Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 12




Beberapa hari berlalu. Aku tidak langsung berganjak dari rumah. Kuhabiskan masa dengan membaca kembali buku-buku agama seperti buku pengajian solat dan buku ilmiah yang lain. Aku mencari kembali diriku yang hilang. Aku benar-benar ingin berubah. Perubahan aku disambut baik oleh papa, mama dan Mak Limah. Mereka gembira dengan transformasi yang aku lakukan. Dan aku mula cuba-cuba untuk bertudung. Tudung pertama yang aku pakai dihadiahkan oleh mama dan Mak Limah. Mereka sebulat suara menghadiahkan aku sehelai tudung auwning berwarna merah jambu. Aku cuba pakai. Mula-mula memang rasa agak janggal. Rasa macam rimas dan lemas. Tapi sekurang-kurangnya aku cuba.
Tidak dapat tidak, perubahan aku yang mendadak ini berlaku di sebabkan oleh Emir. Ya, memang hidayah milik Allah. Namun Dia mengirimkan hidayahNya itu melalui perantaraan Emir. Terima kasih Emir.
Sayangnya, Emir masih belum nampak perubahan aku ini. Selama beberapa hari ini aku menjauhkan diri darinya. Aku malu nak berdepan dengan dia. Aku takut, aku takut Emir menuduh aku tidak ikhlas untuk melakukan perubahan ini. Tapi bukankah seharusnya dia bergembira. Dia yang menginginkan aku menutup aurat.
       “Yana…” Panggilan papa buat aku terjaga dari lamunan kecilku. Pantasku tutup buku agama yang sedang aku baca dan kuhadiahkan sebuah senyuman kasih sayang untuk papa.
Papa duduk di sebelahku. Dia menggenggam tanganku tiba-tiba. Pandangannya yang memandangku sukar untuk dimengertikan.
       “Selama ni, papa gagal mendidik Yana dengan betul. Papa sibuk dengan business hingga abaikan tanggungjawab papa mendidik Yana dengan ilmu agama yang cukup. Maafkan papa  sayang…” Papa tertunduk penuh bersalah. Tak sanggup untuk aku melihat papa dalam keadaan seperti itu.
       No, pa. Papa dah didik Yana dengan ilmu agama yang cukup. Yana ni aje yang degil tak nak dengar kata. Yana dah buat papa menanggung dosa yang banyak. Maafkan Yana, ya, pa? Yana harap, papa doakan perubahan Yana ni berkekalan.” Aku cuba untuk tidak menitiskan air mata. Kalau pun ada air mata nak dijatuhkan, sudah pasti itu adalah air mata kesyukuran dan kegembiraan yang tidak terhingga.
       “Doa papa sentiasa mengiringi anak kesayangan papa ni. Yana semakin cantik bila bertudung. Pasti Emir bertambah sayang nanti.”  Papa tersenyum nipis. Aku juga ikut senyum.
       “Papa malu pada Emir. Dia mampu mengubah Yana dengan kasih sayang dia yang tulus ikhlas. Itu tandanya dia seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab dan benar-benar ingin menjadikan Yana suri di hatinya… dunia dan akhirat...” Kata-kata papa terhenti di situ. Aku hanya diam mendengar ucapan papa. Kelihatannya ada sesuatu yang ingin papa sampaikan padaku.
        “Papa dah buat keputusan. Majlis pertunangan Yana dan Emir akan dibatalkan.” Aku terkesima mendengar berita mengejut ini. Dibatalkan? Kenapa?!
Papa menggamit tanganku erat. Aku bingung menanti papa berkata-kata. Tak mungkin papa nak memungkiri janji!
        “Tak payah tunang. Papa yakin, Emir mampu bahagiakan anak papa dalam sebuah rumahtangga yang bahagia. Papa izinkan kamu berdua bernikah. Tak payah tunggu setahun. Bulan depan, papa akan nikahkan kamu berdua.”
Ya Allah… Benarkah apa yang aku dengar ni? Papa nak kahwinkan aku dengan Emir? Benarkah? Atau aku sedang bermimpi?
       “Papa…” Tangan papa terus aku kucup. Terima kasih atas restu yang sangat bermakna ini. Ini adalah hikmah terbesar di sebalik penghijrahanku. Aku sangat gembira. Sumpah aku sangat gembira. Alhamdulillah syukur ya Allah. Akhirnya, impian aku untuk bersatu dengan Emir dalam ikatan yang sah telah diredhai oleh Allah.
Emir perlu tahu berita gembira ini. Pasti dia akan sangat gembira nanti. Segera aku meminta diri. Aku perlu bertemu dengan Emir sekarang jugak!
       “Papa, Yana nak keluar kejap. Nak jumpa Emir. Nak beritahu dia berita gembira ni.” Aku bangun dari kerusi. Tangan papa sekali lagi aku kucup penuh hormat. Setiba di kaki tangga, sekali lagi aku bertanya satu soalan untuk papa.
       “Papa tak main-main, kan? Hmm?” Soalan dariku buat papa tersenyum.
      “Tak sayang. Papa ikhlas. Papa redha untuk melepaskan Yana pada Emir. Semoga berbahagia sayang.” Air mata gembira tidak mampu dibendung lagi. Berita gembira yang mengejut ini benar-benar kurasakan sebuah rahmat dari Ilahi.

