Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 10



       “Papa tak setuju!” Sudah kujangka itulah jawapan yang bakal papa berikan padaku.
       “Tapi Yana cintakan dia. Yana… Yana dah bersedia nak jadi seorang isteri,” ujarku dalam terpaksa. Memanglah aku masih belum yakin seratus peratus yang aku ni bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Tapi, kata-kata Emir berjaya memujukku.  Hati aku terbuka untuk bersetuju menerima lamarannya.
       You are still young, Yana. Kahwin muda bukan senang. Ini lelaki mana pulak yang dah racuni fikiran Yana ni. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba cakap pasal kahwin. Mengarut! Dahlah tadi lari macam tu aje dari klinik. Sekarang, tiba-tiba cakap pasal kahwin. Yana memang sakit!” Papa menyandarkan badannya ke sofa sambil picit kepala. Mama yang duduk di sebelah papa cuba menenangkan papa dengan mengusap lembut dada papa. Aku kalih pula memandang Mak Limah. Perempuan tua itu hanya diamkan diri. Mungkin dia juga terkejut dengan keputusan aku ini.
       “Mama harap Yana hanya main-main. Soal nikah kahwin bukan perkara mudah. Sekarang bukan waktu untuk Yana fikir soal kahwin. But you have to focus your study. Mama dan papa tak pernah halang Yana bercinta, tapi untuk kahwin, no. Belum tiba masanya lagi.” Keputusan dari mama buat hati aku semakin hampa. Kalaulah Emir ada sekali memujuk kedua orang tuaku. Tapi aku juga yang tak bagi Emir menemui ibu bapaku. Aku risau kalau-kalau papa dan mama marahkan Emir dalam soal ni.
       You have to trust me, pa, ma. Yana cintakan dia. Kami berdua nak halalkan apa yang haram. Bila dah kahwin, kami bebas lakukan apa saja. Yana janji, Yana akan jadi lebih matang lepas kahwin nanti. Yana takkan susahkan mama dan papa.” Pujukku masih tidak mahu mengalah.
Kupandang mama dan papa yang tetap membisu. Mereka berdua langsung tidak termakan pujuk rayuku. Apa yang harus aku lakukan lagi? Perlukah aku menemukan Emir berjumpa dengan mereka? Mungkin itulah jalan yang terbaik. Biar Emir sendiri yang meyakinkan kedua orang tuaku.
       “Esok Yana akan bawa Emir datang jumpa mama dan papa. Yana harap, papa dan mama dengar penjelasan dia. Jangan sakiti hati dia. Dia lelaki yang Yana cinta. Yana hanya cintakan dia seorang aje. Kalau Yana tak boleh kahwin dengan dia, Yana tak nak kahwin dengan mana-mana lelaki lain lagi. Titik!” Segera aku berlari naik ke tingkat atas. Aku juga sebenarnya tidak sanggup untuk menuturkan ugutan itu. Tapi, ini demi masa depan aku dan Emir. Aku tahu, aku pasti akan bahagia dengan dia. Emir lelaki baik. Dia seorang yang penyabar dan bertanggungjawab. Hidup aku pasti akan bahagia dengan dia!
Dalam bilik, aku menangis tersedu-sedan. Kucuba untuk menenangkan diriku sendiri. Saat ini, aku sangat ingin Emir berada di sisiku. Aku perlukan dia tenangkan aku. Sepatutnya, perkara ini kami hadapi bersama-sama.
