Tuesday, 1 March 2016

UNTUK SEKALI LAGI - BAB 6



“Rose tinggal kat mane?” Alamak! Rose terkebil – kebil memandang Amirul Haikal. Mampus! Lupa pulak aku kes kahwin rahsia ni... Apa nak jawab, eh?

“Err...” Kepala yang tidak gatal digaru – garu. Moga – moga berguguran idea yang boleh menyelamatkan diri! Takkan nak balik rumah mertua aku? Pecahlah rahsia!

“Eh! Takkan lupa pulak? Baru duk sebelah dalam kereta. Kalau duduk sebelah atas pelamin? Hilang ingatan agaknya!” Usik Amirul Haikal tergelak kecil. Rose Raihanah buat muka. Gatal!

“Rose, takkan nak jalan menonong je ni? Rose tinggal kat mane sebenarnya? Tak tau sangat bawak balik rumah I karang...”

“Mengada – ngada lah!” Jelingan tajam dihadiahkan kepada Amirul Haikal yang sudah mula ketawa mengekek. Nak jawab ape hah?

Adoyaiii... Pening betullah! Hmm...

Sarinah!

Yes! Tangan tangkas menggagau telefon bimbit dalam beg tangan Louis Vuitton hadiah hantaran perkahwinannya. Kalau dengan duit sendiri, jangan harap! Kalau ada duit beribu begitu buat derma tabung Aman Palestine lagi bagus! Dapat jugak pahala! Inipun orang asyik dok jeling, tak padan dengan orangnya selekeh, kerja pun kuli, beg tangan? Mak aihh... Jari lincah menekan punat telefon untuk menghantar pesanan ringkas. Sarinah memang penyelamat!

+ Babe!

~ Emmm...

+ Kau dah sampai rumah ke?

~ Emmm...

+ Babe! Ko emmm... emmm... ngan aku lagi, siap kau!

~ Kacau aaaa... Aku tengah layan drama Filipina ni! Boyfriend aku Jericho Rosales tengah berlakon! Ko nak apa makcik?

+ Babe! Jap lagi aku sampai rumah kau. Kau tolong berlakon jadik housemate aku eh? Alah. Depan mamat sengal ni je pun. Konon – kononlah yang aku ni memang dok sini. Yang kita selama ni memang dok serumah, ye?

~ Mamat sengal mana pulak ni? Kau ni apesal tiba – tiba ngaku tinggal sini? Kau kena halau dari rumah sewa kau ke? Kau tak bayar duit sewa ke, babe? Ya, Allah budak ni memang betul kedekutlah! Kemain ko pegi bercuti. Shopping gila – gila, siap beli handbag ala – ala mahal tahap gaji lima bulan pun tak lepas. Sekarang ni, bayar sewa rumah kau ngelat pulak!

Rose Raihanah menepuk dahi. Allah! Budak ni dah melalut... Jari berhenti menari di atas pad kekunci telefon. Dahi ditepuk lagi laju – laju.

I dah warned Rose tadi, jangan ditepuk dahi tu, karang makin jendul serupa flowerhorn!” Usik Amirul Haikal, sengaja menghalau resah apabila Rose Raihanah lebih selesa melayan telefon bimbit daripadanya. Sudahlah kesempatan macam begini jarang – jarang dapat!

Terbuntang mata Rose Raihanah yang sudah sedia bulat. Dia cakap dahi aku serupa flowerhorn? Tangan dibawa ke dahi. Diusap perlahan dahi yang dikatakan jendul itu. Sudah dua kali Amirul Haikal ‘tuduh’ dahinya jendul. Mata melirik – lirik tuan punya mulut tidak ada insurans itu!

“Mana ada jendul?” Bentak Rose Raihanah tiba – tiba. Lupa terus dia soal rumah dan Sarinah.

“Jendul sikit aaa...” Amirul Haikal tergelak kecil.

Hampir terjeluak kornea mata Rose Raihanah mendengar ayat penyata Amirul Haikal. Makin ligat tangan menggosok permukaan dahi. Sakit pulak hati ni! Dia boleh sengih – sengih lagi lepas menghina ciptaan Tuhan!

“Dahi saya tak jendullah! Tak baik tau hina ciptaan Tuhan!"

“Yalah... Yalah, tak jendul.” Lembut Amirul Haikal memujuk. Tidak pula tega melihat Rose Raihanah beriya – iya menafikan tuduhannya, err... Yang berasas itu!

