Tuesday, 1 March 2016

UNTUK SEKALI LAGI - BAB 3



“Rekodnya setakat ini memang sangat bersih Mak Engku. Latar belakang keluarga yang amat sederhana, tapi, amat bahagia. Dia jadi anak yatim piatu disebabkan nahas jalan raya yang meragut nyawa kedua ibu bapanya. Waktu itu, dia masih lagi dalam semester pertama di universiti. Cik ini tidak ada sebarang perkaitan dengan mana – mana lelaki sejak sekolah menengah, zaman universiti, malahan sewaktu sedang berkerja ini. Sekurang – kurangnya tidak ada yang serius, walaupun menurut siasatan saya cik ini boleh tahan popular di kalangan lelaki.”

Engku Junaidah cuma mengangguk – angguk. Telinga masih tekun mendengar laporan Malek Reduan.

“Ramai juga yang ingin cuba memikat, tapi, tidak kesampaian. Budak ini kelihatan pandai membawa diri, sangat berdikari, walaupun tidak ada sesiapa lagi dalam hidupnya. Orangnya juga bijak, pelajarannya bagus. Kerja dengan Tuan Hud walaupun baru sahaja tapi dapat pujian daripada pegawai – pegawai penyelia. Tinggal menyewa dengan beberapa orang rakan dari zaman universiti. Boleh tahan cantiknya Mak Engku! Cuma satulah saja, hidupnya macam kera sumbang, tidak berapa bergaul kecuali dengan beberapa rakan dari universiti dan rakan sekerjanya.”

Engku Junaidah mengangguk – angguk lagi tanda faham. Foto di tangan ditatap asyik. Betul kata Malik Reduan, manis orangnya. Walaupun tidaklah sejelita Saffiya Safwa, tapi, Rose Raihanah ini tidak kurang juga rupa parasnya. Padanlah juga dengan cucunya, Hud Daniel. Inilah agaknya wanita yang bakal lahirkan cicit aku nanti!

“Bagus, Malek. Aku mahu kau teruskan siasatan ini. Jangan lupa, perhatikan juga gelagat si Saffiya Safwa itu.”

Tak apa akan diteruskan siasatan ini, biar puas hati! Jangan dapat lagi menantu serupa hantu macam Saffiya Safwa! Hasil siasatan ini akan dikongsi bersama menantunya Datin Zara, mesti Zara pun teruja nak tahu siapa wanita pilihan Hud kali ini. Tidak putus – putus Engku Junaidah berdoa semoga perkahwinan Hud Daniel kali ini penuh keberkahan dan bakal memberinya cucu menantu yang baik, tidak lupa melahirkan cicit yang ramai, bakal menjadi peneman dan mewarnakan lagi hari – hari tuanya dengan warna – warna bahagia!

Aaminn...

####

“Assalamualaikum, Tok, mummy, selamat pagi!”

“Waalaikumsalam.”

Erk!

Wah... Buntang mata Engku Junaidah melihat juadah yang tersedia untuk sarapan pagi itu. Datin Zara sempat bertukar senyum dengan ibu mertuanya. Senang hati disua dengan senyum manis dan ramah mesra menantu baru.

“Ni semua Rose buat?”

“Yelah Tok, Rose yang buat sendiri, ni je yang Rose pandai, maaf ye Tok kalau tak kena dengan selera Tok, lain kali Tok bagitau je Tok nak makan apa, mummy pun sama ye? Rose cuba untuk sediakan,” jawab Rose Raihanah ikhlas.

Tangan kanan spontan meraih lengan Engku Junaidah, sementara yang kiri pula menarik lembut lengan Datin Zara. Ini baru menantu pilihan! Sempat juga Datin Zara mengangkat kedua ibu jari tangan isyarat bagus untuk Rose Raihanah.

Wow! Macam ni, larilah diet kita kan mak? Dah ada tukang masak special ni?” seloroh Datin Zara mesra.

“Diet tak diet, mak dah lapar jom makan!”