Rasa bersalah kerana meninggikan suara pada mama dan papa tiba-tiba menghiasi ruang jiwa. Kerana seorang lelaki, aku bercakap kasar dengan orang yang telah banyak berjasa dalam hidup aku. Tapi tidakkah mama dan papa mengerti apa yang aku alami? Kenapa harus susahkan benda senang. Restukan perhubungan aku dengan Emir. Nikahkan kami berdua. Itu sahaja yang aku mahukan. Tidakkah mama dan papa mengerti perasaan orang saling cinta mencintai? Bukankah papa dan mama juga pernah bercinta dulu? Mereka juga kahwin di usia yang agak muda. Jadi, kenapa nak mempertikaikan keinginan aku untuk kahwin muda?
Tok. Tok. Daun pintu bilik tiba-tiba diketuk dari luar. Sebaik saja pintu bilik dikuak dari luar, terjengul kepala Mak Limah di balik pintu. Dia tersenyum memandangku.
       “Boleh mak masuk?” tanyanya, masih berdiri di muka pintu.
Aku yang masih duduk meniarap di atas katil, menganggukkan kepala lemah. Mak Limah melangkah ke katil. Dia melabuhkan duduk di birai katil. Tangannya mengusap kepalaku dengan penuh rasa kasih.
       “Apa yang Yana rasa sekarang?” soal Mak Limah tiba-tiba. Aku yang masih menyembamkan muka ke bantal, hanya diamkan diri. Kenapa pula mak tanya macam tu? Sah-sah hati aku sedih dan kecewa sebab papa dan mama tak bagi aku kahwin.
       “Mesti Yana sedih dan kecewa, kan? Itulah juga yang papa mama Yana rasa sekarang. Sedih, kecewa kerana anak gadis mereka yang baru berusia 19 tahun yang selama ni mereka belai penuh perhatian, tiba-tiba saja cakap soal kahwin. Dalam masa yang sama dia orang terkejut. Tak menyangka, anak dia orang dah besar rupanya. Dah matang, dah cakap pasal kahwin.” Kata-kata Mak Limah buat aku palingkan muka memandangnya. Mak Limah yang tersenyum penuh erti.
       “Jangan terburu-buru Yana. Mak sokong kalau Yana nak kahwin. Itu tandanya, kali ni Yana benar-benar serius dalam hubungan. Betul-betul cintakan lelaki itu. Tapi… berbincanglah dulu. Bawa lelaki tu datang ke rumah. Kenal-kenal dengan papa dan mama. Keluarga kita kenal dulu dengan keluarga dia. Barulah kasih sayang dan keyakinan dapat dipupuk. Perkahwinan bukan hanya ada Yana dan lelaki tu, tapi… ada keluarga kedua-dua belah pihak. Yana faham maksud mak, kan?”
Itulah Mak Limah. Sentiasa dapat memberi jalan keluar untuk aku. Dia berjaya menenangkan aku dengan sikap lemah lembutnya. Kalau macam tu, aku akan bawa Emir datang ke rumah esok. Kenal-kenal dengan papa dan mama. Betul kata mak. Perkahwinan bukan hanya ada aku dan Emir semata-mata. Masih ada papa, mama dan keluarga kami yang lain di sebalik perkahwinan ini nanti.
       “Terima kasih, mak. Terima kasih…” ucapku penuh makna. Mak Limah hanya tersenyum. Kami saling berdakapan.

