Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 8



“Macam mana Suri tahu alamat rumah Emir? Siapa yang beritahu?” Itulah soalan pertama yang keluar dari mulut Emir setelah hampir dua hari kami tidak bertemu. Bunyi dari soalan macam tak percaya aje aku boleh tahu dia tinggal kat sini.
       “Suri minta tolong kawan. Erm… Emir sakit ke? Sebab sakit ke Emir dah dua hari tak datang kuliah? Kenapa tak angkat panggilan Suri? Sms pun tak balas.” Aku bersuara dengan nada agak risau. Biarkan Emir tahu betapa risaunya aku pada dirinya. Dia ingat aku tak rasa apa-apa ke bila dia menghilangkan diri macam tu?
       “Suri risaukan Emir?” tanya Emir tanpa menjawab soalan dari aku. Dia masih menyandarkan badannya ke kepala katil. Dari air mukanya, aku agak yakin dia memang tengah sakit. Tapi sakit apa? Siap Uncle Bad cakap sakit boleh bawa maut lagi. Hisy, takut pula aku dengar. Minta-minta Emir tak apa-apa. Mungkin Uncle Bad hanya bergurau aje kut.
       “Kalau Suri tak risau, takkan bersusah payah Suri datang jumpa Emir kat sini. Janganlah nak alih topik. Jawab soalan Suri dulu. Kenapa…” Aku nak sambung lagi membebel namun apabila melihat Emir terbatuk-batuk aku berhenti bersuara. Melihat ada segelas air atas meja, terus aku menghulurkan air itu kepadanya.
       “Emir okey?” tanya aku sebaik saja dia selamat menelan air yang diteguknya.
       “Emir minta maaf.” Kata maaf tiba-tiba terluah lagi dari bibirnya.
       “Kenapa Emir minta maaf?” tanyaku bingung.
       “Dah dua hari Emir sakit. Emir terkena alahan makanan laut.  Tak boleh makan tapi degil nak makan. Semuanya sebab Emir stress fikir pasal Suri.” Emir pandang muka aku. Aku agak terkejut apabila dia mengaitkan aku dengan penyakit yang dialaminya. Apa kena mengena dengan aku pula? Aku buat dia stress? Kenapa?
       “Emir cuba lupakan Suri….” Aku terkesima mendengar ucapannya. Dia cuba lupakan aku? Tapi kenapa? Aku mula menjarakkan diri darinya. Adakah itu bermakna dia sudah tidak menyukai aku lagi?  Adakah kehadiran aku hari ini tidak disenangi olehnya?
       “Dua hari Emir bertungkus-lumus cuba melupakan Suri. Tapi Emir gagal. Suri sentiasa ada dalam hati dan minda Emir. Emir dah tak tahu nak buat macam mana lagi.” Terdengar keluhan lemah terluah dari bibir Emir. Dia tunduk penuh kesal.
Kalau tadi aku terasa berjauh hati, kini, aku mampu menarik nafas lega. Itu bermakna dia masih sukakan aku. Jadi, aku masih ada peluang. Tapi… kenapa dia cuba lupakan aku?
Persoalan itu tidak aku biarkan terawang di fikiranku. Pantas aku mengajukan soalan itu padanya.
       “Tapi kenapa Emir cuba lupakan Suri? Emir bencikan Suri? Emir bencikan Suri setelah apa yang Suri ceritakan pada Emir tu? Hmm?” Aku berharap sangat bukan sebab itu menjadi penyebab dia cuba melupakan aku. Kalau itulah penyebabnya, itu bermakna dia tidak yakin dengan cintanya pada aku. Emir pasti takut cintanya akan dipermainkan. Pasti aku sudah kelihatan jahat di matanya.
Aku malas nak mendengar penjelasan dari Emir. Sebetulnya aku tak sanggup. Aku tak sanggup kalau Emir menyatakan itulah penyebabnya.
       “Suri nak pergi mana ni?” tanya Emir apabila aku bertindak melangkah pergi dari ruangan itu.
Aku berpaling ke belakang menatap wajahnya. Aku cuba senyum.   “Suri tak layak untuk lelaki sebaik Emir. Suri playgirl. Suri pematah hati lelaki. Memang patut pun Emir bencikan Suri. Jadi lebih baik Suri balik dulu. Tak sepatutnya Suri datang sini hari ni…” Aku meneruskan langkah. Aku takkan berpaling lagi kalaupun dia menjerit nama aku berulang kali. Takkan!
       “Cinta adalah lingkaran. Saat kau cinta, kau terluka. Saat kau terluka, kau benci. Saat kau benci, kau cuba melupakan. Saat kau cuba melupakan, kau mulai rindu. Saat kau mulai rindu, kau mulai jatuh cinta lagi… Itulah yang Emir rasa. Emir tak bencikan Suri. Emir sayangkan Suri. Ibu cakap, cinta sejati hanya datang sekali seumur hidup. Emir tak nak lepaskan peluang ni. Emir yakin, Surilah cinta sejati Emir.”
