Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 9



Aaachommm! Terlontar kuat bersinku memenuhi ruang kereta. Terkeluar habis hingus aku. Saat itulah Emir menghulurkan sehelai tisu kepadaku. Aku menyambutnya sambil tersenyum nipis.
       “Kalau Suri tak degil, Suri tak kena selsema macam ni.” Emir mula berleter. Aku hanya pekakkan telinga. Dah malas nak gaduh pasal hal  tu. Buat sakit hati aje. Penat tau aku cari hadiah tu. Hampir dua jam aku mandi hujan semata-mata nak cari hadiah tu. Tapi hampa,  langsung tak nampak batang hidung. Entah siapa yang ambil. Aku doakan, siapa-siapa yang ambil, tolonglah jaga elok-elok hadiah tu. Kalau tak nak, bagilah kat aku balik. Tapi bagaimana dia orang nak bagi, dia orang bukan ada nombor telefon aku pun. Hmm…
      “Suri masih sedih sebab tak jumpa hadiah tu?” tanya Emir sambil mengeringkan rambutnya dengan tangan. Habis merencit air ke muka aku. Hisy!
     “Mestilah sedih. Hadiah tu penting sangat. Emir apa tahu. Tahu membebel aje,” jawabku agak sentap.
Emir yang duduk di tempat pemandu hanya menggelengkan kepala.
       “Hadiah apa yang penting sangat tu? Boleh Emir tahu? Kalau Emir tahu, mana tahu Emir boleh cari kat kedai ke. Gantikan yang hilang tu.” Cadangan Emir buat aku paling muka memandangnya.
       “Takkan ada ganti, Emir. Ada satu aje dalam dunia ni. Sebab hadiah tu Suri buat sendiri. Eh, dahlah. Penatlah. Please hantar Suri balik.” Aku segera pasang tali pinggang keselamatan. Kusandarkan tubuh ke kerusi sambil picit kepala. Pening aku rasa sekarang. Dah mula nak demam ni.  Mesti mama dan papa membebel panjang nanti. Argh!
       “Suri macam demam aje. Kita pergi klinik dulu ya. Emir risaulah Suri demam macam ni,” ujar Emir penuh prihatin.
Aku jeling Emir. Takde mood aku nak pergi klinik. Aku nak balik. Balik!
       “Tak payahlah pergi klinik. Hantar Suri balik dahlah…” Suara aku mula berubah sentap. Aku rasa kalau Emir tetap berdegil nak ajak aku pergi klinik, jangan terkejut kalau aku mengamuk dalam kereta ni nanti. Aku dahlah tengah tertekan hadiah aku hilang. Dia nak over caring pulak.
       “Suri… Suri demam ni.” Emir tetap berdegil.
       “Eh dahlah! Suri tak demam! Suri nak balik sekarang! Hantar Suri balik. Nanti kat rumah pandai-pandai mama papa Suri jaga Suri. Yang Emir sibuk-sibuk sangat kenapa?!”
Suasana dalam kereta mula berubah sunyi. Aku terkedu dengan tengkingan aku pada Emir. Dan Emir pula kelihatannya agak tergamam. Mungkin tak percaya aku boleh jerkah dia sampai macam tu sekali.
Baru saja aku nak bersuara meminta maaf, Emir pantas membuka radio bagi mengisi ruang sunyi yang melanda kami. Dia segera menghidupkan enjin kereta dan bergerak keluar dari tempat parkir. Saat itu hanya Tuhan saja yang tahu apa yang sedang Emir rasakan dalam hatinya. Adakah dia terasa hati aku menengkingnya? Sudah pasti. Emir mesti dah merajuk.
Untuk memujuk, aku juga dah tak kuasa. Penat, letih, kecewa, stress. Semua ada. Biarkanlah dulu. Esok-esok ajelah aku pujuk dia. Sorry, Emir. Suri stress sangat tadi. Lemah hatiku berbisik.
Lima belas minit kemudian, kami tiba di perkarangan rumahku. Sepanjang perjalanan tadi, Emir langsung tidak bersuara. Apa lagi nak palingkan muka memandang aku. Dia benar-benar dah merajuk dan terasa hati dengan tengkingan aku tadi.
Tanpa kata, Emir segera keluar dari kereta. Tanpa ucap selamat malam, aku lihat dia melangkah laju meninggalkan halaman rumahku. Dengan bertemankan lampu jalan yang suram cahayanya, Emir menyusuri jalan menuju ke jalan besar. Pasti dia akan menaiki teksi dan mengambil motosikal yang ditinggalkanya di taman tadi. Aku dah susahkan Emir. Sepatutnya aku drive sendiri tadi. Ini tidak, sikap manjaku buat aku menyusahkan dia lagi. Dan sebab sikap baran aku, aku marahkan dia. Sedangkan aku tahu, dia hanya mengambil berat. Emir… maafkan Suri…