Semacam lipas kudung aksi Rose Raihanah menyediakan sarapan pada pagi itu. Almaklum, hari pertama bangun pagi sebagai menantu, wajiblah tunjuk rajin sikit! Mujur ilmu masakan di dada cukup untuk tidak mendapat malu. Setakat masak nasi lemak, sambal sotong, ayam goreng rempah, sediakan roti bakar bersama mentega dan jem, siap sekelip mata!

Erk! Kuih – muih dua tiga jenis tu memang beli je lah, jangan nak mengarut mengaku buat pulak, wahai Rose Raihanah, nampak sangat menipunya!

“Rose tu penat, baru semalam nikah. Jadi pengantin baru. Kenapa tak mintak tolong pembantu rumah?”

“Alaa... Bukan susah sangat pun, mummy. Biarlah Rose buat. Kasi can Mak Tam dengan Kak Leha rehat atau buat kerja yang lain!” selesai menuang air kopi untuk Engku Junaidah dan English Breakfast Tea untuk Datin Zara, Rose Raihanah bangkit dari kerusinya.

“Nak ke mana tu Rose?”

“Kejutkan abang, tadi Rose turun bawah, abang belum bangun tidur lagi, mummy,

Mata Engku Junaidah dan Datin Zara tunak menghantar Rose Raihanah menuju ke tangga.

“Alhamdulillah. Kalau terus begini gaya, bolehlah kita tarik nafas lega ya mak? Dah ada orang yang boleh jaga Hud dengan baik. Tak pernah – pernah kita rasa air tangan menantu dalam rumah ni, kali ni ada rezeki pulak!” tanya Datin Zara sambil menyuap nasi lemak ke dalam mulut. Sedap! Cukup lemak dan rasa.

“Yelah! Kalau nak harapkan si Saffiya Safwa tu, mau kebulur engkau Zara nak menunggu nasik! Makan pun asyik makanan barat je, pun begitu bukan dia yang masak, boleh pulak dia order delivery McDonalds untuk kita bila minta dia sedia sarapan! Tak semenggah betul! Kita doakan ajelah biar panjang jodoh Rose dengan Hud, mak tengok baik betul layanan budak Rose tu dekat Hud. Panggilan dia dekat Hud pun lembut je, sejuk hati mak ni dengar! Budak Rose tu pun ramah orangnya, lawak pun iya jugak!”

Engku Junaidah sempat mengimbau kisah pada hari pernikahan Hud Daniel dengan Rose Raihanah yang berlangsung semalam. Telatah cucu menantunya itu memang tidak pernah menghampakan hati tuanya.

####

Semua pihak bersetuju pernikahan Hud Daniel dan Rose Raihanah ini akan dijalankan dengan sederhana. Hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang dijemput. Majlisnya akad nikah akan diadakan di masjid, diikuti dengan kenduri tertutup di banglo tiga tingkat kediaman keluarga Hud Daniel itu.

Pihak Rose Raihanah hanya diwakili oleh keluarga Pak Mail, jiran sekampung Rose Raihanah yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri, dan juga Yani Jameela, sahabat baiknya dari zaman universiti, yang datang jauh dari negeri di bawah bayu, Sabah. Atas permintaan Hud Daniel, perkahwinan ini harus dirahsiakan daripada pengetahuan semua orang dari Synergy Power Corporations. Tidak dinyatakan mengapa, Hud Daniel hanya mahu semua orang menerima keputusannya.

Rose Raihanah hanya akur. Tahu diri sahaja, Rose!

“Psst! Kau rasa betul tindakan aku ni, Yani?”

“Apa ni pompuan, aku dah siap – siap lawa datang dari jauh ni, ko jangan nak buat lawak super spontan pulak tanya – tanya soalan uji akal ni!” Rose Raihanah tersengih – sengih mendengar kata – kata sahabatnya itu.

“Tak boleh ye? Habis nak buat lawak camner? Lawak bodoh boleh?”

“Yang bodoh tu engkau! Tak payah nak buat lawak sangatlah pompuan. Aku rasa ko sorang je pengantin kat dalam dunia ni rancak bagai borak tengah – tengah majlis nikah sendiri, hoi! Baik ko fokus ngan kadi tu, sikit masa lagi dah nak start tu!”

