Tuesday, 8 March 2016

SI KOLOT SUAMIKU - PROLOG



Kudin memandang lama ke arah kebun di belakang rumahnya itu. Bicara si emak melintas bagaikan deruan angin petang di telinganya, membawa jauh menungannya. Ada seribu rasa sedang membadai hebat jiwa anak muda berusia 28 tahun itu dengan tiap baris ayat yang dituturkan Mak cik Kunah. Sifat pendiamnya semakin menjadi-jadi pula saat itu.
“Bila lagi, Kudin? Mak ni teringin nak benar nak tengok kamu ada anak. Merasalah mak ada cucu. Mak ni dah tua, kamu tu pulak satu-satunya anak mak,” ucap Mak cik Kunah lembut sahaja dari arah dapur. Diam anaknya itu mengelirukan dirinya. Entahkan suka, entahkan tidak apabila isu kahwin dihidupkannya.
“Belum ada jodoh, mak..” jawab Kudin amat perlahan tanpa mengalihkan pandangan dari arah belukar itu. Seolah-olah kebun di belakang rumahnya itu sejelita Lisa Surihani si pelakon terkenal itu. Sehinggakan tidak jemu matanya memandang.
“Kamu tu bila mak bercakap pasal ni, itu ajalah jawapan kamu. Mana nak ada jodohnya kalau kamu tu berat mulut benar? Janganlah begitu, Din. Takkanlah kamu nak tunggu orang perempuan yang datang mengorat kamu? Jodoh ni takkan datang macam tu aja. Kita kena usaha juga mencarinya.” Suara Mak cik Kunah kedengaran lagi menasihati anaknya itu. Entah apa malangnya anaknya ini liat benar jika diajak berbicara soal perempuan. Setahu Mak cik Kunah seumur hidup Kudin dia tidak pernah mempunyai kekasih hati. Buruk benar ke rupa anak aku tu sampai takde perempuan yang mahu? Rasanya tidak pulak. Kudin biarpun tidak berkulit cerah namun tetap manis dipandang mata. Jadi apa yang tidak kena lagi? Mak cik Kunah sering tertanya sendiri.
“Kalau ada adalah, mak. Dah takde nak buat macamana,” jawab Kudin mudah. Serentak itu dia terus bangun dari duduknya. Malas mahu menadah telinganya kepada ceramah emaknya bab perkahwinan.
Menggeleng Mak cik Kunah melihat Kudin. Keras benar hati anaknya itu. Entah apa kenanya dia sendiri tidak tahu. Masakan lelaki macam Kudin takutkan perempuan? Entah! Semakin tidak faham wanita tua itu melihat sikap anak lelakinya itu.
“Ladang, kolam, duit.. tak boleh dibawa ke mati, Kudin. Doa anak-anak yang akan mengiringi kita ke alam sana nanti. Macamana nak ada anak kalau baru aja mak sebut soal kahwin kamu dah mula angkat kaki. Bosan dengar mak membebel pasal tu.” Mak cik Kunah sempat lagi menitipkan nasihatnya sebelum anak lelakinya itu menghilangkan diri.
Kudin tidak menjawab bebelan Mak cik Kunah. Terus dia mencari motorsikalnya untuk ke kebun. Bukannya dia sengaja mahu berkurang ajar dengan emaknya itu, tetapi dia serik! Serik dengan pengalaman yang lepas. Ejekan sinis yang dilemparkan Lisa kepadanya masih melekat utuh dalam memorinya. Membuatkan dia menutupkan pintu hatinya kepada setiap mana-mana wanita buat masa ini. Cukuplah! Dia tidak ingin berbicara soal perempuan lagi. Jika ada jodoh untuknya diberikan Tuhan maka dia terima. Jika tidak maka beginilah dia sehingga ke akhirnya. Dia tidak kisah.