Melting. Okey aku mengaku aku cair dengan luahan rasa Ku Emir Affan tu. Tak sangka pandai juga Emir berkata-kata puitis. Romantik pun ada.
Dari katil Emir bangun mendekati aku. Walaupun dia hanya bersweater dan berseluar pijama, kurasakan dia cukup kacak saat itu. Senyuman menawan darinya melengkapkan pakej kekacakannya!
       “Emir tahu Emir tak layak untuk perempuan secantik Suri. Emir hanya lelaki nerd yang baru saja bertransformasi. Tapi cinta Emir cinta yang tulus dan suci. Kalau Suri masih perlukan masa, Emir akan bagi Suri masa. Emir akan tunggu jawapan dari Suri. Jangankan dua hari, dua puluh tahunpun Emir sanggup.” Dari sinar mata Emir, aku dapat lihat keikhlasannya. Matanya juga penuh dengan pengharapan. Mana mungkin aku menunggu dua puluh untuk membalas cintanya. Sekarang jugak aku akan bagi dia jawapan!
Tanpa kata, aku mengeluarkan telefon bimbitku dari beg tangan. Pantas tanganku menaip satu pesanan ringkas yang akan dihantar kepada Emir si nerd. Itulah nama kenalan yang aku letak untuk dia. Lepas ni, aku pasti akan menukar nama itu. Mungkin aku akan letak nama ‘Emirku sayang’. Auww…
Tit. Tit. Terdengar telefon bimbit Emir berbunyi. Tit tit aje? Okey, faham. Lelaki memang suka sangat guna ringtone mesej yang kontot. Mulalah tak dengar kalau ada orang sms.
       “Pergilah tengok,” ujarku agak memaksa. Emir kelihatan kebingungan. Dia garu kepala tanda tak faham.
       “Hisy, dia ni. Pergilah baca sms Emir tu. Mana tahu ada sms penting,” ujarku lagi. Dah bagi klu tu. Kalau tak faham tak tahulah nak cakap apa lagi.
Emir tetap bingung. Dia masih berdiri memandang aku. Keadaan itu sudah cukup buat aku sentap. Ah! Blurnya pakwe aku ni. Ops! Pakwe? Hehehe…
Lambat sangat tunggu Emir, aku sendiri yang pergi ambil telefon bimbitnya. Kuserahkan telefon pintar itu kepadanya.
       “Baca ni! Ugh!” Emir garu kepala sambil membaca pesanan ringkas yang baru tiba itu. Penuh sabar aku menanti reaksi darinya. Pertama, adakah dia akan tersenyum? Atau dia blur? Atau dia excited sangat sampai peluk aku. Erk… Yang ketiga tu haram.
Dan jawapannya adalah….
       “Maksud Suri, Suri terima cinta Emir?” Reaksinya tidak termasuk dalam senarai aku. Hek!
       “Sebelum Suri jawab soalan Emir tu, Suri nak tanya sesuatu pada Emir. Dan Suri harap, Emir jawab dengan jujur. Sebuah perhubungan haruslah berteraskan kejujuran. Okey?” Emir angguk kepala beberapa kali. Dia sudah bersedia dengan soalan aku.
       “Emir yakin atau tidak yang Suri takkan kecewakan Emir, patahkan hati Emir dan permainkan cinta suci Emir. Yakin atau tidak?”
Dapat aku lihat kepayahan Emir untuk menjawab soalan dari aku. Pasti dia sedang berfikir. Tapi kenapa nak fikir lagi. Kenapa tak jawab dengan penuh yakin. Ah…. Pasti dalam hati dia masih bersisa rasa curiganya padaku.
       “Emir… Emir…” Dia masih belum mampu memberikan jawapannya. Dan aku mula  rasa hampa.
       “Suri boleh buktikan. Suri akan buktikan yang Suri benar-benar tulus ingin membalas cinta Emir. Tapi kalau Emir tetap tak yakin dengan Suri, Suri tak rasa kita perlu teruskan hubungan ni lebih jauh.” Aku terus meninggalkan dia dengan hati yang hampa lagi kecewa. Andai tiada keyakinan antara kami, hubungan ni takkan ke mana-mana. Andai Emir masih takut aku bakal permainkan cinta dia, apa guna kami bercinta.
Aku perlukan keyakinan, kejujuran dan kepercayaan antara kami. Kerana cinta bukan hanya berlingkarkan perasaan kasih dan sayang. Cinta memerlukan lebih dari itu. Yang paling penting, saling percaya! Dan sms yang aku kirimkan pada dia berbunyi, ‘Suri terima cinta Emir. Kerana Suri pun sukakan Emir. Percayalah…’