“Psst! Yani. Kau rasa, Sarinah bagi tak aku hidup lagi, kalau dia tahu aku nikah secara rahsia macam ni, sembunyikan status aku daripada semua orang, termasuk dia? Kau rasa dia cekik tak batang leher aku?”

“Confirm!”

“Hah? Kau janganlah takutkan aku, wei!”

“Syush!” Sudah beberapa kali Mak Lijah, isteri Pak Mail yang sudah seperti mak sendiri kepada Rose Raihanah, memberi amaran dengan kedua – dua anak dara itu. Bising ya, ampun! Tertoleh – toleh kepala jemputan yang hadir, mencari tuan empunya suara yang konon berbisik tapi suara sikit lagi boleh jadi tukang lelong kat pasar!

Selamba saja Rose Raihanah mengangkat dua jari ‘peace’ kepada Mak Lijah. Tersenyum –senyum kambing Rose Raihanah dan Yani Jameela apabila rasa diri jadi perhatian.

Hud Daniel yang sedang duduk bersila menghadap tok kadi menyembunyikan senyum. Telinganya dapat menangkap dengan baik bebelan Mak Lijah kepada dua anak dara itu. Bakal isterinya itu memang penuh dengan kejutan. Walaupun baru saja berkenalan, ada – ada saja telatahnya yang mencuit hati. Macam mana hati mahu menolak kenyataan? Kenyataan yang sedikit sebanyak terhibur jugak hati ini kerana seorang Rose Raihanah!

Mulut Rose Raihanah itu boleh tahan riuh kalau berborak dengan sahabat baiknya Yani Jameela. Tidak kira lah walau di mana sekalipun. Kadang – kadang macam pasangan debat, kadang – kadang macam sedang berbalas pantun! Tidak kira di rumah, di butik pengantin sewaktu sedang mengukur baju nikah, di dalam hotel 5 bintang sewaktu hendak buat tempahan katering, dalam kereta, malahan sekarang dalam masjid tengah menunggu saat ijab dan kabul pun boleh juga jadi medan pertempuran mulut mereka berdua.

Terserlah personaliti Rose Raihanah yang sebenar. Nampak pendiam, konon kera sumbang, tapi, kalau kena dengan orang yang betul tak berhenti mulutnya berkicau!

“Ehem! Baiklah, sebelum kita mula, kita kenalah tanya dulu pengantin perempuan setuju ke tidak nak dinikahkan dengan Encik Hud Daniel bin Hail Iskandar ni? Err... Cik Rose Raihanah binti Razlan, kan? Cik setuju dinikahkan dengan Encik Hud Daniel bin Hail Iskandar tanpa sebarang paksaan?” Tanya tok kadi tanpa berlengah lagi.

Tumpuan terus diberi kepada Rose Raihanah, si pengantin perempuan yang begitu jelita mengenakan busana moden berwarna putih krim. Rambutnya yang ikal itu, dilepas bebas di atas bahu sebelah kiri. Wajahnya hanya dioles dengan mekap yang tipis. Itu adalah permintaan Rose Raihanah sendiri, tidak mahu wajahnya bertukar menjadi orang lain, biar saja nampak semulajadi.

“Setuju, tok!” Jawab Rose Raihanah dengan agak jelas dan kuat, malah terlalu kuat hingga bergema suaranya di ruang masjid itu.

“Wah! Semangat betul pengantin perempuan kita ni nak kahwin ye? Untung pengantin lelaki. Ehem!” Seloroh tok kadi lagi.

Serentak dengan itu pinggang Rose Raihanah disiku oleh Yani Jameela. Ya! Allah, pompuan ni, buat malu betul! Pecah gelak tetamu – tetamu yang hadir. Engku Junaidah dan Datin Zara sempat berbalas senyum. Hud Daniel pula hanya mampu menggeleng kepala, this is going to be very interesting!