Tangan Amirul Haikal menggapai tangan Rose Raihanah yang masih lagi menggosok – gosok dahi sendiri. Rose Raihanah merenung tangannya di dalam genggaman Amirul Haikal, kemudian diangkat pula wajah untuk mencari wajah lelaki itu.

“Jangan gosok lagi, nanti dahi tu melecet pulak! Sayang ngan kulit putih licin tu.” Sambung Amirul Haikal lagi. Rose Raihanah menelan air liur yang terasa kesat. Mata tertumpu ke arah tangannya yang masih dalam genggaman tangan kasar Amirul Haikal. Sedar dengan kerutan di wajah pujaan hati, Amirul Haikal serta – merta kembali ke alam realiti. Baru saja berangan berlari – lari di tepian pantai sambil berpegangan tangan dengan Rose Raihanah!

“Sorry...” Tangan halus Rose Raihanah dilepaskan segera.

Suasana di dalam kereta menjadi janggal serta – merta.

####

Engku Junaidah menggaru kepala yang tidak gatal. Sakit hati tuanya mengenang cucu seorang yang entah mengikut perangai siapa! Datin Zara pula hanya mampu menekur lantai. Tidak berani masuk campur hal Engku Junaidah dengan cucunya Hud Daniel. Meskipun di dalam hati ini tidak kurang rasa geram pada satu – satunya anak penyambung kasih antara dia dengan arwah suaminya.

Sampai hati Hud Daniel buat Rose Raihanah begini. Sudah hampir sebulan dia tinggalkan isteri keduanya itu tanpa sebarang pesanan. Setiap kali menelefon rumah, Hud Daniel hanya bercakap dengannya. Kalau dengan Rose Raihanah dan Engku Junaidah memang Hud Daniel elak berhabis – habisan untuk bercakap! Sedangkan Hud itu sedang bersenang – lenang dengan Saffiya Safwa bercuti. Lepas seminggu berada di Bali, Indonesia, sekarang terbang pula ke Sydney, Australia. Si Rose ni, honeymoon kat dalam negara pun belum merasa!

Wajah kucam menantu mudanya itu terbias di mata tuanya. Alangkah kuat sekeping hati wanita muda itu. Datin Zara sebenarnya tahu isi kandung perjanjian antara Hud Daniel dan Rose Raihanah. Begitu juga dengan Engku Junaidah. Setakat hal – hal semudah itu, bagi Malek Reduan si penyiasat persendirian profesional hanya seperti baca ABC!

Pada permulaannya, cuak juga Datin Zara. Bimbang Hud Daniel membuat keputusan yang salah menyahut cabaran Engku Junaidah, menggunakan alasan zuriat untuk berkahwin lagi. Datin Zara bukan tidak kasihan kepada Saffiya Safwa, bukankah dia juga seorang wanita? Siapa yang mahu berkongsi kasih? 

Walaubagaimanapun, Datin Zara mesti mengutamakan Hud Daniel, anak kesayangannya. Hud Daniel berhak mendapat yang lebih baik daripada Saffiya Safwa. Sudah bertahun bernikah, perempuan itu tidak juga berubah perangainya. Suka berpoya – poya, bergelumang dengan dosa dan noda. Puas dinasihati anaknya itu untuk menyiasat setiap dakwaan mereka. Tapi, mata hati Hud Daniel sudah buta kerana cintanya kepada Saffiya Safwa.

Lalu, seperti kata Engku Junaidah, kenapa tidak biarkan saja Hud Daniel bernikah satu lagi? Dengan izin Allah, bolehlah Hud Daniel merasa hidup bahagia disamping wanita yang boleh menjaga kebajikannya sebagai suami.

Wujudnya Rose Raihanah dalam keluarga Datin Zara, tetap menimbulkan rasa curiga. Maklumlah, seorang wanita muda yang baru merangkak membina karier, cantik berpelajaran, takkan mahu jadi isteri kedua? Pasti ada udang di sebali batu! Namun, setelah Datin Zara menyelidik latar belakang Rose Raihanah dan mengetahui sebab kenapa Rose Raihanah juga sangup buat keputusan gila berkahwin dengan seseorang yang baru dikenal, Datin Zara pula jatuh hati. Jatuh hati dengan pengorbanan seorang anak demi menjaga amanah orang tua.