********

       “Lepas makan panadol ni, sayang tidur okey? Jangan nak mengada tak makan ubat. Nanti demam melarat baru tahu.” Sebaik saja aku siap bersihkan diri, aku terus merebahkan diri ke katil. Nasib baiklah mama dan papa tak memberi tazkirah panjang pada aku. Takdelah aku makin tertekan dengan apa yang sudah aku lalui hari ini. Hari yang ceria berubah duka. Hadiah hilang, Emir merajuk… Hmm….
       “Yana dengar tak apa yang mama cakap ni? Hmm?” Suara mama membangunkan aku dari lamunan. Aku angguk kepala lemah. Untuk buat mama cepat-cepat keluar dari bilik, aku segera mencapai panadol dan air kosong yang sudah tersedia. Aku segera telan pil yang terasa pahit itu. Aku tak boleh demam. Aku harus cepat-cepat sihat kerana tugas memujuk Emir masih belum aku selesaikan!
Melihat aku selamat makan ubat, mama tersenyum sambil usap pipi ku lembut. Dia berpuas hati aku sudah tidak culas lagi makan ubat.
       “Okey mama keluar dulu. Kalau ada apa-apa, panggil mama. Okey, sayang?” Kepalaku angguk lagi. Untuk bersuara aku dah tak larat. Matapun dah nak mula layu.
Dengar saja daun pintu ditutup, aku yakin mama dah keluar. Saat itu mataku juga sudah mulai tertutup rapat. Aku nak tidur dulu. Selamat malam dunia…
Beberapa minit berlalu, aku masih gagal menidurkan diri. Mata memang pejam tapi fikiran aku menerawang risaukan Emir. Tak patut kalau aku langsung tak ucap kata maaf padanya. Entah macam mana keadaan dia sekarang. Dah sampai rumah ke belum ya?
Walaupun tubuhku terasa berat, aku gagahkan juga mencapai telefon bimbit yang terletak atas meja sisi di tepi katil. Nombor telefon Emir kudail perlahan.
Lama aku tunggu, namun panggilan tetap tidak berangkat. Aku cuba lagi. Walaupun dalam mata terpejam,aku tetap cuba mendail nombor Emir buat sekian kalinya. Mungkin dia tengah mandi kut. Diakan suka mandi malam.
Dengan fokus yang masih bersisa, aku cuba menaip. Satu pesanan ringkas kukirimkan pada Emir. Harap-harap dia baca sms aku ni. Aku yakin dia sengaja tak angkat panggilan tadi. Dia merajuk. Aku tahu.
+ Maafkan Suri, Emir.
Hanya itu yang mampu aku taip. Beberapa minit kemudian, aku terus pejamkan mata dan tak sedarkan diri lagi.