Matanya mencuri pandang wanita yang sedikit masa lagi bakal menjadi miliknya, bakal menjadi ibu kepada anak – anaknya kalau diizinkan Allah! Tidak disangka pandangan itu bertembung dengan mata Rose Raihanah yang tersenyum simpul kepadanya sambil mengangkat dua jari ‘peace’nya.

Aduhai! Keluar juga sengih Hud Daniel.

####

Ingatan di pagi hari pernikahan terhenti begitu sahaja, Ada senyum yang tersungging di bibir. Tidak ada yang sedar dengan kehadiran Hud Daniel di sebalik dinding batu ruang makan itu. Masing – masing sibuk mengisi perut. Sejuk hati Hud Daniel melihat layanan baik yang diberikan oleh Rose Raihanah kepada dua wanita yang sangat penting di dalam hidupnya.

Timbul juga kesal mengenangkan suasana hangat penuh dengan kasih sayang itu diakui tidak pernah wujud di antara Saffiya Safwa, Tok dan mummynya. Suasana yang selalu wujud antara tiga wanita itu, hanyalah suasana tegang penuh dengan sindiran dan kata – kata yang menyakitkan hati dan telinga masing – masing.

Hmm... Hud Daniel melepaskan keluhan tanpa sedar. Entah mana perginya Saffiya Safwa hingga ke hari ini, diikut rajuk dan amuknya hanya sempat menitip pesanan ringkas ke telefon bimbit Hud Daniel, menyatakan yang dia ingin bercuti ke luar negara dan tidak akan hadir di majlis perkahwinan Hud Daniel dan Rose Raihanah.

“Abang!”

“Erk?” Terhenti lamunan Hud Daniel, pandangan berkalih ke wajah Rose Raihanah yang sedang berdiri menguntum senyuman kepadanya.

“Jom, sarapan! Rose ada masak nasi lemak pagi ni. Tok dan mummy dah tunggu kat meja.” Ujar Rose Raihanah sambil dengan selamba memaut erat lengan suaminya itu.

Nasi lemak? Masak? Saffiya Safwa tidak pernah masak apapun untuk dia, fikir Hud Daniel.

“Abang ni, cepatlah, Rose lapar ni tunggu abang dari tadi tak turun – turun!”

Tunggu? Saffiya Safwa tidak pernah sekalipun menunggunya untuk bersarapan bersama – sama, waktu sarapan untuk Hud Daniel adalah waktu tidur untuk Saffiya Safwa. Hmm...

“Rose dah bancuhkan kopi ‘O’ kosong takde gula untuk abang. Walaupun rasanya takdelah macam Starbucks, tapi bolehlah tahan jugaklah. Abang punya kesukaan kan? Alaa! Rose tau, Rose dah tanya Mak Tam tadi.”

Hud Daniel tertanya – tanya lagi, pernah atau tidak selama sepuluh tahun perkahwinannya dengan Saffiya Safwa, isteri pertamanya itu bertanya tentang apa yang menjadi kesukaannya. Setahu Hud Daniel, soalan itu sering dia yang tanyakan Saffiya Safwa. What do you like for your birthday present this year? What do you like me to buy from Paris? What do you want to have for our anniversary? What itu, what ini.

Kenapa terlalu berbeza diri kedua wanita ini? Perbezaan yang membuatkan akal Hud Daniel terus membanding – bandingkan keduanya. Kenapa Saffiya Safwa, wanita yang dinikahi kerana cinta selama sepuluh tahun itu, sedikitpun tidak dapat menjadi seperti yang diharapkannya sebagai seorang isteri? Sedangkan Rose Raihanah, wanita yang baru saja dikenalinya, boleh jadi begitu hampir menjadi wanita yang diidam olehnya untuk seorang isteri!

Hud Daniel! What ever happened to your words “...walaupun saya tidak harapkan perkahwinan hanya sebuah hubungan di atas kertas, namun tidak akan wujud hubungan hati yang akan terjalin, kerana cinta saya hanya untuk isteri saya Saffiya Safwa...?”

Hud Daniel tiba – tiba rasa keliru dengan kata – kata yang pernah dituturkannya sendiri, kerana Hud Daniel akui sudah mula rasa sesuatu menggebu dalam jiwa dan sanubarinya untuk wanita bernama Rose Raihanah! 