Datin Zara terharu sangat, maklumlah, dia ini anak yatim piatu sama seperti Rose Raihanah. Ibu bapa meninggal semasa dia berusia baru lima tahun! Hidup bersama dengan keluarga bapa saudara memanglah tidak sama seperti hidup dengan ibu bapa sendiri, hidup tetap rasa sunyi. Sehinggalah Datin Zara ditakdirkan bertemu dan bernikah dengan Dato’ Hail Iskandar. Datin Zara yang berketurunan Cina, memeluk agama Islam. Alhamdulillah, dengan suami dan keluarga mertua dia dapat menumpang kasih sayang yang sudah lama tidak dirasa.

“Mak! Saya pun kesian dengan Rose, tadi, sampai rumah muka pun monyok je tanya kalau Hud ada call, saya dah takde alasan nak bagi mak!” Datin Zara menghela nafas yang berat.

“Hud tu, kalau bukan dia satu – satunya cucu aku, dah lama aku suruh je Malek Reduan tembak dengan senapang patah! Menyakitkan hati aku je, entah apa yang Saffiya Safwa beri dia makan sampai mengikut sangat dengan telunjuk pompuan tu!”

Nauzubillah Min Zalik. Mengucap, mak! Banyak – banyak bersabar. Bagi saya, biarlah Hud itu bodoh sebab dirinya sendiri, janganlah pulak sebab perempuan tu beri ubat guna – guna ke apa! Ngeri saya!” Cepat – cepat Datin Zara mengusap belakang Engku Junaidah. Orang tua ni, karang naik lagi darah tu aku jugak yang susah!

“Sebab sabarlah aku diamkan saja perkara ni. Zara, Hud tu lelaki, dayus namanya apa yang dia buat sekarang ni. Bukan dia tidak tau perangai bini tua dia tu, perangai macam pompuan jalang! Tapi, dia biarkan aje, dia butakan mata! Kau ingat apa dia kata bila aku tunjuk gambar Saffiya Safwa dengan jantan lain? Dia boleh kata itu mungkin rakan bisnesnya saja! Bodoh!” Bentak Engku Junaidah, sudah tidak dapat membendung rasa marah yang mencengkam.

“Dah ditakdirkan dapat jodoh macam si Rose, boleh pulak Hud buat budak tu begini! Ada laki macam takde laki! Siap disuruhnya pula si Rose tu rahsiakan lagi pernikahan diorang daripada pengetahuan orang, Hud ni memang takde otak! Dia tak tau ke nanti tak pasal – pasal mengundang fitnah orang! Rose tu isteri dia, bukan pompuan simpanan! Hak dia sama saja dengan Saffiya Safwa, Hud tak boleh buat begini!”

Mengamuk betul Engku Junaidah nampaknya. Datin Zara betul – betul kehilangan kata. Memang apa yang Engku Junaidah cakap semuanya tidak dapat dinafikan kebenarannya, tapi...

“Zara bukan apa mak, jangan – jangan Hud memberontak sebab kita paksa dia kahwin, paksa dia ikut syarat – syarat kita tu. Zara bimbang, pasal kedegilan kita sebagai orang tua, anak – anak menantu menjadi mangsa.” Terluah juga kegusaran Datin Zara, namun masih berhati – hati menutur kata, takut pula Engku Junaidah terasa hati.

Engku Junaidah sedikit tersentak. Muka dipaling mencari wajah menantu yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Maksud Zara, semua ni salah mak ke?”

“Mak! Bu... Bukan maksud Zara macam tu!”

“Zara sanggup ke tanggung dosa biar saja anak lelaki Zara, menyimpan seorang isteri yang curang? Keluar masuk kelab malam dah tak ingat dunia? Zara lupa Saffiya Safwa tu isteri yang macamana? Zara lupa macamana layanan pompuan tu dengan Hud? Macamana dia layan kita ni?! Zara mungkin boleh pandang semua ni sebelah mata, tapi, mak tak boleh! Mak tak boleh lupa macamana perasaan mak setiap kali teringat pertama kali tengok gambar – gambar lucah Saffiya Safwa!”

“Mak tak boleh lupa rasa sakit hati ini tiap kali dia bodoh – bodohkan Hud kata nak out station buat kerja, padahal berpeleseran dengan jantan mana – mana! Kita ini ada maruah Zara, kita ada keturunan yang baik. Mak bukan ungkit pasal harta benda, mak persoalkan pasal sikap, pasal dosa dan pahala!” Kembang – kempis hidung Engku Junaidah menahan marah.

Ah! Sudah, Engku Junaidah sudah salah faham, diam Datin Zara mengeluh di dalam hati.