************

Keesokan harinya, jam sebelas pagi barulah aku bangun dari tidur. Solat Subuh sah-sah dah terlepas. Itupun nasib baiklah Mak Limah kejutkan aku. Kalau tak, mungkin sampai ke petang aku tidur.
       “Lepas mandi, kita pergi klinik. Yana demam kuat ni. Panas betul badan Yana,” Mak Limah bersuara sambil melekapkan tangan ke dahi dan pangkal leherku. Aku yang masih berbaring atas katil hanya diamkan diri sambil membungkuskan tubuhku dengan selimut. Sejuknya. Macam mana nak mandi ni.
      “Bangun Yana. Papa dah tunggu kat bawah tu. Dia yang akan hantar Yana pergi klinik. Bangun, sayang. Jangan buat papa menunggu.” Aku menggelengkan kepala. Malaslah nak mandi. Malas nak pergi klinik.
       “Kenapa geleng kepala pulak? Tak nak pergi klinik ya?” tanya Mak Limah dapat mengagak.
       “Yaa…” Adeh… Sakitnya tekak aku. Nak bersuarapun dah tak boleh.
       “Jom-jom. Biar mak mandikan Yana.” Selimut tebal yang menyelubungi tubuhku diselek perlahan oleh Mak Limah. Dia membantuku bangun dari katil. Melihat aku mengeraskan diri, Mak Limah mula menggunakan taktik kotornya.
       “Bangun cepat atau mak geletek pinggang Yana nanti,” ujar Mak Limah sambil sudah bersedia dengan jari jemarinya. Aku cepat-cepat geleng kepala. Dengan muncung panjang sedepa, aku segera angkat punggung dari katil.
       “Hah, nak mak mandikan ke?” tanya Mak Limah bila melihat aku masih berdiri bingung di muka pintu bilik mandi.
Untuk membalas kata-kata Mak Limah memang aku dah tak berdaya. Tekak aku ni terasa perit sangat. Akhirnya, aku terpaksa mengalah. Segera kuangkat kaki masuk ke bilik mandi.
Usai mandi dan berpakaian kemas, aku berbaring lagi ke katil. Sengaja aku tak turun ke bawah. Aku nak papa atau mama atau Mak Limah yang datang jemput aku. Wah, demand! Aku bukan apa, time-time demam ni aku memang suka bermanja dengan mereka bertiga tu. Inilah masanya untuk aku jadi kanak-kanak kecil semula.
Terlintas di benakku untuk memeriksa telefon bimbitku. Manalah tahu Emir ada membalas smsku semalam. Segera aku mencari telefon bimbit di merata tempat. Teraba-raba tanganku mencarinya di bawah bantal. Sebaik saja kujumpa, terus kuperiksa skrin telefon itu.
Hmm… Hampa. Skrin telefon kosong tanpa ada apa-apa balasan. Tak sedap hati aku dibuatnya dengan sikap Emir ni. Kut ya pun nak merajuk, balaslah sms aku. Erk… Tapi orang merajuk mana balas sms.
‘Angkatlah phone ni.’ Suara hatiku berkata-kata. Risau bila Emir tetap tak angkat panggilan. Dari semalam aku telefon.
Dengan lajunya, aku menaip satu sms untuk Emir. Aku harap dia balaslah sms aku kali ni.
+ Kenapa Emir tak angkat bila Suri call? Are u ok? Plis bls sms Suri. Pasal semalam, Suri minta maaf. Suri x sengaja marah Emir.
       “Yana? Dah siap ke?” Muncul papa di muka pintu dengan tiba-tiba. Aku pandang muka papa sambil angguk kepala.
Papa bergerak mendapatkan aku. Dipimpin tangan aku menuju ke bawah. Telefon bimbit di tanganku kutilik berulang kali. Manalah tahu Emir balas sms aku tadi.

*********

       “Yana tunggu kat sini okey. Papa pergi bayar bil,” ujar papa sebaik saja aku duduk ke kerusi. Dia bergerak ke kaunter ubat. Doktor cakap, aku demam biasa aje. Okeylah tu. Dua tiga hari nanti sihatlah.
Fikiran aku masih lagi serabut memikirkan Emir. Emir nikan suka sangat menghilangkan diri. Antara banyak-banyak teman lelaki aku, Emirlah orang pertama yang paling berani tak layan sms dan panggilan dari aku.  Dia memang suka buat aku terkejar-kejarkan dia. Nasib baiklah aku ni cintakan dia. Kalau tak, mati hidup balikpun aku takkan menyerabutkan diri aku macam ni. Ugh! Emir sengal!
Sekali lagi, aku tilik telefon. Manalah tahu ada sms. Dan ternyata memang ada. Yes! Mesti dari Emir. Cepat-cepat aku buka sms yang baru tiba itu.
= Emir nak jumpa Suri kat taman semalam. Emir tunggu Suri kat sana. Sekarang.
Mataku membulat. Sekarang? Tapi akukan demam. Papa mesti tak bagi aku keluar. Ah! Tapi inilah peluang aku jumpa Emir. Mungkin Emir ada benda penting nak cakap.
Melihat papa masih sibuk berurusan di kaunter, dengan berhati-hati aku angkat punggung dari kerusi. Terjengket-jengket aku keluar dari klinik itu. Tiba di birai jalan, aku terus menahan teksi. Sempat aku hantar sms pada papa mengatakan aku terpaksa keluar jumpa kawan. Aku harap papa tak marah. Tapi balik nanti, sah-sah aku kena menghadap leteran mama. Ah… biarlah. Aku sanggup hadapi semua tu semata-mata demi Emir. Emir mesti dah lama tunggu aku kat sana.