####

Leka Rose Raihanah menyeterika pakaian suami dan diri sendiri untuk dipakai berkerja. Lima helai kemeja, lima helai seluar slack, dan lima pasang baju kurung kain kapas Rose Raihanah sediakan sekaligus. Rajinnya anak Pak Lan ni!

Amboi, puji diri sendiri Rose? Dah takde keje lain?

“Rose...”

Rose Raihanah menoleh ke belakang, memandang Hud Daniel yang hanya berbalut dengan tuala badan. Kening dijungkit dan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya, dihadiahkan dengan seikhlas hati. Haisy! Seksi pulak laki Rose Raihanah ni!

“Eh! Apasal pulak Rose yang buat kerja – kerja ni? Kenapa tak mintak bantuan dari pembantu?” Terperanjat juga Hud Daniel melihat Rose Raihanah yang ralit menyeterika itu.

“Takpe, Rose yang nak buat sendiri. Rose nak semua hal makan pakai abang, atapun apa yang berkaitan dengan abang biar Rose yang buat. Tuan Hud Daniel suami Rose Raihanah, bukan suami Mak Tam ataupun Kak Leha!”

Aduhai! Rasa bahagia dilayan sebaik ini. Sedikit pun Hud Daniel tidak menjangka perkahwinannya yang kedua ini seolah – oleh memberi nafas segar dalam kehidupannya. Baru seminggu berkahwin, macam – macam perkara baru Rose Raihanah bawa ke dalam banglo ini. Solat berjemaah di ruang solat rumah. Ketika tiba waktu sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam, Rose Raihanah sentiasa pastikan semua mesti ada di atas meja makan, selagi tidak ada apa – apa halangan.

Malam minggu lalu, siap ajak Tok, mummy dan Hud Daniel sendiri bersiar – siar kemudian menonton wayang! Yang pelik, tidak pula Engku Junaidah dan Datin Zara menolak. Dilayankan saja perangai Rose Raihanah  itu. Wayang pulak cerita Harry Potter and The Half Blood Prince! Merengek – rengek Rose Raihanah memujuk Hud Daniel untuk ikut sama menonton wayang. Siap dengan bangga bercerita kehebatan filem tersebut dan bagaimana Rose Raihanah tidak pernah tertinggal mengikuti filem – filemnya selama beberapa tahun ini.

Ada – ada saja perangai Rose Raihanah yang tidak gagal mengkagumkan Hud Daniel.

“Rose.” Panggil Hud Daniel sedar dari lamunannya. 

“Hah?”

Hud Daniel mengurut tengkuk yang agak tegang, rasa lenguh – lenguh di badan hampir saja hilang selepas berendam di tab mandi.

“Tahu kan, kita kena sembunyi dulu pernikahan ni dari pengetahuan semua di Synergy Power?”

Rose Raihanah angguk kepala, senyuman pudar sedikit demi sedikit. Yalah... Keje pembantu je pun... malu kot CEO nak mengaku isteri? Isteri kedua pulak tu. Patut, kalau nak mencari yang kedua, mestilah lebih vass dan vogue? Setakat Rose Raihanah, budak kampung! Uwek! Ejek Rose Raihanah kepada diri sendiri.

“Bukan nak rahsiakan terus. Tapi, masa perlu sesuai juga untuk sampaikan hal serumit ini. Sebab, keadaan kita yang quite controversial ni. Fahamkan? Bukan pasal jawatan Rose atau yang berkaitan, okay?”

Erk? Ni betul laki aku takde sixth sense ni? Boleh pulak baca apa yang aku tengah fikir?

“Rose faham. Abang tak perlulah bimbang sangat. Rose pun tak nak kecoh – kecoh jugak, karang susah nak buat kerja! Bukan abang tak tau, boleh tahan kepoh pekerja – pekerja pompuan dalam company abang tu!”

Lega Hud Daniel dengan penerimaan Rose Raihanah yang begitu memahami, alangkah berbeza dengan perangai Saffiya Safwa yang suka membantah?

