Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 11



Suasana di meja makan dihiasi oleh kesunyian dan kebisuan. Masing-masing punya banyak untuk perkatakan namun hanya membiarkan ia tersimpan dalam hati. Sedari tadi, nasi yang berada dalam pinggan langsung aku tak jamah. Hanya dikuis-kuis dari tadi. Mak Limah yang duduk di sebelahku ada menghulurkan gulai itik kegemaranku. Namun, dengan berat hati aku menolaknya. Selera aku mati. Selagi mama dan papa tidak memberi kata putus mereka, selagi itulah aku tak mampu nak menjalani rutin harianku seperti biasa.
       “Keputusan papa tetap sama, Yana,” ujar papa tiba-tiba. Aku pantas mendongakkan muka memandang papa dan mama silih berganti.
       “Buat masa sekarang, papa takkan izinkan Yana berkahwin dengan lelaki tu. Habiskan study Yana dulu. Fikirkan masa depan Yana dulu. Lepas tu, kalau Yana nak kahwin, kahwinlah. Papa takkan halang lagi.” Kata-kata papa buat hatiku menangis pilu. Nampaknya papa begitu nekad untuk tidak merestui hubungan aku dan Emir.
        “Tapi papa… Kali ni Yana betul-betul serius. Yana bersedia nak pikul semua tanggungjawab ni. Selagi lelaki tu Emir, Yana sanggup. Tolonglah tunaikan permintaan Yana ni. Yana takkan minta apa-apa lagi dari papa. Please…” Aku pegang tangan papa kemas. Aku takkan mengalah.
Papa langsung tidak memandang wajahku. Sebaliknya dia memandang ke arah mama, bagaikan meminta mama menyampaikan sesuatu. Apa lagi kali ini? Ya Allah…
        “Kalau betul Yana yakin dengan keputusan Yana ni, mama dan papa hanya mampu memberi izin untuk Yana bertunang dulu dengan Emir. Setakat itu aje yang mampu kami restukan. Lepas tamat belajar, bila Yana dah dapat kerja, dengan senang hatinya papa dan mama mengizinkan Yana dan Emir bersatu. Faham sayang?”
Sekali lagi kata-kata mama buat aku terkedu. Bertunang? Adakah itu jalan terbaik untuk aku dan Emir? Masih ada setahun untuk aku tamat pengajian di kolej. Satu tahun bukan satu tempoh masa yang singkat. Macam-macam boleh terjadi dalam tempoh itu. Andai cinta kami tergugat dalam tempoh satu tahun pertunangan itu, adakah itu bermakna aku dan Emir harus melepaskan kebahagiaan kami dengan sebuah perpisahan? Ya Allah… Jika ini satu-satunya cara untuk Engkau kuatkan cinta aku dan Emir, aku mohon Engkau mempertahankan rasa cinta kami sehingga ke akhirnya. Izinkanlah kami bersatu dalam sebuah ikatan yang Engkau redhai. Amin…

*********

       “Bertunang?” Suara Emir kedengaran sedikit terkejut. Ada keluhan diluahnya.
       “Ha’ah. Papa dan mama izinkan kita bertunang dulu. Lepas dah habis belajar, dah dapat kerja, kita terus nikah. Dia orang dah janji. This is good news, right, Emir?” Aku cuba untuk kelihatan ceria walaupun hatiku juga merasa hampa. Setahun kami harus menunggu, harap-harap kami berdua saling setia.
        Good news? Bagi Emir, ini bad news, Suri. Suri masih ada lagi setahun nak tamatkan pengajian. Nak cari kerja lagi lepas tu… Lamanya Suri. Emir tak sanggup nak tunggu lebih lama.” Emir bangun membelakangkan aku. Dia memandang jauh Tasik Titiwangsa yang berada di hadapannya. Mungkin ada sesuatu yang membelenggu hatinya.
Aku berdiri di sebelah Emir. Hampa kurasa apabila belum apa-apa lagi Emir dah nak mengalah. Dia tidak ingin menunggu lama. Tidak mustahil, dalam tempoh satu tahun pertunangan kami, dia tinggalkan aku kerana tak sanggup lagi nak menunggu. Ah… Aku tak boleh fikir yang bukan-bukan. Kesetiaan Emir sentiasa untukku. Dia pasti akan setia. Aku harus percayakan dia.
       “Emir sayangkan Suri tak?” tanyaku sambil menatap wajahnya.
Emir berpaling memandangku. Dia angguk kepala.    “Sayang sangat,” jawabnya perlahan.
       “Kalau Emir sayangkan Suri, tolong terima pertunangan ni. Kita sama-sama lalui satu tahun ni. Kita bukannya berpisah pun. Hari-hari kita jumpa. Hari-hari kita boleh keluar dating pergi jogging. Kan?” Aku tersenyum kecil. Emir ikut senyum. Orang lain berdating pergi tengok wayang, kami pula berdating di taman bunga ni sambil berjogging menyihatkan badan. Cara Emir menunjukkan kasih sayang dia memang pelik. Emir… Emir…
       “Suri janji, Suri akan setia dengan Emir? Janji?” Pertanyaan dari Emir buat hati kecilku terasa ingin menangis. Kenangan lama terimbau kembali di kotak fikiran. Aku dan ‘dia’ juga pernah berjanji dulu. Janji kami, kami akan saling setia dan saling mencintai. Walaupun ketika itu hanya cinta monyet tapi kami berjanji untuk mempertahankan cinta itu menjadi sebuah cinta hakiki dan abadi. Janji tinggal janji. ‘Dia’ tetap pergi tinggalkan aku. Cinta? Setia? Hilang bersama harga dirinya yang terlalu mahal itu. Seandainya aku bertemu dengan Emir dalam keadaan aku dan keluargaku masih lagi dipandang rendah oleh masyarat sekeliling, aku yakin, aku tidak akan menerima kehadiran Emir dalam hidupku. Jauh sekali menyambut salam cintanya. Pengalaman lama mengajar aku apa itu erti harga diri.
       “Suri janji. Suri akan setia dengan Emir… selagi Emir setia dengan Suri…” jawabku sambil memandang tepat ke anak mata Emir.