*********

Sampai saja di taman yang dijanjikan, aku terus mencari kelibat Emir. Melilau-lilau mataku mencarinya hingga kepeningan mula melanda diri. Hampir aje aku tumbang menyembah bumi. Namun, saat itulah ada tangan yang memegang bahuku, menahan aku dari jatuh.
Aku berpaling. Mataku terpaku menatap wajah Jimmy. Jimmy? Apa dia buat kat sini?
       “Yana? Yana, are you okay? Kenapa pucat aje ni.” Pertanyaan dari Jimmy aku tak segera jawab. Kutepis lembut tangannya yang masih memegang bahuku. Aku menjauhkan sedikit jarak antara kami.
       “Saya okey. Awak buat apa kat sini?” tanya aku pula padanya.
Jimmy ajak aku duduk di bangku yang terletak tidak jauh dari tempat kami berdiri. Agak keberatan untuk aku mengikutnya. Entah ke mana pula Emir ni. Cakap nak jumpa. Tapi batang hidungpun tak nampak.
       “Duduklah dulu. You pun jogging ke?” Jimmy bertanya lagi sambil meneguk air minuman yang dipegangnya.
Serba salah untuk aku duduk. Tapi akhirnya aku terpaksa duduk. Yang anehnya aku tidak lagi berdebar berdepan dengan Jimmy. Kurasakan biasa-biasa saja. Yang mendebarkan aku, kalaulah Emir nampak aku berdua-duaan dengan Jimmy, entah apa pula tanggapannya.
       “Saya tunggu kawan. Awak jogging ke?” soalku berbasa-basi. Jimmy menjawab dengan anggukan. Dia tersenyum manis padaku. Aku membalas senyumannya kelat.
       “You apa khabar? Lama betul tak jumpa kan? Since I break-up dengan bff you tu. I pun dah lama tak jumpa Sofiya. Tak sangka dia sanggup curang dengan I. Perempuan…” Tiba-tiba saja Jimmy meluahkan perasaan tak puas hatinya pada aku. Hello! Aku tak ada masa nak dengar semua ni.
Sesekali mataku melirik memandang ke sekeliling. Aku masih mencari kelibat Emir. Jimmy di sebelah langsung aku buat tak layan. Atau lebih baik kalau aku pergi aje dari sini. Hmm, itu yang terbaik. Kalau dulu aku teruja nak berbual mesra dengan dia, tapi tidak lagi sekarang. Emir is everything for me. Not Jimmy!
       I think I have to go. Lain kali kita berborak lagi. Saya pergi dulu, ya. Assalamualaikum.” Aku segera bangun. Namun, tak sempat aku melangkah, Jimmy dengan beraninya menarik tangan aku. Langkahku jadi terhenti.
       “Lepaslah! Apa ni pegang-pegang.” Kurentap kasar tanganku darinya. Tajam mataku menatap muka Jimmy yang kelihatannya seronok bila aku  naik marah macam ni.
       “You nampak cute bila you marah.” Ceh! Ayat penggoda zaman kuno. Ingat aku termakan ke dengan mulut manis kau tu?Aku mula bengang dengan Jimmy. Entah kenapa aku admire sangat dia dulu. Butanya mata aku ni.
       Sorry ya Encik Jimmy. Saya dah berpunya. Saya tahu awak ada hati dengan saya. But I’m so sorry. Hati saya dah dimiliki. Okay, bye!” Puas hati aku kenakan dia. Biar dia sedar sikit. Dia ingat, dia handsome sangat ke sampai perempuan beratur panjang semata-mata nak jadi teman wanita dia? Sorry! Aku tak termasuk dalam senarai perempuan macam tu.
Nasib baiklah aku cepat sedar. Syukurlah Allah tidak menjebakkan diri aku dengan Jimmy. Padanlah Sofiya asyik masam aje bila keluar dengan Jimmy. Rupa-rupanya Jimmy bukanlah seromantik yang perempuan-perempuan lain nampak. Belum kenal, belum tahu. Sudah kenal, sumpah tak nak tahu lagi.
Sedang aku berjalan melintasi sebatang pohon rendang di hujung taman, tiba-tiba ada satu tangan menarik lenganku dari tepi. Saat itu, sumpah aku rasa jantung aku mahu gugur. Kupejamkan mata apabila tangan itu menolak aku ke batang pokok. Ya Allah, selamatkan aku.
       “Siapa lelaki tu?” Suara si penyoal itu amat aku kenali. Pantas aku bukak mata dan tersenyum memandang wajah Emir yang sedang  memandangku dengan muka masam.
       “Lelaki mana?” Aku bertanya bingung. Atau mungkin Emir bertanyakan soal Jimmy.
       “Lelaki mana? Lelaki yang pegang tangan Suri tadi. Lelaki yang pegang bahu Suri bila Suri nak jatuh tadi. Lelaki tulah,” bidas Emir agak bengang.