*********

       “Tak pernah aku tengok kau macam ni, Yana. Ini dah kes berat ni,” ujar Sofiya sambil geleng kepala ke kiri dan kanan.
Aku hanya diam. Dah penat mulut aku berkata-kata. Sekarang, aku hanya nak mendengar aje. Mendengar idea bernas dari kawan-kawan baik aku ni. Semua yang berlaku antara aku dan Emir, semua dah aku ceritakan pada mereka. Harap-harap Suzi dan Sofiya ada jalan nak selesaikan masalah aku.
       “Sekarang, paling penting kau tunjukkan pada dia yang kau betul-betul cintakan dia.” Kali ini Suzi pula yang bersuara.
       “Macam mana caranya?”  Bagaikan tahu-tahu aje si Sofiya ni. Itulah soalan yang bermain di benakku. Memandang Sofiya dah bertanya, aku diam lagi. Tak sabar aku nak dengar idea bernas dari Suzi.
       Just be yourselve. Itulah caranya.” Jawapan dari Suzi buat aku dan Sofiya saling berpandangan. Macam tu aje?
       “Maksud kau?” tanya Sofiya penuh minat.
Suzi tersenyum sebelah. Dia yang duduk di kaunter segera bergerak duduk di antara aku dan Sofiya.
       “Yana, kau tak perlulah berlakon nak nampak perfect di mata Emir. Kalau kau betul-betul cintakan dia, just love him. Tunjukkan kasih sayang kau seperti kau sayangkan papa mama kau, Mak Limah kau, kakak kau… dan kami berdua ni. Kau kena tunjuk. Baru Emir nampak…” Wah! Pandai betul Suzi berkata-kata sekarang. Penuh dengan makna yang tersirat.
Betul kata Suzi. Tak perlulah aku nak pening kepala cari cara nak buktikan pada Emir yang aku bukan Suriyana si playgirl lagi. Yang penting, aku tunjukkan keikhlasan aku menyayangi dia. Kalau aku dah sayang seseorang tu, aku suka bagi orang tu hadiah. Itu tanda aku menghargai dirinya.
Dalam bab Emir ni, aku rasa aku tahu hadiah apa yang boleh aku hadiahkan pada dia. Hadiah ni pernah aku bagi pada si ‘dia’ dulu. Tapi sayangnya dia tak pernah hargai apa yang aku beri. Diakan kaya. Aku pula miskin. Adakah Emir juga seperti ‘dia’? Adakah Emir juga memilih pangkat dan harta? Aku harap tak. Kalau ya, sejarah mungkin akan berulang lagi.