**********

Aku melangkah dengan penuh debaran di hati. Kali ini, pertemuan kami tidak lagi di taman bunga tapi di tempat awam yang lebih ramai orang. Kalau di taman, mungkin akan menimbulkan fitnah. Aku dah tak sanggup nak berdepan dengan dosa. Sudah terlalu banyak dosa yang aku tanggung selama ini.
Sesampai di restoran yang dijanjikan, aku terus mencari tempat duduk kosong. Namun, sedang anak mataku meliar mencari tempat duduk, aku terpandang wajah seseorang yang amat aku rindui. Seminggu tak jumpa, rasa rindu meruntun jiwa.
Dengan penuh debar, aku melangkah ke arah Emir yang sudah berdiri di meja makan yang terletak tidak jauh dari kaunter. Dia berdiri sambil tercengang melihat aku. Adakah dia terkejut melihat keadaan aku yang sudah bertudung litup dan berjubah seperti ini? Pasti dia terkejut.
       “Assalamualaikum. Awal Emir sampai hari ni.” Aku cuba untuk buat seperti biasa. Walhal, keadaan antara kami mulai janggal. Seperti kami berdua baru pertama kali bertemu. Masing-masing kelihatan kekok.
       “Wa-waalaikumusalam. Suriyana?” Aku tersenyum sambil angguk kepala.
       “Subhanallah. Emir hampir tak cam. Duduk, Suri.” Emir menarik kerusi untuk aku duduk. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Mataku meliar tanpa dapat membalas renungan matanya lagi. Aku dah segan nak pandang anak mata hazelnya itu.
Emir masih tidak melarikan matanya dari menatap wajahku. Aku jadi tak selesa. Alamak… rasa macam baru first time datinglah pulak.
       “Sejak bila Suri bertudung?” Itulah soalan pertama dari Emir setelah seminggu kami tidak bertemu. Sebenarnya, Emir ada datang ke rumah mencari aku. Dia nak jumpa aku tapi aku menolak. Aku langsung tak keluar jumpa dia. Hingga papa dan mama ingat kami gaduh. Kami bukan bergaduh, cuma aku aje yang tak sanggup nak jumpa dengan dia dalam keadaan aku masih bermuhasabah diri.
       “Sejak peristiwa hari tu,” jawabku perlahan. Sesekali mataku mengerling memandang wajah kacak Emir. Sungguh aku rindu padanya.
       “Emir minta maaf pasal hari tu. Emir… Emir bukan…”
       “Tak, Emir. Emir tak salah. Dah berapa kali Suri cakap Emir tak salah. Kata-kata Emir buat Suri tersedar. Keinginan Emir untuk melihat Suri bertudung, menutup aurat, buat Suri berfikir. Hidayah ni datang melalui Emir. Terima kasih Suri ucapkan. Emir dah ubah Suri.” Aku berhenti buat seketika. Emir pula hanya diamkan diri apabila aku kembali ingin menyambung kata. Dia sentiasa menjadi pendengar yang setia.
       “Selama ni, semua lelaki yang pernah jadi teman lelaki Suri tak seorang pun pernah nasihatkan Suri untuk berubah. Mereka bangga dan seronok melihat kecantikan yang Suri miliki. Mereka suka tengok Suri berpakaian seksi. Mereka langsung tak kisah. Tapi Emir lain… Emir sangat istimewa. Emir bukan setakat cintakan Suri, tapi Emir juga tak sanggup nak terus tengok Suri tanggung dosa. Suri…” Tak semena-mena air mata hangat menitis jatuh ke pipiku. Aku tertunduk menangisi dosa-dosa yang pernah aku lakukan.