Dia bergerak duduk ke bangku. Aku membuntutinya sambil tersenyum. Emir jealous ke? Hohoho… Macam ni rupanya bila Emir cemburu. Muka dia masam mencuka. Tapi tetap comel untuk ditatap.
       “Dia tu ex boyfriend Sofiya. Suri setakat kenal macam tu aje dengan dia. Emir cemburu ke? Comel bila Emir cemburu.” Aku tertawa kecil.
       “Janganlah cemburu. Suri tak ada apa-apa dengan mamat tu. Hanya Emir di hati Suri. Percayalah…” Emir berdecit kecil. Kami saling berbalas pandangan. Melihat Emir masih serius, aku mula mematikan senyumku. Emir tak percayakan aku?
       “Selagi Suri tak jadi milik Emir yang sah, selagi itulah Suri akan digoda oleh ramai lelaki. Surikan cantik. Menawan. Emir ni apalah sangat.” Kata-kata yang terluah dari bibir Emir buat aku terpaku. Emir masih tidak percayakan aku? Kan dia dah janji nak percayakan aku.
Aku memaksa Emir untuk memandangku. Satu soalan kutujukan padanya.
      “Emir masih curigakan dengan Suri? Hmm? Tak percayakan Suri? Tak percayakan cinta Suri? Hah?”
       “Bukan curiga. Tapi sebab terlalu sayang. Kalau kita dah saling sayang, buat apa kita nak bercouple lagi, Suri? Kenapa tidak kita terus berkahwin aje. Kita jadikan hubungan haram ni menjadi halal. Bila dah kahwin, hanya Emir yang berhak ke atas Suri.”
Sekali lagi aku terpempam dengan pengakuan Emir. Keberanian Emir sekarang memang lain macam. Adakah kerana cintanya untukku yang terlalu mendalam membuatkan dia berubah seberani ini? Emir tidak takut-takut lagi nak meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Semakin berani dan semakin yakin meluahkan isi hatinya pada aku. Aku hargai keinginannya. Itu tandanya dia serius cintakan aku. Tapi masalahnya, masih terlalu awal untuk kami bersatu dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kahwin muda? No way! Aku tak sanggup.
       “Suri… Kenapa Suri diam? Emir lamar Suri ni.” Mahu tergelak aku mendengar kata-kata Emir itu. Lamar? Tak romantik langsung. Kut ya pun nak melamar, biarlah ajak aku makan malam ke. Blurlah Emir ni.
       “Terlalu awal untuk Suri fikirkan soal kahwin. Suri tak ready lagi. Harap Emir faham. Kita masih muda. Graduate pun belum. Tunggu kita habis belajar dulu ke. Kerja dulu ke. Okey?”
Jelas terpancar wajah kehampaan Emir detik itu. Mungkin dia terlalu berharap aku menerima lamarannya. Tapi aku memang tak boleh terima dia buat masa sekarang. Aku belum cukup bersedia. Kalau dah kahwin nanti, kalau ada rezeki mesti dapat anak. Dengan study belum habis lagi, suami, anak…  Arghhhh! Berlipat kali gandalah stress aku. Tak sanggup aku.
       “Suri tak cintakan Emir ke?” Terpancul soalan itu dari mulut Emir. Aku tercengang memandangnya. Untuk apa soalan itu ditanya lagi. Ah! Emir ni memang suka menguji kesabaran aku.
       “Dah beratus kali Suri cakap, Suri cintakan Emir kan? Tak percaya lagi ke?”
       “Kalau Suri cintakan Emir, Suri kahwin dengan Emir. Emir dah bersedia nak pikul tanggungjawab sebagai seorang suami.  Suri kena yakin dengan Emir. Memang Emir ni blur dan lambat pick-up bila bab-bab romantik ni, tapi Emir yakin Emir mampu bahagiakan Suri. Ibu setuju dengan keinginan Emir ni. Dia galakan Emir kahwin muda. Kahwin muda buat kita lebih matang.”
Aku hela nafas lemah. Entah bagaimana lagi aku nak buat Emir faham. Bukan soal cinta tak cinta. Tapi ini soal aku belum bersedia. Kalaupun dia bersedia nak pikul tanggungjawab menjadi suami, aku ni yang tak ready nak pikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Buatnya aku tak ikhlas layan dia sebagai suami aku, tak ke berdosa aku nanti. Emir ingat berkahwin untuk sehari dua ke? Kalau mama dan papa tahu aku nak kahwin sebelum habis belajar, mahu dia orang tak bagi restu pada aku. Habis tu, takkan nak kahwin lari kut. Hisy! Tak kuasa. Jadi apa yang harus aku buat sekarang? Apa?!

















No comments:

Post a Comment