Bertahun-tahun dulu..
“Abang Kudin ni bukannya tak hensem langsung tapi Lisa tak berminat. Lisa tak minat lelaki yang takde taste ni. Lisa ada kehidupan di KL. Takkanlah Lisa nak tinggalkan kerjaya Lisa kemudian balik menetap dengan abang kat sini. Tak mahulah! Kat kampung ni nak cari intenet pun susah. Macamana nak hidup? Lisa sendiri hairan kenapa abang masih nak duduk sini? Setakat kerja kebun.. mana boleh hidup, bang. Perempuan macam Lisa nak lebih dari itu.” Seiring dengan keselambaannya Lisa ketawa kecil bagaikan mengejek Kudin sekadar lelaki kampung.
Kudin tertunduk menahan hati mendengar bicara gadis itu. Terlalu mudah untuk Lisa meluahkan pendiriannya. Namun tidak bagi dia yang mendengar. Kata-kata itu membuatkan dia merasa dirinya terlalu rendah tarafnya di mata Lisa. Seolah-olah lelaki seperti dia hanya layak untuk gadis yang tiada masa depan. Atau dalam erti kata lainnya.. dia hanya layak untuk gadis kampung yang kolot dan tidak berpelajaran.
Berpelajaran sangatlah si Lisa ni. Setahu Kudin si Lisa ni cuma lepasan SPM aja pun. Itu pun beratur C dengan D dalam sijil SPM dia. Nasib baik E dia tak lengkapkan sekali. Senang esok nak ajar anak belajar ABC. Tunjuk aja sijil SPM mak.. confirm anak pandai ABC nanti. Jauh melalut fikiran Kudin saat itu.
“Abang tengoklah sendiri anak-anak dara kampung ni. Semuanya dah nak ke bandar. Siapa nak duduk kat sini? Kahwin dengan lelaki kampung pulak tu. No way! Lisa lebih berminat pada lelaki yang open minded dan berpelajaran. Berduit juga salah satu dari kriteria lelaki idaman semua perempuan. Tak ketinggalan Lisa pun begitu.” Lisa menambah lagi tatkala Kudin hanya berdiam tidak lagi bersuara.
Kata-kata Lisa segera diakui Kudin dalam diam. Memang benar kebanyakan anak muda di Kampung ini, baik yang lelaki mahu pun perempuan semuanya sudah berhijrah ke KL untuk meneruskan hidup. Tidak ramai lagi yang mahu menjadi pekebun seperti dirinya. Kebun-kebun penduduk kampung ini kebanyakan dikerjakan sendiri oleh pemiliknya yang sudah berusia lanjut dengan dibantu buruh dari Indonesia.
“Lisa harap abang janganlah kecil hati dengan Lisa..”
Kudin menoleh perlahan kepada gadis di sebelahnya itu. Sebuah senyuman hambar diukirnya untuk menutupi pergolakan dalamannya daripada pandangan Lisa.
“Abang tak ambil hati. Terima kasihlah sebab Lisa sedarkan abang tentang ini semua. Tapi Lisa janganlah perasan abang datang sini sebab dah nak ajak Lisa kahwin sangat. Abang datang sini bukannya nak bercakap pasal tu. Takde kena mengena langsung,” jawab Kudin biasa sekadar mahu mempertahankan maruahnya sendiri.
Spontan berubah wajah gadis itu mendengar kata-kata Kudin itu. “Habis tu buat apa abang datang sini jumpa Lisa?” soal Lisa keliru. Keningnya berkerut tebal.
Kudin tersenyum sinis sendiri. Kau fikir aku hairan dengan gelaran gadis bandar yang kau galas ni? Memang taklah! Kau fikir aku nak menyembah pada kau hanya sebab kau gadis KL sekarang ? Itu lagilah tak!
“Siapa kata abang datang sini nak jumpa Lisa? Abang datang sini sebab nak jumpa ayah Lisa. Abang pun dah takde perasaan lagi pada Lisa. Itu semua kisah dulu. Waktu kita masih budak-budak, Lisa. Sekarang kita dah dewasa.” Kudin berkata selamba sambil mengerling tampang Lisa sekilas.
Biarlah dia hipokrit kepada dirinya sendiri saat ini asalkan maruahnya tidak jatuh menyembah bumi. Hakikatnya kasihnya kepada gadis ini masih terpasak kukuh di tempatnya. Memang pada mula kedatangannya tadi dia berhasrat nak berjumpa Lisa, gadis pujaannya ini. Namun sekarang entah kenapa dia hilang selera pula. Lisa sudah tidak seperti dulu. Lisa sudah pandai bermake-up. Lisa berlagak. Lisa sudah lupa dialah yang paling banyak bersusah payah untuk gadis itu selama ini. Belum pun sempat Kudin membuka mulut bercakap apa-apa, Lisa sudah menunjukkan kejelikkan diri sendiri seolah-olah dia gadis paling rupawan sehingga jejaka-jejaka lain semuanya meleleh air liur melihatnya. Lisa sudah memandang rendah kepadanya.
Sekali lagi kata-kata Kudin membuatkan wajah Lisa berubah. Malah kali ini warna wajahnya juga ikut berubah. Malunya! Sangkanya Kudin ke sini untuk menagih cintanya. Lisa tahu selama ini Kudin ada hati kepadanya. Kudin selalu memberi perhatian kepadanya kerana dia istimewa kepada Kudin. Dia sengaja bercakap begitu dengan Kudin supaya Kudin faham-faham sendiri penolakannya. Tetapi sekarang? Dia yang malu balik! Tak mungkin aku salah sangka.. desis hati Lisa sendiri.
“Emm.. tapi ayah Lisa ke pekan,” ucap gadis itu dalam rasa malu yang sudah tidak tertahan.  Ikutkan hatinya mahu sahaja dia berlari masuk ke dalam rumah. Tapi nanti lagilah kantoi yang dia memang tengah malu kalau dia buat begitu.
“Baguslah kalau abang dah takde perasaan pada Lisa lagi sebab Lisa pun takkan terima abang. LIsa tak pernah cintakan abang pun selama ini. Lisa just bagitahu je sebab Lisa tak suka abang datang-datang sini cari Lisa lagi.” Lisa menambah lagi kata-katanya cuba mengawal rasa malunya. Sama seperti Kudin, dia juga tidak ingin kalah dalam menegakkan air mukanya.
“Okaylah kalau Lisa dah cakap macam tu. Abang balik dulu.” Kudin terus bangun.
Tanpa memandang atau menanti jawapan Lisa, Kudin terus berlalu daripada halaman rumah gadis itu. Dia ingin segera membawa pergi hatinya yang sudah tidak seceria semenjak dia berhasrat menjejakkan kaki ke rumah itu tadi. Tidak sangka telinganya ini akan diperdengarkan kebongkakkan gadis kebanyakkan seperti Lisa. Tidak sangka Kuala Lumpur akhirnya mengubah Lisa yang tidak ada apa-apa selama ini kepada gadis yang cukup angkuh di matanya.