*********

Tak senang berdiri aku menunggu kedatangan Emir. Sengaja aku terpacak menunggu dia di depan pintu pagar. Aku nak biar aku sendiri yang menyambut kedatangannya. Semalam, aku bercakap dengan dia. Keputusan aku untuk membawa dia berjumpa dengan ibu bapaku Emir sambut baik. Dia lagi excited nak bertemu dengan bakal ibu bapa mertuanya. Wah, confident nampak!
Seperti biasa, Emir tak pernah nak datang tepat pada masa yang dijanji. Aku makin gelisah menunggu. Makan tengah hari dah lama siap. Tunggu Emir aje ni. Adoiyai… Emir, Emir. Dah tahu hari ni ada pertemuan penting, tolonglah datang awal sikit. Tunjuklah kesungguhan tu sikit. Ugh! Nak kena call lagilah ni.
Tak sempat aku mendail nombor  telefon Emir, tiba-tiba ada sebuah teksi berhenti di depan rumahku. Keluar seorang jejaka kacak dari tempat duduk penumpang.
       “Kenapa lambat?” soalku sebaik saja Emir berdiri di depanku. Kupandang hamper buah-buahan yang dibawanya. Pasti nak diberikan pada papa dan mama.
       Sorry, Suri. Motor Emir buat hal. Semalam okey aje. Nasib baik dapat teksi tadi. Kalau tak, lagilah lambat.” Penerangan dari Emir aku buat tak layan. Pantas kutarik lengannya mengikutku masuk ke dalam rumah. Namun, tak sempat langkah kami bermula, Emir bertindak menahan aku. Dia bertanyakan satu soalan padaku.
       “Emir kacak tak? Kemas tak? Okey ke baju kemeja yang Emir pakai ni, Suri? Ibu yang tolong sediakan baju ni.” Ucapan Emir buat aku tergelak kecil. Berdebar sungguh nampaknya si Emir ni.
Aku buat penilaian. Kupandang Emir dari atas ke bawah. Perfect 10! Markah penuh aku bagi padanya. Kasut kilat. Seluar slack putih bergosok dengan cukup sempurna. Baju pula. Kemeja lengan panjang warna putih ini juga cukup padan di badannya. Wah, bersih dan suci. Sengaja Emir ni. Tahu-tahu aje aku suka warna putih.
        “Jom masuk. Emir sentiasa kacak di mata Suri. Kalau mama papa tengok Emir, pasti dia orang akan jatuh hati dengan Emir. You are so cute. Jom!” Saat itu aku perasan ada senyuman terlakar di bibir Emir. Mungkin dia gembira apabila aku memujinya seperti itu. Semenjak Emir bertransformasi, hilang sudah imej lelaki nerd yang dipegang olehnya dulu. Cuma kadang-kadang, sikap dan kata-kata dia seperti lelaki nerd. Blur aje memanjang.
       “Papa, mama…” Aku bawa Emir ke ruang tamu. Di situ, papa dan mama sudah bersedia menunggu.
       “Papa, mama… Kenalkan inilah Emir. Ku Emir Affan bin Ku Amir.” Nama penuh aku bagi tuh! Kukerling wajah Emir, dia kelihatan sedikit gugup. Tertunduk ketakutan. Adeh…
Papa dan mama menunggu Emir menghulurkan tangan bersalam. Sedar akan hal itu, pantas aku menyiku lengan Emir. Aku beri dia isyarat mata. Faham dengan signal yang aku bagi tu, Emir cepat-cepat menyalami tangan papa. Pada mama Emir hanya tersenyum.
       “A-apa khabar, uncle… aunty…” Tergagap-gagap Emir bersuara. Sekarang Emir sudah layak dipanggil Emir si gagap. Hahaha…
Aku pelawa Emir duduk di sebelahku. Baik papa dan mama, masing-masing hanya diam tak berkutik. Nampak sangat yang mereka tak suka dengan Emir. Hampa aku melihat penerimaan dari papa dan mama. Tidakkah mereka nampak kesungguhan aku dan Emir? Kami benar-benar mengharapkan restu dari mereka.
       “Erm, kalau papa dan mama nak tahu, first time kami berdua bertemu, masa di depan library. Kan, Emir? Sampai sekarang, Suri tak lupa moment tu.” Kuukir senyuman untuk Emir. Emir membalas senyumanku dengan senyuman manisnya.
Keadaan cukup kekok kurasa saat ini. Tak patut kalau mama dan papa teruskan dengan kebisuan seperti ini. Emirpun satu. Cubalah berbual mesra sikit dengan mak ayah aku ni. Hisy! Lupa nak ajar semalam.
       “Dah berapa lama kau orang berdua berkenalan?” tanya papa serius. Aku dan Emir saling berpandangan. Alamak, soalan tu memang kami tak nak jawab. Kalaulah papa tahu aku dan Emir baru bercinta beberapa minggu, sah-sah makin kuat penentangan papa nanti. Tak! Aku lebih sanggup berbohong daripada papa tahu kebenaran itu.
