sambil menggeleng.
“Ha? 4 kilo?” soal Kudin tercengang. Wajah Mokhtar dipandang dengan mata membulat serta merta.
“Dia kata kau yang bagi..”
Pen di tangan terus diletakkan Kudin. Mengenang lelaki tua itu kepalanya digelengkan kesal. Tadi cakap 2 kilo aja. Ini dah jadi 4 kilo. Bermakna bertambah lagi kerugian mereka. Memang parah bak kata Mokhtar itu. Saat itu Kudin hanya mampu reda sahaja walaupun hatinya sakit mengenangkan kelicikan orang tua itu. Bukan rezeki merekalah tu nampaknya.
“Takpelah.. benda dah diambil. Nak buat macamana. Dia dah ambik pun. Anggap sedekah ajalah,” ucap Kudin perlahan.
“Mana boleh selalu macam ni, Kudin. Kita ni cari makan. Kalau nak buat pahala baik kita sedekah pada anak yatim daripada menyenangkan orang macam Wak Sukiman tu,” ucap Mokhtar tidak setuju dengan bicara Kudin.
“Aku tahu. Tutup buku hujung tahun ni kita bincang semula pasal syer kita tu.” Janji Kudin bersungguh.
“Kau nak buat apa pasal kita tu?”
“Kau jangan bimbang, Mokhtar. Aku takkan biarkan usaha kita ni lingkup macam tu aja disebabkan dia. Aku dah ada plan lain untuk masa depan kita,” ujar Kudin sambil memandang Mokhtar yang berteleku di hadapan mejanya. Bibirnya tersenyum penuh makna. Untuk selamatkan perniagaan mereka daripada lelaki itu mereka harus bijak dan bersedia. Itulah yang sedang dilakukannya sekarang ini.
“Maksud kau?” tanya Mokhrat masih tidak tahu hujung pangkal. Hairan dia melihat Kudin boleh setenang itu.
Kudin membuka laci mejanya. Sebuah fail diambilnya lalu diberikan kepada Mokhtar. “Tengoklah apa yang ada kat dalam tu. Kali ni kita usahakan perniagaan ikan talapia dan udang di atas tanah tu. Hanya kita berdua sahaja.”
Mokhtar terus mencapai fail kertas itu. Beberapa helai kertas fotostate di dalamnya ditelitinya. Rupanya itu adalah geran dan peta letak duduk sebidang tanah. “Tanah mana pulak ni?” soal Mokhtar sambil terus memandang kertas itu. Nombor lot tanah itu ditelitinya. Namun lokasinya dia masih tidak tahu di mana.
“Tanah arwah nenek aku sebelah hulu sana. Mak aku baru bagi pada aku 4 bulan dulu. Tanah ni mak aku dah dapat balik daripada pihak bank,” ucap Kudin serius.
“Dapat dari bank?” tanya Mokhtar tidak faham.
“Mak aku pernah cagar tanah ni untuk buat pinjaman aku nak sambung belajar ke US dulu. Lepas dah habis bayar pinjaman, tanah ni bank pulangkan. Sekarang ni mak aku suruh aku usahakan tanah ni,” cerita Kudin serba ringkas.
“Oh.. banyak betul tanah keluarga kau ni ya? Tanah ladang tu aja dah berapa hektar jadi kau punya. Ini lagi tanah kosong. Ini aja pun dah 5 hektar. Bertuah kau jadi anak tunggal ni, Kudin. Semua tanah kau punya sorang.” Mokhtar tergelak sedikit usai bicaranya itu.
“Kami dah takde tanah lain melainkan tanah-tanah tu dan tapak rumah pusaka nenek aku di hujung ladang kita tu,” ucap Kudin sedikit rendah.
“Tapi aku tengok kau ni tak macam sesetengah orang tu. Aku suka dengan sikap kau. Kau tak suka menunjuk walaupun keluarga kau banyak harta pusaka. Kau lebih suka hidup sederhana macam kami semua,” ujar Mokhtar semakin dibaluti rasa kagum dengan keperibadian Kudin. Kalau bukan sebab dia diajak Kudin berkongsi usaha dalam perniagaan ini dia sendiri pun tidak tahu rupanya keluarga Kudin banyak menyimpan tanah pusaka yang selama ini mereka sangka tanah hutan itu dimiliki oleh kerajaan.
Tanah ladang itu benar-benar memberi mereka hasil walaupun belum diusahakan. Ketika mereka mula membersihkan tanah itu dulu untuk ditanam mereka masih mampu mendapat pulangan hasil daripada pokok-pokok yang terdapat di dalam kawasan tanah itu. Betapa murahnya rezeki yang Allah berikan kepada mereka ketika itu. Semua itu menyumbang kepada modal mereka memulakan tanaman di ladang itu dulu.
“Apa yang aku nak tunjukkan sangat, Mokhtar? Ramai lagi orang yang lebih kaya daripada aku,” ucap Kudin biasa.