Kahwin..
Soal itu yang diperdengarkan oleh emaknya tadi membuatkan Kudin mula membawa diri ke kolam ikannya itu. Dia berdiri memandang kolam ternakan ikan keli miliknya itu. Dalam pada itu kenangan hampir 3 tahun itu terus mengasak hebat benaknya. Dia terus berfikir tentang hasrat emaknya itu. Fobiakah dia dengan perkataan itu? Kerana apa dia jadi begini sebenarnya? Atau apakah kerana kesibukan menguruskan ladang dan kolam ikannya menyebabkan dia menyendiri begini?
Entahlah.. Kudin tidak tahu apa puncanya. Cuma yang dia tahu, sudah tidak banyak anak-anak dara yang boleh dingoratnya di kampung ini. Kalau ada pun yang masih sekolah.. ish! Takkanlah aku nak ambil budak bawah umur buat bini. Silap-silap bertambah lagi satu tanggungjawab aku sebagai suami. Tak cukup kena sediakan nafkah zahir dengan batin, aku kena tolong siapkan kerja sekolah bini. Memang taklah! Getus hati Kudin sendiri. Dahlah nak kahwin pun susah. Kena mintak kebenaran mahkamah semua. Ish! Mengarut idea ni..
Akhirnya Kudin meluahkan keluhan sendiri. Dia tahu emaknya mahu sangat dia berkahwin segera. Dia pun bukannya tidak mahu. Tetapi calon belum ada. Calon macam si Lisa tu berlambaklah. Masalahnya yang spesis si Lisa tu bukannya nak pandang sangat dia dengan baju comotnya ini. Bukannya rela nak menunggang lori buruknya itu. Malu nak menjejakkan punggung di atas motor cabuknya itu. Apalah sangat lelaki seperti dia yang membanting tulang di tanah berbanding lelaki-lelaki yang bertali leher di KL sana?
Kudin terus memikir sendiri sambil memandang di hujung sana pekerja-pekerjanya  yang sedang sibuk membersihkan persekitaran kolam sebelum habis waktu berkerja. Memandang kolam ternakan ikan kelinya ini, terdetik rasa bangga dalam diri Kudin. Ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Siapa kata anak kampung macam dia, miskin duit? Siapa kata orang KL sana lebih berfikiran terbuka? Bukan semua lelaki di KL sana tu berkelulusan tinggi seperti dia? Kudin memang tidak hebat zahirnya. Tetapi anak muda itu lulusan sarjana daripada luar negara dalam bidang perniagaan. Cuma dia tidak pernah berhasrat untuk mencari kerja di KL semenjak dia mula pulang dari US dulu. Pendiriannya lain. Kampung ini.. ruang untuk dia mencari rezeki sangat besar. Tanah-tanah peninggalan arwah neneknya yang sudah lama terbiar mula diusahakan dengan tanaman longan Brazil dan longan tempatan semenjak 4 tahun lalu. Kolam ikan kelinya juga sudah mula mendapat perhatian. Ramai pemborong asyik berulang alik ke situ untuk mendapatkan bekalan. Semua usaha Kudin sudah memberi pulangannya sangat-sangat memberansangkan, walaupun agak payah untuk dia mahu memulakan semua itu dahulu. Emaknya pernah menggadai gelang dan barang kemas untuk menjayakan impiannya.
Alhamdulillah.. dia tidaklah miskin sebenarnya. Dia cuma hidup seadanya. Dia hanya berdua dengan emaknya. Dia tidak perlukan kereta berjenama mahal dan rumah banglo untuk terus hidup. Apa yang dia ada sudah memadai. Tidak adakah wanita yang sudi menerima dirinya seperti ini? Kalau ada.. siapakah wanita itu? Hati Kudin terus merusuh sendiri, mencari jawapan yang entah bila akan kunjung tiba kepadanya.



No comments:

Post a Comment