       “Dah hampir dua bulan, pa. Usia perkenalan tidak menjamin kebahagiaan seseorang, pa. Yang penting, saling cinta dan percaya. Betul kan, mama? Itu yang mama selalu pesan pada Yana, kan?” Aku bangun dari kerusi. Kududuk di sebelah mama sambil melentokkan kepala ke bahunya. Aku sebenarnya masih berusaha memujuk.
       “Kamu pun masih study lagi kan?” tanya papa pada Emir. Saat itu aku cuba nak back-up Emir, namun mama melarangku. Dia tidak mengizinkan aku bersuara.
Kupandang wajah Emir. Dia kelihatan takut-takut nak jawab soalan dari papa. Come on, Emirku sayang. Kuatkan semangatmu!
      “Err… masih study lagi, uncle. Tapi Emir dah semester akhir,” ujar Emir dengan suara perlahan. Dia langsung tak berani nak angkat muka. Pasti dia benar-benar kecut perut menerima renungan tajam dari papa tadi.
       Study lagi tapi kenapa gatal sangat nak kahwin? Tak boleh ke tunggu habis belajar atau dapat kerja dulu? Patutkah saya kahwinkan anak perempuan kesayangan saya pada lelaki yang masih belum jelas masa depan dia. Hmm?” Kali ini kata-kata papa buat Emir berani memandang muka papa dan mama.
Kesian aku melihat Emir. Untuk aku tolong dia, aku juga tak mampu. Aku juga sebenarnya nak tengok sejauh mana kesungguhan dia untuk memujuk papa dan mama. Adakah dia mampu meyakinkan kedua-dua orang tuaku?
       “Keluarga Emir tubuhkan syarikat hartanah. Dan Emir memang berminat untuk berkerja dengan ibu Emir lepas habis belajar nanti. Emir yakin, Emir mampu jaga Suri dan bahagiakan Suri sebagaimana uncle dan aunty jaga dia. Tolong percayakan Emir…” Emir mula merayu. Terharu hati aku detik itu. Sekurang-kurangnya, kini aku semakin yakin bahawa Emir benar-benar bersungguh-sungguh untuk berkahwin dengan aku. Tidaklah seperti sesetengah lelaki. Kat belakang bukan main berani. Bila dah berdepan betul-betul, senyap sunyi. Emir tidak. Apa yang dia katakan pada aku, itulah yang dia cakapkan pada papa dan mama hari ini. Dia memang bersungguh.
       “Jadi awak nak cakap yang keluarga awak kaya dan awak akan hidup senang di sebabkan harta keluarga awak tu. Hah? Bahagiakan anak saya dengan kemewahan keluarga awak? Bila harta keluarga awak dah habis, apa yang tinggal untuk bahagiakan Yana? Mengemis?”
       “Papa! Kenapa cakap macam tu.” Tak sanggup aku melihat papa ‘menyerang’ Emir dengan kata-kata sinis seperti itu. Kalaupun tak suka, janganlah sampai nak merendahkan martabat orang lain.
Emir cuba bertenang. Dia cuba tersenyum memandang aku. Kali ini, aku lihat senyuman Emir benar-benar terpaksa. Dia cuba untuk menenangkan perasaan aku. Emir…
       “Emir memang tak pandai nak berkata-kata, uncle, aunty. Tapi Emir betul-betul sayangkan Suri. Emir bukan seorang yang suka gunakan harta keluarga semata-mata demi kepentingan Emir. Emir memang anak orang kaya, tapi Emir tak berharta. Emir akan mulakan dari bawah. Susah senang Emir, Emir nak kongsi dengan Suri. Emir yakin, Emir takkan sampai mengemis untuk bahagiakan anak kesayangan uncle dan aunty. Emir janji, Emir takkan…”
Air mataku bergenang. Tak pernah aku lihat Emir bersungguh seperti ini. Dia nak bahagiakan aku tanpa memanjakan aku dengan kemewahan keluarganya. Bukankah itu tanda yang Emir ini seorang lelaki yang benar-benar bertanggungjawab? Dia lelaki yang low profile dan bukan anak manja! Itu ciri-ciri lelaki sejati yang benar-benar aku kagumi. Seperti papa. Papa juga mulakan perniagaan dengan hasil usahanya sendiri. Susah senang papa, dia kongsikan dengan mama. Kepayahan dan kesenangan membuat cinta mereka makin kukuh lagi hebat.
       “Emir merayu. Lepaskan Suri untuk Emir. Emir akan sayangkan dia sepenuh hati Emir. Emir akan buktikan pada uncle dan aunty, keputusan kami berdua untuk berkahwin adalah tepat. Kami takkan sia-sia restu dari uncle dan aunty.” Emir tertunduk penuh berharap. Mungkin dia juga sudah kehilangan kata untuk meyakinkan mama dan papa.
Aku tatap muka papa dan mama dengan wajah simpati. Aku harap, kedua orang tuaku nampak kesungguhan kami. Seharusnya, mereka menyokong perkara baik ini. Aku yakin, saat ini hati papa dan mama pasti sedang berbolak-balik.