“Jadi, Rose ni tak kepoh macam dioranglah?” Soal Hud Daniel tiba – tiba.

“Haisy! Abang tak tau lagi? Pompuan melayu terakhir ni... mana ada kepoh! Orang good girl maa?”

“Perasan!” Serentak dengan itu Hud Daniel menolak lembut kepala isterinya itu.

####

“Macam mana?”

“Macam mana apa pulak?”

“Kahwin dengan lelaki kaya, segak nak mampus...”

“Oitt! Laki aku tu...ko jangan nak buat ayat bikin murka.” Terdengar suara Yani Jameela mengekek di telefon bimbit Rose Raihanah. Rose Raihanah buat muka.

“Citer lah pompuan oi! Laki kau tu okay ke tak okay? Dia layan kau bagus tak? Yalah, dah kahwin bukan atas dasar cinta...”

“Kalau bukan atas dasar cinta, atas dasar apa?” Potong Rose Raihanah laju.

“Dasar duit... ko kan mata duitan!”

“Mangkuk!”

Pecah ketawa Yani Jameela, disambut dengan ketawa Rose Raihanah. Tidak sedikit pun Rose Raihanah kecil hati dengan kata – kata sahabatnya itu, dia sudah cerita semua kisah di sebalik perkahwinan ekpresnya ini. Rasa hendak bernanah jugak telinga menadah kata – kata berbaur makian daripada seorang Yani Jameela, anak jati Sabah yang berketurunan Bugis itu.

Rose Raihanah terima kenyataan, memang dia berkahwin kerana duit Hud Daniel, tapi, mereka bukan berbuat dosa! Hakikat duit menjadi sebab dia menjadi isteri kedua Hud Daniel tidak langsung menjejaskan layanan dan penerimaan Hud Daniel, Tok dan mummy kepada Rose Raihanah. Untuk itu, Rose Raihanah sudah cukup bersyukur, amanah arwah mak dan abah pun dapat diselamatkan, apalagi yang alasan untuk tidak bersyukur?

“Serius Rose, kau bahagia?” Kali ini intonasi suara Yani Jameela sudah berubah, hilang nada gurauan dari mulutnya. Rose Raihanah menghela nafas panjang.

“Dia layan aku dengan baik, Yani. Itu sudah cukup. Aku tak boleh minta lebih daripada sepatutnya, sebab dia sudah jelaskan awal – awal lagi kat aku, tidak mungkin ada cinta antara kami!”

“Madu engkau dah balik?”

“Belum. Bawak hati yang lara kot?” Rose Raihanah cuba berseloroh.

“Kau sayang dia tak?”

“Siapa?”

“Laki engkau lah, takkan madu kau kot?”

“Dia suami aku, wajiblah aku sayang...”

“Cinta?”

Khali.

“Aku memang sedang menempah bala, Yani... aku tak boleh nak bohong diri aku sendiri, jantung aku ni, dah mula nakal nak bermain irama cinta!”

Perbualan antara kedua sahabat melalui telefon itu sudah tamat, tapi, hati Rose Raihanah masih gundah dengan pengakuan hatinya tadi. Macam manalah aku nak berdepan dengan isteri pertama Hud Daniel itu? Berdebar – debar pula menanti saat itu.

####

Saffiya Safwa menjungkit kaca mata hitam Christian Dior nya yang melorot dari hidung. Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang agak sibuk dibanjiri manusia. Mata melilau mencari kelibat orang yang dinanti.

“Darling!” Jeritan Hariz Amrey menarik perhatian Saffiya Safwa. Tanpa segan mereka berpelukan di tengah – tengah lautan manusia. Buruk sungguh perangai kedua orang Melayu Islam ini.

“I miss you baby.” Ujar Saffiya Safwa manja. Hariz Amrey menyungging senyum.

I miss you too, puas bercuti? How’s Europe?

“Puas. Europe? Bolehlah... but now I’m back, and I got matters to handle.” Hariz Amrey faham maksud kata – kata wanita itu, hendak bertemu empat mata dengan madulah tu!




No comments:

Post a Comment