Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 13



“Aku terima nikahnya Intan Suriyana binti Razlan dengan mas kahwin sebanyak  tiga dinar tunai.” Dengan sekali lafaz, aku akhirnya sah menjadi suri di hati Ku Emir Affan. Alhamdulillah. Terima kasih, ya Allah… Kekalkanlah jodoh kami berdua hingga ke akhir hayat kami. Amin…
       “Tahniah, Yana. Selamat pengantin baru,” ucap Sofiya seraya memeluk tubuhku erat. Aku tak mampu berkata-kata. Sungguh aku merasa sangat gembira. Segalanya berjalan dengan lancar. Semua berlaku dalam sekelip mata. Aku jumpa dengan Emir, aku bercinta dengan dia dan sekarang aku berkahwin dengan dia. Macam bermimpi aje. Aku baru 19 tahun kut.
       “Selamat pengantin baru, Yana. Aku happy sangat tengok bff aku kahwin hari ni. Akhirnya… kau temui pelengkap tulang rusuk kau.” Kali ini Suzi pula yang mendakap tubuhku. Kami bertiga saling berpelukan.
Melihat pengantin lelaki mula bangun dari tempat duduk, kami segera merungkaikan pelukan. Emir melangkah ke arahku dengan senyuman yang cukup indah. Malu-malu aku membalas senyuman dan pandangan nakalnya itu.
       “Assalamualaikum…” ucap Emir sejurus menghampiriku. Aku menjawab salam pertamanya sebagai suamiku dengan suara perlahan. Lensa kamera semakin galak merakam detik bahagia kami. Ramai tetamu yang hadir di majlis pernikahan yang kami lakukan di rumah aku ini. Kaum keluarga, sahabat handai, semua bersatu demi menyaksikan penyatuan cinta aku dan Emir.
Cincin yang sudah tersedia di tempat hantaran diambil Emir. Dia bersedia menyarungkan cincin itu ke jari manisku. Agak menggigil aku menghulurkan tangan ke arahnya. Dengan lafaz Basmalah, Emir menyarungkan cincin permata itu ke jariku. Aku segera mengucup tangannya.
Tanpa kata, aku pula yang menyarungkan cincin ke jari manisnya. Sebagai balasan, Emir mengucup dahiku lama. Semakin bergemerlapan lensa kamera menyerbu ke muka kami. Rasa macam artis pun ada.
Papa dan mama yang berada di sebelahku, kelihatan cuba menahan tangisan kegembiraan mereka. Terima kasih, pa, ma. Terima kasih kerana sudi merestui hubungan Yana dan Emir.
Aku pandang pula ke arah Mak Limah. Dia juga kelihatan menangis gembira. Hanya seorang saja yang tak ada kat sini. Kakak sulungku, Suraya Hanim. Dia tak dapat bersama-sama kami semua. Dia sekarang sedang menghadapi peperiksaan akhir. Kadang-kadang terlintas di benakku. Kak Su bagaikan sengaja menjauhkan diri dari kami semua. Mungkin ia di sebabkan oleh krisis yang pernah melanda Kak Su dan Mak Limah suatu ketika dulu. Entahlah. Aku mendoakan yang terbaik untuk keluargaku. Moga-moga kami dapat bersatu kembali dengan penuh gembira. Amin.
     “Izinkan Emir…” Suara perlahan Emir yang menyapa ke telingaku buat aku terbangun dari lamunan. Mengerti dengan maksud Emir, aku hanya mengizinkan dia meletakkan tangan kanannya ke atas ubun-ubunku. Sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, selesai majlis akad nikah, elok si suami membacakan doa sambil meletakkan tangan ke atas ubun-ubun isteri.
    Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan 
segala yang Engkau ciptakan pada dirinya. Dan aku berlindung 
kepada-Mu daripada keburukannya dan segala keburukan yang Engkau ciptakan pada dirinya.”
Aku mengaminkan doa Emir itu dalam hati. Semoga Allah memberi redhaNya terhadap kami berdua. Amin.
      “Emir, duduklah rapat sikit dengan Yana. Kami nak ambil gambar ni.” Selesai membaca doa itu, terus Sofiya bersuara menggamatkan suasana. Aku hanya tersenyum bahagia. Melihat Emir malu-malu untuk duduk dekat denganku,  segera kucapai tangannya. Dengan isyarat mata, aku minta dia duduk rapat denganku. Nasib baik dia faham.
Kami berdua mengambil gambar dengan ahli keluarga yang lain. Dengan kawan-kawan, dengan sanak saudara. Sekarang baru perasan, adik Emir,  Adawiyah juga tak kelihatan dalam majlis ini. Takkan dia tak datang kut.
       “Ada mana, Emir? Dia tak datang ke?” tanyaku pada Emir apabila tetamu mula memberi ruang kepada kami berdua untuk berehat buat seketika dari bergambar.
Emir hanya gelengkan kepala.  “Dia sibuk kut. Biarlah. Yang penting, ibu ada. Ibu gembira sangat hari ni. Ibu cakap, sayang cantik sangat hari ni.” Panggilan ‘sayang’ yang meniti di bibir Emir berjaya buat bulu romaku menegak. Ayoyo… First time Emir panggil aku sayang. Terasa cukup bermakna.
       “Terima kasih. Terima kasih sebab membahagiakan hidup Suri. Membahagiakan papa dan mama Suri. Suri cintakan Emir. Selamanya…” Buat sekian kalinya aku kucup tangan Emir. Sungguh aku rasa terharu dengan apa yang aku lalui hari ini. Terlalu indah. Bagaikan mimpi…
Emir memegang tanganku kemas. Dia meletak tanganku di dadanya.
       “Dalam hati Emir ni, hanya ada Suri. Terima kasih sebab sudi menjadi suri di hati Emir… Suri di hatiku.” Emir menghadiahkan kucupan penuh kasih sayang pada dahiku. Saat itulah muncul Sofiya dengan lagak kepohnya.
        “Ehem-ehem. Okey-okey. Pose macam nilah yang aku nak ni. Stay macam tu. Aku nak ambil gambar ni.” Sofiya segera mengeluarkan telefon bimbitnya.
Aku dan Emir saling berpandangan sambil tertawa kecil. Erat tangan Emir menggenggam tanganku. Cinta dan kasih sayang kami bersatu dalam sebuah ikatan yang diredhai Ilahi. Syukur Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar.









No comments:

Post a Comment