**********

Aku dan Emir kini berada di taman bunga yang sering kali menjadi tempat dating kami berdua. Kami duduk di bangku yang sama namun aku duduk di hujung sebelah kanan, Emir pula duduk di hujung sebelah kiri. Masing-masing meninggalkan ruang tengah yang kosong dengan penuh perasaan hampa, resah, gelisah dan kecewa. Bagaimana untuk kami menyelesaikan masalah ini? Pasti ada satu jalan untuk selesaikan segala kekalutan ini. Tapi apa?
       “Emir dah cuba Suri.” Tiba-tiba Emir bersuara, lemah. Aku berpaling memandangnya.
       “Ya, Suri tahu. Terima kasih sebab Emir berjuang demi cinta kita.”
       “Hmm… Tapi Emir tak berjaya yakinkan papa dan mama Suri. Mereka tak percayakan Emir. Jauh sekali nak restukan hubungan kita.” Kata-kata Emir ada benarnya. Dalam keadaan sekarang, baik aku dan Emir dah gagal untuk mendapatkan keputusan yang pasti. Keputusan sejauh mana hubungan kami akan bertahan. Adakah sampai ke sudah mama dan papa takkan memberi restu dan keizinan untuk aku dan Emir bersatu? Ah… Kalau itulah realiti yang bakal aku hadapi, aku lebih rela kalau dulu aku tidak menemui Emir daripada aku harus kehilangan dia sekarang.
       “Kita cuba pujuk lagi. Suri yakin, lambat-laun mama dan papa pasti akan restukan hubungan kita. Kita bukan nak buat benda yang salah Emir. Kita di pihak yang benar.” Aku cuba menaikkan semangat Emir yang sudah hampir pudar itu. Andai Emir sudah berputus asa dengan sedikit usaha yang dilakukannya, maka akulah manusia yang paling merasa kecewa.
Emir menatap ke dalam anak mataku. Dia tersenyum. 
       “Demi untuk mendapatkan Suri, tak mungkin Emir akan mengalah. Demi cinta kita, kita akan terus berjuang. Mungkin Emir bukan lelaki yang baik, tapi Emir akan cuba menjadi lelaki yang terbaik untuk Suri. Suri percayakan Emir, kan?” Pertanyaan dari Emir aku jawab dengan anggukan. Anggukan penuh keyakinan. Aku percayakan dia. Seratus peratus!
       I love you, Emir,” luahku tanpa segan-segan lagi.
       I love you more, Suriyana.” Mendengar ungkapan cinta Emir itu buat aku semakin bersemangat untuk berjuang demi cinta kami. Akan aku pujuk papa dan mama sehingga mereka bersetuju memberi restu mereka kepada kami. Bagi aku, restu kedua orang tua amat penting dalam sebuah perhubungan suami dan isteri yang baru nak bermula. Bukankah redha ibu bapa itu akan melahirkan redha dari Allah Yang Maha Esa?

***********

Sekembali saja aku dari berjumpa dengan Emir, aku terus pulang ke rumah. Sesampai di rumah, tak menunggu lama, terus kuatur langkah menuju ke bilik. Aku nak protes sikit. Biar mama dan papa nampak kesungguhan dan keseriusan aku kali ini. Aku memang tak main-main. Kurasakan aku kini makin matang dengan apa yang aku lalui sekarang. Tak pernah walau sekali aku begini nekad untuk mempertahankan cinta aku. Seharusnya mama dan papa nampak semua itu!
Aku duduk termenung di birai katil memikirkan langkah apakah yang harus aku lakukan seterusnya. Nak pujuk macam mana lagi agaknya ya? Mungkin benar kata Mak Limah. Baik papa dan mama, masing-masing terkejut menerima berita ini. Anak kesayangan mereka yang selama ini hanya pandai bertukar teman lelaki, tiba-tiba bercakap soal nikah kahwin. Jangan kata mereka, aku sendiri terkejut dengan keputusan aku ni. Tak sangka, aku begini berani untuk mempertaruhkan kebahagiaan dan masa depan aku demi cinta aku pada Emir.
Selama ini, aku hanya main-main saja sukakan seseorang lelaki. Bila dah jumpa cinta sejati macam ni, tak sangka keinginan untuk aku menamatkan zaman bujang tiba-tiba menghiasi jiwa. Aku bukannya tergolong dalam golongan ‘gatal nak kahwin’. Tapi ini mengenai rasa cinta dan tanggungjawab. Bak kata orang bijak pandai, cinta yang hebat itu bertunjangkan tanggungjawab.
Dan aku yakin, cinta aku dan Emir adalah cinta yang hebat. Dan kami ingin memperhebatkan lagi cinta itu dengan memikul tanggungjawab bersama. Memang tak mudah untuk tanggung semua tanggungjawab itu. Tapi, pengalaman pasti akan mematangkan usia. Perjalanan hidupku bersama Emir pasti akan mematangkan kami berdua untuk terus tabah menempuh alam perkahwinan yang mencabar.
Percayalah  wahai mama dan papa. Yana tak pernah rasa seyakin ini. Yana dah bersedia untuk lalui fasa kehidupan Yana yang lebih mencabar. Dengan adanya Emir di sisi Yana, Yana mampu hadapi semua ini dengan hati yang senang dan bahagia. Insya-Allah…



No comments:

Post a Comment