**********

Kedua-dua belah pihak sudah berbincang menetapkan tarikh pertunangan. Syukurlah papa dan mama kelihatan teruja menguruskan majlis pertunanganku dengan Emir. Mereka menerima kehadiran Emir sebagai bakal menantu dengan hati yang terbuka. Hujung bulan ini, aku dan Emir bakal ditunangkan. Tempoh setahun pertunangan dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sekarang, aku dan Emir sibuk membeli hantaran pertunangan. Masing-masing mula boleh menarik nafas lega. Hilang sedikit rasa ‘sesak’ yang membelenggu jiwa.
Aku masih ralit memilih baju yang bakal aku pakai di majlis pertunanganku nanti. Aku ingat, nak pakai baju kurung moden aje. Dihiasi dengan sulaman tangan yang cantik. Warna kegemaranku menjadi pilihan. Apa lagi kalau bukan warna putih. Majlis bertunang ni ingat nak buat sederhana saja. Emir pun tak suka buat meriah sangat.
       “Emir yang ni cantik tak?” Kupadankan baju kebaya merah jambu yang penuh dengan sulaman dan manic itu ke tubuhku. Aku melihatnya di cermin kaca. Cantik juga baju ni.
       “Emir…” Dari dalam cermin, aku nampak Emir langsung tidak mengendahkan aku. Dia sibuk membaca majalah pengantin. Aku merengus kecil sambil melangkah ke arahnya.
       “Berkenan ke dengan perempuan tu?” soalku seraya merampas majalah dari tangannya. Kurenung tajam wajah model perempuan yang mengenakan busana Muslimah itu. Takdelah cantik sangat model ni. Biasa aje kut.
       “Suri tak terbuka hati ke nak bertudung? Untuk berubah menjadi Muslimah sejati. Hmm?” Tergamam aku tika itu. Mengapa tiba-tiba timbul pertanyaan itu dari mulut Emir? Adakah Emir tidak suka dengan cara aku berpakaian? Terlalu seksi ke? Aku rasa biasa-biasa aje.
       “Kenapa Emir tanya soalan macam ni?” tanyaku agak tak puas hati.
Emir hanya tersenyum. Diambil kembali majalah Pengantin dari tanganku.
       “Sebab bila kita dah kahwin nanti, Emir yang tanggung dosa Suri. Suri tak kesian ke kat Emir. Hmm?” Sungguh aku tak sangka Emir akan berbicara seperti ini. Dia cuba nak kongkong aku? Dia cuba nak ubah gaya penampilan aku? Dia cuba nak ugut aku dengan dosa pahala? Apa ni?!
        “Apa Emir merepek? Kenapa tiba-tiba cakap pasal ni semua?” Kupandang Emir dengan pandangan sentap. Lelaki itu hanya tersenyum.
       “Tak salah kalau kita berubah untuk menjadi lebih baik. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, itulah makhluk yang amat baik.”
Senyuman Emir tidak biasa menenangkan hatiku lagi. Hatiku sakit mendengar dia menyindir-nyindir seperti itu. Sejak bila Emir pandai memberi tazkirah ni? Dia nak tunjuk pandai kat aku? Dia nak tunjuk yang dia tu soleh sangat ke?!
        “Emir tak suka bakal isteri Emir berimej macam ni? Emir nakkan seorang isteri yang tutup seluruh badan? Hah?!” Suara aku mula meninggi. Baju kebaya yang aku pegang segera aku campakkan ke kerusi. Dengan perasaan sentap, aku bangun meninggalkan Emir di ruangan butik pengantin itu. Kuatur langkah menuju ke kereta.
       “Suri tunggu. Suri!” Emir menjerit-jerit memanggil namaku. Aku langsung tidak berpaling. Jangan bercakap soal ini lagi. Aku tak suka dengar!
       “Suri!” Tak sempat aku membuka pintu kereta, Emir pantas menarik tanganku. Dia memaksa aku menghadapnya.
       “Suri, Emir minta maaf. Emir tahu Suri tak suka cakap pasal hal ni. Emir janji, Emir takkan cakap benda ni lagi. Emir terima Suri seadanya seperti Suri terima Emir seadanya. Emir minta maaf. Maafkan Emir…” Pujukan Emir kali ini langsung tidak berjaya buat aku terpujuk.