“Kalau mak ni takde hati perut, mak boleh aje paksa Hud ceraikan Saffiya Safwa! Tapi, mak masih lagi kesiankan cucu mak yang seorang tu, mak faham, mak juga pernah muda. Pun begitu, mak terfikir sampai bila semua ni dibiar macam ni aje? Sampai bila kita nak butakan mata nak pekakkan telinga tengok semua ni? Sebab tu mak buat syarat – syarat mengarut tu, padahal dah terang – terang cucu mak hanya ada Hud Daniel saja, memang dia saja yang layak warisi harta mende mak, arwah babah kamu, dan Hail.” Sambung Engku Junaidah lagi, kali ini nada suaranya makin mengendur. Sebak pula rasa hati Datin Zara.

“Mak, Zara minta maaf, Zara tak bermaksud nak persoalkan tindakan mak, maafkan Zara ya mak?” Pantas Zara menggamit tangan tua itu, dikucupnya lembut, mohon lembut hati Engku Junaidah terima kata maaf daripadanya.

Engku Junaidah hanya mengangguk. Tidak tega mahu bermasam muka dengan satu – satunya menantunya ini, yang menjadi teman suka dan dukanya setelah permergian suami dan satu – satunya anak lelakinya.

Sekarang, Engku Junaidah sudah ada seorang lagi teman bicara yang semakin lekat di hati, Rose Raihanah. Ah! Anak itu memang cukup bagus. Hatinya murni, terserlah sekali melalui perlakuannya yang lemah – lembut, budi bahasanya yang tinggi dan kasih – sayangnya yang tidak berbelah bahagi kepada suami, kepada ibu mertuanya, kepada Engku Junaidah sendiri. Yang lebih mencuit hati, pembantu – pembantu rumah, tukang kebun, pemandu peribadi dan Malek Reduan si penyiasat persendirian merangkap pengawal peribadi keluarga itu juga begitu senang dan sayang kepadanya. Rose Raihanah melayan seisi banglo yang megah ini dengan sama – rata, tidak pernah dia membeza – bezakan kedudukan dan pangkat mereka.

Engku Junaidah mengeluh lagi, kenapalah Hud Daniel tidak sedar kewujudan bidadari ini? Kenapalah Hud Daniel begitu tega mensia – siakan kebaikan permata ini? Memanglah mereka berdua berkahwin bukan atas dasar cinta, tapi, bukankah cinta dan kasih sayang itu boleh dipupuk? Lagipun, mereka itu suami isteri yang sah! Mereka bukan berbuat dosa. Bukannya apa, sebenarnya, Engku Junaidah takut! Takut nanti sampai saat apabila Hud Daniel sedar nilai permata berharga yang sudah ada dalam genggaman ini, ia sudah menjadi terlalu lambat! Mungkin Rose Raihanah sudah tidak betah untuk terus setia.

“Jadi, apa kita nak buat mak?” Engku Junaidah mengetap bibir. Mencari keyakinan diri untuk meneruskan rancangan.

“Kita sudah tidak boleh berdiam diri, Zara. Kita sudah terlalu lama membiarkan Saffiya Safwa memperbodoh – bodohkan kita sekeluarga. Selama ini, kita sentiasa berharap dia akan berubah, tapi, sampai sekarang pun tidak ada perubahan dengan sikapnya! Kali ini, kita terpaksa bertindak kejam, demi Hud. Demi Rose!”

“Zara ikut saja mak.”

“Kali ini, kita mesti dedahkan semua perbuatan Saffiya Safwa! Kita bantu Hud buka mata kepala, buka mata hati. Kalau perlu tindakan yang lebih agresif, kita redah! Lepas itu, kita bantu pula rapatkan hubungan Hud dengan Rose!” Tegas Engku Junaidah lagi. Datin Zara mengangguk lemah, bimbang hati tidak tegar melihat hati anak kesayangan bakal hancur berderai.

“Yalah... Zara ikut aje.”

“Bagus, sekarang mak nak call Malek dulu!”

Dua orang wanita itu tidak sedar, tiap butir bicara yang dituturkan sudah ditangkap oleh sepasang telinga tanpa sengaja. Air mata mengalir laju. Cepat – cepat tangan diangkat untuk mengesat tanda hati yang pilu itu. Jauh disudut hati, Rose Raihanah tahu ke mana menghilangnya suami yang baru dinikahi itu. Namun, hati walau sudah puas dipujuk masih juga terasa jauh. Takkanlah bertanya khabar pun tak boleh? Sekalipun kasih dan cinta itu tiada, bukankah abang sudah berjanji untuk tetap bertanggungjawab kepada perkahwinan ini? Belum pun apa – apa, hidup sudah bagaikan melukut di tepi gantang. Badan disandar di dinding tangga. Lelah rasanya menghadapi semua ini.