Sekarang baru aku sedar. Dan aku yakin, Emir dah lama mentarbiahkan aku. Aku saja yang tak nampak semua tu. Patutlah Emir tidak suka untuk bersentuhan dengan aku. Apa lagi nak berpegangan tangan seperti couple-couple yang lain. Keluar malam pun Emir tak suka. Dia lebih gemar melepak di perpustakaan. Dengan aku-aku sekali yang kena ikut dia lepak kat sana. Dia menjaga aku, dia mendidik aku untuk menjadi seorang wanita yang lebih baik. Aku saja yang tak perasaan semua tu. Patutlah aku sangat sayang pada dia. Dia lelaki terbaik yang Allah kirimkan untuk membahagiakan hidupku. InsyaAllah.
       “Jangan menangis Suri. Emir gembira sangat dengan perubahan Suri ni. Dulu, Suri ubah Emir untuk lebih yakin dan tak lagi jadi lelaki nerd. Sekarang, Suri pulak yang berubah menjadi Muslimah yang lebih baik. Alhamdulillah. Allah masih sayangkan kita, kan?” Emir menghadiahkan aku senyuman menawan miliknya. Jelas terpancar di wajahnya kegembiraan dan kesyukuran dengan apa yang telah berlaku dalam hidup kami berdua. Aku perlu beritahu dia satu lagi berita gembira. Pasti dia akan menangis kegembiraan apabila mengetahui berita itu.
       “Emir… Suri ada sesuatu nak beritahu Emir. Sesuatu yang selama ni Emir harap-harapkan. Impian kita bersama…” ujarku penuh makna. Aku pandang mukanya untuk seketika. Melihat dia bersedia mendengar ucapanku yang seterusnya, aku segera menyambung kata. Tak sabar aku nak lihat reaksinya.
       “Papa nak batalkan pertunangan kita,” ucapku sebaris. Aku menanti reaksinya.
Jelas Emir kelihatan sangat terkejut. Dia merenungku kebingungan.
       “Batalkan? Kenapa?!” Tiba-tiba suara Emir melantun tinggi. Terperanjat aku dibuatnya.
       “Dibatalkan sebab dia nak satukan kita dalam sebuah perkahwinan yang sah. Kita tak perlu bertunang.  Kita terus nikah. Papa dah bagi restu, Emir. Dia dah restu…” Barulah wajah Emir berubah ceria.
       “Suri tak main-main, kan?”
      “Takkan pernah.”
       “Ya Allah… Alhamdulillah… Emir macam tak percaya. Betul ni? Jadi, bulan depan kita nikah. Betul?” Aku angguk kepala dengan yakin. Aku gembira apabila melihat Emir gembira.
Insya-Allah kalau tak ada aral melintang, aku dan Emir bakal dijodohkan bulan depan. Moga-moga hari itu bakal aku lalui dengan penuh rasa syukur dan gembira. Episode baru bakal bermula. Kehidupan baruku setelah mendirikan rumahtanggga dengan lelaki yang amat aku cintai. Aku berjanji, perasaanku, cintaku, maruahku… semuanya milik Emir. Aku takkan berfikir lagi mengenai cinta lamaku dengan ‘si dia’. Mungkin sekarang, si dia juga sedang bergembira dengan kehidupannya. Sayonara cinta pertamaku. Aku tidak akan mengingatimu lagi. Namun, aku yakin. Kenangan cinta pertama yang tercipta antara aku dan Emriz takkan pernah aku lupakan sampai bila-bila. Anggaplah itu satu penghargaan untuk dia yang pernah muncul menceriakan hidupku dulu. Emriz Asyraf. Lelaki pertama yang mengajar aku erti cinta dan rindu. Ku Emir Affan. Lelaki terakhir yang bakal aku cintai setulus hatiku. Tanpa ragu.


No comments:

Post a Comment