Dalam sentap  dengan sindiran dan teguran dari Emir, kata-kata lelaki itu juga mula  menimbulkan satu persoalan besar dalam fikiranku. Sampai bila aku harus hidup dengan penuh dosa seperti ini. Adakah selama-lamanya aku takkan berubah menjadi lebih baik? Aku seorang wanita Islam. Sewajibnya aku berpakaian seperti seorang Islam. Tapi,  sejak dari baligh, beginilah cara aku berpakaian. Papa dan mama ada menegurku, namun, aku langsung tidak mahu ambil kisah tentang semua itu. Mak Limah berulang kali menasihati aku agar menutup aurat. Dia cakap, berubah sedikit demi sedikit. Dekatkan diri dengan Allah agar kita nampak dengan jelas tujuan dan motif kita hidup di dunia ini.
Bukankah hidayah itu milik Allah? Dia yang tidak memberi aku hidayah dan petunjuk untuk berubah. Salah akukah?
‘Kau memang salah. Kau tak pernah menadah tangan berdoa kepada Allah agar membukakan pintu hati kau untuk berubah. Kau hanyut dan terus hanyut. Dan sekarang hati kau dah jadi keras. Nasihat yang kau terima kau anggap ia sebagai satu sindiran. Hakikatnya, kau tahu, Yana. Kau tahu yang apa yang kau buat selama ni salah dan berdosa. Kau tahu semua tu…’
Sekuat hati aku menepis tangan Emir. Kutolak tubuhnya ke sisi. Pantas aku membuka pintu kereta dan terus meninggalkan dia keseorangan di situ.
Dalam kereta, aku hanya mampu menangis. Kata-kata Emir bagaikan satu tamparan hebat untukku. Kesedaran mula timbul. Adakah Allah telah memberikan hidayah-Nya kepadaku?  
Benar kata Emir. Apabila kami dah bernikah nanti, dosa aku yang tidak menutup aurat semuanya jatuh ke bahunya. Aku menjadi penyebab kesengsaraan lelaki yang aku cintai merana di akhirat nanti. Andai aku benar-benar cinta, tak mungkin aku sanggup lakukan semua itu pada lelaki yang aku sayang. Itu satu penganiayaan.
Dan aku, lebih lagi akan diseksa oleh Allah di akhirat nanti. Dengan dosa aku yang menggunung banyak, entah bagaimana nasib aku di sana nanti. Ya Allah… kuatkan hati aku untuk berubah. Aku takut dengan segala pembalasan-Mu, ya Allah…
Air mata makin laju menitis. Rasa berdosa mencengkam sanubari. Dosa-dosa yang pernah aku lakukan dulu, satu persatu bermain di fikiran. Mungkin hari ini hari terakhir untuk aku hidup. Aku masih bergelumang dengan dosa. Bagaimana andai aku tidak sempat untuk bertaubat? Adakah selama hidup aku nanti aku akan menjadi penghuni neraka?
Menggigil tanganku saat itu. Aku tak berdaya lagi nak memandu. Terus aku berhentikan kereta di pinggir jalan. Tangisan semakin kedengaran nyaring. Aku tak pernah rasa bersalah seperti saat ini. Aku rasa berdosa sangat. Dan aku mulai rasa ketakutan memikirkan nasib aku di alam kubur dan di hari pembalasan nanti.
“Alluakbar Allahuakbar…” Terdengar saja laungan azan itu, terus aku dongakkan muka. Rupa-rupanya aku berhentikan kereta berhampiran dengan pintu masjid. Allahuakbar. Ini adalah tanda. Ini adalah salam kasih sayang dari Allah yang masih menyayangi aku. Dia ingin melihat aku berubah. Dia masih ingin memberikan kesempatan padaku. Mana mungkin aku sanggup mensia-siakan peluang terbaik ini.
Aku terus melangkah keluar dari kereta. Dengan segala dosa dan penuh penyesalan yang terbuku di hati, aku melangkah masuk ke halaman masjid. Sebelum terlambat, aku ingin memohon taubat dari Allah Yang Maha Mengampuni. Kau ampunkanlah aku, ya Allah… Aku bertaubat kepada-Mu.