**********

Jam kutilik berulang kali. Dari jam dua petang, sekarang dah masuk ke pukul dua suku. Emir memang suka buat aku menunggu. Kali ini entah apa lagi alasannya. Tapi tak mengapalah. Kali ni dia terlepas. Memandangkan ini first date kami, aku tak nak ambil hati sangat.
Tak sangka, setelah sekian lama, aku bakal berdating lagi. Maksud aku, memanglah sebelum ni aku dah banyak kali berdating dengan lelaki. Tapi, dia orang semua bukanlah lelaki yang benar-benar aku cinta. Hanya nak main-main. Tapi kali ini lain. Aku bakal berdating dengan Emir, lelaki yang telah memberi rasa cinta dalam hati aku. Cinta yang sebenar-benarnya cinta. Perasaannya berbeza. Aku lebih excited.
Aku tersenyum memandang hadiah yang bakal aku berikan pada Emir. Harap-harap dia suka. Aku ingat, aku nak buat kejutan sikit nanti. Apa kata kalau aku sembunyikan hadiah ni di bawah pokok bunga ni. Hah, mesti Emir terkejut nanti. Hehehe…
Mataku meliar mencari port yang terbaik untuk menyembunyikan hadiahku. Deretan pokok bunga matahari menjadi pilihan aku. Dengan berhati-hati kuletak kotak hadiah di celah-celah pokok itu. Biar nanti susah sikit Emir nak cari. Biar dia stress. Haha… jahatnya aku.
       “Hah, buat tu!” Mahu terlompat keluar jantung aku ketika itu. Pantas ku berpaling ke belakang memandang Emir yang tengah tersengih ke arahku.
       “Sengajakan nak buat Suri kena heart attack. Eee! Geramlah!” Cubitan halus kuberikan pada bahu Emir. Menjerit sakit dia ketika itu. Padan dengan muka dia.
       Sorrylah. Emir gurau aje. Tapi, Suri memang ada sakit jantung ke?” Erk… Lurus bendul betullah pakwe aku ni. Orang bergurau aje kut.
       “Dah-dah. Suri masih sihat walafiat. Sekarang, Suri  nak tanya. Kenapa Emir datang lambat? This is our first date. Setakat ni asyik Suri aje yang kena jadi penunggu. Lepas ni, Emir pulak yang kena tunggu Suri. Tunggu Suri seribu tahun. Ugh, padan muka!” Kata-kata aku hanya buat Emir tersenyum. Dia mengajak aku duduk di bangku yang berada berdekatan dengan pokok bunga.
       “Emir minta maaflah. Emir tahu Emir selalu lambat. Tadi lepas kuliah, Emir pergi library kejap. Asyik sangat membaca sampai tak sedar dah masuk pukul 1.45. Terus pergi solat Zuhur kejap. Lepas solat terus datang sini. Nasib baik naik motor, kalau tak, mesti terperangkap jammed.” Kepalaku terangguk-angguk mendengar penjelasan dari Emir. Anehnya, aku langsung tidak marah setelah mendengar penjelasannya ini. Aku percayakan dia.
       “Jadi Emir belum lunch?” tanyaku mengambil berat. Emir geleng kepala.
       “Kalau macam tu jom pergi lunch dulu. Lepas lunch kita pergi tengok wayang. Okey?” Emir hanya mengangguk setuju. Aku dan dia saling berbalas senyuman. Tanpa menunggu lama, aku terus mengajaknya menuju ke tempat parkir.
Satu yang aku respect pasal Emir. Walaupun dia kaya, hanya motosikal kapcai yang menjadi pilihannya. Dia cakap, dia lebih selesa macam tu. Senang dan selesa. Dan aku pula takkan sesekali kisah mengenai semua itu. Aku terima dia seadanya. Orang kaya yang tak berlagak lagilah aku suka.
Banyak kali juga aku ajak Emir bawa aku jalan-jalan dengan motosikal dia tu tapi Emir menolak. Dia cakap bukan muhrim tak elok naik motor sama-sama. Okey, faham. Bagus betul Emir. Dahlah handsome, agamapun okey. Beruntung aku dapat dia. Erk…. Hehehe…

***********

       “Cerita apa?” tanya Emir sebaik saja aku menghampirinya yang duduk menunggu.
       Love story. Baru syok. Emir tak suka ke cerita cinta? Hmm?” Aku bertanya sambil mengajak dia pergi beli popcorn dan minuman.
       “Suka. Tapi tak berapa sangat. Emir suka fiksyen. Suri dah tengok Avatar? Best cerita tu.” Emir bersuara teruja. Aku pandang dia sambil geleng kepala. Avatar? Itu bukan cerita makhluk biru tu ke?
       “Belum tengok lagi. Tapi tahulah cerita tu macam mana. Pernah tengok iklan. Jomlah kita masuk. Mesti best cerita ni. Hero filem ni AP. Handsome kan mamat tu.” Aku ajak Emir masuk panggung. Mataku melilau mencari tempat duduk. Dah tak sabar aku nak tengok filem terbaru Adi Putra dan Nora Danish ni. Aku Terima Nikahnya. Kebanyakan kawan aku cakap, cerita ni ‘kureng’ sikit. Tapi aku belum tengok lagi. Manalah tahu aku suka dengan cerita ni. We wait and see.
       “Hah, kat sini.” Aku meminta laluan untuk lalu. Emir di belakang hanya membuntuti aku tanpa banyak kata.
       “AP tu siapa?” tanya Emir sebaik saja kami duduk.
Mahu terburai tawaku mendengar soalan dari Emir itu. AP tu siapa? Okey, faham. Mungkin dia tak berapa nak kenal sangat dengan panggilan nama tu. Kalau Adi Putra dia kenal kut.
       “AP tu Adi Putralah Emir. Emir kenal tak? Tak pernah tengok dia berlakon ke?” Belumpun cerita bermula, aku dah mula makan popcorn. Aku pelawa Emir makan namun dia menolak.
       “Adi Putra? Yang berlakon drama Tentang Dhia tu ke?”
       “Tengok ke drama tu? Wah… tak sangka.”
Emir tersengih.   “Ibu suka tengok. Emir tumpang sekaki. Tapi takdelah suka sangat tengok. Kadang-kadang aje.” Eleh Emir ni. Nak cover linelah tu. Cakap ajelah suka tengok.
Kami terus berborak-borak sementara menunggu tayangan bermula. Saat ini aku berasa sangat gembira. Emir memberi aku peluang untuk membuktikan cintaku padanya. Dia juga berjanji, akan mencintai aku setulus hatinya. Kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing. Emir pernah cakap pada aku sesuatu. Katanya…
       “Suri, demi cinta Emir pada Suri, Emir takkan ragu-ragu lagi. Emir yakin Suri sayangkan Emir. Kita akan belajar untuk saling mencintai dan mempercayai. Jadi Suri tak perlu bimbang. Emir yakin, Suri bukan playgirl lagi. Emir percayakan Suri.”
Dan aku pegang kata-kata Emir itu. Aku tak mungkin sia-sia kepercayaan yang diberikannya.