Mokhtar mengangguk setuju kepada pendirian Kudin itu. Lelaki ini memang baik orangnya dan berfikiran jauh. Walaupun modal yang diberikan kepada Kudin dahulu tidak besar namun Kudin membayar keuntungan mereka sama rata atas usaha kerasnya. Itu yang dia senang berkerja sama dengan Kudin. Dia tidak akan pernah ralat berkerja dengan sahabat sekampungnya ini dan kepercayaan Kudin kepadanya tidak akan pernah disia-siakan.

Usai solat Asar petang itu Kudin ke dapur menjenguk emaknya. Mak cik Kunah sedang sibuk mengadun tepung bersama dengan pisang lenyek untuk dibuat cekodok. Wanita memandang seketika anaknya yang mula mengambil tempat di kerusi meja makan.
“Minum dulu air tu, Kudin. Mak baru nak goreng tepung ni.” Mak cik Kunah berkata lembut.
Kudin akur tanpa suara. Air kopi hitam yang sudah siap dibancuh emaknya itu dituangkan ke dalam cawan. Kemudian air di dalam cawan itu dihirupnya perlahan-lahan sambil berfikir sendiri.
“Macamana dengan tawaran kerja Pak Engku tu? Kamu dah fikirkan ke, Kudin?” soal Mak cik Kunah mula mengisi suasana mereka dua beranak di dapur itu.
“Tak, mak.” Kudin menjawab perlahan sahaja.
“Tak? Kamu tak mahu fikir atau belum fikir?” tanya Mak cik Kunah setelah menoleh kepada anaknya itu. Nada Kudin yang agak hambar itu segera memberitahunya tawaran itu mungkin tidak menarik minat Kudin.
Kudin diam seketika sambil merenung dalam air kopi di dalam cawannya itu. Persoalan yang dibangkitkan emaknya itu berkitar semula difikirannya tanpa dapat ditahan. Serba salah sama ada mahu menolak atau menerima sahaja. Bimbang ada yang berkecil hati dengan keputusannya nanti. Tetapi dia juga punya impian dia sendiri.
“Kudin tak fikir pun. Sebenarnya Kudin tak berminat, mak.” Akhirnya Kudin menjawab juga setelah puas dia berdiam memikir sendiri.
“Kenapa pulak? Kamu tak suka ke dapat berkerja di syarikat besar macam tu? Sesuai benar dengan kelulusan kamu. Apa guna ada ijazah kalau kamu tak gunakan?” ucap Mak cik Kunah sengaja menduga anaknya itu.
“Mak, Kudin dah ada kerja kat sini. Ladang Kudin tu siapa nak jaga kalau Kudin pergi kerja di Semarak Holding tu? Kesian Mokhtar kalau Kudin biarkan dia sorang-sorang. Segala penat lelah Kudin selama ini dan mula menampakkan hasil, mak. Kudin tak sanggup nak lepaskan semua tu macam tu aja,” jawab Kudin penuh hemah.
Jawapan Kudin membuatkan wanita tua itu terdiam seketika. Kerja menggoreng cekodok itu diteruskan sambil dia berfikir tentang hal itu. Permintaan Tengku Ahmad Ehsan agar Kudin mula bekerja di Semarak Holding itu sudah membuatkan dia juga berubah menjadi pemikir yang setia semenjak kebelakangan ini. Sebahagian dirinya dia mahu Kudin menerima tawaran itu. Salah satu sebab yang dia ada ialah dia mahu Kudin merapatkan dirinya kepada sanak saudara sebelah arwah ibunya. Sementelah di sebelah arwah ayah Kudin mereka sudah tidak ada saudara mara lagi. Tetapi dia juga sedar sikap Kudin semenjak dulu. Anak itu tidak suka bergantung kepada harta orang lain.
“Kalau kamu tak mahu bercakaplah elok-elok. Jangan buat senyap aja. Tak manis kita buat orang macam tu. Hal macam ni kita kena berhalus, Kudin. Barulah orang tak kecil hati dengan kita,” ujar Mak cik Kunah tiba-tiba.
“Nantilah, mak.” Pendek sahaja jawapan Kudin sambil menghirup air di dalam cawannya itu.
“Engku Ehsan tu dah berkali-kali mengajak kita ke rumah dia. Mak rasa ada baiknya Kudin ambil kesempatan ni berjumpa dengan bonda dia. Dia nak sangat jumpa Kudin. Sambil tu kamu boleh berbincang dengan Engku Ehsan pasal tawaran tu,” ucap Mak cik Kunah sekadar memberikan buah fikiran.
Kudin berdiam tidak terus memberikan jawapan. Kusut fikirannya dengan segala macam hal semenjak dua tiga hari ini. Pasal perniagaan ikannya dan perangai Wak Sukiman juga sedang menyesakkan fikirannya.
“Pasal kamu dengan Edrina ni macamana pulak?” tanya Mak cik Kunah lagi tidak lama kemudian. Sepinggan cekodok yang baru diangkat dari dalam kuali diletakkan di atas meja itu. Wajah tenang Kudin sempat ditatapnya seketika. Reaksi anaknya itu sengaja diperhatikan. Dia mahu lihat adakah sebaris nama itu memberi kesan kepada anaknya ini atau tidak.