************

Sejak pulang dari masjid, aku terus berkurung dalam bilik. Langsung tak keluar-keluar. Fikiranku, hatiku, jiwaku… Masih rasa ketakutan. Andai Allah tidak menerima taubatku bagaimana? Terlalu banyak aurat yang sudah aku dedahkan selama ini.  Aku bangga apabila semua orang, terutama lelaki melihat kecantikan yang aku miliki. Aku lupa, kecantikan itu adalah anugerah dari Allah yang seharusnya aku syukuri bukan untuk aku bangga-banggakan.
Tapi sumpah demi Allah, aku tak pernah minum minuman keras. Apalagi untuk melakukan penzinaan. Memang aku suka pergi ke pub, lepak kat sana, cari mangsa baru untuk dijadikan teman lelaki. Tapi mujurlah Allah masih menyayangi aku. Tak pernah walau sekali aku berzina dengan mana-mana lelaki. Aku bukan perempuan murahan. Aku cuma ‘sesat’ di kehidupan yang penuh cabaran ini.
Dan kehadiran Emir, banyak mengubah aku. Walaupun dia tak pernah memaksa aku untuk berubah, tapi kata-kata dia hari ini buat mata hati aku terbuka terus. Sungguh aku bersyukur mendapat seorang lelaki seperti Emir. Pernah apabila kami keluar bersama, bila tiba waktu solat, Emir meminta diri untuk solat. Aku pula, selalu buat alasan yang aku keuzuran. Ya Allah… berdosanya aku.
       “Ya Allah, ampunkan aku. Ampunkan aku…” Aku berbaring ke katil sambil lidahku tak henti-henti beristighfar. Selama ini, aku terlalu jauh dari Allah. Pergi masjid pun hanya pada hari raya. Sembahyang? Tak pernah cukup lima waktu. Kadang-kadang tak solat langsung. Tapi Allah tetap beri nikmat untukku teruskan hidup. Kalaulah Allah ambil nyawaku ketika aku sedang melakukan maksiat dan dosa, aku yakin, hidup aku takkan selamat di akhirat nanti.
Sedang aku kusyuk beristighfar, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi nyaring. Aku tak terus angkat sebaliknya aku termangu melihat pada skrin telefon. Emir yang telefon. Aku malu nak menjawab panggilannya. Aku tahu, dia nak minta maaf. Dia tak salah. Seharusnya aku yang minta maaf padanya kerana sudah marahkan dia tadi. Niat Emir murni. Dia nak lihat aku berubah.
Beberapa saat kemudian, panggilan itu terputus. Dan muncul pula sms dari Emir. Aku segera membaca isinya.
+ Suri please angkat call Emir. Emir minta maaf.
Aku menangis lagi. Tak Emir. Emir tak salah, bisikku dalam hati sayu.
= Suri perlukan masa untuk bersendirian.
Aku harap Emir faham.
+ Mesti Suri marahkan Emir kan?
= Tak.
+ Habis tu kenapa tak nak cakap dengan Emir?
= Sbb Suri segan. Suri segan dengan Emir.
+ Segan? Kenapa segan? Emir minta maaf.
Terus aku biarkan sms terakhir Emir itu tanpa jawapan. Tiada apa lagi yang nak aku perkatakan. Aku perlukan ruang untuk bersendirian. Bila aku dah tenang nanti, aku sendiri yang akan menghubunginya.
Beberapa minit kemudian, Emir masih lagi menelefon aku. Aku segera meletakkan telefon bimbitku di bawah bantal. Aku ingin melupakan hal dunia buat seketika.Aku ingin menghiasi hatiku dengan pengakuan taubatku pada Allah. Segera kuatur langkah menuju ke bilik mandi. Kuambil wuduk dengan penuh pengharapan agar dosa-dosaku akan gugur dengan setiap titisan air wuduk yang kuambil itu. Selesai wuduk, aku membentangkan sejadah. Aku ingin sekali lagi melakukan solat sunat taubat. Taubat nasuha yang selama ini tak pernah aku lakukan. Kerana keangkuhanku, kerana kebodohanku, kerana kealpaanku… Aku terus hanyut dengan permainan dunia ini. Fitrah manusia memang sangat lemah dan hina di sisi Allah swt. Oleh sebab itu, usahlah kita berlengah untuk bertaubat dan memohon keampunan kepadaNya. Sesungguhnya Allah swt amat gembira apabila hamba-hambaNya memohon taubat dan keampunan kepadaNya. Allah pernah berfirman,

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)

Semoga Allah mengampuni dosa-dosaku. Amin.








No comments:

Post a Comment