**********

       “Suri takde pun. Suri salah letak kut,” ujar Emir yang berada tidak jauh dari aku.
       “Carilah lagi. Ada. Suri letak kat sini tadi.” Aku mula rasa nak menangis. Hadiah aku dah hilang. Hadiah yang akan aku berikan pada Emir dah hilang. Sedang asyik aku menonton filem tadi, tiba-tiba aku teringat pada hadiah Emir yang aku sorokkan di celah-celah pokok bunga matahari tu. Tak menunggu lama, aku terus ajak Emir keluar dari panggung dan terus datang ke taman bunga ni.
       “Esoklah kita cari lagi. Hujan ni Suri. Nanti Suri demam.” Emir payungkan aku dengan payungnya.
       “Kalau Emir nak balik, baliklah. Suri takkan balik selagi hadiah tu tak jumpa.” Aku tolak tubuh Emir ke tepi. Terbongkok-bongkok badan aku mencari sebuah kotak kecil segi empat yang terselit di celah pokok. Satu taman ni aku cari tapi tidak jumpa. Mungkin tukang sapu dah ambil.
       “Suri nak pergi mana tu?” tanya Emir dengan nada cemas apabila aku berlari pergi darinya. Kakiku menderap laju ke tempat sampah. Dengan keadaan hujan, itu sudah cukup meloyakan tekakku. Dahlah banyak sampah. Namun, demi hadiah berharga itu, aku tetap bertahan.
       “Suri ni degillah. Emir tak kisah kalau Suri tak bagi hadiah pada Emir. Yang penting Suri sayang Emir. Jomlah balik. Nanti Suri demam.” Kali ini, dengan lebih berani Emir menarik aku mengikutnya. Dia mengheret aku menuju ke kereta.
Bengang dengan Emir, aku pantas menepis pegangan tangannya. Aku pandang dia. Saat itu, aku sedar aku mula menitiskan air.
       “Emir tak faham! Hadiah tu sangat penting buat Suri. Sangat berharga dan bermakna. Dahlah kalau Emir tak nak tolong Suri carikan hadiah tu, Emir boleh balik. Balik!” Aku meneruskan pencarian. Aku sekarang betul-betul dah basah kuyup. Tapi tak mengapa. Aku sanggup berhujan janji aku jumpa hadiah tu.
Hadiah itu sangat bermakna buatku. Hadiah yang pernah aku berikan pada ‘dia’ tapi dia menolak untuk menerima hadiah aku itu. Dia cakap, dia tak layak terima hadiah murah dari aku yang miskin. Maklumlah dia tersangat kaya. Dan bermula dari detik itu, aku mulai yakin, dia dan aku takkan pernah bersama. Tapi hadiah itu aku tak buang. Aku berjanji depan dia, hadiah murah yang aku nak berikan pada dia itu akan aku berikan pada lelaki yang mencintai aku setulus hati. Aku dah temui lelaki itu setelah tujuh tahun berlalu. Lelaki itu ada depan aku sekarang.
       “Suri memang degil.” Kata-kata Emir langsung aku tak layan. Nampak dari gaya, dia juga berdegil nak tolong aku cari hadiah tu. Emir memang baik.
Kami terus mencari hadiah itu di merata taman. Andai tidak jumpa juga hadiah tu, pasti aku akan merasa sangat kecewa dan sedih. Hadiah tu aku buat sendiri. Dengan tangan seni yang aku ada, aku cuba buat hadiah tu sendiri. Khas untuk si dia yang aku cintai.









No comments:

Post a Comment