“Macamana apanya?” tanya Kudin dengan kerutan di kening. Apa kena mengena pulak dia dengan Edrina?
“Yalah.. takkanlah kamu nak berseteru aja dengan dia sampai ke sudah? Takde nak berbaik ke?” suara Mak cik Kunah mula berubah sedikit meleret.
“Buang masa Kudin aja fikir pasal dia tu, mak..” desis Kudin agak perlahan. Dia tidak hairan pun jika dirinya tidak dipandang Edrina. Sebab dia pun tak selera nak memandang wajah gadis itu lama-lama. Sakit jiwa!
Mak Kunah tersenyum sendiri sambil memasukkan baki tepung adunan itu ke dalam kuali. Bukannya dia tidak tahu niat Tengku Ahmad Ehsan mahu berbesan dengannya. Dia tahu Edrina sengaja dibawa ke mari untuk berkenalan dengan Kudin. Dia juga berbesar hati sementelah dia memang mahu benar melihat Kudin beristeri dalam tempoh setahun dua ini. Tapi masalahnya dua manusia itu pula macam anjing dengan kucing.
“Tak baik bergaduh dengan orang ni. Nak-nak lagi dengan orang perempuan. Dia tu dua pupu dengan kamu. Apa salahnya berbaik-baik?” tegur Mak cik Kunah sedikit tidak senang dengan reaksi sinis anaknya itu. Entah iya entah tidak Kudin tak suka. Jangan-jangan mulut aja kata benci. Padahal dalam hati ada taman bunga tak?
“Buang karan aja berbaik-baik dengan minah sombong macam tu. Dia tu orang KL, mak. Kudin ni mamat kampung aja. Mana layak nak berbaik dengan dia tu?” cebir Kudin sambil mencebik jengkel.
“Ai.. bunyi tu macam orang tengah kecil hati aja? Kamu ada hati dengan dia ke? Gaduh hari tu gaduh manja ke apa? Cuba cakap betul-betul dengan mak,” teka Mak cik Kunah lantas tergelak kepada Kudin.
“Hish! Mintak simpang Kudin ada hati dengan perempuan sombong macam tu, mak. Tak kuasa, Kudin!” getus Kudin pantas. Dia ada hati dengan Edrina? Tak sanggup! Kudin tergeleng-geleng sendiri membayangkan ketidaksanggupannya itu.
Mak cik Kunah tersenyum lagi. “Iya ke dia sombong? Dengan mak dia okay aja. Entah-entah kamu tu yang tak pandai ambil hati dia. Ayat kamu tu yang tak power agaknya,” ucap Mak cik Kunah lantas ketawa kecil sengaja mahu mengenakan Kudin.
“Ah! Takde mananya nak bagi ayat power kat dia. Malas Kudin nak layan dia. Tak teringin pun nak ambil hati dia. Tak penting!” Kudin terus menjawab malas. Dia memang tidak berminat apa-apa pun tentang gadis itu.
“Tak elok bersaudara tapi tak berbaik macam ni. Esok-esok nak bertemu muka juga. Takkanlah setiap kali bertemu sorang nak pandang timur, sorang lagi nak pandang barat? Lagipun jangan benci sangat, Kudin. Daulat kamu nanti. Dia tu perempuan, kamu tu lelaki. Takut nanti.. yang kamu benci tu esok jadi orang yang kamu angaukan selalu,” ucap Mak cik Kunah lembut. Dia tahu Kudin bukannya suka melayan perempuan sangat. Kalau begini terus perangai Kudin, siapalah yang mahu kepada anaknya ini?
Nasihat emaknya tidak dijawab Kudin. Dia terus mengunyah cekodok pisang itu seolah-olah kata-kata itu tidak jejak di telinganya. Mintak jauhlah dia angaukan minah sombong itu. Kalau sama-sama angau takpelah juga. Kalau dia seorang aja yang angaukan Edrina? Mahu sakit jiwa dia nanti..
“Tapi pasal bonda Engku Ehsan tu, mak nak Kudin pergi jumpa dia. Selagi dia ada usia, lebih baik kita rebut peluang ni. Kalau tak dia yang pergi dulu.. mungkin kita. Selagi hidup kita kena jaga silaturahhim ni. Dia tu kiran nenek Kudin juga walaupun sekadar nenek saudara,” ucap Mak cik Kunah perlahan.
“Nanti Kudin siapkan kerja-kerja Kudin di ladang tu dulu, mak. Lepas tu baru kita pergi sana jumpa nenda,” jawab Kudin perlahan.
Alhamdulillah.. mudah urusannya kali ini. Hati Mak cik Kunah terdetik rasa gembira melihat keakuran Kudin. Harap-harap ada berita gembira yang akan menanti dia di sana nanti.



No comments:

Post a Comment