“Kau mesti kuat Rose! Hadapi semua ini dengan tabah, bukan kau dah tahu baik – buruk perkahwinan bersyarat ini? Apa yang kau harap sebenarnya? Kau berharap suatu hari nanti Hud Daniel akan membalas rasa yang sudah merajai hati ini?” Bicara sepi Rose Raihanah tidak berjawab. Perlahan kaki diangkat menuju ke tingkat atas. Ingin mengusir rajuk di hati, lelahnya perasaannya tika ini.

####

Tersedak Hud Daniel. Perit rongga tekak dengan hidung. Segera tangan mencapai tisu. Hud Daniel menjengah ke luar langit di balkoni hotel Park Hyatt, Sydney, Australia. Siapa pulak yang mengata aku ni? Tiba – tiba langit malam Sydney melakar wajah Rose Raihanah. Hud Daniel mengeluh berat. Pasti Rose Raihanah terasa hati dengan tindakannya. Hud Daniel benar – benar tersepit. Antara Saffiya Safwa yang mendesak untuk mendapat perhatian 24 jam daripadanya, dengan Rose Raihanah yang juga merupakan tanggungjawabnya.

Pelik benar dengan perasaan ini. Sepatutnya dia gembira, sudah lama dia tidak meluangkan masa berkualiti bersama Saffiya Safwa. Makan malam yang romantik. Keluar bersiar – siar tanpa arah dan tujuan, sekadar meluangkan masa bersama. Berbual sepanjang malam sehingga menjelang subuh.

Wanita itu sentiasa sibuk. Tidak ada waktu untuk suami sendiri, karier amat penting dalam hidupnya. Wanita moden! Macamlah Hud Daniel ini tidak sibuk! Yang pelik tapi benar, Hud Daniel rasa kosong. Jiwanya seperti tertinggal di Malaysia. Tiba – tiba saja dia rindu terhadap Rose Raihanah. Telinga seolah – olah asyik terdengar suara lembut Rose Raihanah. Tiba – tiba saja dia mendambakan Rose Raihanah!

“Hud? You still awake?” Suara serak baru bangun Saffiya Safwa mengejutkan Hud Daniel. Mata tunak memandang wanita jelita yang masih di atas pembaringan mewah hotel lima bintang itu. Sungguh dia pernah sangat – sangat mencintai wanita ini! Tapi kenapa di ketika dan saat ini, walaupun Hud Daniel sedang bertentangan mata dengan Saffiya Safwa, tidak ada lagi rasa yang menggebu – gebu sanubari seperti suatu ketika dulu. Sudah tidak ada debaran aneh yang menyesakkan dada seperti waktu mula – mula mereka bertemu.

“Go back to sleep dear, I’ll join you later.”

“Okay, good night!”

Good night? Hmm... Hud Daniel mengeluh kecil. Rose Raihanah, sebelum tidur tangan kasarnya ini akan dicapai kemudian dicium lembut. Kata ampun dan maaf akan diluahkan daripada mulut comel itu. Sebelum matanya dilelap, ungkapan Assalamualaikum akan dilafaz.

Alangkah sejuknya hati si sang suami? Rose Raihanah! Hati bagai menjerit menyeru nama itu. Tiba – tiba saja rasa yang menggebu – gebu dan debaran aneh yang menyesakkan dada menyerang Hud Daniel! Aku sudah benar – benarkah jatuh cinta?

Hud Daniel! What’s wrong with you? Kau sudah lupa dengan janji kau kepada Saffiya Safwa? Untuk mencintai hanya dia sahaja sepanjang hayat ini? Bukankah kau manusia yang berpegang kepada janji? Saffiya Safwa sudah bersama dengan kau selama 10 tahun Hud! Hud Daniel meraup muka kasar. Persoalan demi persoalan menjelma di benaknya. Belum lagi hal – hal berkaitan pejabat yang sudah ditinggalkan hampir sebulan! Mujur ada Amirul Haikal yang membantunya untuk memantau keadaan syarikat. Kalau tidak, boleh lingkup Synergy!


























No comments:

Post a Comment